KARANGAN KEBAIKAN MEMBACA
Masyarakat Melayu sinonim dengan pelbagai jenis puisi tradisional bagi
melahirkan perasaan yang telah terbungkam dalam atma dan sukma mereka.
Puisi di atas menggambarkan amalan membaca sangat penting dalam kehidupan
seharian kita bagi melahirkan generasi yang berintelektual dalam mencorak
masa hadapan. Ketahuilah kita bahawa masa depan menjanjikan cabaran yang
sarat dengan muatan cabaran reformasi. Oleh sebab itu, menerusi amalan
membaca juga dapat mencetus kesegaran minda agar tidak wujud modal insan
yang dibelenggu dengan cara berfikir yang sempit. Walaupun dunia sudah
melepasi pelbagai zaman dalam beberapa dekad, namun budaya membaca
tetap mendominasi kemajuan dan keagungan sesebuah bangsa. Sesungguhnya,
dengan membaca kita mampu menguasai pelbagai cabang ilmu persis mutiara
kata membaca itu jambatan ilmu.
Sesungguhnya amalan membaca mampu menambah pengetahuan kita. Amalan
membaca dapat membantu memberikan nilai tambah dalam diri seseorang
sebagai persediaan untuk bersaing dalam era globalisasi ini. Setiap seseorang
daripada kita mesti memberikan nilai tambah kepada diri masing-masing.
Demikian mantan perdana menteri Malaysia Tun Abdullah Ahmad Badawi pernah
menukil dalam salah satu ucapan beliau sekitar pertengahan tahun 2005 yang
lalu. Ungkapan keramat itu, membawa maksud bahawa nilai seseorang anak
pascamerdeka ini akan bertambah andai individu itu berusaha melakukan
anjakan paradigma untuk dirinya daripada terus berada di takuk lama. Jika
ditelusuri, ungkapan ini boleh direalisasikan dengan amalan membaca yang
pastinya dapat menyumbangkan idea bernas dalam diri pembaca. Selain
melalui proses pembelajaran secara formal di sekolah , nilai diri akan dapat
ditambah dengan banyaknya menerusi amalan membaca bahan-bahan ilmiah
seperti Majalah Dewan Bahasa, Dewan Siswa, Kosmik dan sebagainya.) Cerdik
pandai sering menganggap amalan membaca sebagai jambatan ilmu. Persepsi
ini terjelma lantaran amalan membaca yang dapat menghubungkan antara
manusia dengan dunia ilmu. Tegasnya, amalan membaca sememangnya dapat
menambah ilmu pengetahuan dan menjadi persiapan untuk kesiagaan kita
bersaing dengan cabaran kemajuan yang terbentang di jagatraya ini.
Seterusnya , mari kita fokuskan lensa pemikiran kita kepada manfaat seterusnya
iaitu membaca dapat meningkatkan kepakaran. Kepakaran yang dimaksudkan
ialah tenaga kerja yang berpengetahuan dan berkemahiran tinggi dalam sesuatu
bidang. Membaca dapat mewujudkan koridor kemajuan ekonomi demi
meningkatkan tenaga pakar yang berpengetahuan. Ibu bapa menjadi cerucuk
utama dalam membentuk diri anak-anak supaya suka membaca. Hal ini
demikian kerana, rumah merupakan institusi pendidikan yang pertama untuk
anak-anak. Sebagaimana yang diketahui masyarakat yang suka membaca
merupakan masyarakat yang maju dan kompetetif sehingga dapat mencetuskan
gegaran minda sekaligus dapat menjulang negara kita ke puncak jagat. Oleh
sebab itu, amalan membaca dapat membentuk masyarakat madani yang
berkemahiran dan berkepakaran tinggi. Apabila negara kita sudah mencapai
tahap yang maksimum dalam membentuk individu yang mempunyai kepakaran
yang tinggi dalam satu-satu bidang, kita tidak perlu bergantung kepada
kepakaran luar lagi.
Selain itu, ibu bapa pula seharusnya memainkan peranan masing-masing dengan
aktif bagi menyemai minat membaca dalam diri anak-anak sejak kecil lagi bak
kata pepatah, ' melentur buluh biarlah dari rebungnya ' . Apabila diri kita sudah
terdedah dengan pelbagai jenis bahan bacaan yang berbeza, kita akan dapat
mengenalpasti genre bahan bacaan yang sepadan dengan minat dan
kecenderungan kita sendiri. Dengan ini, sudah tidak dapat dinafikan bahawa
memupuk minat membaca akan menyumbang terhadap keberkesanan
pengaplikasian amalan membaca dalam kehidupan seharian.
Selain itu, kita juga seharusnya mengisi masa lapang dengan melakukan
aktiviti yang berfaedah seperti membaca. Pada zaman kini, sebilangan besar
daripada masyarakat di negara kita gemar atau cenderung untuk memenuhi
waktu senggang mereka dengan melakukan aktiviti yang tidak berfaedah seperti
melepak, bermain permainan video, berpelesaran di pusat-pusat beli belah dan
melibatkan diri dengan gejala sosial yang membimbangkan. Hal ini biasanya
terjadi dalam kalangan remaja yang belum dewasa akibat desakan nafsu dan
keinginan diri untuk menggapai kebebasan bukan seperti ' burung di dalam
sangkar, mata terlepas badan terkurung' . Bagi mengatasi hal ini, ibu bapa
hendaklah meluangkan masa yang lebih berkualiti bersama anak-anak di
samping mendorong mereka untuk menjadikan amalan membaca sebagai
aktiviti bagi memanfaatkan masa lapang mereka secara optimum. Di samping
itu, ibu bapa juga sewajarnya menjadi teladan yang baik untuk dicontohi oleh
anak-anak dengan turut menjadikan amalan membaca sebagai aktiviti wajib
semasa waktu senggang. Dengan ini, anak akan meniru perbuatan kedua-dua
orang tua mereka bak kata pepatah, ' ke mana tumpahnya kuah kalau tidak ke
nasi' .
Inisiatif berikutnya ialah membawa buku ke mana-mana sahaja.
Perbuatan ini sebenarnya mudah dan tidak sukar sama sekali untuk dipraktikkan.
Namun begitu, amalan ini diabaikan oleh masyarakat di negara kita. Sekiranya
kita melihat penduduk di negara-negara maju seperti Jepun dan Amerika
Syarikat, mereka sudah sekian lama mengimplimentasikan amalan ini dalam
kehidupan mereka. Oleh itu, tidak hairanlah sekiranya masyarakat di negaranegara tersebut sangat bertamadun dari pelbagai sudut seperti lahiriah,
rohaniah dan juga ekonomi negara. Jadi, sampai bilakah kita ingin berdiam diri
dan terus berada di takuk lama? Kita sewajarnya mencontohi perbuatan mereka
kerana perbuatan tersebut akan mendatangkan faedah yang besar kepada diri,
masyarakat dan negara bak kata pepatah, ' yang baik dijadikan tauladan, yang
buruk dijadikan sempadan' . Oleh yang demikian, kita mestilah membiasakan diri
dengan membawa bersama sebuah buku ke mana-mana tempat sahaja yang
kita pergi agar waktu senggang kita akan dapat dimanfaatkan dengan
pembacaan ilmiah biarpun sekejap.
Di samping itu, kita mestilah melazimkan diri untuk berkunjung ke pesta
buku. Pesta buku adalah bertujuan untuk memapar dan mempromosikan karyakarya baharu kepada khalayak ramai. Di pesta buku juga biasanya terdapat
potongan harga yang menarik bagi judul-judul buku yang terpilih. Dengan ini,
kita akan dapat menjimatkan wang yang sedia ada selain dapat membeli juduljudul buku yang terbaharu di pasaran. Selain itu, kita juga berpeluang untuk
bertemu dengan penulis-penulis buku yang terkenal dan masyhur seperti A.
Samad Said, Ain Maisarah dan ramai lagi. Peluang keemasan seperti ini tidak
seharusnya kita lepaskan kerana melalui pertemuan tersebut kita akan dapat
berbual-bicara dengan pengarang buku yang kita minati. Dengan ini, minat kita
terhadap membaca akan bertambah di samping dapat meluangkan masa
bersama-sama insan tersayang dengan berkunjung ke pesta buku bersamasama.
Tambahan pula, budaya membaca dapat membantu pelajar lulus dengan
keputusan yang cemerlang. Hal ini demikian kerana pembacaan bahan bacaan
yang banyak dapat menambahkan pengetahuan tentang sesuatu mata
pelajaran. Terdapat juga mata pelajaran tertentu yang memerlukan pembacaan
yang banyak. Sebagai contoh, Bahasa Melayu, Bahasa Inggeris dan Sejarah.
Mata pelajaran tersebut memerlukan pembacaan yang luas kerana kita akan
dapat maklumat atau isu semasa yang amat berguna dalam penulisan esei.
Pembacaan boleh dilakukan di perpustakaan mahupun di rumah. Dengan ini,
perpustakaan hendaklah dinaik taraf dengan kemudahan yang lebih selesa
seperti meja, kerusi, penghawa dingin dan kemudahan ICT supaya pelajar-pelajar
dapat menjalankan pembacaan mereka dalam keadaan yang kondusif. Secara
eksplisit, pelajar akan mengingati lebih banyak ilmu pengetahuan daripada
bahan bacaan tersebut. Pelajar yang cemerlang adalah pelajar yang rajin
membaca. Oleh itu, semua pelajar hendaklah menjadikan tabiat membaca
sebagai rutin harian agar mendapat keputusan yang cemerlang.
Membaca juga dapat memenuhi masa lapang kita. Masa lapang ialah masa
senggang antara dua pekerjaan. Masa lapang perlu diisi dengan perkara yang
berfaedah. Kita boleh menjadikan amalan membaca sebagai hobi kita. Selain
membaca, kita boleh menjadikan perkara lain sebagai hobi sekiranya perkara itu
berfaedah. Terdapat 24 jam diperuntukkan kepada seseorang, namun masa yang
singkat itu sememangnya tidak cukup untuk kita melaksanakan pelbagai aktiviti.
Dengan ini, kita haruslah menggunakan masa lapang dengan efisien kerana
masa itu emas. Sekiranya seseorang itu tidak mempunyai masa untuk
membaca, mereka boleh membaca ketika menunggu bas. Oleh itu, sebagai insan
yang begitu mengutamakan masa mereka seharusnya mengisi masa dengan
amalan membaca.
Kesimpulannya, budaya membaca banyak mempunyai faedah kepada individu
mahupun negara. Melalui membaca kita akan dapat menambahkan ilmu
pengetahuan kita. Ilmu pengetahuan yang diperoleh itu bukan sahaja dapat
membantu seseorang mendapat keputusan yang cemerlang malah dapat
memajukan negara. Walaupun pada hari ini pelbagai prakarsa telah dilaksanakan
untuk memupuk amalan membaca namun, usaha tersebut diumpamakan hujan
jatuh ke pasir. Ibu bapa mempunyai tanggungjawab yang besar dalam memupuk
budaya membaca.