assalamualaikum Pictures, Images and Photos

Sunday, November 30, 2014

ANDAIAN MUHYIDDIN YASSIN MELETAKKAN JAWATAN TIMBALAN TERNYATA MELESET!

Oleh Abdul Rahman Hashim.

Najib dan Muhyiddin, bertekad untuk meremajakan UMNO
dalam solidariti yang lebih padu untuk mencapai sasaran dua pertiga
menjelang PRU14
Andaian kononnya Tan Sri Muhyiddin Yassin akan meletakkan jawatannya sebagai Timbalan Perdana Menteri selepas Perhimpunan Agung UMNO 2014 ini ternyata meleset. Sebelum ini terdapat desas desus yang dihangatkan oleh beberapa pihak yang menyatakan bahawa Tan Sri Muhyiddin Yassin telah pun menyerahkan surat perletakan jawatan sebagai Timbalan Perdana Menteri kepada Dato' Sri Najib Tun Razak yang dikatakan akan berkuatkuasa selepas Perhimpunan Agung UMNO 2014 yang baru sahaja melabuhkan tirainya.
Terdapat banyak versi tentang penceritaan ini; ada yang mengandaikan kononnya kondisi kesihatan Tan Sri Muhyiddin Yassin sejak mutakhir ini dikatakan tidak lagi mengizinkan untuk beliau meneruskan perkhidmatan sebagai Timbalan Perdana Menteri. Terdapat juga andaian yang menyatakan Tan Sri Muhyiddin Yassin menerima tekanan politik yang kuat daripada Dato' Sri Najib apabila kelibat politiknya dilihat lebih cenderung memihak kepada mantan Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad yang mengumumkan akan menarik balik sokongannya terhadap Dato' Sri Najib yang dikatakan banyak melakukan kesilapan yang merugikan negara, di antaranya Dr Mahathir tidak bersetuju dengan dasar pemberian BRIM termasuk tindakan-tindakan politiknya yang dianggap oleh Tun Dr Mahathir sebagai lemah.
Setelah mengikuti ucapan penggulungan Tan Sri Muhyiddin Yassin sebagai Timbalan Presiden UMNO di penghujung Perhimpunan Agung UMNO 2014 kemarin, tidak ada sebarang indikasi yang menjurus kepada hasratnya untuk meninggalkan jawatan nombor dua itu sebagaimana yang disangkakan selama ini.
Beliau sebaliknya telah bertekad akan membantu Perdana Menteri untuk mempastikan Barisan Nasional mampu memperolehi kemenangan lebih aua pertiga menjelang PRU14 nanti. Justeru, beliau juga yakin Presiden parti akan memberikan kepercayaan sekali lagi kepadanya sebagai Timbalan Presiden untuk menjadi Pengarah jentera pilihan raya Barisan Nasional dalam pilihan raya akan datang.
Dato' Sri Najib pula di dalam ucapan penggulungannya langsung tidak membayangkan wujudnya keretakan dan konflik politik di antara mereka berdua, malah Presiden UMNO itu seringkali menyatakan beliau bersama-sama Timbalan Presidennya (Muhyiddin) sentiasa memberikan perhatian yang lebih kepada gerak kerja parti supaya UMNO terus relevan menjelang PRU14.
Semasa merasmikan Perhimpunan Agung ketiga-tiga sayap UMNO dua hari sebelum Perhimpunan Agung UMNO, ucapan Tan Sri Muhyiddin Yassin dilihat begitu bertenaga dan bernas. Beliau memfokuskan ucapannya terhadap isu peremajaan UMNO dan merekayasa masa depan UMNO. Muhyiddin juga telah mencadangkan agar pemilihan jawatan UMNO di semua peringkat tidak lagi dtangguhkan selepas mengadakan pilihan raya sebagaimana yang lazim dilakukan sebelum ini. Tan Sri Muhyiddin Yassin ada menyebut mana-mana pemimpin yang menjadi liabliti kepada UMNO hendaklah berundur memberi lalaun kepada yang baru.
Beliau yakin UMNO tidak akan berpecah dengan adanya pemilihan jawatan tiga tahun sekali itu. Jika itu yang dicadangkan, bermakna pemilihan jawatan dalam UMNO pada tahun 2013 akan cukup tempohnya pada tahun 2016, manakala tempoh akhir pilihan raya penggal ke-13 yang diadakan pada Mei 2013 lepas akan berkahir pada Jun 2018.  
Persoalannya, apakah Muhyiddin akan terus kekal untuk mempertahankan jawatan Timbalan Presiden pada tahun 2016 nanti? Apakah ada jaminan bahawa dirinya tidak akan ditentang oleh mana-mana penyandang jawatan Naib Presiden sekarang? Atau apakah ada agenda lain untuk melonjakkan Tan Sri Muhyiddin sendiri merebut jawatan Presiden UMNO yang kini disandang oleh Dato' Sri Najib Tun Razak? 
Dalam hal ini saya tidak percaya ambisi Tan Sri Muhyiddin Yassin akan mendesak Najib mempercepatkan perletakan jawatan Presiden atau jawatan Perdana Menteri sebagaimana yang pernah berlaku terhadap diri Pak Lah. Kalau itu terjadi apakah akan muncul 'kabilah' di dalam UMNO yang juga mempertaruhkan di antara Zahid Hamidi atau Hishammuddin yang bakal melonjak sebagai Timbalannya? Demikianlah proses evolusi demokrasi di dalam UMNO yang semakin menarik diberikan perhatian selepas ini.



Monday, November 17, 2014

MANTAN KETUA PEMUDA UMNO WP YANG PERTAMA DILANTIK SENATOR

Oleh Abdul Rahman Hashim

YB Senator Datuk Seri Abdul Halim Abd Samad mengangkat sumpah
jawatan Ahli Dewan Negara di hadapan Yang Dipertua Dewan Negara
pada 3 November 2014.

Datuk Seri Abdul Halim Abdul Samad, 74 telah dilantik sebagai Ahli Dewan Negara pada 3 November 2014 yang lalu. Beliau merupakan mantan Ketua Badan Perhubungan Pergerakan Pemuda UMNO Wilayah Persekutuan yang pertama sejak Kuala Lumpur dijadikan Wilayah Persekutuan pada tahun 1974. Senator Datuk Seri Abdul Halim Abd Samad telah menyandang jawatan Ketua Pemuda UMNO WP dari tahun itu sehingga tahun 1982.
Pelantikan beliau sebagai Senator ini juga merupakan satu penghormatan kepada KUB (M) Berhad kerana Senator Datuk Seri Abdul Halim Abdul Samad adalah Pengerusi kepada syarikat konglemerat milik UMNO ini.
Penulis bersama YB Senator Datuk Seri Abd Halim Abd Samad
sempena majlis angkat sumpah jawatan Ahli Dewan Negara, 3 Nov 2014
Penulis (Abdul Rahman Hashim) berucap sebagai 
Pengerusi Penganjur Majlis Kesyukuran 
Pelantikan YB Senator Datuk Seri Abdul Halim Samad 
sebagai Ahli Dewan Negara pada 14 November 2014.

Pada 14 November lalu, Ikatan Sahabat Setia P.118 telah mengadakan majlis kesyukuran sempena pelantikan beliau sebagai Ahli Dewan Negara. Turut meraikan majlis ini ialah Dato' Ahmad Fauzi Zahari, Ahli Parlimen Setiawangsa, Dato' Jawahar Ali Pengerusi Madrasathul Faridiyah yang juga pemilik rangkaian Restoran Ali Maju.
Ramai tokoh-tokoh dan pemimpin masyarakat dalam kawasan Parlimen Setiawangsa yang turut serta dalam majlis kesyukuran ini, di antara mereka ialah Haji Abdullah Mohamed, Pengerusi Permuafakatan Masjid dan Surau Parlimen Setiawanga (Mapen), Haji Abdullah Abdul Rahman, Pengerusi Masjid Abu Ubaidah Al-Jarrah yang juga Pengerusi Tetap UMNO Bahagian Setiawangsa.
Haji Abdul Razak Karim, Yang Dipertua Gabungan Persatuan Penduduk Perumahan Awam DBKL seluruh Kuala Lumpur juga hadir. Beliau turut menyampaikan ucapan tahniah bagi pihak seluruh Persatuan Penduduk di WP Kuala Lumpur ini. Tokoh pemimpin tempatan yang lain turut bersama di dalam majlis ini ialah Haji Ismail Shaari, Pengerusi MPP Sub Zon 2 Parlimen Setiawangsa, Basarudin, Pengerusi Persatuan Pesara dan Warga Emas (WAMAS), Puan Hairunnisha Ismail, Ketua Pergerakan Wanita UMNO Bahagian Setiawangsa dan beberapa orang Pengerusi Persatuan Penduduk yang lainnya. Norsiah Kamaruddin, Pengerusi Penyelaras Komuniti 1 Malaysia Peringkat Parlimen Setiawangsa juga kelihatan meraikan majlis ini.
YB Dato' Ahmad Fauzi Zahari, Ahli Parlimen Setiawangsa
menyampaikan ucapan tahniah di atas pelantikan
Datuk Seri Abdul Halim Abd Samad sebagai Senator.
YB Senator Datuk Seri Abdul Halim Samad menyampaikan ucapan
terima kasih kepada sahabat handai yang meraikannya di dalam majlis
kesyukuran pelantikan beliau sebagai Ahli Dewan Negara.
Upacara memotong kek sempena majlis kesyukuran
pelantikan YB Senator Datuk Seri Abdul Halim Samad sebagai
Ahli Dewan Negara.

Wednesday, January 1, 2014

KERAJAAN BN TIDAK PUN TERGULING

Oleh Abdul Rahman Hashim. Emel: locengwangsa@gmail.com

Suasana Himpunan TURUN di Dataran Merdeka
Pihak Polis berjaya mengawal keselamatan dan ketenteraman

Heboh di dalam media arus perdana kita mengorkestrakan Perhimpunan TURUN 31 Disember 2013 adalah Perhimpunan GULING kerajaan. Pada saya perhimpunan yang digerakkan oleh beberapa NGO ini berjaya dari segi menghimpunkan puluhan ribu orang yang datang atas kesedaran untuk menyatakan kepada kerajaan betapa rimas dan resahnya rakyat akar umbi dengan kenaikan harga barang, kenaikan kadar TOL, kenaikan tarif elektrik, kenaikan harga petrol, pengurangan subsidi gula dan bermacam-macam lagi yang membabitkan kesengsaraan rakyat menjelang tahun 2014.
Di sebalik kejayaan itu, kegagalan yang ketara pula dilihat ialah pihak penganjur gagal mencetuskan huru hara, tiada letupan bom selain percikan bunga api oleh penganjur Ambang Tahun Baru 2014@DBKL. Kegagalan menghuru harakan Dataran Merdeka mungkin mengecewakan juga Utusan Malaysia, Berita Harian, TV3 dan pihak media yang sekutu dengannya, kerana begitu lama mereka cuba memutar belitkan matlamat perhimpunan ini diadakan kononnya di situ akan berlaku insiden kerajaan akan DIGULINGKAN oleh pencetus demonstran termasuk mendakyahkan kononnya akan ada letupan bom.
Semuanya AUTA belaka. Datuk Bandar Kuala Lumpur yang mengetuai pekikan Tahun Baru di atas pentas Dataran Merdeka tidak pun terasa dirinya terancam. Begitu juga rakyat seluruh negara pula dihidangkan dengan siaran secara langsung oleh pihak TV tanpa ada rasa was-was akan mara bahaya yang akan menimpa sambutan Tahun Baru kali ini. Jika benar perhimpunan TURUN ini dianggap bahaya, kenapa Bukit Aman tidak menasihatkan Datuk Bandar dan lain-lain VIP supaya jangan hadir; ataupun nasihatkan sahaja agar 'Konsert Ambang Tahun Baru 2014' itu dibatalkan sahaja?



Jika dilihat propaganda yang diputarkan, Dataran Merdeka bagaikan akan bermandi darah, mungkin juga bangunan DBKL akan dirampas, bangunan warisan Sultan Abdul Samad dan Kelab Selangor yang berdekatan dengan Dataran Merdeka mungkin juga turut menjadi sasaran untuk mencetuskan rampasan kuasa. Di situ juga terlalu dekat dengan Ibu Pejabat PDRM Bukit Aman, Bank Negara, Bank Rakyat, Bangunan CIMB, Kompleks Kerajaan Jalan Dato' Onn serta pusat-pusat membeli belah di Sogo, Pertama Complex, Stesen LRT di Masjid Jamek juga berdekatan, Pasar Seni, Daya Bumi, Maju Junction, Medan Mara kesemuanya memang boleh dimangsakan jika benar peserta himpunan ini hendak menggulingkan kerajaan. Semuanya mengarut saje. 
Siaran berita TV1, TV2 dan TV3 yang dimainkan setiap hari mungkin juga membuatkan denyut nadi emak bapak yang berada di kampung turut menjadi risau. Termiang-miang di benak hati mereka, apakah anak-anak mereka juga terlibat untuk menggulingkan kerajaan? Saya cuma terfikir, apakah kerajaan akan mengisytiharkan darurat, jika benar perhimpunan membela rakyat itu mampu menggulingkan kerajaan? Jadi, apabila semuanya itu tidak berlaku, bukankah itu hanya suatu gertakan yang hendak menakut-nakutkan orang ramai sehingga warga kota menjadi gelisah tentang keselamatan diri mereka menjelang ambang tahun baru 2014. Jika ia merupakan suatu gertakan untuk menakut-nakutkan rakyat, jelas terbukti strategi dan taktik bodoh itu tidak menjadi, sebaliknya berbondong-bondong rakyat yang menyertainya tanpa rasa takut pun. Mereka memaparkan sepanduk-sepanduk yang bercirikan kekecewaan di atas kenaikan harga barang yang akan berkuatkuasa 1 Januari 2014.



Syukur Alhamdulillah, akhirnya pihak polis bertindak bijak kerana mereka tidak melakukan apa-apa kekasaran yang boleh menyebabkan tercetusnya kekacauan. Tidak ada semburan 'water canon' yang dihalakan kepada para demonstran, tidak ada yang pecah kepala akibat pukulan cota FRU, tidak berlaku keganasan seperti yang disangka, letupan bom juga tidak kedengaran. Tidak pula kedengaran kereta ambulan untuk membawa demonstran yang tercedera atau yang terbunuh ke hospital. Para demonstran wajarlah berterima kasih kepada pihak polis, kerana keselamatan semua demonstran dan orang awam sentiasa dikawal rapi oleh mereka. Saya tidak bersetuju jika para demonstran tidak dapat menerima hakikat ini!
Walaupun perhimpunan aman ini telah bersurai tanpa insiden berat yang  berlaku, namun saya yakin pihak media terutamanya Utusan Malaysi sentiasa tidak berpuas hati dengan kejayaan Perhimpunan TURUN ini. Tentu ada manipulasi dan putar belit lain yang akan digembar gemburkan dalam melaporkan berita untuk memburukkan keadaan. Media ini tidak pernah positif terhadap mereka, maka sebab itu Utusan sering kalah dalam beberapa kes samannya terutama berkaitan dengan gelombang seumpama ini. Kebencian dan sakit hati terhadap akhbar seperti ini menyebabkan ia menjadi liabliti kepada UMNO dan kerajaan.
Saya juga yakin pihak penganjur tentunya berpuas hati di atas kejayaan mereka itu. Namun yang pasti belum tentu pihak kerajaan boleh akur dengan bantahan dan tuntutan TURUN kerana tuntutan itu dianggap didalangi oleh musuh politik UMNO/BN, walaupun tidak semua tuntutan itu berniat jahat. Apa pun, kita mengharapkan pihak kerajaan dapat mendengar rintihan rakyat dan jangan berlengah untuk melakukan muhasabah agar rakyat tidak merasa kecewa lagi. Jangan biarkan derita rakyat berlarutan, kerana ia boleh membahayakan masa depan UMNO/BN. Wallahu'alam.

Suasana di Sogo
Suasana di Sogo