assalamualaikum Pictures, Images and Photos

Monday, November 23, 2009

DUN KOTA SIPUTEH - MAHKAMAH TINGGI MENOLAK SPR

TERKINI...Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) gagal dalam permohonannya untuk menangguhkan keputusan mengosongkan kerusi DUN Kota Siputeh di Kedah minggu lalu. Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur telah menolak permohonan SPR itu dan menegaskan bahawa SPR telah bertindak secara tidak wajar apabila membuat keputusan Abu Hassan masih merupakan wakil rakyat bagi Kota Siputeh, setelah Speaker DUN Negeri Kedah mengeluarkan petisyen kepada SPR tentang kelakuan ADUN BN itu yang didapati ponteng daripada menghadiri sidang dewan itu secara berturut-turut pada 19 April dan 9 Ogos tahun ini.

Suruhanjaya itu bagaimanapun akan membuat rayuan di Mahkamah Rayuan berhubung penolakan penangguhan tersebut.

Isnin lalu, hakim Datuk Alizatul Khair Osman Khairuddin memutuskan bahawa kerusi itu kosong selepas penyandangnya Datuk Abu Hassan Sarif tidak menghadiri dua persidangan DUN tahun ini.

Dalam keputusannya itu, hakim menegaskan bahawa SPR yang telah membuat keputusan sebelum ini bahawa Abu Hassan masih merupakan wakil rakyat bagi Kota Siputeh dan kerusi DUN itu tidak kosong, perlu dibatalkan.

"Meskipun saya bersetuju bahawa SPR mempunyai kuasa untuk menentukan kekosongan berlaku secara kebetulan, namun saya tidak berpendapat SPR dapat mengatasi kuasa Speaker mengikut Perkara 51 Undang-undang Tubuh Negeri Kedah," katanya dalam penghakimannya.

"Pada pandangan saya, Perkara 51 menjelaskan syarat yang menyebabkan kerusi menjadi kosong dan responden pertama (Abu Hassan) telah menepati syarat tersebut," kata hakim itu lagi ketika membenarkan semakan kehakiman yang difailkan oleh Speaker DUN Kedah Datuk Dr Abdul Isa Ismail.

Speaker DUN itu memfailkan semakan berkenaan pada 1 Oktober, selepas SPR membuat keputusan bahawa tidak berlaku kekosongan dalam kerusi DUN Kota Siputeh dan Abu Hassan masih merupakan wakil rakyatnya.

Abdul Isa memohon mahkamah mengisytiharkan bahawa Abu Hassan bukanlah wakil rakyat berikutan kegagalannya menghadiri dua persidangan DUN berturut-turut iaitu pada 19 April dan 9 Ogos tahun ini, dan kerusi itu adalah kosong. Dalam permohonannya, Abdul Isa turut memohon perintah bagi SPR mengadakan pilihan raya kecil.


UMNO PULA AKAN KEMUKA RAYUAN...

Sementara itu dalam satu perkembangan lain, UMNO dikatakan akan mengemukakan rayuan di Mahkamah Rayuan esok berhubung keputusan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur (Rayuan dan Kuasa-kuasa Khas) hari ini yang telah menolak permohonan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) untuk mendapat perintah menangguhkan keputusan mengisytiharkan kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Kota Siputeh sebagai kosong.

Ketua Penerangan UMNO, Datuk Ahmad Maslan (foto), berkata Umno melalui peguamnya, Datuk Hafarizam Harun akan mengemukakan rayuan berkenaan. "Saya baru menghubungi beliau tadi dan samada Mahkamah Rayuan boleh membuat keputusan itu esok atau tidak, itu adalah sesuatu yang menarik kerana apa-apa pun SPR perlu membuat keputusan (tarikh pilihan raya, tarikh penamaan calon dan tarikh pengundian) Rabu ini," katanya hari ini.