Pergi ke kandungan

Majlis Bertindak Bersama Se-Malaya

Daripada Wikipedia, ensiklopedia bebas.
Majlis Bertindak Bersama Se-Malaya
All Malayan Council of Joint Action
مجليس برتيندق برسام س-ملايا
AMCJA
PengerusiTan Cheng Lock
Ditubuhkan22 Disember 1946
Ibu pejabatSingapura
IdeologiNasionalisme, Haluan Kiri


Majlis Bertindak Bersama Se-Malaya (Bahasa Inggeris: All Malayan Council of Joint Action atau AMCJA) merupakan gabungan beberapa parti dan pertubuhan bukan Melayu di Malaya untuk turut serta dalam menyuarakan intipati bagi perlembagaan selepas perang sebagai persediaan untuk mencapai kemerdekaan. AMCJA juga membantah Constitutional Proposals for Malaya (juga dikenali sebagai Federation Proposals atau the Anglo-Malay Proposals) yang menjadi asas kepada pembentukan Federation of Malaya Agreement.

Kematangan dan keterbukaan berpolitik orang Melayu bermula dengan jalinan kerjasama Pusat Tenaga Rakyat (PUTERA) dengan All Malayan Council of Joint Action (AMCJA) pada tahun 1947. Toleransi berpolitik ini berjaya melahirkan Perlembagaan Rakyat. [1] Namun cadangan ini telah ditolak oleh British kerana ia diajukan oleh golongan kiri yang pada pandangan mereka akan menggugat golongan elit serta bersikap radikal.

Sejarah Awal

[sunting | sunting sumber]

Pada mulanya di kenali sebagai Pan Malayan Council of Joint Action (PMCJA) ditubuhkan untuk menentang perlembagaan dan pembentukan Persekutuan Tanah Melayu. Dalam bulan Ogos 1947, PMCJA telah menukarkan namanya kepada All-Malaya Council of Joint Action (AMCJA).

Pertubuhan-pertubuhan yang bergabung dalam AMCJA kebanyakannya adalah berhaluan kiri seperti Pan-Malaya Federation of Trade Union, New Democratic Youth League, Malayan Democratic Union, Ex-MPAJA Comrades Association, Women Federation dan Malayan Indian Congress. Sepanjang riwayatnya yang singkat AMCJA telah dipimpin oleh Tan Cheng Lock sebagai Pengerusi dan John Eber sebagai Setiausaha.

AMCJA ditubuhkan selepas perlembagaan dan penubuhan Persekutuan Tanah Melayu dibincang dan dirangka oleh pihak Inggeris, UMNO dan DYMM Raja-raja Melayu dalam satu sidang Pleno. Pada 12 Disember 1946, Kerajaan Inggeris mengumumkan bahawa perlembagaan tersebut telah selesai digubal dan akan disiarkan untuk mendapatkan pandangan dari orang-orang bukan Melayu.

Pertubuhan-pertubuhan bukan Melayu telah menubuhkan AMCJA untuk menentang perlembagaan baru itu. AMCJA ingin menyatukan Singapura dan Tanah Melayu, mahukan sebuah negara berkerajaan sendiri dan juga kewarganegaraan yang sama. Kesemua ini adalah bertentangan dengan rangka perlembagaan yang diputuskan oleh Sidang Pleno Inggeris-Melayu.

Bergabung dengan PUTERA

[sunting | sunting sumber]

Dalam bulan Januari 1947, AMCJA telah mendekati Parti Kebangsaan Melayu Malaya (PKMM) untuk sama-sama menentang perlembagaan Persekutuan Tanah Melayu. Hasrat AMCJA untuk bekerjasama dengan orang-orang Melayu akhirnya menjadi kenyataan bila PKMM bergabung dengan API, AWAS, GERAM dan Hizbul Muslimin untuk menubuhkan Pusat Tenaga Rakyat (PUTERA) pada 22 Februari 1947. PUTERA kemudian bergabung dengan AMCJA. [2]

Hasil daripada gabungan AMCJA-PUTERA ini perbahasan-perbahasan terbuka dan kempen-kempen telah berjaya diadakan di seluruh Tanah Melayu. Dalam bulan Oktober 1947 AMCJA-PUTERA telah mengeluarkan ‘Perlembagaan Rakyat’ (The People’s Constitution) sebagai pengganti kepada Perlembagaan Persekutuan.

Hartal 1947

[sunting | sunting sumber]

Pada 20 Oktober 1947 mereka telah menganjurkan hartal (mogok) yang hampir melumpuhkan keseluruhan jentera ekonomi dan pentadbiran Inggeris. Sungguhpun begitu usaha AMCJA dan kemudian usaha AMCJA-PUTERA untuk menghapuskan perlembagaan yang digubal oleh Sidang Pleno Inggeris-Melayu itu menemui kegagalan.

Perlembagaan yang digubal oleh Sidang Pleno mula berkuatkuasa pada 1 Februari 1948, bila Persekutuan Tanah Melayu diisytiharkan dengan rasminya. Dengan itu juga lenyaplah sejarah AMCJA.