Showing posts with label PAS. Show all posts
Showing posts with label PAS. Show all posts

Sunday, February 18, 2018

Hadi – PAN Pecahbelahkan Umat Islam, Undi Melayu



Kenapa Parti Amanah Negara (PAN) diserang teruk oleh Presiden PAS, Datuk Seri Hadi Awang tetapi tidak menyebut walau sepatah perkataan mengenai Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM)?

Apakah bagi PAS, ia melihat saingan daripada PAN akan menyebabkan ia terjjejas pada kerusi Parlimen dan Dewan Undangan Negeri (DUN) yang akan ditandinginya dalam pilihan raya nanti?

Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang mengemukakan pertanyaan : “Kalau benar PAN mahu lawan UMNO, kenapa sibuk masuk kerusi PAS yang menjadi tradisi pertandingan UMNO-PAS sejak puluhan tahun?”

Berkaitan itu, dalam temubual dengan Mingguan Malaysia yang diterbitkan hari ini Hadi berkata  'PAN sebenarnya yang memecah-belahkan umat Islam dan undi Melayu'.

Apakah ini bermakna PAS tidak bermusuh dengan PPBM tetapi menyerang PAN yang dilihat menjadi lawannya selain Barisan Nasional (BN) dan UMNO?

Menurutnya, kehadiran PAN  dilihat hanya mahu memecahkan undi Melayu dan umat Islam pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14).


Abdul Hadi berkata hasrat PAN untuk bertanding di kerusi PAS dilihat hanya akan memberi kemenangan kepada UMNO.

Bagi Hadi, PAN wujud untuk memecah-belahkan umat Islam, undi Melayu dan memberikan  talian hayat kepada UMNO untuk menang.

“PAN adalah ijtihad yang salah hasil daripada campur tangan pihak luar terhadap politik Malaysia dan mendapat sokongan DAP yang mulanya untuk menggantikan PAS tapi sekarang laksana melukut di tepi gantang sahaja,” kata Hadi /

Hadi berkata demikian merujuk kepada rancangan PAN untuk bertanding di 27 kerusi Parlimen, sebahagian besarnya di kerusi milik PAS.

PAS pula merancang akan bertanding di 130 kerusi parlimen pada PRU nanti.

Hadi berpendapat keputusan PAS itu realistik memandangkan pihaknya mempunyai 196 kawasan daripada 222 kerusi Parlimen serta mempunyai 7,063 cawangan.

Hadi berkata PAS bertanding untuk membuat perubahan dasar dan sistem kepada penyelesaian Islam.

“Sama ada PAS menjadi kerajaan memerintah atau pembangkang yang menasihat. PAS berhasrat menjadikan Malaysia negara yang sejahtera dengan mengubah dasar negara, dan urus tadbir yang sesuai dengan penuh berhikmah dan matang.

“Selain itu PAS sedang bekerja bersungguh-sungguh untuk menang paling kurang 40 kerusi. Dengan kemenangan itu PAS ada pengaruh untuk menentukan kerajaan dan mencapai matlamat perjuangan Islam,” kata Hadi sebagaimana dilaporkan.

Dengan kedudukan ini, PAN semakin tersepit apabila jedua-dua musuhnya – PAS dan BN – tidak akan membuka ruang langsung kepadanya.

Apakah kedudukan ini akan menyebabkan PAN akan kalah besar pada PRU14 nanti?

Tuesday, May 2, 2017

'1 Lawan 1' Sudah Mati, Hadi Perkecilkan Parti Pembangkang Lain


PAS tidak pernah gentar berdepan situasi pertandingan walau berapa penjuru pun.

Ia mampu bertanding sendirian dan bukan sesuatu yang baru baginya berdepan situasi sedemikan.

PAS serik dijadikan batu loncatan, apa lagi parti pembangkang lain kecil bernanding dengan PAS dari segi kawasan dan cawangan.

Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang menegaskan semalam parti itu pernah hadapi segala kemungkinan kerana sejarah politiknya panjang lebih dari orang lain.

“Kita pernah sendirian, pernah tinggal satu kerusi, tak ada kerusi langsung, dua penjuru, tiga penjuru. Pengalaman kita banyak.”

“Apa yang penting PAS negeri, kawasan patuh kepada pimpinan pusat,” katanya.

Kenyataan Hadi itu membawa gambaran jelas bahawa PAS tidak memerlukan sebarang pakatan untuk menjamin ‘1 lawan 1’.

Ia boleh berdiri sendirian, malah Muktamar PAS  ke-63 yang berakhir semalam  jelas sekali sudah menghancurkan semua harapan pertandingan 1 lawan 1 antara parti pembangkang dan Barisan Nasional (BN).


Malah Hadi jelas memberikan isyarat akan mengetepikan parti komponen Pakatan Harapan (PH),  dengan menyifatkan mereka kecil berbanding PAS.

Ditanya sama ada PAS akan berbincang dengan PH bagi memastikan pertandingan 1 lawan 1 melawan BN, Hadi berkata perkara itu tidak berbangkit kerana PAS mempunyai asas yang kukuh.
                       
“Kita tidak boleh berbincang atas angin. Kita bukan berniaga atas angin. Kita ada 165 kawasan, kita ada 7,000 cawangan.

“Mereka tidak ada kawasan, tidak ada cawangan. Jadi kita tubuhkan Gagasan Sejahtera,” katanya, merujuk kepada “blok ketiga” yang mereka bentuk bersama Parti Ikatan Bangsa Malaysia (Ikatan).

Jawapan itu sebagai pukulan kepada kepimpinan PH, terutamanya dari Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) dan PKR, yang menggesa PAS supaya berganding dengan pakatan pembangkang itu bagi memastikan pertandingan 1 lawan 1 melawan BN, kerana percaya pertandingan pelbagai penjuru hanya beri kelebihan kepada pakatan pemerintah.

Sudah jelas kini bagi PAS, bahawa  selain UMNO, parti pembangkang lain tidak setaraf dengannya kerana lebih kecil dari segi kawasan mereka dengan cawangan yang terlalu sedikit.

Berikutan itu PAS tidak sanggup dan tidak lagi mahu digunakan sebagai batu loncatan kepada mana-mana parti atau individu, bahkan di dalam partinya, individu seperti itu sudah dipecat atau meninggalkan parti atas kehendak sendiri.

Sebaliknya penghargaan diberikan kepada kerajaan Barisan Nasional (BN) bererti PAS terbuka kepada kerjasama dan  konsisten untuk bekerjasama dengan mana-mana pihak dalam soal kebajikan rakyat dan akan menentang mana-mana pihak dalam perkara yang bertentangan dengan Islam.

Hadi berterima kasih kepada kerajaan persekutuan kerana memberikan laluan kepada PAS membentangkan usul dan berkata mereka tidak akan melupakan kerjasama itu.


Berikutan itu, PAS akan meneruskan agenda memartabatkan Islam, termasuk mendesak pindaan ke atas Akta Mahkamah Syariah (Bidang Kuasa Jenayah) 1965 atau Akta 355.

Hadi memberi contoh, dalam Akta Memperbaharui Undang-Undang (Perkahwinan dan Perceraian) (Pindaan) 2016 PAS bangkang kerana tidak sesuai dengan realiti masyarakat di Malaysia.

Selain isu besar atau kecilnya parti  Hadi turut merujuk kepada sejarah kegagalan hubungannya dengan parti politik lain.

Menurut Hadi, sejarah membuktikan PAS sudah mematuhi syarat menghormati dasar parti rakan, tetapi parti lain yang menjadi pemula terputusnya kerjasama.

“Yang pecat PAS dari BN ialah Umno, bukan PAS keluar. Termasuk Semangat 46, ia singkirkan diri. Termasuk DAP tahun 2000 iaitu Barisan Alternatif, DAP yang keluar. Termasuk yang terakhir, DAP yang pecat PAS dengan tidak ada undang-undang. Bukan kita keluar, tidak,” katanya pada sidang media selepas menyampaikan ucapan penggulungan Muktamar ke-63 di Kompleks PAS Kedah, Kota Sarang Semut semalam.

Pilihan raya umum 1974 menyaksikan PAS bertanding di bawah bendera BN buat pertama kali dan kali terakhir. Konflik antara presiden PAS ketika itu, Tan Sri Asri Muda dan ketua menteri Kelantan Datuk Muhammad Nasir membawa kepada perpecahan dalam kerajaan gabungan di Kelantan, dan terkeluarnya PAS dari BN pada 1977.

Hubungan PAS dan DAP sewaktu dalam Barisana Alternatif dan Pakatan Rakyat terputus akibat pertelagahan antara lain mengenai pelaksanaan undang-undang Islam.


Terbaru, Majlis Syura Ulama PAS bakal menentukan nasib kerjasama antara parti itu dan PKR, selepas muktamar meluluskan usul memutuskan “tahaluf siyasi” dengan parti reformasi itu.


Hadi menegaskan, PAS ketika bekerjasama pembangkang lain, tidak sentuh dasar parti lain dan itu sikap[ PAS.”Itu sikap kita. Bila orang lain sentuh dasar, itu sudah langgar sempadan,” katanya.

Friday, March 31, 2017

EXCO PAS Tidak Wajar Tinggalkan Kerajaan Negeri Selangor


Tekanan di media sosial jangan dijadikan ukuran untuk PAS keluar kerajaan Selangor.

Kenyataan Pesuruhjaya PAS Selangor Datuk Iskandar Abdul Samad bahawa PAS Selangor menunggu arahan daripada kepimpinan pusat sama ada kekal atau keluar dari kerajaan negeri adalah keputusan yang baik.

Lagipun dengan langkah seperti itu PAS Selangot tidak bertindak atau mahu mendahului arahan parti, walaupun berdepan tekanan di media sosial.

Oleh kerana ketika ini tiada arahan untuk keluar daripada kerajaan negeri, adalah elok untuk PAS Selangor terus berada dalam kerajaan negeri. Lagipun, ada berbagai kemungkinan dalam kerjasama PAS dengan PKR dan kemungkinan dengan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) yang juga anggota Pakatan Harapan (PH).

Walau ada pelbagai desakan, kepimpinan PAS Selangor mesti bijak mengatur strategi, apalagi dalam hubungannya dengan PKR. Setidak-tidaknya mendahulukan PKR!!!

Pada PRU13, PAS dan DAP masing-masing menang 15 DUN dengan PKR mendapat 14 kerusi sementera BN menang hanya 12 kerusi di Selangor.

Bagaimanapun PAS kini tinggal 13 ADUN selepas dua melompat ke PAS dan bekas Menteri Besar, Tan Sri Khalid Ibrahim dari PKR menjadi ADUN Bebas. DAP kekal dengan 15 ADUN sementara PKR juga 13 ADUN seperti PAS.


Pada  24 Mac lalu, Pemuda PAS Kuala Selangor, Subang, Serdang dan Pandan sebulat suara meluluskan usul memutuskan hubungan dengan PKR, selepas usul sama diluluskan di Tumpat (Kelantan), Permatang Pauh dan Bayan Baru (Pulau Pinang).

Ketua Pemuda PAS Kuala Selangor Ahmad Hakimi Othman berkata keputusan pihaknya dicapai berdasarkan tiga peristiwa membabitkan hubungan PAS dan PKR negeri.

1. Pemimpin PKR Melayu Islam memandang sinis usaha memartabatkan mahkamah syariah dan memejamkan mata dalam penerangan yang diberikan.

2. Pilihan Raya Kecil Sungai Besar melihatkan pengkhianatan jelas terhadap unsur-unsur tahaluf siyasi PAS yang digariskan dalam Majlis Syura Ulama, dan

3. Isu air Selangor dan pertikaian dengan Splash masih tidak diselesaikan hingga menyeret PAS dalam krisis keyakinan rakyat terhadap tindak tanduk kerajaan yang ada.

AZMIN...Bincang masalah secara tertutup.
Iskandar yang juga EXCO kerajaan negeri berkata: “Sekarang ini ramai orang yang lebih presiden daripada presiden,” tambahnya, yang juga exco kerajaan negeri.

PAS mengekalkan hubungan politik dengan PKR, walaupun selepas Pakatan Rakyat terkubur dan bertegas tidak akan bekerjasama dengan DAP dan Amanah, sekutu PKR dalam PH. 

 PKR memimpin kerajaan Selangor, yang disertai PAS, DAP dan AMANAH, hasil daripada persetujuan dalam kalangan pembangkang sejak pilihan raya umum ke-12.

Menteri Besar Selangor Datuk Seri Mohamed Azmin Ali sebelum ini (25 Mac 2017) menggesa PAS dan PKR menghentikan perbalahan dalam media, sebaliknya kedua-dua parti perlu membincangkan masalah mereka secara tertutup.

“Ini bukan masanya untuk kita berbalah secara terbuka. Saya menggesa semua pihak duduk dan berbincang,” kata timbalan presiden PKR itu.

“Paling penting, letak kepentingan negara dan rakyat di tempat pertama kerana keutamaan kita ialah hadapi pilihan raya akan datang,” katanya.

Ketegangan antara kedua-dua parti semakin memuncak di Selangor selepas Azmin mengejek kekalahan Nik Mohamad Abduh Nik Abdul Aziz dalam pemilihan PAS Kawasan Pengkalan Chepa di Kelantan, pada 18 Mac lalu.

Naib Presiden PAS Datuk Mohd Amar Nik Abdullah mengesahkan nasib kerjasama antara kedua parti akan ditentukan pada mesyuarat agung tahunan yang dijadualkan pada 29 April hingga 1 Mei di Kota Sarang Semut, Kedah, selepas beberapa kawasan termasuk di Selangor meluluskan usul memutuskan kerjasama dengan PKR.

Iskandar sebelum ini memberi amaran tindakan memutuskan kerjasama dengan PKR hanya akan membuka laluan kepada AMANAH.

“Kita tidak takut hilang jawatan…tapi kita takut AMANAH akan masuk (ke dalam pentadbiran kerajaan Selangor).”

Sudah nyata bahawa tiga anggota EXCO Selangor daripada PAS tidak akan keluar daripada kerajaan negeri yang diterajui PKR selagi tidak menerima arahan pucuk pimpinan tertinggi parti.

Selain Iskandar dua lagi Exco sedang menunggu keputusan muktamar PAS bulan depan, sebelum memutuskan langkah seterusnya.

“Saya ikut arahan presiden parti sebab kita hanya ada satu presiden sahaja… buat masa ini tiada arahan untuk itu, jadi kita bertugas seperti biasa,” katanya.

Selain Iskandar, dua lagi anggota Exco kerajaan negeri daripada PAS ialah Zaidy Abdul Talib dan Datuk Dr Ahmad Yunus Hairi.

Hubungan PAS-PKR tegang susulan ada cadangan daripada beberapa PAS kawasan yang menuntut pucuk pimpinan memutuskan kerjasama dengan PKR selepas parti itu bertegas untuk menjalin kerjasama dengan AMANAH dan DAP.

Nik Abduh pula baru-baru ini mengesahkan rancangan presidennya, Datuk Seri Abdul Hadi Awang untuk menawan Selangor.

Wednesday, August 31, 2016

Mari Ke Kelantan, Kami Ada Budu, Ada Tugu


"Lupakan tentang berapa banyak rumah kos rendah yang boleh dibina dengan wang sebanyak itu. Itu semua komentar mereka yang busuk hati dan dengki dengan kerajaan Islam Kelantan yang telah terbukti bersih, cekap dan amanah."

(Anak jati Kelantan yang suka menjadi pemerhati politik nonpartisan dari Kuala Lumpur)
  
Menjelang Hari Merdeka negara kita yang ke-59, saya tiba-tiba didatangi rasa untuk menulis pelbagai perkara.

Pada seorang penulis, ia tentunya rahmat yang menyamai istilah merdeka iaitu terbebas daripada belenggu writer's block.

Dari sisi politik mungkin saya akan berminat untuk mengikuti perkembangan di Cyberjaya yang melibatkan seorang bekas pemimpin utama parti saya dulu dan mengikut jejak saya memakai jersi baru.

Atau lebih ringan sedikit, saya mungkin boleh memakai 'topi' pengkritik sastera lalu mengulas tentang sepucuk surat - dari segi seni, sastera dan dakwah, mungkin - seorang ustaz.

Tapi menjelang merdeka ini saya lebih berminat untuk menulis tentang tugu. Ya, salah satu sebabnya adalah kerana merdeka dan tugu seperti tidak boleh dipisahkan.

Tanpa tugu bagaimana kita mahu mengenang sejarah? Dan tanpa sejarah bagaimana kita mahu menghayati erti sebenarnya merdeka?

Cuma kali ini saya bukan bercerita tentang Tugu Peringatan Negara di Taman Tasik Perdana, Kuala Lumpur itu.

Saya mahu membawa anda semua ke Kuala Krai yang baru beberapa hari lalu secara rasminya menerima sebuah tugu peringatan banjir.

Banyak yang kita boleh banggakan dengan kewujudan tugu diberikan nama Tugu Peringatan Banjir Kuala Krai (TPBKK) itu.

Seperti yang telah dijelaskan oleh Setiausaha Akhbar Menteri Besar Kelantan, ia adalah satu mercu tanda penting untuk mengenang sejarah bah kuning yang berlaku pada penghujung 2014 yang lalu.

Sudah hampir dua tahun bencana itu berlalu dan sebahagian kita tidak lagi berbicara tentangnya. Sudah terlupakan nasib mangsa banjir yang berduyun-duyun kita kunjungi, salami dan selfie sebaik saja banjir surut ketika itu.

Pasti ramai bersyukur

Mujurlah ada tugu itu. Kita kembali teringat, dan kembali mengenang sejarah. Manusia sepatutnya tidak boleh tidak mengenang sejarah (dan hanya manusia bermasalah yang menganggap sejarah tidak penting.)

Kita selalu dengar orang bijak pandai sebut, "orang yang malas belajar dari sejarah akan ditipu berkali-kali". Mustahil kerajaan Kelantan pimpinan PAS tidak belajar dari sejarah. Mustahil mereka boleh ditipu berkali-kali. Justeru tidak hairanlah apabila kita lihat mereka sangat menghargai sejarah.

Rakyat Kelantan - terutamanya di Kuala Krai - pasti akan bersyukur dan sangat berterima kasih kepada semua mereka yang terlibat dalam pembinaan tugu itu.
  
Daripada yang memberi idea, penyumbang dana, kontraktor yang membina sehinggalah kepada penandatangan plak perasmian, - Menteri Besar Kelantan - sendiri sangat berjasa kepada negeri.

Kerajaan Kelantan tentulah kerajaan yang berwawasan. Dari segi dalamannya tentulah TPBKK ini akan mengingatkan penduduknya kepada kekuasaan Allah yang Maha Kuasa.

Ia tentunya akan menambahkan lagi nilai ketakwaan penduduk Kelantan yang telah terkenal dengan penghayatan Islam yang kuat.

Para pengunjung Kuala Krai atau sesiapa yang terpandang TPBKK pasti akan lebih mengingati Allah.

Ini satu bentuk dakwah yang sangat subtle, tidak perlukan kata-kata yang banyak atau surat panjang lebar (waima seperti surat seorang ustaz kepada selebriti itu).

Dari segi luaran pula, TPBKK tentu akan membantu menambahkan lagi kerencaman aktiviti ekonomi di negeri yang kaya dengan tarikan pelancongan ini.

Pada masa sama 2016 adalah Tahun Melawat Kelantan. Datanglah ke Kelantan; ada budu, ada juga tugu.

Tugu tarikan pelancongan itu tentunya bukan menjadi pendorong kedatangan orang luar

Kelantan saja, malah saya yang berasal dari Jeli, Kelantan pun juga teruja.


Jeli adalah jajahan berjiran dengan jajahan Kuala Krai dan Gua Musang. Jika kita masuk ke Kelantan melalui Gua Musang, ada satu jalan menghubungkan bandar ini dengan Jeli. Kita boleh sampai ke kawasan parlimen di bawah jagaan Datuk Seri Mustapa Mohamed, Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, hanya dalam tempoh kira-kira satu jam.

Malangnya bah kuning yang membawa balak-balak hanyut telah meranapkan sebuah jambatan utama di Kampung Setelu yang menghubungkan dua jajahan itu.

Kini, yang ada hanya ghetok sementara yang sempit dan diragui jaminan keselamatannya.

Struktur Rukun Islam

Tidak ada masalah pun. Dengan adanya TPBKK di Kuala Krai, kenapa saya mahu berkeluh-kesah tentang sebuah jambatan sempit?

Untuk balik ke kampung, saya boleh menggunakan laluan selesa Gua Musang - Kuala Krai - Machang yang jaraknya dan masanya mungkin tiga kali ganda berbanding laluan biasa.\

Sambil itu saya bolehlah menikmati keindahan tugu berpuncakkan wau bulan menghadap kiblat itu sambil meningkatkan keimanan saya kepada Allah Yang Maha Kuasa.

Nampak tak indahnya falsafah pembinaan tugu untuk memperingati banjir itu?

Lagipun, dengan kos pembinaan yang semurah RM60,000 ia tentulah pelaburan yang sangat berbaloi. Kita telah pun mendapat manfaat dari segi sejarah, agama, ekonomi dan pelancongan.

Itu kita belum lagi dibincangkan tentang falsafah dan nilai estetika tugu tersebut. Pedulikan komen-komen mereka yang buta seni bahawa tugu itu kelihatan seperti batang balak (pedulilah sama ada ia ditebang secara halal, patuh syariah atau haram).

Seorang pengguna Facebook yang bijak berjaya memecahkan 'kod rahsia' TPBKK itu. Selain wau itu mengarah ke Kaabah, bentuk bucu lima pada struktur itu juga melambangkan Rukun Islam yang sempurna.

Lupakan tentang berapa banyak rumah kos rendah yang boleh dibina dengan wang sebanyak itu. Itu semua komentar mereka yang busuk hati dan dengki dengan kerajaan Islam Kelantan yang telah terbukti bersih, cekap dan amanah.

Malah, orang-orang seni yang baru-baru ini berarak kerana perobohan Puncak Purnama di Kuala Lumpur perlu berasa gembira.

Mereka sepatutnya perlu segera menganjurkan perarakan ke Kuala Krai pula kerana meraikan naiknya tugu yang sangat bermakna ini. Patah tumbuh, hilang berganti.

MERDEKA, MERDEKA, MERDEKA!!!


Saturday, August 6, 2016

Hujah Jawablah Dengan Hujah, Bukan Dengan ‘Spin Fitnah’...BODO!!!


Benarkah Datuk Seri Ahmad Said yang dikenali dengan ‘Mad Said’ memang kaki temberang  yang sering menarik perhatian  bermodalkan air liur dan pengalaman berpolitiknya?

Juga benarkah Mad Said berjaya menarik perhatian musuh politiknya termasuk PAS dengan ayat-ayat seperti  ‘saya tahu banyak rahsia’, ‘jangan cabar saya’, ‘jangan sampai saya dedahkan semuanya’ dan banyak lagi.

Inikah sifat dan ciri-ciri Mad Said yang sebenar?

Siapa kata begi tu?
  
Itu kata blog Terengganu Daily dengan tajuk “Mat Said Ugut Bergabung Dengan Parti Ajaran Sesat Jatuhkan BN Terengganu’ yang diposkan semalam.

Juga,  itu kata pengongsi viral di Facebook melalui seseorang yang memetik posting blog berkenaan.


Menurut Terengganu Daily, Mad Said sekali lagi membuat ugutan untuk keluar parti semalam dan akan bekerjasama dengan PAS atau  ‘Parti Ajaran Sesat’ bagi menumbangkan Kerajaan BN di Terengganu.

‘Parti Ajaran Sesat’ itu merujuk kepada gelaran yang diberikan oleh Mad  Said sendiri kepada parti berkenaan ketika beliau menjadi Menteri Besar sehingga lahirnya ‘Wacana PAS : Parti Ajaran Sesat’ pada 11 April 2012 di Taman Tamadun Islam.

Memetik sumber (tong sampah UMNO Gong Badak  dekat Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin lah tu...)  ugutan keluar UMNO itu diulangi bagi memenuhi ‘jadual program’ membalas dendam terhadap Menteri Besar, Ahmad Razif Abd Rahman.

Balas dendam? Balas dendam apa?

Faham atau tidak faham Terengganu Daily ini mengenai apa yang dicakapkan oleh Mad Said, sama ada ketika persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) atau pada majlis tertentu mengenai beberapaperkara besar membabitkan kepentingan rakyat Terengganu.

Isu-isu seperti duit royalti minyak yang sewenang-wenangnya digunakan oleh Putrajaya, penggunaan wang rakyat Terengganu untuk pembinaan Lebuh Raya Pantai Timur2 sehingga RM1.8 bilion, menggunakan wang royalty bagi pembinaan pembangunan di luar Terengganu, isu telaga minyak Bertam dan lain-lain ia bukan dendam.

Mad Said lantang bukan untuk dirinya tetapi untuk rakyat Terengganu.

Kalau dia nak bodek Perdana Menteri, dia boleh berdiam diri dalam isu berkenaan dan selamatlah kedudukannya.


Apa untungnya beliau bising? Bukankah itu menjadi antara sebab Putrajaya berang dengannya.

Malah mengaitkan Mad Said kononnya mahu bergabung dengan PAS juga tidak benar.

Sekali lagi maklumat Terengganu Daily dari ‘tong sampah’ di kawasan perumahan berdekatan stadium di Gong Badak.on) terhadap beliau.

“ Siapa yang kata saya akan bergabung dengan PAS? Saya masih anggota Umno hingga hari ini,” tanya Mad Said

ADUN Kijal menafikan beliau akan bekerjasama dengan PAS sekiranya Ahmad Razif tidak berundur dan gagal menyelesaikan kemelut politik yang melanda negeri ini.

Ahmad Said berkata beliau masih anggota Umno dan tidak pernah membuat kenyataan seperti yang dilaporkan akhbar pada Jumaat.

"Tidak...saya tidak pernah membuat kenyataan tersebut. Siapa yang kata saya akan bergabung dengan PAS? Saya masih anggota Umno hingga hari ini," katanya.

Sebaliknya Terengganu Daily menegaskan, Mad Said sebagai memberi kata dua kepada Ahmad Razif agar berundur, sebelum beliau mengambil langkah susulan, yang akan merubah keadaan politik di Terengganu.

Bekas menteri besar itu juga dilaporkan sebagai berkata jika apa yang dihasratkan tidak berlaku, beliau tidak menolak kemungkinan meninggalkan Umno, dan bekerjasama dengan PAS untuk membentuk kerajaan baharu.

Terengganu Daily turut mempercayai bahawa ADUN Kijal itu akan terus berlagak ‘pendekar’ di pentas politik Terengganu bagi mengekalkan imejnya sebagai seorang yang ‘nelang’ walaupun BN tinggal 17 daripada 32 kerusi DUN pada PRU ke-13 semasa beliau menjadi Pengerusi Perhubungan UMNO Negeri Terengganu.

Dengan membuat fitnah sedemikian, Terengganu Daily kalaupun mahu menyokong Ahmad Razif, janganlah bertindak sedemikian.

Ia bukan sahaja dilarang oleh Islam tetapi perbuatan mempertahankan Ahmad Razif melalui cara sebegini tidak bijak dan tidak menampakan ‘kecerdikan’.

Janganlah tunjuk kebodohan diri dengan melakukan gerakan ‘bodo’ yang kelak bukan sahaja akan mengusutkan suasana tetapi juga akan merugikan Ahmad Razif sendiri.

Lakukan cara lebih bijak jika mahu mempertahankan Ahmad Razif.

Jawab dengan baik dan berhujahlah di atas fakta terhadap apa yang dibangkitkan oleh Mad Said di DUN atau di mana-mana juga.

Malah Pesuruhjaya PAS Terengganu, Saiful Bahri Mamat juga menafikan PAS ada menawarkan jalinan kerjasama dengan Ahmad Said bagi menyelesaikan kemelut politik di negeri ini.


"Kami tidak pernah menawarkan sebarang kerjasama dengan ADUN Kijal. Cuma apa yang kita mahu masalah politik ini harus diselesaikan segera. Jika dua pihak saling berbalas kenyataan media, mu kata aku, aku kata mu, ia tidak menyelesaikan masalah," katanya semalam.

Katanya PAS Terengganu tidak berhasrat mahu 'campur tangan' dengan masalah dalaman Umno.

Namun, katanya, jika kemelut itu masih gagal diselesaikan, adalah lebih baik sekiranya kuasa diserahkan semula kepada rakyat melalui pilihan raya negeri.

"Jika ada dua ADUN daripada UMNO yang lompat parti, barulah boleh diadakan pilihan raya negeri. Sekiranya tiada, dan hanya asyik berbalas kenyataan di media, isu ini tidak akan selesai dan terus berpanjangan," kata Saiful Bahri.

Jadi kepada Terengganu Daily dan mereka yang menyokong fitnah terhadap Mad Said itu fahamilah bahawa hujah lawan fitnah tidak akan mendatangkan kenaikan walaupun laporan Terengganu Daily ini diviralkan di Facebook dan mendapat like serta share yang baik.

Malah yang like dan share itu turut menabur dan menyokong fitnah kepada Mad Said dan tanggunglah dosa sekiranya tidak meminta maaf kepada ‘tuan badan’ yang difitnahkan itu.

Dan kepada Terengganu Daily dan ‘bapa viral’, berhujahlah dengan fakta yang kukuh bagi mematahkan hujah bekas Menteri Besar itu bukan menggunakan modus operandi  ‘spin fitnah’ melawan hujah yang akhirnya menonjolkan kebodohan dan kelemahan sendiri.

Kesian dengan askar siber Ahmad Razif yang baru belajar menembak dan peluru yang digunanya pula ‘hanya peluru gabus yang hanya sesuai digunakan untuk menutup botol kicap dan minuman...

Saturday, July 23, 2016

Reaksi Tindakan DOJ - Sewajarnya Tuan Ibrahim, Idris, Mintalah Kebenaran Hadi Dahulu...


Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man tidak payah berteori atau bertanya “BagaimanaAmerika Syarikat Jumpa Bukti Tapi Malaysia Tak?”
  
Merujuk kepada pengumuman Jabatan Keadilan (DOJ) Amerika Syarikat  bahawa pendakwa raya negara itu  percaya lebih daripada AS$ 3.5 bilion telah disalahgunakan daripada 1MDB dan kira-kira AS$ 1 bilion telah 'dicuci' melalui sistem perbankan negara kelmarin, walaupun sebagai Timbalan Presiden Pas, beliau tidak layak menggunakan nama PAS dalam mengulas isu ini.

Dah minta izin Presiden PAS dan Ulamak PAS ker buat kenyataan mengenai kes ini?

DOJ juga kelmarin  mengumumkan akan  merampas 17 aset termasuk hartanah, jet dan karya seni berharga.

Saman sivil itu dilihat berpotensi menyentuh isu hubungan antara kedua negara yang telah berkembang rapat dalam  pentadbiran Presiden Barack Obama.

Tuan Ibrahim...pahlawan PAS?
Kelulusan Presiden PAS mesti didapati dahulu sebelum membuat sebarang kenyataan.

Begitu juga dengan Idris Ahmad, Naib Presiden PAS yang juga Ahli Parlimen Bukit Gantang. Tidak payahlah membuat usul dalam isu ini secara spontan. Ingat, minta izin Presiden dulu.

Memang mereka berdua kelihaan seperti bersama-sama dengan rakyat Malaysia yang prihatin berharap ada penyelesaian tuntas kepada perkara yang disebut oleh DOJ itu.

Tetapi kalau belum dapat izin, jangan memandai-mandai buat kenyataan sendiri. Dapatkan restu atau  kebenaran daripiada ‘Penasihat kerajaan Barisan Nasional’ itu terlebih dahulu.

Sebagai pemimpin parti Islam, mereka berdua kena berhati-hati. Jangan buat tuduhan melulu dan jangan aibkan orang.

Siasat empat saksi (penjuru) yang boleh dipercayai dan selepas bersetuju melalui perundingan baru ulas.

Tuan Ibrahim dan Idris kena ingat, PAS dan seluruh pemimpin dan jemaahnya adalah penasihat ‘Kerajaan Barisan Nasional’. Ingat tu Penasihat, bukan Punahsihat atau Penat Sihat...

Hadi...Penasihat kerajaan Barisan Nasional
Jika tidak dapat consent Presidennya, Tuan Ibrahim sendiri  silap-silap kan macam isu ‘’gencatan senjata” hari tu. Akhirnya dia kena belasah dek kawan-kawan dalam PAS sendiri. Dari gencatan senjata jadi ‘senjata makan tuan’.

Apapun,  kita ucapkan terima kasih sebab Tuan Ibrahim memahami bahawa  rakyat sedang melihat sama ada institusi-institusi berkenaan bekerja untuk rakyat atau individu tertentu sahaja.

Dengan kata lain, Tuan Ibrahim bersetuju bahawa pendapat umum di negara ini kini mahu tahu apa kedududan sebenar isu 1MDB ini.

Dia turut menasihatkan Pengerusi dan Ketua Pegawai Eksekutif 1MDB Arul Kanda Kandasamy supaya memikirkan apa langkah terbaik seterusnya buat dirinya dan negara.

Ini sesuai dengan kedudukan PAS sebagai ‘parti penasihat’.

Semalam,  Tuan Ibrahim tanya sama ada Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak yang juga adalah menteri kewangan wajar berdiam diri berikutan pengumuman Jabatan Kehakiman (DOJ) Amerika Syarikat untuk mengambil tindakan undang-undang dengan merampas aset yang dikaitkan dengan dana pelaburan negara itu?

Dia juga tertanya-tanya bagaimana DOJ berjaya menemui bukti salah laku oleh firma yang berpangkalan di Malaysia manakala pihak berkuasa negara ini gagal berbuat demikian.

Beliau berkata  PAS (guna juga nama parti tu...) menggesa agar Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) yang terdiri daripada ulama yang pakar dalam ekonomi dan kewangan Islam ditubuhkan untuk menyiasat skandal 1MDB.

Idris...turut guna nama PAS
Berapa ramai ulama dalam PAS yang pakar? Apapun, katanya, siasatan perlu membabitkan dua perkara:

1.      Pengurusan pelaburan dan kewangan yang silap, iaitu strategi dan jangkaan pelaburan yang salah.“Perkara ini dalam ekonomi konvensional adalah biasa, tetapi dalam ekonomi Islam ada hukum berbeza”, dan

2.      Aspek penyelewengan seperti tuduhan DOJ yang gagal disiasat pihak berkuasa negara, melibatkan pengubahan dana haram iaitu perpindahan wang tanpa saluran yang betul dan pemilikan harta atas nama peribadi.”

Risiko besar tu Datuk. Buat kenyataan pada ketika belum dapat kelulusan Datuk Seri Abdul Hadi Awang?

Nanti dia minta saksi susah. Kalau ada pun tiga empat saksi, mereka tu bukan Islam. Tak boleh percaya kepada ‘kafir harbi’. Mereka semua penipu...

Apapun dalam isu ini, walaupun Tuan Ibrahim berdepan risiko, dia nampaknya betul-betul pahlawan dalam PAS, sesuai dengan pakaiannya baru-baru ini.

Tuan Ibrahim tanya:

1.      “Apakah status siasatan Ketua Polis Negara terhadap 1MDB?
2.      Apakah Ketua Polis Negara akan bekerjasama dengan DOJ untuk mendapatkan bukti-bukti yang gagal diperolehi selama ini dalam penyiasatannya ke atas 1MDB?
3.      ”Bagaimana pula dengan Ketua Audit Negara? Apakah beliau kini dapat melengkapkan laporan auditnya yang kini di bawah OSA dengan maklumat-maklumat baru ini?
4.      “Apa pula tindakan Peguam Negara dan SPRM selepas ini? Apakah masih tetap bahawa dengan pendirian yang ada?
5.      “Bagaimana pula dengan Gabenor Bank Negara Datuk Muhammad Ibrahim yang telah menutup kes terhadap 1MDB? Apakah dengan maklumat terkini, kes 1MDB akan dibuka semula?”

Idris pula juga mengguakan nama PAS menyatakan memandang serius dakwaan tentang adanya penyelewengan melibatkan 1MDB  seperti DOJ  melibatkan ‘money laundering’ iaitu pengubahan dan pemindahan wang tanpa saluran yang betul dan pemilikan harta atas nama peribadi.

Idris kata pendirian PAS (pendirian beliau???)  sejak daripada awal kes 1MDB ini ialah siasatan telus dan menyeluruh perlu dijalankan dan disegerakan. Ini bagi memastikan jika benar ada penyelewengan dan salahguna kuasa, pihak yang bertanggungjawab dan terlibat perlu dihadapkan ke muka pengadilan.

“Jika ia melibatkan pengurusan pelaburan dan kewangan yang silap dan jangkaan pelaburan yang salah, maka penambahbaikan dan kebertanggungjawaban pihak yang berkenaan perlu diberikan perhatian,” katanya dalam satu kenyataan.

Jadi, selaras dengan prinsip Islam dan terma universal iaitu ‘innocent until proven guilty’ (tidak bersalah sehingga dibuktikan bersalah), maka PAS menuntut penubuhan Suruhanjaya DiRaja bagi menyiasat kes yang semakin mendapat perhatian umum dalam dan luar negara ini. Inilah pendirian dan pegangan PAS dalam semua kes yang berlaku tanpa ada dwi-standard.

Pendapat Idris sama dengan Tuan Ibrahim iaitu Suruhanjaya DiRaja hendaklah dianggotai oleh pakar yang berautoriti dan berkecuali termasuk ‘ulamak yang pakar dalam bidang perundangan, ekonomi dan kewangan Islam.

PAS  (Idris?) juga menolak campur tangan asing dalam urusan negara ini. Kita berharap Suruhanjaya ini akan dapat menyelesaikan kes ini yang sudah bertahun-tahun menjadi polemik.

Soalnya, apakah pemimpin PAS lain, khususunya Hadi bersedia menerima apa yang dikatakan oleh Tuan Ibrahim dan Idris ini?

Tidakkah mereka bersikap berdiam itu mempunyai keraguan terhadap siasatan antarabangsa?

Apakah mereka juga bersependapat dengan Menteri Komunikasi dan Multimedia Datuk Seri Salleh Said Keruak yang meminta orang ramai supaya tidak terus membuat kesimpulan berhubung dakwaan yang dibuat ke atas 1MDB di Amerika Syarikat.

Salleh berkata, dana pelaburan negara itu menjadi mangsa serangan bermotifkan politik yang tidak pernah berlaku sebelum ini yang bertujuan menjatuhkan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak yang dipilih secara demokrasi.

Menurutnya, banyak tuduhan seperti kenyataan bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad kononnya RM42 bilion lesap, yang kemudian dibuktikan tidak benar.

"Dalam hal ini, pengesahan itu dibuat oleh Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC) yang dwipartisan. Ini bermakna mana-mana dakwaan berhubung 1MDB perlu ditangani dengan berhati-hati mengikut proses undang-undang dan mematuhi prinsip tidak bersalah sehingga terbukti bersalah,” katanya.

Salleh masih mengulangi  siasatan menyeluruh pihak berkuasa negara ini serta Menteri Luar Arab Saudi Adel Al-Jubeir juga mengesahkan Najib tidak bersalah dan wang di akuan banknya adalah sumbangan dari keluarga diraja Saudi.

Salleh dah melalut entah ke mana dan tidak menjawab isu dibangkitkan oleh DOJ itu dan benar-benar seperti ‘burung keruak’ dan ‘burung kakak tua’.

Namun, Salleh tidak ulas mengenai seorang individu yang tidak dinamakan, tetapi digelar sebagai 'Malaysian Official 1' telah menerima ratusan juta dolar dana milik 1MDB.

Antara transaksi itu termasuk deposit AS$681 juta dari 1MDB yang dimasukkan dalam akaun rasmi orang itu pada tahun 2013.

Bukan PAS sahaja, malah seluruh rakyat Malaysia komited dalam membina Malaysia Sejahtera yang menjadikan ‘good governance’ (pemerintahan yang telus dan cemerlang) sebagai asas utama dan teras negara.

Namun dengan kes yang disebutkan oleh DOJ ini, apakah ia akan dapat dicapai?

Tuesday, October 22, 2013

Ketika Hidup Dibenci, Setelah Meninggal Azizan DiSayangi....



"Nampaknya Pas terpaksa mengitar semula gambar Azizan (orang yang telah meninggal dunia) sebagai bahan kempen PRK Sg Limau pada kali ini kononnya nak mengambarkan calon Pas yang juga ketua pemuda Pas Jerai anak didik Azizan."

Daripada hambali1

Nasib Allahyarham Tan Sri Azizan Abdul Razak.

Ketika hayatnya beliau dibenci dan dihina kerana rapat dengan pemimpin UMNO, termasuk Tun Dr Mahathir Mohamad dan Datuk Seri Mohd Najib Razak.

Beliau dilihat sebagai tokoh proUMNO dan penuh kontroversi. Kenapakah pemimpin PAS yang berjuang atas nama Islam bersikap sebegini?


Nampaknya Pas terpaksa mengitar semula gambar Azizan (orang yang telah meninggal dunia) sebagai bahan kempen PRK Sg Limau pada kali ini kononnya nak mengambarkan calon Pas yang juga ketua pemuda pas Jerai anak didik Azizan.

Menurut sebuah blog, walaupun Azam anak didik Azizan tetapi adakah ciri ciri yang ada pada dirinya sama seperti bekas pemimpin Kedah itu?

Penduduk Sg Limau perlu sedar, Sg Limau bukan lagi kawasan milik bekas menteri besar Kedah itu.. Kedah kini ditadbir oleh kerajaan BN dan bukannya lagi kerajaan Pas.

Justeru, tiada sebab lagi untuk Pas mempertahankan Dun Sg Limau.

Penduduk Sg Limau jangan bimbang soal pembanggunan kerana dalam Aku Janji BN Kedah sudah tertulis bahawa kawasan berkenaan akan dibanggunkan iaitu meneruskan projek Zon Industri Petroleum Yan (Zippy) ang dijangka akan memberi manfaat kepada penduduk tempatan.

Menteri Besar, Datuk Mukhriz Mahathir sudah berikrar semalam bahawa rakyat tidak perlu bimbang kerana setiap projek yang dirancang akan diteliti dengan mengambil kira kebajikan mereka terlebih dahulu. Sebagai contoh, jika melibatkan pengambilan tanah, ia akan berbincang dengan penduduk terlibat bagi menentukan nilai pampasan yang wajar.

Beliau berkata, kerajaan negeri yang diterajui BN tidak akan merampas tanah sewenang-wenang seperti yang didakwa setengah pihak sebelum ini, termasuk bagi projek Zippy.

Ini kerana sesuatu projek itu tidak akan dilaksanakan jika tidak menguntungkan penduduk tempatan atau sebahagian besarnya mendapat nikmat serta merugikan mereka.

"BN tidak mahu cari pasal dengan rakyat yang boleh menyebabkannya kecundang dalam pilihan raya akan datang. Kita dah belajar dari pengalaman. “Kalau kita terus cari pasal dengan mereka, tunggulah PRU14. Kita tidak mahu itu berlaku kerana kita tadbir Kedah bukan untuk satu penggal. Kalau boleh mahu selama-lamanya kerana negeri ini milik BN,” katanya pada majlis pengumuman nama calon BN untuk PRK Dun Sungai Limau, petang semalam.

Beliau, yang juga Pengerusi BN Kedah, turut membidas pembangkang yang membuat dakwaan kerajaan negeri seolah-olah memberi ugutan kepada penduduk tempatan agar menyerahkan tanah untuk membolehkan projek pembangunan dilaksanakan di kawasan Sungai Limau.

“Saya tidak pernah mengeluarkan kenyataan yang berbentuk ugutan kepada penduduk. Kita hanya mahu menawarkan perkhidmatan dan membawa pembangunan di sini. Itu sahaja, bukan ada niat lain. “Tetapi itulah masalah dengan Pas yang terlebih membaca sehingga yang tersirat pun mereka tahu.

"Tidak perlu melampaui batas jika nak berpolitik,” katanya. Sehubungan itu, beliau menasihati semua pihak yang bertanding dalam PRK Sungai Limau melakukannya dalam keadaan sihat dan harmoni agar tidak menjejaskan keselamatan negara.

Kalau pun nak menang di Sg Limau, Pas sepatutnya mengunakan kekuatan yang ada pada calon Pas itu sendiri..

Mereka tidak wajar guna arwah sebagai modal kempen.

Belum tentu cara yang dibawa oleh calon Pas ini sama seperti Ust Azizan walau anak didik sekalipun.

Cuba tengok Mukhriz, walaupun ber'bin'kan Tun Mahathir, cara pembawakan dan pentadbiran tak sama seperti ayahanda beliau.

Jadi tak mungkin anak didik Ust Azizan ini boleh bawa benda yang sama seperti arwah. Oleh itu, seramai 27,222 pemilih berdaftar layak mengundi dalam PRK DUN Sungai Limau, pada 4 November ini. perlu undi calon BN yang juga anak tempatan dan berpengalaman luas dalam bidang pendidikan.

Saturday, April 20, 2013

Abby, Bob Lokman dan Hairie 'Lari' Selepas Tidak Terpilih Jadi Badot PAS, PKR


Daripada www.hambali1.blogspot.com
(Tajuk asasl :  MENCARI BOB LOKMAN, HAIRIE, PADA KETIKA AISHAH & DAYANGKU INTAN MENJADI BADOT PAS, PKR…)

Tolong beritahu…di mana trio - Bob Lokman, Hairie Othman dan Ebby Abady - bertanding atas tiket apa dan di mana?

Pada ketika Wan Aishah Wan Aishah Wan Arifin dan Dayangku Intan Dayangku Intan Tengku Abdul Hamid sudah disahkan menjadi calon, kita tercari-cari di mana nama Bob Lokman, Hairie dan Ebby.

Ini kerana Bob Lokman dan Ebby sebelum ini begitu lantang mengkritik kerajaan dan rakan artisnya. Mereka ini ‘lebih Islam’ daripada ustaz dalam PAS kerana sanggup meluahkan pandangan yang controversial menyebabkan banyak pihak mempersoalkan kredibilti mereka, termasuk daripada PAS sendiri.

Lagipun, sebelum ini Bob Lokman, Hairie dan Abby mengatakan mereka bersedia menjadi calon, khususnya mewakili PAS kerana mereka berceramah di pentas PAS.

Setidak-tidaknya kehadiran penyanyi jazz Malaysia Noryn Aziz atau nama sebenarnya 'Norazmahwati binti Abdul Aziz' penyanyi jazz Malaysia, di pentas ceramah PAS bersama suaminya, Dato Raja Kamarul Bahrin Shah Raja Ahmad, berbaloi!

Ini kerana membolehkan Raja Bahrin menjadi calon Parlimen Kuala Terengganu.

Sekali lagi, tolong beritahu saya di mana trio itu bertanding, sekiranya saya terlepas pandang.

Pemilihan Dayangku Intan mungkin disebebkan 'banyak jasanya' kepada PKR Johor  sehingga dia mendapat jadi calon.

Kalau dalam UMNO, sekadar hadir ceramah dan tunjukkan badan serta berucap sekali sekala jangan harap untuk dicalonkan. Ini kerana UMNO ada prosesnya sendiri dan penilaian bukan dibuat secara ‘bidan terjun’ atau desperado seperti PKR.

Apakah PKR sengaja mahu memalukan dua bekas Menteri, Tan Sri Mohd Isa Samad dan Datuk Azalina Othman Said?


Wan Aishah yang bertanding mewakili Pas di kerusi Parlimen Jempol, memilih untuk bersama dalam dunia politik dan bersedia mengharungi apa jua keadaan.

Penyanyi yang popular dengan lagu Janji Manismu itu menolak spekulasi yang mendakwa beliau akan menarik diri berikutan tidak sanggup berdepan dengan cabaran dalam dunia politik. , malam kelmarin.

“Kenapa saya nak undur diri, tiada sebab untuk saya tarik diri sedangkan saya baru sahaja diumumkan sebagai calon Pas di kawasan Parlimen tersebut.

“Saya sedia dari segi mental dan fizikal, malah sanggup mengharungi cabaran mendatang bagi memastikan Barisan Nasional (BN) tumpas pada PRU ini, sekali gus beri kemenangan kepada Pakatan Rakyat (PR),” katanya pada satu majlis ceramah santai Pakatan Rakyat di Hotel Citykingdom, Taman AST, Seremban, kelmarin.

Wan Aishah menganggap bukan sesuatu mengejutkan untuk bertanding dengan calon terkenal BN itu dan menganggapnya tidak memeranjatkannya.

“Saya hanya boleh cakap kita lihat sahaja, sama ada pengundi mahukan orang yang baru atau orang lama sebagai wakil rakyat mereka. Apa yang penting, saya akan lakukan yang terbaik dalam memastikan Parlimen Jempol jatuh ke tangan Pas,” katanya.

Dayangku Intan dikatakan  sudah mula menetap di Pengerang menerima surat watikah pencalonan daripada pucuk kepimpinan bagi kerusi Parlimen Pengerang di Kuala Lumpur kelmarin. Difahamkan Dayangku Intan juga telah mula menetap di sebuah chalet di Pengerang sejak 14 April lalu. Kenapa di Chalet bukan rumah? Satu soalan cepu emas lagi ni!!!

Kempen bersama-sama Dayangku Intan bagi memperkenalkan calon Parlimen itu kepada penduduk di sekitar Sungai Rengit sudah dilakukan.

Dalam tempoh seminggu ini PKR mendakwa sudah giat bergerak mengedarkan risalah dan dalam masa sama berkempen sekali untuk memperkenalkan Dayangku Intan kepada penduduk dalam parlimen berkenaan dan sejauh ini penduduk Melayu ataupun Cina menerima baik kehadiran beliau.

Dalam kesibukan Aishah dan Dayangku Intan berkempen sementara Bob Lokman, Hairie dan Ebby ‘hilang’, bintang pop nombor satu negara Jamal Abdillah tetap memilih Barisan Nasional (BN) dalam PRU13 pada 5 Mei depan kerana yakin dengan kepimpinan parti itu mentadbir negara.


Jamal atau nama sebenarnya Jamal Ubaidillah Ali, 54, berkata, keyakinan itu timbul selepas melihat kemajuan dan pencapaian negara selepas 56 tahun Malaysia mencapai kemerdekaan.

“Walau apa pun terjadi saya tetap sokong kerajaan sekarang. BN dah lama mentadbir negara dan apa yang kita nampak (kemajuan) sekarang ialah hasil kejayaan negara kita perintah,” katanya kepada mStar Online.

Dia juga amat berpuas hati dengan senarai calon yang diumumkan Pengerusi BN, Datuk Seri Najib Tun Razak yang mempertaruhkan muka-muka baru untuk bertanding dalam PRU-13 ini.

Jamal yang juga ahli Umno Cawangan Dataran Merdeka, bahagian Bukit Bintang berkata, jika sesebuah negara itu dilihat cemerlang semasa ditadbir oleh sesebuah parti politik, tidak ada sebab untuk orang ramai menukarnya.

“Kita tengoklah keamanan dan kemakmuran negara yang kita lalui hari ini. Kalau negara sudah berjaya dengan pentadbiran sekarang, buat apa kita nak pilih orang lain. Saya akan sokong BN,” katanya.

Mengenai PRU kali ini kata Jamal, ia merupakan kali kedua dia membuang undi iaitu bagi Kawasan Parlimen Kelana Jaya dan Dewan Undangan Negeri (DUN) Subang Jaya, Selangor.

Jadi kepada Bob Lokman, Hairee serta Eby, mungkin apa yang disebut di bawah ini adalah suatu peringatan untuk mereka:

Dimana Bob Lokman? Abby Abadi? Hairie Othman? Nampaknya mereka dipinggirkan lagi. Sedangkan 4 pegawai tinggi tentera berjaya mendapat tempat menjadi calon pilihanraya, mereka yang sedikit lebih lama dari pegawai tentera ini tidak langsung mendapat tempat.

Tak salahkan pemimpin PAS sebab mereka memang ketandusan calon yang boleh menang. Semua yang berwibawa dan betul-betul mengikut syariat Islam telah meninggalkan PAS dan menyokong BN. Tak percaya? Tengoklah siapa sahaja yang tinggal dalam PAS. Semua anjing-anjing Anwar yang hanya mengikut arahan Anwar apabila dikerahkan.

Teringat kata-kata Wardina Saffiyah (penyokong PAS). "Kalau nak berpolitik teruskanlah tapi jangan melibatkan agama dalam politik." Seperti juga Akil Hayy yang dahulunya pengutuk tegar UMNO yang kini dilihat sudah semakin sepi kerana kerap ditinggalkan kepimpinan PAS. Akil Hayy juga tidak setuju dengan beberapa orang artis yang berhijrah kepada yang lebih Islam dan seterusnya menjadi badut politik di Malaysia.