Tampilkan postingan dengan label Kesihatan. Tampilkan semua postingan
Tampilkan postingan dengan label Kesihatan. Tampilkan semua postingan

Senin, 23 Juli 2012

Gastrik tidak halang puasa

Gastrik tidak halang puasa

Setiap kali tiba Ramadan, setiap kali alasan yang sama diberikan, gastrik dan tidak boleh lapar menyebabkan tidak boleh menjalankan Rukun Islam ke tiga.

Tetapi apakah kaitan antara gastrik dan puasa? Benarkah gastrik membataskan seseorang untuk menunaikan ibadah puasa?

Gastrik atau istilah perubatannya, gastritis, adalah sejenis penyakit keradangan pada dinding atau lapisan mukosa perut yang mempunyai rawatan yang efektif.

Tanda gastrik mudah dikesan kerana ia menyebabkan ketidakselesaan pada perut antaranya sakit perut, pada bahagian atas abdomen atau ulu hati, perut senak, berangin atau pedih, kembung, sendawa, loya, hilang selera makan atau turun berat badan.

Secara semulajadi sel perut menghasilkan asid hidroklorik dengan pH1 hingga 2 yang mencernakan makanan.

Asid yang kuat ini boleh menghakis besi dan sel perut menghasilkan lapisan mukosa sebagai perlindungan terhadap kesan asid tadi.

Orang yang mengadu sakit perut apabila lapar menandakan asid hidroklorik terlalu banyak dalam perut dan jika sakit perut selepas makan mungkin menandakan masalah ulser perut kerana lapisan mukosa lemah.

Ramai menganggap serangan gastrik kerap berlaku semasa bulan Ramadan kerana tidak makan dan tahap asid dalam badan meningkat.

Sebenarnya semasa berpuasa, seluruh sistem penghadaman berehat dan rembesan asid hidroklorik dalam perut menurun dan masalah sakit atau senak akibat asid perut yang tinggi tidak timbul.

Pakar Gastroenterologi, Pusat Perubatan Kelana Jaya (KJMC), Dr. Abdul Malik Jamal Buhari berkata, sakit perut semasa berpuasa bukan disebabkan gastrik tetapi tabiat pemakanan semasa berbuka.

"Semasa berbuka, mulakan dengan makanan ringan seperti kurma, sedikit kuih atau buah-buahan, tunaikan solat maghrib dan selepas itu barulah ambil makanan lebih berat," katanya semasa ditemui di pejabatnya baru-baru ini.

Malangnya apabila tiba masa berbuka, ramai yang berbuka dengan makanan berat dan bersifat kompleks yang menyebabkan ketidakhadaman.

Makanan kompleks seperti berempah, lemak dan pedas menjejaskan kelancaran sistem pencernaan menyebabkan sakit perut.

Sebenarnya mereka yang menderita gastrik masih juga boleh menunaikan ibadah puasa di bulan Ramadan.

Dua kaliSemasa Ramadan, kita hanya makan dua kali sehari dan tidak makan di antara dua masa makan buka dan sahur.

Dr. Malik berkata, semasa berbuka dinasihatkan hanya minum air dan makan makanan yang ringkas seperti kurma atau buah-buahan kering.

Kurma dan makanan kering amat baik kerana dapat merangsang asid untuk menerima lebih banyak makanan.

Kurma juga kaya dengan garam galian seperti potasium selain lambat membebaskan tenaga.

Seelok-eloknya kata Dr. Malik, selepas minum air dan kurma, solat dulu sebelum sambung makan yang lebih berat dan selepas itu jangan ambil makanan berat.

Semasa bersahur pula ambil makanan seperti roti, susu, kurma atau oat kerana ketika itu perut belum bersedia menerima makanan.

Bagaimanapun sahur amat penting untuk badan kerana ia seperti mengambil sarapan pagi.

Dr. Malik berkata, sebanyak 80 peratus penderita gastrik disebabkan oleh bakteria dalam perut Helicobacter pylori (H. pylori) manakala selebihnya disebabkan oleh makanan, ubatan seperti ubat tahan sakit dan stres.

Gastrik bukan disebabkan tidak mengambil makanan tetapi mengambil makanan yang tidak teratur dan seimbang.

Mereka yang mempunyai simptom gastrik disyorkan menjalani ujian darah, ujian pernafasan dan endoskopi bagi mendapatkan sampel bakteria di dalam perut.

Gastrik yang disebabkan oleh bakteria boleh diubati dengan mengambil ubat antibiotik.

BerhentiMasalah yang kerap berlaku ialah pesakit tidak menghabiskan ubat diberi dan biasanya mereka berhenti mengambil ubat selepas tiga atau empat hari iaitu apabila kesakitan hilang.

Dr. Malik menambah, individu yang ada gastrik sepatutnya boleh berpuasa jika mengamalkan kaedah pemakanan seperti disarankan agama dan pakar pemakanan iaitu melambatkan bersahur, menyegerakan berbuka dan makan secara sederhana.

"Jadi, gastrik tidak boleh dijadikan alasan untuk tidak berpuasa, melainkan jika ia terlalu memudaratkan.

"Jika disahkan menghidap gastrik, jumpa dan minta nasihat doktor mengenai pemakanan, gaya hidup dan ubatan yang perlu diambil," katanya.

- UTUSAN

Senin, 16 Juli 2012

Tips Memutihkan Gigi

Tips Memutihkan Gigi

PENGAMBILAN minuman seperti teh dan kopi akan mengubah warna kecerahan gigi yang secara tidak langsung akan mencacatkan senyuman kamu. Berikut adalah tip untuk memiliki gigi cantik dan sihat :-

1. PETUA klasik untuk memutihkan gigi adalah menggunakan soda bikarbonat yang diletakkan pada berus gigi untuk mengurangkan hidrogen peroksida.

2. KITA boleh memutihkan gigi dengan menggunakan paste yang diperbuat daripada beberapa titis jus lemon yang telah dicampur dengan secubit garam. Gunakan paste tersebut ke gigi dan gosok secara lembut ketika sedang memberus gigi.

3. SARI buah epal dan cuka putih juga sangat berkesan untuk menghilangkan kesan karat pada gigi tapi elakkan dari menggunakan secara harian kerana ia boleh menimbulkan kerosakan pada lapisan enamel gigi.

4. KULIT limau mengandungi unsur pemutih yang sangat lembut. Gosok gigi dengan menggunakan bahagian dalam kulit limau, ia mampu membantu menghilangkan kesan karat pada gigi tanpa membahayakan lapisan enamel gigi.

5. SELAIN teh dan kopi, buah-buahan seperti anggur merah, ceri, beri hitam serta beri biru juga mampu mengubah warna kecerahan gigi kamu. Jadi, berus gigi atau minum air putih selepas makan buah-buahan tersebut untuk mengelakkan kotoran melekat di gigi kamu.

6. KEJU mengandungi lactic acid yang berfungsi untuk melindungi gigi. Selain itu, ia turut mengandungi kalsium dan fosfor yang berguna dalam pembentukan enamel gigi.

7. NIKOTIN yang terkandung dalam rokok akan menyebabkan gigi kelihatan kekuningan dan sukar untuk dihilangkan kerana ia telah menembusi enamel. Dalam kes ini, gunakanlah produk pemutih gigi sebagai jalan penyelesaiannya.

8. JANGAN lupa membuat temu janji dengan doktor gigi sekurang-kurang enam bulan sekali untuk membuat scaling bagi mengeluarkan kotoran permukaan yang berpunca daripada pelbagai makanan.

- UTUSAN
Terapi untuk pesakit darah tinggi

Terapi untuk pesakit darah tinggi

HIPERTENSI atau lebih dikenali dengan darah tinggi terus berada di tempat teratas sebagai faktor utama penyakit kardiovaskular iaitu punca utama kematian di negara ini.

Dianggarkan 4.8 juta individu menghidap hipertensi dan hanya 26 peratus mencapai tekanan darah yang disasarkan atau ideal.

Garis panduan hipertensi mengesyorkan ubat kombinasi yang mempunyai mekanisme tindakan pelengkap untuk mencapai sasaran tekanan darah berkesan.

Tekanan darah biasanya tidak dapat dikawal dengan baik hanya dengan agen anti hipertensi tunggal dan hipertensi yang tidak dirawat boleh menyebabkan sakit jantung serta strok.

Seeloknya hipertensi dirawat di peringkat awal sebelum merosakkan organ-organ penting dalam badan.

Terdapat lima kelas utama ubat yang digunakan untuk mengurangkan tekanan darah dan penggunaannya biasanya disyorkan bagi merawat hipertensi.

Dalam keadaan tertentu, menggunakan jumlah lebih kecil satu atau lebih ubat secara kombinasi boleh mengurangkan kesan sampingan sambil meningkatkan kesan anti-hipertensi.

Pengarah Jabatan Nefrologi, Medizinische Hochshule Hannover, Jerman, Prof Herman Haller berkata, kajian menunjukkan terapi kombinasi telah menunjukkan peningkatan ketara dari segi keadaan pesakit.

"Pesakit lebih mudah mengambil satu saja ubat yang boleh mengawal tekanan darah berbanding dua ubat berbeza," katanya semasa taklimat media mengenai terapi kombinasi baru untuk hipertensi di Kuala Lumpur baru-baru ini.

Salah satu ubat kombinasi terbaru Amlodipine dan Olmesartan Medoxomil mempunyai dua ramuan penting yang boleh membantu mengendurkan salur darah dan pada masa yang sama mengurangkan tekanan darah.

Kedua-dua komponen menyumbang kepada terapi hipertensi yang cekap dan berkesan dengan kemujaraban untuk mengurangkan tekanan darah dalam lapan minggu berbanding mengambil dua ubat berasingan.

Sementara itu Pakar Runding Kardiologi, Institut Jantung Negara (IJN) Datuk Prof Dr. Azhari Rosman berkata, pesakit yang mengambil Amlodipine dan Olmesartan Medoxomil mempunyai tahap toleransi yang tinggi dan berjaya mengawal tekanan darah sehingga mencapai sasaran dalam masa 24 jam.

"Biasanya ubat tekanan darah tinggi dikaitkan dengan kesan sampingan seperti sakit kepala dan pening.

"Amlodipine dan Olmesartan Medoxomil yang diberikan menunjukkan profil toleransi lebih baik, melindungi organ dan mengurangkan tekanan darah selama 24 jam, menjadikannya sesuai untuk penghidap hipertensi berisiko tinggi," katanya.

Amlodipine dan Olmesartan Medoxomil mengandungi dua ramuan penting yang boleh mengendurkan salur darah dan mengurangkan tekanan darah.

Amlodipine Besylate adalah penghalang saluran kalsium yang mengimbangi kesan kalsium dalam salur darah dengan mencegah kalsium daripada memasuki sel darah dan dinding salur darah menyebabkan tekanan darah lebih rendah.

Olmesartan Medoxomil pula menyekat tindakan hormon yang dinamakan Angiotensin II yang boleh mengecilkan dan menyempitkan salur darah.

Terapi ini disyorkan bagi rawatan hipertensi asas dan dicadangkan bagi pesakit dengan tekanan darah tidak terkawal dengan terapi tunggal.

Dos yang dicadangkan adalah sehari sekali. Ia boleh didapati dalam dos 20mg/5mg dan 40mg/5mg.

Malaysia merupakan negara ketiga di Asia yang menggunakan Amlodipine dan Olmersartan Medoxomil.

- UTUSAN
Tingkatkan sistem imun badan

Tingkatkan sistem imun badan

SANGGUPKAH anda jika diminta berjemur selama 20 hingga 30 minit pada bila-bila masa dari jam 10 pagi hingga 2 petang untuk mendapatkan vitamin D harian anda? Mendengar pertanyaan, penulis awal-awal lagi angkat bendera putih, tidak sanggup untuk ‘memekatkan’ lagi warna kulit yang sememangnya sudah gelap ini.

Di kalangan kawan-kawan pun, ramai menggeleng kepala apabila ditanya soalan yang sama. Agaknya inilah yang menyebabkan ramai penduduk Malaysia mengalami masalah kekurangan vitamin D. Kajian yang diterbitkan dalam jurnal Osteoporosis International pada 2009, menganggarkan 50 peratus wanita menopaus di Malaysia tidak cukup vitamin D.

Keadaan yang lebih kurang sama berlaku di Thailand (47 peratus) manakala senario paling teruk adalah pada wanita Jepun dengan peratusan setinggi 90 peratus dan Korea (92 peratus). Semuanya gara-gara mahukan kulit cerah yang dianggap kunci dan asas kepada kecantikan.

Pakar biokimia dari Kanada, Lyle MacWilliam berkata, hasil kajian itu agak mengejutkan kerana perkara ini (masalah kekurangan vitamin D) tidak sepatutnya berlaku pada penduduk negara beriklim tropika yang mendapat banyak sinaran matahari sepanjang tahun.


“Penduduk di negara yang berhampiran garisan Khatulistiwa (seperti Malaysia) sepatutnya memanfaatkan sepenuhnya vitamin percuma daripada cahaya matahari.


“Antara faktor yang menyumbang kepada kekurangan vitamin D ini walaupun sumbernya melimpah-ruah ialah gaya hidup, pemakanan dan budaya setempat. Saya akui kebanyakan orang sekarang memang mengelak daripada berada di bawah pancaran matahari.

“Mungkin ini adalah hasil daripada kempen yang mengajak orang ramai mengelak daripada berada di bawah pancaran matahari terutama pada waktu tengah hari yang dianggap akan membawa kesan negatif seperti kanser kulit. Namun ramai tidak sedar bahawa dengan berada di dalam bangunan pada kebanyakan masa sepanjang siang hari akan menyebabkan mereka mengalami masalah kekurangan vitamin penting ini,” katanya.

Berdasarkan kajian di Asia Pasifik oleh J Clin Nutr pada 2004 yang membandingkan wanita Melayu dan Cina, ia mendapati masalah kekurangan vitamin D di kalangan wanita Melayu lebih tinggi. Kekurangan ini disebabkan oleh beberapa faktor iaitu:

Wanita Melayu mempunyai peratusan lemak badan yang lebih tinggi berbanding wanita Cina.

Wanita Melayu kurang aktif berbanding wanita Cina.

Hanya 46 peratus wanita Melayu kerap bersenam.


Kekurangan vitamin D tidak hanya berlaku pada wanita kerana ia turut membabitkan lelaki dan kanak-kanak. Kira-kira 50 peratus kanak-kanak di Eropah dan Amerika Utara berisiko tinggi mendapat pelbagai penyakit yang disebabkan kekurangan vitamin D. Dianggarkan 40 hingga 100 peratus lelaki warga emas di Eropah juga kekurangan vitamin D, bergantung kepada kedudukan negara dari garisan Khatulistiwa.

Kira-kira 30 hingga 50 peratus kanak-kanak di Arab Saudi, Emiriah Arab Bersatu, Turki, India dan Lubnan mengalami kekurangan vitamin D yang agak teruk. Kajian yang dilakukan ke atas kanak-kanak prasekolah di Mexico juga mendapati 54 peratus mengalami masalah serupa.

Di Malaysia, kajian ke atas kanak-kanak sekolah berumur lima hingga 12 tahun di lima sekolah di Kuala Lumpur pada 2011 yang dilaporkan dalam Jurnal Kesihatan Awam BMC mendapati 35 peratus daripada kanak-kanak mengalami kekurangan vitamin D yang serius dan paras vitamin D pada 37 peratus golongan muda itu terlalu rendah untuk menyokong kesihatan yang baik.

Apa kelebihan vitamin D yang membuatkan MacWilliam begitu beria-ia sehingga sanggup terbang merentasi benua bagi menyampaikan taklimat di beberapa negara?

Menurutnya, peranan atau fungsi vitamin D bukan hanya untuk kesihatan tulang.
Ia mempunyai peranan lebih besar yang merangkumi kesihatan badan secara keseluruhan. Penyelidik mengesahkan vitamin D menjadi komponen pelengkap kepada kesihatan dan pengekalan sel badan.


Kajian terbaru mengesahkan bahawa vitamin D memainkan peranan penting dalam:

Metabolisma sel
Kesihatan jantung
Fungsi sistem imun
Sebagai sokongan kepada sistem saraf
Mengurangkan keradangan sistemik (yang membabitkan seluruh badan)


Malah penyelidik di Universiti California kini berasa lebih pasti bahawa kekurangan vitamin D mungkin menjadi punca kepada pelbagai jenis kanser. Malangnya kekurangan vitamin D ini adalah masalah yang sering disalah diagnos dan tidak disedari.

Kekurangan vitamin D yang sedikit biasanya tidak menimbulkan sebarang gejala.
Bagaimanapun, ia boleh meningkatkan risiko sepanjang hayat kepada seseorang untuk mendapat pelbagai penyakit antaranya kanser, penyakit jantung, osteoporosis, kencing manis, sklerosis pelbagai dan gangguan autoimun.

Malah kata MacWilliam lagi, Malaysia yang terletak hanya tiga darjah di atas garisan Khatulistiwa yang kaya dengan sumber vitamin D percuma mula mencatatkan kes penyakit riket (penyakit kanak-kanak iaitu tulang tidak menjadi keras dan cacat) akibat kekurangan vitamin D.

Kekurangan vitamin D yang teruk boleh menyebabkan berlakunya kehilangan mineral pada tulang. Individu yang ada masalah ini akan mula mengalami pelbagai gejala seperti sakit pada tulang, keletihan melampau, lebih mudah mengalami keretakan tulang, tulang menjadi lembut, osteoporosis (tulang rapuh), masalah tulang belakang, otot lemah dan mudah kejang, peningkatan tahap kolesterol dan tekanan darah.


Berapa jumlah vitamin D yang diperlukan?

Jumlah yang diperlukan setiap orang ialah 10,000 unit antarabangsa (IU) sehari.
Jumlah ini boleh diperoleh dengan berjemur (dengan pakaian minimum dan tanpa menggunakan krim pelindung cahaya matahari) selama 10 hingga 20 minit sehari ketika cuaca terik sekitar jam 10 pagi hingga 2 petang supaya kulit boleh mensintesis cahaya matahari kepada vitamin D.

Bagaimanapun, MacWilliam mencadangkan supaya berjemur lebih lama terutama bagi individu yang kerjanya terperap dalam bangunan berhawa dingin. Malah mereka yang tidak berpeluang berjemur setiap hari disarankan mengambil makanan tambahan yang mengandungi sekurang-kurangnya 1,000 hingga 2,000 IU vitamin D.

Wanita menopaus yang mengambil makanan tambahan vitamin D sebanyak 1,100 IU dan 1,500 miligram kalsium setiap hari dilaporkan dapat mengurangkan risiko kematian akibat semua jenis kanser sebanyak 66 peratus. Pun begitu, kita tidak boleh bergantung kepada vitamin saja kerana gaya hidup sihat dan pengambilan makanan seimbang amat penting untuk mengekalkan kesihatan secara keseluruhan.


Adakah berjemur terlalu lama akan menyebabkan berlebihan vitamin D dalam badan?

Tidak. Badan kita hanya akan menyimpan jumlah vitamin D yang diperlukan saja.
Vitamin D yang berlebihan daripada cahaya matahari akan dikeluarkan dari badan apabila jumlahnya mencukupi. Bagaimanapun, kita boleh mengalami keadaan berlebihan vitamin D jika mengambil makanan tambahan.


Apakah kita perlu berjemur di bawah pancaran terik matahari?

Menurut MacWilliam, vitamin D dipanggil vitamin cahaya matahari kerana ia satu-satunya vitamin yang boleh dihasilkan oleh badan melalui proses fotosintesis. Penyerapan terus cahaya ultra lembayung B (UVB) membekalkan pergerakan fotokimia yang menukarkan prekursor kolesterol kepada vitamin D (juga dipanggil kolekalsiferol) yang kemudiannya akan ditukarkan ke bentuk vitamin D aktif (kalsitriol).

Justeru, cahaya matahari yang diperlukan adalah cahaya yang terik ketika matahari hampir tegak. Ini berbeza dengan pandangan umum yang mengatakan masa terbaik untuk berjemur pada awal pagi atau lewat petang.

“Makanan tidak dapat membekalkan vitamin D secukupnya kepada badan tetapi cahaya matahari boleh memberikan semua vitamin D yang kita perlukan tanpa sebarang bayaran. Kita hanya akan dapat cukup vitamin D kalau mengambil tiga hingga empat tin sardin atau makan 50 hingga 100 biji telur setiap hari.

“Bahkan di Kanada dan Amerika Syarikat di mana kebanyakan makanan diperkaya dengan vitamin D masih mengalami masalah kekurangan vitamin penting ini,” katanya.

Bagi mereka yang ingin mengambil makanan tambahan, pilih jenama yang dipercayai dan mempunyai prestasi cemerlang. Jangan pilih berdasarkan harga. Bahkan katanya, produk yang ditambah dengan sumber tumbuh-tumbuhan itu lebih baik.


Tidakkah krim pelindung cahaya matahari itu penting?

Ya. Ia masih penting khususnya bagi individu yang sensitif terhadap cahaya matahari seperti pesakit lupus atau ekzema. Pun begitu, mereka masih perlukan cahaya matahari.

Krim pelindung cahaya matahari yang ada di pasaran kini mengandungi penapis untuk menghalang cahaya ultra lembayung A dan B (UVA dan UVB) daripada menerobos masuk ke dalam kulit.

Penggunaan krim pelindung dengan SPF8 menghalang keupayaan kulit untuk menghasilkan vitamin D sebanyak 90 peratus manakala krim dengan SPF30 pula menyebabkan keupayaan kulit menghasilkan vitamin ini menyusut 99 peratus.

Jadi, krim pelindung cahaya matahari boleh disapu selepas anda mendapat vitamin D secukupnya daripada sinaran matahari. Selepas berjemur 10 hingga 20 minit, sapu krim ini untuk mengelakkan pendedahan berlebihan kepada cahaya matahari yang boleh menyebabkan kerosakan kulit atau penuaan tisu sebelum waktunya.

“Apa yang penting ialah anda mendapat vitamin D secukupnya dengan berjemur hanya 10 minit sehari. Ia bukan susah dilakukan apatah lagi di Malaysia yang dianugerahkan dengan cahaya matahari terik sepanjang tahun. Selepas 10 minit, anda boleh pakai apa saja krim perlindungan cahaya matahari. Kesihatan dapat, kecantikan juga terjaga,” katanya.

- HARIAN METRO

Jumat, 13 Juli 2012

Puasa penghidap Diabetes


TINGGAL seminggu sahaja lagi umat Islam di negara ini akan mula melaksanakan Rukun Islam ketiga iaitu berpuasa pada bulan Ramadan.

Sungguhpun begitu, terdapat golongan yang diberikan kelonggaran daripada melaksanakan ibadat tersebut berikutan keadaan kesihatan yang tidak mengizinkan.

Pesakit yang berdepan dengan isu kesihatan seperti kesakitan fizikal, kegagalan buah pinggang dan tekanan darah tinggi yang tidak terkawal tidak boleh berpuasa dengan cara selamat.

Salah satu golongan yang diberikan kelonggaran ialah penghidap diabetes. Bergantung kepada peringkat keadaan tertentu, sesetengah penghidap penyakit itu dikhuatiri akan mendatangkan mudarat terhadap kesihatan jika berpuasa.

Namun, ada segelintir daripada mereka yang tekad mahu melaksanakan kewajipan tersebut tanpa menghiraukan risikonya.

Masalah yang sering dihadapi oleh pesakit diabetes ketika Ramadan adalah serangan hipoglisemia.

Menurut Pakar Perunding Kanan Endokrinologi Pusat Perubatan Sime Darby, Profesor Chan Siew Pheng hipoglisemia merujuk kepada keadaan apabila kandungan glukos berkurangan dalam darah dan berada di bawah paras normal.

“Ramai pesakit diabetes tetap mahu berpuasa walaupun keadaan mereka sebenarnya tidak mengizinkan. Semuanya kerana mahu memenuhi tuntutan agama.

“Selaku doktor, kami akan bertanya kepada pesakit sama ada mereka larat untuk berpuasa atau tidak. Ada antara mereka yang meminta pendapat bagi memastikan sama ada keadaan mereka membolehkan mereka berpuasa dengan selamat atau sebaliknya,” katanya.

Tambahnya, doktor akan cuba membantu supaya pesakit diabetes tersebut dapat berpuasa dengan memberikan panduan dan mengajar mereka cara untuk berpuasa dengan selamat.

Siew Pheng menambah, menempuh bulan puasa sebenarnya merupakan satu masalah kepada pesakit diabetes kerana mereka tidak boleh makan dan minum pada siang hari.

Ia merupakan perubahan besar dalam corak pengambilan makanan, kalori, ketika berbuka puasa sehingga mereka bangun sahur untuk hidangan seterusnya.

“Jika mereka tidak bangun sahur, tempoh berpuasa mereka lebih lama berbanding orang lain yang berpuasa normal iaitu melebihi 14 jam.

“Keadaan ini merunsingkan kami kerana tindakan tersebut akan menyebabkan hipoglisemia yang mengundang keadaan kemerosotan glukos dalam darah selain terdedah kepada risiko dehidrasi kerana cuaca di negara ini yang panas,” ujarnya.

Ujarnya, apa yang menjadi kebimbangan adalah apabila paras glukos dalam darah pesakit diabetes akan jadi terlalu tinggi atau terlalu rendah.

Paras glukos yang tinggi mungkin disebabkan salah makan kerana berbuka dengan mengambil banyak minuman dan makanan manis serta lupa mengambil ubat.

Walaupun seharian berpuasa, pesakit diabetes tidak boleh mengambil gula dalam kuantiti yang banyak.

Statistik berganda

Dalam satu Kajian Diabetes Ramadan Epidemiologi 2001 yang melibatkan 12,243 pesakit diabetes di 13 buah negara, 95 peratus pesakit diabetes di Malaysia berpuasa lebih daripada 15 hari. Malah, kebanyakan daripada mereka berpuasa lebih 27 hari walaupun sudah mendapat nasihat doktor tetapi mereka tetap cuba berpuasa.

“Apabila mereka mengabaikan nasihat yang disarankan doktor, mereka akan mengalami simptom hipoglisemia yang teruk hingga terpaksa dikejarkan ke hospital.

“Sebelum Ramadan, purata kekerapan episod hipoglisemia yang berlaku ialah 0.4, manakala ketika Ramadan ia meningkat kepada tiga episod hipoglisemia iaitu 7.5 kali ganda daripada hari mereka tidak berpuasa,” jelasnya.

Salah satu punca hipoglisemia berlaku adalah ia ada kaitan dengan jenis ubat yang diambil oleh pesakit untuk mengawal paras glukos dalam darah.

Dua jenis ubat yang selalu digunakan di hospital iaitu metformin dan sulfonylurea.

Metformin yang berfungsi memperbaiki paras glukos dalam darah tanpa merangsang pengeluaran insulin mampu meminimumkan atau tidak mendatangkan risiko hipoglisemia.

Sulfonylurea pula boleh menyebabkan risiko ketara hingga tercetusnya hipoglisemia kerana ia merangsang pengeluaran insulin selagi berada dalam badan.

Tukar waktu

“Jika seseorang pesakit mahu berpuasa, dos ubat yang diambil perlu dikurangkan dan diterbalikkan dosnya.

“Jika dos pagi, ia perlu diambil ketika berbuka manakala dos malam diambil ketika sahur. Dalam masa yang sama, kita ajar mereka untuk berpuasa dengan selamat.

“Sejak lima hingga enam tahun lalu, terdapat kelas baharu ubat-ubatan untuk kawalan glukos tanpa episod hipoglisemia iaitu Oral DPP 4 inhibitors untuk pesakit diabetes Jenis 2,” katanya.

Pesannya, pesakit diabetes yang berpuasa perlu bersedia untuk berbuka jika mengalami simptom-simptom hipoglisemia.

Antara simptom-simptomnya ialah berpeluh, pening, gelisah, lemah badan, sakit kepala, kabur penglihatan, sentiasa lapar, menggigil, pengsan atau tidak sedarkan diri.

“Kalau mereka teruskan berpuasa juga, mereka akan menghadapi masalah besar. Pesakit yang mengalami hipoglisemia yang teruk akan memberikan tekanan pada jantung.

“Pesakit yang menghidap sakit jantung dan diabetes, hipoglisemia akan membebankan jantung hingga menyebabkan sakit jantung yang lebih teruk,” jelasnya.

Jika keadaan hipoglisemia berlarutan, ia mungkin mengakibatkan masalah jantung dan otak yang boleh menyebabkan kehilangan fungsi kognitif otak dan keadaan sawan hingga koma.

“Periksa paras glukos dalam darah anda beberapa jam selepas berpuasa. Jika bacaannya 3.9 milimol/liter (mmol/l), tolonglah buka puasa.

“Walaupun anda tidak mengalami sebarang simptom tetapi bacaan paras glukos dalam darah kurang daripada 3.3 mmol/l, segeralah berbuka bagi mengelakkan hipoglisemia yang teruk,” nasihatnya.

Apa yang penting, pesakit diabetes perlu mendapatkan nasihat doktor sebelum berpuasa sama ada mereka selamat untuk berpuasa atau tidak. Setiap pesakit mempunyai keperluan yang berbeza.

- KOSMO!

Senin, 09 Juli 2012

Isnin punca sijil cuti sakit?

Isnin punca sijil cuti sakit?

SESEORANG yang mempunyai rutin kerja dari Isnin sehingga Jumaat pastinya pernah mengalami sindrom Monday blues.

Ia adalah perasaan murung dan gelisah yang timbul apabila seseorang memikirkan dia terpaksa masuk bekerja semula pada hari Isnin selepas cuti hujung minggu Sabtu dan Ahad.

Perasaan ini biasanya bermula pada Ahad petang dan berakhir pada Isnin, selepas waktu bekerja.

Ini kerana bagi kebanyakan pekerja, Isnin adalah hari yang paling sibuk dengan pelbagai "dateline" dan mesyuarat penting.

Mungkin juga kerana ada di antara mereka sebenarnya masih berada di dalam mood cuti.

Berbeza dengan hari Jumaat apabila kebanyakan pekerja datang dengan penuh semangat memandangkan cuti hujung minggu mereka akan bermula selepas tamatnya waktu bekerja.

Kemurungan ini memusnahkan mood cuti hujung minggu. Cuti tersebut tidak dapat dimanfaatkan sepenuhnya untuk berehat. Malah ada yang begitu tertekan sehingga mengganggu keintiman suami isteri.

Monday blues ini juga adalah sebab mengapa ramai pekerja sengaja mengambil sijil cuti sakit pada hari Isnin.

Bagi yang datang bekerja, mereka lebih suka menyendiri dan menjadi tidak produktif. Suasana persekitaran juga menjadi hambar dan suram.

Bagi pekerja berpengalaman, mungkin cara paling baik untuk menghadapinya adalah melaluinya dengan sikap yang paling positif.

Anda pula mungkin mempunyai cara tersendiri, tetapi tidak salah untuk mencuba beberapa kaedah di bawah.

Tips mengelakkan Monday bluesPersediaan boleh bermula pada hari Jumaat lagi dengan membuat nota ringkas berkenaan perkara-perkara yang perlu dilakukan pada Isnin. Ini akan mengelakkan suasana kelam kabut pada hari tersebut.

Kebanyakan orang mengadu susah melelapkan mata pada Ahad malam. Ini kerana mereka banyak berfikir tentang perkara yang remeh-temeh.

Cuba dapatkan rehat secukupnya. Anda boleh cuba teknik mandian segar menggunakan sabun aromaterapi atau minum teh herba panas tanpa kafein beberapa jam sebelum waktu tidur.

Masuk tidur awal dan jangan menonton televisyen sehingga larut malam.

Pada keesokan harinya pula, mulakan dengan berjoging atau membuat senaman ringkas.

Setengah jam sudah mencukupi untuk merangsang tubuh badan merembes hormon gembira yang dipanggil endorphine.

Fikirkan sesuatu yang boleh membuatkan anda gembira ke tempat kerja. Contohnya, anda mungkin boleh telefon kawan untuk bersarapan pagi di kopitiam berhampiran atau mendapatkan perkhidmatan teksi ke pejabat.

Nikmati perjalanan tersebut. Datang lebih awal supaya anda berkesempatan untuk menyemak jadual temujanji dan membuat persediaan secukupnya.

Semasa bekerja, berehatlah seketika apabila minda anda semakin kehilangan fokus. Anda boleh berjalan-jalan atau membuat regangan kecil untuk melegakan tekanan.

Otak memerlukan oksigen dan rangsangan untuk berfungsi, terutamanya jika anda bekerja di dalam bagunan yang tidak mempunyai rangsangan cahaya matahari.

Jika anda perlu menghadiri mesyuarat kakitangan, carilah cara untuk menceriakannya. Cubalah tersenyum walaupun anda sendiri tidak menggemarinya.

Rakan sekerja anda juga mungkin begitu. Anda boleh membelikan kuih muih atau coklat bar untuk dikongsi bersama. Manisan adakalanya baik untuk meredakan ketegangan.

Pada waktu rehat tengah hari, cuba penuhkan ruang tersebut dengan aktiviti yang menggembirakan.

Anda mungkin boleh keluar makan bersama kawan, berjalan di kompleks beli-belah atau bersantai di pejabat.

Rancang sesuatu yang istimewa untuk dilakukan pada malamnya. Anda boleh makan malam bersama keluarga, berkaraoke atau menonton wayang.

Anggaplah ia sebagai hadiah selepas anda mengharungi hari isnin yang sibuk dan huru-hara.

Bagi majikan dan ketua jabatan pula, rangsanglah persekitaran jabatan anda sebaik mungkin. Ini boleh dilakukan dengan memulakan sesi bekerja pada Isnin dengan bacaan doa.

Cuba untuk tidak membuat mesyuarat kakitangan atau morning prayer pada hari tersebut.

Sediakan persekitaran yang kondusif untuk mereka menguruskan tekanan kerja dengan baik.

Hari Isnin tetap akan berlalu sama ada anda menghadapinya dengan baik atau tidak. Bagaimanapun, sekiranya perasaan murung tersebut berlarutan hingga ke hari-hari seterusnya, lakukanlah sesuatu.

Anda mungkin perlu menukar kerja atau mendapatkan rawatan doktor.

- UTUSAN
Sarapan dapat kurangkan berat badan?

Sarapan dapat kurangkan berat badan?

ADAKAH kamu tahu bahawa bersarapan itu penting bagi mengurangkan berat badan? Ya, kerana apabila bersarapan, kita dapat mengurangkan pemakanan makanan ringan atau snek sebelum makan tengahari.

Maka sarapan sebenarnya amat penting kepada kehidupan terutamanya remaja dalam proses tumbesaran.

Selalunya, selepas tidur, badan akan menjadi lemah kerana perut telah menjadi kosong dan air dalam badan juga berkurangan. Kandungan gula dalam darah juga menjadi rendah, menjadikan badan tidak bermaya dan bertenaga.

Apabila bersarapan makanan yang perlu diambil perlulah sihat dan berkhasiat. Bukannya makanan berlemak dan tinggi kolesterolnya.

1. Sediakan semangkuk salad sebelum anda masuk tidur. Keesokan harinya, hidangan ini boleh dijadikan sarapan pagi yang berkhasiat dan rendah lemak.

2. Roti bakar boleh menjadi enak dan berkhasiat jika anda bijak menyediakannya. Gunakan roti tinggi serat, bukannya roti putih. Untuk menambah perisa, sapukan sedikit mentega kacang dan taburkan sedikit kismis.

3. Muffin juga pilihan yang baik jika ia mengandungi bijirin atau cebisan buah-buahan. Bagi menjimatkan masa, cubalah luangkan masa seminggu sekali untuk membakar hidangan ini. Muffin boleh disimpan lama, tidak lebih dari dua minggu.

4. Jika ingin cepat, sandwich tuna bersama keju dan sebiji epal merupakan pilihan sarapan baik. Kombinasi ini mampu membuatkan perut kenyang sehingga waktu makan tengah hari.

5. Semangkuk bijirin sarapan pagi yang dicampur dengan susu segar merupakan sajian sarapan sangat berkhasiat dan amat mudah untuk disediakan. Untuk menambah selera, masukkan beberapa hirisan buah seperti epal, pisang atau strawberi.

6. Telur dadar bercampur sayur-sayuran segar seperti lobak merah, brokoli, daun seleri, atau cendawan juga pilihan sarapan yang baik kerana ia tinggi protein.

7. Untuk melengkapkan hidangan sarapan, minum jus buah-buahan segar yang dikisar sendiri. Campurkan sedikit susu segar ke dalam jus untuk mendapat sedikit kalsium.

- UTUSAN

Selasa, 03 Juli 2012

Dilema orang kurus, Sukar tambah berat badan


OBESITI sudah kita maklum sejenis gejala milenium baharu yang melanda masyarakat di kebanyakan negara sedang membangun. Seiring kewujudannya dalam kehidupan kini, telah terbentuk satu impak dalam gaya hidup semasa hinggakan media dibanjiri pelbagai iklan untuk menurunkan berat badan.

Fenomena itu menyebabkan ramai pihak semakin bimbang apatah lagi hampir 2.5 juta daripada 28 juta penduduk Malaysia mengalami masalah obesiti.

Seiring keresahan mengenai statistik tersebut, kerajaan terpaksa mengambil pelbagai langkah bagi menanganinya. Ini termasuk usaha menjalankan kempen kesedaran mengenai obesiti dan menyarankan rakyat Malaysia agar mengamalkan gaya hidup yang sihat selain menjaga pemakanan dalam kehidupan seharian mereka.

Namun, di sebalik keprihatinan pelbagai pihak itu, terdapat segelintir golongan yang berasa diri mereka tersisih lantaran kurang mendapat maklumat dan rujukan. Golongan yang dimaksudkan itu ialah mereka yang mengalami masalah fizikal terlalu kurus.

Mereka mengeluh kerana tidak banyak iklan atau maklumat menerusi televisyen, majalah, surat khabar dan radio yang memusatkan perhatian terhadap isu mereka yang sukar menambahkan berat badan.

Paling hampir, lima tahun dahulu, terdapat iklan sebuah produk makanan tambahan khas untuk orang kurus. Mungkin ramai yang masih ingat pada iklan itu yang berjaya menarik perhatian penonton. Ia dilakonkan seorang lelaki kurus memakai cawat sumo yang berusaha untuk menonjolkan dirinya.

Produk itu sedikit sebanyak telah membantu segolongan orang yang kurus untuk menambahkan berat badan. Begitupun, sejak beberapa tahun kebelakangan ini, iklan produk melangsing badan dan meramping pinggang pula yang terlalu mendominasi siaran iklan di media massa.

Bagi seorang pekerja swasta, Norfadilla Senin, 28, dia yang hanya seberat 45 kilogram (kg) mengakui bahawa agak sukar baginya mendapatkan produk untuk menambahkan berat badan.

Bagi anak keempat daripada enak beradik itu, dia bukan tidak bersyukur memiliki bentuk fizikal yang kurus, cuma dia mahu kelihatan lebih 'berisi' sedikit. Begitupun, tidak banyak sumber yang boleh membantunya.

Pernah gagal

Menceritakan dilema yang dialami sejak dia berumur 20 tahun, Norfadilla memberitahu, dia pernah mencari produk untuk menaikkan berat badan namun ia hanya sia-sia. Kegagalan itu membuatkannya hampir berputus asa.

Pada masa yang sama, dia juga tidak pernah mengabaikan pemakanannya malah menurut Norfadilla, dia akan 'makan apa sahaja yang berada di depan mata'.

Katanya, memiliki bentuk badan yang kurus sebenarnya menyebabkan emosinya terganggu, lebih-lebih lagi apabila sering ditegur atau diusik rakan-rakan.

"Saya akan makan empat atau lima kali sehari dan hidangannya berbeza-beza namun berat badan tidak pernah bertambah.

"Sebab itu saya tercari-cari makanan tambahan yang membolehkan badan saya nampak berisi," ujarnya yang mempunyai ketinggian 1.62 meter.

Dengan memiliki badan yang kurus berbanding dengan adik-beradik yang lain, keadaan fizikalnya membuatkan kedua ibu bapa gadis ini tidak berasa bimbang terhadap keadaan dirinya kerana menganggap anak mereka itu sihat.

"Walau bagaimanapun, saya bersyukur kerana tidak menghidap sebarang penyakit," katanya sambil memberitahu, kadangkala dia menjadi rimas dengan teguran beberapa kali mengenai tubuhnya itu.

Sementara itu, bagi seorang pekerja pemprosesan makanan, Siti Farah Adnan, 26, dia tidak terkecuali daripada dilema itu. Begitupun, dia sudah lama tidak ambil peduli terhadap tanggapan negatif daripada rakan-rakannya.

Di sebalik memiliki tubuh badan umpama seorang pelajar yang masih menuntut sekolah menengah, gadis seberat 43kg itu mengakui bahawa dia sering bersabar apabila teman-teman mengusiknya dengan panggilan 'kering'.

Begitupun, gadis yang memiliki ketinggian 1.52 meter menjelaskan bahawa dia semakin lali dengan usikan itu. Dia bagaimanapun tidak patah semangat untuk menambahkan berat badannya.

Untuk itu, dia juga telah mencuba dua hingga tiga produk berbeza yang mendakwa mampu menambahkan berat. Namun, selepas lima tahun, semua produk itu tidak meninggalkan apa-apa kesan perubahan pada fizikalnya.

"Kalau hendak tunggu produk penambah berat badan keluar menerusi iklan akhbar atau televisyen, memang susah.

"Oleh itu, saya terpaksa mencari sendiri produk yang boleh menambahkan berat badan. Cuma, kadangkala saya khuatir sekiranya produk yang dibeli itu tidak mendapat kelulusan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM)," ujarnya.

Bagaimanapun, jauh di sudut hati Siti Farah, dia masih memasang niat untuk menambah berat badan.

"Sekiranya saya sakit, berat badan saya akan menyusut lagi. Saya akan kehilangan berat badan hampir 3kg jika demam kerana hilang selera makan. Lebih buruk, sendi saya juga akan berasa sakit.

Menurutnya, jika mahu kembali kepada berat badan yang asal, ia akan mengambil masa lama.

Sehingga hari ini, dia masih berusaha mendapatkan rujukan daripada pakar-pakar kesihatan selain mencari produk kesihatan yang ideal untuk membantunya menangani dilema tersebut.

- KOSMO!

Jumat, 29 Juni 2012

Masalah kesukaran tidur kritikal

Masalah kesukaran tidur kritikal

Kementerian Kesihatan menyifatkan masalah kesukaran tidur di kalangan rakyat di negara ini berada pada tahap kritikal.

Menterinya, Datuk Seri Liow Tiong Lai berkata, meskipun kerajaan tidak mempunyai statistik tepat mengenai masalah itu namun pihaknya yakin ia berada pada tahap kritikal berdasarkan rekod pesakit ke hospital bagi mendapatkan rawatan berhubung masalah tersebut.

Sehubungan itu tambahnya, kerajaan komited mengatur perancangan membantu orang ramai yang mengalami masalah tersebut dalam memastikan kualiti kehidupan rakyat dapat ditingkatkan.

Pada masa sama, beliau turut menyarankan orang ramai mengambil serius berhubung jumlah waktu tidur yang diperlukan agar mereka sentiasa berada dalam keadaan bertenaga dan segar.

"Tidur kurang dari lima jam adalah sesuatu yang tidak baik untuk kesihatan kerana ia bukan sahaja mengundang penyakit malah mengurangkan produktiviti serta kebolehan mengingat dan memproses maklumat.

"Begitu juga tidur secara berlebihan. Jadi, orang ramai perlu mengetahui purata jumlah waktu tidur yang sebenar iaitu antara enam hingga lapan jam sehari," katanya.

Beliau berkata demikian pada majlis pembukaan Kongres Malaysia Antarabangsa ORL-HNS Keempat dan Kongres Masalah Kesukaran Tidur ASEAN Pertama di sini hari ini.

Kongres yang bertujuan berkongsi idea dan perkembangan terkini mengenai penyelidikan masalah tidur dan kaedah rawatannya itu dihadiri lebih 500 delegasi dari dalam dan luar negara termasuk wakil dari United Kingdom, Australia, Hong Kong, Thailand, Korea dan Indonesia.

Menurut Tiong Lai, orang ramai yang mengalami masalah kesukaran tidur termasuk salur pernafasan terhalang (OSA) perlu mendapatkan rawatan pada peringkat awal.

"Antara punca masalah tidur dan OSA ini adalah seperti sering mengalami tekanan darah tinggi, obesiti dan sakit jantung," katanya.

- UTUSAN

Minggu, 24 Juni 2012

Kempen kesedaran kanser serviks

Kempen kesedaran kanser serviks

ANDA mungkin boleh menyediakan semangkuk mi segera dalam masa empat minit. Tetapi, sedarkah anda dalam tempoh sesingkat itu juga nyawa seseorang wanita di rantau Asia Pasifik akan melayang? Semuanya bahana kanser pangkal rahim yang meragut sejumlah 143,000 nyawa setiap tahun.

Dalam konteks dunia, sekurang-kurangnya 270,000 kematian ekoran kanser serviks dilaporkan setahun dengan sekitar 80 peratus berlaku di negara-negara membangun. Hanya 41 peratus daripada wanita negara membangun berpeluang mendapatkan rawatan seandainya mereka ingin terus hidup.

Kanser serviks merupakan kanser ketiga paling kerap menyerang wanita di Malaysia . Di seluruh dunia, ia kanser kedua paling kerap menyerang wanita dan mengambil nyawa seorang wanita setiap dua minit. Kanser serviks disebabkan jangkitan berterusan daripada virus biasa yang berjangkit iaitu Human Papillomavirus (HPV). Pelalian berserta pap smear boleh mengurangkan risiko kanser serviks.

Justeru, Persatuan Kanser Kebangsaan Malaysia (NCSM) bersama-sama Litar Antarabangsa Sepang (SIC) hari ini menjadi hos Perlumbaan Go-Kart untuk Kebajikan - Power Over Cervical Cancer yang julung kali diadakan dan dihadiri lebih 120 orang.

MenyebarkanDisasarkan untuk menggalakkan semua teman baik (BFF) menyebarkan mesej berkenaan kanser serviks untuk mencegah penyakit tersebut, acara ini juga suatu inisiatif di bawah Kempen BFFs Break the Silence, fasa ketiga bagi POCC, sebuah inisiatif kesihatan masyarakat oleh NCSM dan disokong GlaxoSmithKline Pharmaceutical Sdn Bhd (GSK).

Aktiviti ini adalah suatu inisiatif untuk menyemarakkan tema kempen ini - memandu go-kart, setelah anda berjaya mengawal pemanduan, anda sebenarnya berjaya merasai kuasa untuk melakukan kawalan.

Semasa perlumbaan go-kart berlangsung, pengunjung yang tidak terlibat dengan perlumbaan menyertai aktiviti lain di trek termasuklah kereta lumba kawalan jauh serta merakam video atau gambar mereka dengan BFF, sebagai tanda sokongan untuk melindungi.

NCSM turut menyediakan tapak pameran untuk sesiapa yang berminat mendapatkan maklumat lanjut tentang kanser serviks. Soal Selidik Risiko Kanser Serviks turut diadakan untuk menilai risiko seseorang mendapat penyakit tersebut dan telah disediakan untuk pengunjung pameran.

Orang ramai boleh mendapatkan maklumat tentang kanser serviks melalui laman web POCC www.pocc.com.my, laman Facebook POCC (POCC Malaysia) dan talian 1-800-22-POCC (7622).
Kajian - Bunyi enjin jet boleh gugat jantung

Kajian - Bunyi enjin jet boleh gugat jantung

MEREKA yang tinggal di kawasan yang mempunyai kepadatan kenderaan tinggi dan sering mengalami kesesakan lalu lintas bukan sahaja berdepan masalah tekanan akibat bunyi bising, malah berisiko menghidap sakit jantung.

Kajian yang dijalankan di Denmark selama 10 tahun mendapati perkara tersebut meningkatkan risiko sakit jantung sebanyak 12 peratus.

"Kita mungkin menganggap bunyi bising kenderaan sekadar mengganggu tidur. Tetapi apabila pada setiap masa anda terdedah kepada bunyi yang sangat bising, anda sebenarnya secara tidak langsung meningkatkan kandungan hormon stres di dalam badan.

"Ia mempunyai kaitan dengan risiko serangan jantung," kata ketua pengkaji daripada Persatuan Kanser Denmark, Mette Sorenson.

Sorenson dan pengkaji lain bersetuju bahawa terdapat hubung kait yang signifikan antara serangan jantung dan lokasi kediaman di kawasan trafik sesak selepas mengambil kira faktor pencemaran udara.

Dalam pada itu, Sorenson menasihatkan orang ramai agar memilih bilik tidur yang tidak terdedah kepada bunyi bising kenderaan atau elakkan daripada mendiami kawasan seperti itu.

Kajian ke atas 50,000 responden itu disiarkan dalam jurnal PLoS ONE.

- KOSMO!

Khasiat kurma Ajwa & madu Sidr



ADAKAH berat badan anda berkurang atau makin bertambah menjelang Aidilfitri? Kedua-dua keadaan ini boleh berlaku disebabkan tabiat pemakanan sepanjang Ramadan. Namun lebih ramai yang cenderung menambah berat badan gara-gara membeli makanan tidak menilai keperluan tetapi lebih kepada selera.

Amalan pemakanan Rasulullah SAW iaitu dengan mengambil kurma dan madu sepatutnya menjadi contoh.

Menurut Pengarah Eksekutif pengedar utama kurma Ajwa dan madu Sidr asli, Rasa Resources Sdn. Bhd., Abdullah Abdul Jalil, kurma adalah makanan organik sempurna kerana ia sejenis buah yang mengandungi pelbagai mineral dan vitamin, kaya dengan antioksidan seperti beta-karotena, lutein dan zeaxanthin.

''Antioksidan mempunyai keupayaan untuk membantu melindungi sel dan struktur lain dalam tubuh agar bebas daripada radikal oksigen dan mencegah penyakit seperti kanser kolon, prostat, payu dara, endometrium, paru-paru dan pankreas," ujarnya.

Kurma Ajwa mempunyai fadilat seperti menguatkan urat perut, mengendurkan urat saraf dan melembutkan perangai.

Ajwa sejenis kurma lembut dan kering yang ditanam di kota Madinah. Dalam sejarah ada menyebut, kurma Ajwa yang pertama ditanam oleh Rasulullah SAW di tanah berhampiran Masjid Quba, Madinah.

DisembuhkanMenurut Abdullah, madu Sidr pula paling jarang ditemui dan mempunyai nilai yang tinggi.

"Ia memang sentiasa dicari oleh pencinta madu kerana rasanya yang unik di samping banyak faedah kesihatan," katanya.

Tambah Abdullah, madu ini daripada lebah yang hanya memakan bunga daripada pokok Sidr yang berasal dari Hadramaut, Yemen.

Ia cecair pekat yang telah menjadi sebahagian daripada perubatan tradisional bangsa Arab, Syria, Cina, Greek dan Rom kuno untuk merawat luka dan penyakit usus.

Tokoh perubatan Islam, Ibnu Sina turut menyenaraikan insomnia sebagai antara penyakit yang boleh disembuhkan melalui pengambilan madu .

Biarpun tidak terbukti secara saintifik bahawa madu dapat menyembuhkan insomnia, terdapat enam jurnal perubatan yang menggambarkan madu sebagai sumber yang mempunyai unsur antibiotik.

Dalam pada itu, Rasa Resources turut menerima tempahan hamper atau cenderahati kurma Ajwa dan madu Sidr sempena Ramadan dan hari raya yang akan tiba tidak lama lagi.

Untuk maklumat lanjut, orang ramai boleh menghubungi Sham di talian 012-6642393 atau melayari www.rasaquest.com

Sabtu, 23 Juni 2012

2.6 juta rakyat Malaysia hidap diabetes

2.6 juta rakyat Malaysia hidap diabetes

Kaji Selidik Kesihatan dan Morbiditi Nasional (NHMS) menunjukkan kira-kira 2.6 juta penduduk Malaysia menghidap diabetes tahun lalu.

Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Seri Dr Hasan Abdul Rahman, berkata keputusan kaji selidik NHMS itu membimbangkan dan memerlukan perhatian semua pihak untuk mencegahnya.

Beliau berkata jumlah itu masih tinggi walaupun Kementerian Kesihatan melakukan pelbagai usaha menanganinya sejak beberapa tahun lalu.

“Perangkaan daripada NHMS menunjukkan pesakit diabetes di Malaysia meningkat 31 peratus dalam lima tahun berbanding peningkatan 11.6 peratus pada 2006 bagi setiap orang dewasa Malaysia berumur 18 tahun dan ke atas,” katanya selepas merasmikan Persidangan Diabetes Kebangsaan 2012 bertemakan ‘Ke arah Pencegahan dan Pengawalan Diabetes yang Lebih Baik’ di sini, semalam.

Katanya, antara faktor yang menyumbang peningkatan jumlah penghidap diabetes dalam kalangan penduduk Malaysia termasuk berat badan berlebihan, genetik, gaya hidup dan diet tidak sihat, meminum alkohol, merokok dan tidak menjalani pemeriksaan perubatan secara tetap.

Sementara itu, Timbalan Ketua Pengarah Kementerian Kesihatan, Datuk Dr Lokman Hakim Sulaiman, pada sidang media selepas merasmikan Persidangan Perawatan Luka Peringkat Asia Pasifik 2012, berkata menjelang Januari tahun depan, hampir 130 hospital pakar dan bukan pakar di seluruh negara akan mempunyai Jawatankuasa Penjagaan Luka memandangkan peningkatan pesakit kencing manis dalam negara ini.

Katanya, ada lebih 5.6 juta pesakit dalam negara ini dan 25 peratus dari jumlah itu mengalami komplikasi kaki yang serius dan memerlukan penjagaan luka yang betul.

Beliau berkata penjagaan luka yang baik dalam kalangan pesakit diabetes mengurangkan risiko amputasi kaki.

- BERITA HARIAN

Kamis, 21 Juni 2012

Antibodi jadi penawar demam denggi

Antibodi jadi penawar demam denggi

HONG KONG - Para saintis berkata mereka telah mengambil antibodi daripada seorang bekas pesakit demam denggi di Singapura yang boleh mengatasi virus denggi.

Penemuan terbaharu itu dijangka boleh mengawal kes kematian akibat demam denggi.

Sehingga kini, masih belum ada penawar bagi demam denggi yang telah menbunuh lebih 20,000 orang setahun terutama kanak-kanak. Pakar perubatan setakat ini hanya mampu mengawal simptom penyakit tersebut.

Antibodi itu merupakan di antara 200,000 sampel yang diambil daripada 100 orang pesakit demam denggi yang telah pulih. Antibodi itu dilihat mampu membunuh kuman virus denggi subjenis 1, jelas satu laporan yang diterbitkan dalam jurnal Perubatan Sains Translasi.

Terdapat empat subjenis yang berbeza dalam virus denggi yang menyebabkan demam maut itu.

"Penemuan antibodi itu boleh membunuh virus denggi sebelum ia merebak ke semua sel darah," kata salah seorang saintis penyelidikan, Lok Shee-Mei.

Dalam satu penyelidikan menggunakan tikus sebagai subjek, para pengkaji mendapati antibodi itu meliputi seluruh permukaan virus, sekali gus menghalangnya dari terus merebak.

Berbanding beberapa penemuan lain, antibodi itu boleh membunuh lebih banyak virus dan bertindak dengan pantas, kata seorang pensyarah Fakulti Perubatan Universiti Kebangsaan Singapura, Paul MacAry.

Pasukan penyelidik itu juga akan berusaha untuk meningkatkan lagi antibodi tersebut bagi mengatasi virus denggi subjenis 2, 3 dan 4.

Menurut MacAry, pasukan mereka telah menemui antibodi bagi subjenis 2 tetapi masih dalam proses ujian awal.

"Hampir 99 peratus kes denggi di Singapura melibatkan jenis 1 atau 2. Maka dalam tempoh enam bulan hingga satu tahun, dua jenis antibodi akan diperkenalkan untuk membantu pesakit demam denggi di Singapura," katanya.

- Reuters

Selasa, 19 Juni 2012

Buah kiwi kaya nutrisi



WALAUPUN kecil dari segi saiznya, buah kiwi mampu membekalkan cedokan harian yang lazat dengan khasiat kesihatan yang luar biasa.

Pakar Nutrisi Pusat Perubatan Subang Jaya, Ho Wan Mi memberitahu, buah kiwi mengandungi dua kali ganda lebih banyak kandungan vitamin C berbanding buah oren dan lima kali ganda khasiat daripada epal.

“Buah kiwi diakui mengandungi lebih banyak nutrien penting berbanding 27 jenis buah-buahan popular. Ia dibuktikan oleh kajian yang dilaksanakan oleh Universiti Rutgers, Amerika Syarikat sekali gus dinobatkan sebagai perangsang kesihatan terulung.

“Kandungan vitamin C yang tinggi berupaya mempertingkat sistem daya tahan secara semula jadi serta menyumbang kepada pembentukan kolagen selain fungsi normal tulang, rawan, gusi, kulit dan salur darah.

“Ia juga membantu dalam penyerapan zat besi dan kalsium untuk menjaga kesihatan gigi serta gusi selain mampu mencegah simptom selesema,” jelas Wan Mi ketika ditemui Kosmo! sewaktu pelancaran musim buah kiwi Zespri di Kuala Gandah, Lanchang, Pahang baru-baru ini.

Kiwi Zespri sememangnya tidak asing lagi dalam kalangan pencinta kiwi memandangkan ia antara jenama utama buah itu di peringkat antarabangsa.

Menurut satu kajian yang dipapar dalam The American Journal of Clinical Nutrition, ia mengesahkan kandungan vitamin C dalam buah kiwi Zespri emas adalah lima kali ganda biowujud daripada vitamin C dalam makanan kesihatan tambahan.

Malah, kedua-dua buah kiwi hijau dan emas mengandungi vitamin E dan folat yang boleh membantu pembentukan sel darah merah serta mencegah anemia.

Tambah Wan Mi, buah kiwi merupakan sumber pemakanan serat yang bagus. Diet yang mengandungi banyak serat dapat mengurangkan paras kolesterol yang tinggi dan mengurangkan risiko serangan serta sakit jantung.

“Berbekalkan sumber kandungan serat yang unggul, buah kiwi Zespri membantu melancarkan perjalanan usus dan menyediakan persekitaran gastrousus yang sihat untuk menggalakkan pertumbuhan bakteria baik dalam perut,” ujar beliau lagi.

Dalam pada itu, kajian yang diterbitkan The Journal of Agriculture & Food Chemistry pada tahun 2012 menunjukkan buah kiwi hijau mengandungi enzim protease (aktinidin) yang boleh membantu pencernaan di dalam usus kecil.

Ia juga dapat mengurangkan rasa kembung selepas menikmati juadah yang kaya dengan lemak dan daging.

Kiwi dari New Zealand

Menyorot lebih lanjut tentang kiwi Zespri ia adalah antara hasil pertanian terpenting di New Zealand.

Bahkan, Zespri merupakan peneraju pasaran buah kiwi apabila menguasai 30 peratus daripada jumlah perdagangan antarabangsa.

Gabungan pelbagai rasa dan kandungan nutrien yang tinggi menyebabkan pengambilan buah kiwi secara konsisten setiap hari boleh menjadikan anda lebih sihat serta ceria. Dianggap sebagai jaguh nutrisi, buah kiwi Zespri boleh didapati dalam dua warna jenis iaitu hijau dan emas.

Buah kiwi hijau boleh diperoleh di pasaran bermula bulan Mei hingga hujung tahun, manakala buah kiwi emas dari bulan Mei hingga Oktober.

Kedua-dua buah kiwi sama ada hijau atau emas, padat dengan nutrien bermanfaat dalam memberikan perlindungan semula jadi.

- KOSMO!
Uji tahap pendengaran anda

Uji tahap pendengaran anda

KAJIAN menunjukkan 60 peratus orang yang berusia lebih 60 tahun mengalami masalah kehilangan pendengaran.

Menurut Pakar Pendengaran di Bay Audio Malaysia, Andrew Campbell, rakyat Malaysia dan penduduk di Asia kurang mengutarakan masalah pendengaran berbanding di Australia.

"Lebih kurang 20 peratus pesakit yang mengalami kehilangan pendengaran akan mencari penyelesaian untuk masalah mereka. Di Malaysia, dianggarkan hanya lebih kurang 0.5 peratus akan melakukan demikian, mungkin disebabkan kurang maklumat di mana untuk mendapatkan bantuan," katanya ketika ditemui di Bay Audio, The Curve, Mutiara Damansara, Petaling Jaya, Selangor.

Pendengaran sihatTambah Andrew, bunyi diukur dalam unit desibel. Bunyi dari peti sejuk ialah 45 desibel, perbualan biasa adalah kira-kira 60 desibel, dan bunyi bising dari lalu lintas bandar yang sibuk boleh mencapai 85 desibel.

"Sumber bunyi yang boleh menyebabkan hilang pendengaran akibat bunyi bising termasuklah daripada bunyi motosikal, mercun, dan senjata api, yang menghasilkan kekuatan bunyi daripada 120 hingga 150 desibel," ujarnya.

Sementara itu, pendedahan yang lama atau berulang-ulang terhadap bunyi pada atau melebihi 85 desibel boleh menyebabkan masalah hilang pendengaran.

Semakin kuat bunyi, semakin cepat masalah hilang pendengaran akibat bunyi bising berlaku.

"Bagaimanapun, bunyi yang kurang daripada 75 desibel, walaupun selepas pendedahan yang lama, tidak akan menyebabkan kehilangan pendengaran," katanya.

Ukuran bunyiAndrew menjelaskan, pendengaran diukur pada tahap kebolehan seseorang mendengar bunyi paling perlahan yang boleh didengar. Nada bunyi diukur dalam hertz dan kekuatan bunyi diukur dalam bentuk desibel iaitu daripada 0 ke 140 desibel.

"Kami telah mencipta alat pemeriksaan pendengaran berinovatif untuk membantu pelanggan menguji keadaan pendengaran mereka dalam masa lima minit sahaja melalui skrin sentuh yang mudah.

Ujian pendengaran dijalankan dengan peralatan skrin sentuh selama lima minit menggunakan iPad dan penutup telinga gred 5 (yang digunakan untuk paras kebisingan dalam persekitaran umum). Keputusan ujian ini membantu kami mengenal pasti jika seseorang itu mengalami masalah pendengaran yang ringan, sederhana atau teruk," katanya.

Katanya lagi, berdasarkan keputusan, pelanggan diminta berjumpa pakar pendengaran sekiranya perlu untuk melakukan ujian pendengaran penuh dalam bilik kedap bunyi.

"Periksalah pendengaran anda. Mungkin anda mengalami masalah pendengaran tanpa anda sedari. Justeru, ujian seperti ini membantu memperbaiki kesihatan pendengaran," ujarnya.

- UTUSAN

Manjakani perapat wanita



TERDAPAT sesetengah wanita yang mengalami masalah kesihatan berbentuk kegatalan mahupun masalah keputihan pada alat sulit.

Biarpun begitu tidak ramai yang tampil kepada pihak doktor untuk menjalani rawatan. Sabun Manjakani keluaran Reisya Care yang diperkaya dengan buah manjakani dan perapat berfungsi untuk membantu membersih dan menyihatkan alat sulit wanita serta mengatasi kegatalan.

Selain bertindak sebagai sabun pembersih, sabun ini juga diperkaya dengan perapat untuk membantu isteri dan suami dalam hubungan kelamin yang lebih intim dan segar.

Menurut Pengasas Reisya Care, Rosmanida Yahya, sabun itu memang terbukti membantu golongan isteri dan suami untuk membentuk hubungan lebih intim.

"Pengguna juga mendapati hasilnya boleh dirasai hanya beberapa hari selepas menggunakan sabun ini.

"Selain membantu hubungan suami isteri, ia juga membantu menghindarkan bau yang kurang menyenangkan dan mudah digunakan," katanya.

Dalam pada itu beberapa produk lain yang menerima reaksi yang amat memberangsangkan daripada para pengguna ialah skrub dewberry yang bertindak menyingkirkan black head atau white head, menanggalkan sel-sel kulit mati, membantu mengurangkan masalah kulit berminyak, membantu sekatakan kulit wajah atau badan membantu mencerahkan kulit wajah atau badan dalam masa yang singkat.

Begitu juga sabun strawberry yang diperkaya dengan buah strawberry dan abstrak tea tree untuk kesegaran dan melembapkan kulit muka mengelakkan kulit terbakar atau sun burn dan mengembalikan keremajaan kulit

Begitu juga dengan sabun skrub oat yang menghalus dan mencerahkan kulit dan menghilangkan noda-noda hitam pada wajah dan mengatasi masalah kulit sensitif.

"Sabun lintah pula mengandungi madu yang berkhasiat untuk kesihatan kulit dirumus khas dari pati lintah yang bermutu tinggi dan madu organik minyak bunga ros untuk mencerahkan kulit secara semula jadi," kata Rosmanida.

Biotox pula adalah agen pemulihan khas untuk memulihkan wajah dengan penggunaan yang sekata.

Pendek kata, inginkan wajah anda menjadi lebih jelita dan kulit yang halus mulus dapatkan produk-produk kecantikan Reisya Care dengan harga yang amat berpatutan dan telah terbukti keberkesanannya.

Produk kecantikan Reisya Care dibuat secara homemade menjadikannya suatu produk yang terlaris di pasaran.

Bagi pengguna pula, produk Reisya Care membantu mengatasi masalah yang mereka alami.

Seorang pengguna berketurunan India yang mahu dikenali sebagai Renuka berkata, dia pernah mendapat rawatan di sebuah klinik pakar kulit.

"Kulit saya bukan bertambah cantik tetapi semakin teruk dan tumbuh jerawat. Kulit saya bertambah nipis dan kusam.

"Setelah mencuba produk Reisya Care selama tiga bulan akhirnya saya mendapat kulit yang sempurna.

"Saya disyorkan memakai Bio-tox untuk mengembalikan kulit yang sensitif, sabun oat, sabun strawberi, sabun dewberry dan skrub dewberry sekarang kulit saya kembali cantik seperti asal," kata Renuka.

Bagi Onar pula yang berasal dari Bandar Baru Bangi, Selangor, dia berhadapan dengan masalah jeragat, kusam dan kulit sensitif.

"Setelah saya mencuba produk Reisya Care dengan memakai Bio-tox, lemon skrub (khas untuk kulit sensitif), sabun oat (untuk kulit sensitif), sabun pulut hitam (untuk kulit jeragat), sabun strawberi (untuk sun burn), dewberry (untuk pencerah), skrub dewberry (untuk menghaluskan kulit muka dan badan).

"Alhamdulillah kulit saya sudah tidak sensitif seperti dulu lagi dan saya sangat berpuas hati dengan kulit saya sekarang," kata Onar.

Seorang lagi pengguna, Ilya Shaleen Ismail pula berkata, sebelum ini dia mengalami masalah resdung, jerawat, kulit berminyak dan ton kulit yang tidak sekata.

"Selepas menggunakan produk Riesya Care, kulit saya lebih licin, cerah dan kurang berminyak. Masalah resdung dan jerawat juga dapat diatasit. Selain itu, produk ini juga memberikan kekemasan yang sempurna pada wajah saya.

"Saya juga tidak mengalami pengelupasan sepanjang menggunakan produk ini," kata Ilya.

Kepada mereka yang mahu mendapatkan produk Reisya Care dan cawangan-cawangan pengedarnya boleh hubungi 019-2768008 atau 019-5217603.

Bagi yang berminat untuk menjana pendapatan pula boleh menjadi pengedar, stokis mahupun membuka cawangan bagi produk kecantikan Reisya Care. Pekerja sambilan juga diperlukan dengan segera.

Senin, 18 Juni 2012

Kanser boleh diubati

Kanser boleh diubati

SEBUT saja kanser semua pasti gerun dan terbayang rawatan kemoterapi dan radioterapi. Apa menyebabkan kanser dan bagaimana kita mendefinisi penyakit kanser. Pakar Runding Onkologi Klinikal, Pusat Perubatan Prince Court, Dr. Muhammad Azrif Ahmad Annuar berkata, kanser adalah penyakit ketumbuhan yang bermula dengan sel normal.

"Tetapi disebabkan bahan karsinogen, sel normal mengalami mutasi atau perubahan genetik.

"Sel normal yang membiak tanpa kawalan atau benign tidak membiak dengan laju dan tidak merosakkan tisu keliling," katanya.

Bagaimanapun ketumbuhan boleh menjadi malignant yang membentuk kanser dan boleh merosakkan tisu dan merebak ke tulang, darah, paru-paru, hati dan otak.

Sel 'superman' ini, kata Dr. Azrif mulanya normal kemudian bermutasi menjadi sel kanser yang mempunyai kuasa untuk merebak ke bahagian lain.

"Misalnya kanser paru-paru bermula daripada lapisan paru-paru yang penuh dengan bebola kecil di mana udara masuk ke permukaan.

"Asap rokok yang masuk ke paru-paru membawa lebih 200 bahan karsinogen yang menyebabkan sel normal cedera dan rosak," katanya.

Biasanya badan dapat membunuh sel rosak tetapi ada kalanya sel yang rosak tidak dapat diperbaiki. Sel badan yang didedahkan dengan bahan karsinogen secara berterusan akan bermutasi, masuk ke dalam saluran darah dan merebak ke bahagian lain.

Dr. Azrif berkata, kanser merupakan penyakit biasa di negara ini. Biasanya wanita lebih cenderung mendapat kanser payudara, kolorektor dan serviks manakala lelaki pula dengan kolorektor, paru-paru dan prostat.

Kenapa kanser payudara terletak nombor satu? Apabila wanita didiagnosa pada usia 40 atau 50 tahun risiko kanser payudara lebih tinggi pada kaum Cina berbanding Melayu dan India.

Risiko kanser payudara juga rendah jika perempuan bersalin banyak kali pada usia muda dan menyusukan anak.

Interaksi dengan alam sekitar, gaya hidup, pencemaran dan bahan makanan boleh menyebabkan kanser. Setiap manusia mempunyai metabolisme yang berlainan menyebabkan cara memecahkan penyakit juga berbeza.

Terdapat lebih 200 jenis kanser manakala kanser yang jarang ditemui di negara ini adalah kanser kulit melanoma dan kanser pankreas.

Kanser pankreas sukar dikesan kerana terletak di belakang perut. Kedudukannya yang terlindung, tidak mempunyai saraf menyebabkannya sukar dikesan dan hanya dikesan selepas merebak ke tempat lain seperti hati dan paru-paru.

Kanser pankreas peringkat 1 biasanya boleh dibedah dan dibuang tetapi selepas lima tahun biasanya hanya 20 peratus saja masih hidup. Pengesanan awal memberikan peluang pesakit kanser hidup lebih lama.

"Punca kanser pankreas masih belum diketahui dan paling sukar dikesan kerana tiada ujian pengesanan awal," katanya.

Kanser pankreas tidak seperti kanser payudara yang boleh dikesan melalui mamogram, serviks dengan pap smear.

Risko kanser boleh dikurangkan dengan pengesanan awal, gaya hidup sihat, berat badan ideal, diet sihat dan senaman.

Rawatan kanser terbahagi kepada dua iaitu radioterapi hanya kawasan sasaran dan kemoterapi seluruh badan.

Bagaimanapun disebabkan kesedaran kanser, angka kematian akibat kanser pada akhir 1990an rendah berbanding 10 hingga 15 tahun lalu.

"Kini dua pertiga pesakit kanser dapat disembuhkan dengan pengesanan awal dan rawatan," katanya. Bagaimanapun golongan warga emas dan pesakit kencing manis dan darah tinggi berisiko mendapat kanser.

- UTUSAN

Mobile Health - Akses rekod pesakit di internet



MOBILE Health Sdn Bhd, muncul syarikat pertama di dunia memperkenalkan sistem pengawasan kesihatan bersepadu, MobileHealth2U yang membolehkan pesakit atau doktor mengakses rekod kesihatan mereka di mana-mana saja menerusi internet.
Ketua Eksekutifnya, Teoh Seng Jing, berkata pihaknya mengambil masa tiga tahun untuk membangunkan sepenuhnya sistem itu yang dilakukan oleh sekumpulan pakar teknologi maklumat (IT) dan doktor.
Beliau berkata, dengan pengenalan sistem itu, ia akan mempermudahkan kerja doktor untuk mengakses rekod kesihatan pesakit pada bila-bila masa dan di mana-mana saja.

“Bayangkan situasi anda sedang melancong ke luar negara dan tiba-tiba jatuh sakit. Apabila dimasukkan ke hospital di sana sudah tentu doktor akan memerlukan rekod kesihatan anda untuk melakukan rujukan sebelum dapat melaksanakan diagnosis.

“Rekod anda pula ada di hospital di Malaysia menyebabkan doktor di sana perlu menelefon bagi mendapatkan rekod itu dan bayangkan kesukaran yang perlu ditempuhi lebih-lebih lagi jika membabitkan sakit kronik,” katanya kepada Berita Harian ketika ditemui di Petaling Jaya, Selangor baru-baru ini. Hadir sama Pengerusi HSC Healthcare Sdn Bhd, Dr YC Lim.

Teoh menegaskan, bagaimanapun masalah itu kini dapat diatasi apabila segala rekod kesihatan pesakit sudah boleh didapati dan dirujuk dengan pantas dan mudah di dalam internet menggunakan aplikasi syarikatnya itu.
Katanya, aplikasi berkenaan juga kini sudah boleh didapati di semua platform mudah alih sama ada iPhone atau yang menggunakan sistem operasi Android yang kini boleh dimuat turun secara percuma.

Pihaknya juga dalam perancangan memperluaskan sistem itu ke hospital tempatan lain dengan permulaan dipasang di HSC Medical Centre yang juga syarikat induk kepada Mobile Health.

“Selain hospital, kami juga merancang untuk menjualnya kepada pemaju hartanah dan kini sedang bekerjasama dengan pemaju HSB Development Sdn Bhd.

“Sistem dikenali sebagai sistem pengawasan kesihatan di rumah atau MediHome ini akan membolehkan penghuni rumah memeriksa sendiri tahap kesihatan mereka di rumah.

“Mereka boleh memeriksa tekanan darah, tahap glukosa di dalam darah dan elektrokardiogram (ECG) sendiri di rumah serta menghantarnya ke aplikasi MobileHealth2U untuk disimpan untuk rujukan pada masa akan datang,” katanya.

Sistem itu katanya juga boleh dibeli pada pada harga sekitar RM7,000 yang mengandungi peralatan memeriksa tahap glukosa di dalam darah, tekanan darah dan ECG yang memeriksa kadar denyutan jantung atau nadi.

- BERITA HARIAN

Minggu, 17 Juni 2012

10,000 spesies bakteria dalam tubuh manusia sihat



Percaya atau tidak terdapat lebih 10,000 spesies bakteria hidup di dalam tubuh manusia sihat.

Seorang penyelidik dari Universiti Washington di St Louis, Amerika Syarikat, Dr Phillip Tarr membuktikan, bakteria itu hidup pada kulit, usus, hidung dan beberapa bahagian lain dalam anggota badan manusia.

"Saintis membuktikan badan sihat berupaya berkongsi hidup dengan berpuluh ribu bakteria dan kulat dalam satu masa.

"Kebanyakan organisma ini berfungsi sebagai mengekalkan kesihatan manusia bersama tindak balas positif daripada air di dalam badan manusia," katanya.

Kajian bernilai AS$173 juta(RM547 juta) ini telah dibiayai oleh Institut Kesihatan Amerika Syarikat dengan melibatkan lebih 200 orang pelbagai peringkat usia.

- SINAR HARIAN

Top