Rabu, 15 Julai 2026

Cencurut yang bijak

Julai 15, 2026 3 Comments

 Cerita ini berlaku pada 7 Julai 2026 yang lepas.

Semasa saya sedang masak, saya ternampak ada sesuatu bergerak dengan ekor mata. Dapur basah saya di luar rumah. Apabila menoleh, saya nampak tikus kecil.

Masa tu, saya sedang goreng ikan kembung. Saya ambil kepala ikan yang telah digoreng, mahu buat umpan dalam perangkap tikus. Ini pertama kali saya pasang perangkap tikus sendiri. Biasanya, suami saya yang buatkan.

Tak boleh jadi, ni. Sebab tikus berani keluar siang-siang hari, jadi saya pun kena beranikan diri pasang perangkap. Saya risau kalau tikus masuk rumah, lagi lah seram. No, no..

Waktu saya keluar hendak sidai tuala selepas mandi, tikus belum masuk perangkap.

Selepas zohor, saya periksa perangkap tikus, baru ada.

Cencurut masuk perangkap guna umpan kepala ikan rebus goreng
Yah! Cencurut masuk perangkap!

Saya teringat dulu-dulu, semasa rumah saya masih ada kucing, kucinglah yang tolong tangkap tikus. Pagi-pagi keluar, ada bangkai tikus atau cencurut dekat garaj, hadiah dari anak bulu. Sekarang ini, kena pasang perangkap sendiri. 

Apa perbezaan antara cencurut dan tikus?

Walaupun rupa mereka nampak hampir sama dari jauh, cencurut (shrew) dan tikus biasa (rat/mouse) adalah dua haiwan yang sangat berbeza dari segi biologi, tabiat dan pemakanan.

Berikut adalah perbezaan utama antara cencurut dan tikus biasa:

1. Rupa Fizikal

🐀 Cencurut mempunyai muncung yang panjang, tajam dan fleksibel. Matanya sangat kecil (hampir buta) dan telinga tersorok di sebalik bulu. Bulunya biasanya berwarna kelabu gelap atau kehitaman.

🐀 Tikus mempunyai muncung yang lebih bulat, mata yang besar dan bulat, serta telinga yang lebar dan tegak.

2. Jenis pemakanan (diet)

🐀 Cencurut merupakan haiwan bukan rodent (bukan jenis mengerat). Cencurut ialah haiwan insectivore (pemakan serangga). Mereka makan lipas, cacing, semut dan ulat. Mereka tidak makan sisa makanan atau kompos Bokashi anda. 

Saya risau tong bokashi yang ada sisa dapur yang diperam yang jadi punca cencurut datang ke rumah. So okay, bukan sebab tong bokashi.

🐀 Tikus merupakan haiwan rodent (pengerat). Tikus ialah haiwan omnivor yang makan apa sahaja termasuk sisa makanan, bijirin, buah-buahan, dan tulang ayam di dalam tong kompos. 

3. Bau dan tabiat

🐀 Cencurut terkenal dengan bau busuk yang sangat kuat (bau tengik) yang dikeluarkan daripada kalenjar badannya untuk menanda kawasan dan mempertahankan diri. Cencurut tidak gemar menggigit barang elektrik atau perabot kerana giginya bukan untuk mengerat.

🐀 Tikus tidak mengeluarkan bau badan yang tersendiri (kecuali bau air kencingnya). Tikus suka mengerat wayar elektrik, plastik, kayu dan kotak untuk menajamkan giginya yang sentiasa tumbuh.

4. Bunyi

🐀 Cencurut sering mengeluarkan bunyi decitan yang sangat nyaring, laju dan bising (chit-chit-chit) terutamanya apabila mereka bergerak atau bergaduh pada waktu malam.

🐀 Tikus mengeluarkan bunyi decitan yang lebih perlahan, berat atau bunyi cakaran pada siling dan dinding.

Cencurut dalam perangkap tikus
Close-up sikit cencurut dalam perangkap

Cencurut rupanya masuk perangkap. Muncung ia panjang.

Cencurut berjaya keluar perangkap

Kerja menghapuskan binatang perosak ini, saya serahkan pada suami la, siapa lagi. Biasanya, suami akan lemaskan haiwan perosak ini di dalam baldi berisi air. Suami saya masih bekerja. Jadi, tunggu petang lah, barulah dia mulakan operasi penghapusan. 

Tapi nak tahu apa jadi? Mungkin sebab cencurut ini masih kecil, ia boleh menyelinap keluar dari perangkap tikus. Hahaha... terlepas sudah!

Cubaan kali kedua

Menggunakan sangkar yang sama, suami saya pasang umpan untuk perangkap tikus yang sama. Juga cencurut berjaya keluar. Ini mengesahkan yang cencurut ini boleh mengecilkan badannya keluar melalui pintu perangkap tikus. Terer kan, menatang ini. Kita tengok badan ia gemuk dan berisi. Tapi ia boleh slide keluar menerusi lubang kecil.

Cubaan kali ketiga

Suami pasang umpan menggunakan perangkap tikus jenis sepit. Juga gagal. Umpan hilang, tapi cencurut tidak terperangkap. Terer tak, ia boleh makan umpan tanpa mengelakkan diri sendiri tersepit pada perangkap. Bijak, bijak.

Cubaan kali keempat

Suami menggunakan perangkap jenis sepit juga tambah cara baru. Kami beli perangkap tikus jenis gam yang kuat, dibeli di Daiso.

Cencurut melekat pada perangkap tikus jenis gam kuat yang dibeli di Daiso
Tadaa... berjaya menangkap cencurut yang bijak

Itu pun, sipi-sipi. Cencurut itu sudah berada di tepi perangkap gam. Makna, ia telah mengesut perlahan-lahan untuk lepaskan diri dari gam itu. Peh... kuat betul. Nasib baik juga suami saya periksa perangkap tengah-tengah malam. Kalau tunggu pagi baru nak periksa, rasanya, cencurut itu pasti terlepas lagi sekali. Hahaha... akhirnya, tewas juga.

Namun begitu, dua tiga hari kemudian, saya terdengar bunyi decitan tikus lagi di belakang rumah. Kali ini, suami pasang perangkap tikus biasa.

Mak cencurut pula masuk perangkap

Pada 13 Julai Julai 2026, cencurut lebih besar saiznya, dipercayai mak cencurut kecil yang bijak itu, berjaya masuk perangkap. 

Kali ini, sebab saiz badan yang lebih besar, cencurut tidak berjaya lepaskan diri.

Cencurut lebih besar masuk perangkap
Mak cencurut masuk perangkap.

Begitulah ceritanya. 

Haiwan perosak seperti tikus dan cencurut tidak boleh dibiarkan membiak di dalam atau di sekitar rumah kerana mereka adalah pembawa pelbagai jenis kuman, bakteria, dan virus yang boleh membawa maut kepada manusia.

Penyakit kencing tikus atau leptospirosis adalah ancaman paling besar di Malaysia kerana ia boleh menyebabkan kegagalan buah pinggang, hati dan boleh membawa maut jika lambat dirawat.

Sekian. Beginilah lumrah rumah atas tanah ini. Selain itu, saya risau kalau tidak ditangkap dan dihapuskan, boleh mengundang pemakan haiwan ini iaitu cik U yang menyusur itu datang ke rumah. Sebab pernah berlaku dulu. Rumah saya pula terletak berhampiran hutan paya bakau. Huiii... minta simpang malaikat 44... 🙈🤲

Baiklah. Jumpa lagi, ya. 💗

Selasa, 14 Julai 2026

Makan malam di Oil Palm Oil Kofe

Julai 14, 2026 8 Comments

Empat hari juga saya tak sempat update blog. Minta maaf, saya sibuk sikit. Nanti saya cuba blogwalking slow-slow bila free.

Entri kali ini, saya nak ceritakan tentang pertama kali saya pergi makan di Oil Palm Oil Kofe. Sebenarnya sudah agak lama cafe ini, cuma saya tak pernah pergi, sebab di waktu awal pembukaan cafe ini, memang sokmo ramai orang depan cafe-nya. 

Pada 6 Julai 2026 yang lepas, saya dan suami cari tempat nak makan malam. Ronda punya ronda naik kereta, akhirnya, kami ambil keputusan untuk cuba tempat ini. Jom...

Oil Palm Oil Kofe
OPO, singkatan untuk Oil Palm Oil Kofe

Kafe ini disahkan halal dan terletak di Sitiawan, Perak. Menepati nama cafe, ada beberapa pokok kelapa sawit di hadapan kafe.

Kafe ini menawarkan konsep terbuka yang unik berinspirasikan pokok kelapa sawit dengan pilihan ruang makan berhawa dingin (indoor) dan zon santai ala perkhemahan (outdoor).

Kawasan parkir agak luas di hadapan kafe.

Oil Palm Oil Kofe, Sitiawan, Perak
Saya ambil gambar ini sewaktu nak balik. 

Kami duduk di bahagian dalam, ber-aircond, sebab petang itu, waktu kami baru sampai, cuaca agak panas. 

Bila saya buat carian menu apa sedap di sini, berikut adalah info yang saya dapat.

Menu pilihan popular

Kafe ini menggabungkan citarasa tradisional Malaysia dengan gaya kafe kontemporari:

🍗 Nasi lemak chicken chop: Menu kegemaran ramai yang menggabungkan nasi lemak pandan yang wangi bersama chicken chop goreng yang besar dan rangup.

🍗 Laksa goreng: Keunikan hidangan mi laksa yang digoreng kering bersama kuah asam laksa yang pekat, masam dan pedas. (Wah, menarik ni. Lain kali, boleh cuba. Tak pernah makan laksa goreng).

🍗 Mee mamak ayam goreng: Mi goreng khas ala mamak yang tidak pedas (sesuai untuk kanak-kanak) dan dihidangkan bersama seketul ayam goreng.

🍗 Minuman dan pencuci mulut: Terkenal dengan Kopii Hari2mau (baca: hari-hari mau), hainam kopi, aneka air soda yang menyegarkan, serta gelato premium.

Ruang makan di Oil Palm Oil Kofe
Kami ambil tempat depan aircond di bahagian dalam

Ada sebuah keluarga dengan anak kecil, selain pelanggan yang duduk agak jauh dari kami di ruangan makan dalam kafe ini.

Pelanggan diberi buku menu untuk buat pilihan. Cara buat pesanan adalah melalui QR Code. Boleh bayar terus secara online atau bayar di kaunter bayaran. 

Sky juice with lemon slice (hot) dan teh o limau iced
Sky juice with lemon slice (hot) dan teh o limau iced

Bapakk lah, air minuman dia bagi tergantung dalam plastik begitu, ikat tepi, youu... Hehe.. Kalau bungkus, biasalah. Makan di kedai, ini pertama kali rupa presentation begini. 

Makanan sampai dengan pantas. Kami tak tunggu lama pun lepas air sampai. Wah... bagus.

Mee mamak Oil Palm Oil Kofe, Sitiawan, Perak
Suami saya pesan mee mamak

Besor portion dia. Sebukit. Rasa pun sedap! Seperti biasa, kami kongsi makan, jadi sama-sama dapat merasa menu berlainan.

Kuey teow goreng Oil Palm Oil Kofe
Saya pesan kuey teow goreng.

Apa yang boleh saya katakan, kuey teow goreng dia adalah yang paling sedap saya pernah rasa. Kalahlah kedai kuetiau yang saya biasa makan di Manjung Point itu. Huhu... Nice! 😋 Alhamdulillah. Walau pun saya tidak pesan air kopi, tapi tetaplah rasa macam nak cuba roti bakar. Hehe..

Toast Kaya Butter Oil Palm Oil Kofe. Sitiawan, Perak.
Toast Kaya Butter

Okay. Alhamdulillah, semua sedap. Tempat pun sejuk, ada aircond. Makanan pun rasa sedap. Minuman pun cukup rasa. Cuma ada satu kekurangan tempat ini. 

Waktu kami menjamu selera, ada lalat mengganggu kita yang sedang makan. Walaupun tidak jauh dari tempat duduk kami, ada penangkap lalat elektrik itu.

Alat penghalau lalat atas meja di Oil Palm Oil Kofe, Sitiawan, Perak.
Patutlah dia ada sediakan alat penghalau lalat ini di meja.

Sebab saya ambil gambar pegun, tak nampak la, bahagian atas alat itu, ada beberapa bilah macam kipas, yang berpusing, menghalau lalat.

Bila makanan kami habis, lalat pun tak ada. Ia pergi meja pelanggan lain pula yang ada makanan. Haha..

Harga makanan kami:

🌸 Kuey teow goreng, RM13.90

🌸 Mee mamak, RM12.90

🌸 Toast kaya butter, RM4.90

🌸 Sky juice with lemon slice (hot), RM0.90

🌸 Teh o limau iced, RM4.90

Jumlah harga: RM37.50

Untuk portion yang besar, harga agak berpatutan pada saya. Lain kali boleh cuba yang laksa goreng itu, dan cuba kopi atau gelato dia pula. 

Oil Palm Oil Kofe

Alamat: Lot 16657, Lorong Kenanga, Taman Serdang, 32000 Sitiawan, Perak.

Waktu operasi: Dibuka setiap hari dari 8.30 pagi hingga 11 malam.

Sekian perkongsian. 

Jumpa lagi, ye. 💗

Jumaat, 10 Julai 2026

Bendi, bena putih dan sarapan nasi

Julai 10, 2026 21 Comments

Cerita pada hari Isnin, 6 Julai 2026. Suami saya off kerja. Biasanya kalau dia off, kami akan pergi jalan pagi ke mana-mana. Tapi pada hari itu, suami nak berehat di rumah saja. Dia baru habis kerja pukul 12 malam hari itu.  

Saya pun berkebun saja lah di rumah. 

Biasanya sebelum siram pokok, saya akan jalan-jalan dulu, tengok kawasan dalam kebun miniku.

Kutip dua bendi tanam sendiri
Kutip dua bendi

Bendi dan khasiat

Pokok bendi yang saya tanam, semua dalam pasu. Sekali tuai, banyak itu sajalah, dua biji, tiga biji paling banyak. Kalau saya masak kari, bolehlah campak dalam kari. Biasanya, saya stir-fry saja, buat sayur campur. 

Bendi kaya dengan serat, vitamin (C dan K), dan antioksidan yang membantu melancarkan penghadaman, mengawal gula darah, dan mengurangkan keradangan. 

Bagi warga emas yang sakit lutut, pengambilan bendi dikatakan berkesan secara tradisional kerana lendirnya. Lendir ini mengandungi bahan yang boleh membantu mengurangkan keradangan sendi dan menyokong kesihatan urat saraf, walaupun ia tidak boleh menggantikan cecair pelincir. Wallahulam. 

Saya kalau makan bendi ni, sikit bolehlah, dalam tiga ketul. Banyak makan bendi, selalu mengundang cerry berry. Kome suka bendi?

Selepas jalan tengok kawasan dan siram pokok, barulah saya akan mula berkebun. Daun kuning atau bunga yang layu, kena trim buang. Ada kerusi kecil yang saya duduk sambil buat kerja ini. Ada pokok kita boleh nampak terus apa nak buat. Ada pokok lain yang perlu kita perhati dengan teliti dan selak-selak sikit daun, untuk pastikan pokok kita sihat atau tidak.

Jumpa bena putih 

Bila tengok pokok ros jepun, tiba-tiba terjumpalah makhluk yang tidak disukai ini.

Bena putih atau kutu putih atau mealybug
Bena putih atau kutu putih atau mealybug

Menatang ini memang pantang tengok pokok hijau yang sihat. Adeh...

Bena putih ini serangga perosak yang menghisap cecair (sap) daripada batang dan bawah daun pokok. Serangan yang teruk boleh menyebabkan pokok menjadi terbantut, daun berkerut atau kuning, dan akhirnya pokok boleh mati.

Biasanya, kalau ada bena putih ini, mesti ada semut pada pokok kita. 

Saya biasanya trim buang terus batang yang ada bena putih ini, takut ia terbang dan pergi pokok di pasu sebelahnya. Boleh juga sembur dengan racun organik seperti campuran cuka kayu, minyak neem atau sabun pencuci pinggan. 

Saya tidak berkebun lama pun pada hari itu. Suami keluar rumah, ajak pergi sarapan di luar. Hehe.. 

Sarapan apa

Nak tahu tak... semua kedai makan kami pergi tutup. Isnin = Hari-kedai-makan-seluruh-dunia-tutup-kot. 

Restoran Kak Za tutup, Nasi Ulam Lumut pun tutup, Restoran Selero Kito Teluk Muroh tutup, nak cuba tempat baru, Cili Village, pun tutup juga! 😅 

Last-last, kami pergi makan dekat PAKAR (Pasar Komuniti dan Karavan Manjung). Nak makan apa, yek.. sini ada banyak kedai-kedai kecil yang menjual macam-macam jenis makanan dari roti canai ke puri, nasi dagang, nasi kerabu, nasi berlauk, menu goreng-goreng, sarapan ala western, dan banyak lagilah. 

Saya lalu depan kedai nasi berlauk dan tengok ada masak lemak pucuk ubi. Wah, lama tak makan. 

Nasi lauk masak lemak pucuk ubi, ikan kembung pedas dan sambal belacan
Nasi lauk masak lemak pucuk ubi, ikan kembung pedas dan sambal belacan.

Sedap! Alhamdulillah. Saya tak pernah masak sendiri lauk masak lemak sayur di rumah. Kalau masak lemak ayam tu, biasalah. Itu yang kalau jumpa, mesti ambil punya. 

Suami saya beli di kedai nasi berlauk lain, yang banyak menu Kelantan punya.

Nasi lauk paru, ikan tongkol gulai kuning, acar timun dan sambal
Nasi lauk paru, ikan tongkol gulai kuning, acar timun dan sambal.

Telan air liur saya waktu taip entri ini. Hehe..

Lepas makan nasi, suami pergi beli pisang dan ubi goreng pula.

Pisang dan ubi goreng cicah sambal kicap
Cili kicap tertumpah dalam pinggan

Memang sedap, pisang dan ubi goreng cicah sambal kicap. Beli dua ringgit jer.

Alhamdulillah. Dapat makan sedap-sedap. Hari ini kome makan apa?

Jumpa lagi, ye. 💗

Hari ni hari Jumaat. Esok boleh berjimba-jimba. Hehe...

Khamis, 9 Julai 2026

Lepas jalan, makan dan makan lagi

Julai 09, 2026 25 Comments

Cerita pada hari Rabu, 1 Julai 2026 yang lepas. Akhirnya, masuk entri cerita bulan Julai. 😊 Tarikh Islam, 15 Muharram 1448 H.

Bulan di langit jam 6.30 pagi
Bulan di langit jam 6.30 pagi.

Suami ajak pergi jalan pagi di padang. Marilah kita. Masa mula berjalan, saya lupa nak tekan butang 'Start' pada jam. Sudah berjalan melebihi separuh padang baru teringat. Adeh... faktor usia. Cuaca yang cerah dan baik.

Aktiviti berjalan pagi di padang menggunakan jam Garmin Instinct.
Aktiviti berjalan pagi di padang.

Jarak yang direkodkan cuma 3.9 kilometer. Tapi jarak berjalan pagi itu, rasanya lebih. Jalan pagi selama 51 minit. Jalan lenggang kangkung itik pulang petang.

Selepas aktiviti jalan pagi, kami balik rumah sekejap untuk sidai kain yang telah siap dibasuh dan siram pokok. 

Selepas settle kerja apa patut, kami keluar semula pergi sarapan.

Makan di Restoran Selero Kito di Teluk Muroh.

Nasi kerabu lauk daging
Saya makan nasi kerabu.

Ambil lauk daging. Lembut bebenor daging bakor. Kalau makan di kedai ini, memang confirm gendut, sebab portion besor. Tapi, saya sudah minta nasi kerabu separuh je. Ater.. camana nak kurus ni. 

Lupa ambil gambar nasi kerabu suami. Dia ambil lauk ikan aye (ikan tongkol).

Harga sarapan kami pada pagi itu adalah RM18.

Alhamdulillah. Udahlah sedap, harga pula berpatutan. Tak boleh makan sini hari-hari. Bahaya, seminggu sekali boleh. Hehe..

Selepas makan nasi kerabu, kami pergi pick-up kopi Zus dan beli kuih sikit.

Tak sedar diri, kan. Udah melantak nasi, beli kuih pula.

Saya cadang kita pergi Esplanade Lumut, supaya boleh juga jalan-jalan bagi nasi turun. Suami okay je. 

Kami duduk mengadap laut sambil makan kuih dan menikmati kopi.

Anak siapa ni, ngendeng kuih.

Bagi dia kulit karipap. Dia makan sikit saja. Bukan nak makan, tapi nak manja. Kucing-kucing di Esplanade ni, pagi-pagi depa kenyang, sebab ada makcik regular jalan sini sambil bagi kucing jalanan makan. 

Ajak budak bulu tu selfie together, tapi dia tidur pula
Ajak budak bulu tu selfie together, tapi dia tidur pula.

Tepuk-tepuk sikit belakang budak bulu tu, terus dia tidur. 

Sekian cerita pada hari tersebut. 

Jumpa lagi, ya. 💗

Rabu, 8 Julai 2026

Segmen Pencarian Bloglist Roziah Muhammad Nor #4 (Julai - Disember 2026)

Julai 08, 2026 19 Comments

 Assalamualaikum, semua...

Saya ingin turut serta dalam segmen pencarian bloglist blog Cie. 

Segmen Pencarian Bloglist Roziah Muhammad Nor #4 (Julai - Disember 2026)
Segmen Pencarian Bloglist Roziah Muhammad Nor #4 (Julai - Disember 2026)

Walaupun saya pernah join segmen Cie sebelum ini, tapi saja jer, nak memeriahkan segmen kawan-kawan. Terpilih atau tidak, tolak ke tepi dulu. 

Segmen ini berlangsung 6 hari saja, jadi siapa yang nak join, silalah cepat-cepat. 😊

Kalau kita rajin check sumber trafik kita, kita boleh tahu pembaca datang ke blog kita dari mana. Melalui Google Search Console contohnya, jika anda hendak check, boleh klik ke menu Links di menu sebelah kiri, dan di bawah Top linking site, kita boleh tengok sumber trafik blog kita. Bagi blog saya yang sendu ini dan masih kurang diindeks di google, saya banyak bergantung pada bloglist teman-teman blogger. 

Top linking sites blog saya di Google Seach Console
Top linking sites blog saya di Google Seach Console

Blog Cie adalah antara penyumbang trafik tinggi kepada blog picisan saya ini. Jadi, saya amat berterima kasih kepada beliau.

Jadi, kepada kawan-kawan yang ingin turut serta memeriahkan segmen ini, bolehlah klik banner segmen di atas, ya. Semoga silaturrahim antara semua bloggers berkekalan, dan kita sama-sama memeriahkan segmen anjuran kawan-kawan.

Baik. Jumpa lagi, ya. 💗

Selasa, 7 Julai 2026

Sarapan di Roti Bakar Arang Fadzil House

Julai 07, 2026 43 Comments

 Bersambung cerita hari yang sama, selepas kami pergi jalan pagi di Taman Tasik Taiping, waktu itu, sudah jam 10 pagi. Perut minta diisi. Saya buat carian tempat makan sedap dekat lokasi kami. Restoran berikut termasuk dalam senarai hasil carian. Ini pertama kali kami cuba makan sini.

Roti Bakar Arang Fadzil House ialah kedai sarapan pagi yang popular dan tular di Taiping. Kalau anda google kedai ini, ada artis dan pempengaruh buat video makan di kedai ini. Juga, kedai ini pernah dipaparkan dalam Jalan-Jalan Cari Makan dan disyorkan dalam artikel pelancongan makanan oleh media utama seperti Astro Awani sebagai salah satu "port breakfast wajib singgah" jika berada di Perak.

Waktu saya dan suami sampai, agak ramai orang. Tapi, sebab tempatnya luas, banyak tempat duduk. Kami datang hari bekerja, jadi, okaylah. Tempat ini sangat sibuk pada hujung minggu. Datang awal digalakkan sebelum menu popular habis. Tudiaa...

Roti Bakar Arang Fadzil House
Gambar ini diambil waktu sudah nak balik, dari kereta. 

Segan nak ambil gambar dekat-dekat. Sebab ada orang makan di luar tu, waktu kami tiba.

Menu Pilihan Utama

🍞 Roti Bakar: Roti bakar telur goyang special (roti bakar arang dengan telur separuh masak), roti kahwin (kaya dan mentega), serta roti kukus yang lembut.

🍞 Makanan Berat: Nasi lemak ayam rendang, nasi lemak ayam goreng, mee kari sambal sotong, lontong, dan soto ayam.

🍞 Sampingan dan minuman: Cucur udang rangup bersama kuah kacang, dipadankan dengan teh tarik atau kopi panas.

Jom tengok kami pesan apa...

Nasi lemak paru
Suami pesan nasi lemak paru

Nasi lemak dia sedap. Sambal cukup rasa. Lauk paru pula lembut. 😋

Roti bakar telur goyang
Suami pesan roti bakar telur goyang juga.

Oh, ada kacang panggang juga dalam set ini. Keunikan di sini, roti dibakar guna arang. Rangup waktu kita makan. Nyum nyum...

Roti bakar
Saya pesan roti bakar

Roti bakar biasa, bahagian dalam disapu mentega. Kami kongsi-kongsi makan semua hidangan. Alhamdulillah, sedap. Kami berdua pesan air suam saja. Sebab nanti rancangnya, dalam perjalanan balik Lumut, kita pick-up kopi Zus la.

Dalam kedai, ada papan hitam memaparkan menu tambahan
Dalam kedai, ada papan hitam memaparkan menu tambahan bersama harga.

Menu tambahan yang ada:

Cucur udang RM7

Lontong RM7.50

Roti jala RM7

Tauhu kuah kacang RM5 (Alamak, saya tak nampak ni! Sudah makan baru perasan. Lain kali datang, mahu pesan ini la)

Soto ayam/daging RM8

Mantou sambal/kaya RM7

Mee rebus daging RM8

Mee/kuetiau/bihun goreng daging RM8

Nasi lemak ayam pandan RM10

Nasi lemak sotong kering RM7.50

Nasi lemak daging rendang RM7.50

Saja, saya rajin hari ini, tolong taip apa tertulis di papan hitam dalam gambar di atas, untuk rujukan.

Lepas makan, kami pun beransur pulang. Jumlah harga sarapan kami ialah RM16. Wah, sangat berpatutan harga. Syukur. Alhamdulillah. Sedap semua. Boleh ulang datang lain kali.

Roti Bakar Arang Fadzil House

Alamat: Bangunan IKS MP, 1, Jalan Perusahaan 2, Kampung Sungai Tupai, 34000 Taiping, Perak.

Masa operasi: Sabtu hingga Khamis, dari 7 pagi hingga 12 tengahari. Tutup setiap Jumaat.

Sekian laporan. Jumpa lagi, ya. 💗

Isnin, 6 Julai 2026

Raintree Walk Taiping

Julai 06, 2026 36 Comments

 Cerita pada 30 Jun 2026 yang lepas. Saya dan suami ke Taiping lagi. Sebelum ini, kami ada pergi Taiping juga, tapi pergi untuk makan nasi kandar semata-mata, lepas tu balik. Hehe.. Sebenarnya, nak berjalan-jalan pagi. Mula-mula ingat nak ke Taman UTP di Tronoh, tapi rasanya by the time sampai sana, mesti sudah panas cuaca. Nak kata dekat, tak berapa dekat. Tapi berlainan daerah dengan tempat tinggal saya. 

Jadi, lokasi mana yang kalau kita sampai agak lewat pun, tapi tak panas? Taiping la, yang terlintas di fikiran, sebab sana banyak pokok besar. Ajom!

Hari Selasa. Suami saya off kerja. Ramai juga orang beriadah di Taman Tasik Taiping. Cuaca baik. Tidaklah panas sangat, masa kami baru sampai. 

Walaupun ramai orang beriadah, tapi ada ruang parking yang banyak untuk orang ramai. 

Sampai di Taman Tasik Taiping
Yay, sampai juga kami ke Taman Tasik Taiping.

Ini kali kedua la, kami sampai sini. Maksud saya, jalan-jalan di Lake Garden Taiping ini. Dari pemerhatian kami semasa jalan-jalan, rasanya malam sebelumnya, mesti hujan lebat. Sebab ada tempat yang dinaiki air dan lecah. Laluan orang berjalan melalui kawasan berumput pun ada banjir sikit. Boleh dilalui, tapi nanti kasut basah pula.

Raintree di Jalan Pekeliling, Taman Tasik Taiping
Saya suka pokok besar 😍

Raintree Walk

Raintree Walk ialah satu laluan pejalan kaki sepanjang 650 meter yang terletak di pesisiran Taman Tasik Taiping, Perak. Laluan ikonik di Jalan Pekeliling ini terkenal dengan keindahan barisan pokok hujan (rain trees) berusia lebih 100 tahun yang dahan-dahannya melentur unik ke arah permukaan tasik.

Dekat sini, orang ramai boleh berjogging dan berjalan santai. Laluan ini mesra pejalan kaki dan bebas daripada kenderaan bermotor, menjadikannya sangat selamat untuk aktiviti kecergasan.

Selain itu, kita boleh juga sewa basikal biasa atau basikal keluarga untuk mengelilingi kawasan tasik.

Saya suka sebab pihak berkuasa di sini ada ambil langkah inisiatif menyokong pokok besar ini, dengan letak batang besi penyokong di bawah pokok. 

Ini berbeza dengan di kawasan saya tinggal, pihak berkuasa tempatan (PBT) menebang habis semua pokok di tepi-tepi jalan. Kawasan yang selama ini redup dan ada pokok besar, sekarang sudah panas. Sudahlah kawasan tempat tinggal saya berdekatan dengan laut. Lagilah panas dan bahang terasa sebab pokok besar semua sudah ditebang. 

Tapi pandang dari sudut positif, mungkin pihak PBT mahu elak kejadian pokok tumbang atau dahan pokok jatuh dan kena orang ramai, mungkin. Wallahualam...

Raintree Walk, Taman Tasik Taiping
Ambil gambar sini pula

Cantik pemandangan di sini. Saya suka. 

Pemandangan di Taman Tasik Taiping
Cantik dan tenang 🥰

Pantulan pokok dalam air tasik. Boleh piknik dan santai, sebab ada kawasan rumput hijau dan bangku taman untuk berehat menikmati udara segar. 

Semasa berjalan, ada kalanya boleh dengar bunyi harimau mengaum sebab taman ini terletak bersebelahan dengan Zoo Taiping dan Night Safari.

Burung bangau
Burung bangau

Saya lalu dekat sangat dengan burung bangau ini. Sebelah saja. Saya tunggu melepasi burung ini jauh sikit, baru saya berani ambil gambar burung. Takut kita ambil gambar dekat dia, dia patuk kang.. eh, burung ini patuk orang ke? Hehe..

Bunga dari pokok peluru meriam atau cannonball tree
Jumpa bunga cantik

Bunga ini dari Pokok Peluru Meriam atau Pokok Buah Kanon (Cannonball Tree). Bunganya punya bau wangi. Pokok ini dinamakan sempena buahnya yang besar, bulat dan keras seperti peluru meriam yang boleh mencecah berat sehingga 11 kg. Pokok ini sering ditanam sebagai pokok hiasan di taman-taman awam seperti Taman Tasik Taiping, Taman Tasik Cyberjaya dan Taman Botani Pulau Pinang. Info dari Google Lens.

Buah dari Cannonball Tree atau Pokok Peluru Meriam
Itu buahnya, bulat macam peluru meriam.

Hehe.. seronok dapat tengok pokok yang jarang dijumpai di tempat saya.

Sambil jalan santai, saya berhenti ambil gambar pemandangan yang menarik untuk kenangan dikongsikan di blog.

Pantulan pada tasik yang tenang di Taman Tasik Taiping
Pantulan pada tasik yang tenang.

Baru nak ikut laluan berumput, tapi kami terpaksa patah balik, sebab ada laluan pejalan kaki dinaiki air. Jadi, kami kembali semula ke kawasan pokok hujan.

Suami saya jalan laju tinggalkan saya
Laju betul pakcik tu jalan

Saya pula ambil masa, tengok pemandangan bukit berdekatan, iaitu Bukit Larut. Bilalah nak naik Bukit Larut ni. Kome pernah naik Bukit Larut tak? Saya pernah terbaca, di puncak Bukit Larut, ada taman bunga yang cantik dan banglo kolonial lama. Nantilah, satu hari. 

Taman Botani Perak
Melencong ke Taman Botani Perak

Dekat tempat saya berdiri di atas, ada orang buang roti sudah expired, saya rasa untuk bagi kera makan. Tidak lama lepas saya ambil gambar di atas, ada pekerja Taman Botani yang menyapu kesemua roti. 

Sebenarnya, kita tidak boleh biasakan beri makan pada haiwan liar ini. Tapi orang memang cukup suka campak makanan untuk haiwan-haiwan.

Kami masuk pintu yang salah untuk ke Taman Botani. 

Laluan ke pencawang TNB, di Taman Botani Taiping
Laluan menghala ke pencawang TNB

Patutlah laluan seperti tidak terjaga, penuh daun-daun. Rupanya, tak ada apa pun di atas, cuma ada pencawang. Kami turun semula dan baru jumpa pintu masuk yang betul ke Taman Botani. Ada pok guard. Kena beli tiket masuk. Oh, ada bayaran. Sebab ada bayaran, kami tak jadilah masuk. Lain kali, ye. Kali ini, kami jalan di tempat percuma saja. Hehe.. kami berjalan semula memasuki laluan taman tasik.

Pokok beringin
Pokok Beringin

Ini adalah Pokok Beringin atau Banyan tree. Pokok ini boleh hidup beratus-ratus tahun juga. Info dari Google Lens. Nak tahu apa saya fikir waktu melintas depan pokok ini?

Saya panggil pokok ini, pokok hantu. Sebab pokok inilah yang ada  pada muka depan buku Bercakap dengan Jin oleh Tamar Jalis. Nanti kejap, saya cari dalam almari buku kat rumah ni sekejap.

Mana ke dianya... alamak.. sat, sat... haaa.... jumpa...

Bercakap dengan Jin. Cetakan kedua. September 1984
Haa... buku klasik ni. Cetakan tahun 1984

Kan, sama tu, pokoknya macam pokok beringin tu, kan. Huhu... orang tua dulu-dulu cakap, jangan main kat pokok ni. Nanti kena sembunyi dengan hantu ko**k. 🙈

Eh, apedaaa.... dah lari topik ni. Kembali kepada cerita berjalan di Taman Tasik Taiping.

Berjalan selama 1 jam 37 minit.

Dapat jarak 5.26 kilometer. Lawa daun berguguran atas jalan berhampiran Taman Botani Perak. Bentuk heart. Itu yang saya ambil gambar.

Berjalan di Taman Tasik Taiping
Peta aktiviti berjalan kami

Alhamdulillah. Seronok dapat berjalan tengok pokok-pokok besar dan pemandangan yang cantik. Kalau anda belum pernah sampai sini, silalah datang, rasai sendiri. Tiada bayaran masuk dikenakan. (Bukan macam Teluk Batik tu, nak masuk pun kena bayar 😝). 

Tandas awam ada, laluan berbasikal, kawasan permainan kanak-kanak, tempat letak kereta percuma. Bagus ada tempat riadah macam ni. 

Baiklah. Sekian cerita kami jalan pagi di Taman Tasik Taiping.

Jumpa lagi, ya. 💗

Ahad, 5 Julai 2026

Om nom nom

Julai 05, 2026 46 Comments

 Masa untuk entri memuatkan gambar makanan saja. Berikut adalah koleksi gambar makanan yang saya sempat ambil baru-baru ini. Campur-campur, ada yang saya masak di rumah, ada juga yang saya makan di luar. Jom tengok... 😊

Nasi goreng masak di rumah
26 Jun 2026

Bersamaan dengan 10 Muharram. Hari Asyura. Tapi saya tak puasa. Adeh.. teruk betul, kan. Pada hari itu, saya masak nasi goreng.

Tapi saya boleh pula IF, makan pukul 11 pagi. Dasar hantu betul.

First meal of the day
First meal of the day
Saya ambil nasi goreng sikit, bersama sup petola suhun yang saya masak hari sebelumnya dan saya panaskan. Tak cukup telur dalam sup, ada buat telur separuh masak, juga saya pecahkan dalam pinggan yang sama.
Nasi berlauk daging kerutuk
Makan malam hari yang sama

Ini, makan luar, di Restoran Mek Kelate. Saya makan nasi berlauk daging kerutuk. Sedap juga. Daging lembut. Sambal lada je sedikit pedas. Berpeluh-peluh makan dalam kedai.
Lepas makan malam nasi berlauk, suami ajak cari durian.

Durian black thorn
Durian black thorn

Akhirnya, lepas keinginan untuk makan durian. Kami makan dua tiga ulas di tempat jual durian itu. Lepas tu baki durian, minta dia letak dalam bekas dan bawa balik, makan di rumah. Campur-campur, beli durian black thorn dan musang king. Dekat sini, durian black thorn harga RM20 sekilo dan musang king pula RM15 sekilo. Alhamdulillah. Isi durian yang kuning, memang sedap betul.

Nasi goreng ikan rebus, beli di pasar pagi Bota Kanan
27 Jun 2026

Beli nasi goreng ikan rebus di Pasar Pagi Bota Kanan. Ini beli dari orang yang masak dalam kuali besar tu. Nasi goreng saja ada dua jenis, satu seperti yang saya beli di atas, satu lagi warna merah sikit nasi gorengnya. Selain itu, ada juga mee, bihun dan kuetiau goreng kuali besar. 
Nasi goreng ikan rebus yang saya beli, sedap rasanya. Ada diberi sambal belacan sekali. Kenyang sampai ke petang. 

Apam Perak atau apam Kuale
Ini apam Perak

Beli di pasar Bota juga. Apam Perak atau juga dikenali sebagai apam Kuala Kangsar, mempunyai tekstur gebu, manis berlemak, dan dihidangkan bersama kelapa parut kukus.

Putu Perak
Putu Perak

Putu Perak ni, ada dua jenis. Yang saya beli di atas, dalamnya inti gula merah. Satu jenis lagi, inti kelapa manis. Cara masak, macam putu piring juga, iaitu dikukus. Satu ketul, harga 50 sen.

Bihun goreng masak di rumah
28 Jun 2026

Saya masak bihun goreng. Masak sebungkus, dan habis. Sulaiman balik, lepas selesai orientasi. Mula-mula dia tak pasti nak balik atau tidak minggu itu. Tapi dia kata, roommates dia semua balik, dia pun balik ler. Juga, Hafizan pun balik. Saya bekalkan bihun goreng untuk anak-anak bawa balik makan di poli. Seronok sebab bila masak, semua habis, tak ada makanan disimpan bila anak-anak ada. Baru berbaloi mama masuk dapur. 
Bila tinggal berdua dengan bapa budak, kita pun jadi malas masak. Itu yang keluar one pot meal itu. Makan itu saja, tak masak nasi pun. 

Nasi lauk ikan keli dan sayur acar
Sarapan pukul 10 pagi, 2 Julai

Sarapan dengan suami di Restoran Nasi Ulam Lumut Ala Thai. Saya ambil ikan keli masak berlada dan sayur acar. 
Lepas makan sarapan, pergi mengopi pula, di tempat biasa.

Mengopi di 989 Kopi Lumut
Mengopi lepas sarapan

Mana lagi, kalau tak 989 Kopi Lumut. Suami minum latte panas, saya americano panas. Dua-dua kopi tanpa gula. Ambil brownie sepotong dan scones. Sedap! Menikmati kopi panas sambil termenung. Kita tengok dia, dia tengok handphone. Tengok laut. Tengok pokok. Tengok playground yang tiada seorang pun. Ye la, pergi hari orang bekerja.
Okay. Sekian rangkuman gambar makanan yang saya sempat ambil minggu ini. Alhamdulillah, rezeki dariNya, dapat makan sedap-sedap. 😋
Salam hujung minggu untuk semua pembaca sekalian.
Jumpa lagi, ya. 💗