Memaparkan catatan dengan label Akhbar. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label Akhbar. Papar semua catatan

Jun 03, 2010

TAHNIAH - TOKOH GURU NEGERI SELANGOR 2010


Pada tanggal 27 Mei 2010 yang lalu, ketika Sambutan Hari Guru Peringkat Negeri Selangor diadakan, Mantan Guru Besar SK SS19 Subang Jaya, Encik Ramlan Harun telah dianugerahkan Tokoh Guru Negeri Selangor 2010.

Sebagai warga sekolah, kita turut gembira serta bangga atas pemilihan beliau sebagai salah seorang Tokoh Guru Negeri Selangor 2010. Semoga kejayaan beliau ini akan menyemarakkan lagi semnagat para guru, murid-murid serta ibu bapa untuk turut berusaha mencapai kejayaan tertinggi mengikut bidang masing-masing.

Tahniah sekali lagi diucapkan kepada Encik Ramlan Bin Harun

April 23, 2010

NAIK GAJI ?

duit..duit
Artikel ini adalah diambil daripada laman web PKG-Puchong
Pendapat / Pandangan/ Penulisan ini adalah dari kaca mata penulis sahaja. Tiada kaitan dengan Kementerian Pelajaran Malaysia

Posted by admin in Featured Articles, PKG on April 23rd, 2010 | one response

Oleh WAHID HASHIM (pendidikan@utusan.com.my)

DENGAN doa dan harapan oleh para guru, maka hasrat untuk menerima `tambahan sedikit rezeki’ nampaknya akan menjadi kenyataan pada tahun ini, atau bermula tahun depan. Mungkin ia dalam bentuk pelarasan gaji guru dengan apa yang dinikmati oleh Pegawai Tadbir dan Diplomatik (PTD).

Namun begitu, mungkin ada tanggungajwab tambahan kepada guru. Kita tunggu sahaja pengumumannya, kemungkinan besar pada tanggal 16 Mei di Kuantan, Pahang.

Bilangan guru yang sekarang sudah mencecah 400,000 sebenarnya memerlukan rombakan minda, selain daripada peranan yang lebih releven – supaya penyelarasan gaji itu dilihat bukan untuk mengkayakan guru, tetapi memartabatkan profesion itu.

Guru pula perlu ikhlas, bukan kosmetik atau mencukupkan jam kerja. Kalau waktu kerja ditambah lagi, maka bersedialah untuk berbuat demikian secara optimum.

Kini kita mendengar banyak isu tentang ketidakcekapan pengurusan dan komunikasi yang menimpa sekolah. Sekolah terhutang wang, Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) yang terpaksa menanggung hutang ratusan ribu untuk membina bangunan tambahan seperti surau dan sebagainya.

Guru besar perlu tahu batas kemampuan mereka, dan risiko jika tersalah langkah ketika hendak berurusan dengan hal berkaitan wang. Ada kalanya penderma bermurah hati mahu mendahulukan wang, tetapi berakhir dengan pergaduhan, bermasam muka kerana hutang tidak terbayar.

Kita telah mendengar pelbagai cadangan strategik untuk membantu pihak sekolah mengurus sekolah secara yang lebih berkesan.

Imej dan reputasi profesion itu juga perlu diperbaiki supaya lebih ramai profesional yang mahu menceburi bidang itu sama ada secara sambilan atau sepenuh masa.

Satu rumus luar biasa perlu difikirkan supaya proses mendidik anak-anak warisan bangsa ini terus menjadi agenda utama negara. Sebagai contoh, mungkin profesional yang secara sukarela mahu menjadi guru dibenarkan berbuat demikian dengan syarat gaji mereka dikekalkan sepertimana mereka di tempat asal.

Mungkin tidak salah kalau dilebihkan gaji mereka, sepertimana yang berlaku jika profesional melompat ke syarikat lain. Mungkin mereka boleh memegang jawatan tertinggi sekolah seperti pengetua, penolong kanan atau guru panitia, saya pasti ramai yang bakal berminat menjadi guru kalau keterbukaan terhadap profesion yang mulia itu mencapai tahap yang saya makudkan.

Mungkin belum diamalkan di mana-mana bahagian dunia, Malaysia boleh memulakan cadangan itu.

Bayangkan kalau ketua pegawai eksekutif (CEO) memohon menjadi guru dengan gaji yang sama! Pasti kita akan melihat revolusi budaya kerja dan wajah sekolah itu.

Portal Pendidikan Utusan: 21 April 2010

April 16, 2010

Sedihnya... Guru sanggup tidur bawah bilik darjah demi pendidikan anak Penan

Gambar hiasan sahaja
02/04/2010

LONG LATIN (ULU BARAM): Empat orang guru di sebuah sekolah rendah di sini termasuk sepasang guru suami isteri terpaksa tidur dalam sebuah bilik sempit berukuran 20 kaki panjang dan 10 kaki lebar dengan ketinggian hanya tujuh kaki sejak tiga tahun lalu kerana kediaman guru yang sedia ada tidak mencukupi.

Guru Besar Sekolah Kebangsaan (SK) Long Lutin, Edward Ngullie Anggun, berkata sekolah terbabit yang dibina sekitar awal tahun 1980-an hanya mempunyai empat unit kediaman guru termasuk satu unit yang sudah uzur serta hampir runtuh dan tidak cukup untuk menampung 12 guru serta keluarga mereka.

"Sebagai langkah untuk mengatasi masalah tersebut kami terpaksa membina dua bilik untuk kediaman guru di bawah kelas serta satu lagi dijadikan bilik darjah kerana kemudahan kediaman yang sedia ada memang tidak mencukupi," katanya.
Helleh Lihan, 29, guru kelas peralihan di sekolah terbabit berkata dia dan suaminya Fanuel Gerawal Edom, 26, terpaksa tinggal dalam sebuah bilik yang sempit di bawah bilik darjah sejak tiga tahun lalu.

Katanya, walaupun begitu mereka tetap bersyukur kerana mempunyai tempat untuk tinggal dan ia sedikitpun tidak mematahkan semangat untuk memberikan pendidikan terbaik untuk anak-anak orang Penan di kawasan Ulu Baram.

"Sememangnya kami mahu kerajaan menyediakan kemudahan kediaman yang lebih baik khasnya untuk sekolah pedalaman seperti ini, memang susah dan ia tidak dapat digambarkan melainkan pihak yang berwajib sendiri yang datang dan melihat ke sini," katanya.

Sementara itu, seorang lagi guru di sekolah terbabit Benjamin Lenjan, 45, berkata dia kini terpaksa tinggal dalam sebuah rumah guru yang hanya menunggu masa untuk runtuh.
Katanya, sejak enam tahun di sekolah terbabit pelbagai usaha telah dilakukan oleh pihak sekolah untuk mendapatkan kediaman baru guru namun setakat ini mereka masih lagi menunggunya dengan penuh sabar.

"Kalau difikirkan rumah guru ini memang tidak lagi selamat untuk diduduki lebih-lebih lagi kedudukannya di tepi sungai dan ketika hujan memang banyak ruang dalam rumah yang basah," katanya.

Hampir 100 peratus daripada 209 murid di sekolah terbabit adalah anak-anak kaum Penan dari tujuh buah kampung dari sekitar Long Lutin dan semua murid terbabit tinggal di asrama.

Sementara itu, guru dari Semenanjung Malaysia, Nor Fazilan Abdul Razak, 26, yang berasal dari Kedah yang mengajar di SK Long Kevok di sini berkata pada mulanya memang sukar untuk mereka menyesuaikan diri dengan keadaan di Ulu Baram.

Katanya, masalah utama di sekolah terbabit adalah perhubungan dan pekan yang paling dekatpun mengambil masa kira-kira empat kelima jam perjalanan menggunakan jalan balak dan ia turut bergantung kepada keadaan cuaca.

Rakannya, Nor Hasnora Jali dari Pahang berkata, selepas melihat nasib masyarakat Penan di Ulu Baram, dia berasa bersemangat untuk memberikan pendidikan yang terbaik kepada mereka.

Katanya, berkhidmat jauh di pedalaman satu perkara yang ditakuti sesetengah guru-guru lepasan maktab namun baginya ia adalah satu pengalaman baru yang begitu berharga kepada kerjaya seorang guru.

"Apa yang kita buat di sini hari ini nampak kecil, tapi pada masa hadapan ia adalah satu sumbangan yang amat berharga kepada anak-anak Penan," katanya.

Sementara itu sempena "Program Outreach Community" anjuran bersama Hospital Pakar Kuching (KcSH) dan syarikat Samling Timber Sdn Bhd, dua sekolah Penan terbabit menerima sumbangan berupa pakaian, beg dan peralatan sekolah dan ia telah disampaikan sendiri oleh Pengarah KcSH iaitu Ngeng Eng Cheng.

Ngeng berkata, program kedua selama lima hari di Ulu Baram itu adalah salah satu usaha bersama yang turut membabitkan beberapa lagi jabatan serta agensi kerajaan serta swasta.

"Dalam program kali ini kita turut membawa pihak Jabatan Pendaftaran Negara, Jabatan Kesihatan, Jabatan Pertanian dan Pusat Pembangunan Kemahiran Sarawak untuk memberikan perkhidmatan mereka kepada masyarakat Penan," katanya.

Katanya, masalah utama penduduk Penan di kawasan terbabit ialah sistem pengangkutan dan ketika ini mereka banyak bergantung kepada perkhidmatan pengangkutan percuma yang disediakan syarikat Samling Timber yang beroperasi di kawasan terbabit.

Katanya, jika tiada pengangkutan syarikat pembalakan terbabit, penduduk Penan terpaksa menanggung kos pengangkutan sekitar RM300 ke RM500 untuk ke pekan perdekatan termasuk ke Miri. - Bernama

sedih sgt dgn kenyataan ni....

lihat sumber asal

April 14, 2010

ROSAK 9 KERETA GURU (AKHBAR)

PETALING JAYA: Marah kerana dihukum atas kesalahan disiplin, sekumpulan pelajar tingkatan dua sebuah sekolah menengah di Petaling Jaya Selatan boleh diibaratkan ‘setan kecil’ apabila sanggup merosakkan sembilan kereta guru dengan menyimbah cat kuning dan putih, petang kelmarin.

Mereka juga bertindak ganas apabila memecahkan cermin belakang sebuah kereta Perodua Myvi milik guru.

Dalam kejadian kira-kira jam 4.30 petang, kumpulan pelajar samseng terbabit dipercayai melakukan kerja itu selepas waktu rehat sesi petang .


Kenderaan guru terbabit diletak bersebelahan pagar berdekatan makmal dan kumpulan pelajar terbabit dipercayai menceroboh kawasan sekolah dengan memanjat pagar.


Menurut sumber, seorang pelajar tingkatan dua dikenal pasti menjadi ketua kumpulan samseng itu dan bakal berdepan tindakan tegas.


“Mereka pantas melarikan diri dengan memanjat pagar sebelum lesap ke kawasan perumahan berdekatan sekolah,” katanya yang enggan dikenali.


Kenderaan guru terbabit diletak bersebelahan pagar berdekatan makmal dan kumpulan pelajar terbabit dipercayai menceroboh kawasan sekolah dengan memanjat pagar.


Menurut sumber, seorang pelajar tingkatan dua dikenal pasti menjadi ketua kumpulan samseng itu dan bakal berdepan tindakan tegas.


Katanya, pelajar terbabit mengisi cat kapur berwarna putih dan kuning ke dalam beberapa karung plastik sebelum menyembur cecair itu di kenderaan guru.


Sumber itu berkata, difahamkan seorang daripada pelajar terbabit mahu merosakkan kenderaan guru disiplin, tetapi mungkin bertukar fikiran dengan merosakkan lapan lagi kenderaan lain yang berada di tempat letak kereta itu.


Bagaimanapun, pelajar tingkatan dua yang mengetuai serangan itu tersilap langkah apabila memecahkan kereta milik seorang guru wanita kerana menyangka ia milik guru disiplin yang menghukum mereka.

Menurut sumber itu lagi, polis tiba di sekolah berkenaan kira-kira jam 5 petang untuk menjalankan siasatan sebaik dimaklumkan kejadian itu.


Tinjauan Harian Metro mendapati kawasan parkir di kawasan sekolah itu sudah diletakkan papan larangan meletak kereta dan direntang dengan tali.


Difahamkan, kejadian disedari pengawal keselamatan sekolah apabila sekumpulan pelajar lain menjerit memberitahu ada pelajar menyimbah cat dan memecahkan kenderaan guru dipercayai menggunakan batu.


Antara kenderaan yang menjadi mangsa lepas geram kumpulan pelajar itu ialah Proton Exora, Perodua Myvi dan Perodua ViVA.


Sekolah menengah terbabit juga sekolah angkat Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Petaling Jaya.


Sementara itu, Ketua Polis Petaling Jaya, Asisten Komisioner Arjunaidi Mohamed, ketika dihubungi mengesahkan kejadian dan siasatan dijalankan.


Bagaimanapun, Arjunaidi enggan mengulas lanjut berhubung serangan kumpulan pelajar samseng itu.


Orang ramai yang mempunyai maklumat kejadian itu diminta menghubungi talian 03-79662222. Difahamkan kes terbabit dilanjutkan kepada pengetahuan Pejabat Pelajaran Daerah (PPD) dan Kementerian Pelajaran.

Artikel Asal : harian metro


April 01, 2010

BERITA BAIK UNTUK GURU


Tubuh jawatankuasa khas kaji beban tugas guru - Muhyiddin

KUALA LUMPUR 31 Mac - Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, satu jawatankuasa khas akan ditubuhkan bagi mengkaji beban tugas berlebihan yang ditanggung oleh guru sekolah di seluruh negara.

Beliau yang juga Menteri Pelajaran berkata, keputusan itu dibuat selepas kementerian itu mendapati ada asas bahawa guru di beberapa buah negeri kini menghadapi beban tugas berlebihan sehingga menjejaskan tumpuan kepada tugas mengajar.

"Saya sudah arahkan jawatankuasa itu nanti mengenalpasti bagaimana masalah (bebanan tugas) itu boleh berlaku dan mencari penanda aras yang boleh kementerian guna pakai, sama ada dengan mengambil contoh piawaian antarabangsa atau dari negara jiran yang tahap pendidikannya lebih tinggi dari kita untuk dicontohi," katanya.

Muhyiddin berkata demikian pada sidang media selepas mempengerusikan mesyuarat antara Kementerian Pelajaran dengan Kesatuan Perkhidmatan Perguruan Kebangsaan (NUTP) di bangunan Parlimen di sini, hari ini.

Hadir sama pada mesyuarat tersebut ialah Ketua Pengarah Pelajaran, Tan Sri Alimuddin Mohd. Dom.

Menurut beliau, jawatankuasa itu yang akan dipengerusikan oleh Alimuddin dan keanggotaannya turut membabitkan beberapa pegawai pelajaran serta wakil NUTP diberi masa selama dua bulan bagi mencari jalan penyelesaian terhadap isu berkenaan.

Ditanya mengenai beban tugas berlebihan yang terpaksa ditanggung oleh guru, Muhyiddin berkata, antaranya adalah menguruskan aktiviti kokurikulum, bilik darjah, hal ehwal murid, pentadbiran dan perkeranian serta beberapa kerja tambahan lain yang perlu dibuat mengikut keperluan semasa.

"NUTP turut membuat aduan yang guru terpaksa bekerja pada setiap Sabtu, sedangkan pekeliling yang dikeluarkan, guru boleh bercuti pada hari Sabtu sebanyak dua kali setiap bulan disebabkan guru terbabit terlibat dengan banyak aktiviti.

"Jadi, kita akan teliti masalah itu kerana kita tidak mahu tugas hakiki guru iaitu mendidik pelajar dengan tumpuan sepenuhnya terhadap kelas terganggu disebabkan bebanan tugas lain yang terpaksa dipikul," katanya.

Dalam perkembangan lain, Muhyiddin berkata, dasar baru kementerian yang menekankan aspek kokurikulum di sekolah turut mendapat maklum balas positif dari pihak NUTP yang menyatakan sokongan penuh terhadap usaha berkenaan.

"Kementerian akan memastikan penekanan terhadap kokurikulum tidak akan sesekali membebankan guru. Sebab itu, kementerian menubuhkan jawatankuasa ini, tidak lain tidak bukan untuk mencari penyelesaian terbaik menyelesaikan bebanan guru,"katanya.

kredit: Utusan Malaysia

Disember 08, 2009

PENTADBIRAN JUGA BIDANG TUGAS GURU-KPPM

Berita Harian

KEMENTERIAN Pelajaran ingin merujuk surat dalam ruangan ini bertarikh 3 Disember lalu atas tajuk ‘Pendidik tak wajar lakukan tugas pentadbiran’.
Kenyataan ‘guru-guru baru hendaklah bersedia menerima sebarang tanggungjawab diberikan pengetua/guru besar mereka’, adalah ucapan saya ketika merasmikan konvensyen guru baru, Institut Pendidikan Guru Malaysia (IPGM) yang berjumlah lebih 500 orang di Putrajaya baru-baru ini.

Pada umumnya, profesion perguruan memerlukan komitmen tinggi semua pendidik. Ini bagi memastikan generasi pewaris negara iaitu anak didik diberikan pendidikan yang tidak berbelah bagi. Malah, kenyataan ‘Akmal Fairuz’ dalam sebuah akhbar tempatan 3 Disember lalu mengenai tugas profesional guru dan tugas pentadbiran, masih boleh dipersoalkan.

Sebenarnya tugas seperti menulis buku rekod mengajar, memeriksa buku latihan murid dan surat makluman kepada ibu bapa/penjaga adalah sebahagian tugas profesional guru. Semua guru bertanggungjawab untuk mengenal pasti dan prihatin terhadap kemajuan serta kelemahan setiap anak didik mereka.

Makluman ini bukan saja untuk pengetahuan guru bahkan untuk disampaikan kepada ibu bapa/penjaga. Oleh itu, tugas yang dikatakan tugas perkeranian itu sebenarnya, sebahagian tugas guru untuk mendidik setiap murid bagi mencapai objektif pendidikan.

Dalam melaksanakan tugas sebagai seorang pendidik, pengajaran dan pembelajaran (P&P) tidak hanya berlaku dalam bilik darjah, malah guru perlu mempunyai kreativiti serta inisiatif untuk melaksanakan P&P melalui aktiviti di luar bilik darjah.

Seorang guru perlu berusaha untuk membentuk kemahiran berfikiran kritis dan kreatif murid belajar melalui pengalaman secara terus (kontektualisme dan konstruktivisme) seperti gerak kerja luar bilik darjah, lawatan sambil belajar dan aktiviti kemasyarakatan bersesuaian dengan keperluan murid.

Usaha ini membabitkan pembentukan nilai murni, sahsiah, peribadi mulia serta kemahiran insaniah melalui aktiviti pasukan beruniform, kelab, sukan dan permainan dan lain-lain aktiviti luar darjah.

Timbalan Perdana Menteri merangkap Menteri Pelajaran berhasrat memperkasa sukan dan permainan di sekolah bagi melahirkan atlit muda. Hal ini sudah tentu memerlukan komitmen guru sebagai orang di barisan hadapan untuk melatih dan mengenal pasti bakat murid.

Oleh itu, latihan sebegini adalah juga tugas profesional seorang guru. Ini juga selaras Falsafah Pendidikan Kebangsaan iaitu untuk melahirkan murid yang seimbang dari segi intelek, jasmani, emosi dan rohani.

Seorang pentadbir sekolah perlu dilantik di kalangan profesional (guru) kerana berasaskan kepada pengetahuan dan pengalaman, pengetua/guru besar berupaya untuk memastikan semua dasar yang berkaitan dengan pembangunan kemanusiaan dapat dilaksanakan selain urusan pentadbiran biasa.

Guru mempunyai kelebihan dari segi pengetahuan ilmu psikologi kanak-kanak/remaja dan kepakaran dalam pedagogi. Maka, semua guru sebagai seorang profesional perlu merebut peluang menimba pengalaman dengan membabitkan diri dalam pelbagai aktiviti sebagai langkah menyediakan diri untuk menjadi seorang pengurus dan pentadbiran profesional kelak.

Berkaitan dengan pandangan ‘Akmal Fairuz’, guru hanya memberi tumpuan kepada P&P di bilik darjah, tidak begitu tepat. Pengurusan pendidikan dilaksanakan oleh orang profesional. Mereka lebih arif dan berpengalaman mengenai perkara membabitkan pendidikan dan melahirkan modal insan.

Tidak salah guru yang berpengalaman dilantik sebagai pentadbir seperti menjadi Pengetua/Guru Besar, pegawai PPD/JPN hingga peringkat kementerian. Ini juga menjadi amalan di kebanyakan negara maju.

Adalah menjadi harapan saya, semua guru melaksanakan tanggungjawab penuh dedikasi dan amanah bagi memartabatkan profesion perguruan dan meningkatkan kualiti perkhidmatan pendidikan yang diberikan kepada rakyat selaras gagasan ‘1Malaysia, Rakyat Didahulukan, Pencapaian Diutamakan.’

TAN SRI ALIMUDDIN MOHD DOM,
Ketua Pengarah Pelajaran Kementerian Pelajaran.

kredit PKG-Puchong

Disember 07, 2009

(PANAS) BAKAL GURU PERLU TANDATANGAN AKUJANJI

SEBAGAI pendidik, seorang guru perlu bersedia mencurahkan ilmu kepada pelajar di negara ini walaupun mengajar jauh di pedalaman tanah air.

Namun, ada segelintir guru yang dihantar ke sekolah di pedalaman menghantar permohonan pertukaran tempat mengajar sesuka hati tanpa alasan kukuh menyebabkan kekurangan guru di kawasan pedalaman.

Fenomena menghantar permohonan pertukaran tempat mengajar oleh guru terutama mereka yang berkhidmat di pedalaman bukanlah sesuatu yang baru tetapi masih ada jalan penyelesaian.

Jika seseorang guru itu lama mengajar di pedalaman dan membuat permohonan bertukar ke tempat lain, itu mungkin boleh dipertimbangkan Kementerian Pelajaran tetapi ini baru beberapa bulan saja mengajar, sudah minta dipindahkan.

Di mana rasa tanggungjawab mereka sebagai seorang pendidik anak bangsa?

Justeru, bakal guru mungkin dikehendaki menandatangani surat akujanji sebagai syarat 'mengikat' mereka berkhidmat di mana-mana sekolah bagi mengatasi masalah kekurangan guru di kawasan pedalaman.

Tindakan itu juga dilihat langkah terbaik mengelak guru memohon pertukaran tempat mengajar sesuka hati tanpa alasan kukuh.

Timbalan Menteri Pelajaran, Dr Mohd Puad Zarkashi, berkata pihaknya sedang menimbangkan mengenakan syarat akujanji sebelum bakal guru menamatkan pengajian bagi mengelak masalah pada masa depan.

Beliau berkata, akujanji itu akan dijadikan syarat utama sebelum mereka ditempatkan di mana-mana sekolah di seluruh negara.

Selepas menandatangani surat akujanji, kementerian tidak akan melayan sebarang permohonan pertukaran kecuali ada kes kritikal seperti sakit.

Ini bagi mengelak masalah kepada kementerian kerana ada guru meminta ditukarkan hanya selepas enam bulan mengajar di sesebuah sekolah ditetapkan.

Akibatnya, sesebuah sekolah menghadapi masalah mengganti guru yang minta ditukarkan itu.

Mungkin dengan mewujudkan akujanji ini, ia dapat mengatasi masalah dihadapi kementerian dalam penempatan guru baru.

Persoalannya, adakah peraturan itu perlu dilaksanakan hanya kerana segelintir guru yang bersikap sedemikian.

Ketua Program Pendidikan, Fakulti Pengajaran Bahasa Utama, Universiti Sains Islam Malaysia (Usim), Dr Noor Azizi Ismail, bersetuju dengan cadangan menandatangani akujanji 'mengikat' guru baru bagi mengelak masalah kekurangan guru di pedalaman.

Beliau berkata, pelajar atau bakal guru ini ketika mengikuti pengajian, bakal guru ini membuat pengakuan sanggup dihantar ke mana sahaja termasuk pedalaman.

"Mereka tahu keadaan persekitaran mengajar di luar bandar termasuk Sabah dan Sarawak.

"Bagaimanapun, apabila bergelar guru dan ditempatkan di mana-mana sekolah terutama di kawasan pedalaman, mereka memohon bertukar sehingga melanggar akujanji.

"Justeru, cadangan menandatangani akujanji ini wajar dan ia perlu dilaksanakan secepat mungkin," katanya.

Beliau hairan apa masalahnya mengajar di pedalaman, cuma guru tidak mahu berjauhan dengan keluarga atau kampung halaman.

"Sikap guru baru sekarang berbeza kerana mereka dibesarkan dalam persekitaran bandar, justeru sukar untuk mengajar di kampung atau pedalaman.

"Ada sanggup menipu ketika membuat permohonan pertukaran dengan memberi alasan ibu bapa sakit," katanya.

Mengenai guru yang melanggar akujanji yang dipersetujui, katanya perbuatan itu tidak profesional dan melanggar tatasusila perguruan.

"Mereka patut dihukum supaya memberi pengajaran kepada guru baru lain supaya mengikut akujanji yang ditandatangani.

"Tindakan itu menyusahkan semua pihak termasuk kementerian dan pihak sekolah kerana perpindahan mereka, menyebabkan berlaku kekurangan guru," katanya.

Sementara itu, Setiausaha Persatuan Perguruan Kebangsaan (NUTP), Lok Yim Pheng, berkata akujanji itu sudah ada sejak dulu lagi.

Bagaimanapun, tiada hitam putih yang ditandatangani berkaitan perkara itu terutama membabitkan penempatan guru di kawasan pedalaman.

Beliau berkata, NUTP akan berbincang dengan guru dan menunggu tindak balas mereka sebelum memutuskan sebarang keputusan berkaitan cadangan itu.

"Saya berpendapat, tiada masalah besar jika guru menandatangi akujanji kerana guru yang ditempatkan di sekolah pedalaman mendapat insentif.

"Bagaimanapun, kebanyakan permohonan pertukaran dilakukan guru wanita yang berkahwin dan mahu mengikut suami mereka," katanya.

Kesimpulannya, isu akujanji mungkin tidak timbul jika mereka yang memilih menjadi guru meminati bidang itu, bukan sekadar pilihan terakhir.

kredit: Harian Metro, Isnin 7 Disember 2009



Disember 03, 2009

(PANAS..PANAS..PANAS) ERTI SEBENAR GURU CEMERLANG "DIPERDEBATKAN"


ERTI SEBENAR GURU CEMERLANG

SAYA merujuk kepada kenyataan Ketua Pengarah Pelajaran Malaysia, Tan Sri Alimuddin Mohd. Dom, yang menyarankan agar guru-guru menerima sahaja tugasan yang diberi kerana ia akan membentuk sikap bertanggungjawab dan dedikasi kepada tugas sebagai pendidik.

Sebagai guru, saya percaya semua guru bersetuju dengan pandangan beliau. Pendedahan kepada pelbagai bidang tugas memang satu nilai tambah kepada modal insan guru.

Namun begitu, saya berpendapat, sebagai Ketua Pengarah Pelajaran, beliau patut sudah mengetahui tentang bebanan tugas guru yang sudah menyebabkan hampir 80 peratus guru hilang fokus, masa dan tenaga yang sepatutnya ditumpukan kepada tugasan sebenar, iaitu mengajar di dalam kelas. Perkara ini jika berlarutan, kalau ditambah bilangan guru 10 kali ganda pun, tapi kalau semuanya hendak buat kerja pentadbiran, memang tidak berubah keadaan sekolah-sekolah kita.

Keratan akhbar tersebut

Inilah yang menimbulkan rungutan guru-guru. Apabila proses Pengajaran dan Pembelajaran (P&P) terganggu, murid ketinggalan dalam akademik dan menimbulkan masalah disiplin. Kemudian ibu bapa pula merungut. Padahal sebagai guru, kita sudah melakukan apa yang termampu dengan masa dan tenaga yang terhad.

Tugas perkeranian ini bukan sahaja sudah menyebabkan tumpuan kepada bidang akademik terganggu, malah ia telah mengelabui mata para pentadbir dalam bidang pendidikan juga, bermula dari pentadbir sekolah, sehinggalah ke peringkat jabatan pelajaran negeri-negeri.

Malah, pada pendapat saya, pelantikan Ketua Pengarah Pelajaran dari kalangan guru yang merupakan orang akademik (yang akhirnya terpaksa duduk di pejabat membuat tugasan pentadbiran) ialah bukti bagaimana fokus kepada akademik telah dilonggarkan, kerana tuntutan kerja-kerja pentadbiran. Bayangkanlah kalau seseorang pada tahap kematangan dan pengalaman yang ada pada Alimuddin, duduk di dalam kelas untuk mengajar. Beliau barangkali boleh menghasilkan beratus-ratus lagi anak bangsa yang bakal menyumbang kepada negara. Tapi akhirnya beliau diletakkan di pejabat.

Kenapa tidak kita berikan kerja pentadbiran kepada orang pentadbiran, dan kita orang akademik, buatlah kerja akademik. Kenapa guru yang sudah berpengalaman bertahun-tahun akhirnya disuruh membuat kerja pentadbiran? Bukankah pengalaman dan pengetahuan mereka boleh membantu lebih ramai murid menjadi cemerlang? Adakah menjadi orang akademik terhebat masih rendah tarafnya berbanding orang pentadbiran yang duduk di pejabat?

Lihatlah bagaimana pemberian Anugerah Perkhidmatan Cemerlang, prestasi melintang (sudah tidak akan diamalkan lagi) pelantikan guru pakar, guru bestari dan guru cemerlang. Adakah mereka yang diberi semua penghargaan ini dilantik di kalangan guru yang anak murid mereka menunjukkan peningkatan prestasi akademik? Tidak!

Kebanyakan penerima anugerah dan pentadbir-pentadbir sekolah, pejabat pelajaran daerah dan jabatan pelajaran negeri dilantik di kalangan orang yang menonjol di bidang pentadbiran semata-mata. Sebab itulah kita lihat masih ada murid yang gagal subjek-subjek tertentu walaupun diajar oleh guru pakar, guru cemerlang dan guru bestari. Ini kerana yang ‘bestari’, ‘cemerlang’ dan ‘pakar’ ialah kerja pentadbiran guru itu, bukan teknik P&Pnya. Sekarang ini dengan peperiksaan PTK, guru yang malas masuk kelas pun boleh dapat kenaikan gaji dan pangkat.

Malah, saya sendiri pernah melihat seorang guru yang sangat konsisten. Guru ini setiap tahun (selama hampir 18 tahun) mencatatkan peratus lulus subjek Sains melebihi 95 peratus di semua kelas yang diajarnya, walau pun saban tahun mendapat kelas paling hujung, walaupun mengajar murid yang buta huruf, walaupun format peperiksaan kerap bertukar.

Beratus-ratus muridnya daripada tidak mengenal huruf, akhirnya mendapat A dalam subjek Sains SPM. Tetapi guru ini tidak pernah diberi Anugerah Perkhidmatan Cemerlang, hanya kerana guru ini tidak mempunyai hubungan baik dengan pentadbir sekolah yang hanya mementingkan kerja pentadbiran. Guru ini pula memang menolak kerja pentadbiran kerana kerja pentadbiran akan menyebabkan dia mengabaikan murid-muridnya, sesuatu yang guru ini enggan lakukan.

Bagi saya, sekalipun guru ini dilihat ‘melawan ketua’, tetapi komuniti kecil guru-guru dan murid-murid sekolah menyanjung dan menghormati guru ini kerana keberaniannya meletakkan fokus pada apa yang berhak, iaitu murid-murid. Guru ini juga tidak lokek membantu guru-guru muda dari segi memberi bimbingan tentang teknik P&P yang berkesan. Bagi guru muda seperti saya, inilah guru dalam erti kata sebenar.

Bagaimana boleh berlaku, dalam Kementerian Pelajaran Malaysia, guru yang pandai mengajar diketepikan berbanding guru yang hanya pandai menaip dan mengemas fail? Di manakah profesionalisme guru? Bagi saya, seorang guru itu profesional jika dia pandai mengajar kerana itulah sebenarnya tugas hakiki seorang guru. Tapi hari ini, guru yang membuat kerja yang betul tidak diberi penghargaan sepatutnya, dan guru yang tidak pandai mengajar pula yang diletakkan di tempat tinggi, diberi elaun, kuasa dan jawatan. Bagaimanakah guru-guru yang setiap hari berhempas-pulas dengan murid di dalam kelas hendak menghormati pentadbir mereka yang tidak pandai mengajar pun?

Malah, pentadbir itu pula yang akan duduk di belakang kelas menilai sama ada guru lain pandai mengajar atau tidak. Hanya kerana mereka pentadbir, mereka ada kuasa memberi markah. Tapi mereka menjadi pentadbir bukan kerana mereka pandai mengajar, tapi pandai membuat kerja lain selain mengajar. Bagaimanakah pentadbir sekolah seperti ini layak menuntut penghormatan daripada warga guru? Saya pernah melihat seorang pengetua sekolah yang diletakkan mengajar hanya dua waktu seminggu, terpaksa meminta guru lain mengambil alih kelasnya kerana dia terlalu kerap keluar dan tidak ada di sekolah.

Jika hari ini masyarakat melihat guru sebagai tidak professional, itu ialah kerana hampir semua guru terpaksa membuat kerja menaip dan mengemas fail, suatu kerja yang boleh dibuat oleh budak lepasan SPM.

Jika hari ini masyarakat melihat guru tidak berilmu, ia adalah kerana guru asyik mengisi borang, bukan mengisi dada dengan ilmu.

AKMAL FAIRUZ
Kuala Lumpur

Dipetik daripada ;
Utusan Malaysia, Khamis 3 Disember 2009 (m/surat 12)

Disember 02, 2009

(PANAS) GURU SK DIBEBANI TUGAS KERANI


Pelbagai pihak menyalahkan guru sekolah Kebangsaan (SK) kerana dikatakan gagal mendidik pelajar jika dibandingkan dengan guru Sekolah Rendah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) yang kononnya cemerlang. Lantaran itu ada pihak yang mencadangkan agar guru SK dihantar mengikuti kelas pembelajaran Matematik dan Sains di SJKC terpilih.

Malah ada pertubuhan perguruan mempertikaikan komitmen guru SK dalam mendidik pelajar dan menuduh guru SK kurang memberikan latihan kepada pelajar. Semua pihak menghentam guru SK seolah-olah mereka inilah yang harus dipersalahkan dan mereka yang mengkritik pula telah menjalankan tanggungjawab dengan sempurna.

Golongan ini langsung tidak melihat elemen-elemen lain yang menyebabkan prestasi SK merosot. Sedarkah mereka bahawa SJKC hanya mengambil pelajar Cina yang pintar sahaja untuk belajar di SJKC manakala lebihannya dihantar ke SK untuk didik oleh guru SK?

Adilkah bebanan yang terpaksa ditanggung oleh guru SK? Golongan ini juga tidak sedar bahawa merekalah yang ‘merosakkan’ reputasi guru sebagai pendidik dengan membebankan guru SK dan SMK dengan tugas-tugas perkeranian yang semakin menimbun saban tahun.

Setiap pengetua dan guru besar pula menekan guru-guru untuk menyediakan pelbagai laporan yang boleh dibuktikan kepada Jabatan Pelajaran Negeri agar membolehkan mereka layak mendapat jawatan Pengetua Cemerlang. Itu belum lagi tugas sebenar seorang guru iaitu Pengajaran dan Pembelajaran (P&P) yang ‘terganggu’ oleh keperluan jabatan-jabatan kerajaan lain seperti Jabatan Kesihatan, Agensi Anti Dadah Kebangsaan dan banyak lagi.

Semua keperluan ini sepatutnya dilakukan oleh kakitangan bergelar kerani, bukannya guru kerana tugas sebenar seorang guru ialah terlibat dengan P&P. Namun semuanya itu dilonggokkan ke atas bahu para guru dengan alasan profesionalisme. Semakin banyak kerja perkeranian dan perburuhan yang dilakukan maka semakin profesionallah guru tersebut.

Sebenarnya banyak lagi aspek dan elemen yang boleh ‘dikambinghitamkan’ sebagai jawapan atas kegagalan pelajar di SK. Antaranya ialah sikap tidak bertanggungjawab dan tidak prihatin ibu bapa, kemiskinan, kurang pendedahan, persekitaran, kurang kemudahan dan sebagainya.

Namun semua itu akan dapat diatasi sekiranya profesionalisme perguruan dikembalikan ke jalan yang benar iaitu para guru 100 peratus melibatkan diri dengan P&P, bukannya sebagai kerani kaunter kutipan bayaran, kerani mengira kehadiran penonton di stadium, kerani statistik, kerani banci penduduk, kerani syarikat penyelenggaraan dan lain-lain yang langsung tidak berkaitan dengan P&P.

Jika golongan pensyarah di kolej-kolej dan universiti boleh menjalankan P&P mereka tanpa kerja-kerja yang tak berkaitan, mengapa guru-guru tidak?

Menteri Pelajaran sebelum ini pernah membuat penyelidikan betapa banyaknya beban kerja guru. Malah beliau telah mengungkapkan “saya kasihan akan guru-guru saya” apabila hasil kajian beliau mendapati para guru ‘diseksa’ dengan kerja-kerja perkeranian yang melambak-lambak. Namun setakat itu sahaja kerana dunia perguruan terus bercelaru dengan pelbagai beban kerja di luar P&P.

Kerja-kerja perkeranian mengganggu P&P guru. Guru adalah manusia biasa yang mempunyai kemampuan berfikir dan bekerja yang terhad. Pengetua, Pejabat Pelajaran Daerah (PPD)dan Jabatan Pelajaran Negeri (JPN) mahupun Kementerian Pelajaran Malaysia, masing-masing hanya mahukan satu laporan atau satu statistik sahaja daripada seorang guru tetapi guru tersebut perlu melakukan empat pekerjaan di luar bidang P&Pnya. Alangkah bagusnya setiap tahun hanya satu kerja sahaja daripada empat pihak tersebut. Ironinya keadaan itu adalah mustahil!

Janganlah salahkan guru semata-mata. Sistem pendidikan dan penyampaian Kementerian Pelajaran Malaysia wajar berlaku adil kepada seluruh guru. Berilah keadilan kepada guru-guru SK dan SMK, iaitu 100 peratus P&P dan tiada lagi ‘guru kerani’. Insya-Allah pendidikan SK dan SMK akan terus gemilang.

NORHISYAM MOHAMAD

Kota Sarang Semut, Kedah

Utusan Malaysia Online: 26 November 2009

kredit PKG-Puchong

Mei 11, 2009

KERATAN AKHBAR

Ramai atlit sekolah kita yang berbakat. Lihat sahaja paparan di atas. Sharizah Shuhaimie antara yang cukup berbakat apabila mewakili Daerah Petaling Perdana ke Pertandingan Boling Peringkat Negeri yang diadakan baru-baru ini. Semoga bakat-bakat kecil ini akan terus menyinar dan mewakili negara suatu hari nanti. Insyaallah......

Kepada murid-murid yang lain, anda juga boleh berjaya seperti Sharizah dan yang lain. Apa yang penting, setiap kejayaan itu memerlukan sedikit pengorbanan tenaga dan usaha. Jadi, ayuh berusaha dan jangan berputus asa...


April 04, 2008

BERITA PENDIDIKAN

PUTRAJAYA, 1 April (Bernama) -- Kementerian Pelajaran hari ini mengumumkan tarikh-tarikh bagi peperiksaan Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR), Penilaian Menengah Rendah (PMR), Sijil Tinggi Agama Malaysia (STAM) dan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) bagi tahun ini.

Ketua Pengarah Pelajaran Datuk Alimuddin Mohd Dom dalam satu kenyataan hari ini berkata peperiksaan UPSR dijadualkan dari 9 hingga 11 September, PMR dari 13 hingga 17 Oktober, STAM pada 20, 21, 22, 28 dan 29 Oktober, manakala SPM dari 12 November hingga 6 Disember.

Beliau berkata Lembaga Peperiksaan Malaysia (LPM) berusaha sedaya upaya memenuhi permintaan bagi melewatkan tarikh peperiksaan dengan menyusun semula jadual operasi pengendalian peperiksaan-peperiksaan tersebut tahun ini.Menurutnya dengan pelbagai kekangan yang dihadapi pelbagai pihak terutama LPM yang mengendalikan peperiksaan-periksaan itu, adalah sukar untuk mengadakan kesemua peperiksaan tersebut serentak di hujung tahun persekolahan.

Tarikh cuti akhir tahun persekolahan ialah pada 14 November ini."Penyusunan semula jadual ini mengambil kira aspek pengurusan dan profesional serta melibatkan banyak pihak terutama yang berhubung dengan percetakan, pengedaran, penyimpanan kertas soalan dan skrip jawapan, pemeriksaan, pemprosesan data, penentuan standard dan pengumuman keputusan," katanya.

-- BERNAMA