assalamualaikum Pictures, Images and Photos

Friday, April 23, 2010

TANPA UMNO JENTERA BN LUMPUH!



Hampir setiap hari saya berkunjung ke Hulu Selangor sejak pilihan raya kecil parlimen P.94 itu dilancarkan pada 17 April lalu. Saya lebih tertumpu membuat tinjauan di kawasan peti undi yang ditugaskan kepada UMNO Wilayah Persekutuan di Hulu Yam Bharu. Lokaliti peti undi Hulu Yam Bharu ini memihak kepada pembangkang dalam PRU12 yang lalu. Kini, hanya tinggal dua hari sahaja sebelum hari pembuangan undi berlangsung pada hari ahad ini 25 April 2010.

Sepanjang pengamatan saya semasa berada di tengah-tengah kehangatan berkempen di Hulu Selangor ini saya dapati jentera UMNOlah yang terkehadapan dalam gerak kerja memikat hati pengundi-pengundi di sana yang telah menolak BN dalam PRU12 lalu khususnya di peringkat Parlimen Hulu Selangor.

Walaupun ternampak kehampaan pengundi-pengundi Melayu yang mahukan calon Melayu dipertandingkan kali ini, namun semangat jati diri yang dimiliki oleh pejuang-pejuang UMNO, mereka tetap bekerja keras untuk memenangi semula hati-hati pengundi Melayu yang terluka itu.

Calon India/MIC daripada Rawang yang diproksikan mewakili BN semakin dijiwai oleh orang Melayu di situ telah mengatasi calon Melayu Kelantan dari PKR yang dipertaruhkan bertanding kali ini, kerana tuntutan gagasan 1Malaysia yang diperkenalkan oleh Najib Tun Razak telah menuntut supaya orang Melayu tidak terlalu taksub dengan keMelayuannya.

P. KAMALANATHAN calon BN yang dipertaruhkan, walaupun dia berketurunan India tetapi UMNO tetap menerimanya sebagai proksi kehendak masyarakat Melayu di Hulu Selangor. Kamalanathan hampir tidak mempercayainya betapa perkasanya UMNO yang begitu setia terhadapnya walaupun sebelum ini MIC dilihat bercakaran sesama sendiri yang tidak diyakini oleh UMNO untuk mewakili BN menentang Datuk Zaid Ibrahim dari PKR.

UMNO terpaksa berhempas pulas kerana MIC sendiri tidak sebulat kata setelah menghampakan G. Palanivel yang begitu mengharapkan dicalon semula bertanding di dalam pilihan raya kecil kali ini.

Presiden MIC Datuk Seri S. Samy Vellu pula dilihat semakin tidak popular untuk diketengahkan di dalam gelanggang ini, kerana majoriti cawangan-cawangan MIC di kawasan Hulu Selangor yang diketuai oleh G. Palanivel dikatakan terus bermogok.

Jika dilihat gerak kerja yang disusun oleh UMNO, menyaksikan seolah-olah 'Kamalanathan' merupakan calon UMNO yang lebih Melayu daripada Zaid Ibrahim. Hampir semua pentas ceramah UMNO termasuk PERKASA begitu teruja dengan calon ini, kerana mereka berpendapat Kamalanathan telah menyerlahkan kehebatannya yang tidak diduga sebelum ini.

Ibrahim Ali sendiri yang menentang UMNO di Pasir Mas dalam PRU12 lalu dilihat begitu tegar keMelayuannya di dalam PERKASA juga terpaksa akur betapa Kamalanathan perlu diyakini lebih Melayu daripada Zaid Ibrahim demi mempertahankan prinsipnya untuk menyokong BN kali ini.

Beliau menggesa supaya pengundi Melayu di Hulu Selangor jangan sekali-kali berubah hati untuk menyokong 'Kamalanathan' kerana mungkin menurutnya calon MIC itu dilihat lebih jujur untuk menjadi Melayu daripada Zaid Bin Ibrahim yang begitu kuat menyokong Anwar Ibrahim yang telah dilabelkan sebagai pengkhianat Melayu oleh UMNO.

Masyarakat Tiong Hua di Parlimen Hulu Selangor pula dilihat masih ragu-ragu untuk menerima calon proksi UMNO ini. Sepanjang saya berkunjung ke kawasan yang dominasi pengundi Cina seperti di Hulu Yam Bharu, jelas terlihat betapa mereka belum dipulihkan lagi keyakinan untuk menyokong BN, malah beberapa orang 'taiko' di kawasan ini telah mencarutkan MCA dan juga Gerakan, kerana menurut mereka parti-parti Cina ini telah gagal mempamerkan kehebatan untuk mewakili suara mereka.

Saya sendiri tidak melihat penonjolan MCA dan Gerakan untuk memenangi semula hati pengundi-pengundi Cina terutama di Hulu Yam Bharu, sebaliknya saya teruja dengan usaha yang dilakukan oleh sekumpulan aktivis Cina yang menggelarkan diri mereka sebagai NGO yang begitu prihatin untuk mengajak pengundi-pengundi Cina supaya menyokong BN kali ini.

Saya berkesempatan membuat tinjauan di Bilik Gerakan mereka di Hulu Yam Bharu dimana NGO berkenaan yang digerakkan oleh 'Mr. Ah Chong' ini begitu ikhlas dan serius untuk membantu BN dengan penampilan aktiviti-aktiviti yang merapatkan hubungan bersama masyarakat Cina.

Mr. W.M Chong (Foto: sebelah Noh Omar) seorang anak muda Tiong Hua ini dilihat lebih komited daripada MCA dan juga Gerakan dalam gerak kerja membantu BN. Saya difahamkan hari ini (23 April) NGO berkenaan akan mengadakan majlis makan malam bersama komuniti Tiong Hua yang dianggarkan kehadiran melebihi 3,000 orang di Hulu Yam Bharu. Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin akan berada di situ malam ini.

Berdasarkan kepada kejayaannya mengadakan makan malam bersama masyarakat Tiong Hua di Kampung Baru Cina Kalumpang pada 21 April lepas, lebih 600 orang yang terdiri daripada penduduk tempatan telah berjaya dikumpulkan pada malam tersebut. Saya sendiri menghadirinya bersama-sama rakan-rakan saya daripada 'Bahagian Setiawangsa'.


Noh Omar bersama komuniti Cina di Kalumpang. W.M Chong di sebelahnya berbaju kuning

Saya dan rakan-rakan turut diberikan penghormatan untuk makan bersama di meja Datuk Seri Noh Omar sebelum beliau menyampaikan sumbangan berupa basikal kepada mereka yang memerlukan bantuan itu yang telah ditaja oleh Mr. Ah Chong. Mr. W.M Chong bersama-sama dengan 'Kelab Sosial Orang-Orang Cina Kalumpang' telah terkehadapan daripada MCA dalam gerak kerja ini. Tahniah dan syabas kepada Mr. Chong!

Semasa makan, saya juga sempat bersembang dengan Noh Omar dan bertanyakan kepadanya tentang harapan BN dalam pilihanraya kecil ini; dan beliau menyatakan jika pengundi Cina dapat swing menyokong BN, pasti BN akan menang kali ini. Beliau memuji usaha yang dilakukan oleh NGO ini.