Showing posts with label Tajdid. Show all posts
Showing posts with label Tajdid. Show all posts

Friday, March 28, 2008

Daurah Ilmiyyah ( Ditangguhkan)


Daurah Ilmiyyah


Tarikh:

14 April – 18 Mei 2008 selama 36 hari

(Ditangguhkan Sehingga diberitahu)


Tempat:

Putra Bukit Air Resort, Perlis


Terhad kepada :

50 orang peserta


Anjuran:

JABATAN MUFTI PERLIS DARUS SUNNAH


*Penginapan dan makanan disediakan oleh pihak penganjur.


Apa yang anda dapat dari Program Ini !!!

- Kitab untuk setiap bab telah di susun khas oleh para Masyeikh untuk memudahkan pembelajaran i.e. 8 kitab .

- Perbincangan ilmu Islam secara menyeluruh dalam semua aspek dan bidang

- Menghafaz al-Quran paling kurang 3 juzuk atau menghafaznya dalam tempoh daurah berjalan.

- Pembelajaran dalam Bahasa Melayu dan Arab bergantung kepada Tenaga Pengajar

- Semuanya adalah PERCUMA !!!!

Syarat penyertaan

1- Berumur tidak kurang dari 19 tahun

2- Peserta terdiri daripada lelaki sahaja

3- Bermanhaj salafus soleh

4- Memahami dan boleh menguasai bahasa arab

5- Mampu mengikuti subjek-subjek yang akan diajar

6- Terlibat di dalam medan dakwah atau berpotensi sebagai pendakwah

7- Boleh menyertai daurah dari mula sehingga selesai iaitu selama 36 hari

8-Terbuka kepada Rakyat Malaysia dan Penduduk Tetap Malaysia

Mata pelajaran yang akan diajar sepanjang daurah

1- Aqidah

2- Al-Firaq wal Adyan

3- Fiqh al-Ibadat

4- Fiqh al-Muamalat

5- Hadis

6- Sirah

7- Usul al-Tafsir

8- Usul al-Dakwah

Jadual pembelajaran

Setiap hari kecuali Jumaat

Pagi - Tengah hari

Muhadharah 1

8.00 – 8.50 pagi

Muhadharah 2

9.00 – 9.50 pagi

Rehat

10.00 – 10.30 pagi

Muhadharah 3

10.30 – 11.20 pagi

Muhadharah 4

11.30 – 12.20 tengah hari

Petang – Malam

Muhadharah 5 dan 6

Selepas solat asar sehingga maghrib

Muhadharah 7

Selepas solat maghrib sehingga Isyak

Pembahagian subjek dan tenaga pengajar


No

Mata pelajaran

Tenaga pengajar

Tarikh

Bil. Hari

1

Aqidah

Dr. Johari Mat

(KIAS)

14-17 April

4 hari

2

Al-Firaq wal Adyan

Ustaz Abdul Rashid Idris

(Institut al-Qayyim)

19-21 April

3 hari

3

Fiqh al-Ibadat

Ustaz Fadhlan Othman

Ustaz Arif Nazri

(UKM)

22-28 April

6 hari

4

Fiqh al-Muamalat

Dr. Azwira Abdul Aziz

(UKM)

Dr. Juanda Jaya

29 April-5 Mei

6 hari

5

Al-Hadis

Dr. Mohd Asri Zainul Abidin

(Mufti Perlis/USM)

6-10 Mei

4 hari

6

Al-Sirah

Ustaz Fathul Bari

11-13 Mei

3 hari

7

Usul al-Tafsir

Dr. Najib Abdullah

(KIAS)

14-17 Mei

3 hari

8

Usul al-Dakwah

Dr. Abdullah Yasin

(IPTIP)

18 Mei

1 hari

*Jadual ini tertakluk kepada sebarang pindaan oleh pihak pengurusan daurah.

*Tarikh Tutup Penyertaan 10 April 2008.

Untuk Penyertaan sila hubungi :

Ketua Penyelidik Jabatan Mufti Perlis : 019-2582874 / Asri: 013-4835119

Dowload Borang Pendaftaran Daurah di Sini



Saturday, January 26, 2008

Tazkirah: 'Perlukah saya buat kenduri arwah?'

Azamin Amin


Fri | Jan 25, 08 | 2:51:32 pm MYT

"Perlukah saya sediakan makanan dan buat kenduri arwah kepada orang kampung sedangkan keluarga saya tengah sedih sangat sebab baru sahaja kehilangan ayah tersayang?" tanya seorang remaja kepada saya yang baru kehilangan ayahnya yang tercinta kerana sakit kronik.

Terkedu dan pernah juga terfikir dalam benak hati, namun kerana kenaifan saya di bidang agama saya diamkan sahaja sehinggalah muncul kembali soalan yang terbit daripada anak muda belasan tahun ini yang datang daripada keluarga yang susah.

Lantaran itu, walaupun sedikit kesibukan dengan tugasan, saya meluangkan masa mencari jawapan yang mungkin atau mengundang pelbagai pandangan dan polemik serta emosi kurang senang banyak pihak.

Namun atas landasan mencari ilmu termasuk mahu berkongsi bersama, saya kutip beberapa pendapat yang boleh dijadikan panduan kepada semua khususnya kepada anak muda yang bertanya itu sehingga saya membiarkan dia termanggu tanpa sebarang jawapan sebelum ini.(segala kesilapan dan kelemahan mohon tunjuk dan maafkan)

Amalan membebankan keluarga si mati

Dalam laman blog dikenali sebagai Institut Al-Imam Syafie (Intis) seorang Pensyarah Jabatan Tilawah al-Quran Pusat Bahasa Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) Abdullah Bukhari Abdul Rahim menulis amalan kenduri arwah ini sudah pasti menyusahkan keluarga si mati yang masih lagi bersedih dengan kehilangan orang tersayang.

Katanya Rasulullah s.a.w ketika mendengar berita kematian Jaafar ibn Abi Talib, baginda bersabda: "Persiapkan makanan untuk keluarga Ja'far, kerana sesungguhnya mereka telah didatangi dengan apa yang menyibukkan mereka (kesusahan)." - Hadith riwayat al-Tirmidhi & Abu Dawud.

Keluarga si mati yang baru ditimpa musibah(al-Baqarah:155-157) perlu disokong dan dibantu.

Amalan di sesetengah tempat ini adalah salah, kerana katanya kesedihan keluarga si mati akan ditambah lagi dengan kesedihan lain seperti bebanan kewangan kerana perlu membayar upah orang membaca al-Quran, sembahyang jenazah dan kenduri arwah.

"Budaya mengadakan kenduri arwah bersempena kematian pada malam pertama, malam Jumaat, malam ketujuh, malam ke-40 dan malam ke-100 juga tidak mempunyai asas sama sekali dalam Islam," katanya yang dipetik dari laman web tersebut

Amalan itu membawa kepada pembaziran jika membabitkan penggunaan harta si mati tanpa jalan yang betul dan membabitkan penganiayaan harta anak yatim malah Majlis Fatwa Mesir pada 1947 memutuskan bahawa amalan berkenaan perlu dihentikan.

Ulama mazhab Syafie melarang kenduri arwah

Rujukan katanya boleh dibuat terhadap Kenyataan bekas Mufti Mesir Syeikh Hasanain Makhluf di dalam akhbar al-Ahram bertarikh 27 Julai 1947 dan Fatwa ini kemudian disahkan oleh Majlis Fatwa Mesir dan dikeluarkan dengan rasminya pada 14 Ogos 1947, bilangan 377.

Katanya lagi Ulama mazhab Syafie melarang budaya ini sebagaimana dipetik daripada buku Feqah Mazhab Syafie, al-Fiqh al-Manhaji.

Antara petikan kitab tersebut yang berbunyi:"Daripada bidaah apa dibuat keluarga si mati ialah dengan mengumpulkan orang ramai kepada makanan dengan upacara dinamakan berlalunya 40 hari dan seumpamanya."

"Sekiranya perbelanjaan makanan itu daripada harta peninggalan (si mati) dan di kalangan waris ada yang belum baligh, maka itu adalah dari perkara lebih haram.

"Ini kerana ia memakan harta benda anak yatim dan melenyapkannya bukan untuk kepentingan anak yatim itu. Terbabit juga dalam melakukan perbuatan haram ini setiap yang memanggil dan memakannya." ( rujukanjil 1/ ms 263, Damsyik: Dar al-Qalam).

Dalam pada itu pada Jun 2005 blog tersebut turut memetik ruangan Tazkirah di bawah tajuk 'Amalan Jahiliyyah Disangka Ajaran Agama' oleh Tuan Guru Dato' Nik Abdul Aziz Nik Mat yang merujuk kepada pengarang kitab at-Tazkirah iaitu Al-Qurtubi berhubung isu kenduri arwah.

"Dengan jelas mengatakan bahawa diantara amalan jahiliyyah ialah mengadakan suatu himpunan beramai-ramai diperkuburan, di masjid atau di rumah dengan berzikir dan juga lain-lain bacaan, serta mengadakan jamuan makan minum dengan tujuan untuk orang mati, disebut orang sebagai kenduri Arwah.

"Dengan jelas perbuatan itu tiada Nas yang menjadi rujukannya dan tiada petunjuk sunnah yang menjadi ikutan, " kata Nik Aziz.

Kenyataan pahit dan mengejutkan

Kenyataan ini kata Nik Aziz mungkin agak keras dan pahit serta boleh jadi suatu penjelasan yang mengejutkan terutama terhadap mereka yang mengamalkan perkara tersebut secara ikut-ikutan dan membuta tuli tanpa mengkaji dari sudut ilmiyah.

"Tetapi inilah hakikat Islam yang mesti diakui oleh penganutnya yang sedia kembali kepada al-Quran dan Sunnah," katanya

"Tidak dapat dinafikan bahawa amalan tersebut telah berakar umbi di dalam masyarakat melayu, sehingga sebahagian dari mereka menganggap bahawa amalan tersebut adalah merupakan amalan agama yang mesti dilakukan setiap kali berlaku kematian," katanya lagi

Kata Nik Aziz lagi sungguhpun Nabi terlalu sayang terhadap umatnya terutama terhadap para sahabatnya yang sentiasa membantu Nabi di dalam suasana damai dan perang namun Nabi tidak pernah melakukan majlis zikir atau tahlil untuk sahabat-sahabatnya r.a yang mati.

"Orang yang paling sayang terhadap Nabi s.a.w. adalah para sahabatnya yang sentiasa berada di sisi Nabi siang dan malam, namun pernahkah terdapat para sahabat berhimpun dan berzikir dan bertahlil untuk Nabi s.a.w.?" katanya membangkitkan persoalan. Soalnya lagi jika perkara itu tidak dilakukan oleh Nabi dan juga para sahabat maka dari manakah punca amalan itu diambil.

"Apa yang paling mendukacitakan, mereka menganggap amalan tersebut sebahagian dari amalan Islam, padahal Rasulullah sa.w. tidak pernah menunjukkan contoh seperti itu dalam sunnahnya," katanya.

Bagi umat Islam marilah berlapang dada dalam menghadpi persoalan agama dengan menghayati petikan ayat daripada surah An-Nisaa' 4:59 :"Hai orang-orang yang beriman, taatilah Allah dan taatilah RasulNya dan ulil amri di antara kamu. Kemudian jika kamu berlainan pendapat tentang sesuatu, maka kembalikanlah ia kepada Allah (Al Qur'an) dan Rasul (sunnahnya), jika kamu benar-benar beriman kepada Allah dan hari kemudian. Yang demikian itu lebih utama (bagimu) dan lebih baik akibatnya." - mks.

HarakahDaily.Net

Tuesday, January 22, 2008

Angkara dusta dan fitnah, keharmonian akan musnah

Angkara dusta dan fitnah, keharmonian akan musnah

Oleh:

Abd al-Razzaq A. Muthalib

Fitnah dan dusta merupakan dua elemen yang menjadi racun perosak dalam kehidupan bermasyarakat. Oleh itu, Islam yang senantiasa menyeru ke arah keharmonian dan keamanan, telah menetapkan dua perkara ini sebagai larangan yang tidak boleh dilakukan. Sekiranya dua unsur perosak ini dibiarkan berlegar di dalam masyarakat, apatah lagi jika dijadikan amalan dan suatu kemestian, maka nantikanlah kehancuran dan kepincangan.

Fitnah ialah mengatakan sesuatu atau menyebarkan sesuatu fakta yang tidak benar dan tidak disukai tentang pihak lain. Secara umumnya, fitnah dan berdusta ini, jika dilihat dari satu sudut merupakan dua sifat yang mempunyai persamaan; iaitu menyatakan sesuatu yang tidak benar. Di dalam hadis daripada Abu Hurairah r.a, Rasulullah saw ditanya tentang al-ghibah (mengumpat). Maka Rasulullah saw menjawab: ((Mengumpat itu ialah kamu menyebut tentang saudaramu sesuatu yang tidak disukainya)). Sahabat bertanya: “Bagaimana jika perkara itu adalah sesuatu yang benar tentang saudaraku?”. Rasulullah saw menjawab: ((Jika perkara tersebut (yang tidak disukai) ada pada saudaramu, maka kamu telah mengumpatnya, dan jika perkara tersebut tidak ada pada saudaramu, maka kamu telah memfitnahnya (melakukan dusta ke atasnya)). (Hadis hasan sahih, riwayat al-Tirmizi).

Syaikh Muhammad ibn Soleh al-‘Uthaimin di dalam Syarh Riyadh al-Salihin telah membahagikan dusta ini kepada dua bahagian:

Pertama: Dusta terhadap Allah dan RasulNya. Inilah jenayah yang paling besar dan suatu kezaliman. Firman Allah swt (bermaksud): ((Oleh itu, siapakah yang lebih zalim daripada orang yang berdusta terhadap Allah untuk menyesatkan manusia dengan tidak berdasarkan ilmu pengetahuan? Sesungguhnya Allah tidak memberi petunjuk kepada kaum yang zalim)) (al-An’am:144).

Dusta terhadap Allah dan Rasul ini berlaku dalam dua keadaan iaitu:

(1) Menyandarkan kepada Allah atau kepada Rasulullah saw sesuatu yang BUKAN daripada firmanNya atau pun sabda Baginda saw. -Pencipta hadis palsu termasuk dalam golongan ini-.

(2) Menafsirkan sesuatu ayat al-Quran atau hadis Nabi dengan tafsiran yang SALAH lagi menyimpang daripada apa yang dikehendaki oleh Allah dan RasulNya.

Sebagai contoh, suatu pihak yang menggunakan firman Allah di dalam surah Quraish, ayat 4 (bermaksud): ((Yang memberi makan kepada mereka daripada kelaparan, dan yang mengamankan mereka daripada ketakutan)) dengan mendakwa merekalah yang menjamin rezeki dan keamanan orang ramai. Maka dakwaan ini dengan menggunakan ayat tersebut ternyata salah. Ini kerana ayat tersebut perlu dibaca bersama ayat sebelumnya (bermaksud): ((Maka sembahlah Tuhan rumah ini (Kaabah). (Iaitu Tuhan) yang memberi makan kepada mereka daripada kelaparan, dan yang mengamankan mereka daripada ketakutan)).

Malang sekali, perkara sebegini pernah berlaku. Sehinggakan ada pihak –demi kepentingan sendiri- menjadikan ayat ini sebagai salah satu modal dalam kempen mereka.

Rasulullah s.a.w. memberikan suatu peringatan dan ancaman yang berat terhadap sesiapa yang melakukan pendustaan ke atasnya dengan sabda yang bermaksud: ((Sesiapa yang melakukan dusta keatasku siapkanlah tempat duduknya di dalam api neraka)). (Muttafaqun’alaihi). Cukuplah amaran Allah dan Rasul-Nya ini sebagai peringatan kepada kita.

Waspadalah dalam berbicara, apatah lagi lagi jika ia membabitkan hal agama. Suasana hari ini mempamerkan kepada kita bahawa sesetengah umat Islam yang tidak memahami secara jelas tentang sesuatu hal yang berkaitan dengan Islam, tetapi berminat untuk mengambil bahagian dalam mengulas dan menyampaikan pendapat mereka. Natijahnya, maka muncullah pendapat-pendapat pelik yang lari jauh dari landasan yang sebenar.

(Pengasas Kumpulan Ahbasy yang menghidupkan budaya Mengkafir tokoh-tokoh Islam dan menghidupkan ajaran Sufi yang sesat .)

Bahkan sebahagian daripada kalam-kalam mereka itu jika diamati boleh menjejaskan kesahihan akidah mereka. Contohnya seperti fitnah yang dilemparkan oleh puak Ahbash yang mengkafirkan ramai para ulamak seperti Ibn Taimiyah, Ibn Qayyim, Dr.Yusof al-Qaradawi, Dr. Ramadhan al-Buti, Syed Qutb, Syaikh Mutawali Sha’rawi dan lain-lain lagi. Jika di Malaysia pula, pengikut Ahbash ini telah mengkafirkan SS Mufti Perlis sekarang. Oleh itu, api fitnah yang dinyalakan oleh pengasas Ahbash iaitu Abdullah al-Harari di Lubnan, kemudian ditiup pula oleh pengikut-pengikutnya di Malaysia ini, perlu dipadamkan segera. Jika tidak ianya akan merebak membakar keamanan dan memusnahkan keharmonian umat Islam, khususnya di Malaysia yang tercinta ini.

Ramai juga yang menjadikan hadis-hadis Nabi s.a.w. sebagai hujah untuk membenarkan kata mereka. Perkara ini jika dilihat secara kasar adalah amat baik, malahan sangat dituntut. Tetapi, malangnya mereka mengambil sikap cuai dan lewa dalam menyampaikan hadis-hadis tersebut dengan tidak mempastikan terlebih dahulu tahap kesahihannya. Maka, digunakan hadis-hadis dhai’f dan palsu sebagai hujah dan disebarkan kepada masyarakat. Apa yang dipentingkan adalah pendapat mereka diterima, barangan mereka laris, sokongan terhadap mereka bertambah, kedudukan mereka tidak tergugat, periuk nasi mereka selamat.

Malah, lebih malang lagi, perkara ini dilakukan oleh mereka yang berpendidikan khusus dalam bidang agama. Mereka mengerti hakikat sebenar, tetapi sengaja menyembunyikan kebenaran. Mereka mengetahui hukum-hakam yang tepat, tetapi sengaja memutar belitkan kenyataan. Mereka memahami hakikat sesuatu ilmu, tetapi sengaja mengkhianati ilmu yang mereka pelajari. Asalkan mereka mendapat restu dan sokongan, dari rakyat jelata dan pimpinan atasan.

Dr. Nur al-Din al-‘Itr di dalam kitabnya Manhaj al-Naqd fi ‘Ilmi al-Hadith telah menggariskan lima sebab dan golongan yang menyebabkan muncul dan tersebarnya hadis-hadis palsu ini dikalangan masyarakat. Dua daripada sebab-sebab dan golongan tersebut ialah:

1. Untuk menggalakkan manusia kearah kebaikan dan memberi amaran daripada melakukan kemungkaran (al-taghrib wa al-tarhib). Termasuk di dalam golongan ini adalah mereka yang jahil yang beranggapan zuhud dan ingin melakukan tazkiyat al-nafs. Tetapi amalan mereka ini dilakukan dalam keadaan mereka jahil dengan asas agama yang sebenar. Maka mereka mencipta hadis-hadis tentang fadhilat-fadhilat zikir dan solat-solat sunat yang melampaui prinsip-prinsip agama, lalu disebarkan untuk menggalakkan masyarakat ke arah kebaikkan. Mereka pula mencipta dan menyebarkan hadis-hadis tentang azab dan balasan dosa terhadap kesalahan-kesalahan tertentu yang keterlaluan dan menyimpang jauh daripada asas agama dengan tujuan menjauhkan manusia daripada melakukan kemungkaran. Tetapi tanpa disedari mereka telah melakukan pendustaan ke atas Rasulullah s.a.w.

2. Untuk mendapat habuan keduniaan. Termasuk di dalam golongan ini adalah golongan yang ingin menghampiri diri kepada pemerintah dan juga para penyampai dan pencerita yang bertujuan mendapat habuan masing-masing. (Al-Itr, Nur al-Din, Manhaj al-Naqd fi ‘Ulum al-Hadith (Beirut; Dar al-Fikr al-Muasir,cet.3,1997), hal.304).

Kedua: Dusta terhadap manusia. Dusta terhadap manusia ini juga boleh belaku dalam dua keadaan. Pertama; seseorang yang berpura-pura menzahirkan dirinya sebagai seorang yang beriman, beramal soleh dan melakukan kebaikan, sedangkan hakikatnya dia adalah kafir yang tidak bersikap sedemikian. Golongan inilah yang digelar sebagai munafik. Allah s.w.t. menyifatkan golongan ini melalui firman-Nya: ((Dan di antara manusia ada yang berkata: “Kami telah beriman kepada Allah dan kepada hari akhirat, padahal mereka sebenarnya tidak beriman)).(Al-Baqarah:8) Kedua, pendustaan terhadap manusia boleh berlaku apabila seseorang itu mengatakan sesuatu yang tidak benar atau menyebarkan sesuatu berita palsu di kalangan masyarakat.

Di dalam hadis yang diriwayatkan oleh al-Bukhari dan Muslim daripada Abdullah bin Amru bin al-‘As, Rasulullah s.a.w. menerangkan tentang empat perkara jika terdapat pada seseorang, maka dia tergolong dalam golongan munafik (munafik amalan). Diantara empat sifat tersebut adalah apabila bercakap dia berbohong.

Sesungguhnya perbuatan menyebarkan fitnah dan berita palsu ini merupakan suatu sifat yang terkeji lagi terkutuk. Perbuatan ini merupakan punca berlakunya perselisihan pendapat yang tidak diizinkan, pertelingkahan, terputusnya hubungan silaturrahim, malahan boleh membawa kepada pembunuhan. Fitnah dan dusta ini ditaburkan kepada masyarakat samaada melalui percakapan, ceramah, media massa (akhbar & tv), tulisan (buku, artikel, laman web) dan sebagainya. Sedangkan orang mukmin ini keseluruhannya disifatkan oleh Allah sebagai bersaudara. Allah s.w.t. berfirman: ((Sesungguhnya orang yang beriman itu adalah bersaudara)). (Al-Hujurat: 10)

Tetapi fenomena yang berlaku hari ini, seolah-olah menghalalkan sikap berdusta dan menabur fitnah ini. Fitnah dan dusta ditaburkan kepada masyarakat samaada melalui percakapan, ceramah, media massa (akhbar & tv), tulisan (buku, artikel, laman web) dan sebagainya. Ia dilakukan sama ada oleh individu tertentu demi kepentingan peribadi atau oleh kumpulan-kumpulan tertentu demi meraih sokongan dan mendapat kemenangan. Maka disebarkanlah berita-berita palsu dan fitnah-fitnah yang memburukkan pihak lain. Harapannya supaya kepercayaan terhadap pihak tersebut akan terhakis. Kedudukannya akan tergugat. Dakwahnya tersekat. Perjuangannya akan singkat.

Selain itu, sikap menabur fitnah dan menyebarkan berita palsu ini merupakan sikap yang boleh menyakiti hati sesama Muslim dan menyebabkan hubungan ukhuwah akan menjadi retak. Sebab itulah Islam amat melarang perbuatan menyakiti hati seorang Muslim yang lain dan menjanjikan balasan dosa terhadap mereka yang melakukan sedemikian. Firman Allah s.w.t.(bermaksud): ((Dan orang-orang yang mengganggu serta menyakiti orang-orang lelaki yang beriman dan orang-orang perempuan yang beriman dengan perkataan atau perbuatan yang tidak tepat dengan sesuatu kesalahan yang dilakukan, maka sesungguhnya mereka telah memikul kesalahan menuduh secara dusta, dan berbuat dosa yang amat nyata)).(Al-Ahzab: 58)

Al-Imam Ibn Kathir (w 773 H), ketika menafsirkan ayat ini menyatakan bahawa: ”Mereka telah menyandarkan kepada orang beriman ini sesuatu perkara yang tidak dilakukan oleh mereka (orang beriman), maka inilah fitnah dan dusta yang besar iaitu menyatakan sesuatu perkara tentang orang yang beriman apa yang tidak dilakukan oleh mereka dengan tujuan untuk memalukan dan menjatuhkan martabat mereka.” (Ibn Kathir, Tafsir Al-Quran al-‘ Azim (Beirut: Dar al-Turath al-Arabi, Ctk. 1,2000), m/s 524).

Oleh itu, wahai seluruh kaum Muslimin, berhati-hatilah dalam berbicara, berwaspadalah dalam bertindak. Ini kerana segala perkataan dan perbuatan yang dilakukan di dunia, sedikit pun tidak akan terlepas daripada pandangan dan perhitungan-Nya. Allah s.w.t. berfirman (bermaksud): ((Tidak ada sebarang perkataan yang dilafazkan (atau pebuatan yang dilakukan) melainkan ada di sisinya malaikat pengawas yang sentiasa sedia (menerima dan menulisnya)). (Qaaf: 18)

Semoga kita semua digolongkan Allah dari kalangan hamba-hamba-Nya yang bercakap benar dan selamat dari sebarang fitnah.

Friday, October 26, 2007

Semoga Anakku Menjadi Penyanyi

Belajarlah rajin-rajin, nak. Besar nanti boleh jadi doktor ke, lawyer ke, engineer ke…”. “Mak dan ayah akan usahakan segala yang termampu asalkan hasrat kau untuk masuk ke universiti akan tercapai..”.

Guru bertanya kepada murid-muridnya: “Apa cita-cita kamu?”. “Saya nak jadi pilot”. “Saya pula nak jadi cikgu”. “Saya nak jadi saintis”. “Saya nak jadi businessman”.

Kalau dahulu, inilah lebih kurang dialog-dialog yang sering kita dengar di antara anak dan ibu bapa dan murid dengan gurunya. Suatu dialog yang menggambarkan bahawa ibu bapa mempunyai harapan yang tinggi untuk melihat anak-anak mereka berjaya menceburi bidang-bidang pekerjaan yang hebat dan dipandang murni. Jawapan daripada anak-anak atau murid-murid generasi dahulu juga sudah cukup membuktikan bahawa mereka adalah generasi yang berwawasan, mempunyai matlamat hidup dan menyedari peranan mereka di masa hadapan.

Tapi sekarang, lain pula yang kita dengar. Mummy bangga dengan kamu kerana terpilih ke Akademi Fantasia. “Daddy mahu kamu berusaha bersungguh-sungguh untuk pertandingan Malaysian Idol nanti”. “Saya berasa sangat seronok kerana akhirnya hasrat anak saya untuk jadi penyanyi tercapai juga akhirnya”. “Rancangan Mentor ini telah memberikan masa depan yang cerah buat anak saya”. “Abah dan ibu akan memberikan sokongan yang kuat, asalkan kau menang dalam pertandingan My Starz nanti”…


Murid-murid pula apabila ditanya guru mereka: “Apa cita-cita kamu?”. “Saya nak masuk Akademi Fantasia”. “Saya nak jadi penyanyi”. “Saya suka sangat kalau dapat masuk Malaysian Idol”.



Inilah yang kita dengar dan lihat hari ini. Jawapan-jawapan yang menggambarkan kepada kita tentang betapa tingginya harapan sesetengah ibu bapa yang mahu menjadikan anak mereka seorang penyanyi. Ibu bapa akan sangat gembira, terharu dan menangis kegembiraan jika anak mereka terpilih untuk menyertai mana-mana rancangan realiti televisyen yang ingin melahirkan “penyanyi-penyanyi segera” –kualitinya belum tahu lagi-. Sebaliknya ibu bapa ini akan berasa sedih, kecewa dan menangis kesedihan jika anak mereka gagal terpilih atau tersingkir. Sebab itu, ibu bapa ini akan sanggup berkorban demi melihat anak mereka berjaya terpilih. Malah, ada yang sanggup menjual tanah dan berhutang semata-mata ingin mempromosikan anak mereka. Ada ibu bapa lain juga terpaksa berhutang, tetapi untuk membeli buku-buku latihan dan membayar yuran-yuran pengajian anak. Bukan setakat ibu bapa, malah adik-beradik dan sanak saudara yang lain turut serta memberi sokongan padu. Sebab itu, ada yang sampai menubuhkan “fan club”, buat banner, t-shirt khas dan sebagainya. Ini semua dilakukan semata-mata untuk melihat si anak ini menjadi seorang penyanyi.

Apa sudah jadi dengan sesetengah ibu bapa yang sebegini. Mereka sedih, kecewa dan menangis apabila anak mereka tersingkir atau tidak terpilih untuk menjadi penyanyi. Tetapi mereka tidak kisah jika anak yang sama juga tidak solat lima waktu. Mereka tidak gusar jika anak mereka masih tidak pandai membaca al-Quran. Mereka tidak bimbang jika anak yang sama juga bergaul bebas tanpa batasan antara teman-teman lelaki dan perempuan. Mereka tidak sedih jika anak yang sama juga gagal di dalam peperiksaan. Mereka tidak hirau jika corak kehidupan anak-anak mereka seolah-olah hanya hidup untuk seronok dan hiburan. Mereka tidak risau jika anak yang sama juga tidak mempunyai matlamat dan arah tujuan di dalam kehidupan.

Kemana hilangnya semangat dan harapan yang ada pada ibu bapa generasi dahulu? Di mana silapnya atau siapakah yang silap? Apakah silap pihak media dan tv yang terlalu banyak menyiarkan rancangan-rancangan hiburan, tidak kira dari luar negeri mahupun artis-artis tempatan? Atau jari harus ditundingkan kepada kerajaan yang tidak menyekat dan mengawal hiburan-hiburan yang tidak berpatutan? Atau ianya salah guru-guru yang tidak memberikan nasihat dan pesanan. Atau adakah mungkin salah masyarakat yang turut menghantar sms memberikan sokongan? Atau mungkin juga salah ustaz-ustaz dan golongan agama yang tidak mengajar dan mengajak umat supaya kembali kepada panduan al-Quran dan sunnah Nabi junjungan. Atau perkara ini berlaku secara kebetulan? Atau mungkin juga ia suatu perancangan pihak lawan? Atau mungkin inilah kesannya dari dunia tanpa sempadan? Mungkin juga ini suatu lambang ketamadunan dan kemodenan sebuah bangsa yang bernama Melayu dan Islam sebagai anutan.

Generasi remaja sekarang juga seolah-olah sudah hilang hala tuju mereka. Tiada lagi jatidiri seorang bangsa Melayu yang sangat terkenal dengan budaya ketimurannya. Malah yang lebih penting, tidak nampak pada peribadi dan tingkah laku mereka watak seorang Muslim sejati, yang telah diutuskan seorang Nabi, sebagai contoh ikutan hakiki.

Budaya hedonisme semakin menular di kalangan mereka. Hidup ini bagaikan tiada fungsi dan tujuan, semata-mata untuk berseronok dan hiburan. Peribadi dan sunnah Rasulullah saw tidak lagi menjadi ikutan. Lebih parah, ada yang ditanya tentang latar belakang Nabi, terus digelengkan kepala dan mahu mengelak diri. Tapi, pantang ditanya tentang artis kegilaan hati, terus dijawab tanpa henti dan ragu lagi. Semuanya dapat diceritakan; dari tajuk-tajuk album dan lagu hingga berapakah biji jerawat yang ada di dagu. Di mana show dan konsert di hujung minggu, hingga berapakah saiz baju, semuanya mereka tahu. Artis barat pula semakin dijadikan kiblat arah ikutan. Apa saja yang artis-artis barat lakukan, itulah garis panduan dan contoh ikutan. Kadangkala apa yang dilakukan sememangnya melampaui batas budaya ketimuran –apatah lagi syariat- tetapi itu semua dianggap trend dan kemodenan. Mereka tidak sedar, di saat masyarakat barat yang sedang menuju ke arah kehancuran dek kerana artis-artisnya yang tidak keharuan, remaja kita pula di dalam keasyikan menyambut dan menjulang mereka seperti dewa kayangan. Dari pakaian, cara bergaul, gaya hidup, semuanya ditiru dan dipertahankan.

Kesannya, ramai yang teringin untuk menjadi penyanyi. Lihat saja sewaktu sessi temuduga untuk rancangan realiti tv, berpuluh ribu yang sanggup beratur sejak dari subuh pagi. Tidak kisah lagi jika tidak dapat masuk universiti, kerana masih ada Akademi Fantasia, My Starz, Mentor dan bermacam-macam lagi. Semua ini adalah peluang untuk mereka menjadi penyanyi. Kalau tersingkir sekali pun, mereka tetap akan jadi popular dan disanjung tinggi.

Penulis bukanlah anti kepada hiburan dan penyanyi, kerana sememangnya hiburan diperlukan oleh hati, Tetapi biarlah hiburan dan menyanyi tidak melampaui batas dan nilai-nilai murni. Bagaimana yang dikatakan tidak melampaui batas dan nilai-nilai murni? Maka, semestinya syariat agama ini dijadikan kayu ukur utama dan budaya ketimuran –yang sejajar dengan syariat- juga mesti diambil kira. Hiburan juga bukanlah menjadi suatu agenda utama untuk pembangunan umat dan negara sehinggakan semua pihak mesti berusaha untuk mencapainya. Tetapi suasana yang ada pada hari ini sebaliknya. Hiburan dan artis menjadi tajuk utama. Artis-artis lebih dikenali daripada para ilmuan dan tokoh sarjana. Tokoh-tokoh akademik, para ulamak, negarawan kurang ditonjolkan pencapaian dan sumbangan yang telah mereka lakukan untuk pembangunan umat, agama, bangsa dan Negara. Sebaliknya, artis-artis lebih diberi pelbagai anugerah dan dijulang nama. Cerita-cerita merekalah yang memenuhi separuh ruang dari akhbar-akhbar utama. Hai….apa nak jadi dengan masyarakat kita?

Inilah gambaran fenomena yang menular di kalangan remaja dan masyarakat Malaysia sekarang ini. Apa tindakan kita? Adakah cukup sekadar mengeluh panjang dan mengkritik pihak itu dan ini? Oleh itu, penulis berharap semua pihak menyedari akan hakikat ini dan bertindak mengikut fungsi sendiri. Sekadar ingin berkongsi harapan dan permintaan penulis:

  • Untuk Ibu bapa kepada generasi di alaf ini, marilah kita renung kembali tugas, tanggungjawab dan peranan kita sebagai ibu bapa. Kita bukan sekadar memastikan anak-anak kita hanya cukup makan dan pakaian mereka, tetapi lebih jauh dari itu, kita perlu didik mereka dengan corak hidup yang berlandaskan agama, semoga kita semua dijauhkan dari azab api neraka. Firman Allah swt (bermaksud): ((Wahai orang-orang yang beriman! Peliharalah diri kamu dan ahli keluarga kamu dari api neraka; yang bahan bakarnya adalah manusia dan batu, penjaganya pula adalah malaikat yang kasar lagi keras (layanannya), mereka itu tidak mendurhakai Allah terhadap apa yang diarahkan kepada mereka, dan mereka melakukan apa yang disuruh)) (al-tahrim: 6). Tanamkan semangat kepada anak-anak untuk menuntut ilmu dan bentuk mereka dengan jatidiri teguh sebagai seorang Muslim di samping tidak salah kiranya kita bersama-sama mempertahankan budaya ketimuran Melayu yang sejajar dengan ajaran agama.

  • Kepada Remaja dan generasi muda harapan agama, bangsa dan negara, di hadapan kita menanti seribu satu cabaran dan dugaan yang kita belum pasti bagaimanakah bentuk dan keadaan. Bagi yang bersedia dan mempersiapkan diri dengan benteng ilmu dan kemahiran, semua itu akan mampu dihadapi, insya-Allah, dengan izin Tuhan. Tunaikan perintah Allah sebaik mungkin. Pelihara solat, jaga aurat, baca al-Quran dan fahami maksudnya, beramal dengan ilmu bukan sekadar taklid buta yang melulu. Justeru, mari kita bina jatidiri yang utuh dan teguh. Berbanggalah dengan ajaran agama dan jangan sesekali kita terpedaya dengan hasutan dan dakyah musuh durjana, yang menjelma dengan pelbagai bentuk dan rupa; Yahudi, Amerika dan konco-konconya. Letakkan matlamat hidup yang tinggi, mulia dan murni supaya dapat menabur bakti dan budi untuk agama, bangsa dan ibu pertiwi.

  • Kepada Pemimpin dan pihak-pihak yang mempunyai hak dan kuasa, gerakkan seluruh tenaga dan kuasa yang ada untuk mengawal dan membimbing rakyat jelata, agar mereka tidak terlalu lalai dan leka dengan agenda dan propaganda musuh yang sentiasa mahu melihat umat ini alpa. Hiburan yang melampaui batas agama dan budaya bangsa, perlu dikaji semula malah lebih baik untuk dihalang saja. Gerakkan rakyat untuk terus mencintai ilmu, membina nilai diri agar menjadi umat yang sentiasa disegani dan tidak lagi menjadi penghuni setia di pusat serenti. Jadikan amar ma’ruf dan nahi munkar sebagai salah satu agenda utama. Bendung dan halang segala unsur-unsur negatif yang boleh membantut dan mencemarkan gagasan Islam Hadhari yang sangat cantik jika ia dapat dilaksanakan.

  • Kepada Ustaz-ustaz dan golongan agama yang dihormati, sebarkan dakwah Islam yang tulen dan asli sepertimana yang ditunjukkan oleh Rasulullah saw dan tiga generasi yang terpuji. Bentangkan Islam dengan mudah agar ia senang untuk difahami dan dihayati. Elakkan menokok tambah sesuka hati dan jadikan hikmah sebagai kuasa untuk menambat hati. Bimbing masyarakat agar sentiasa menjadikan syariat sebagai kayu ukur dan panduan dalam setiap perkataan dan kerja buat. Semoga kita semua akan sentiasa dibawah petunjuk hidayah dan naungan rahmat.

Adakah ini harapan Ibu bapa untuk anak-anak mereka??

Semoga dengan ini, harapan kita untuk melihat umat Melayu ini kembali bermaruah dan disegani menjadi kenyataan. Kita tiada pilihan lain lagi untuk menjadi umat yang bermaruah dan dihormati kecuali kembali menjadikan al-Quran dan sunnah Rasulullah saw sebagai paksi dalam semua keadaan dan segi. Inilah tajdid yang ingin kita terajui. Ayuh! Semarakkan arus tajdid ini.

abd al-razzaq muthalib ahmad

11/8/07, 11.51 pm,

Medan, Indonesia.