Showing posts with label muhasabah diri. Show all posts
Showing posts with label muhasabah diri. Show all posts

Sunday, October 28, 2018

Tabiat yang anak murid ingat ...






"Ilmu ini bukan milik saya ..."

Kata-kata itu masih terlekat dalam kepala saya sejak dari mula mendengar penceramah yang memang saya kenal itu memulakan bicaranya. Benarlah seperti yang dikata. Ilmu yang kita ada saat ini bukan hak milik mutlak kita. Daripada Allah ilmu itu datang dan kepadaNya juga satu hari nanti ia akan dikembalikan.

Dan benarlah, semakin kita berkongsi, semakin kaya kita dengan apa yang kita kongsikan itu. Berkongsi rezeki yang sedikit, pasti rezeki kita akan mencurah nanti. Memang itu janji Allah, kan.


Teruja saya membaca sinopsis pembentangan bekas anak murid saya ini semasa  membelek-belek buku program saat itu. Dewan Ekovest Convention Hall di SJKC Wang Maju , KL , itu hampir 3/4 sudah dipenuhi dengan jemputan yang hadir dan lampu spotlight  yang ada mengganggu tumpuan saya. Pun begitu, saya bangga melihat nama beliau tercetak dan berhasrat untuk duduk dalam bengkelnya nanti.

Sebahagian hari Sabtu saya hari itu diisi dengan perkongsian guru dalam Persidangan Kebangsaan Amalan Baik Pendidikan 2018 anjuran PPD Keramat Smart.

"Saya ingat bila cikgu masuk je, mesti tanya tentang movie terbaru.."

Oh... 😜

Bekas anak murid saya itu memberitahu, semasa sedang menunggu bilik bengkel dipenuhi dengan peserta yang lain. Waaaah... perkara tak penting itu yang diingat si Lutfi ni. Hahaha...

Itu memang tak dinafikan. Saya memang suka sangat menonton movie. Pantang  ada movie baru yang best, pasti akan saya dan suami cari peluang menontonnya. Dan jika jalan cerita itu menarik, acap kali juga saya berkongsi cerita dalam kelas semasa mengajar.

Tak sangka juga  bekas murid saya  ini masih ingat tabiat saya yang satu itu.



Setelah berbelas tahun, akhirnya sang guru menjadi murid pula kepada bekas anak muridnya. Alhamdulillah, Allah bagi peluang dan ruang bagi saya menambah ilmu. Ilmu mengguna aplikasi Telegram untuk menjalankan pembelajaran kendiri buat anak-anak murid generasi Y dan Z sekarang. Kemahiran baru yang bagi generasi X seperti saya ini agak kelam kabut juga hendak menguasainya.



"Cikgu ajar saya masa saya Ting 2 dan Ting 3 dulu, cikgu..."  

Sopan si Lutfi menjelaskan bila saya bertanya. Umur belasan tahun waktu itu ya, dan saya kira sekarang mungkin umurnya sudah di awal 30 an. Orang rumah beliau pun sekarang ini merupakan rakan sekerja saya di sekolah. 

Mengingat kembali sesi menuntut ilmu dari bekas anak murid, terasa berbangga saya menjadi seorang guru. Saya pasti ramai juga guru-guru lain yang berbangga bila menghadapi situasi seperti ini. Walaupun, saya pasti pengajaran saya tidaklah sebaik mana pun, namun saya berdoa moga kerja bakti saya selama ini dinilai Allah sebagai amalan yang membawa pahala.

Oh ... baru teringat. Pagi itu sebelum hendak menghadiri persidangan tersebut, terserempak juga dengan bekas anak murid yang lain, memberitahu isterinya di HKL sedang menunggu kelahiran anak mereka yang ketiga. 

"Oh... saya ingat cikgu dah pencen dah...." ujar beliau bila diberitahu yang saya masih punya beberapa tahun lagi untuk bersara. Aduiii.... agaknya dah nampak sangat ketuaan diri ni, sampaikan bekas anak murid pun dah beranggapan yang saya dah masuk golongan YB.

😂

Apa-apa pun, saya mendoakan untuk semua bekas-bekas anak murid saya, semoga Allah mengurniakan kejayaan dunia akhirat buat kalian. Selamat menyumbang buat negara dan moga segala kerja buat kita menjadi amalan baik yang diterima Allah.


Salam bangga.



~cikgunormah@klcitizen~












Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Friday, March 22, 2013

hipokrit





Do things (good things) that people don't know about. Give a little bit of shadaqah without telling your wife .. Imam Omar Suleiman

Sebulan dua ini hati saya rasa panas hingga ke hujung.

Tidak tenteram itu beraja dan bersultan di hati. Menyimpan rasa itu memang menyakitkan dan memakan diri.

Melihat wajah hipokrasi di depan mata tanpa bisa berbuat apa-apa menjadikan geram itu berkumpul. Membengkak dan bernanah. 

Selemah-lemah iman. Itulah situasi yang sebenar-benarnya. Melihat dan terusan memandang. Dan bibit benci tertanam dan menyubur.

Siapakah si hipokrit? Si dia yang tidak bercakap benar, tidak menepati janjinya dan tidak amanah atas perkara yang diamanahkan padanya.

Mendengar ceramah Imam Omar menampar secara halus hati saya.

Manusia yang merasakan orang lain lebih hipokrit itu lebih bahaya , katanya. Merasakan dianya lebih baik dan terlindung dari sifat hipokrit lebih mudah menjerumuskan dia menjadi manusia hipokrit.

Nauzubillah.

Pesan Imam Omar, antara cara mendidik diri untuk jauh dari sifat hipokrasi itu ialah : solatlah sebanyak mana sewaktu bersendirian secara sama banyaknya bila kita bersolat di masjid, bersedekah secara sembunyi,  jagalah lidah , menepati janji dan berbuat baik tanpa diketahui oleh insan lain.

Dan doa saya di lewat petang ini, semoga Allah memudahkan semua urusan kebaikan ahli keluarga saya,  sahabat-sahabat saya terutama buat Cik Noorul sekeluarga, juga semua kaum muslimin serta muslimat , di dunia hingga akhirat nanti. Semoga semua insan yang teraniaya Allah pelihara mereka di dunia ini dan kurniakan kebahagian yang kekal di akhirat nanti. 

Amin.

~cikgunormah@klcitizen~
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Friday, November 9, 2012

insan




Hujan sentiasa melunakkan hati.  Nyaman suasana sekitar, acapkali memberi tenang .

Dan waktu-waktu seperti inilah sering kali saya melihat diri sendiri.
"Jika kamu tahu  daripada apa yang aku ada, daripada dosa dan kesalahan aku nescaya kamu akan campak atas kepala aku pasir, kata Imam Ahmad."


Video "Janji Allah dengan Istighfar" menyentuh hati saya. Menyebabkan saya terfikir dan menyesali. 

Tentang tindakan saya yang rasanya enteng dan tidak perlu. 

Tentang sikap dan ambil kisah saya yang tidak penting.

Tentang tambatan hati saya pada dunia dan segala kefanaannya.

Bahawasanya, semua manusia ini ada membuat silap. Dan saya sedikit pun tidak terkecuali. 

Kerana sifat Ghaffar Allahlah, masih saya boleh menulis di sini, berjalan tanpa rasa risau dan khuatir. Bahawasanya, dek kerana sifat kemurahan Allahlah, segala aib dan salah saya Dia tutup kemas dengan rapi. Kerana kemurahan Allah inilah saban hari saya masih selesa.

Dan sewajarnya, sayalah yang sepatutnya terlebih dahulu memaafkan. Sayalah yang pertamanya patut meredhakan. Peluang yang sama seperti yang saya terima setiap saat dan setiap hari kenapa tidak bisa saya kongsi bersama insan lain? 

Memaafkan dan menutup kesilapan.

Bukan mengungkit dan mempersoal.

Dan irama titis hujan di luar makin menguatkan rasa ini. Mengingatkan diri sendiri bahawa saya tidak lebih baik dari orang lain. Meletakkan semula perspektif diri saya , bahawa diri ini hanya manusia, sama seperti mereka. Kesilapan orang lain Allah nampakkan, tidak bermakna yang saya ini benar dan betul. 

Bukankah dunia ini adalah sebuah perjalanan yang singkat. Perjalanan yang dipenuhi dengan halangan , rintangan dan simpang serta susur jalan yang kerap juga membuat kita sesat.

Good mistakes

Maafkan saya teman. Saya hanya insan. Dan saya tidak mahu nanti hati yang tercalar menjadi penyebab kesusahan hidup saya dalam dunia yang lebih kekal di sana nanti.


~cikgunormah@klcitizen~








Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Friday, October 26, 2012

Sombongkah saya?

Kalaulah semua kita diberi peluang untuk meminta,  dan segala permintaan itu akan dijamin makbul, agak-agaknya berapa banyakkah permintaan yang akan kita senaraikan?

Kalau saya?

Oh, saya mahu macam-macam. Segalanya. Semua yang baik-baik mengikut kehendak dan keinginan saya. 

Kak Midah, saya dah tuliskan doa saya atas kertas ni. Minta tolong nanti ya semasa di padang Arafah. 

Dan sahabat saya itu mengangguk, tersenyum.

InsyaAllah

Dan tatkala mendengar khutbah dari Arafah secara langsung semalam dari radio Ikim, saya teringatkan sahabat saya itu. Teringat juga tentang doa saya, yang saya tulis berhati-hati, satu-satu, khuatir sahabat saya itu nanti payah pula membacanya kalau tulisan saya macam cakar ayam.

Ingatan itu bukan sekadar sebuah ingatan yang berisi pengharapan sahaja, tetapi terselit bersamanya juga sekelumit malu. Malu dengan diri. Malu dengan keinginan duniawi yang tak pernah puas.

Terlebih malu bila mengingatkan mesej sahabat yang lain.

Tadi kak Midah pergi ke Ustaz dan beritahu yang dia nak pergi haji .  "Doakan saya, ya, Ustaz." 
Ustaz jawab ," Akak pergi ke makam Rasulullah dan bagitau  Ustaz Abdul Rahman berkirim salam dengan Rasulullah, Assalamualaikum."
Masa dia (ustaz) cakap  tu, muka dia berseri-seri gembira dan tersenyum.
Saya dok kirim doa satu kertas penuh, kirim salam kat Rasulullah pun tidak. Aduh. Harap-harap Rasulullah tak cakap saya ni sombong .. 

Ingatan saya tidak putus kepada kertas yang saya tulis dan titipkan melalui sahabat saya itu. Pasti isinya sudah terlebih tahu oleh yang akan memakbulkannya, jika Dia mahu memakbulkannya. Sedangkan yang terlintas di benak dan hati juga, Yang Maha Kuasa itu sudah maklum. 

Tidak salah mengirim doa itu.  Terlebih lagi jika disebut doa itu nanti di Padang Arafah. Ya, saya tahu.

Tetapi salam kepada Rasulullah, itu yang sungguh indahnya. Terlebih cantik bila pengirimnya ikhlas dan bersungguh. Rasa cinta dalam dadanya terpancar melalui bait katanya, dan bukankah Allah mengasihi hambanya yang kasih dan cinta kepada kekasihNya  itu. Juga, bukankah nanti, apabila Allah mengasihi hambanya itu, hidupnya terjamin baik dunia dan akhirat?

Satu pukulan kesedaran buat saya secara halus. Terkesan sungguh.

Semakin saya sedar, akhlak seorang Mukmin itu nilaiannya bukan sahaja pada budi dan pekertinya terhadap insan-insan di sekeliling, tetapi yang terlebih utama kepada Junjungan Besar Baginda. Mengirim salam dan memberitahu yang umatnya yang ini tidak pernah melupakan Baginda. Cantik sungguh. Indah sungguh.

Dan itulah azam saya selepas ini. Mengirim salam pada Rasulullah menerusi insan-insan lain yang dijemput nanti sebagai tetamu Allah di sana. 

Namun azam yang utama? Ingin menyampaikan salam itu sendiri kepada Baginda nanti.

Salam Aidil Adha buat semua.


~cikgunormah@klcitizen~


Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Sunday, July 8, 2012

celupar

You see, no one can ever be sure that their heart is at its best. I remember hearing once that if you think your heart is safe then that’s probably when it’s at its most vulnerable state and sometimes the furthest away from being good—because you are being arrogant ~ It doesn't make sense : Ruzky Aliyar

Selalu.

Hati saya terdetik, ah, saya bukan seperti itu. Ayat-ayat saya terjaga, tidak sekasar itu. Bibir saya masih terlindung dari memanggil dengan perkataan kurang ajar itu. Dan saya tidak secelupar itu.

Babi! Bodoh! Anak haram jadah! P*#@mak!

Betulkah?

Mungkin detik perasaan yang tersemat itu hanyalah bisikan syaitan yang cuba mengelabui perasaan saya , mewajarkan tindakan saya dan meletakkan diri lebih baik dari manusia lain. Yang kononnya mereka itu kurang adab dan santunnya. 

Kononnya.

Soal hati bukan soal kecil.

Kerana saya pernah terdengar, amal sehebat mana pun jika hati busuk bernanah, jangan mimpi hendak bersantai atas dipan-dipan emas di syurga. Kisah si pelacur yang baik hatinya terhadap seekor anjing,  yang saban waktu kisah itu dijaja dari mulut ke mulut menjadi bukti.

Silap manusia lain memang senang kita nampak.

Celupar mulut orang lain memang jelas benar di cuping telinga kita.

Tapi tatkala marah sedang menggila dalam diri kita? Bagaimana? Sedarkah kita? Waraskah kita waktu itu?

Saya kira, perkara yang paling sangat sukar dilakukan ketika marah ialah mengawal kata-kata yang terlepas dari bibir atau pun barisan tulisan yang kita ketuk di keyboard.  Memang!

Saya juga tidak terkecuali.

Waktu marah itu menjadi sebesar gunung dalam dada, dalam ketar bibir dan rasa menggila, perkataan yang terhambur keluar menjadi tidak tentu arah, dan kata-kata kasar itu menjadi begitu lembut di hujung lidah. Diri tiba-tiba menjadi hebat dan insan yang dihadapan menjadi sangat kecil seperti semut, terasa mahu dihenyak dan dipijak-pijak sesuka hati.

Apatah lagi jika dalam saat marah itu, kata-kata dan renungan mata dibalas. Dan orang keliling menyuruh kita bersabar.

Ada pengalaman seperti itu?

Apa pandang-pandang? Engkau dah langgar kereta aku dari belakang, engkau nak jadi samseng pulak!


Saya lihat lelaki gagah itu mendepang dadanya. Seperti seekor ayam jantan mengirai kepaknya bila menghadapi musuh. Tetapi lawannya pun tidak mahu mengalah. Menjawab sambil menuding jari. Kereta mereka yang menjalar, bontot dan hadapan kereta masing-masing menjadi saksi asas pergaduhan.

Jalan menjadi sesak.

Orang ramai bertumpu. Bukan cuba melerai sengketa. Tetapi ingin tumpang menonton drama sebabak. Oh! Saya pun tumpang sekaki. Ah... menipulah saya. Saya pun tumpang dua kaki.

Itu cerita semalam.

Semasa menghantar kereta untuk diservis, sempat lagi saya merakam kejadian. Maaflah. Rakaman saya hanya berputar dalam kepala. Tak kuasa lah nak melayan peminat-peminat Youtube yang suka benar menjadikan babak menarik seumpama itu viral di dunia maya dengan merakam dan memuat naik atau memuat turun.

Tapi sekelumit kejadian itu menjadi bahan entri saya hari ini.

Bahawa sangat sukar sebenarnya, sangat sukar... mengawal kata-kata yang terhambur bila kita sedang berada di puncak kemarahan.

Dan mereka yang berjaya diam di waktu sedang marah itu sebenarnya adalah manusia hebat.

Jomlah, kita cuba, cuba menjadi manusia hebat.

:)



Oh Ya! Salam kasih dan ingatan buat sahabat yang sangat kedekut dengan asetnya .



~cikgunormah@klcitizen~



Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Thursday, June 28, 2012

ibu dan anak






Then, she asked another thing: "Why do you have big tummy? Youssef is out..." 
That was her last question, as I told her that I am sick and I am taking a lot of pills. But she refused to accept that as an answer. 
I told her I'm gonna die when she's bigger, she said she grows smaller and that she's now a baby. Haha, smart. 
Then, I asked whether she could recite me a prayer to cure my pain...she held my face with her small cold palms, started the prayer with a perfect basmallah... and continued with the only dua she knows: doa makan! 
~ The Perfect Mother and Her Princess 11. 911

Sejauh mana kita mencecah langit atau menapak bumi , tetap hubungan ibu dan anak itu unik serta tersendiri.

Mom and daughter


Tidak wajib mengasihi ibu atau bapa kamu.  Dan saya juga bersetuju.

Allah SWT tidak mewajibkan seorang anak untuk menyayangi ibu dan bapa!  
Kasih sayang itu adalah perasaan yang mustahil boleh dipaksa tanpa asasnya. Mana mungkin seorang anak yang dibuang, diabai, disisih, dipinggir malah didera oleh ibu bapa, mampu untuk membuta tuli memaksa diri menyayangi orang yang tidak menyayangi mereka. 

Tetapi, wajib bagi kamu menjalankan tanggung jawab sebagai seorang anak.

Sebaliknya Allah SWT meletakkan kewajipan kita sebagai anak-anak, adalah pada berlaku ihsan, berbuat baik dan menghormati ibu bapa. Ia bukan balasan kebaikan ibu bapa kepada kita, tetapi ia adalah tanggungjawab dan kewajipan kita sebagai anak, biar bagaimana sekali pun si ibu dan si bapa. 

Dan saya pun melihat cermin diri, memerhati tingkah serta laku sendiri, yang memang acap kali secara sedar atau tidak , kerap ambil mudah tanggung jawab tersebut.

Oh, janganlah tersalah sangka.

Ibu bapa saya tidak pernah mendera saya. Malahan saya ini memang anak manja. Tak percaya? Tak percaya, tak apalah.

Cuma, lewat ini, sering mendengar kisah, serta menerima cerita tentang anak-anak yang bercakap dalam nada tinggi terhadap ibu atau bapa mereka. Memperlekeh jasa dan peranan si ibu atau bapa dalam hidup mereka. Meraikan Hari Ibu atau Hari Bapa hanya sebagai mengikut trend semasa, sedangkan hakikatnya si ibu atau bapa masih lagi menjadi bibik dan supir di rumah bagi anak-anak ini.

Mungkinkah kerana kasih itu tidak bertapak dalam hati dan telah diganti dengan rasa tidak suka terhadap ibu bapa sendiri? Fasa-fasa peralihan dalam hidup, memungkinkan ia berlaku.

Namun, benci dan tidak suka tidak  sekali membenarkan perlakuan begitu , kan.


Saya dah tak tau nak tegur anak saya tu camana dah cikgu. Asyik melawan cakap saya. Nak mintak tolong cikgu, nasihatlah anak saya tu.


Skrip biasa yang didengar oleh  ramai guru sekarang. Betul tak, rakan guru sekelian? Terutama waktu ini, musim Hari Terbuka di sekolah masing-masing, kan.

Dan kita guru-guru pun mengangguk, memberi tenang pada si ibu atau si bapa, sedang dalam masa yang sama, kita tahu, kudrat dan upaya kita pun sangat terbatas.

Salam ingatan .


*buat snaketongue, moga tidur nyenyak diulit mimpi indah malam ini dan malam-malam seterusnya. amin.


~cikgunormah@klcitizen~




Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Monday, May 14, 2012

jemputan awal






Saya kira segala yang akan berlaku selalunya beriring tanda-tanda awal memberi peringatan. 

Kalau hari hendak hujan, terlebih dahulu langit mendung , awan tebal berarak dan suasana menjadi lebih sejuk dan nyaman.

Kalau badan menjadi tidak sihat, demam , misalnya, terlebih dulu diberi tanda lemah dan sakit-sakit badan, kan. Mungkin juga.

Cumanya, kadang-kadang, dan selalunya tanda-tanda itu tidak kita ambil pusing dan peduli. Meremehkan. Cuba menyisihkan jika perlu, atas banyak alasan.

Haji Dolah tu dah meninggal.

Suara pakcik di sebelah katil emak mertua saya jelas mencecah telinga. Bilik yang memuatkan dua orang pesakit di Hospital Kuantan itu bukannya besar mana pun. Pakcik tersebut meneman isterinya, yang kebetulan juga akan menjalani prosedur sama seperti emak mertua saya.

Ayah mertua yang menjadi teman berbicara pakcik itu, mengangguk. 

Tuan Haji Seman tu pun dah meninggal.

Sambung pakcik itu lagi.

Oh, Seman tu pangkat anak sedara tu. 

Rupanya ramai juga kenalan pakcik tersebut  yang terkait dan berkait dengan bapa mertua, sama ada dari sudut tali kekeluargaan atau kenalan. Dan beberapa nama yang disebut kebanyakannya lebih kurang sebaya atau berbeza usia beberapa tahun sahaja dari bapa mertua. Dan nama-nama tersebut kebanyakannya telah pun berhijrah terlebih dahulu ke alam yang lebih kekal.

Itu petanda kah?

Saya yang mendengar terfikir dan berfikir. 

Bila mendengar kenalan si polan itu atau si polan ini telah meninggalkan dunia yang fana ini terlebih dahulu sedangkan usianya sebaya, iaitu  seusia 46 tahun atau lebih muda dari saya, apakah yang tergaris dalam fikiran? Muda lagi, sudah dipanggil, kan. Muda lagi , sudah dijemput Allah, kan. 

Adakah saya ini terkategori dalam usia muda? Ah, tentu tidak.

Kenapa bila mereka yang seusia saya itu berhijrah ke alam barzakh, saya menyatakan yang mereka masih muda? Sedangkan pada hakikatnya, sekarang ini, saat ini, sedang sakit-sakit di pinggul ini terasa menyucuk, tua itu seperti sinonim sekali dengan usia tersebut.

Dan berita kematian di sekeliling, bukankah ia menjadi petanda buat saya?

sumber

Bahawa bila-bila masa sahaja, kan, panggilan keramat itu bisa saja berlaku. Jemputan itu,  sama ada yang dijemput itu bersedia atau tidak, terpaksa juga ditunaikan. Setuju atau tidak. Perlu akur. 

Kalau difikir-fikir dalam keadaan waras ini, ah, menakutkan sekali. 

Tanda-tanda di sekeliling makin banyak.

Dan saya masih tetap , leka.


~cikgunormah@klcitizen~


Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Saturday, February 18, 2012

memang ngeri dan menakutkan ..

“If you would not want to be forgotten, as soon as you are dead and rotten, either write things worth reading, or do things worth writing.” – Benjamin Franklin (1706-1790) : sumber
Jika anda tidak mahu dilupakan (oleh manusia lain), sebaik sahaja anda mati atau mereput, buat salah satu perkara, iaitu tulislah perkara yang berbaloi untuk dibaca atau buatlah perkara yang berbaloi untuk ditulis.

Adakah selama ini apa yang saya tulis itu berbaloi untuk dibaca?

Entahlah, kan.

Yang pastinya, saya bukan insan terkenal punya fikiran tajam dan idea kreatif atau bernas hingga membuat manusia lain terpegun dan tercari-cari bahan untuk dibaca dari hasil tangan saya. Walau pun itu memang ada dalam spesifikasi anganan saya, tetapi memadailah dengan tulisan-tulisan syok sendiri saya selama ini dan  masih dikira bertuah  juga punya rakan-rakan yang sudi meluang masa membaca butir demi butir perkataan yang saya susun rangkaikan.

Saya tercari-cari idealisme seorang pemimpin itu bagaimana.

Setiap dari kita memang punya tanggung jawab memimpin, malah jika tidak memimpin orang lain pun, memimpin diri sendiri itu sangat dituntut serta akan dipersoalkan nanti. Dipersoalkan atas setiap tindakan dan keputusan yang kita ambil serta laksanakan. 

Sedangkan di persoalkan di dunia sahaja sudah bertitik peluh di dahi dan kering lidah dek kurang air liur, apatah lagi nanti bila di sana .

Dan andai menjadi pemimpin dalam kelompok sendiri? Bagaimana kah nanti?
Menjadi pemimpin, dan menjadi golongan yang dipimpin tidak sama. Golongan yang dipimpin seperti manusia di kaki bukit. Mendongak ke atas dan melihat pemimpinnya di puncak bukit. Serba-serbi tentang pemimpin itu diperhatikannya. Ada pujian, tetapi yang sering adalah kritikan dan celaan. 
Sedangkan pemimpin yang berdiri di puncak bukit, beliau melihat ke bawah dengan pandangan yang luas. Kritikan dari orang yang mengkritiknya, hanyalah salah satu daripada keseluruhan pandangan luasnya terhadap realiti golongan yang dipimpin. ~ Pemimpin Sepanjang Zaman
Hell
Pemimpin harus memimpin dengan pemikirannya yang berbaloi dibaca dan dikaji. Bukan pemimpin yang dungu oleh teks yang disediakan orang lain atau yang tidur di lensa massa. Kita boleh bersetuju atau menolak idea dan pemikiran seorang pemimpin. Tetapi pemimpin yang tidak mempunyai sebarang pemikiran dan idea, harus awal-awal lagi ditolak. Pemimpin tanpa idea, memimpin ke arah binasa dan memimpin sebagai boneka. ~ Pemimpin Harus punya Idea
Sememangnya  kepimpinan unggul dan tiada tandingan hingga akhir zaman nanti ialah kepimpinan Rasulullah SAW, dan kehadirannya di dunia ini adalah sebagai contoh. Bukan ilusi yang tidak boleh digapai dan direalitikan. 

Walau tidak bisa menjelmakan seluruh idealisme dari kepimpinan Baginda itu ,  apakah tidak mungkin cebis-cebis akhlak Baginda itu ditampak dan dijelmakan dalam peribadi?

Menjadi pemimpin walau dalam kelompok kecil bukan kerja main-main , apatah lagi jika ia dibayar dan ianya menentukan masa depan orang lain .  Dipersoalkan dan dinilai bukan di dunia sahaja tetapi selepas mati pun nanti ia menjadi penentu kesudahan hidup sendiri yang kekal nanti. Itu yang menakutkan. Menjadi igauan dan mengganggu mimpi.

Ngerinya ..

~cikgunormah@klcitizen~


Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Thursday, February 16, 2012

hari dan hati yang suram

Kalau boleh ya Allah, matikanlah saya pada hari Jumaat dalam bulan yang berkat dalam husnul khatimah.

Andai, diterima doa dan kehendak, alangkah gembiranya, kan. Bukan saya seorang saja yang bercita demikian. Saya tahu, berjuta lagi di luar sana yang lebih layak untuk dimakbulkan Allah doa ini.

Tapi, rezeki masing-masing tak siapa yang tahu .

Khamis malam Jumaat ini seperti suram bagi hati saya. Dari sejak pagi tadi, sebenarnya. 

Dalam perjalanan ke sekolah mendapat berita tentang penghijrahan deejay  radio Ikim , Allahyarham Abdul Razak  Arbain ke alam barzakh, membuat hati saya tiba-tiba sedih. Memang , saya pun tidak kenal beliau dan tak perasan pun siapa beliau, tapi mungkin di masa hidupnya yang penuh kebaikan, Allah dorongkan hati orang lain untuk mendoakan yang baik buat dia.

Lahir tahun yang sama dengan saya.

Membuatkan saya terfikir, agaknya berapa lamakah lagi bilah-bilah hari saya yang tinggal?

Bukankah hidup kita adalah bilangan hari?

Hari yang telah lepas, adalah hari yang telah hilang dalam garisan hidup kita. Dan masing-masing pun tak tahu, berapa sebenarnya bilangan hari yang tersedia untuk kita. Yang pastinya, bilangan hari yang tinggal untuk kita bersedia apa yang patut makin berkurang dengan bertambahnya bilangan hari yang telah luput.

Setiap kita juga ada rahsia keaiban yang tersendiri. Hanya kerana rahmat Allah masih tertutup keaiban itu. Kita berjalan dengan bangga di hadapan khalayak ramai serta merasakan diri suci. 
Sebenarnya, dalam banyak hal kita tidak suci, cumanya dosa kita tidak didedahkan kepada manusia. 
Kata al-Imam Ahmad dengan linangan airmata ketika dia dimuliakan: “Kami ini kesian. Jika tidak kerana tutupan Allah, nescaya akan terdedah aib kami”. Demikian tawaduknya imam yang agung itu. ~ Insaf Dalam Menilai Setiap Insan 

Agaknya sedih yang saya rasa  ini kerana memikir keaiban diri sendiri.

Kisah masa lampau , kalau boleh ingin dipadam dan dipetakan semula.

Saya tahu saya tidak bersendirian. Dosa pastinya tercalit dalam kain putih hidup setiap insan yang bukan maksum. Cuma besar atau kecil calitan itu yang membezakan.

Yang lepas hanya menjadi kenangan dan iktibar buat saya, agar tahu dan sentiasa sedar, saya ini tidak sehebat mana pun. Darjat saya tidak lebih hanya tanah yang dipijak-pijak, gah saya hanya ilusi dalam dunia yang tidak kekal ini.

~cikgunormah@klcitizen~



Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Sunday, February 12, 2012

jom, banding apa yang kita ada..

Ahad.

Segalanya tentang hal peribadi dan keluarga perlu dilangsaikan hari ini. Tapi, masih berlengah, mengambil ruang masa untuk menulis juga.



Lalu Mariam kata, " Alangkah baiknya jika aku mati sebelum ini dan aku pun dilupai, tak dak sapa kenal aku." 
Dia tahu ujian Allah, tapi (sebagai) seorang hamba Allah , berat dia rasa, kalau mati pun tak palah, dia kata. 
Allah Maha Pengampun, Allah tak murka kat Mariam. Allah rakamkan apa yang Mariam sebut. Allah tahu ini hambaNya. Ini beban. 
Ulamak-ulamak tafsir menyebut bahawasanya, apabila satu orang itu (terasa) beban dengan ujian hidup, dia rasa beban dia nak hidup, dia kata Ya, Allah, kalau kau matikan aku pun tak apalah. Tidak dianggap berdosa, selagi mana dia mintak kat Allah. ~ bermula minit ke 0:15 - 1:01

Maryam ibu kepada Nabi Isa, takut menghadapi fitnah selepas beliau diberitakan perkhabaran yang dia mengandungkan Nabi Isa tanpa seorang lelaki bergelar suami di sisi.

Betapa besar dan hebatnya ujian itu.

Hendak dibanding dengan ujian yang saya tempuh hari-hari? Setakat, pelajar degil dan bermasalah. Setakat duit tinggal sesen dua sementara gaji akan masuk di hujung bulan. 

Tak payahlah rasanya saya membanding diri dengan Maryam.

Cukuplah dengan membanding dengan wanita-wanita  yang membesarkan anak mereka untuk menjadi syahid di Palestin.

Itu pun ibarat jauh panggang dari api.

Memang jauh nilai hati mereka dengan sekeping hati yang saya punya.





Ahad, memang hari terbaik untuk membanding diri. :)

~cikgunormah@klcitizen~


Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Friday, February 10, 2012

dah tetua baru nak insaf

Kita adalah orang atau insan yang sentiasa nak jadi baik walau pun kita belum menjadi baik, tapi kita komited nak jadi baik. ~ Ustaz Pahrol Mohd Juoi : Orang ikhlas tertindas?
Itu mukaddimah Ustaz Pahrol dalam sembang bicaranya pada petang 23 Jan 2012 di radio Ikim, yang saya ulang dengar sekarang, sambil menaip entri di hari Jumaat yang penuh berkat ini.

Suara Ustaz bergemersik menyentuh hati.

Belum pernah lagi berjumpa dengan Ustaz Pahrol, tapi saya membayangkan mestilah orangnya tampan dan soleh.

Membuat kerja walau kecil tetapi dengan berjiwa besar.

Seperti kisah budak gembala kambing di zaman khalifah Umar yang tetap enggan menjual seekor kambing dari beratus ekor kambing milik tuannya kepada khalifah Umar, walau dipujuk oleh khalifah Umar yang mencadangkan supaya budak itu menipu kepada tuannya.

Katakan sahaja seekor kambing itu telah dimakan serigala.

Umpan Khalifah Umar, yang secara logiknya memang boleh diterima akal oleh sesiapa sahaja, ekoran suasana waktu itu di padang pasir dan budak gembala itu hanya bersendirian.

Kalau begitu, di mana Allah?

Bijak budak itu menjawab. 

Ah, lantas saya teringat diri saya. Sudah puluhan tahun bekerja, walau pun bukan sebagai gembala kambing. Tetapi saya pasti , saya tidak seamanah budak itu. 

Memanglah saya tidak menjual kambing yang bukan hak milik saya.  :D

Tapi, saya pasti ada -  mengguna bahan di tempat kerja dengan bukan tujuan kerja tapi dengan tujuan untuk diri sendiri. 

Charge henfon mungkin , tanpa kebenaran dan tidak pernah membayar bil elektrik sekolah.

Alahai ....

*dah tetua baru nak insaf , kan    :(

~cikgunormah@klcitizen~


Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Thursday, February 2, 2012

maafkan saya

Saya tahu saya pernah menyakitkan hati awak. Dan saya minta kalau boleh awak maafkan saya.

Terus matanya merah. Dan air mata mengalir. Walau ditahan, tetap, merah di mata dan hujung hidungnya,  ketara sungguh. 

Saya peluk dia, kerana saya tahu selepas ini entah bila pula dapat bersua seperti ini semula. Walau dia tidak jauh perginya, tapi saya dan dia tahu, rutin hidup seharian selepas ini bakal menyukarkan lagi pertemuan dan perpisahan sebegini , lumrahnya menyukarkan lagi jalinan perjalanan hidup antara kami.

Dia menggelengkan kepala. Suaranya tersekat di kerongkong.

Saya faham , gelengan itu menandakan dia sudah melupakan kisah lama . Kisah itu seolah tidak memberi bekas lagi pada saat itu, saat saya memohon maaf dari dia.

Dan hati saya rasa lapang.

Kisah saya mencalarkan hatinya satu waktu dulu, bermula dari insiden kecil. Tetapi , biasalah, saya juga manusia, punya ego dan darjah kebodohan seperti manusia lain juga. Dan selepas hatinya itu tercalar, tidak pernah lagi berkesempatan saya memohon maaf setulus dan sesungguhnya dari dia. 

Dan hari ini , saya rasa beban di bahu dan hati saya terasa ringan.

Doa saya moga Allah mempermudahkan hidupnya dan keluarganya dengan rutin yang baru. Moga Allah menjaga keluarganya seperti mana saya mahu Allah menjaga keluarga saya juga.

Amin.


~cikgunormah@klcitizen~



Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Wednesday, February 1, 2012

struggling to be a better muslimah

Kalaulah hidup ini tiada ujud kepercayaan kepada hari akhirat dan pembalasan di atas semua ketidak adilan pastilah hidup kita ini penuh dengan seribu kesalan dan kekecewaan.

Kerana hidup ini memang tidak adil.

Atas semua segi pun, jika diperhalusi dan diteliti.

Setiap hari dalam menjalani hidup ini, setiap kita pasti punya perkara-perkara dan halangan yang perlu kita tempuh dan kita lawan. 

I always tell people that we have different struggles in our life, that we do not look at people and put people on the same par as us. But we understand that people have different levels and people have different struggle and people go through different stages of their life. 
Your friend next to you might have the struggle of just putting on a hijab, another friend might have struggle of doing her five daily prayers. 
So I'm saying that, allow people to go through their own pace and not force people to follow your pace. And the most important thing to me, for asking people, for wanting people to become good and for yourself is always the acceptance and the mercy . ~ Wardina Saffiyah - Struggling to be a better muslimah : bermula minit ke 8:02

Ketidak adilan yang diletakkan ke atas kita dari tindakan manusia lain pertamanya pasti menimbul amarah dan di hujung amarah itu pasti ada rasa dendam. Kita hanya manusia. Bukan malaikat yang keabdiannya mutlak. Dan kita bukan Rasul yang hatinya putih bersih jernih serta penuh rahmat dan kasih.

Kita terpaksa berlawan nafsu amarah dan dendam. Dan pasti rasa itu disemarak dan diapi-apikan oleh syaitan durjana.

Dan perlawanan itu berlangsung dalam diri yang hanya kita dan Allah saja yang tahu. Soal jawab yang berjela dalam fikir  dan benak.

Memaafkan bukan semudah terucap di bibir.

Betul. Sukar amat.

Tetapi, memaafkan itu bisa menyurutkan dendam dan amarah yang menyakitkan itu.

Dan saya mendoakan agar hati saya juga punya kekuatan untuk memaafkan serta benak saya bisa melupakan.

Salam kasih buat semua yang hatinya sedang panas tika ini. Moga tenang kembali.

~cikgunormah@klcitizen~





Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Monday, January 30, 2012

entri tiada tajuk

Sudah petang baru berkesempatan mengupdate entri. Perkara biasa. Bukan luar biasa. Keutamaan adalah kehidupan hakiki di luar yang menuntut masa serta tenaga.

Hujan di luar , saat saya menaip entri ini. Bestnya!

Bagaimana Dr Harlina membahagi masa dengan tugas, karier dan peranan sebagai ibu?

Tanya salah seorang peserta pada Dr Harlina.


Masih lagi tentang kisah ceramah Dr Harlina. Soalan itu bermain di fikiran saya sejak dari pagi tadi lagi. Ah, sejak dari habis menonton ceramahnya itu , sebenarnya.

Saya punya masa yang sama 24 jam seperti anda. Tetapi, kemungkinan besarnya ialah saya telah menetapkan apa yang saya mesti lakukan dengan 24 jam saya itu.  Saya punya alasan yang sangat kukuh untuk tidak terlibat dalam kerja-kerja amal ini kerana saya sangat sibuk sebagai pakar obstetrik dan ginekologi, ibu pada 3 orang anak dan seorang isteri. 
Dan saya boleh, bila masa sahaja menyatakan bahawa, keluarga saya memerlukan saya, suami saya memerlukan saya dan saya telah menjalankan bahagian saya dalam masyarakat ini, saya seorang pakar O&G, dan sepatutnya ada orang lain yang patut mengambil alih kerja-kerja amal ini. 
Tapi, sedarlah, keluarga saya sebenarnya bukan liabiliti buat saya, tetapi mereka adalah sumber kekuatan saya.  
Saya TIDAK akan menyalahkan suami saya nanti di depan Allah, mengatakan kerana dialah saya tidak dapat berperanan. Sebenarnya kerana keluarga sayalah, saya berada di sini, berdiri di sini. 
Saya punya 3 orang anak yang cantik-cantik yang dikurniakan Allah dan saya mahu memastikan mereka nanti dilepaskan dalam masyarakat yang baik. Kerana itu saya berusaha setakat yang saya mampu cuba untuk memastikan masyarakat ini adalah masyarakat yang baik untuk  anak-anak saya . ( bermula minit 1:01:25)

Wah, kata-kata itu menusuk dalam jiwa saya. Berulang-ulang. Membuat saya terfikir dan tertanya apakah khidmat dan peranan yang signifikan yang telah saya lakukan dalam hidup saya ini, selama 45 tahun hidup dan bernafas di dunia ini.

Terasa kerdilnya diri.

Walau bagai mana pun, pendapat saya, masing-masing ada bahagian yang boleh kita sumbangkan dalam masyarakat ini, mengikut daya dan kemampuan masing-masing. Yang penting dan utama saya kira adalah roh perjuangan dan kesedaran seperti yang dipunyai oleh Dr Harlina itu perlu ada dalam setiap diri kita.

Petang Isnin ini kita doakan agar kita semua tergolong sebagai manusia eksport , bukan manusia import, seperti yang diujar oleh Dr Muhaya. Amin.

:)

*entri tiada tajuk, pening memikir tajuk

~cikgunormah@klcitizen~

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Sunday, January 29, 2012

isteri solehah ke awak ni?

Hajat hati semalam hendak membuang masa menonton video-video lama dari Youtube. 

Dok sibuk pung pang pung pang pasal dunia nak kiamat, masih ada masa lagi, kan, cikgu,  nak membuang masa menonton video. Entahlah cik minah , si setan ni, asyik dok cuit saya ni suruh merilekskan diri. 

Wah, wah, wah, kalau benda tak baik je, salahkan setan ya. Tak betul je, salahkan setan. Tak elok je, salahkan lagi setan. :D

Nasib baiklah bila membuka akaun Youtube saya, TVSunnah yang saya langgan, telah memuat naik ceramah Dr Harlina, Women in the Eyes of God semasa program The Malaysian Twins of Faith Conference, 24-25 Dis 2011 yang saya tak pergi, tetapi saya pasti ia best sungguh.




Ceramah itu sangat inspiring. 

Itu yang salah seorang sahabat saya komen, bila dia juga turut sama di'paksa' menonton . :) Dan selepas menonton, baru saya tahu bahawa Dr Harlina punya blognya sendiri, A Muslim Woman Defined.

Nasib baik.

Nasib baik apa? Nasib baik tahu Dr Harlina ada blog . hihihi. Sebab ada benda yang saya hendak kongsi di hari Ahad penuh berkat ini . 

TALIAN HAYAT BUAT ISTERI : Nota 5 - Selitkan doa setiap masa, moga Allah SWT mencampakkan hidayah-Nya ke dalam hati suami kita. Moga lebih cinta dia kepada iman, takwa dan ihsan. Moga dia terus gigih mencontohi suami teragung, Muhammad SAW. Mudah-mudahan jua, bersama kita meniti kehidupan dalam redha dan kasih sayang Allah setiap masa dan ketika! ~ Talian Hayat Buat Isteri - Nota 1 - 50 : Dr Harlina

Bab mendoakan anak , memang saya selalu tak lupa. Memang tak miss lah . Tapi... aduhai, bab mendoakan segala yang baik untuk suami ni, yang agak culas sikit. Lagi kalau hari tu mood saya tak baik. 

Saya kira ini ialah muhasabah diri peringkat tinggi hari Ahad yang penuh berkat.

Moral of the story hari ini, belated azam tahun baru entah yang ke berapa, " Saya cuba segala yang terdaya, setiap masa dan saat , mendoakan segala yang terbaik untuk suami saya, moga Allah memudahkan segala urusannya, menjadikan beliau suami soleh yang cemerlang dunia akhirat, dijauhkan beliau dari segala mara bahaya, fitnah dan mala petaka sehingga akhir hidupnya" . amin kan ya, kawan-kawan. :)

*semangat nak jadi isteri solehah*

~cikgunormah@klcitizen~


Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Tuesday, January 24, 2012

derma yang paling payah

Bila dah berada dalam keadaan macam ini barulah ila tau perasaannya macam mana. Ibarat meminta nyawa dari orang lain. Kalau setakat hilang kaki, masih lagi boleh hidup. Tapi kalau buah pinggang dah tak ada yang sudi menderma, cuma menunggu masa je lah.

Air matanya deras laju membasahi pipi. Biras yang wajahnya seiras saya yang duduk bersebelahan mendengar dan melihat,  turut sama menyapu air matanya . Sedih, memang. Tapi, sesedih mana pun yang tergaris dalam hati saya, tetap hati kering ini tidak bisa membasahkan mata saya. Risau juga saya dengan hati yang sekeping ini.

Kakak ipar yang dari luarannya kelihatan kuat itu pun, sudah merah hidungnya menahan tangis. Saya juga yang berhati kering.

Kalau ila mati ni, memang ila pasang niat sungguh nak menderma apa-apa je organ ila yang boleh diguna orang lain. Sebab ila tahu sungguh perasaan orang yang menunggu derma organ lain bagi menerus kelangsungan hidup.

Sebenarnya, apa lagi yang boleh kita kata sebagai tetamu yang menziarah?

Setakat mendoa dan menghulur sesen dua, dan berharap sungguh agar ziarah kali ini bisa memberi semangat dan kekuatan bagi dia yang masih muda ini untuk menggantung harapan agar Allah beri mudah dalam hidupnya. Memang dalam situasi yang sedemikian, doalah menjadi senjata. 

Memang sekarang ila faham sungguh bila ada orang yang sungguh terdesak seperti ila ini sanggup berbuat apa saja agar dapat sihat seperti dulu. Kalau diminta berjanji dengan syaitan pun mungkin sanggup, berubat secara syirik pun sanggup bila dah buntu fikiran. Tapi yalah... kalau tak kerana iman sedikit ini mungkin ila pun jadi gitu.

Dia diam memandang kami. Sungguh besar ujian yang sedang ditempuhnya sekarang. Dan saya tiada kata yang boleh diluah dan dilafaz.

Malam ni pun cadangnya ingat nak pergilah jumpa 'ustaz' di Kota Kemuning tu. Tapi yalah, entah ustaz betul ke idak pun tak tahu. Tapi, tadi kat TV ni tengah duduk-duduk menonton, Ustaz Hassan dalam TV ni cakap, jangan berubat sebarang-sebarang, guna perantara yang tak tentu, khuatir jadi syiriklah pulak. Terfikir ila balik, tak jadi lah nak pergi.

Betullkah hidup ini penuh dengan kebetulan? Atau semua ini adalah ketentuan Allah.

Saya yakin dan percaya, jika Allah menginginkan kebaikan dalam hidup seseorang itu, kata hatinya sentiasa dibisikkan Allah dengan kebenaran.

Doakan sama untuk Ila, moga Allah tunjukkan jalan bagi menyembuh penyakitnya dan dikurniakan kesihatan yang baik serta rezeki melimpah ruah, ya, kawan-kawan.

Maka untuk seorang hamba itu hidup memberi, suburkanlah perasaan kasih dan sayang itu di dalam diri, ia membakar keinginan agar membara untuk berbakti. Saya ada sedikit gentar dan takut, ketika menurunkan tanda tangan ke borang yang diberi. Tetapi saya lebih takut ke alam mati dengan amal yang tidak mencukupi. Saya lebih takut diseksa kerana berdosa semasa hidup, berbanding stigma terseksa kerana tubuh dibedah selepas mati. Tidak ada apa yang perlu ditakutkan kerana semua ini tidak bermakna lagi, selepas hidup berganti mati. Letakkan diri di alam mati, tahulah nilai hidup memberi ~ Saifulislam .

*derma inilah yang paling payah kan. Ah...

~cikgunormah@klcitizen~




Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Friday, January 6, 2012

ujian

Life goes on, and we forget..

Betul, kan.

Waktu melihat jenazah di depan mata, air mata deras mengalir. Hati sebak. Sedih. Kita tahu kita juga akan menyusuli nanti. Dan, melangkah ke rumah masing-masing, kita berazam untuk menjadi lebih baik dalam tindak tanduk dan amal.

Tapi, semakin masa beredar, sedih itu pun mula menghilang basahnya, dan kita pun lupa.

Dan amal masih seperti hari semalam dulu juga. Sebenarnya saya mengata diri sendiri, janganlah ada yang terasa.
The reality is we can’t choose our tests. I find it amazing that our tests are individual-specific. Allah is Most Wise and when He tests one with poverty while testing another with illness, there is actually wisdom in it. Testing the first person with illness instead of poverty wouldn’t have the same affect. ~ At the very Least, be Grateful : Andrea Umm Abdullah

Ujian atas sesiapa pun memang berbeza. Kenapa? Tidaklah perlu ditanya kenapa. Itu kuasa dan keadilan Allah yang hakiki.

Bila diuji, pastinya bagi saya ada satu perkara yang akan sering menghinggap dan melekat dalam hati.

Kebergantungan.

Berdoa jadi lebih khusyuk dan memohon sesungguhnya dari hati. Itu yang manisnya bila dikenang. Walau tidak ingin diuji sebegitu rupa, tetapi keindahan pergantungan itu yang dirindukan.

Bila tenang dan bahagia seperti ini?
Remember that Allah tests us with good and bad. In good times, be grateful and in hardship, be patient.

Bersyukur dan bersabar .

Salam  petang Jumaat kawan-kawan.

~cikgunormah@klcitizen~


Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Monday, January 2, 2012

berasa dia dekat






Mata tak boleh nak lelap semalam.

Ah.. menipu.

Sebenarnya tidur nyenyak macam biasa. Cuma sebelum tidur itu, sempat menyelak buku yang sudah lama dibeli dan sempat bergambar lagi dengan penulis buku tersebut.

yang pakai baju hijau tu saya... hahaha, nak beritau, takut tersilap  :)
Banyakkanlah mencari Tuhan dengan sepenuh jiwa, agar anda berasa Allah itu sangat hampir. Kita tidak cukup dengan hanya mengingati Tuhan di fikiran, tapi harus berasa Dia dekat dengan perasaan dan hati. Berasa Allah dekat akan mendorong kita untuk membuat permohonan dengan lebih khusyuk. ~ Rawatlah Hati, m/s 346 : Dr Robiah K. Hamzah

Bila agaknya kita berasa dekat dengan Tuhan?

Bila kita diuji. 

Diuji dengan masalah yang kita rasa seperti tiada jalan keluar dan, ..  buntu adalah kata yang tepat.

Ada yang tidak pernah diuji dengan ujian maha hebat?

Ramai yang telah, dan mungkin ada yang sedang diuji sekarang, hari ini, tika ini, saat ini tatkala membaca tulisan saya ini. 

Percayalah, setiap ujian itu ada pengakhirannya. Tiada yang kekal.

Cuma doa saya , moga yang sedang diuji itu, Allah tunjukkan jalan mengatasinya dan dikurniakan hati yang kental dan tabah serta pandangan yang jelas dan jernih.

*Dua tapak sudah kita melangkah di tahun baru 2012. :)

~cikgunormah@klcitizen~



Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Friday, December 30, 2011

siapa yang tak ada dosa?

Saya memang kagum dengan orang yang bijak bercakap di khalayak ramai dan bijak menaikkan semangat pendengar.

Kebolehan itu bukan milik semua.

Dikatakan Allahyarham Soekarno adalah seorang orator  atau pemidato hebat di zamannya. Begitu juga Hitler .

Saya kira, salah satu ciri pemimpin yang baik ialah kebolehan beliau menyampaikan misi dan visinya dengan jelas dan boleh difahami. Kekuatan untuk berkata-kata dan bertindak. Serta amanah dalam langkahnya.

Itu dua ciri bagi kita memilih pemimpin. Kuat dan amanah. Itu pun kalau kita diberi peluang dalam pemilihan kepimpinan. Itu sahaja sebenarnya menjadi dasar dalam pemilihan. 

Sebenarnya baru balik dari menghadiri taklimat tugas di sekolah bagi sesi 2012. Kerja biasa dan bukan luar biasa.

hendak menunjuk tulisan saya sebenarnya , hihihi...

Sudah beberapa minggu ini meninggalkan pen tanpa dijenguk, terasa agak kaku pula hendak menulis.  :)

Bukan hendak bercakap tentang pemimpin. Tetapi hendak menulis tentang dosa dan doa. Maklumlah , hari ini kan hari Jumaat, penghulu segala hari, yang di dalamnya ada saat dan ketika bila mana kita berdoa, akan Allah kabulkan doa tersebut.

Sedangkan permintaan si Iblis pun Allah makbulkan, inikan pula permintaan insan.

Doa ini manusia mintak kat Tuhan. Bila kita mintak kepada Allah percayalah, bila orang tu mintak betul-betul pada Allah, Allah bagi. Tak ada doa Allah tak bagilah. Ini bukan sesi, kalau nak ceramah (pasal) doa, sejam. Tak ada doa yang Allah tak bagi. 
Ajaib hidup ini dengan doa. Ajaib, ajaib. 
Tuan-tuan kalau pikir kerana doa kita tu, kalau tak entah berapa banyak lagi hidupan kita, dari satu kesusahan ke satu kesusahan yang telah kita keluar. Pada hari kita berada dalam kesusahan itu dan kita berdoa dan kita sangka macam kita tak boleh keluar. Pada hari ini kita dapati berapa banyak kesusahan telah kita rentasi dan kita pun telah melupai sebahagian besar doa yang telah kita sebut.  ~ Ustaz Asri (bermula minit 21:08)


Manusia berhubung terus dengan Tuhan. Dia mintak. Iblis mintak supaya dipanjangkan hayatnya sehingga hari kiamat, Tuhan perkenankan iblis tu. Padahal derhaka betul dia tu pun  boleh (Allah makbulkan). 
Takkan hambanya yang sembahyang , mintak,  Dia tak bagi. Tentu Dia bagi. 
Cuma, bila Allah memperkenankan sesuatu hajat, Dia memperkenankan dalam berbagai rupa. Manusia kadang-kadang dia mintak - saya selalu sebut - kadang-kadang dia mintak wang, sebenarnya dia bukan nak wang, dia nak kebahagiaan. Tapi dia sangka dengan ada wang, ada kebahagiaan. Allah kadang-kadang tak bagi wang sebanyak yang diharap, tetapi Allah bagi kebahagiaan pada dia. Tapi dia dok sangka, yang aku mintak tu tak sampai-sampai lagi. Tak... Tak, sebab sebahagian besar hayat kau telah kau kecapi nikmat itu. ~ Ustaz Asri  (bermula minit 26:00)

Mendengar kata-kata Ustaz ini sejuk hati mendengarnya. Terutama bab taubat. Alahai. Sungguh. Terasa sungguh rahmat Allah itu begitu luas dan bermakna.

Kalau ada masa, terbuka hati, dengarlah. InsyaAllah , Allah mudahkan kita untuk mendengar.

Salam petang Jumaat semua. 

*jangan sekadar lihat orang yang berkata, tapi ambil kebenaran dari katanya :) 

~cikgunormah@klcitizen~





Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Saturday, December 17, 2011

dah sah, ke neraka lah kamu

Bila ditanya bagaimana hendak menyelaraskan sunnah Rasulullah dan kehendak agama itu sendiri dengan situasi semasa yang kadang-kadang begitu sukar mengikut pengalaman masing-masing, Syeikh Hamza Yusuf  tidak menjawab soalan tersebut, tetapi membawa kisahnya sendiri, yang membuatkan saya juga terfikir.
The Prophet s.a.w. , he said, that Islam began as an alien thing and it will return to being an alien thing, so blessed to all the alienated ones and the world is an alienating place and we all going to be dead in this room within at least, you know, the maximum hundred years and there'll be a whole new group of people debating and discussing, maybe, maybe not, but you know it is very difficult .
I was on an airplane going to Quwait and I sat next to Muhammad ad Awadhi, who is the famous TV presenter there, very brilliant Quwaiti guy, the stewardess came, and she had Aisya on her name tag and I asked where she was from and she said, Senegal. 
And then Muhammad-ad-Awadhi  - she didn't had a hijab on - he said ..., "Are you able to pray on the plane?" 
And she said, "Yes." 
And then he said  " Can I ask you a question?" 
And she said "Yes"  and he said, " How do you feel about serving wine on the plane?". 
She said ,"It is really hard ... but I always use my left hand and..." 
I was so moved by that ,  that attempt , in such an incredibly circumstances, to be as true as she could to what she believe was right because  Muslims deal with  foul things with their left hand and.. a lot people are struggling out there. So May God bless you.

Jawapannya pada minit ke 2:42:41.

video ini agak panjang dan pengisiannya agak berat, 
saya menghabiskan dengar dalam 2 hari ... :)


Ah, saya sendiri terpukul. Merasakan saya lebih baik dari orang lain. Sebab saya berhijab, sebab saya solat 5 waktu dan sebab pekerjaan saya tidak terkait dengan menghidang arak dan sebagainya, maka saya lebih layak masuk syurga. Sungguh tertipu dan bodohlah saya dan mereka yang seperti saya! Bukan begitu ? 

Bukan semua orang punya pilihan dalam hidup terhadap apa yang boleh dilakukan dalam hidupnya. Banyak faktor yang mempengaruhi kerana kehidupan itu sendiri begitu kompleks. 

Hidup ini bukan sekadar putih atau hitam. Bukan ternoktah atas haram atau halal sahaja. Bukan juga kita yang punya neraca untuk menentu , ha, syurga lah kamu atau ke nerakalah tempat kamu. 

Bukan. 

Kita melihat kerana diberi peluang untuk melihat dan moga penglihatan kita itu tidak dikaburi dengan ego diri kita.

Selamat berhari Sabtu semua, moga pandangan kita jelas, sejernih hati kita.

~cikgunormah@klcitizen~
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...