assalamualaikum Pictures, Images and Photos

Monday, March 16, 2009

Bergantang-gantang isu bakal terdedah di Bukit Gantang. Apa nak jadi Perak selepas ini? Rakyatlah menjadi RAJA demokrasi.

Pilihan raya kecil P.59 Parlimen Bukit Gantang di Perak terpaksa juga diadakan, walaupun seboleh mungkin hendak dielakkan oleh kerajaan BN, terutama sekiranya membabitkan PRK Peringkat DUN Perak. Ismail Sapian, (Foto) bekas Ketua Penerangan UMNO Baagian Bukit Gantang yang tewas ketika bertanding jawatan Ketua Bahagian tahun lalu kini terpilih menjadi calon BN di dalam pilihan raya kecil Parlimen Bukit Gantang yang bakal diadakan pada 7 April depan.

Sementara Pakatan Rakyat masih berahsia untuk menamakan calonnya, walaupun Ir. Nizar Jamaludin merupakan nama yang disebut-sebutkan menjadi favourite di kalangan rakyat akar umbi di kawasan itu. Difahamkan PAS akan menamakan calonnya nanti pada 26 Mac ini.

Alergiknya pilihan raya kecil DUN Perak kepada BN ialah kerana kedudukan parti ini masih terumbang ambing dalam berkedudukan seri 28-28 dengan Parti Pakatan Rakyat, dan jika BN kalah dalam pilihan raya kecil kali ini (DUN) pasti kerajaan yang baru dirampasnya akan kembali semula ke pangkuan Pakatan Rakyat.

Nasib baik pilihan raya kecil kali ini hanya berlaku di peringkat kawasan Parlimen yang tidak menjejaskan kedudukan kerusi di DUN Perak. Namun begitu pilihan raya kecil Bukit Gantang masih dianggap penting kepada kedua-dua parti yang bakal berentap kerana inilah medan yang bakal menyaksikan kecenderungan sebenar rakyat Perak dalam kemelut yang masih berpanjangan ini. Rasanya bergantang-gantanglah isu yang akan dipolitikkan di sepanjang pilihan raya kecil Bukit Gantang nanti.

Keadaan politik negeri Perak sebenarnya masih belum menampakkan redanya, malah ia dilihat semakin berliku-liku. Sejak kerajaan Pakatan Rakyat dikudetakan pada 5 Februari lepas, UMNO/BN telah bergegas ke Istana Kinta di Ipoh untuk menyembah maklum kepada Baginda Sultan Perak tentang kejayaannya merampas kuasa bagi membolehkan BN membentuk kerajaan baru di Perak. Ir. Nizar Jamaludin MB Perak pula telah mohon 'menyembah derhaka' (Bahasa Istana) agar DUN Perak dibubarkan, kerana keadaan politik dilihat semakin bergelut dan tidak menentu.

Baginda Sultan tidak memperkenankan nasihat Menteri Besarnya itu, malah telah menitahkan MB Perak Ir. Nizar Jamaludin supaya meletakkan jawatannya bagi membolehkan Dr. Zambry Kader mengangkat sumpah sebagai MB yang baru pada 6 Februari seterusnya sebagai laluan kepada BN membentuk kerajaannya.

Osman Jailu ADUN Changkat Jering, Jamaludin Radzi ADUN Behrang dan ADUN Jelapang dari DAP bolehlah mendabik dada masing-masing betapa berjasanya mereka bertiga kepada Barisan Nasional setelah mereka berjaya menyumbatkan gol dengan menjadikan BN dan PR berkedudukan seri 28-28, manakala diri mereka masih tidak berminat menyertai mana-mana parti dalam BN. Sebagai wakil Bebas mereka juga boleh berubah fikiran untuk cenderung ke mana-mana selepas ini, kerana mereka bertiga tidak terikat dengan kusa Whip BN di DUN Perak.

Keadaan sedemikian rupa sebenarnya bukanlah menguntungkan sangat malah amat membahayakan UMNO dan BN sendiri. Dalam arti kata lain, BN setakat ini hanya berpuas hati dengan kedudukan seri walaupun menyedari kerajaannya tidak seampuh yang diharapkan.

Kerapuhan memimpin sebuah kerajaan secara kudeta ini menjadikan BN semakin tertekan, dan kerajaan rapuh seumpama ini juga akan sentiasa terdedah dengan segala macam ancaman bukan sahaja ancaman rakyat akar umbinya, bahkan Dr. Zambry sekiranya berkulit cerah macam bosnya Najib Razak, sudah pasti merah padam mukanya dengan pucat lesinya sekali, kerana terlalu banyak lubang-lubang angin dari segi perundangan yang membabitkan Undang-Undang Tubuh Negeri Perak sendiri yang dikatakan telah dicabuli oleh pihak yang merampas kuasa.

Dr. Mahathir & Ku Li kata kerajaan Perak sekarang TIDAK SAH

Tun Dr. Mahathir Mohamad sendiri dalam komennya di majlis anjuran MUBARAK Wilayah Persekutuan (Lihatfoto di sebelah) telah mengecam tindakan yang diambil oleh UMNO/BN di Perak, dan beliau menegaskan bahawa kerajaan yang dirampas itu adalah TIDAK SAH menurut undang-undang tubuh negeri berkenaan. Sebelum itu, Tengku Razaleigh Hamzah juga berkata bahawa Nizar masih dianggap MB yang sah, kerana UMNO/BN sendiri dianggapnya sebagai tersasar dalam menghalalkan cara untuk berkuasa di Perak.

Dato' Sri Najib Tun Razak sendiri ketika mengulas mengenai tindakan Speaker DUN Perak V. Sivakumar yang telah mengarahkan Persidangan DUN Perak (Tergempar) diadakan 2 Mac yang lepas, menganggapnya sebagai TIDAK SAH kerana menurutnya kerajaan baru yang diambil alih ini masih dalam keadaan delima dengan beberapa kes yang akan dihadapkan ke Mahkamah.

Ini bermakna, Najib sendiri begitu bingung dengan keadaan yang berlaku di negeri ini, sehingga beliau terlupa bahawa Speaker DUN Perak masih mempunyai kuasa-kusa tertentu yang tidak boleh dipertikaikan, terutama yang berkaitan dengan hak memanggil sidang DUN.

Dalam kes ini, sekali lagi UMNO/BN dilihat tidak cermat menangani isu berkenaan sehingga sanggup menggunakan kekuatan ketumbukan pasukan polis (FRU) untuk menghalang Speaker dan ADUN yang lainnya memasuki dewan persidangan di Wisma Darul Redzuan, sehingga hak mereka sebagai ahli DUN telah dicabuli. Akhirnya semua ADUN yang terbabit terpaksa bersidang di bawah pokok (Pokok Demokrasi)

Rakyat memerhati senario duka ini, dan begitu jelas sekali betapa UMNO telah terheret dengan sentimen akar umbi yang diciptanya sendiri yag bakal mengundang hukuman rakyat kepadanya di dalam pilihan raya kecil di Bukit Gantang nanti. Walaupun saya menyedari betapa pentingnya kerajaan yang baru ini mempertahankan kuasanya yang rapuh ini, namun janganlah sampai kita diperbodohkan dan dihina kerana terlalu dungu dalam pentafsiran undang-undang yang jelas telah dicabuli oleh UMNO sendiri.

Apa pun yang terpancar daripada yang tersirat dalam fatamorgana politik dangkal di negeri Perak ini bakal menyaksikan kes-kes menarik yang dinantikan di beberapa mahkamah yang akan menentukan masa depan lanskap politik di negeri Tok Sago ini. Apa nak jadi politik negeri Perak selepas ini? Biarlah rakyat yang menjadi Raja Demokrasinya.

--------------------------------------------------------------------------------------

Kes-Kes Politik Perak Di Mahkamah

Kesahihan Tiga Kerusi DUN Perak yang melompat parti
dirujuk ke Mahkamah Persekutuan


IPOH: Mahkamah Tinggi Ipoh membenarkan persoalan undang-undang membabitkan pentafsiran Perlembagaan Perak berhubung pihak mana bertanggungjawab memutuskan pengesahan kedudukan tiga kerusi bagi Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Lompat, telah dirujuk kepada Mahkamah Persekutuan.

Pesuruhjaya Kehakiman Ridwan Ibrahim memutuskan demikian untuk memastikan sama ada Speaker Dewan Undangan Negeri, V Sivakumar, atau Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) yang berkuasa untuk memutuskan kekosongan bagi ketiga-tiga kerusi Dewan Undangan Negeri itu.


Sivakumar boleh diwakili peguam peribadi..

PUTRAJAYA (13 Mac): Mahkamah Rayuan hari ini memutuskan Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) Perak, V. Sivakumar boleh diwakili oleh peguam peribadi.

Panel tiga hakim memutuskan perkara itu selepas mendapati tiada peruntukan yang menyatakan Speaker mesti diwakili oleh penasihat undang-undang negeri kerana di bawah Akta Tatacara Kerajaan, Speaker bukan seorang pegawai kerajaan negeri. END