Jalan raya ialah jalan besar atau main road yang menghubungkan satu kawasan dengan kawasan yang lain. Biasanya jalan besar ini mempunyai ciri-ciri berikut:

  • Digunakan untuk kenderaan bermotor
  • Digunakan untuk orang awam
  • Dibiayai oleh badan awam
  • Pengunaannya tertakluk kepada undang-undang pengangkutan
  • Dijaga alam sekitar
Jalan raya di Malaysia.
Jalan raya di Jepun

Secara umumnya sistem jalan raya bagi sesebuah negara diklasifikasikan kepada:-

  • Lebuh raya
  • Jalan raya kebangsaan ataupun laluan persekutuan
  • Jalan raya negeri atau wilayah
  • Jalan perbandaran
  • Jalan-jalan lain termasuk jalan kampung dan jalan estet/perladangan

Di sini harus diingatkan bahawa bukan semua jalan yang dapat dilalui oleh kenderaan bermotor itu jalan raya. Contohnya denai-denai di dalam estet. Di Malaysia jalan raya yang sah haruslah diwartakan oleh pihak bekuasa.

Pembinaan

sunting
 
Pembinaan jalan raya di Malaysia.

Secara asasnya, pembinaan jalan raya ialah proses pembukaan ruangan-trafik yang mengatasi pelbagai rintangan geografi. Proses ini melibatkan pengalihan muka bumi, pembinaan jambatan dan terowong, malah pengalihan tumbuh-tumbuhan(Ini mungkin melibatkan penyahhutanan). Pelbagai jenis jentera-bina-jalan akan digunakan untuk proses ini.

Muka Bumi harus diuji untuk melihat sama ada ia mampu untuk menampung keberatan kenderaan. Seterusnya, jika perlu, tanah yang lembut akan diganti dengan tanah yang lebih keras. Lapisan tanah ini akan dianggap sebagai lapisan asasan. Seterusnya, di atas lapisan asasan ini akan dilapisi dengan satu lapisan lagi yang dipanggil lapisan muka. Biasanya lapisan muka adalah terbina daripada Tar ataupun konkrit.

Pengaliran air merupakan salah satu faktor yang harus diambil kira dalam pembinaan jalan raya. Air yang menakung di atas jalan raya selepas hujan bukan sahaja akan membahayakan pengguna jalan raya, malah ia akan menghakis dan sekali gus merosakkan struktur jalan raya. Daripada itu permukaan jalan raya sebenarnya tidak betul-betul rata, sebaliknya mempunyai landaian yang berarah ke longkang di tepi. Daripada itu, air akan mengalir ke longkang secara semula jadi.

Selepas itu, retroflector akan dipasang di tempat-tempat yang genting seperti selekoh yang tajam. Di permukaan jalan mungkin juga akan diletak "mata kucing", yakni sejenis objek bersinar seperti batu yang "ditatahkan" di atas jalan raya. Fungsinya adalah untuk menandakan sempadan laluan.

Penyalinan laluan

sunting

Apabila sesebuah jalan raya tunggal dinaik taraf kepada jalan raya kembar atau lebuh raya dengan membina laluan kedua bersebelahan laluan asal, proses tersebut dikenali sebagai penyalinan laluan atau proses kembaran. Laluan dua hala asal menjadi laluan sehala, manakala laluan bersebelahan juga menjadi laluan sehala tetapi bertentangan arah. Ia samalah seperti menaik taraf landasan kereta api daripada landasan tunggal kepada landasan berkembar.

Penjagaan

sunting

Seperti semua bangunan/binaan lain, kualiti jalan akan merosot dengan masa. Rekahan dan lubang akan terjadi. Namun, terdapat dua faktor yang boleh menyebabkan jalan rosak dengan cepat:

  • Kualiti jalan yang kurang, contohnya tiada sistem saliran yang cekap atau lapisan tar yang terlalu nipis.
  • Berat kenderaan melebihi kapasiti, sama ada kerana jumlah trafik yang banyak atau digunakan oleh kenderaan yang lebih muatan.

Perekonomian jalan raya

sunting

Jalan raya boleh meningkatkan kegiatan ekonomi di suatu tempat kerana ia boleh meningkatkan ketersampaian sesuatu penempatan. Dengan adanya jalan raya, komoditi boleh mengalir ke dalam pasaran penempatan dan hasil ekonomi sesuatu penempatan boleh dijual kepada pasaran luar-tempatan. Selain itu, jalan raya juga membentuk ekonomi trafik di sepanjang laluannya. Contohnya, di pertengahan laluan jalan raya utama yang menghubungkan bandar-bandar besar, penduduk tempatan boleh mengadakan peniagaan makanan kepada pemandu lori yang kerap lalu di situ. Satu contoh yang baik bagi ekonomi trafik boleh dilihat di pekan Machap, Johor Malaysia. Sehubungan itu, Machap telah menjadi tempat istirahat bagi bas jarak-jauh kerana adanya fasiliti istirahat yang lengkap di situ dan juga kedudukannya yang terletak di laluan Lebuhraya Utara Selatan. Di Machap, penumpang-penumpang bas akan membelanjakan wang untuk perkhidmatan restoran dan juga perkhidmatan tandas.

Ekonomi Trafik-Istirehat seperti yang berlaku di Machap sebenarnya tidak hanya bergantung kepada lokasi dan juga fasiliti. Apa yang lebih penting ialah hubungan pihak peniaga restoran dengan pemandu bas. Untuk menarik lebih banyak pemandu bas datang ke mari bersama penumpangnya, peniaga restoran boleh membeli hati pemandu bas dengan menyediakan makanan dan rokok yang percuma kepada pemandu bas. Tetapi cara yang paling berkesan ialah berhubung terus dengan Syarikat Bas supaya menjadikan sesuatu tempat sebagai tempat istirahat yang rutin.

Pemanduan di sebelah kanan atau kiri

sunting
 
Papan tanda "ikut kiri" di Australia

Aliran lalu lintas ke hadapan adalah bergantung kepada sesebuah negara sama ada di sebelah kanan ataupun kiri. Di negara yang mengamalkan sistem pemanduan sebelah kiri seperti Malaysia, ciri-ciri jalan rayanya adalah seperti berikut:-

  • Tempat duduk pemandu di dalam kenderaan adalah di sebelah kanan
  • Pemandu memandu ke hadapan dengan mengikut lorong kiri
  • Lalu lintas dari hadapan berada di lorong kanan
  • Arah pusingan bulatan adalah mengikut arah jam
  • Kebanyakan lampu isyarat berada di sebelah kiri
  • Pejalan kaki berjalan menghadap lalu lintas iaitu di sebelah kanan jalan

Sejumlah 34% daripada jumlah pemandu di sebelah dunia memandu di sebelah lorong kiri manakala 66% lagi di sebelah lorong kanan.

Kesesakan jalan raya

sunting

Kesesakan yang berlaku pada jalan raya sering berkait dengan keadaan kenderaan yang menghalang pergerakan di jalan raya. Hal ini akan mengakibatkan trafik perlahan atau tidak dapat bergerak. Kesesakan akan berlaku sekiranya penggunaan jalan raya meningkat (misalnya pada musim perayaan) atau kejadian kemalangan. Selain itu, kesesakan jalan raya juga boleh menimbulkan masalah emosi pemandu dan menyebabkan tekanan dan stres.

Faktor-faktor utama yang menyebabkan kesesakan jalan raya termasuklah:

  • Penggunaan jalan raya bertambah
  • Musim perayaan
  • Waktu selepas kerja dan persekolahan
  • Kemalangan jalan raya

Biasanya, masalah kesesakan jalan raya boleh diatasi dengan menetapkan polis trafik di kawasan yang sering berlaku kesesakan jalan raya untuk mengawal trafik dan juga dengan menjadikan jalan yang mengalami kesesakan sebagai jalan sehala. Hal ini akan meningkatkan aliran trafik dan dapat menyelesaikan masalah kesesakan.

Istilah am jalan raya

sunting
  • Bahu jalan - bahagian tepi jalan raya yang tidak berturap dan tidak dilalui lalu kenderaan.
  • Bottleneck - bahagian jalan yang mempunyai keupayaan trafik yang lebih rendah daripada bahagian lain pada jalan tersebut.
  • Chicane - selekoh patah berbentuk S.
  • Genting - titik rendah di kawasan banjaran gunung yang memudahkan pemandu merentasi banjaran gunung tersebut.
  • Jalan lingkaran - jalan raya yang mengelilingi sesuatu kawasan seperti pusat bandar.
  • Jalan pintasan - jalan raya yang mengelak atau memintas kawasan bandar, atau sekurang-kurangnya bahagian sibuk di sesebuah bandar.
  • Jalan raya kembar - jalan raya yang mempunyai pembahagi jalan yang memisahkan aliran lalu lintas bagi kedua-dua arah yang bertentangan. Rekabentuk jalan raya berkembar merupakan reka bentuk asas yang digunakan dalam pembinaan lebuh raya.
  • Jalan raya tunggal - jalan raya biasa yang tidak mempunyai pembahagi jalan. Merupakan reka bentuk asas bagi sesebuah jalan raya.
  • Jalan semua musim - jalan tidak berturap yang dibina daripada bahan khas yang tidak menghasilkan lumpur selepas hujan.
  • Keselamatan Jalan Raya - proses bagi mengurangkan kematian atau kecederaan akibat kemalangan jalan raya melalui program kesedaran serta penguatkuasaan.
  • Kod laluan - kod yang dikhaskan untuk setiap jalan raya atau lebuh raya.
  • Laluan persekutuan - jalan raya atau lebuh raya yang dibiayai dan diselenggara sepenuhnya oleh Kerajaan Persekutuan.
  • Laluan persendirian - jalan raya atau lebuh raya yang dimiliki oleh sesebuah syarikat, organisasi ataupun orang persendirian.
  • Laluan negeri - jalan raya atau lebuh raya yang dibiayai dan diselenggara sepenuhnya oleh kerajaan negeri.
  • Lampu isyarat - alat penunjuk isyarat bagi menandakan aturan dan masa yang selamat untuk melepasi simpang jalan, sama ada memandu terus, belok kanan atau kiri.
  • Lebuh raya - jalan raya utama berkelajuan tinggi dengan sekurang-kurangnya 4 lorong (2 bagi setiap arah laluan) yang dipisahkan oleh pembahagi jalan serta hanya boleh dicapai melalui persimpangan bertingkat.
  • Lintasan pejalan kaki - kawasan khas pada sesuatu jalan raya untuk membantu pejalan kaki melintas jalan.
  • Pemantul jalan - alat pemantul cahaya yang dilekatkan pada jalan raya, juga digelar sebagai "mata kucing".
  • Pembahagi jalan - ruang pemisah antara 2 aliran trafik yang bertentangan di bahagian tengah jalan raya atau lebuh raya. Pembahagi jalan boleh jadi tembok konkrit, rel pengawal ataupun ruang tanah kosong yang lapang.
  • Penunjuk jarak atau batu jalan - siri penanda jarak perjalanan yang diletakkan setiap 1 km (bagi jalan raya) atau 100 m (bagi lebuh raya).
  • Rel pengawal - rel keluli ataupun kabel keluli yang dipasang bagi mengelakkan pemandu daripada terbabas daripada jalan.

Lihat juga

sunting

Pautan Luar

sunting