assalamualaikum Pictures, Images and Photos

Saturday, September 13, 2008

Sikap 'double Standard' UMNO Bahagian semakin mencelarukan...

Memang berlaku 'double standard' yang cukup memualkan dan menjijikkan setelah UMNO Bahagian Setiawangsa mengiktiraf persidangan HARAM tanpa kehadiran Ketua dan Ahli Jawatankuasa Cawangan malah tanpa bernotis daripada jawatankuasa cawangan berkenaan.
cukup rencah
Insiden ini berlaku kepada UMNO Cawangan Rumah Pangsa Setapak Jaya 1A dimana persidangan asalnya pada 10 Ogos lalu yang cukup rencah dengan notisnya, juga sarat dengan kehadiran ahli yang melebihi korum, dan telah berlaku juga proses pertandingan merebut jawatan Ketua Cawangan yang cukup sengit yang telah disahkan oleh wakil jawatankuasa UMNO Bahagian, tiba-tiba diarahkan supaya bersidang semula semata-mata adanya bantahan daripada ahli yang tewas bertanding.

Persidangan 10 Ogos adalah sah
Walaupun Jawatankuasa Pengurusan MT UMNO telah membuat arahan melalui UMNO Bahagian supaya cawangan ini bersidang semula pada 13 September, namun cawangan Rumah Pangsa Setapak Jaya 1A telah mengemukakan rayuannya kepada Setiausaha Agung UMNO supaya persidangan semula itu tidak diadakan, kerana Ketua Cawangannya berpendapat bahawa persidangan yang diadakan pada 10 Ogos lalu adalah sah dan memenuhi kehendak peraturan persidangan dan juga perlembagaan UMNO.
pencabulan terancang
Tetapi malangnya telah berlaku juga pencabulan terancang yang dikatakan direstui oleh UMNO Bahagian, setelah mereka meneruskan juga persidangan kali kedua itu tanpa sebarang notis yang dikeluarkan oleh pemegang tampuk UMNO Cawangan Rumah Pangsa Setapak Jaya 1A, dan ianya juga tidak dihadiri oleh barisan kepimpinan jawatankuasa cawangan berkenaan. Walaupun sebilangan ahli telah hadir untuk diadakan persidangan itu, tetapi kehadiran mereka itu tanpa diundang kerana notis tidak dikeluarkan untuk tujuan tersebut. Persoalannya, kenapakah pihak UMNO Bahagian sendiri yang mengendalikan persidangan haram itu, sedangkan mereka tahu UMNO Cawangan telah mengemukakan rayuan dan bantahan untuk tidak mengadakan persidangan tersebut?
persidangan tanpa notis
Apakah persidangan tanpa notis, tanpa pembentangan laporan tahunan oleh jawatankuasa cawangan boleh diterima pakai oleh UMNO Bahagian? Jika demikian, kenapa pula persidangan Cawangan KLSC yang diadakan pada 16 Ogos lalu tanpa kehadiran Pemangku Ketua Cawangannya yang mempertikaikan status notis yang dikeluarkan itu sebagai TIDAK SAH, lalu diarahkan supaya bersidang semula?
perlakuan sumbang
Inilah dia perlakuan sumbang yang berlaku di dalam sistem pentadbiran UMNO Bahagian Setiawangsa yang jelas memperlihatkan sikap 'double standard' yang memalukan sehingga menaikkan api kemarahan UMNO Cawangan yang terbabit. Suasana menjadi lebih sulit lagi kerana terdapat dua pihak mendakwa diri mereka berhak untuk menerajui cawangan ini. Satu pihak telah menunaikan tanggungjawabnya secara sah, sedangkan terdapat satu pihak lagi yang mendakwa persidangan haram mereka itu telah disahkan oleh UMNO Bahagian.
Demikianlah celarunya UMNO di akhir zaman ini.

UMNO KLSC - Bersidang semula tapi tidak cukup korum.



UMNO Cawangan KLSC di Bahagian Setiawangsa yang diarah supaya bersidang semula oleh Jawatankuasa Pengurusan Majlis Tertinggi pada hari ini (13 September) telah ditangguh lagi kerana menghadapi masalah tidak mencukupi korum. Persidangan semula yang diadakan di Pejabat UMNO Bahagian Setiawangsa (Lihat Gambar Pejabat) pada hari ini hanya dihadiri oleh seramai 27 ahli sahaja, sedangkan korum yang diperlukan ialah seramai 53 orang. UMNO Cawangan KLSC yang diketuai Pemangkunya Dr. Zainul Fithri mempunyai keahlian seramai 212 orang ahli.

Jawatankuasa Pengurusan Majis Tertinggi telah mengarahkan supaya UMNO Cawangan ini bersidang semula setelah menerima bantahan yang dibuat oleh Profesor Dr. Zainul Fithri yang menyatakan persidangan yang diadakan pada 16 Ogos lalu sebagai tidak sah, kerana beliau mendakwa notis persidangan yang dikeluarkan itu bukannya arahan beliau. 

Di dalam persidangan yang diadakan pada 16 Ogos itu, Norsiah Kamaruddin yang juga Ketua Wanita Cawangan telah dipilih sebagai Ketua UMNO Cawangan oleh ahli-ahli yang hadir. Manakala wakil UMNO Bahagian, Muner Nasution dan Mohd. Rawi Hashim yang bertugas pada hari berkenaan telah membacakan watikah pengesahan persidangan tersebut, tanpa menyebut masalah teknikal yang tidak mewajarkan persidangan itu diadakan. 

Inilah 'trendy' yang berlaku dimana wakil jawatankuasa UMNO Bahagian yang bertugas di sesuatu persidangan cawangan sepatutnya memantau agar tidak berlakunya perlanggaran dari aspek aturan peraturan persidangan dan juga perlembagaan parti. Jika wujud keraguan yang memungkinkan ketidak sahihan persidangan berkenaan, sepatutnya menjadi tanggungjawab wakil UMNO Bahagian yang bertugas untuk memberikan pandangan dan juga nasihat serta teguran membina supaya ianya dituruti oleh UMNO Cawangan tersebut.

Agak melucukan, persidangan Cawangan KLSC yang diadakan di pejabat UMNO Bahagian pada 16 Ogos lalu telah DISAHKAN oleh wakil jawatankuasa UMNO Bahagian yang berkenaan, dan difahamkan Setiausaha UMNO Bahagian juga turut berada di pejabat UMNO Bahagian pada hari tersebut, tetapi tidak 'peka' untuk menasihati Norsiah supaya tidak meneruskan persidangan yang meragukan itu.

Agak memalukan juga, kerana persidangan yang diadakan semula ini telah menumpulkan semangat sebahagian daripada ahli yang hadir, dan mereka juga kesal dengan keadaan yang berlaku ini, ditambah pula dengan situasi sekarang ini yang menyaksikan percakaran peringkat tertinggi UMNO yang semakin meruncing.

Difahamkan wujudnya persefahaman yang bakal memulihkan semula UMNO KLSC. Dr. Zainul Fithri dikatakan akan berbuat sesuatu secara positif dengan mengemukakan rayuannya agar persidangan yang diadakan pada 16 Ogos itu sebagai boleh diterima pakai. Jika benar ini berlaku, tentunya kita angkat topi kepada Dr. Zainul Fithri yang telah sanggup mengenepikan kepentingan dirinya sendiri semata-mata untuk melihat UMNO Cawangan yang pernah dipimpinnya itu tidak dilanda masalah. Syabas Dr. Fithri!