Wednesday, June 18, 2008

TV3 makin meloyakan ?

Semalam Buliten TV3, mula menyerang kerajaan Kedah dengan memanipulasikan cakap-cakap MB Kedah, yang didakwa sebagai berdolak dalik. Hujah TV3 mendakwa CEO Kulim Tech mahu dipinggirkan secara halus, bilamana kerajaan Kedah yang baru melantik pula seorang lagi Ketua CEO Kulim tech yang baru.

Kesannya dibandingkan dengan jumlah pelaburan luar ke Melaka sejumlah RM7 billion berjaya Ali Rustam jayakan misi pelaburan ke Melaka. maka berdegar-degarlah berita tersebut dan terketar-ketarlah Ali Rustam memberi ulasan.

Hakikat, pelaburan tidak mahu masuk ke Kedah dan bawa lari dari Kedah menjadi agenda serangan, kerana bandingan kerajaan 100 hari Kedah tiada perancangan dan rancangan teratur bagi menarik pelabur ini.

Hakikat, payah bekerja dengan kerajaan baru, dan memperpayah-payahkan pemerintahan dengan memaparkan hak baru serba tidak kena, menunjukkan banyak masalah dan akhir banyak tidak kena dengan media itu sendiri.

Laporan bersifat memihak dengan terang dan jelas menjadikan pendengar makin meloya dan meluat. maka makin dan bertambah meluat serta loya. Semoga kebencian disemai berterusan sehingga kerajaan yang ada tumbang dan terlingkup.

Pendapat yang tidak praktikal

Kerap baca blog tidak semestinya undi pembangkang.... Inilah ulasan Prof UITM, tentang kesan internet yang memberi impak ke atas politik negara. Walaupun dapatan ini sebagai satu hujah asasi yang kukuh, dengan menafikan 'terus' peranan internet dalam membahanakan BN .

Penafian ini adalah sebagai satu usaha sulit 'mahu memadamkan' teruja rakyat dengan manipulasi penulis blog mengatasi media arus perdana. Edaran media cetak yang semakin menguncup. Peningkatan mendadak penggunaan internet. Urusniaga LowYatt di Bukit Bintang adalah hasil pememerhatian dan kajian rambang penulis tentang.


KUALA LUMPUR: Laman web dan blog di internet hanya media pilihan keempat pengundi sebagai sumber maklumat pada pilihan raya 2008 selepas televisyen, akhbar dan ceramah politik.

Dapatan daripada kajian bertajuk "Peranan dan Pengaruh Internet dan Kewartawanan Blogger Terhadap Pengundi Semasa Pilihan Raya Umum Malaysia 2008" turut menunjukkan meskipun 80 peratus responden tahu mengenai blog, ia lebih digemari dan diterima oleh golongan kelas pertengahan dan bawah.

Kajian yang dilakukan oleh Prof. Madya Dr. Baharuddin Aziz, Dr. Rahmat Ghazali dan Dr. Abd Rasid Abd Rahman dari Fakulti Komunikasi dan Pengajian Media, UiTM itu turut mendapati tiada data kukuh yang dapat menjuruskan bahawa kekerapan melayari blog menentukan kecenderungan mengundi pembangkang.

"Setelah dibuat silang perbandingan, kami mendapati tiada bukti statistik yang kukuh yang dapat menyokong bahawa kandungan internet telah mempengaruhi pengundi untuk mengundi pembangkang.

"Ramai responden yang hanya memilih televisyen dan akhbar arus perdana sebagai sumber maklumat turut memilih pembangkang begitu juga pembaca blog yang mengundi parti pemerintah," kata Dr. Baharuddin.

Kajian sebulan itu turut mendapati banner, poster, bendera dan risalah telah memainkan peranan dan pengaruh yang berkesan terhadap pengundi memilih pembangkang.

Klip video V.K Lingam pencetus utama

Kajian yang dilakukan ke atas 1,100 pengundi dari empat zon iaitu zon utara (28 peratus), Selatan (22 peratus), Pantai Timur (19 peratus) dan Tengah (31 peratus) ini menggunakan kaedah persampelan kelompok berlapis.

Ia mendapati isu dan komen yang timbul dalam blog mulai September 2007 telah mampu membentuk dan mengacuankan minda pengundi kepada pembangkang.

"Isu yang dibangkitkan blogger mulai September 2007, bermula dengan kes klip video V.K Lingam yang memaparkan perbualan antara peguam terkemuka dengan seorang yang dikatakan Hakim Kanan mengenai urusan pelantikan hakim adalah titik perubahan yang menyebabkan pengundi menjauhi parti pemerintah dan mula cenderung kepada pembangkang," kata Dr. Baharuddin.

Internet dan blog telah muncul sebagai jendela kepada kelainan iaitu wadah kepada kandungan yang berbeza daripada apa yang disajikan oleh media arus perdana, katanya.

Pembaca memilih blog kerana mereka inginkan kelainan serta mengukuhkan persepsi mereka. Tiga puluh lapan peratus responden berpuas hati membaca blog kerana isu yang dikupas berbeza dengan media aliran perdana.

"Bila menteri dan ahli politik turut sama dalam fenomena ini bererti mereka mengakui pengaruh blog dan kewartawanan online, justeru mendedahkan pembaca dengan pandangan yang seimbang.

"Pihak berkuasa tidak perlu over react. Tambahan pula, kebanyakan penulisan yang diterbitkan dalam blog tidak perlu dilihat dengan begitu serius tetapi komen yang diberikan perlu dilihat sebagai maklum balas yang positif," kata Dr. Baharuddin.

Hampir separuh responden baca blog di pejabat

Kerja lapangan untuk kajian dijalankan pada hari pembuangan undi dengan taburan responden sebanyak 57 peratus lelaki dan 43 peratus wanita. Enam puluh enam peratus responden berusia bawah 40 tahun.

Antara dapatan menarik ialah blog adalah corak yang memusat kepada kawasan bandar dan berpengaruh kepada golongan muda berusia bawah 35 tahun serta hampir separuh responden iaitu 41.3 peratus melayari blog di pejabat dan 31.7 peratus di rumah.

Empat puluh empat peratus menjawab mereka melayari laman blog sebanyak dua atau tiga kali sehari dan 33 peratus responden langsung tidak pernah melayari laman blog.

Apabila ditanya adakah isu yang diketengahkan blog mempengaruhi pemilihan calon, 55.2 peratus responden menjawab "ya" dan 41.8 peratus "tidak".

Antara isu dalam laman blog yang menjadi pilihan responden ialah kenaikan harga petrol dan barang keperluan, video klip V.K Lingam, isu badan kehakiman, isu Bersih dan rasuah.

Manakala taburan peratusan parti yang diundi oleh responden ialah 48.6 peratus mengundi pembangkang dan 41.1 peratus responden mengundi Barisan Nasional.

Hampir 36 peratus pembaca blog percaya sikit-sikit kepada kandungan laman blog, 16.4 peratus percaya hampir semua, 2.8 peratus percaya semua dan 4.9 peratus tidak percaya langsung.

Antara laman blog dan web yang menjadi pilihan responden ialah Malaysiakini.com, Suara Keadilan, Suruhanjaya Pilihan raya, Harakah Online, Berita Harian online, Youtube, Utusan Malaysia online, Malaysia Today, The Star online dan agensiagensi berita.

Cabaran pilihan raya akan datang

Ketika ditanya cabaran pilihan raya akan datang, Dr. Baharuddin berkata perangsaraf media digital dan kecederungan golongan muda perlu diberi perhatian serius, apatah lagi dengan 1.8 juta pengundi baru layak mengundi pada tahun 2012/2013.

TV Mudah alih (Mobile TV) dan rangkaian telefon bimbit akan turut memainkan peranan besar.

"Kita tidak dapat menidakkan jurang digital masih lagi wujud di negara kita namun pengaruh media baru tidak dapat kita sanggah. Semasa pilihan raya kecil di Ijok (Selangor) dan Machap (Melaka), bloggers sudah ada, tetapi kenapa impaknya tidak begitu kelihatan tetapi keadaan sebaliknya pula berlaku ketika pilihan raya 2008", katanya.

Parti pemerintah kali ini dikejutkan ketika pilihan raya kerana terdapat pelbagai isu yang ditangani dengan lemah.

"Contohnya, pada 13 Februari lepas bukan sahaja berita mengenai pembubaran parlimen malah pada hari yang sama juga muka surat depan kebanyakan akhbar memaparkan berita mengenai krisis badan kehakiman," katanya.

Pengurusan isu sangat penting kerana pendekatan yang lemah inilah yang membuatkan pengundi bercelaru dan beralih kepada blog untuk penjelasan lanjut.

Dan memetik katakata salah seorang pembentang kajian ini, Dr Rahmat Ghazali, yang menekankan apabila terdapat terlalu banyak blog yang mendorong sifat anarki tidak mustahil jika kita melahirkan masyarakat yang anarkis. Fikirkan !. BERNAMA

Tuesday, June 17, 2008

Apa nak jadi dengan malaysiaku ?

Rebet tunai rakyat, anak menantu PM dapat untung?

KUALA LUMPUR, 17 Jun (Hrkh) - Sabtu lalu, ribuan pengguna kenderaan pensendirian menuntut rebet tunai di pejabat Pos seluruh Malaysia namun setiap rebet tersebut yang dibayar itu dikenakan caj perkhidmatan.

Hasil keuntungan caj perkhidmatan itu secara tidak langsung memberi keuntungan yang besar kepada Pos Malaysia yang telah diswastakan dan sahamnya telah dimiliki oleh sebuah syarikat yang ada kaitan rapat dengan menantu PM.

Demikian pendedahan Ahli Majlis Tertinggi KeADILan (MPT) Badrul Hisham dalam blognya berkaitan pembayaran subsidi kerajaan berikutan kenaikan harga minyak baru-baru ini.

Badrul berpendapat syarikat tersebut sedang menikmati keuntungan hasil daripada mekanisma pembayaran subsidi tersebut.

"Tahukah anda, setiap plan yang diperkenalkan oleh Pak Lah mesti ada motif rasuah atau salahguna kuasa? Contoh untuk kenaikan harga minyak ini. Penstrukturan subsidi yg dibayar menggunakan wang pos

"Bayangkan duit yang masuk ke dalam poket Khairy, setiap RM10 yang dibayar sebagai subsidi...10 sen akan masuk ke poket sebagai komisen wang pos," katanya dalam blog tersebut.

Katanya sejumlah enam juta kenderaan di Malaysia yang mana setiap kenderaan akan mendapat subsidi RM 620, maka secara tidak langsung sebanyak RM 6.20 komisen yang bakal diperolehi oleh menantu Perdana Mneteri itu untuk sejumlah kenderaan yang mendapat rebet tunai tersebut. - mks. _

Kerajaan jangan tunggu rakyat naik minyak

Rakyat naik minyak. Situasi naik angin dan rakyat berangin berlaku di mana-mana. Sama ada di kedai, kedai makan, masjid, surau, hatta dipejabat pos sekalipun.

Terbaru pengalaman penulis bertemu dengan seorang yang tegar jiwa bangkangannya. Dia mengamuk dan naik minyak bila melihat ratusan manusia berbaris panjang bagi mendapatkan rebet bayaran kenderaan yang dijanjikan oleh kerajaan antara RM625 dan RM150. ini adalah rata-rata mereka yang beratur itu memakai samada kereta bawah 2000 cc dan motor.

Amukannya berkisarkan kerana ramai, yang berbaris itu adalah majoriti adalah Melayu berbanding dengan kaum-kaum yang lain. Hujahnya lihat sebiasa sikap katanya apa-apa pun mestilah orang Melayu yang terhegeh-hegah mendapatkan 'umpan' bayaran rebet kerajaan. Tengok dia kata satu Cina pun tidak ada. Kebetulan penulis juga berbaris sama bagi membuat modal belanja kerana sudah kering bagi bulan ini. Sebab lain, balik kampung serta singgah melancong meraikan serta menyukakan anak-anak masa cuti persekolahan lalu selama 2 minggu. Sementelahan pula kawasan yang dilawati adalah dalam hala laluan balik penulis ke tempat bertugas.

Berbalik soal amukan , sikap naik minyak seorang Melayu tegar dengan jiwanya. Ada betul juga, dan ada tidak betul.

Betulnya ia, kerana masih lagi mempunyai sikap 'peduli' yang tinggi . Masih ada rasa malu kepada bangsa sendiri yang terhegah-hegah di tanah air sendiri. Rasa peduli mahu melihat bangsanya gagah, rasa peduli mahu lihat bangsa Melayu nya mempunyai sedikit sikap bangkangan.

Sikap tegar bangkangan ini bukan lah Allah anugerahkan kepada semua orang. Saya masih teringat pengakuan Mohd lutfi Othman, dalam PRU 12. Dia balik ke Kubang Pasu Kedah untuk mengundi, beliau pergi juga ke peti undi tersebut. Beliau ambil kertas undi tetapi bukan beliau mengundi sebaliknya beliau koyakkan. Ini adalah satu simbolik protes Mohd Lutfi Othman dengan sistem pilihanraya dan demokrasi negara kita. Beliau memang seorang 'jantan', tetapi niat beliau supaya berita beliau koyakkan kertas undi itu menjadi hightlight berita melalui media namun ternyata meleset sama sekali.

Berbalik dengan sikap dan gelagat seorang penyokong tegar pembangkang, api amarah nya dengan semua manusia yang berbaris di pejabat pos bagi mendapatkan rebet minyak. Setidak-tidak mahunya rakyat 'pulaukan', tak payah ambil, namun dengan sistem dan kerajaan yang ada , tentulah payah, kerana kerajaan tuli.

Maka kita minta ,apai amarah beliau jelmakan dengan himpunan 5 Julai di Kuala Lumpur.


Monday, June 16, 2008

Dr M kata lambat sangat !!!!!!

Mahathir: Najib, Ku Li tiada peluang tandingi Pak Lah Disember ini

KUALA LUMPUR: Tun Dr. Mahathir Mohamad yakin tiada siapapun termasuk Tengku Razaleigh Hamzah yang 'berpeluang' untuk menandingi jawatan Presiden Umno pada Disember ini.

"Pada pemilihan Umno akan datang Presiden (Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi) akan menang, tidak akan ada siapa yang boleh tanding Presiden kerana tiada siapa yang boleh memperoleh 60 pencalonan.

"Ini dikawal oleh Presiden seperti yang berlaku dulu... Tengku Razaleigh hendak lawan, beliau cuma mendapat satu sahaja, bahagian beliau yang mencalonkan beliau, bahagian beliau sendiri mencalonkan beliau," katanya.

Bekas Perdana Menteri dan Presiden Umno itu menyatakan demikian dalam satu temu bual dengan mStar Online baru-baru ini.

Jelas Dr. Mahathir, sama ada Tengku Razaleigh ataupun Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Mohd. Najib Tun Razak memang tidak berpeluang untuk menyaingi Abdullah yang menggantikan beliau lima tahun lalu.

Pemilihan pucuk kepimpinan pusat Umno akan berlangsung pada Disember ini.

Tengku Razaleigh, bekas Menteri Kewangan dan bekas Naib Presiden Umno telah menyatakan hasrat untuk bertanding kerusi Presiden Umno pada Disember ini.

Kini beliau mengadakan pertemuan di seluruh negara untuk mencari sokongan melepasi kelayakan pencalonan yang diwajibkan untuk menentang Abdullah.

Berdasarkan pendirian yang diumumkan sejak kebelakangan ini, Najib dipercayai hanya akan kekal mempertahankan kerusi Timbalan Presiden Umno.

Ketika mengulas mengenai peralihan kuasa pula, Dr. Mahathir memberitahu, beliau tidak setuju dengan kata sepakat yang telah dicapai oleh Abdullah dan Najib sebelum ini.

"(Saya) tak setuju, lama sangat, tahun 2010... tak ada masa untuk memulihkan parti untuk pilihan raya akan datang," katanya.

Empat hari selepas Dr. Mahathir ditemui mStar Online, semalam Abdullah memberitahu bahawa tarikh tepat berhubung peralihan kuasa kepada Najib masih belum ditetapkan lagi.

Menurut Abdullah, sepertimana yang diperjelaskannya kelmarin beliau akan menyerahkan jawatannya itu kepada Najib apabila tiba masanya sepertimana yang difahami oleh kedua-dua mereka.

Dr. Mahathir juga menyentuh soalan sama ada Umno masih relevan ataupun sebaliknya khususnya selepas keputusan pilihan raya umum ke-12 Mac lalu.

Kata beliau: "Bagi banyak orang, Umno sudah tidak relevan."

Mengenai keperluan menubuhkan parti baru, beliau berkata: "Sekarang ini pilihan antara masuk parti lawan, ada tiga parti lawan (dan) mungkin mereka (ahli Umno yang tidak berpuas hati) menyertai parti lawan."

Jelas beliau, parti baru juga sukar untuk ditubuhkan kerana tiada pihak yang berani untuk keluar Umno.

"Saya tidak mahu parti baru, saya patuh kepada Umno yang asal, ini bukan Umno yang asal," katanya.

Dr. Mahathir keluar daripada Umno pada 19 Mei lalu

Thursday, June 12, 2008

Bukan Eropah saja panik Malaysia juga !!!

Eropah panik kerana minyak

Mogok jejaskan bekalan makanan, pesawat kehabisan bahan bakar


POLIS ini mengawal pemandu-pemandu trak yang melancarkan mogok di lintasan Jonquera sempadan Sepanyol-Perancis semalam.


LONJAKAN harga petrol dan diesel di seluruh dunia mencetuskan mogok serta tunjuk perasaan sekali gus mencetuskan panik di kalangan penduduk beberapa buah negara maju.

Kenaikan bahan bakar itu berlaku selepas harga minyak mentah melonjak ke paras tertinggi iaitu AS$139.12 (RM453.99) setong di pasaran Amerika Syarikat (AS) pada minggu lalu.

Di Britain, pengguna kenderaan diminta tidak panik dengan bertindak untuk membeli petrol dan makanan daripada kebiasaan berikutan para pemandu lori tangki mahu melancarkan mogok selama empat hari bermula esok.

Jurucakap Perdana Menteri Gordon Brown menyatakan pelan kecemasan disediakan untuk mengurangkan gangguan akibat mogok itu.

Rayuan itu berlaku ketika harga diesel dijangka melonjak melepasi £6 (RM38.43) satu gelen.

Amaran mengenai kenaikan harga petrol turut berlaku berikutan ramalan syarikat tenaga Gazprom dari Rusia bahawa minyak mentah bakal melonjak kepada AS$250 (RM816) satu tong pada masa depan.

Berikutan kenaikan harga itu, terdapat petunjuk bahawa para pemandu di Britain mula kurang memandu di jalan raya.

Permintaan untuk petrol menjunam 20 peratus sejak 12 bulan lalu ketika harga minyak meningkat dua kali ganda.

"Secara jelasnya, para pemandu Britain kini kurang memandu.

"Mereka beralih dengan menggunakan pengangkutan awam," kata ketua penganalisis minyak Agensi Tenaga Antarabangsa, Eduardo Lopez.

Persatuan Peruncit Britain menyatakan jualan minyak turun dengan mendadak sejak tiga minggu lalu, terutamanya di utara England.

Amaran pembelian panik itu dikeluarkan selepas penduduk di Sepanyol membeli makanan dan petrol dalam jumlah yang banyak sekali gus menyebabkan pasar raya kehabisan barang makanan.

Di beberapa tempat, 90 peratus stesen petrol terpaksa ditutup ekoran kehabisan bekalan.

Keadaan itu berlaku berikutan mogok yang dilancarkan oleh para pemandu trak terhadap kenaikan harga minyak di pasaran.


SEORANG peniaga berdiri di gerainya yang kehabisan bekalan daging akibat mogok di Valencia, Sepanyol kelmarin.


Sementara itu, lapangan terbang utama di Lisbon, Portugal kehabisan bahan bakar berikutan mogok yang dilakukan oleh pemandu trak sehingga menyebabkan banyak penerbangan ditangguhkan.

"Tidak ada bekalan minyak untuk pesawat di Lapangan Terbang Portela, kecuali hanya untuk tujuan kecemasan, ketenteraan dan penerbangan negara," kata seorang jurucakap pihak berkuasa lapangan terbang Portugal semalam.

Menurutnya, pesawat-pesawat mengisi minyak di beberapa lapangan terbang lain seperti di Porto.

Sejumlah stesen petrol di Lisbon kehabisan bekalan minyak manakala terdapat deretan kenderaan di beberapa stesen petrol lain di mana pemandu cuba memperoleh bekalan minyak.

Tindakan pemandu-pemandu trak di Portugal dan Sepanyol melancarkan mogok itu sejak Isnin lalu menyebabkan para peruncit serta pasar raya mula kehabisan bekalan makanan yang hendak dijual kepada pengguna.

Harga bahan bakar meningkat lebih tinggi di Britain berbanding di Eropah di mana petrol tanpa plumbum melonjak 14 peratus.

Menurut Pejabat Perkhidmatan Pengembara Pos, kenaikannya adalah kurang 10 peratus di Itali dan Jerman.

Industri kenderaan di Sepanyol lumpuh berikutan mogok para pemandu yang berang kerana kenaikan harga minyak.

Sebuah persatuan kereta iaitu Anfac menyatakan menjelang hari ini, 18 buah kilang kereta di Sepanyol yang mengeluarkan 13,000 kenderaan sehari mungkin ditutup kerana kekurangan peralatan dan minyak.

Di Thailand, ribuan pemandu trak melancarkan mogok setengah hari bagi menuntut kerajaan membantu mengatasi masalah kenaikan harga.


LORI tangki ini tiba untuk menghantar bekalan di sebuah stesen minyak di Liverpool, Britain semalam.


Kumpulan-kumpulan pengangkutan menyatakan kesediaan untuk menghalang laluan menuju ke Bangkok pada minggu depan sekali gus meningkatkan tekanan ke atas kerajaan yang sudah pun menghadapi bantahan jalanan dalam percubaan untuk meminda perlembagaan. - Agensi

Kerajaan BN yang buntu ?

Perubahan ikhlas dan perubahan kosmetik. Terbaru kerajaan Malaysia bawah PM pak lah mengumumkan gaji kakitangan awam 2 kali sebulan iaitu pada 15hb dan akhir bulan tersebut. Tujuan adalah untuk memudahkan mereka mengurus perbelanjaan dan aliran tunai isi rumah berikutan kenaikan harga bahan api.

Kini 1.2 juta kakitangan awam seolah-olah diperbodoh dan diperbudak-budakkan oleh kerajaan. Pembayaran seumpama ini, bukan sahaja perbodohkan mereka tetapi menyusahkan mereka. Ibarat memberi gula-gula kepada kanak-kanak , rakyat jangan bising begitulah juga dengan kakitangan kerajaan , inilah usaha terbaik dan perubahan kerajaaan buat , bila harga bahan api naik bagi subsidi minyak dan ubah kaedah pembayaran gaji.

Sepatutnya kerajaan , jika mahu meringankan bebanan tanggunggan kakitangan awam minta bayar 13 kali gaji dalam setahun seperti cadangan Cuepecs tempoh hari. Maknanya setiap 25 hari sekali gaji. Dengan memberi tempoh masa sehingga harga minyak pulih. Bayaran gaji kembali normal bila harga minyak jatuh atau berubah. Maka tentulah kerajaan mahu berjimat , maka usaha ke arah merendahkan harga minyak akan diikhtiarkan. Kerajaan tentulah akan berkerja keras. Bukan memanipulasikan ayat-ayat dan perkataan keramat ..seperti perbelanjaan berhemah... serta lain-lain perkataan yang menjadi hiasan bibir pemimpin bagi menenang dan menyejukkan ke amarahan rakyat.

Sebaiknya, bayaran gaji 2 bula seolah-olah menempelak dan mendera kakitangan awam secara tidak langsung, menyindir mereka secara sinis inilah bahana atau bahang cara kerajaan urus negara dengan duit yang sedikit bagi menampung perbelanjaan yang besar. Ini adalah sebagai satu perubahan bersifat kosmetik sahaja.

Skim pembayaran gaji stail estet ini bukanlah sebagai satu-satunya opsyen pilihan langkah popular untuk kakitangan. Bayangkan dengan jumlah wang sama bagi menghadapi himpitan harga bahan bakar dan harga barang yang mengilai naik. Aliran tunai dikecil-kecilkan dan dipecahkan. Apakah kakitangan tidak pandai mengurus aliran tunai kewangan mereka bagi mengenapkan 25 hari bekerja itu.

Apakah kerajaan yang pandai urus aliran tunai ini, membuat pilihan seumpama ini dah dikira pandai dan adalah menjadi pilihan terbaik bagi kakitangan kerajaan masa ini.Sedangkan kos sara hidup jika dulu bagi perbelanjaan harian minyak kenderaan RM200 , kini menjadi RM300 sebulan. Berbanding dengan jumlah gaji bulanan kakitangan berkenaan jika kita andaikan RM2500 sebulan. Maknanya susut dari pendapatannya menjadi dari RM2300 kepada RM2200 sebulan. Kemudian perbelanjaan belanja runcit dapur daripada RM200 sebulan menjadi RM300 sebulan. Seterusnya perbelajaan runcit daripada RM20 kepada RM30 bagi membeli keperluan ikan, sayur, cili dan lain-lain bagi kos sehari bagi 7 orang ahli keluarga.

Gaji kakitangan awam 2 kali sebulan, harga petrol kekal '08
12-06-2008 12:19:06 AM PUTRAJAYA: Gaji kakitangan kerajaan akan dibayar dua kali dalam sebulan mulai Ogos ini, kata Perdana Menteri Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi hari ini.

Beliau berkata langkah itu adalah bagi memudahkan mereka mengurus perbelanjaan dan aliran tunai isi rumah berikutan kenaikan harga bahan api.

"Separuh pertama akan dibayar pada pertengahan bulan dan separuh kedua akan dibayar pada hujung bulan.

"Potongan-potongan seperti cukai pendapatan, Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) dan sebagainya akan dilakukan pada hujung bulan," katanya pada sidang akhbar di pejabatnya di sini.

Ditanya sama ada sektor swasta turut berbuat demikian, Abdullah berkata: "Saya menganggap ini adalah satu pendekatan yang baik kerana ia membantu pekerjapekerja kita untuk menguruskan aliran tunai isi rumah. Ini adalah penting."

Dalam pada itu, kata beliau, harga petrol dan diesel tidak akan dinaikkan lagi pada tahun ini bagi mengurangkan bebanan rakyat.

Perdana Menteri berkata langkah itu dibuat walaupun harga minyak dunia dijangka berada pada paras yang tinggi pada bulanbulan mendatang.

Harga sekarang akan dikekalkan walaupun sekiranya harga minyak dunia mencecah AS$200 setong pada tahun ini, katanya.

Beliau berkata kerajaan tidak menetapkan had siling harga pasaran minyak dunia di masa akan datang dalam mengekalkan jaminan kerajaan itu pada tahun ini.

Katanya, kerajaan sedar rakyat masih lagi sedang berusaha menyesuaikan diri dengan situasi harga minyak yang tinggi ketika ini.



Wednesday, June 11, 2008

Dr. M: Tiada desakan, sedia lepas Penasihat Petronas jika diminta

KUALA LUMPUR: Bekas Tun Dr. Mahathir Mohamad sehingga sekarang tidak menerima desakan mana-mana pihak supaya berundur daripada menjadi Penasihat Petronas selepas beliau keluar daripada Umno tiga minggu lalu.

Sambil menegaskan tiada masalah untuk melepaskan jawatan tersebut jika ada pihak yang mahu beliau berbuat demikian, Dr. Mahathir mengulangi pendirian bahawa kedudukan Penasihat Petronas bukan jawatan parti.

"Saya akan terus kekal. Ini bukan jawatan parti. Ini jawatan lain.Tapi kalau hendak suruh saya berhenti lah. Tak ada masalah," kata beliau kepada mStar Online ketika ditemui di pejabatnya sebagai Penasihat Petronas di sini.

"Setakat ini tiada (desakan) daripada mana-mana meminta berbuat demikian (lepaskan jawatan Presiden)," kata beliau ketika mengulas mengenai status kedudukan beliau sebagai Penasihat Petronas dan sama ada pernah menerima desakan atau tekanan supaya turut melepaskan kedudukan itu.

Jelas beliau, Tun Hussein Onn, Perdana Menteri ketika juga pernah menjadi Penasihat Petronas, jawatan yang dikekalkan sehingga beliau meninggal dunia meskipun tidak pernah masuk kembali Umno.

"Dia tak masuk (semula) Umno, dia bukan ahli Umno, beliau kekal jadi Penasihat Petronas sampai meninggal dunia," katanya.

Dr. Mahathir dilantik sebagai Penasihat Petronas dan Proton selepas bersara daripada jawatan Perdana Menteri Oktober 2003.

Pada 19 Mei lalu, Dr. Mahathir keluar daripada Umno atas alasan kecewa dengan kepimpinan parti. Turut keluar ialah isterinya, Tun Dr. Siti Hasmah Mohd. Ali, anak mereka, Datuk Mokhzani Mahathir dan Tan Sri Sanusi Junid.

Dalam reaksinya dua minggu lalu, Dr. Mahathir juga pernah mengatakan bahawa beliau tidak akan berundur tetapi "sedia ditendang keluar."

Sementara itu dalam tulisan blog beliau yang dinaik muat selepas temu bual dengan mStar Online petang semalam, di bawah tajuk Sanusi Junid, Dr. Mahathir melahirkan rasa sedih dengan tindakan menamatkan khidmat Sanusi (bekas Naib Presiden Umno) sebagai Presiden Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM).

"Mungkin dia (Sanusi) telah melakukan kesalahan yang besar yang tindakan ini perlu diambil. Tetapi secara kebetulan tindakan terhadap Presiden UIA ini diambil
sejurus selepas dia keluar daripada UMNO.

"Apakah perbuatan beliau ini yang menyebabkan dianya disingkir?" kata beliau dalam blognya hari ini.

Sanusi keluar Umno pada hari Dr. Mahathir mengumumkan keputusan untuk keluar daripada parti itu.

"Saya juga dengar cadangan supaya Dato Mokhzani yang telah keluar Umno dipecat daripada menjadi Pengerusi Sepang International Circuit (SIC)," katanya.

Dr. Mahathir menambah: "Saya harap sebab-sebab Tan Sri Sanusi hendak disingkirkan dijelas kepada rakyat. Jangan salahguna kuasa untuk kepentingan diri."

Tambah beliau, kepimpinan kerajaan pusat Barisan Nasional (BN) harus ingat bahawa BN bukan lagi menguasai seluruh negara.

"Negeri-negeri dan Wilayah yang terkaya di Malaysia sekarang dikuasai oleh parti lawan.

"Mereka tidak bertindak melantik hanya ahli-ahli parti mereka sahaja dalam badan-badan kerajaan.

"Sebaliknya mereka sanggup melantik tokoh dari parti-parti Barisan Nasional untuk mengisi jawatan badan-badan yang terletak dibawah kerajaan-kerajaan mereka," katanya.

Beliau juga berkata, sikap mereka ini tentu akan menyebabkan lebih ramai ahli dan penyokong BN berpindah kepada parti mereka atau menyokong mereka.

"Sikap suka balas dendam kepimpinan Barisan Nasional akan menghakis lagi sokongan kepadanya," katanya lagi.

Rakyat mula terseksa... ?

Hari-hari dan hari hari mendatang, kehidupan rakyat makin terhimpit dan tertekan. Pada setiap hari rata-rata rakyat yang penulis temui bercakap berligar-ligar perbincangan soal harga barang kesan kenaikan harga minyak yang cukup terbeban.

Kerajaan BN memberi jaminan insyallah harga tersebut akan sampai RM3.00 bagi perliter 'emas hitam' ini dalam masa terdekat ini. Apa yang memusyikalkan kita kerajaan mengambil jalan mudah dan jalan pintas mendera rakyat yang sudahpun terseksa kini. Sikap padan muka, menghukum rakyat dengan tindakan mereka mengubah landskap politik negara setidak-tidak menjadi asas kegilaan harga bahan bakar ini dinaikkan.

Rakyat derita batin terseksa tertekan dan dibebani dengan tekanan hidup. jatidiri masyarakat Malaysia benar-benar teruji. Dengan jumlah pendapatan tidak cukup-cukup menjadikan kehidupan mereka lebih sukar. Bebanan hutang rumah kereta dan pelbagai pinjaman tetap tidak berubah.

Apa pun episod rakyat terseksa sudah bermula.....


Tuesday, June 10, 2008

Kepentingan rakyat mesti diberi keutamaan

BIAR pun kerajaan memberi jaminan bahawa kenaikan harga minyak yang diumumkan Rabu lepas tidak akan meletakkan pengguna dalam kesulitan yang keterlaluan namun realitinya tidak begitu.

Tempoh lima hari selepas pengumuman dibuat menyaksikan trend kenaikan harga bagi sektor pengangkutan, makanan dan perkhidmatan yang kesemuanya amat berhubung kait dengan minyak.

Keresahan pengguna masih belum dapat diubati menerusi jaminan demi jaminan yang dilontarkan oleh kerajaan.

Hakikat bahawa kos hidup semakin meningkat sedangkan kadar upah masih di takuk lama menyebabkan pengguna sukar untuk mengerti jauh sekali menerima akan adanya hikmah di sebalik kenaikan harga minyak baru-baru ini.

Di pihak kerajaan sendiri, beban yang ditanggung untuk memastikan urusan hidup rakyat berjalan lancar tidak kurang beratnya.

Sememangnya adalah menjadi tanggungjawab kerajaan untuk melaksanakan dasar-dasar yang tidak menekan rakyat tetapi ada ketikanya keputusan yang pahit perlu dibuat demi masa depan negara.

Sebab itu di pihak kerajaan sendiri tidak teragak-agak untuk menangguhkan projek-projek mega yang menuntut perbelanjaan berbilion-bilion ringgit dan ia adalah demi kepentingan rakyat.

Dalam keadaan sebegini, pelaksanaan projek mega akan memburukkan keadaan kerana kenaikan harga minyak semestinya disusuli peningkatan kos untuk memastikan projek tersebut tidak terbengkalai.

Malah projek mega yang tidak berkepentingan rakyat mungkin boleh dikeluarkan terus daripada program pembangunan yang telah dirangka sebelum ini.

Begitu juga dengan mekanisme yang dilihat amat ringkas tetapi mempunyai kesan yang tidak kurang pentingnya jika ia dilaksanakan oleh kerajaan kelak.

Langkah menjimatkan kos penganjuran majlis oleh jabatan dan agensi kerajaan misalnya bertepatan dengan suasana sekarang malah semangat tersebut sewajarnya menjadi amalan sampai bila-bila.

Sudah tiba masanya bagi setiap kementerian membuat penetapan bahawa sebarang majlis keraian hendaklah berjalan seringkas mungkin selain pemberian cenderahati biarlah sesuatu yang boleh dimanfaatkan oleh penerimanya.

Perlu diingat bahawa mulai bulan depan rakyat akan menanggung pula kenaikan tarif elektrik yang semestinya menyumbang satu lagi peningkatan kos sara hidup.

Justeru untuk meminimumkan kegelisahan rakyat, empat langkah yang telah diumumkan kerajaan semalam seharusnya mengambil kira kepentingan rakyat terutama golongan berpendapatan rendah.

Selain menangguhkan projek mega dan mengarahkan jabatan kerajaan berjimat cermat, kerajaan juga mesti menyediakan jaringan jaminan sosial bagi rakyat sebagai persediaan menghadapi kegetiran ekonomi yang kesannya mungkin lebih parah.

Jawatankuasa Inflasi Ok juga ?

Tiga jawatankuasa bendung inflasi ditubuh

PUTRAJAYA 9 Jun - Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi berkata, Majlis Membanteras Inflasi hari ini bersetuju menubuhkan tiga jawatankuasa yang akan memperhalusi tindakan yang sesuai bagi membendung inflasi.

Menurut Perdana Menteri, tiga jawatankuasa itu adalah Jawatankuasa Berkaitan Kecekapan Penggunaan Sumber Tenaga, Jawatankuasa Menambah Baik Perkhidmatan Bas dan Jawatankuasa Media.

''Bagi membincangkan perkara-perkara tertentu yang memerlukan kehadiran wakil atau individu berkaitan, kita memutuskan untuk menubuhkan tiga jawatankuasa itu.

''Ia juga akan membolehkan perbincangan dilakukan dengan lebih mendalam supaya langkah penyelesaian lebih konkrit dapat diputuskan," katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang akhbar selepas mempengerusikan mesyuarat pertama Majlis Membanteras Inflasi di sini hari ini.

Turut hadir ialah Menteri Kewangan Kedua, Tan Sri Nor Mohamed Yakcop.

Abdullah berkata, Jawatankuasa Berkaitan Kecekapan Penggunaan Sumber Tenaga akan memastikan wujudnya peningkatan kecekapan dalam penggunaan sumber tenaga yang ada.

Beliau berkata, Jawatankuasa Media pula akan berperanan untuk menentukan sebaran maklumat dan makluman yang telah diputuskan oleh majlis.

''Jawatankuasa itu akan diketuai oleh Menteri Penerangan, Datuk Ahmad Shabery Cheek dan dibantu oleh Pengerusi Bernama, Datuk Seri Anuar Zaini.

''Jawatankuasa Menambah Baik Perkhidmatan Bas pula memerlukan kehadiran mereka yang terbabit dalam sektor perkhidmatan bas di negara ini," katanya.

Kita Mahukan komitmen perlaksanaannya...jangan tinggal atas kertas ?

4 cara ringankan beban rakyat

PUTRAJAYA 9 Jun - Kerajaan hari ini mengumumkan empat langkah khusus berkuat kuasa serta-merta untuk meringankan beban rakyat dalam menghadapi kenaikan harga minyak selain mengurangkan perbelanjaan awam sehingga RM2 bilion setahun.

Pada sidang akhbar selepas mempengerusikan mesyuarat pertama Majlis Membanteras Inflasi di Jabatan Perdana Menteri (JPM) di sini, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi berkata, langkah-langkah itu akan diikuti beberapa ikhtiar lain yang akan diumumkan dari semasa ke semasa.

Empat langkah itu ialah pengurangan perbelanjaan kerajaan, mempercepatkan bayaran tunai kepada pemilik kenderaan yang memperbaharui cukai jalan, kuota kemudahan kad fleet yang lebih tinggi untuk pengusaha pengangkutan dan menambah baik jaringan jaminan sosial.

Arahan-arahan bagi mengurangkan perbelanjaan kerajaan meliputi:

Tidak membenarkan penyusunan semula organisasi kementerian, jabatan atau badan berkanun kecuali yang tidak melibatkan pewujudan jawatan baru;

Pengurangan elaun keraian menteri Kabinet sebanyak 10 peratus;

Perjalanan menteri dan pegawai kerajaan ke luar negara dikaji semula, hanya melibatkan persidangan atau mesyuarat antarabangsa yang penting dengan jumlah pegawai yang terhad;

Penggunaan kemudahan hotel hanya untuk persidangan antarabangsa dan semua kursus, latihan dan bengkel anjuran kementerian untuk anggotanya hendaklah dihadkan dan menggunakan kemudahan sedia ada;

Sewa ruang pejabat baru, perpindahan pejabat ke bangunan lain dan ubah suai pejabat sedia ada tidak lagi dibenarkan;

Pembelian aset seperti kereta dan kelengkapan pejabat dikurang atau ditangguhkan terutama yang belum dimuktamadkan;

Pengurangan penganjuran majlis keraian seperti pembukaan pejabat, persidangan dan mesyuarat. Jika dianjur, ia mesti dilakukan secara sederhana; dan

Anggaran perbelanjaan mengurus 2008 dikaji semula termasuk pemotongan 10 peratus ke atas Objek Am 20000 (Perkhidmatan dan Bekalan) dan Objek Am 30000 (Aset).

Menurut Perdana Menteri, pekeliling mengenai arahan pengurangan perbelanjaan itu akan diedarkan ke semua pejabat kerajaan.

"Kerajaan turut merasai keperitan rakyat dan berasakan pucuk pimpinan hendaklah menunjukkan teladan yang baik dalam menghadapi cabaran ini," ujarnya.

Abdullah berkata, peningkatan harga barang dan bahan api memaksa semua pihak mengambil langkah berjimat cermat termasuk kerajaan yang perlu mengurangkan perbelanjaannya.

Katanya, penjimatan sebanyak RM2 bilion akan membolehkan kerajaan menyalurkannya untuk kegunaan lain termasuk membantu rakyat berpendapatan rendah dalam menghadapi tekanan ekonomi ketika ini.

Kerajaan, kata Perdana Menteri, menyedari tentang beban yang ditanggung oleh rakyat ketika ini dan berusaha untuk mengurangkan beban mereka.

"Rakyat memerlukan bantuan dan mahu tindakan daripada kerajaan yang boleh mengurangkan beban mereka.

"Kerajaan prihatin dengan rakyat dan kita akan mengambil tindakan walaupun tindakan pertama kita (naikkan harga minyak) mengejutkan dan membebankan," ujarnya.

Bagaimanapun, beliau berharap, beberapa langkah susulan yang diambil selepas itu, termasuk inisiatif yang diumumkan hari ini, dapat mengurangkan beban mereka.

Monday, June 09, 2008

Rakyat Terbeban dan Terhimpit

Kehidupan mesti diteruskan. Ayat ini sering kita gunakan bilamana berdepan dengan segala permasalahan di dunia. Negara baru sahaja dikejutkan dengan tsunami lonjakan harga bahan bakar yang menggila yang kesan semerta sudah mulai dirasakan dan tentulah memeritkan kehidupan rakyat. Apa alasan sekalipun , samaada menggunakan kaedah Nabi Yusof bersusahpayah 7 tahun dan bersenang lenang bersama rakyat dan pimpinan.Selepas itu 7 tahun kemudian. Seolah-olah itulah gambaran langkah jimat cermat negara dalam menghadapi kemelut inflasi saat ini.

Saat sukar inilah sebenarnya menguji daya kepimpinan dalam mengurustadbir negara. Rakyat mahukan mereka dibantu , setidak-tidaknya mereka bukan mahu tahu alasan kerajaan tentang pasaran global dunia. kerana segala usaha dan ikhtiar jimat cermat negara bukan boleh dirancang dan disusun oleh rakyat. Keterlampauan menaikkan harga bahan beban amat terbeban, bagi golongan tiada pendatapan tetap, berpendapatan rendah serta sederhana. Waktu ini janganlah cakap soal jimat cermat, pengorbanan rakyat.

Apapun dari segi hakikatnya tanpa huru hara dan kacau yang terbeban kini adalah semua rakyat.