Showing posts with label Puasa. Show all posts
Showing posts with label Puasa. Show all posts

Sunday, August 28, 2011

erat dan kemas





Jarang sangat berjumpa. Kehidupan harian menjadi alasan.

Blood is thicker than water .

Pertalian darah.

Kejauhan menjarakkan hubungan. Dan memang kesilapan banyak di pihak saya. Tapi, kan saya pun insan biasa.


Akak ikut mak ya.


Ok.

Yalah, takkan nak dibiar emak pergi sendiri.

Acara munjung. Masyarakat Jawa di kampung masih mengekalkan tradisi ini. Hujung Ramadan, acara ini seolah menjadi kemestian. Menziarahi rumah sudara-mara dengan satu tujuan sebelum berhari raya iaitu berkongsi makanan untuk berbuka puasa.

Biasanya makanan berat, berupa nasi berlauk atau nasi impit berlauk. Kalau tidak punya upaya untuk memasak, boleh berkongsi makanan kering yang menjadi keperluan seperti gula, susu, air minuman botol atau tin dan sebagainya.

Tok..

Pangkat Datuk kerana pertalian saudara. Matanya sudah tidak nampak separuh. Nampak uzur benar. Tapi wajahnya masih tenang seperti dulu-dulu.

Kabare? . Apa khabar?

Waras, Tok.

Dia genggam tangan saya erat. Kemas. Matanya memandang saya. Jauh ke dalam . Dengan senyuman. Puas.

Setiap tahun begitu.

Dengan setiap orang yang dijumpanya.

Seolah menelan sepenuh pandangan di hadapannya kerana sepertinya ini lah pandangan yang terakhir berjumpa sanak saudara sebelum berhijrah ke alam yang lain.

Dan saya rasa bersalah.

Kerana saya bukanlah insan yang baik.

Selamat Menyambut Aidilfitri rakan-rakan, dan maafkan segala salah silap saya.

~cikgunormah@klcitizen~







Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Friday, August 26, 2011

sayu itu di hati waktu itu




Sayu.

Kalau tambah huruf 'r' , akan menjadi sayur. *Ini bahagian merepek. :)*

Sayu berkait rapat dengan hati. Hati tersentuh atas banyak sebab. Impian yang tidak terpenuh, kata yang menghiris atau kehilangan sesuatu yang telah biasa dalam hidup.

Setelah hampir 27 hari melalui perjalanan Ramadan, ia sudah menjadi seperti kebiasaan. Rutin. Sahur, iftar dan teraweh menjadi biasa. Kebiasaan yang datang dan perginya pantas.

Hampir sudah ke hujung Ramadan. 

Sayu.

Sayu juga bertambah pagi tadi. Walau pada mulanya, ia seperti hari biasa. Kerana saya dan rakan-rakan yang telah lama di sekolah ini sudah acap kali melambai pergi beberapa orang Pengetua yang bersara dan juga yang berpindah. Kata orang sudah immune dengan perpisahan. 

Tapi, tetap perpisahan dengan sesiapa pun, hati pasti tersentuh , walau sedikit.

Majlis Sanjungan Budi, Lambaian Kasih berlangsung di sekolah. Pemilihan kata bagi tema majlis juga menggamit rasa sayu.

Tema warna pula ialah warna peach.

Buah peach memang kegemaran kalau ditabur atas puding caramel. Setahu saya buah peach dalam tin itu agak kekuningan, kan. Tapi warna peach yang melatari baju-baju kami lain, bukan kuning. 

Ah, Mungkin saya buta warna barangkali. Tak apa, tidak penting.

Sayu juga, kerana hari ini hari terakhir di sekolah sebelum bercuti untuk sambutan Aidilfitri. Sayu kah? 

Sebenarnya ia lebih kepada sayu gembira. :)

Memang pasti, di mana sahaja pasti ada acara bermaafan sebelum  menyambut Aidilfitri. Meriah kali ini di sekolah saya. Kerana bersekali dengan majlis perpisahan pengetua kami.

sayukah mereka?

mat hensem hanya memerhati

baju dari kayu yang sama

sedih yang tidak terbendung

Acara maaf tiada kemuncaknya, tetapi acara perpisahan diakhiri dengan lambaian terakhir pengetua dari kereta sport tajaan seorang ibu pelajar di sekolah. 

Untuk makluman, tuan punya kereta bukan model yang berdiri di sebelah kereta. Si dia hanya bertugas memegang bunga untuk dihadiahkan pada pengetua yang bersara.

jangan perasan ya :)

Sayu itu di hati waktu itu. 

Saya mendoakan yang terbaik untuk bekas pengetua, Pn Mek Zahrah bt Awang dalam hidupnya dunia dan akhirat nanti.  Serta dianugerahi kesihatan yang baik.

Dan juga semoga selamat sampai buat rakan-rakan semua, yang ramai kelihatan tergesa punch-out untuk balik ke kampung halaman masing-masing tengahari tadi.

Salam sayang serta Maaf zahir dan batin.

~cikgunormah@klcitizen~




Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Thursday, August 25, 2011

harapanku moga kau menyayangi ku juga


Dear Ramadhan,

Please don't disappear so soon.

I love you a whole lot more than any other month. I love praying in you, love waking up in the middle of your nights, love the family gatherings n love all the tests brought upon. Even my babies are a lot calmer in you.

Though I shopped till I already dropped, (as if I can't wait to see Syawal) I still love you immensely! Ramadhan, please stay a bit longer!

If you still have to go, please come and visit me again next year.

P/S: I hope you love me too
 tuan punyanya

Teringat-ingat tulisan tersebut. Menciplak tanpa kebenaran.

Tak pe. Nanti saya minta maaf sebelum cuti sekolah nanti. Ah, kalau tidak pun saya minta maaf di sini sahajalah. Saya pasti tuan yang menulis membaca blog saya. Tidak hari ini , mungkin esok lusa. Maafkan saya, selamat hari raya. :)

Boleh saya terjemahkan?

Wahai Ramadan,

Janganlah kau pergi terlalu cepat.

Aku sayangkan kamu, lebih dari bulan-bulan yang lain. Aku suka benar beribadat dalammu, suka betul bangun di tengah malam mu, aku suka dengan berkumpulnya keluargaku (**sewaktu iftar) dan menghargai setiap dugaan yang datang bersamamu. Malahan bayiku juga lebih tenteram dalam dakapanmu.

Walau pun, aku bershopping bagai nak rak (seolah-olah tidak sabar mengadap Syawal), masih ku sayang mu teramat dalam! Ramadan, tinggallah di sini lebih lama!

Kalau pun, kau terpaksa pergi, datanglah lagi menjengukku tahun depan.

p/s: Harapanku moga kau menyayangi ku juga.

**bahagian ini saya tambah sendiri :)

Women in love!!!


Love u too...

~cikgunormah@klcitizen~
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Thursday, August 18, 2011

asyik tekak orang lain je...


Berbuka apa semalam?

Dalam sebulan ini, itulah modal bicara. Soalan serampang dua mata sebenarnya. Bukanlah k-poci sangat nak menyibuk, tetapi lebih kepada mencari ilham menu memasak bagi berbuka puasa.

Suami tak ada kat rumah dua hari ni, out-station. Dapur tak berasap lah Normah. Dok heret anak-anak buka kat kedai mamak lah, tak pun melilau kat bazar Ramadhan.

Yalah tu. Kalau suami saya tak ada pun, malas betul nak masak kan. Lagi pun tinggal saya ngan si Harith je, dua mulut, alang-alang nak masak. KFC je la, tak pun Pizza Hut.

Memasak.

Rupanya dorongan memasak lauk pauk special ini, 80% nya adalah untuk memenuhi selera si suami. Walau pun si suami tidaklah berkira sangat bab makan ni, tetapi tetap juga si dia menjadi faktor utama memilih menu. 

Ini bagi yang punya anak yang memang berada di rumah.

Tapi, saya kira , jika anak-anak kita berada di asrama, pulangnya dia ke rumah sekali-sekala itu juga akan menjadi penyumbang faktor kesediaan kita memasak. Segala yang menjadi kegemarannya cuba kita penuhi.

Jadi, bilanya pula kita , kaum wanita ini memasak untuk selera dan tekak sendiri?

Musykil.

~cikgunormah@klcitizen~




Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Monday, August 15, 2011

Jangan nak jadi betina sial...

Awak jangan nak jadi betina sial.

Amarah yang terlampau amat. Ia melimpah, bagai empangan pecah. Tiba-tiba terasa bodoh yang teramat dalam. Memang bodoh. Menurut hati yang sedang marah seperti si buta tidak bertongkat. Teraba-raba mencari diri sendiri.

Bila amarah menguasai, barulah diri sebenar tertonjol keluar.

Rupanya inilah diri saya sebenarnya. Perasan bagus menulis agar sabar segala. Sedang kerenah budak hingusan ini sahaja tidak terbendung amarah dalam diri. Maaf rakan-rakan. Kata sendiri tidak dikota. Jadi bagaimana boleh menasihati? Tidak selayaknya.

Diuji. 

Dengan insan kerdil di depan mata ini.

Mendengar kata... , tiada dalam kamus hidupnya. Tingkahnya begitu menyakitkan hati dan mata. Jenuh mengurut dada, meminta diri sendiri bersabar. Akhirnya terhambur juga kata-kata yang tidak sewajarnya ini.

Agaknya ini caranya Allah ingin memberitahu, bahawa apa yang ditulis dan dikata perlu diperhati saksama. Bahawasanya, Normah, berhati-hati dengan tindakan kamu. Dunia ini persisnya seperti roda. Segala yang kau hamburkan , akan kembali juga ke muka kamu.

Jangan perasan kamu tu baik sangat, tau, Normah.

Tengok. Dok menasihat orang supaya sabar. Aku bagi kau berdepan dengan budak sedegil ini, dan cuba kau tengok. Macamana kau jaga mulut kau?

Pesan Ustaz, kalau inginkan penghujung kehidupan kita ini baik seperti mereka yang terpilih itu, senang sahaja. Jaga mulut.

Ah... si mulut. Sejak bila kau belajar guna perkataan itu?

*terbayang menerima buku amalan nanti, di sebelah manakah? eeee... ngeri!

~cikgunormah@klcitizen~


Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Wednesday, August 10, 2011

sayang sungguh.....

Semalam bercuti memasak. 

Makanan segera menjadi pilihan. Tidak bagus untuk kesihatan kan. Saya tahu. Ilmu itu di kepala , tetapi tetap tidak diamal. 

Ilmu tanpa amal , gila....  saya dapat dari sini, katanya ia adalah kata-kata Imam al-Ghazali.

Banyak juga ilmu lain yang ada di kepala. Contohnya, bersenam menambah baik kesihatan badan. Betul. Tetap ia di kepala. Minum air masak 8 gelas sehari. Tetap juga tidak tertelan. Masih juga meneguk nescafe dan air manis bergelas-gelas. Ilmu di kepala, tetap di situ.

Cikgu.

Saya mengangkat muka memerhati. Ruang menunggu di restoran makanan segera ini kosong dari manusia, kecuali si cashier di kaunter. Maklumlah baru pukul 430 petang. Balik dari sekolah terus menyinggah, kerana malas hendak keluar lagi bila kaki sudah menjejak dalam rumah.

Ha... lama betul tak nampak awak di sekolah. Dah berbulan. Apa citer?

Dia senyum. Ada lesung pipit. Rambutnya berekor sedikit di hujung tengkuk. Dan ada rantai silver melingkari lehernya. Hitam manis orangnya.

Awak nak ambik periksa ke tidak nanti ni?

Nak.

Habis tu, kenapa tak datang-datang ke sekolah? 

Alah, saya tak bolehlah dengan budak-budak kelas tu cikgu.

Rugi. Awak yang rugi nanti. Diorang datang. Awak pulak tak datang. Datanglah. Boleh buat revision,  tak dapat banyak awak belajar, sikit-sikit pun boleh bantu untuk periksa.

Nantilah cikgu. Saya tengok nanti.

Ilmu. 

Bukan semua yang dapat menilai pentingnya waktu ia mudah diperoleh. Disua dan dihulur, tetap tidak memberi makna. 

Sayang sekali. Saya tidak punya kemahiran menzahirkan kepentingan ilmu itu dalam hati dan mindanya. Saya tidak bisa berbahasa sebaik mungkin agar dia sedar. Pengalaman berbelas tahun tidak membantu saya meyakinkan dia untuk hadir ke sekolah. Berpuluh kursus yang saya hadir saban tahun, tidak menyediakan saya dengan hujah paling ampuh untuk mengembalikan sedarnya.

Sayang.

Sehingga kini, terbayang senyumnya.

~cikgunormah@klcitizen~


Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Tuesday, August 9, 2011

latihan tak kemas, camanalah nak lulus dik oii..

Petang Selasa. Hujan lebat. 

Suara Ustaz Kazim menemani saya. Doa orang berpuasa ini mustajab, kata Ustaz.  Hujan pula tu, rahmat melimpah ruah bagi saya. 

Tapi bagi yang sedang berniaga di bazar? Moga rezeki mereka pun melimpah dalam bentuk yang berbeza.

Berdoalah di sepanjang hari anda berpuasa. Jangan hanya membataskan doa sewaktu berbuka puasa sahaja.  

Lebihkan sedekah, kurangkan pembaziran,  kata Ustaz lagi.

Ah, baru pagi tadi menghumban maggi sup special saya dalam tong sampah. *ketuk kepala saya berkali-kali*. Teringat lebihan nasi putih dalam periuk yang saya humban juga dalam tong yang sama. Ah... makin berpuasa, makin banyak pula pembazirannya. Itu belum lagi menyinggah di bazar Ramadhan. Nasib baik tidak. Bukannya kuat sangat iman ini melihat makanan beratur . Itu teringin, ini teringin.

Tangan kanan pula terasa kebas.

Pasti kes tadi dalam kelas. Amarah yang amat. Menghentak meja yang tidak bersalah. Kesian kau meja.

Bulan tarbiyah. Masih belum lulus rupanya.

~cikgnormah@klcitizen~



Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Monday, August 8, 2011

bolehkah?

Isnin sudah berlalu. Menunggu Isnin yang lain pula. Macam beredar dalam bulatan. Sampai juga ke titik mula.

Hari ini bersemangat sekali. Entah. Tiada rahsia. Dan tidak tahu bagaimana semangat itu begitu hidup sekali. Bila hati bersemangat, langkah jadi ringan dan awan jadi lebih cerah. Bunyi kicau burung pun lebih jelas hinggap di cuping telinga.

Esok?

Wallahualam. Allah yang lebih tahu dan Maha tahu. Entah masih lagi bersisa hidup ini pun belum tentu. 

Dalam bulan Ramadhan ini sahaja, ramai yang dijemput Allah, kembali mengadapNya. Dan kita pun tahu kematian di bulan berkat ini memberi tanda yang baik bagi yang terpilih. Bagusnya kalau bisa membuat pilihan bagaimana mati itu ingin kita hadapi. Tetapi , itu hanya anganan. 

Teringat tentang kisah sahabat Nabi yang dinyatakan sebagai bakal ahli syurga. Namanya? Maaf. Saya tidak ingat dan malas hendak mencari. Sahabat yang lain menumpang tidur di rumah bakal ahli syurga itu untuk mengorek rahsia amalan beliau. Namun hampa. Tiada sebarang kelainan dalam amalan atau kelebihan si bakal penghuni syurga yang dapat diteladani dari mata zahir sahabat yang lain itu. Hampir sahaja tiada petua yang boleh dijadikan pedoman untuk dibawa pulang. Sebelum melangkah pergi, si bakal penghuni syurga ditanya kenapa kekasih Allah memberitakan pada yang lain tentang tuahnya nanti di syurga. Jawab bakal penghuni syurga itu, sebelum tidurnya, beliau telah memaafkan semua orang dan tiada sekelumit dengki pun di hatinya. 

Waduh....

Bagaimana itu? Membersihkan hati. Bukan mudah.

* dan masih lagi tertanya kenapa serta mengapa tindakan mereka ini menyusahkan hidup orang lain, dan bolehkah maaf itu tertulis dalam hati ini?

Semoga rahmat Allah bersama kita sentiasa...

~cikgunormah@klcitizen~
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Sunday, August 7, 2011

boleh tak jaga mulut sendiri...?

Cuti hujung minggu. Alhamdulillah. Sudah hampir ke hujungnya.

Dua tiga hari ini demam menonton youtube. Ceramah Ustaz Kazim Elias. Yalah, dari pada demam menonton drama bersiri, kira baiklah juga kut mendengar ceramah ugama bila dah tua-tua begini. Menambah ilmu, walau tak semestinya amal itu pun bertambah juga. Niat dan azam di hati, Ramadhan ini menjadi bulan bernafas baru.

Yang menjadi hati saya tertarik amat ialah kisah insan-insan yang mati dalam husnul khatimah. Pesan Ustaz, kalau inginkan penghujung kehidupan kita ini baik seperti mereka yang terpilih itu, senang sahaja. Jaga mulut.

Beberapa contoh yang diberi, insan-insan tersebut, di sepanjang persahabatan  bersama, tidak pernah mereka berkata yang tidak baik tentang orang lain. Mulut mereka terpelihara dari menyumpah seranah. Tiada kata haram jadah, babi, sial atau yang sewaktu dengannya keluar dari bibir. Sehingga ke lewat usia melebihi 90 tahun, masih Allah pelihara mata , telinga dan akal mereka. Syaratnya mudah, pesan Ustaz, jaga mulut.

Mudah. Tapi memang payah, kalau ia tidak dibiasakan.

Apatah lagi bila hati sedang bercahaya dengan api kemarahan. Mulut jadi ringan, pandangan mata jadi tajam menembusi orang yang diamuk. Masa itu, akal terperosok jauh menikus dan nafsu bermaharaja. 

Mendengar dan mengamal, dua dunia yang berbeza. 

Tapi moga bulan rahmat dan penuh dengan keampunan Allah ini menjadikan ia lebih mudah.

Salam malam Isnin.

~cikgunormah@klcitizen~
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Wednesday, August 3, 2011

Tujuh suku bukan tiga suku

Hari ini adalah harinya.

Saya lunjur kaki di atas kerusi di hadapan. Tuan punya kerusi sudah lama balik ke rumah. Cikgu sesi pagi. Kaki berdenyut-denyut di bahagian betis. Kalau boleh hendak terbang balik ke rumah juga, melabuhkan badan dan kepala, mencari-cari mimpi yang indah. Kalau boleh.

Dari jauh nampak pembantu makmal yang sedang berbadan dua, kelihatan segar dan berseri berjalan ke arah saya.

Apalah kena saya hari ini. Melepek. Bukan melepak. Mengalahkan budak tadika yang sedang berpuasa. Orang yang tengah berbadan dua pun lebih segar dari saya. Ketahanan mental sayalah agaknya, perlu dikalibrasi semula.

Awak puasa , Farhan?

Budak tingkatan satu, tembam badannya dan manja bukan kepalang.

Puasalah cikgu.

Semalam puasa penuh?

Penuh. Tapi, nasib baik saya tak buka semalam.

Kenapa?

Saya dah tak larat sangat cikgu. Balik sekolah, rasa macam nak minum je. Memang tak larat. Macam nak mati.

Wah, saya pun tak pernah rasa macam nak mati.

Betul cikgu. Pas tu, emak saya suruh saya tidur. Kat pukul 7 suku , baru saya bangun.

Wah, nasib baik. Kalau tak sayang je puasa satu hari dah batal.

Tula, nanti duit raya tak cukup.

Dia senyum. Aii, dah tingkatan satu pun nak kena upah puasa ke? 

Dalam hati saya je lah.

Dan hari ini, saya yang terasa seperti  'hampir nak mati'. Kalau itulah perasaan Si Farhan, barulah saya faham. :) dan .....  saya patut tidur sampai pukul 7 suku. Hehehe.

* selamat beribadat di bulan yang berkat ini rakan-rakan semua. Masih tiada kesempatan berblogwalking. Maafkan saya.

~cikgunormah@klcitizen~
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...