Usaha-usaha Meningkatkan Mutu Sukan Negara
Dalam mengecapi kemajuan di persada global, negara kita Malaysia telah banyak melakar kejayaan
yang membanggakan dalam Kejohanan Sukan Negara. Antara kejayaan yang sudah dikecapi adalah
kemenangan Azizulhasni Awang yang telah berjaya menempa nama sebagai juara dunia dalam acara keirin
Kejohanan Trek Berbasikal Dunia di Hong Kong. Namun begitu, kejayaan tersebut masih belum lengkap
seandainya masih ada skuad sukan tanah air yang lain yang masih lagi belum berjaya di peringkat global.
Oleh hal yang demikian, pelbagai inisiatif yang sewajarnya diambil oleh beberapa pihak bagi
meningkatkan mutu sukan negara.
Antara langkah yang perlu diambil adalah pihak kerajaan seharusnya menyediakan infrastruktur
yang lengkap untuk kegunaan para atlet negara. Antaranya, padang bola sepak yang luas dan bersih,
gelanggang tenis yang serba canggih dan lain-lain lagi. Selain itu, peralatan permainan sukan juga
seharusnya diperiksa sebelum digunakan supaya berada dalam keadaan baik. Hal ini adalah untuk
memastikan tiada sebarang masalah atau perkara yang tidak diingini berlaku ketika latihan sedang
berlangsung.
Selain itu, pihak sukan juga seharusnya mengupah jurulatih yang lebih banyak makan garam
dalam acara sukan tertentu. Hal ini bertujuan supaya atlet sukan mendapat bimbingan yang betul untuk
bertanding dengan atlet-atlet sukan negara lain. Di samping mendedahkan atlet sukan untuk
mempraktikkan teknik-teknik yang lebih sesuai dalam permainan mareka supaya mereka lebih tangkas
daripada sebelum itu. Sebagai contoh, pemain bola sepak sendiri dapat mengesan strategi lawan apabila
memerhati posisi lawan mereka. Tuntasnya, jurulatih yang berpengalaman sewajarnya diupah bagi
mencorakkan permainan atlet dengan lebih baik.
Seterusnya, pihak kerajaan mestilah membayar gaji yang tinggi kepada atlet sukan negara. Hal ini
adalah untuk memberikan dorongan kepada mereka agar terus berjaya dalam mengecapi kemenangan.
Oleh sebab itu, atlet sukan akan merasakan diri mereka lebih dihargai dan tidak lagi akan menganggap
sukan ini sebagai kerja sampingan yang boleh dipandang sebelah mata. Mereka pasti akan berlatih
bersungguh-sungguh untuk membuktikan bahawa mereka mampu untuk menjadi juara walau dengan
sesiapa jua mereka bertanding.
Akhir sekali, pihak tertentu hendaklah menawarkan kepada mereka beberapa pakej tawaran seperti
pakej penerbangan percuma, pakej pelancongan ke negara-negara luar dan lain-lain lagi sekiranya mereka
berjaya meraih kejayaan. Hal ini adalah sebagai tanda penghargaan kepada mereka kerana telah berjaya
mengharumkan nama negara. Tuntasnya, penghargaan haruslah diberikan kepada atlet-atlet yang berjaya
sebagai tanda membalas jasa mereka.
Justeru, pelbagai pihak seharusnya mengorak langkah bijak bagi meningkatkan kualiti sukan
negara. Antaranya adalah menyediakan infrastruktur yang lengkap, mengupah jurulatih yang
berpengalaman, membayar gaji yang tinggi dan memberikan penghargaan kepada atlet-atlet negara yang
telah berjaya melakar nama Malaysia di persada dunia sukan. Konklusinya, ambillah langkah yang
sepatutnya bagi membantu para atlet untuk menempa kemenangan kerana yang bulat tidak datang
bergolek, yang pipih tidak datang melayang.