assalamualaikum Pictures, Images and Photos

Monday, March 1, 2010

BENARKAH FAIRUS MAMPU LEMAHKAN ANWAR DI PERMATANG PAUH..??

Bekas Timbalan Ketua Menteri I Pulau Pinang Mohd Fairus Khairuddin (Foto) dari Parti Keadilan Rakyat (PKR), yang meletakkan jawatannya April tahun lalu, akhirnya menyertai Umno hari ini. Apakah Fairus yang pernah menewaskan Ketua UMNO Bahagian Permatang Pauh Datuk Jalil Majid di DUN Penanti pada PRU12 yang lalu dilihat lebih dinamik untuk menerajui UMNO di Permatang Pauh untuk berhadapan dengan kekuatan pengaruh tegar Anwar Ibrahim?

Jika UMNO merasakan Fairus lebih berkeupayaan untuk menandingi kehebatan Anwar di Perrmatang Pauh, maka kehadirannya seakan-akan mencabar kewibawaan Datuk Jalil Majid yang dianggap gagal dalam misi merampas kerusi di DUN Penanti dan juga DUN Permatang Pasir semasa diadakan pilihan raya kecil bagi kedua-dua DUN ini tahun lalu.

Keputusan Fairus menyertai Umno diumumkan selepas menghadiri Perjumpaan Kepimpinan Tertinggi Pertubuhan Silat Seni Gayong Malaysia Bersama Perdana Menteri Malaysia yang turut dihadiri Dato' Sri Najib Razak.

Terdahulu Fairus dengan berpakaian ahli Pertubuhan Silat Seni Gayong menyambut ketibaan Najib, yang juga Presiden Umno, di lobi hotel tempat berlangsungnya majlis itu.

Fairus menyertai Umno kira-kira dua minggu selepas Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) mengumumkan beliau antara lapan kes berprofil tinggi bebas dari tuduhan rasuah. Beliau pernah disiasat kerana dakwaan rasuah melibatkan syarikat kuari di Seberang Perai.

Semasa beliau di dalam PKR, pihak UMNO telah memperbesarkan isu ini sehingga memaksa partinya (PKR) menasihatkan dirinya mengosongkan sahaja kerusi ADUN Penanti yang disandangnya itu bagi membolehkan satu pilihan raya kecil diadakan di DUN berkenaan.

UMNO tewas sekali lagi di di DUN Penanti di tangan PKR, manakala PAS pula berjaya menewaskan calon UMNO di DUN Permatang Pasir. Sebelum itu calon UMNO juga tewas dengan teruk di Parlimen Permatang Pauh apabila Anwar Ibrahim (PKR) bertanding semula menggantikan isterinya Wan Azizah yang telah mengosongkan kerusi tersebut.

Justeru di sebalik kebanggaan UMNO menerima bekas wakil rakyat PKR ini menganggotai parti UMNO, apakah beliau dilihat berkemampuan untuk menguatkan UMNO di Permatang Pauh atau akan berlaku sebaliknya?

Biasanya barang yang dikitar semula boleh juga dipergunakan walaupun telah menjadi bahan buangan, kerana tidak semestinya kain yang lusuh itu patut dibuang, sedangkan ia boleh dijadikan kain buruk untuk mengelap kotoran sehingga menjadi bersih semula.