assalamualaikum Pictures, Images and Photos

Friday, September 21, 2012

PENGEMIS BUTA YAHUDI MENANGIS KERANA MENGHINA RASULULLAH

Oleh Abdul Rahman Hashim 

Filem 'Innocence Of Muslims' yang menjadi kemarahan 
umat Islam seluruh dunia
Muka hadapan majalah 'Charlie Hebdo' 
yang memaparkan gambar Rasulullah 
berserban dan bogel pada muka belakang
majalah ini.
Kuala Lumpur hari ini trafik jam teruk kerana puluhan ribu warga kota dari pelbagai golongan dan pelbagai anutan parti-parti politik yang cintakan Islam telah berhimpun dan mengadakan perarakan dari masjid selepas mereka bersolat Jumaat menuju ke Kedutaan Amerika Syarikat di Jalan Tun Razak.  Pastinya ucapan-ucapan berapi mengecam penerbitan filem "Innocence Of Muslims" yang diterbitkan di negara penyokong kuat Zionis (USA) akan membangkitkan kesedaran umat Islam supaya tidak bersengketa dan berpecah belah demi menegakkan syiarnya. Tahniah kepada Pemuda UMNO dan tahniah juga kepada Dewan Pemuda PAS serta NGO yang lain yang turut serta membantah penghinaan terhadap Nabi Muhammad SAW.
Nurul Izzah dan pemimpin kanan PKR  turut serta....
Nik Aziz memijak foto pemimpin AS & Regim Israel 
di Kota Bharu, Kelantan.

Khairy Jamaludin membakar semangat!  Beliau dan
jurucakap yang lain seperti Dr. Hasan Ali, Ibrahim Ali dan 
Zaid Mat Arif kurang sangat menyentuh isu pokok,
sebaliknya mereka lebih terdorong menggunakan platfom
ini menghentam Koo Ham (DAP) seolah-olah Ngeh Koo
Ham yang menjadi sutradara Innocence Of Muslims.    
Suasana di hadapan kedutaan AS di Kuala Lumpur
Sesungguhnya Nabi Muhammad SAW adalah manusia pilihan Allah yang telah diangkat menjadi Rasul akhir zaman; untuk membawa sinar dan rahmat sekelian alam. Muhamad SAW diutuskan Allah ke muka bumi ini dengan segala keistimewaan dan 'maksum' untuk memimpin umat manusia dengan petunjuk Al-Quranul Karim dan SunnahNya.
Rasulullah memiliki sifat-sifat yang mulia yang wajib diikuti oleh umatNya. Saya paparkan di sini bagaimana mulianya akhlak Rasulullah berhadapan dengan manusia yang telah mencerca, menghina dan memfitnahnya. Ikuti sepintas lalu kisahnya:
Di pasar Madinah, ada seorang pengemis buta berbangsa Yahudi. Setiap hari pengemis ini menghina Rasulullah. Jika ada orang yang datang kepadanya, dia selalu berpesan agar tidak mendekati apalagi mengikut ajaran Rasulullah. 
"Wahai saudara, jangan kau dekati Nabi Muhamad, dia adalah orang gila, pembohong dan tukang sihir...jangan dekati dia", katanya.
Setiap pagi, ketika Rasulullah berdagang akan membawa makanan untuk pengemis itu. Tanpa berkata apa-apa Rasulullah akan menyuap makanan kepada pengemis itu. Pengemis itu berpesan agar tidak mendekati orang yang bernama Muhamad. Namun Rasulullah tetap menyuap makanan kepada pengemis itu. Setelah Rasulullah wafat, tiada lagi orang yang menyuapi makanan kepada pengemis itu.
Satu hari Saidina Abu Bakar berkunjung ke rumah isteri Rasulullah yakni anaknya sendiri, Aishah. Abu Bakar bertanya kepada Aishah tentang sunnah Rasulullah yang belum dikerjakannya.
"Wahai ayah, hampir tidak ada satu pun sunnah yang belum ayah kerjakan kecuali satu hal", ujar Aishah.
"Apakah itu, wahai anakku?", tanya Abu Bakar.
"Rasulullah selalu ke pasar dan membawa makanan untuk pengemis buta di sana", kata Aishah.
Mendengar kata-kata Aishah itu, Abu Bakar segera pergi ke pasar sambil mambawa makanan. Dia pun mendekati pengemis buta itu lalu menyuapkan makanan.
"Hey siapa kamu?" tanya pengemis buta itu. 
"Aku orang biasa yang menyuap kamu makan", jawab Abu Bakar.
"Bukan! Kau bukan orang biasa yang mendatangi aku. Orang yang biasa mendatangi aku tidak membuatkan aku susah untuk memegang dan mengunyah makanan ini", kata si pengemis itu.
"Orang yang biasa datang itu selalu meremah-remah makanan terlebih dahulu, setelah itu ia menyuapku dengan tangannya sendiri", ujarnya lagi.
Mendengar kata-katanya itu Abu Bakar tidak tertahan lagi keluar air matanya, beliau menangis betapa mulianya akhlak Rasulullah SAW.
"Aku bukanlah orang yang biasa datang padamu. Aku hanyalah salah seorang sahabatnya. Orang yang biasa itu telah tiada. Dialah Muhamad", kata Abu Bakar.
"Benarkah demikian? Pada hal aku selalu menghina dan memfitnahnya. Tetapi dia tidak pernah memarahi aku sedikitpun. Sunguh mulia hatiNya.
Pengemis itu menangis. Dia tidak menyangka orang yang setiap pagi menyuapinya itu adalah orang yang selalu dihinanya. PENGEMIS ITU AKHIRNYA MEMELUK ISLAM.

SELAWAT DAN SALAM KE ATAS JUNJUNGAN BESAR KITA NABI MUHAMMAD SAW!!

Video Perarakan ribuan  umat Islam di Kuala Lumpur menuju ke Kedutaan AS 
membantah penerbitan filem 'Innocence Of Muslims', 21 September 2012:


Video Khairy Jamaludin ketika ditemubual oleh wakil media di Masjid Kampung Bharu:





Wednesday, September 19, 2012

WANGSA MAJU ANTARA UMNO DAN MCA ATAU PKR?

 Oleh Abdul Rahman Hashim

Dato' Dr. Mohd. Shafei Abdullah bakal calon BN Wangsa Maju
Shafei & Wee Choo Keong dalam satu majlis
Hari ini akhbar Sinar Harian dalam ruangan  'Fokus PRU13' memaparkan sepintas lalu mengenai Parlimen Wangsa Maju iaitu kawasan yang menyaksikan BN tertewas pada PRU12 yang lalu dengan kehilangan majoriti 150 undi. BN Wangsa Maju menggigit jari kerana kawasan parlimen ini telah dirampas oleh calon PKR/PR, Wee Choo Keong @ WCK, walaupun pada masa itu pengundi Melayu merupakan majoriti. Wee Choo Keong menang tipis dengan perolehan 19,637 undi, manakala calon MCA/BN memperolehi 19,487 undi. Jumlah undi rosak, 357.
Menjelang PRU13, kawasan Parlimen Wangsa masih dominan dengan komposisi majoriti pengundi Melayu sekitar 52.45 peratus berbanding pengundi Cina 39.76 peratus, diikuti pengundi India 7.05 peratus dan 0.74 peratus lain-lain pengundi.


Dr. Tan Kee Kwong bakal calon PKR Wangsa Maju 
Shafei (Di tengah) bersama Yew Teong Look (Kanan sekali) 
dalam satu majlis anjuran komuniti Cina
Jika dilihat gerak kerja yang ditubikan oleh UMNO Wangsa Maju, nampaknya mereka lebih proaktif malah optimis untuk merampas semula kerusi ini kerana mereka lebih yakin jika calon UMNO yang bertanding sudah pasti kerusi ini akan pulang ke gagang Barisan Nasional. 
Dato' Dr. Mohd. Shafei Abdullah, Ketua UMNO Bahagian Wangsa Maju disebut-sebuat bakal dicalonkan jika UMNO yang bertanding mewakili BN pada PRU13 nanti. Mesyuarat Perwakilan UMNO Bahagian Wangsa Maju yang diadakan tempoh hari juga telah meluluskan usul sebulat suara untuk mengembalikan semula Wangsa Maju kepada UMNO. Saya sendiri bersetuju dengan kemahuan ahli-ahli UMNO itu, bahkan saya lebih yakin jika UMNO diberi peluang, Shafei Abdullah pasti merupakan calon unggul yang 'winnable' untuk menggalas tugas yang maha besar untuk mengUMNOkan semula Parlimen Wangsa Maju.
Sememangnya tugas untuk merampas semula kerusi ini daripada Pakatan Rakyat bukanlah kerja yang mudah, namun begitu jika UMNO dapat melipatgandakan gerak kerja secara 'luar biasa' daripada yang 'biasa', tidak mustahil misi merampas ini akan berjaya. Dato' Shafei Abdullah yang juga Pengerusi Penyelaras BN Wangsa Maju hendaklah berada pada kedudukan yang bukan sahaja diterima oleh UMNO, malah MCA dan komponen BN yang lain dapat menerimanya. Saya bimbang, jika parti-parti komponen BN sendiri menunjukkan sikap tidak selenggang sehayun bersama UMNO, mungkin menyulitkan untuk UMNO bersendirian dalam menggempur puak pembangkang dalam PRU13 nanti.
Saya tidak terfikir bahawa Wee Choo Keong, Ahli Parlimen Bebas Wangsa Maju yang bakal menyertai semula PRU13 nanti akan menyerang Barisan Nasional. Kalau dia sendiri bebas keluar masuk boleh kerap bersua Perdana Menteri Dato' Sri Najib Tun Razak, bahkan boleh sepentas menari tarian Sumazow (tradisional sukum kaum Kadazan/Sabah) bersama-sama dengan Najib dan Rosmah, maka mustahil untuk dirinya menyerang UMNO/BN dalam pilihan raya nanti. 
Jika itu yang berlaku, saya melihat penyertaannya dalam PRU13 bukanlah untuk bertarung dengan BN tetapi ia hanya untuk memecahkan undi Cina yang mencecah 39.76 peratus. Difahamkan PKR akan meletakkan Dato' Dr. Tan Kee Kwong, mantan Timbalan Menteri yang sudah pun menyeberang masuk menyertai PKR. Jika dahulu, sebahagian besar pengundi Cina tidak memihak kepada MCA sebaliknya memberi undi kepada PKR, apakah kali ini WCK mampu untuk memujuk pengundi Cina yang pro Pakatan Rakyat untuk mengundinya semula sebagai calon BEBAS? Jika beliau mampu menarik sebahagian pengundi Cina ini supaya tidak mengundi Dr Tan Kee Kwong (PKR), maka strategi untuk pecahkan undi Cina dilihat oleh UMNO akan menguntungkan BN.
Pada saya UMNO tidak boleh terlalu mengharapkan matematik ini, kerana belum tentu semua pengundi Melayu yang berjumlah 52.45 peratus merupakan penyokong tegar UMNO. UMNO tidak boleh berada di dalam zon selesa, kerana ada di kalangan pengundi Melayu yang tidak mesra BN malah ramai juga yang bukan ahli UMNO. Jika meletakkan calon UMNO bukanlah suatu jaminan yang kukuh lagi untuk memancing undi di kalangan pengundi Melayu.
Namun begitu, saya memerhatikan 'kerja buat' dan 'politik kerja' proaktif yang telah dilakukan oleh Shafei Abdullah di Wangsa Maju telah menampakkan natijah untuk menang. Beliau harus menjuruskan gerak kerja yang berganda kerana situasi hari ini bukan lagi 'Mudah Untuk Menang' kerana mereka di sebelah sana juga sedang meneropong gelagat kita samada hasrat UMNO untuk bertanding kali ini dapat diterima oleh BN; dan bagaimana pula dengan UMNO jika Datuk Yew Teong Look @ MCA sekali lagi dikehendaki bertanding di Wangsa Maju?


Sunday, September 16, 2012

TANPA SABAH DAN SARAWAK TIDAK TERBENTUKNYA MALAYSIA

 Oleh Abdul Rahman Hashim 


Hari Pemasyuran Negara Malaysia, 16 September 1963

Hari Pemasyuran Malaysia di Sabah
Hari Pemasyuran Malaysia di Sarawak
16 September 2012 merupakan tarikh keramat kepada seluruh warganegara Malaysia yang merayakan HARI MALAYSIA yang ke-49 tahun.  Pada tanggal 16 September,1963 merupakan detik kenangan yang dibanggai di mana terbentuknya Malaysia pada tahun yang berkenaan. Pada tanggal itu termasyhurnya satu 'Gagasan Malaysia' yang menyaksikan negeri Sarawak, Borneo Utara (negeri Sabah) dan juga Singapura bersetuju bersama-sama 11 buah negeri yang lain di Persekutuan Tanah Melayu ketika itu untuk bersatu menjadi sebuah negara bangsa yang merdeka dan berdaulat. Cuma Singapura sahaja yang tidak bertahan lama setelah keluar dari Gagasan Malaysia pada tahun 1965.

Malaysia adalah negara unik di mana ia mempunyai dua tarikh 'keramat'. Pada 31 Ogos setiap tahun semenjak 1957, negara kita merayakan kebebasan daripada penjajahan dan ini dikenali sebagai 'Hari Merdeka', manakala 16 September semenjak 1963, negara kita merayakan ulangtahun pembentukan Malaysia, di mana hari ini ia dikenali sebagai 'Hari Malaysia'. Tahun ini kita merayakan Hari Kemerdekaan 55 tahun, sementara Hari Malaysia pula merupakan yang ke-49 tahun.

Tanpa 31 Ogos 1957, tidak akan wujud tarikh 16 September 1963. Begitu juga tanpa pengorbanan para pejuang kemerdekaan pada masa lampau untuk mencapai kebebasan tahun 1957, tidak akan ada sebuah Persekutuan Malaysia yang dibentuk pada tahun 1963. Tentulah banyak kisah suka dan duka di sebalik rentetan perjuangan ini.

Kita wajar bersyukur kepada Allah dan berterima kasih kepada semua pejuang-pejuang kemerdekaan ini kerana jiwa patriotik merekalah yang melunturkan kesombongan pihak penjajah untuk menyerahkan negara ini kepada empunyanya. Rakyat negara ini telah bangkit sekian lama untuk menuntut hak mereka supaya kolonial penjajah tidak terus mencengkam kehidupan mereka.

Di bumi semenanjung muncul beberapa nama yang disinonimkan sebagai pejuang kebebasan yang berjiwa pendekar dan bersemangat kental untuk berhadapan dengan gerombolan penjajah. Nama-nama seperti Datuk Maharaja Lela, Datuk Bahaman, Tok Janggut, Mat Kilau merupakan anak jati Melayu yang sanggup berkorban apa saja walau bergadai nyawa, namun untuk tunduk dengan 'orang putih' tidak sekali-kali mereka turuti. Datuk Maharaja Lela mati di tali gantung, begitu juga Tok Janggut diburu dan diheret ke tali gantung secara hina oleh puak Inggeris yang melabelkan pahlawan bangsa ini sebagai pemberontak, pembelot dan penderhaka yang mengganas.

Di Sarawak pula muncul pejuang-pejuang yang berani mati demi tanah airnya seperti 'Panglima Rentap' pahlawan Iban yang berhati waja yang digeruni oleh orang putih. Begitu juga nama Rosli Dhobi seorang anak muda Melayu jati Sarawak yang bencikan orang putih sanggup ke tali gantung apabila beliau memberanikan dirinya membunuh Gabenor Inggeris Sir Duncan Stewart yang melawat Sibu pada 3 Disember 1949. Pada jam 9.30 pagi di hari tersebut, Rosli Dhobi telah menikam perut Sir Duncan dengan pisau tradisi Melanau yang dibubuh racun. Rosli menjerit: “Keluar dari sini atau kamu mati!”
Sebelum mati di tali gantung, Rosli Dhobi sempat menulis surat untuk keluarganya. Diantara kandungan surat itu Rosli menulis, "Selimutilah jenazah anakanda nanti dengan Panji Kebangsaan Sarawak'.
Di Sabah pula, Pahlawan Mat Salleh amat dikagumi dengan keberaniannya menentang penjajah British yang mencengkam kehidupan rakyat peribumi. Mat Salleh terlibat dalam peperangan demi peperangan dengan pihak penjajah Briish. Tentera British melepaskan tembakan meriam ke arah kubu Mat Saleh tanpa henti. Serangan bertali arus itu menyebabkan Mat Salleh terbunuh apabila ditembak ketika keluar dari sebuah lubang dalam kubu pertahanannya. Peristiwa ini berlaku pada tanggal 31 Januari 1900. Mat Salleh dikatakan baru sahaja mengambil wuduk untuk mengerjakan solat sebelum ditembak.
Demikian cebisan sejarah perjuangan silam sehingga terbentuknya Malaysia. Tokoh-tokoh politik tersohor yang membawa kepada pembentukan Malaysia seperti Tunku Abdul Rahman Putra Alhaj yang mencetuskan idea supaya Sarawak dan Sabah bergabung untuk pembentukan Malaysia. Nama-nama tokoh politik tempatan seperti Tun Datu Mustapha, Tun Fuad Stephen (di Sabah) begitu juga Tun Jugah anak Barieng, Tawi Sli, Kalong Ningkan di Sarawak yang turut mewarnai pembentukan Malaysia. 
Walaupun wujudnya  penentangan dari segelintir yang tidak inginkan negeri mereka berada di dalam Malaysia, namun akhirnya mereka akur untuk sama-sama membentuk Malaysia/ Sejarah penentangan oleh penyokong-penyokong komunis di Sarawak supaya Bumi Kenyalang ini tidak berada di dalam Malaysia telah menyebabkan negeri Sarawak tidak tenteram, kerana PARAKU telah bekerjasama dengan gerombolan Tentera Nasional Kalimantan Utara (TNKU) di Indonesia mengangkat senjata menyerang Sarawak. Projek GANYANG MALAYSIA yang dicetuskan oleh Presiden Sukarno telah menyemarakkan lagi penentangan komunis di Sarawak untuk menggagalkan pembentukan Malaysia. 
Rupa-rupanya bukan mudah pembentukan Malaysia ini. Usaha meMalaysiakan 11 negeri di semenanjung dan 2 buah negeri di Pulau Borneo tidak sekadar ditentang oleh puak militan komunis di Sarawak, bahkan negara-negara jiran seperti Filipina dan Indonesia tidak senang hati dengan terbentuknya Negara Malaysia. Berbagai daya usaha diplomatik telah dilakukan oleh Perdana Menteri Tunku Abdul Rahman Putra ketika itu untuk meredakan ketegangan negara-negara serantau yang mencemburui pembentukan Malaysia ini. 
Ingatlah, bahawa Malaysia dibentuk adalah untuk memperkuatkan entiti negara bangsa yang telah dirantai oleh imperialis Inggeris sejak zaman berzaman. Kita juga kena akur tanpa Sarawak dan Sabah tidaklah wujudnya negara Malaysia! Sebagai rakyat yang cintakan negara ini, kita semua hendaklah menumpahkan taat setia tanpa berbelah bahagi kepada Malaysia, bukannya kepada musuh yang memusuhi negara ini. 
Musuh di dalam selimut juga hendaklah beringat bahawa tindakan memusuhi negara sendiri juga merupakan ancaman yang boleh menggugat kemakmuran yang dibina selama ini. Kepelbagaian anutan parti-parti politik di negara ini janganlah sampai kita tidak tahu lagi bahawa Malaysia adalah negara kita bersama, bukannya negara milik persendirian parti-parti tertentu. UMNO, PKR, PAS, DAP, PBB, SPDP, PRS, SUPP, MCA, MIC, GERAKAN, UPCO, LDP, PBS, UPKO, IPF termasuk PERKASA dan 'what ever' NGO yang lainnya hendaklah sentiasa berada dalam satu kepompong, satu bumbung dan 1MALAYSIA.Berbeza haluan politik bukan bermakna kita harus menyisihkan diri dari mencintai negara sendiri.
Di mana bumi dipijak di situlah langit dijunjung. Generasi muda hari ini perlu menjiwai sejarah dan peristiwa penting pembentukan Malaysia ini, kerana kita tidak mahu wujudnya generasi yang tidak peka dengan kemerdekaan negaranya sendiri.Selamat Hari Malaysia!