Apricon Farmas Health: bakteria Apricon Farmas Health

Followers

Showing posts with label bakteria. Show all posts
Showing posts with label bakteria. Show all posts

Tuesday, June 26, 2012

Ketumbuhan Fibriod

Apakah Ketumbuhan Fibroid?


Ketumbuhan fibroid ialah sejenis ketumbuhan yang berlaku pada dinding rahim, khususnya pada lapisan otot. Sebenarnya, rahim mempunyai tiga lapisan. Lapisan paling luar ialah lapisan yang nipis yang dinamakan serosa. Bahagian tengahnya ialah lapisan otot atau myometrium yang boleh mengembang dan membesar ketika seseorang wanita sedang hamil. Ketika kandungan dalam peringkat pelahiran sebelum bersalin, otot ini akan menguncup untuk mengeluarkan bayi dan setelah bersalin, otot ini akan kuncup dan pulih seperti sediakala.

Walau bagaimanapun, ketumbuhan boleh berlaku pada lapisan otot ini, iaitu ketumbuhan yang mengandungi tisu-tisu otot bercampur dengan tisu berserat atau tisu penyambung. Lapisan paling dalam ialah lapisan endometrium. Lapisan ini sering berubah-ubah mengikut pusingan haid. Apabila seseorang wanita tidak hamil, maka sebahagian daripada lapisan endometrium akan luruh dan ia akan keluar bersama-sama dengan darah haid.

Darah haid adalah campuran antara darah dengan tisu-tisu dan sel-sel dari lapisan endometrium, lendir serta kuman-kuman bakteria dan lain-lain. Biasanya, campuran ini dinamakan “darah kotor”. Sebenarnya, darah tidak akan menjadi 'kotor' sebelum ia keluar dan bercampur dengan bahan-bahan yang saya nyatakan tadi.

fibriod

Mengapa Tumbuh Fibroid?

Ramai orang tertanya-tanya mengapa seseorang wanita ditumbuhi fibroid pada lapisan dinding rahim. Sebenarnya, punca bagi penyakit ini tidaklah diketahui, dan mengapa ia tumbuh pada sesetengah orang sedangkan yang lainnya tidak. Ada satu kajian yang menunjukkan bahawa lebih kurang 25 peratus daripada wanita sebelum meninggal dunia akan menghidapi penyakit fibroid pada rahimnya tetapi tidak semua mengunjungi dan mendapat rawatan daripada doktor kerana kebanyakan fibroid ini tidak menimbulkan sebarang tanda atau menggangu kesihatan.

Ada yang mengatakan, bahawa ketumbuhan fibroid ini sering berlaku di kalangan wanita yang tidak berkahwin atau lambat berkahwin dan juga yang berkahwin tetapi sukar untuk mengandung dan beranak. Saya juga sering menjumpai fibroid di kalangan wanita yang mengalami masalah ketidaksuburan atau kemandulan. Di samping ketumbuhan fibroid, mereka juga menghidap penyakit endometriosis, iaitu sejenis penyakit di mana darah kotor melimpah ke belakang rahim menyebabkan berbagai-bagai masalah pada saluran peranakan, kilang telur dan persekitaran rahim.

Mana yang timbul dahulu, fibroid ataupun masalah ketidaksuburan tidaklah diketahui. Bagaimanapun, apa yang nyata masalah ketidaksuburan sering berkait rapat dengan ketumbuhan fibroid. Walaupun demikian, wanita yang pernah beranak juga tidak terlindung daripada penyakit fibroid. Seringkali kita lihat di kalangan wanita yang menjangkau ke umur tiga puluhan atau empat puluhan dan setelah anak mereka besar walaupun mereka telah melahirkan mungkin empat atau lima orang anak selepas itu, mereka mendapati sukar untuk beranak lagi dan beberapa tahun kemudian mereka mengalami berbagai-bagai masalah serta gangguan haid, dan apabila diperiksa didapati mereka mengalami ketumbuhan fibroid.

fibroid08

Fibroid Akibat Ketidakseimbangan Hormon

Ada orang mengatakan, bahawa ketumbuhan fibroid ini adalah akibat daripada ketidakseimbangan dalam hormon wanita. Perlu diberitahu di sini, bahawa wanita mempunyai dua jenis hormon, iaitu estrogen dan progesteron. Biasanya, estrogen meningkat naik sejurus selepas haid dan paras progesteron pula meningkat selepas telur dikeluarkan, iaitu dua minggu selepas keluar haid sehingga tempoh haid akan datang. Oleh itu, keadaan yang tidak seimbang, khususnya jika terlalu banyak estrogen dan tidak mencukupi progesteron dalam badan seseorang, boleh menimbulkan berbagai-bagai masalah seperti pendarahan yang tidak tentu masa, ketumbuhan fibroid pada rahim serta keadaan ketidaksuburan atau kemandulan.

Sukar untuk kita ketahui, mengapa kandungan estrogen dan progesteron menjadi tidak seimbang kerana segala-galanya adalah dikawal oleh hormon yang dikeluarkan oleh kilang pituitari yang terletak di dalam otak. Fungsi kilang pituitari ini mudah dipengaruhi oleh keadaan mental, emosi dan rohaniah seseorang. Jika ada gangguan pada tahap tersebut, maka rangkaian hormon yang mengawal pusingan dan mengawal paras estrogen dan progesteron boleh terganggu. Desakan dan tekanan hidup yang sering dialami oleh kebanyakan wanita yang bekerja juga akan mengganggu kawalan dan fungsi rangkaian hormon yang mengawal pusingan haid seseorang. Oleh itu, keadaan seperti ketidaksuburan dan penyakit ketumbuhan pada rahim serta endometriosis sering berlaku di kalangan wanita moden yang bekerja. Tidak ada bukti-bukti yang menunjukkan, bahawa ketumbuhan fibroid ini dipengaruhi oleh unsur-unsur lain seperti makanan, keracunan ataupun jangkitan kuman.

 Apakah Gejala-gejala Fibroid?

Fibroid mungkin tidak menimbulkan sebarang masalah. Ia hanya tumbuh secara senyap tanpa menimbulkan gejala atau tanda, dan tidak menimbulkan masalah kesihatan pada wanita. Oleh itu, seseorang wanita tidak boleh terus hidup dengan fibroid tanpa menyedarinya, khususnya jika wanita itu tidak pernah berjumpa doktor untuk mendapat pemeriksaan. Oleh kerana tidak semua fibroid menimbulkan masalah, jika ia kecil dan tidak menimbulkan sebarang tanda atau gejala, kadang-kala ia tidak memerlukan rawatan langsung. Perlu saya tekankan di sini, bahawa wanita yang hampir putus haid dan mempunyai ketumbuhan fibroid yang kecil saiznya dan tidak menimbulkan apa-apa tanda, ia tidak perlu dibedah kerana biasanya fibroid yang kecil akan mencerut dengan sendiri ketika seseorang wanita itu putus haid. Seperti yang saya nyatakan di atas, ketumbuhan fibroid adalah dipengaruhi oleh estrogen.  Ketika seseorang wanita itu putus haid paras estrogen akan jatuh ke tahap yang  sangat rendah dan dengan sendirinya rahim akan menguncup dan ketumbuhan fibroid juga akan mencerut.

Gangguan Haid

Saya telah nyatakan di atas, bahawa tanda yang paling biasa bagi ketumbuhan fibroid ialah gangguan haid dan di antara gangguan-gangguan yang boleh menjejaskan kesihatan ialah pendarahan yang banyak dan berpanjangan. Keadaan ini boleh menyebabkan kehilangan darah yang begitu banyak dan menyebabkan seseorang wanita itu mengalami kekurangan darah (anemia). Keadaan ini boleh membahayakan kesihatannya.

Bagi wanita yang mengalami pendarahan yang banyak dan berketul-ketul pula, eloklah mereka diperiksa dan jika didapati menghidap penyakit fibroid, rawatannya ialah pembedahan. Walau bagaimanapun, gangguan haid jenis ini ialah sakit ketika haid (senggugut) dan juga haid yang tidak teratur dan hanya menitis sedikit-sedikit sahaja, dan tidak tentu waktunya. Setiap wanita, khususnya mereka yang berumur empat puluhan yang mengalami masalah gangguan haid, mestilah mendapatkan pemeriksaan dan rawatan dari doktor, khususnya doktor pakar sakit puan.

 Masalah Ketidaksuburan Atau Kemandulan

Fibroid boleh juga menimbulkan masalah ketidaksuburan atau kemandulan di kalangan wanita. Oleh itu, wanita yang lambat berkahwin ataupun setelah beberapa tahun kahwin dan tidak mendapat anak, perlulah mendapatkan pemeriksaan daripada doktor pakar untuk mengesan sama ada dia mengalami masalah ketumbuhan dalam rahim. Tidak semestinya semua wanita yang mengalami ketumbuhan fibroid tidak boleh mengandung kerana ramai juga wanita yang mempunyai fibroid dan masih boleh mengandung.

Tetapi, di antara masalah-masalah yang boleh timbul akibat ketumbuhan fibroid terhadap kehamilan ialah ketumbuhan itu jika besar boleh menyebabkan keguguran ataupun kelahiran sebelum cukup bulan dan kadang-kala menimbulkan masalah kedudukan bayi yang tidak betul seperti songsang, melintang atau sebagainya.  Adakalanya ia menyekat kelahiran bayi kerana ketumbuhan itu terlalu besar dan tidak membolehkan kepala bayi turun ke rongga punggung. Wanita yang mengandung dengan fibroid kadangkala mengalami kesakitan kerana fibroid ini menjadi tegang dan tertekan. Di samping itu, ia mengalami proses perubahan yang dinamakan degenerasi. Inilah yang menyebabkan kesakitan bagi wanita yang mengandung dengan fibroid pada rahim.

 Fibroid Boleh Menekan Pundi-Pundi Air Kencing

Pundi-pundi air kencing terletak sebelah-menyebelah rahim, iaitu pundi-pundi air kencing terletak di hadapan rahim. Oleh itu, jika ada sesuatu ketumbuhan, maka pundi-pundi air kencing akan tertekan. Ketika seseorang wanita hamil, pundi-pundi air kencing juga tertekan menyebabkan berlakunya jangkitan kuman.
Akibatnya seseorang wanita itu sering mengalami masalah kencing seperti kerap-kali hendak kencing, tidak boleh menahan kencing dan kadangkala  wanita juga tidak boleh mengawal perkencingan apabila dia batuk dan atau bersin disebabkan tekanan ketumbuhan fibroid ke atas pundi-pundi air kencing. Wanita dalam umur empat puluhan yang mengalami masalah perkencingan eloklah juga diperiksa peranakannya. Kemungkinan ini disebabkan oleh ketumbuhan fibroid.

Fibroid Dan Kekenduran Rahim (Prolaps)

Fibroid kadangkala menyebabkan prolaps atau kekenduran pada rahim. Bagi wanita yang telah putus haid dan mengalami kekenduran rahim selepas berulang-ulang melahirkan anak, khususnya mereka yang sukar untuk melahirkan anak, perlu dibantu dengan alat seperti forseps atau vakum. Keadaan ini akan menjadi lebih buruk jika ada ketumbuhan fibroid. Dalam hal demikian, rawatan sewajarnya ialah pembedahan.

 Apakah Fibroid Perlu Dirawat?

Seperti yang saya nyatakan, tidak semua kes fibroid perlu dirawat jika ia tidak menimbulkan sebarang masalah atau gejala, dan jika ketumbuhan itu kecil sahaja. Bagi wanita yang menghampiri umur putus haid (biasanya 50 tahun), fibroid itu akan mencerut dengan sendirinya akibat daripada kehabisan hormon estrogen. Bagi mereka ini, pembedahan atau rawatan untuk fibroid tidak diperlukan.

Setakat ini tidak ada rawatan yang menggunakan ubat yang boleh mencerutkan ketumbuhan fibroid tetapi ada kemungkinan ubat-ubatan tradisional seperti akar kayu atau daun-daun yang kemungkinan mempunyai kesan, khusus terhadap rahim yang boleh mencerutkan ketumbuhan fibroid. Bidang ini masih lagi terbuka luas dan usaha yang boleh mendapatkan ramuan untuk mencerutkan ketumbuhan fibroid, saya percaya kemungkinan akan menjadi satu penemuan yang luar biasa.

 Fibroid Dirawat Secara Pembedahan

Rawatan yang khusus bagi fibroid, khususnya yang besar serta menimbulkan masalah seperti gangguan haid, kekurangan darah (anemia), ketidaksuburan, menimbulkan gejala seperti gangguan perkencingan ataupun menyebabkan rahim turun ke bawah (prolaps) ialah pembedahan. Beberapa perkara penting perlu diambi kira sebelum seseorang doktor memilih tentang jenis dan kaedah pembedahan. Perkara yang penting ialah sama ada wanita itu mahu melahirkan anak lagi atau tidak, dan kedua, sama ada dia juga mengalami kekenduran rahim (prolaps) atau tidak.

Bagi wanita yang masih muda dan masih mahu melahirkan anak dan mereka yang mengalami masalah kesuburan, pembedahan biasanya dilakukan melalui perut di mana ketumbuhan fibroid sahaja yang perlu dibuang. Pembedahan ini dinamakan myomektomi. Myoma ialah nama bagi ketumbuhan fibroid. Oleh itu, pembedahan tersebut dinamakan myomektomi. Kadang-kala seesorang wanita itu boleh ditumbuhi beberapa fibroid. Saya pernah membuang lebih 20 ketulan myoma yang saiznya seperti guli kecil sehingga sebesar bola tennis.

Pembedahan untuk membuang ketumbuhan fibroid atau myomektomi, kadang-kala menimbulkan masalah jangka-panjang di mana fibroid mungkin tumbuh semula dan menimbulkan gejala kesihatan yang akhirnya mungkin memerlukan satu lagi pembedahan di mana rahim dan ketumbuhan tersebut perlu dibuang sekaligus.

 Pembedahan Untuk Membuang Rahim (Hysterektomi)

Pembedahan yang mutlak bagi wanita yang menghidap tumbuhan fibroid, khususnya mereka yang tidak bercadang untuk melahirkan anak lagi kerana mungkin mereka telah mempunyai bilangan anak yang cukup ataupun telah menjangkau umur lebih daripada 40 tahun dan ketumbuhan ini menimbulkan berbagai-bagai masalah kesihatan, ialah pembedahan hysterektomi. Pembedahan ini dianggap sebagai satu pembedahan besar dan biasanya seseorang itu perlu tinggal di hospital selama seminggu. Pembedahan ini memerlukan lebih kurang sebulan setengah untuk pulih kepada keadaan sediakala.

Ramai juga wanita yang tidak begitu gemar menjalani pembedahan hyisterektomi kerana ini akan menyebabkan dia kehilangan rahim, iaitu lambang kewanitaan mereka. Tanpa rahim, haid tidak lagi keluar. Sebenarnya, seseorang wanita yang menghidap penyakit dalam rahim dan tidak mahu melahirkan anak, dia tidak lagi perlu memikirkan, bahawa rahim tersebut sebagai lambang kewanitaannya dan untuk mengekalkan kejelitaannya. Rahim hanyalah berfungsi untuk menaungi dan melindungi janin dalam kandungan. Rahim bukan satu organ yang melambangkan kejelitaan wanita dan  ia juga tidak penting bagi menentukan hubunga seksual yang memuaskan. Sebenarnya haid bukan satu lambang kewanitaan, tetapi haid itu sebenarnya merupakan tanda bahawa seseorang itu tidak mengandung. Jika seseorang wanita itu mengandung maka haidnya akan berhenti.

Kejelitaan Dipengaruhi oleh Hormon

Kejelitaan dan fungsi seksual lebih dipengaruhi oleh hormon estrogen yang dikeluarkan oleh kilang ovari. Biasanya, dalam pembedahan hysterektomi, kedua-dua kilang ovari akan dikekalkan walaupun wanita itu telah melebihi umur 40 tahun kerana kilang  ini penting bagi mengekalkan kejelitaan, sifat-sifat kewanitaan dan juga melindungi kesihatan wanita tersebut. Hubungan seksual antara suami isteri selepas hysterektomi biasanya tidak akan terjejas, malahan akan menjadi lebih baik kerana tidak diancam dengan pendarahan yang tidak teratur serta berpanjangan. Wanita itu akan menghadapi hidup yang lebih selesa tanpa haid yang luar biasa mengganggunya, dan dia boleh menumpukan lebih masa untuk beramal ibadah tanpa ada sekatan untuk bersembahyang atau berpuasa kerana haid tidak akan datang lagi dan hubungan seksual boleh dilakukan pada bila-bila  masa. Keadaan kesihatan akan menjadi lebih baik kerana kehilangan darah tidak akan  berlaku lagi. Pada keseluruhannya, wanita itu akan menjadi lebih sihat dan sejahtera selepas pembedahan hysterektomi.

Ketumbuhan fibroid yang wujud bersama dengan prolaps atau kekenduran rahim, biasanya dirawat dengan pembedahan melalui saluran faraj. Ini bermakna tidak ada parut akan wujud di bahagian kulit perutnya, sebaliknya kesemua pembedahan akan dilakukan menerusi saluran faraj. Di samping itu, kekenduran pada saluran faraj dapat diperbaiki dengan memperkukuhkan otot-otot yang menyokong lantai punggung dan saluran peranakan. Kaedah pembedahan ini dinamakan vaginal hysterectomy dan repair. Wanita akan menjadi lebih selesa dalam hubungan seksual mereka selepas pembedahan ini kerana jika ada kelonggaran berlaku pada saluran faraj, kesemuanya akan dapat diatasi dengan pembedahan untuk membetulkan saluran. Di samping itu, otot-otot di sekeliling rahim akan menjadi lebih kukuh lagi.

 Sumber : http://pmr.penerangan.gov.my/index.php/penafian/604-ketumbuhan-fibroid.html

Thursday, December 8, 2011

KENCING KOTOR..( U.T.I )

 

Saluran kencing merupakan sistem penapisan badan kita untuk membuang segala sisa cecair. Air kencing bergerak dari buah pinggang melalui tiub kecil yang dikenali sebagai ureter ke pundi kencing, di mana air kencing itu disimpan. Air kencing akan keluar dari badan kita melalui saluran uretra.
Jangkitan saluran kencing (UTI) merupakan keradangan saluran kencing. 80% daripada kes-kes ini adalah disebabkan oleh kuman bakteria Escherichia coli (E.Coli)
Bakteria ini boleh menyebabkan:
  • Jangkitan bahagian bawah saluran kencing atau jangkitan pada pundi kencing yang dikenali sebagai sistitis.
  • Jangkitan yang lebih serius ialah di bahagian atas saluran air kencing atau jangkitan pada buah pinggang yang dipanggil pielonefritis.
  • Keradangan uretra atau uretritis.
Kaum wanita adalah lebih mudah mendapat UTI kerana saluran uretra mereka lebih pendek dari lelaki, menjadikan bakteria lebih mudah merebak naik ke sistem saluran kencing. UTI jarang berlaku di kalangan kaum lelaki.
Tanda dan Gejala
  • Kerap terasa hendak membuang air kecil tetapi gagal untuk mengeluarkan air kencing yang banyak.
  • Terasa sakit dan pedih ketika membuang air kecil.
  • Air kencing mengandungi darah, berkabut atau berbau busuk.
  • Terasa tidak selesa di bahagian bawah abdomen.
  • Terasa sakit ketika melakukan hubungan seks.
  • Demam dan seram sejuk.
Komplikasi
Jika jangkitan ini tidak dirawat di peringkat awalnya, ia boleh membawa kepada penyakit pielonefritis, apabila bakteria merebak naik ke buah pinggang.
Penyebab dan faktor-faktor penyumbang
  • Penyebab UTI yang paling lazim di kalangan wanita adalah disebabkan oleh tabiat mengelap dari belakang ke depan selepas membuang air besar. Perbuatan yang demikian akan menggalakan bakteria dari dudur atau faraj memasuki uretra.
  • Hubungan seks juga merupakan faktor yang boleh menyumbang kepada UTI, kerana kawasan kemaluan wanita disentuh dengan tangan atau zakar yang kotor.
  • Menggunakan kontraseptif pembunuh sperma atau spemasid.
  • Memasukkan tampon tanpa membasuh tangan terlebih dahulu.
Pengurusan sendiri
  • Mendapatkan nasihat anggota kesihatan jika anda mensyaki dijangkiti UTI.
  • Doktor perlu memeriksa kanak-kanak yang menghidap UTI.
  • Jika anda terasa gejala-gejalanya berlaku, minumlah lebih banyak air supaya anda dapat menyingkir keluar bakteria dari pundi kencing melalui pembuangan air kencing yang kerap.
  • Elak dari mengambil alkohol, kafein, makanan berempah yang boleh mengganggu pundi kencing.
  • Ambillah ubat antibiotik seperti yang telah dinasihatkan oleh doktor. Jika gejala masih berterusan selepas 2-3 hari, berjumpa doktor semula. (anda perlu menghabiskan antibiotik yang diberikan itu).
  • Larutkan 1 sudu teh baking soda ke dalam air dan minum setiap 6 jam sekali untuk menawarkan asid dalam air kencing serta mengurangkan gangguan pada pundi kencing.
Apakah yang boleh doktor lakukan untuk anda?
  • Ambil sampel air kencing dan menjalankan ujian bakteria (Catatan: Jangan mengambil sebarang antibiotik sebelum berjumpa doktor. Jika anda berbuat demikian ia akan menyukarkan diagnosis).
  • Mengecualikan anda dari penyakit-penyakit lain yang mempunyai gejala yang sama seperti diabetes, batu karang, penyakit kelamin dan lain-lain.
  • Memberi antibiotik tertentu.
  • Memeriksa sebab-sebab lain terutamanya bagi pesakit lelaki.
Pencegahan
  • Meminum lebih banyak cecair; sekurang-kurangnya lebih 10 gelas, sehingga air kencing menjadi jernih.
  • Kepada mereka yang mudah mendapati UTI berulangkali, makanlah secawan dadih setiap hari. Dadih mengandungi lactobacillus acidophilus yang dapat membentuk persekitaran berasid dan mencegah pembiakan bakteria yang tidak diperlukan.
  • Buang air kecil jika terasa untuk berbuat demikian. Menahan air kencing dalam pundi kencing mengalakkan pembiakan bakteria.
  • Wanita perlu mengamalkan kebersihan diri yang baik dengan mengelap dari depan ke belakang selepas ke tandas, untuk mengurangkan bakteria merebak dari kawasan dubur ke uretra.
  • Elak dari melakukan aktiviti-aktiviti fisikal terlalu lama yang boleh memburukkan UTI, contohnya berbasikal, menunggang kuda, menunggang motosikal dan mengembara.
  • Memakai pakaian dalam yang diperbuat dari kapas dan pakaian hendakalah longgar. Elakkan pakaian yang ketat dan stokin nilon kerana ia menyerap haba dan kelembapan.
  • Elakkan dari mandian berbuih, sabun wangi, pencuci wanita, deodoran, tampon dan napkin.
  • Buang air kecil sebelum dan selepas melakukan hubungan seks.
  • Mandi dengan air pancuran bukan dari dalam kolam mandi.
  • Tukar tuala wanita dan tampon dengan lebih kerap.
Maka waspada selalu..bakteria atau kuman berada dimana-mana jika ada kesan kepada kesihatan segeralah bertindak

sumber :http://ubatsihat.blogspot.com/2007/07/kencing-kotor-uti.html