assalamualaikum Pictures, Images and Photos

Monday, November 26, 2012

ISU LYNAS - MARATON 300 KM DARI KUANTAN KE KUALA LUMPUR

Oleh Abdul Rahman Hashim 

Berduyun-duyun melangkah kaki ke Dataran Merdeka

Wan Azizah, Lim Kit Siang di antara pemimpin PR yang hadir
memberi sokongan moral kepada aktivis Hijau@Lynas

Perarakan Hijau@Anti Lynas
Aktivis Hijau dari keturunan Cina begitu menyerlah dalam himpunan ini
Menghampiri Dataran Merdeka
Aktivis Hijau melangkah dan meredah DUKE Highway ke Dataran Merdeka

PERHIMPUNAN HIJAU ANTI LYNAS yang diadakan di Kuala Lumpur hari Ahad - 25 Nov 2012 merupakan satu perhimpunan yang aman tanpa adanya provokasi dan pancutan air serta tembakan gas pemedih mata oleh pihak polis. Maraton Himpunan Hijau ini (Anti Lynas) telah berjalan hampir sejauh 300 km selama 13 hari yang bermula di Kuantan. 

Kumpulan aktivis ini telah bermalam di markas tarbiyah PAS di Taman Melewar, Gombak pada hari Sabtu dan telah bergerak melalui Lebuhraya DUKE, Kampung Railway dan Sentul Pasar pada keesokan paginya sebelum sampai Dataran Merdeka. 
Pada jam 3.30 petang, kumpulan daripada Sentul bertemu dengan satu lagi kumpulan yang menunggu di Maju Junction dan kemudiaannya bergerak bersama menerusi Jalan Tunku Abdul Rahman menuju ke Dataran Merdeka. Walaupun terdapat sedikit halangan daripada pihak polis, namun ia tidak menghalang perarakan lebih 10,000 aktivis yang sedang bergerak menghala ke Dataran Merdeka.
Beberapa organisasi bukan kerajaan seperti Saya Anak Bangsa Malaysia (SABM), wakil daripada Dewan Perhimpunan China Kuala Lumpur (KLCAH), Persatuan Anak Peneroka Felda Kebangsaan (ANAK) dan banyak lagi turut hadir pada perhimpunan hari ini.
Turut kelihatan juga beberapa pemimpin daripada Pakatan Rakyat (PR), antaraya ialah Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail, Lim Kit Siang, Chua Tian Chang, William Leong, Fuziah Salleh, Elizabeth Wong dan Chang Lih Kang.


Semasa saya yang melalui Jalan Tun Perak pada sebelah petang, saya melihat sendiri betapa ramainya manusia berpakaian hijau, namun apa yang lebih menarik saya perhatikan ialah terlalu ramai yang menyertai perarakan ini terdiri daripada golongan berbangsa Tionghua. Kini mereka lebih berani menampilkan diri dalam mengenengah isu-isu yang membabitkan kepentingan awam selain daripada isu-isu politik semasa himpunan BERSIH 2.0 & BERSIH 3.0 yang diadakan sebelum ini.
Mereka bukan sekadar berarak, bahkan mereka lebih menyerlah dengan laungan dan jeritan yang meminta kerajaan supaya segera menghentikan projek Lynas yang dianggap boleh membawa kesan bahaya kepada orang ramai di negara ini. Mereka tidak silu lagi dengan memegang poster-poster yang mengecam kerajaan BN yang dikatakan sebagai tidak prihatin dengan keresahan rakyat.
Saya difahamkan akvitis Hijau ini juga akan bermalam di Dataran Merdeka sehingga pagi esok walaupun mereka dihalang oleh pihak polis dan juga pihak Direktorat DBKL berbuat demikian.

Sebelum ini, Perdana Menteri Datuk Sri Najib menyatakan bahawa kerajaan telah menyemak semula projek kontroversi nadir bumi Lynas Corporation di Gebeng dan fakta saintifik menunjukkan projek tersebut tidak membawa kemudaratan kepada masyarakat setempat. Perdana Menteri berkata, kebimbangan rakyat daripada segi psikologi bahawa projek tersebut akan membawa kesan buruk juga diambil kira oleh kerajaan.




Sunday, November 25, 2012

UMNO ERA NAJIB BIARLAH DI SISI RAKYAT BUKAN UNTUK DIBENCI

 Oleh Abdul Rahman Hashim 

UMNO ERA NAJIB BIARLAH MERAKYAT
BUKANNYA MILIK KORPORAT DAN INDIVIDU TERTENTU SAHAJA


Perhimpunan Agung UMNO 2012 bakal berlangsung bermula 27 November sehingga 1 Disember ini. Oleh kerana PRU13 tidak boleh dianjak lagi selepas menjelang April 2013, maka Perhimpunan Agung UMNO kali ini merupakan yang terakhir sebelum diadakan PRU13.

Dalam artikata lain, Perhimpunan Agung UMNO 2013 tahun hadapan akan diadakan selepas diadakan PRU13. Persoalannya, bilakah PRU13 hendak diadakan? 
Mungkinkah Presiden UMNO, Dato' Sri Najib Tun Razak akan menjumpai tarikh yang sesuai untuk membubarkan parlimen sebaik sahaja melihat formasi gelombang perwakilan UMNO dari seluruh negara yang akan berhimpun di PWTC minggu depan? 
Sesungguhnya PRU13 merupakan satu-satunya pilihan raya umum yang sangat getir buat UMNO dan BN. Selepas BN kehilangan majoriti dua pertiga dalam PRU12 2008 yang lalu, barangkali Najib perlu lebih teliti dan berhati-hati sebelum mengumumkan pembubaran Dewan Rakyat untuk mengadakan PRU13. 
Pada PRU12, BN bukan sahaja gagal mendapat majoriti dua pertiga malah BN telah kehilangan kuasa di lima buah negeri iaitu di Pulau Pinang, Kedah, Selangor, Perak termasuk gagal untuk menawan semula Kelantan. Rakyat di lima buah negeri ini telah membuat keputusan yang mengejutkan menolak pemerintahan BN untuk digantikan dengan Pakatan Rakyat. Walaupun Perak berjaya dirampas semula, namun hakikatnya keputusan pilihan raya 2008 tidak memihak kepada BN. Wilayah Persekutuan yang memiliki 13 kerusi Parlimen, juga menyaksikan BN tewas di 10 kerusi. Kubu-kubu kuat BN WP seperti di Lembah Pantai, Titiwangsa,Wangsa Maju, Batu, Segambut dan Bandar Tun Razak turut terlepas dari genggaman.
Sementara itu di Negeri Sembilan pula, BN hanya berpuas hati membentuk kerajaan dengan kelebihan 4 kerusi sahaja. BN agak bernasib baik kerana Sarawak dan Sabah merupakan penyumbang terbesar yang telah menjadi 'deposit tetap' sehingga membolehkan BN terus memerintah negara dan membentuk kerajaan. 
Tanpa 'deposit tetap' ini rasanya jangka hayat BN akan terkubur setelah lebih daripada separuh kerusi-kerusi parlimen di semenanjung ditewaskan oleh rangkaian kombinasi PKR, PAS dan juga DAP. BN terpaksa berpuas hati dengan kemenangan 140 kerusi daripada 222 kerusi parlimen yang dipertandingkan. 
Pakatan Rakyat@Pembangkang buat julung kalinya telah berjaya menafikan dua pertiga kekuatan BN dengan meraih kemenangan bergaya 82 kerusi. Walaupun telah berlaku beberapa 'loncatan katak' keluar masuk beberapa orang Ahli Parlimen tertentu yang belot, namun ia tetap tidak mengubah kedudukan carta BN yang masih lagi gagal menguasai dua pertiga di Dewan Rakyat. Demikianlah gelombang tsunami politik yang melanda empayar Barisan Nasional dalam pilihan raya umum 2008. 
Menjelang Perhimpunan Agung UMNO kali ini, rasanya 2,457 delegasi UMNO daripada 191 Bahagian dari seluruh negara (Tidak termasuk Sarawak) harus memberikan tumpuan untuk memperkasakan hala tuju UMNO. Ucapan Presiden UMNO kali ini tentunya bertemakan 'Pilihan Raya' untuk dijadikan azimat sebagai persediaan menghadapi cabaran getir dalam PRU13.
Keazaman Anwar, Hadi Awang dan Lim Kit Siang untuk membungkuskan BN kali ini telah menjadikan UMNO semakin tercabar untuk mempertahankan 'gawang kuasa' daripada ditembusi oleh Pakatan Rakyat. UMNO juga telah didoakan oleh Nik Radzi Bin Nik Mat (Adik Nik Aziz) supaya ditimpa bala dan K.O dalam PRU13. Jikalau hendak melakar kejayaan kali ini, UMNO jangan meremehkan kekuatan pihak lawan, jangan 'over confident'! Kalau Pakatan Rakyat telah berjaya membuat kejutan dalam PRU12, maka kali ini UMNO/BN hendaklah memperkasakan diri dengan segala kekuatan luar biasa daripada yang biasa.

Kenapa harus kelambu UMNO hendak dibakar jika mendapati diri kita hendak digantikan dengan calon lain yang lebih 'winnable'? Bukankah lebih baik jika kita bertindak dengan lebih matang, selenggang dan sehayun mempastikan BN terus merakyat dan mekar di hati pengundi? Tidak ada maknanya jika kita berjaya mempertahankan jawatan di dalam parti, tetapi parti kita ditolak oleh rakyat akar umbi dan UMNO tidak lagi berkuasa untuk membentuk kerajaan.

Transformasi politik yang digagaskan oleh Dato' Sri Najib rasanya bukanlah suatu kaedah baru untuk mengekalkan kedudukan persada mereka yang berjawatan semata-mata, tetapi ia merupakan satu agenda besar untuk menjadikan UMNO lebih 'pragmatisme' merentasi zaman. UMNO jangan lagi dilabelkan sebagai perasuah dan pelindung rasuah. UMNO juga jangan lagi dilingkari dengan budaya fitnah dan adu domba yang mendatangkan kebencian rakyat. Jika rakyat hendak didahulukan, maka UMNO janganlah kelihatan cuba menjadikan rakyat sebagai kelas bawahan apatahlagi untuk memperdaya dan menipu rakyat.

Begitu juga jika pencapaian hendak diutamakan, biarlah tahap pencapaian itu benar-benar dirasai juga oleh rakyat marhain, bukan hanya pencapaian untuk golongan bangsawan, golongan korporat malah bukan pencapaian untuk golongan oportunis yang tidak berjiwa rakyat. Ingatlah, amalan demokrasi bukan untuk dikuasai oleh golongan ini, sebaliknya demokrasi sebenarnya adalah untuk mereka yang waras memilih bahtera yang hendak dikemudikan.

UMNO era Najib biarlah dilihat mempunyai kerangka politik yang mewakili aspirasi rakyat 1 Malaysia; bukan sahaja untuk Melayu malah masyarakat bukan Melayu juga harus merasai getarannya. Kerangka politik UMNO juga jangan terbatas hanya untuk kroni dan kelumpuk tertentu sahaja. begitu juga bukannya untuk memuaskan hati dan memenuhi cita-cita juak-juak yang dibenci rakyat. UMNO era Najib biarlah transformasinya benar-benar menjiwai rakyat, kerana rakyat jugalah tempat UMNO untuk menyambung hayatnya. Justeru, hargailah sokongan rakyat, jangan khianati mereka, janji kepada rakyat jangan sekali-kali dimungkiri, nanti UMNO akan menerima hukuman rakyat.

UMNO pasca Najib biarlah diuruskan dengan baik tanpa dibebani dengan pelbagai karenah peribadi yang boleh merosakkan hala tuju perjuangan UMNO yang sejati. UMNO adalah milik yang empunyanya, iaitu ahli dan rakyat yang menyokongnya. Perjuangan UMNO era Najib juga haruslah berpaksikan kepada slogan ciptaannya, iaitu '1MALAYSIA'.

Slogan ini bukan lagi berbentuk rasis untuk sesuatu kaum sahaja, tetapi untuk bangsa Malaysia keseluruhannya. Slogan 1Malaysia adalah janji Najib untuk kesamarataan semua kaum di negara ini. Najib bukannya Perdana Menteri kepada orang UMNO sahaja kerana ahli UMNO hanya berjumlah 3 juta orang sahaja, tetapi Najib adalah Perdana Menteri 1Malaysia, rakyat dan penduduk negara kini berjumlah 28 juta orang. Sebab itu apabila Najib berada di dalam satu majlis rasmi, beliau harus ingat bahawa dirinya bukanlah PM kepada UMNO/BN sahaja, beliau tidak sewajarnya kelihatan berdendam, membenci dan dibenci rakyat.

Kepada pejuang UMNO yang lainnya, diingatkan juga bahawa UMNO bukannya milik individu tertentu sahaja, malah UMNO juga jangan dilihat sebagai milik syarikat korporat tertentu sahaja untuk memunggah kekayaan hasil negara.  Jika UMNO menyongsang sebagai hak milik individu tertentu tanpa mendahulukan kepentingan rakyat, saya meramalkan UMNO akan ditolak oleh rakyat akhirnya.

Waspada juga dengan realiti cabaran baru yang mengancam politik UMNO/BN, iaitu pengundi bukan Melayu kini bukan lagi seperti dahulu. Kecenderungan sokongan mereka boleh menjadi penentu dan penanda aras jatuh bangunnya UMNO/BN dalam pilihan raya yang akan datang ini. MCA, MIC dan juga GERAKAN janganlah membiarkan UMNO keseorangan menghadapi kemelut ini. Rantaian kekuatan sepasukan yang ditunjukkan oleh PKR, PAS dan juga DAP untuk berhadapan dengan BN kini perlu disekat segera.



Saturday, October 20, 2012

CHUA SOI LEK JANGAN INGAT 'PERKASA' PERKAKAS UMNO!

Oleh Abdul Rahman Hashim 

Chua Soi Lek tolak Islam, kerana Najib juga tolak hudud
Fatwa PERKASA: Mengundi MCA, HARAM!
Isu HUDUD berbangkit semula. Mursyidul Am MCA, Haji Chua Soi Lek sekutu kuat BN sekali lagi bermain bunga api. Dia cuba untuk meniru gaya Tun Dr Mahathir Mohamad mengupas isu hukum hudud. Oleh kerana Mahathir sering berkata bahawa hudud Islam berbeza dengan hudud PAS, maka mantan Perdana Menteri itusecara konsisten  telah mengajak umat Islam negara ini menolak hudud. 
Saya percaya jika UMNO sendiri yang mahukan hukum Islam ini diterima pakai di negara ini, pasti Mahathir akan menyanggah kononnya hudud Islam dengan hudud UMNO adalah berbeza sebagaimana sanggahannya terhadap PAS yang mempertahankan hukum Tuhan itu. Dari kenyataan itu begitu jelas bahawa Mahathir sendiri percaya bahawa wujudnya hukum hudud di dalam Islam, tetapi beliau enggan menerima pakai hukum Tuhan itu sambil merpersendakan kononnya akan ramai rakyat Malaysia yang kudung tangan jika hudud dilaksanakan di negara ini.
Saya tidak terperanjat jika Chua Soi Lek beterusan memperlekehkan hukum Al-Quran, kerana sifat jahiliah memang ada pada dirinya. Bukan sekadar beliau boleh menghina hukum hudud, mungkin juga belum terkeluar lagi dari lidahnya untuk mempersendakan hukum-hukum Islam yang lainnya seperti hukum menutup aurat, hukum qisas, perintah bersolat termasuk juga perintah puasa yang menyebabkan umat Islam berlapar dan dahaga di siang hari pada bulan Ramadan. 
Beliau bukan orang Islam, kerana beliau juga tidak percaya dengan keEsaan Allah, begitu juga jika ditanya kepadanya tentang keRasulan Nabi Muhamad SAW, dia tidak akan mempercayainya. Mungkin pada orang sepertinya, Islam bukanlah agama yang terbaik untuk dipercayai, maka sebab itu dia terlalu celupar untuk menghina hukum hudud, kerana padanya Dr Mahathir juga tidak boleh menerima hudud, maka beliau turut merasakan ada kebenaran apa yang Mahathir katakan itu. 
Demikianlah malangnya hukum Tuhan kepada golongan yang merasakan hukum itu boleh menganiaya manusia. Kepada golongan 'Jahiliyah Moden' ini disarankan agar mereka segera bertaubat, itu pun jika mereka masih meyakini kewajaran untuk bertaubat di sisi Allah adalah sesuatu yang dituntut di dalam Islam.
Chua Soi Lek tidak perlu bertaubat kerana dia telah diajar dan diasuh bahawa Allah bukan Tuhannya. Sepatutnya Presiden MCA ini diberitahu bahawa dia adalah pemimpin yang 'kurang ajar'. Siapa yang patut beritahu? Selain daripada ibu bapa dan keluarga terdekat yang patut menasihatkan dirinya, rakan sekutunya di dalam BN terutamanya UMNO adalah yang paling 'aula' untuk zipkan mulut biadapnya itu. 

Mana pergi ulamak-ulamak yang mesra UMNO seperti Ustadz Fathul Bhari, Jamil Khir Baharom, Ustazah Mashitah Ibrahim, Zul Nordin dan Mursyidul Am TIBAI, Ustadz Zahid Md Arip? Apakah tidak ada teguran untuk 'si kafir' ini? Utusan Malaysia dan TV3 juga kelihatan menikus malah Dato' Sri Najib Razak, Presiden UMNO juga enggan membuat komen. Apakah Najib merasakan isu ini mungkin boleh menyinggung sahabat karib UMNO itu agaknya, sehingga Chua Soi Lek merasakan bahawa dirinya ada 'imuniti' untuk membuat cacian terhadap Islam. Jika UMNO terdorong untuk menyebelahi MCA yang mencaci Islam, apakah alasan lagi untuk umat Islam terus bersekongkol dengan puak-puak syaitan ini?  
Alasan bahawa yang dicaci bukanlah terhadap agama Islam, tetapi terhadap Islam yang dibawa oleh PAS adalah juga ciri-ciri keiblisan dan syaitan yang dikenali seperti yang dimaksudkan oleh Mahathir. Saya harap UMNO tidak terperangkap dengan persepsi jahiliyah ini, jika tidak mahu parti ini dilabelkan sebagai 'Parti Jahiliyah'.
Fatwa PERKASA yang mengharamkan mengundi MCA dalam PRU13 nanti, bukanlah sesuatu yang melampau, kerana perbuatan melampau pemimpin nombor satu MCA itu sewajarnya diajar sedemikian rupa. PERKASA bertindak betul kali ini kerana mungkin PERKASA merasakan Islam perlu didahulukan sambil mengakui bahawa PERKASA tetap sebagai pencacai UMNO yang setia.

Thursday, October 18, 2012

UMNO JANGAN TERPEDAYA CHUA SOI LEK HINA ISLAM

Oleh Abdul Rahman Hashim

Chua Soi Lek, sekutu kuat UMNO semakin menjadi-jadi menghina ISLAM
CHUA SOI LEK, Presiden MCA sekutu kuat BN hari ini menghina Islam lagi...kali ini dia terpedaya dengan dakwaan kononnya seramai 1.2 juta rakyat Malaysia akan hilang pekerjaan sekiranya hudud dilaksanakan di negara ini, ia termasuk pekerjaan di Resort perjudian Genting Highlands, pusat pertaruhan dan juga rumah-rumah urut di negara ini. 
Kalau dia tak suka PAS sekali pun janganlah dia cuba-cuba mempersenda dan menghina hukum Allah yang juga dianuti oleh orang-orang Islam di dalam UMNO termasuk Dr Mahathir dan juga Najib. Saya tidak hairan jika kenyataan ini dibuat oleh orang kafir seperti dia mahupun Karpal Singh, tetapi masih adakah orang UMNO nak sanggah hukum Allah seperti Chua Soi Lek?
Apa kata kita tunggu reaksi Mursyidul Am TIBAI, Zahid Md Arip, Presiden PERKASA, Ibrahim Ali dan pejuang Islam tulen lagi sejati iaitu Hassan Ali, Presiden JATI. Apakah mereka tidak berdesing telinga dengan penghinaan yang dibuat oleh Chua Soi Lek ini? 
Mempersenda dan menghina apa jua hukum Allah termasuk HUDUD, samalah juga menghina Rasulullah SAW dan menghina kesucian Al-Quranul Karim. Di dalam Al-Quran banyak firman-firman Allah yang menuntut supaya umat Islam berpegang teguh dengan garis panduan yang terdapat di dalamnya. Saya percaya Chua Soi Lek juga tidak mempercayai kesucian Al-Quran, maka sebab itu dia berterusan menghina hukum hakam Islam. 
Dia masih belum berani untuk melontarkan dakwaan bahawa solat yang diwajibkan ke atas umat Islam juga adalah tidak pratikal lagi dengan peredaran zaman masa kini. Bukankah hukum hudud itu adalak hak Allah untuk umat Islam sebagaimana kefardhuan hukum solat terhadap setiap umat Islam? Perintah itu tidak dikenakan terhadap Chua Soi Lek kerana dia bukan beragama Islam. Dia wajar memahami dan menghormati Islam, kerana di dalam Islam pun tidak menyuruh umat Islam memerangi agama sembahan mereka, selagi mereka tidak memerangi Islam.
Siapa yang boleh menasihatkan Chua Soi Lek ini, kalau bukan pemimpin dan ulamak UMNO sendiri. Dia sendiri tidak yakin dan percaya pegangan agama Islam daripada orang PAS, mungkin dia percaya Islam itu hanya pada orang UMNO. Dia jadi keliru...UMNO jangan tambahkan lagi kekeliruannya semata-mata kebencian dia kepada PAS.

Tuesday, October 16, 2012

MUSA HASSAN & ANWAR IBRAHIM BERDAMAI AKHIRNYA

Tan Sri Musa Hassan bersama peguam-peguamnya di Mahkamah

Anwar, mata lebam akibat dibelasah oleh mantan IGP
Perbicaraan insiden kes mata lebam oleh Datuk Seri Anwar Ibrahim akibat dibelasah ketika dalam tahanan polis pada 1998, yang dijadual bermula hari ini dibatalkan, setelah Tan Sri Musa Hassan menarik balik saman fitnah itu.
Peguam Kamarul Hisham Kamarudin, yang mewakili bekas Ketua Polis Negara, memberitahu Hakim Mahkamah Tinggi, Hakim Asmabi Mohamad bahawa anak guamnya telah menarik balik saman itu.
Saman itu telah ditetapkan untuk perbicaraan selama tiga hari bermula hari ini (Selasa).
Kemudian, Musa memberitahu pemberita bahawa kedua-dua pihak telah membincangkan isu ini dan memberitahu terdapat salah faham peranan beliau dalam kes terhadap Anwar dan beliau menerima penyelesaian di luar mahkamah.
Dalam pernyataan tuntutan yang difailkan pada 21 Julai, 2008, Musa berkata, dakwaan tersebut adalah tidak berasas, tidak benar dan telah mencemarkan reputasi peribadi beliau, imej, ketulusan dan nama yang baik.
Musa memfailkan saman tiga minggu selepas Anwar membuat laporan polis terhadapnya.
Pemimpin PKR, dalam laporan polis yang dibuat pada 1 Julai, 2008, mendakwa Musa dan Peguam Negara Tan Sri Abdul Gani Patail telah memalsukan bukti dan fakta-fakta yang tersembunyi dalam siasatan serangan fizikal ke atas beliau oleh Ketua Polis Negara, Tan Sri Abdul Rahim Noor, pada tahun 1998.
Musa terus menegaskan bahawa Anwar bertindak dengan niat jahat dalam membuat laporan terhadapnya.
Beliau berkata laporan polis Anwar, dalam maksud semula jadi dan biasa, mendakwa bahawa dia telah menyalahgunakan kuasanya untuk memalsukan bukti.

HASAN ALI! KATAKAN SAJA MURSYIDUL AM 'TIBAI' LEBIH BAIK DARI MURSYIDUL AM PAS

Oleh Abdul Rahman Hashim 
Apakah Hasan Ali lebih muliakan Zahid Md Arip, Mursyidul Am TIBAI 
daripada Nik Aziz Nik Mat, Mursyidul Am PAS?

Hormat sesama Ulamak - Dr Haron Din mencium tangan Nik Aziz
Apakah dia rela mencium tangan Mursyidul Am TIBAI?

Nampaknya isu jet peribadi Anwar sudah lenyap. Media arus perdana terutama Utusan Malaysia dan TV3 tidak berani lagi memutar isu ini yang terpercik ke muka pemimpin-pemimpin UMNO sendiri. Bukan itu sahaja, sebilangan bloger-bloger yang dipayungi UMNO juga sudah pun menghentikan isu jet ini kerana ia tidak membawa keuntungan poltik kepada UMNO/BN sebaliknya isu ini menjadi laba dan liabiliti kepada UMNO.
Isu SOROSISME yang dipalu untuk memalukan Pakatan Rakyat NGO's yang diangap pro mereka seperti SUARAM dan Malaysiakini.com, juga semakin hendak dilenyapkan kerana SOROS penyangak mata wang yang berketurunan Yahudi itu dikatakan telah berjaya memikat hati Tun Dr Mahathir dan Najib Razak sehingga melorongkan pertemuan mesra di antara mereka. Walaupun tanpa berniat untuk menyokong Yahudi, tetapi pertemuan pemmpin-pemimpin UMNO berkenaan dengan penyangak Yahudi itu telah menyebabkan isu SOROS bukan lagi relevan untuk menyerang Anwar dan konco-konconya.
Terkini pula. media arus perdana seperti Utusan/TV3 dan sebilangan bloger yang dipayungi UMNO/BN telah menyasarkan 'gimik politik' yang mempopularkan lagi tokoh-tokoh PAS seperti Dato' Dr Haron Din dan Ustadz Nasharuddin Isa.  Hasan Ali yang bukan lagi angota PAS telah bercanda politik dengan membuat kenyataan kononnya PAS akan menjadi lebih baik dan akan disanjung tinggi jika dipimpin oleh Dr Haron Din atau Ustadz Nasha berbanding Nik Aziz dan Hadi Awang. 
Apalah bebalnya Hasan Ali yang menganggapkan dirinya lebih pandai dari orang lain itu, tiba-tiba buat kenyataan bodoh seolah-olah sanjungan tingginya kepada Haron Din dan Ustadz Nasha boleh menyebabkan kedua-dua tokoh ini meninggalkan PAS untuk menyertai UMNO?  Kenapa Hasan Ali tidak licik untuk mengajak Haron Din dan Ustadz Nasha tinggalkan sahaja parti PAS dan mengajak kedua-dua tokoh ulamak ini menyokong sahaja UMNO seperti langkah yang diambil oleh Ustadz Jamil Khir Baharom (kini jadi Menteri), Ustazah Dr Mashitah Ibrahim (kini Timbalan Menteri), Ustadz Firdaus mantan Imam Masjid Negara (kini Pegawai Khas Hishammuddin) dan Ustadz Fathul Bhari (Imam Muda Ibu Pejabat UMNO).
Saya tetap percaya Hasan Ali tidak mampu hendak meyakinkan Dr Haron Din dan Ustadz Nasha bahawa UMNO adalah platfom terbaik untuk mereka meneruskan perjuangan menegakkan Harakat Islamiah berbanding PAS. Terlalu sukar untuk saya mempercayainya bahawa Haron Din dan Nasha akan menuruti nasihat sangsang Hasan Ali untuk dilaga-lagakan dengan Mursyidul Am dan Yang Dipertua PAS. Apakah Dr Haron Din terlalu kemaruk dengan jawatan seperti Hasan Ali yang semakin meracau setelah hilang jawatan?
Orang-orang UMNO pun bukan percaya sangat kepada Hasan Ali sebagaimana mereka juga tidak mempercayai Ezam Mohd Noor, Zulkifli Nordin, Zahid Md Arip dan konco-konconya yang kini diangap lebih UMNO daripada orang UMNO. Mereka yang kecewa ini hanya sebagai 'Sub Kontrak' kepada UMNO sahaja. Saya percaya kontrak politik sedemikian tidak akan bertahan lama kerana selepas ini UMNO pun takkan mencalonkan mereka untuk bertanding dalam PRU13 nanti.
Apakah jika Pas dipimpin oleh Dr Haron Din atau Ustadz Nasha maka Hassan Ali terfikir UMNO akan sokong perjuangan PAS? Kalau PAS ini dipimpin oleh Malaikat sekalipun, UMNO konsisten dan istiqomah akan terus menentang PAS. Eloklah Hasan Ali kena tingkatkan muhasabah terhadap dirinya dan belajar mengenali UMNO yang bukan secocok dengan naluri perjuangannya sendiri.
Tun Dr Mahathir Mohamad pun konsisten menyatakan bahawa PAS bukannya parti yang memperjuangkan Islam, malah hukum Hudud yang diperjuangkan oleh PAS menurut Mahathir bukanlah Hudud Islam, tetapi ia hanya Hudud PAS. Tun Dr Mahathir juga pernah menempelak dan mempersendakan kaedah perubatan Syifa' yang diamalkan oleh Haron Din. Begitu juga Dr Haron Din telah membidas Tun Dr Mahathir yang menjadikan 'syaitan yang dikenali' sebagai lebih baik daripada Malaikat yang tidak dikenali.
Begitu sarkastik tanggapan UMNO terhadap Hudud; oleh itu mana mungkin Dr Haron Din dan Ustadz Nasha akan mudah terhasut dengan kesongsangan Hasan Ali untuk melaga-lagakan mereka dengan Nik Aziz dan Hadi Awang. Hubungan mereka sesama ulamak lebih berpaksikan kepada keluhuran ilmu yang ada dalam dada mereka, bukannya ilmu agama yang diselaputi dendam kesumat seperti yang dimegahkan oleh Hasan Ali.
Bukanlah mudah untuk Haron Din dan Nasha berakhlak songsang seperti Hasan Ali. Lebih baik mereka betentang mata dengan Tok Guru Nik Aziz, Mursyidul Am PAS dan Tok Guru Hadi Awang, Presiden PAS daripada terjebak dengan kesongsangan Hasan Ali yang kini seangkatan dengan Ibrahim Ali, Zulkifli Nordin, Ezam Mohd Nor, Ruslan Kassim, Zaharin Hashim dan Zahid Md Arip yang menjadi Mursyidul Am TIBAI termasuk sekutu mereka Nallakarupan.
Kenapa Hasan Ali tidak berkata Mursyidul Am TIBAI, Zahid Md Arip lebih baik akhlaknya daripada Tok Guru Nik Aziz Nik Mat, Mursyidul Am PAS? Mursyidul Am TIBAI, tak berani menasihatkan CHUA SOI LEK (MCA) yang telah menghina Islam sepertimana mereka menibai Karpal Singh. Ahli Jemaah TIBAI lebih berani tibai ulamak yang perjuangkan Islam, manakala Hasan Ali hanya terkedu apabila rakan sekutunya menghentam ulamak Islam. Demikianlah songsangnya jika perjuangan tidak lagi sejati sebaliknya lebih beriri hati demi jawatan yang dicari. Hasan Ali bukan pejuang sejati!

Friday, October 12, 2012

SELUDUP RM40 JUTA UNTUK UMNO SABAH BUKANNYA RASUAH?

Oleh Abdul Rahman Hashim
Musa Aman, Ketua Menteri Sabah
terima RM40 juta untuk UMNO, bukan untuk dirinya?
Semalam, Parlimen diberitahu bahawa SPRM hari ini telah membebaskan Musa Aman, Ketua Menteri Sabah dari tuduhan rasuah dan menyeludup wang selepas mendapati 16 juta dolar Singapura (RM40 juta) telah disalurkan kepada Ketua Menteri itu, kerana sebenarnya RM40 juta itu bermaksud untuk kegunaan UMNO Negeri Sabah.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Dato' Seri Nazri Aziz berkata, Peguam Negara telah menyiasat perkara ini dan mendapati tidak ada kaitan dengan rasuah dalam kes seperti yang dibangkitkan oleh Laman Sarawak Report awal tahun ini.
Agak-agak, kenapa individu berkenaan bermurah hati sangat menyumbangkan wang sebanyak itu kepada UMNO Negeri Sabah? Apa istimewanya Musa Aman yang menjadi Ketua Menteri Sabah sehingga terleleh air liurnya malah terpanggil untuk menyeludup wang tersebut untuk diserahkan kepada Pengerusi Perhubungan UMNO Negeri Sabah itu?
Saya tidak fikir penyumbang itu memberi habuan puluhan juta ringit kepada Musa Aman kalau Musa bukan seorang Ketua Menteri. Apa faedahnya penyumbang itu menghulurkan RM40 juta jikalau Musa hanya seorang Ketua UMNO Cawangan?
Keputusan siasatan Peguam Negara dan SPRM sebagaimana yang dinyatakan oleh Nazri Aziz benar-benar telah menyelematkan Musa Aman, kerana pemberian RM40 juta kepadanya itu bukanlah unsur rasuah untuk dirinya, mungkin bukan juga rasuah kepada UMNO Negeri Sabah? 
Kepada musuh-musuh politik Musa Aman samada di dalam UMNO mahupun di luar UMNO, nampaknya percubaan untuk menyingkirkannya kali ini hanya menjaring angin. Persoalan samada Musa Aman tidak terbabit dengan unsur rasuah, telah pun terjawab kerana menyeludup wang sebanyak itu untuk UMNO bukannya rasuah.

Friday, September 21, 2012

PENGEMIS BUTA YAHUDI MENANGIS KERANA MENGHINA RASULULLAH

Oleh Abdul Rahman Hashim 

Filem 'Innocence Of Muslims' yang menjadi kemarahan 
umat Islam seluruh dunia
Muka hadapan majalah 'Charlie Hebdo' 
yang memaparkan gambar Rasulullah 
berserban dan bogel pada muka belakang
majalah ini.
Kuala Lumpur hari ini trafik jam teruk kerana puluhan ribu warga kota dari pelbagai golongan dan pelbagai anutan parti-parti politik yang cintakan Islam telah berhimpun dan mengadakan perarakan dari masjid selepas mereka bersolat Jumaat menuju ke Kedutaan Amerika Syarikat di Jalan Tun Razak.  Pastinya ucapan-ucapan berapi mengecam penerbitan filem "Innocence Of Muslims" yang diterbitkan di negara penyokong kuat Zionis (USA) akan membangkitkan kesedaran umat Islam supaya tidak bersengketa dan berpecah belah demi menegakkan syiarnya. Tahniah kepada Pemuda UMNO dan tahniah juga kepada Dewan Pemuda PAS serta NGO yang lain yang turut serta membantah penghinaan terhadap Nabi Muhammad SAW.
Nurul Izzah dan pemimpin kanan PKR  turut serta....
Nik Aziz memijak foto pemimpin AS & Regim Israel 
di Kota Bharu, Kelantan.

Khairy Jamaludin membakar semangat!  Beliau dan
jurucakap yang lain seperti Dr. Hasan Ali, Ibrahim Ali dan 
Zaid Mat Arif kurang sangat menyentuh isu pokok,
sebaliknya mereka lebih terdorong menggunakan platfom
ini menghentam Koo Ham (DAP) seolah-olah Ngeh Koo
Ham yang menjadi sutradara Innocence Of Muslims.    
Suasana di hadapan kedutaan AS di Kuala Lumpur
Sesungguhnya Nabi Muhammad SAW adalah manusia pilihan Allah yang telah diangkat menjadi Rasul akhir zaman; untuk membawa sinar dan rahmat sekelian alam. Muhamad SAW diutuskan Allah ke muka bumi ini dengan segala keistimewaan dan 'maksum' untuk memimpin umat manusia dengan petunjuk Al-Quranul Karim dan SunnahNya.
Rasulullah memiliki sifat-sifat yang mulia yang wajib diikuti oleh umatNya. Saya paparkan di sini bagaimana mulianya akhlak Rasulullah berhadapan dengan manusia yang telah mencerca, menghina dan memfitnahnya. Ikuti sepintas lalu kisahnya:
Di pasar Madinah, ada seorang pengemis buta berbangsa Yahudi. Setiap hari pengemis ini menghina Rasulullah. Jika ada orang yang datang kepadanya, dia selalu berpesan agar tidak mendekati apalagi mengikut ajaran Rasulullah. 
"Wahai saudara, jangan kau dekati Nabi Muhamad, dia adalah orang gila, pembohong dan tukang sihir...jangan dekati dia", katanya.
Setiap pagi, ketika Rasulullah berdagang akan membawa makanan untuk pengemis itu. Tanpa berkata apa-apa Rasulullah akan menyuap makanan kepada pengemis itu. Pengemis itu berpesan agar tidak mendekati orang yang bernama Muhamad. Namun Rasulullah tetap menyuap makanan kepada pengemis itu. Setelah Rasulullah wafat, tiada lagi orang yang menyuapi makanan kepada pengemis itu.
Satu hari Saidina Abu Bakar berkunjung ke rumah isteri Rasulullah yakni anaknya sendiri, Aishah. Abu Bakar bertanya kepada Aishah tentang sunnah Rasulullah yang belum dikerjakannya.
"Wahai ayah, hampir tidak ada satu pun sunnah yang belum ayah kerjakan kecuali satu hal", ujar Aishah.
"Apakah itu, wahai anakku?", tanya Abu Bakar.
"Rasulullah selalu ke pasar dan membawa makanan untuk pengemis buta di sana", kata Aishah.
Mendengar kata-kata Aishah itu, Abu Bakar segera pergi ke pasar sambil mambawa makanan. Dia pun mendekati pengemis buta itu lalu menyuapkan makanan.
"Hey siapa kamu?" tanya pengemis buta itu. 
"Aku orang biasa yang menyuap kamu makan", jawab Abu Bakar.
"Bukan! Kau bukan orang biasa yang mendatangi aku. Orang yang biasa mendatangi aku tidak membuatkan aku susah untuk memegang dan mengunyah makanan ini", kata si pengemis itu.
"Orang yang biasa datang itu selalu meremah-remah makanan terlebih dahulu, setelah itu ia menyuapku dengan tangannya sendiri", ujarnya lagi.
Mendengar kata-katanya itu Abu Bakar tidak tertahan lagi keluar air matanya, beliau menangis betapa mulianya akhlak Rasulullah SAW.
"Aku bukanlah orang yang biasa datang padamu. Aku hanyalah salah seorang sahabatnya. Orang yang biasa itu telah tiada. Dialah Muhamad", kata Abu Bakar.
"Benarkah demikian? Pada hal aku selalu menghina dan memfitnahnya. Tetapi dia tidak pernah memarahi aku sedikitpun. Sunguh mulia hatiNya.
Pengemis itu menangis. Dia tidak menyangka orang yang setiap pagi menyuapinya itu adalah orang yang selalu dihinanya. PENGEMIS ITU AKHIRNYA MEMELUK ISLAM.

SELAWAT DAN SALAM KE ATAS JUNJUNGAN BESAR KITA NABI MUHAMMAD SAW!!

Video Perarakan ribuan  umat Islam di Kuala Lumpur menuju ke Kedutaan AS 
membantah penerbitan filem 'Innocence Of Muslims', 21 September 2012:


Video Khairy Jamaludin ketika ditemubual oleh wakil media di Masjid Kampung Bharu:





Wednesday, September 19, 2012

WANGSA MAJU ANTARA UMNO DAN MCA ATAU PKR?

 Oleh Abdul Rahman Hashim

Dato' Dr. Mohd. Shafei Abdullah bakal calon BN Wangsa Maju
Shafei & Wee Choo Keong dalam satu majlis
Hari ini akhbar Sinar Harian dalam ruangan  'Fokus PRU13' memaparkan sepintas lalu mengenai Parlimen Wangsa Maju iaitu kawasan yang menyaksikan BN tertewas pada PRU12 yang lalu dengan kehilangan majoriti 150 undi. BN Wangsa Maju menggigit jari kerana kawasan parlimen ini telah dirampas oleh calon PKR/PR, Wee Choo Keong @ WCK, walaupun pada masa itu pengundi Melayu merupakan majoriti. Wee Choo Keong menang tipis dengan perolehan 19,637 undi, manakala calon MCA/BN memperolehi 19,487 undi. Jumlah undi rosak, 357.
Menjelang PRU13, kawasan Parlimen Wangsa masih dominan dengan komposisi majoriti pengundi Melayu sekitar 52.45 peratus berbanding pengundi Cina 39.76 peratus, diikuti pengundi India 7.05 peratus dan 0.74 peratus lain-lain pengundi.


Dr. Tan Kee Kwong bakal calon PKR Wangsa Maju 
Shafei (Di tengah) bersama Yew Teong Look (Kanan sekali) 
dalam satu majlis anjuran komuniti Cina
Jika dilihat gerak kerja yang ditubikan oleh UMNO Wangsa Maju, nampaknya mereka lebih proaktif malah optimis untuk merampas semula kerusi ini kerana mereka lebih yakin jika calon UMNO yang bertanding sudah pasti kerusi ini akan pulang ke gagang Barisan Nasional. 
Dato' Dr. Mohd. Shafei Abdullah, Ketua UMNO Bahagian Wangsa Maju disebut-sebuat bakal dicalonkan jika UMNO yang bertanding mewakili BN pada PRU13 nanti. Mesyuarat Perwakilan UMNO Bahagian Wangsa Maju yang diadakan tempoh hari juga telah meluluskan usul sebulat suara untuk mengembalikan semula Wangsa Maju kepada UMNO. Saya sendiri bersetuju dengan kemahuan ahli-ahli UMNO itu, bahkan saya lebih yakin jika UMNO diberi peluang, Shafei Abdullah pasti merupakan calon unggul yang 'winnable' untuk menggalas tugas yang maha besar untuk mengUMNOkan semula Parlimen Wangsa Maju.
Sememangnya tugas untuk merampas semula kerusi ini daripada Pakatan Rakyat bukanlah kerja yang mudah, namun begitu jika UMNO dapat melipatgandakan gerak kerja secara 'luar biasa' daripada yang 'biasa', tidak mustahil misi merampas ini akan berjaya. Dato' Shafei Abdullah yang juga Pengerusi Penyelaras BN Wangsa Maju hendaklah berada pada kedudukan yang bukan sahaja diterima oleh UMNO, malah MCA dan komponen BN yang lain dapat menerimanya. Saya bimbang, jika parti-parti komponen BN sendiri menunjukkan sikap tidak selenggang sehayun bersama UMNO, mungkin menyulitkan untuk UMNO bersendirian dalam menggempur puak pembangkang dalam PRU13 nanti.
Saya tidak terfikir bahawa Wee Choo Keong, Ahli Parlimen Bebas Wangsa Maju yang bakal menyertai semula PRU13 nanti akan menyerang Barisan Nasional. Kalau dia sendiri bebas keluar masuk boleh kerap bersua Perdana Menteri Dato' Sri Najib Tun Razak, bahkan boleh sepentas menari tarian Sumazow (tradisional sukum kaum Kadazan/Sabah) bersama-sama dengan Najib dan Rosmah, maka mustahil untuk dirinya menyerang UMNO/BN dalam pilihan raya nanti. 
Jika itu yang berlaku, saya melihat penyertaannya dalam PRU13 bukanlah untuk bertarung dengan BN tetapi ia hanya untuk memecahkan undi Cina yang mencecah 39.76 peratus. Difahamkan PKR akan meletakkan Dato' Dr. Tan Kee Kwong, mantan Timbalan Menteri yang sudah pun menyeberang masuk menyertai PKR. Jika dahulu, sebahagian besar pengundi Cina tidak memihak kepada MCA sebaliknya memberi undi kepada PKR, apakah kali ini WCK mampu untuk memujuk pengundi Cina yang pro Pakatan Rakyat untuk mengundinya semula sebagai calon BEBAS? Jika beliau mampu menarik sebahagian pengundi Cina ini supaya tidak mengundi Dr Tan Kee Kwong (PKR), maka strategi untuk pecahkan undi Cina dilihat oleh UMNO akan menguntungkan BN.
Pada saya UMNO tidak boleh terlalu mengharapkan matematik ini, kerana belum tentu semua pengundi Melayu yang berjumlah 52.45 peratus merupakan penyokong tegar UMNO. UMNO tidak boleh berada di dalam zon selesa, kerana ada di kalangan pengundi Melayu yang tidak mesra BN malah ramai juga yang bukan ahli UMNO. Jika meletakkan calon UMNO bukanlah suatu jaminan yang kukuh lagi untuk memancing undi di kalangan pengundi Melayu.
Namun begitu, saya memerhatikan 'kerja buat' dan 'politik kerja' proaktif yang telah dilakukan oleh Shafei Abdullah di Wangsa Maju telah menampakkan natijah untuk menang. Beliau harus menjuruskan gerak kerja yang berganda kerana situasi hari ini bukan lagi 'Mudah Untuk Menang' kerana mereka di sebelah sana juga sedang meneropong gelagat kita samada hasrat UMNO untuk bertanding kali ini dapat diterima oleh BN; dan bagaimana pula dengan UMNO jika Datuk Yew Teong Look @ MCA sekali lagi dikehendaki bertanding di Wangsa Maju?


Sunday, September 16, 2012

TANPA SABAH DAN SARAWAK TIDAK TERBENTUKNYA MALAYSIA

 Oleh Abdul Rahman Hashim 


Hari Pemasyuran Negara Malaysia, 16 September 1963

Hari Pemasyuran Malaysia di Sabah
Hari Pemasyuran Malaysia di Sarawak
16 September 2012 merupakan tarikh keramat kepada seluruh warganegara Malaysia yang merayakan HARI MALAYSIA yang ke-49 tahun.  Pada tanggal 16 September,1963 merupakan detik kenangan yang dibanggai di mana terbentuknya Malaysia pada tahun yang berkenaan. Pada tanggal itu termasyhurnya satu 'Gagasan Malaysia' yang menyaksikan negeri Sarawak, Borneo Utara (negeri Sabah) dan juga Singapura bersetuju bersama-sama 11 buah negeri yang lain di Persekutuan Tanah Melayu ketika itu untuk bersatu menjadi sebuah negara bangsa yang merdeka dan berdaulat. Cuma Singapura sahaja yang tidak bertahan lama setelah keluar dari Gagasan Malaysia pada tahun 1965.

Malaysia adalah negara unik di mana ia mempunyai dua tarikh 'keramat'. Pada 31 Ogos setiap tahun semenjak 1957, negara kita merayakan kebebasan daripada penjajahan dan ini dikenali sebagai 'Hari Merdeka', manakala 16 September semenjak 1963, negara kita merayakan ulangtahun pembentukan Malaysia, di mana hari ini ia dikenali sebagai 'Hari Malaysia'. Tahun ini kita merayakan Hari Kemerdekaan 55 tahun, sementara Hari Malaysia pula merupakan yang ke-49 tahun.

Tanpa 31 Ogos 1957, tidak akan wujud tarikh 16 September 1963. Begitu juga tanpa pengorbanan para pejuang kemerdekaan pada masa lampau untuk mencapai kebebasan tahun 1957, tidak akan ada sebuah Persekutuan Malaysia yang dibentuk pada tahun 1963. Tentulah banyak kisah suka dan duka di sebalik rentetan perjuangan ini.

Kita wajar bersyukur kepada Allah dan berterima kasih kepada semua pejuang-pejuang kemerdekaan ini kerana jiwa patriotik merekalah yang melunturkan kesombongan pihak penjajah untuk menyerahkan negara ini kepada empunyanya. Rakyat negara ini telah bangkit sekian lama untuk menuntut hak mereka supaya kolonial penjajah tidak terus mencengkam kehidupan mereka.

Di bumi semenanjung muncul beberapa nama yang disinonimkan sebagai pejuang kebebasan yang berjiwa pendekar dan bersemangat kental untuk berhadapan dengan gerombolan penjajah. Nama-nama seperti Datuk Maharaja Lela, Datuk Bahaman, Tok Janggut, Mat Kilau merupakan anak jati Melayu yang sanggup berkorban apa saja walau bergadai nyawa, namun untuk tunduk dengan 'orang putih' tidak sekali-kali mereka turuti. Datuk Maharaja Lela mati di tali gantung, begitu juga Tok Janggut diburu dan diheret ke tali gantung secara hina oleh puak Inggeris yang melabelkan pahlawan bangsa ini sebagai pemberontak, pembelot dan penderhaka yang mengganas.

Di Sarawak pula muncul pejuang-pejuang yang berani mati demi tanah airnya seperti 'Panglima Rentap' pahlawan Iban yang berhati waja yang digeruni oleh orang putih. Begitu juga nama Rosli Dhobi seorang anak muda Melayu jati Sarawak yang bencikan orang putih sanggup ke tali gantung apabila beliau memberanikan dirinya membunuh Gabenor Inggeris Sir Duncan Stewart yang melawat Sibu pada 3 Disember 1949. Pada jam 9.30 pagi di hari tersebut, Rosli Dhobi telah menikam perut Sir Duncan dengan pisau tradisi Melanau yang dibubuh racun. Rosli menjerit: “Keluar dari sini atau kamu mati!”
Sebelum mati di tali gantung, Rosli Dhobi sempat menulis surat untuk keluarganya. Diantara kandungan surat itu Rosli menulis, "Selimutilah jenazah anakanda nanti dengan Panji Kebangsaan Sarawak'.
Di Sabah pula, Pahlawan Mat Salleh amat dikagumi dengan keberaniannya menentang penjajah British yang mencengkam kehidupan rakyat peribumi. Mat Salleh terlibat dalam peperangan demi peperangan dengan pihak penjajah Briish. Tentera British melepaskan tembakan meriam ke arah kubu Mat Saleh tanpa henti. Serangan bertali arus itu menyebabkan Mat Salleh terbunuh apabila ditembak ketika keluar dari sebuah lubang dalam kubu pertahanannya. Peristiwa ini berlaku pada tanggal 31 Januari 1900. Mat Salleh dikatakan baru sahaja mengambil wuduk untuk mengerjakan solat sebelum ditembak.
Demikian cebisan sejarah perjuangan silam sehingga terbentuknya Malaysia. Tokoh-tokoh politik tersohor yang membawa kepada pembentukan Malaysia seperti Tunku Abdul Rahman Putra Alhaj yang mencetuskan idea supaya Sarawak dan Sabah bergabung untuk pembentukan Malaysia. Nama-nama tokoh politik tempatan seperti Tun Datu Mustapha, Tun Fuad Stephen (di Sabah) begitu juga Tun Jugah anak Barieng, Tawi Sli, Kalong Ningkan di Sarawak yang turut mewarnai pembentukan Malaysia. 
Walaupun wujudnya  penentangan dari segelintir yang tidak inginkan negeri mereka berada di dalam Malaysia, namun akhirnya mereka akur untuk sama-sama membentuk Malaysia/ Sejarah penentangan oleh penyokong-penyokong komunis di Sarawak supaya Bumi Kenyalang ini tidak berada di dalam Malaysia telah menyebabkan negeri Sarawak tidak tenteram, kerana PARAKU telah bekerjasama dengan gerombolan Tentera Nasional Kalimantan Utara (TNKU) di Indonesia mengangkat senjata menyerang Sarawak. Projek GANYANG MALAYSIA yang dicetuskan oleh Presiden Sukarno telah menyemarakkan lagi penentangan komunis di Sarawak untuk menggagalkan pembentukan Malaysia. 
Rupa-rupanya bukan mudah pembentukan Malaysia ini. Usaha meMalaysiakan 11 negeri di semenanjung dan 2 buah negeri di Pulau Borneo tidak sekadar ditentang oleh puak militan komunis di Sarawak, bahkan negara-negara jiran seperti Filipina dan Indonesia tidak senang hati dengan terbentuknya Negara Malaysia. Berbagai daya usaha diplomatik telah dilakukan oleh Perdana Menteri Tunku Abdul Rahman Putra ketika itu untuk meredakan ketegangan negara-negara serantau yang mencemburui pembentukan Malaysia ini. 
Ingatlah, bahawa Malaysia dibentuk adalah untuk memperkuatkan entiti negara bangsa yang telah dirantai oleh imperialis Inggeris sejak zaman berzaman. Kita juga kena akur tanpa Sarawak dan Sabah tidaklah wujudnya negara Malaysia! Sebagai rakyat yang cintakan negara ini, kita semua hendaklah menumpahkan taat setia tanpa berbelah bahagi kepada Malaysia, bukannya kepada musuh yang memusuhi negara ini. 
Musuh di dalam selimut juga hendaklah beringat bahawa tindakan memusuhi negara sendiri juga merupakan ancaman yang boleh menggugat kemakmuran yang dibina selama ini. Kepelbagaian anutan parti-parti politik di negara ini janganlah sampai kita tidak tahu lagi bahawa Malaysia adalah negara kita bersama, bukannya negara milik persendirian parti-parti tertentu. UMNO, PKR, PAS, DAP, PBB, SPDP, PRS, SUPP, MCA, MIC, GERAKAN, UPCO, LDP, PBS, UPKO, IPF termasuk PERKASA dan 'what ever' NGO yang lainnya hendaklah sentiasa berada dalam satu kepompong, satu bumbung dan 1MALAYSIA.Berbeza haluan politik bukan bermakna kita harus menyisihkan diri dari mencintai negara sendiri.
Di mana bumi dipijak di situlah langit dijunjung. Generasi muda hari ini perlu menjiwai sejarah dan peristiwa penting pembentukan Malaysia ini, kerana kita tidak mahu wujudnya generasi yang tidak peka dengan kemerdekaan negaranya sendiri.Selamat Hari Malaysia!

Thursday, August 30, 2012

MERDEKA! JANJI DITEPATI, BUKAN BERTIKAM SESAMA SENDIRI

Oleh Abdul Rahman Hashim


Pertikaman sesama sendiri akibat perselisihan yang tidak bernoktah
Negara kita telah MERDEKA sejak 55 tahun lalu dari belenggu penjajahan. Sejak 1511 - 1957 selama 446 tahun bangsa dan tanahair kita dililit penjajah bersilih ganti dengan sehina-hinanya bermula dengan serangan Feringgi (Portugis), Belanda, Inggeris, Jepun dan kembali semula Imperialis Inggeris. Parti Komunis Malaya (PKM) juga terbentuk semasa penjajahan British di Tanah Melayu,, dimana PKM telah dipersejantai oleh British untuk menentang Jepun di bumi Malaya; akhirnya PKM yang dianggap sebagai pengganas menjadi ancaman terbesar pula kepada British, lalu British mengisytiharkan darurat pada tahun 1948 untuk menghapuskan perjuangan militan komunis. 

Dalam kegawatan ini Tunku Abdul Rahman Putra Alhaj (YDP UMNO pada masa itu) bijak dengan strategi diplomatiknya telah merangka pelan menuntut hak kemerdekaan supaya negara ini segera dibebaskan dari cengkaman penjajah sebagai langkah untuk mengendurkan ketegangan ancaman komunis. Tanggal 31 Ogos 1957 dipilih untuk merayakan HARI KEMERDEKAAN tanahair. Rakyat bersatu padu dan berdiri teguh bersama pejuang-pejuang kemerdekan pada masa itu untuk menunjukkan kekuatan dan kesepaduan hati kepada pihak British yang menjajah.
Walaupun PKM tidak mengiktiraf kemerdekaan tanahair, namun hakikatnya perjuangan menuntut kemerdekaan terhasil juga akhirnya. Ingatlah, perjuangan membebaskan negara dari cengkaman penjajah bukannya bermula semalam, bukan juga bermula seminggu berlalu dan bukan juga bermula pada tahun 1946; tetapi perjuangan menghalau penjajah ini dicetuskan oleh pejuang-pejuang kita yang terdahulu yang tidak sanggup menjadi tali barut kepada Feringgi, Belanda, Inggeris dan juga Jepun. 

Hendaknya jangan ada lagi watak-watak pengkhianat dan pembelot seperti Datuk Shahbandar Mandeliar, Si Kitol & Laksamana Khoja Hassan yang bertubi-tubi melemparkan fitnah kepada Sultan Mahmud Shah kononnya Datuk Bendahara Melaka, Tun Mutahir mahu merampas takhta Sultan; sehingga menyebabkan Sultan Mahmud Shah menjadi murka lalu memerintahkan Tun Sura membunuh Tun Mutahir sekeluarga kecuali anaknya Tun Fatimah dan Tun Hamzah. Portugis mengambil peluang dari porak peranda dalaman ini untuk menyerang Melaka yang sudah pun lemah akibat persengketaan yang berpanjangan.
Panglima perang Feringgi, Alfonso de Albuerque dalam serangan keduanya terhadap Melaka pada tahun 1511 telah dibantu oleh pembelot/pengkhianat dengan membuka pintu Kota Melaka sehinga Sultan Mahmud Shah terpaksa melarikan diri ke Muar kerana Empayar Melaka sudah pun jatuh ke tangan Portugis. Kota Melaka yang dibina oleh Parameswara atau pun Sang Nila Utama yang datang dari Pulau Temasek (Singapura) yang mencari penempatan baru telah menjadi Raja Melaka pada tahun 1400; dan akhirnya pada tahun 1511 Empayar Melaka yang hebat dan sebagai pusat perdagangan utama terpenting pada zaman itu telah punah akibat api persengketaan sesama sendiri yang tidak dapat dikawal lagi. Pertikaman sesama sendiri telah membawa padah sehingga bangsa kita menjadi hina dina....JANJI DITEPATI bukan sekadar slogan, tetapi biarlah semua pihak tanpa mengira anutan parti politik menepati janji masing-masing untuk  mensejahterakan negara ini. Segeralah mencari noktah perbalahan yang tidak menguntungkan kepada  kita  semua.  SALAM KEMERDEKAAN!!

Wednesday, August 29, 2012

IBLIS MENSYAITANKAN MALAIKAT?

Oleh Abdul Rahman Hashim 

Dr. Mahathir berkata UMNO adalah syaitan yang dikenali...

Sekitar tahun 1980 semasa menjadi Timbalan Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir pernah berkata bahawa 'PAS lebih bahaya daripada komunis'. Beliau meyandarkan hujah ini kerana menurutnya di dalam Al-Quran Allah berfirman bahawa 'Fitnah itu lebih bahaya daripada membunuh'. Beliau rimas pada masa itu kerana menurutnya pemimpin-pemimpin PAS sering melemparkan fitnah kepada UMNO, manakala pengganas komunis pula sering melakukan siri-siri pembunuhan terhadap pasukan keselamatan negara. Justeru beliau mengandaikan bahawa PAS itu lebih merbahaya daripada pengganas komunis.
Tun Dr. Mahathir Mohamad sekali lagi telah mencetuskan kontroversi di persada politik tanahair. Kali ini beliau menunjukkan geramnya kepada puak-puak pembangkang yang kononnya berlagak lebih baik daripada UMNO sebagai MALAIKAT; manakala parti UMNO yang banyak melakukan kebaikan tetapi sering dilabelkan oleh puak pembangkang sebagai SYAITAN.
Justeru Dr. Mahathir Mohamad menyatakan bahawa lebih baik kita berkawan dengan SYAITAN yang kita kenal daripada berkawan dengan MALAIKAT yang tidak kita kenali. Sampai begitu sekali Dr. Mahathir marahkan PAS dan kuncu-kuncunya sehingga sanggup beliau memartabatkan bahawa syaitan ada juga yang baik, manakala beliau menyifatkan bahawa bukan semua malaikat yang wajar kita ikuti semata-mata kerana malaikat itu suci; mungkin beliau merasakan malaikat juga seperti kejadian manusia yang dijadikan daripada tanah, maka wajarlah ia dimusuhi.
Apakah beliau menyifatkan pemimpin UMNO itu merupakan syaitan, manakala puak-puak pembangkang PAS itu adalah golongan para malaikat? Jika itulah yang dimaksudkannya, maka jelaslah bahawa beliau begitu disakiti sehingga sanggup dirinya menggemari syaitan dan membenci pula malaikat. Pada saya Tun Dr Mahathir masih bebas untuk menyukai atau membenci mana-mana parti, tetapi bukannya menjerumuskan dirinya sebagai sahabat syaitan; malah beliau telah menyamakan UMNO dan pemimpinnya sebagai syaitan yang beliau kenali.
Jika syaitan dibenci Tuhan kerana ingkar dengan segala perintahNya, maka dibimbangi Tun Dr Mahathir juga adalah sekutu syaitan yang berjaya dihasuti oleh para Iblis laknatullah. Jika benar andaian Mahathir bahawa golongan yang menentang UMNO bagaikan malaikat yang beliau tidak kenali lalu wajar ia dimusuhi, maka Dr Mahathir dilihat terlalu berani bermain dengan 'api persepsi' bahkan beliau masih terkeliru untuk membezakan sifat-sifat syaitan dan juga sifat-sifat para malaikat sebagaimana yang dijelaskan oleh Allah di dalam Al-Quran.
Menurut pandangan Islam, SYAITAN dicipta dari api oleh Allah S.W.T. dan juga dikatakan berasal dari golongan Jin sebelum dipilih menjadi MALAIKAT. Ini membezakannya dari malaikat-malaikat lain. Disebabkan iblis ini menentang perintah Allah S.W.T. lalu dia diusir dari golongan malaikat dan dinyahkan dari syurga, akibat ingkar dengan perintah Allah untuk sujud kepada Nabi Adam sebagai penghormatan ciptaan-Nya yang mulia.
Menurut agama Islam, Tuhan meletakkan taraf manusia lebih tinggi daripada makhluk-makhluk yang lain kerana mereka diberikan akal - terutamanya untuk membandingkan yang buruk dari yang baik.
Syaitan membangkang ciptaan Tuhan pada manusia dan mencegah dari menyujud di hadapan Adam seperti dilakukan oleh para malaikat lain. Tuhan bertanya kepada syaitan: "Apakah yang mencegahmu sujud menghormati sesuatu yang telah aku ciptakan dengan tangan-Ku?" Syaitan menjawab: "Aku adalah lebih mulia dan lebih unggul dari dia. Engkau ciptakan aku dari api dan menciptakannya dari lumpur." Ini menunjukkan bahawa syaitan merasa dirinya lebih bertaraf tinggi dari Adam kerana dia diperbuat dari api, manakala Adam diperbuat dari tanah, yang dianggap tidak bersih dan rapuh.
Justeru syaitan berjanji dan berkata di hadapan Tuhan, Nabi Adam dan para malaikat bahawa dia akan membinasakan Adam dan seluruh keturunannya (iaitu golongan manusia) sampai hari akhirat kelak.
Allah bersabda bahawa manusia yang mengikuti perintah-Nya tidak akan dibinasakan oleh syaitan, tetapi yang mengikuti syaitan akan turut dibinasakan dan diseksa di dalam api neraka pada hari akhirat. Syaitan juga yang memyebabkan Nabi Adam dan isterinya Siti Hawa terkeluar dari Syurga, walaupun mereka telah diampunkan oleh Allah, dan bisikannya telah menyebabkan anak mereka Qabil membunuh Habil.
Rasulullah bersabda, "Janganlah kamu marah, kerana perasaan itu datangnya daripada syaitan".
Perhatikan juga firman Allah dalam surah Al-Maidah ayat 91 yang bermaksud, "Syaitan bermaksud untuk menimbulkan permusuhan dan kebencian diantara kamu".
Di dalam surah Al-Baqarah, ayat 169 Allah juga telah berfirman, "Sesunggunya syaitan itu menyuruh kamu melakukan perbuatan jahat dan keji, dan menyatakan mengenai agama Allah apa yang tidak diketahui".
Di dalam surah Az-Zukhruf ayat 36, Allah berfirman "Sesiapa yang berpaling daripada mengingati Allah, maka syaitan adalah teman yang selalu bersamanya".
Wallahu A'lam.