assalamualaikum Pictures, Images and Photos

Sunday, August 10, 2008

Zainal Tan Sri Mahmud memburu kelayakan bertanding jawatan Naib Ketua Bahagian Setiawangsa, manakala Rafli Jusoh bakal menarik diri...


Dato' Sri Zulhasnan Rafique (Kiri), dijangka menang
tanpa bertanding, manakala Zainal Tan Sri Mahmud (Kanan)
sedang memburu kelayakan untuk jawatan Naib Ketua



Zainal Tan Sri Mahmud yang sedang memburu kelayakan bertanding bagi jawatan Naib Ketua Bahagian Setiawangsa kini memperolehi satu lagi pencalonan daripada UMNO Cawangan Kelumpuk Bunga Raya yang bersidang pada Sabtu lalu (9 Ogos). Beliau hanya memerlukan dua pencalonan sahaja lagi untuk melayakkan dirinya menempah ke sirkit pertandingan merebut jawatan nombor tiga UMNO Bahagian ini.

Sebelum ini Zainal memperolehi pencalonan daripada UMNO Cawangan Seksyen 10 Wangsa Maju yang bersidang pada 16 Julai, dan diikuti oleh UMNO Cawangan Semarak Utara yang bersidang pada 3 Ogos lalu. Manakala di dalam satu perkembangan lain, Kapten (B) Rafli Jusoh penyandang jawatan ini dikatakan bakal menarik diri daripada bertanding, dan pemerhati politik di Bahagian ini meramalkan Dato' Izudin Ishak akan merebut peluang ini untuk meletakkan dirinya sebaris dengan calon-calon lain yang sudah pun layak menyertai pertandingan ini.

Diantara calon yang sudah pun menempah kelayakan untuk bertanding ialah Dato' Ahmad Fauzi Zahari yang mendapat 17 pencalonan, Ahmad Yamin Dato' Rahim, 9 pencalonan dan termasuk juga Datuk Izudin yang baru saja mendapat kelayakannya hari ini dengan 5 pencalonan. Kapten (B) Rafli Jusoh yang menyandang jawatan ini sejak tahun 2004 tidak memperlihatkan keyakinannya untuk melepasi kelayakan pencalonan pada musim ini.

Namun begitu, pada persidangan UMNO Cawangan Setiawangsa Fasa Satu yang diketuai sendiri oleh Dato' Sri Zulhasnan Rafique yang diadakan hari ini telah menyaksikan pencalonan secara 'status quo' dibuat, dimana dirinya sendiri telah dicalonkan sebagai Ketua Bahagian, manakala Dato' Halim Samad pula telah dicalonkan sebagai Timbalan Ketua Bahagian disamping mengekalkan pencalonan Rafli Jusoh untuk jawatan Naib Ketua Bahagian.

Namun begitu, Cawangan Langgak Bukit yang diketuai oleh Dato' Halim Samad yang juga bersidang serentak dengan Cawangan Setiawangsa Fasa Satu tidak mengikut jejak langkah Cawangan yang diketuai Dato' Sri Zulhasnan itu yang mencalonkan Rafli Jusoh, sebaliknya cawangan ini telah mencalonkan Dato' Ahmad Fauzi Zahari sebagai Naib Ketua Bahagian. Perkembangan ini juga mengesahkan bahawa Dato' Halim Samad akan bertanding mempertahankan jawatannya sekarang ini secara bergandingan dengan Dato' Ahmad Fauzi Zahari yang akan merebut jawatan Naib Ketua Bahagian.

UMNO Cawangan Kg. Padang Tembak yang diketuai oleh Dato' Ahmad Fauzi Zahari yang bersidang lebih awal juga dilihat bersepakat untuk mencalonkan Dato' Halim sebagai Timbalan Ketua, manakala dirinya sendiri telah dicalonkan sebagai Naib Ketua Bahagian.

Sementara itu, dalam minggu ini sahaja (9 & 10 Ogos) sebanyak 11 cawangan di dalam Bahagian Setiawangsa sudah pun menyempurnakan tanggungjawab mengadakan persidangan tahunan masing-masing. Ini menjadikan sejumlah 35 buah cawangan daripada 45 cawangan kesemuanya yang sudah menyempurnakan persidangan masing-masing. Tiga cawangan yang mengadakan persidangan pada hari Sabtu (9 Ogos) lalu ialah Cawangan AU3, Cawangan Air Panas Tambahan dan juga Cawangan Kelumpuk Bunga Raya.

Manakala 9 buah cawangan yang lainnya telah bersidang pada hari ini (10 Ogos) ialah Cawangan Setiawangsa Fasa Satu, Cawangan Langgak Bukit, Cawangan Persiaran Kuantan, Cawangan Taman Tasik Titiwangsa, Cawangan Air Madu, Cawangan Kementah, Cawangan Seksyen 6 Wangsa Maju, Cawangan Setapak Jaya 1A dan juga Cawangan Immetex. Terdapat 13 cawangan lagi yang masih belum bersidang sebelum berakhir tempohnya pada 24 Ogos yang akan datang ini.

Sementara itu, di dalam satu perkembangan yang lain menyaksikan persidangan UMNO Cawangan Setapak Jaya 1A yang diadakan pada petang hari ahad (10 Ogos), telah berlaku sedikit ketegangan yang membabitkan status Pergerakan Pemuda dan Wanita UMNO yang telah digantung. UMNO Cawangan yang diketuai oleh Ramli Jaafar (gambar sebelah) telah mengemukakan usul agar sayap kanan dan kiri itu digantung kerana kedua-duanya dikatakan telah mengadakan persidangan masing-masing sebelum ini secara 'terbang' dan 'sembunyi' dengan membelakangkan UMNO Cawangan.

Begitu juga, ketika diadakan pemilihan jawatan Ketua Cawangan, Ramli Jaafar telah menerima tentangan hebat daripada bekas Ketua Pemudanya, Awaludin Zaharin yang juga bertanding bagi jawatan ini. Ramli Jaafar telah memenangi semula jawatan ini dengan menewaskan Awaludin, dengan majoriti 8 undi. Undian secara angkat tangan ini menyaksikan Ramli memperolehi 62 undi, manakala Awaludin pula memperolehi 54 undi.

Persidangan UMNO Cawangan ini juga telah mencalonkan Dato' Sri Zulhasnan Rafique sebagai Ketua Bahagian, manakala bagi jawatan Timbalan Ketua pula cawangan ini telah mencalonkan Shuib Ibrahim, dan Ahmad Yamin pula dicalonkan sebagai Naib Ketua Bahagian.

Locengwangsa - Saya (Abdul Rahman Hashim) mengucapkan terima kasih kepada UMNO Cawangan ini yang telah mencalonkan diri saya sebagai calon G7 dan juga AJK Bahagian.


FAKTA PENCALONAN TERKINI (SEHINGGA 10 OGOS 2008)

Ketua Bahagian:
  • Dato' Sri Zulhasnan Rafique, 35 pencalonan

Timbalan Ketua Bahagian:

  • Dato' Halim Samad, 19 pencalonan
  • Shuib Ibrahim, 14 pencalonan.
  • Dato' Izudin Ishak, 2 pencalonan

Naib Ketua Bahagian:

  • Dato' Ahmad Fauzi Zahari, 17 pencalonan
  • Ahmad Yamin Dato' Rahim, 9 Pencalonan
  • Dato' Izudin Ishak, 5 pencalonan
  • Zainal Tan Sri Mahmud, 3 pencalonan
  • Kapten (B) Rafli Jusoh, 1 pencalonan