Monday, May 25, 2009

AZALINA JADI MANGSA?

Kalaulah keputusan siasatan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) yang mengesahkan beliau tidak terlibat dengan rasuah diumumkan sebelum pemilihan UMNO lalu, rasanya Azalina tidak menghadapi masalah ‘tinggi menggunung’ untuk menang.

Mungkin menyedari keadaan inilah Datuk Seri Azalina Othman Said menggesa SPRM segera menyiapkan siasatan dan jika tiada kes yang membolehkan beliau didakwa, kes berkenaan harus digugurkan segera.
Beliau juga dilaporkan berkata, SPRM dilihat berdiam diri tanpa memberi sebarang alasan terutama selepas selesai Perhimpunan Agung Umno hujung Mac lalu yang menyaksikan beliau tewas dalam merebut jawatan ahli Majlis Tertinggi (MT) Umno.
Apapun, Azalina sendiri sudah merasa lega dan bersyukur selepas disahkan tidak terlibat dengan rasuah oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).
Ahli Parlimen Pengerang itu juga berterima kasih kepada SPRM dan Ketua Pesuruhjayanya, Datuk Ahmad Said Hamdan kerana menjalankan siasatan dengan telus dan adil.

"Saya gembira dan bersyukur kepada Ilahi kerana sudah terlepas daripada dugaan ini," demikian lapor Utusan Malaysia kelmarin.

Ke mana haluan Azalina selepas ini?

Hanya cukup sekadar Ahli Parlimen sahaja? Beliau pasti memunyai perancangan sendiri untuk membuat comeback dalam kadar segera.

Beliau tidak boleh terlalu lama ‘menghilangkan diri’.

Sekarang tiada apa lagi perlu dimalu atau disegankan.
Lagipun sumbangannya sebagai Ketua Puteri UMNO sejak merangka penubuhan hinggalah pergerakan itu menjadi kuat, tidak boleh diabaikan. Saya ada menulis mengenai usaha beliau menggerakkan Puteri UMNO dalam buku saya yang diterbitkan pada 2001.

Apa yang pasti, siasatan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) terhadap bekas Menteri Pelancongan itu yang dikatakan terbabit dalam rasuah mendapati, tiada kes untuk mendakwa beliau.

Ketua Pesuruhjayanya, Datuk Seri Ahmad Said Hamdan, berkata siasatan terhadap Azalina yang dilengkapkan SPRM Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur baru-baru ini mendapati tiada aspek yang membolehkan bekas menteri itu dikaitkan dengan rasuah.

Bagaimanapun, Ahmad Said berkata, ada kemungkinan pihak lain yang turut terbabit dalam siasatan terhadap kes Azalina yang dikatakan menyalah guna kuasa dan penyelewengan pengagihan projek kementerian itu, boleh dikaitkan dengan dakwaan terbabit.

"Tiada kes terhadap beliau (Azalina) tetapi ada kemungkinan ia membabitkan orang lain," katanya pada sidang media selepas menutup program Jati Diri Rakan Muda anjuran SPRM, Biro Tatanegara (BTN) dan Jabatan Belia dan Sukan, di Pusat Latihan Membakut, Khamis lalu.

Bagaimanapun, Ahmad Said enggan mengulas lanjut sama ada pihak lain yang dimaksudkannya itu adalah pegawai Kementerian Pelancongan atau dua pegawai kanan Azalina yang pernah diambil keterangan oleh SPRM berkaitan isu berkenaan Mac lalu.

Siasatan terhadap dakwaan Azalina terbabit dalam rasuah dijalankan SPRM Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur sejak Mac lalu.

Pada 12 Mac lalu, akhbar melaporkan SPRM merampas sejumlah fail dan menyoal siasat beberapa pegawai Kementerian Pelancongan bagi membantu siasatan berhubung rasuah politik dan salah guna kuasa dalam pengagihan projek kementerian itu.

Dua pegawai kanan Azalina turut ditahan SPRM, tetapi dibebaskan selepas keterangan mereka diambil. Bagaimanapun, pada awal April lalu, Azalina menyelar SPRM dengan mendakwa organisasi berkenaan melengahkan siasatan berhubung dakwaan rasuah terhadapnya.

Ahmad Said pada sidang akhbar di Beaufort, Sabah semalam berkata siasatan SPRM mendapati tiada kes rasuah melibatkan Ahli Parlimen Pengerang itu.

Pada Mac lalu, Azalina disiasat oleh SPRM berhubung kes rasuah melibatkan kementeriannya.
SPRM pada 11 Mac turut menyiasat lapan pegawai kanan Azalina bagi membantu siasatan kes rasuah berkenaan.

Azalina yang juga bekas Ketua Puteri UMNO berkata, sepanjang tempoh siasatan kes itu sejak Mac lalu, beliau menumpukan kepada tugasnya sebagai wakil rakyat dengan melawat dan bertemu penduduk di kawasannya.

Sebagai penyokong kerajaan, sudah pasti Azalina kini tidak sabar untuk menghadiri sidang Parlimen pada Jun ini.

Kita akan dapat menyaksikan bagaimana Azalina perform sebagai Ahli Parlimen berbanding sebelum ini sebagai Menteri Belia dan Sukan, selain Menteri Pelancongan.

Sunday, May 24, 2009

TOK PA YAKIN UMNO MELANTUN SEMULA

(Sembang Ahad)

Tahniah ‘Abang Pi” dan Dali.

Juga tahniah kepada Mohd Yassin Mohd Saad, Setiausaha Kerja Badan Perhubungan UMNO yang baru menggantikan Idris Mohamood.

Anda semua yang mendapat kepercayaan Pengerusi Perhubungan UMNO Kelantan yang baru perlu melaksanakan tanggungjawab dengan penuh keyakinan bahawa UMNO Kelantan akan melantun semula.
Pengerusi Badan Perhubungan Umno Kelantan Datuk Mustapa Mohamed semalam melantik Datuk Hanafi Mamat dan Dali Hussin yang merupakan muka baru ke jawatan penting dalam Badan Perhubungan Umno Kelantan.
Mustapa, yang mempengerusikan mesyuarat Biro Politik Umno negeri di Bangunan Umno berkata, pelantikan itu diyakini mampu memberi imej baru kepada Umno negeri dan berharap parti itu akan diterima semula oleh rakyat Kelantan.

Usaha Mustapa membawa imej baru diharapkan mampu untuk mengubah persepsi rakyat Kelantan seperti dibuktikan oleh beliau pada pilihan raya umum 2004 lalu.

Walaupun PAS dapat membentuk kerajaan negeri setelah menang tipis pada pilihan raya umum ke-10 Mac 2004 iaitu 24 daripada 45 kerusi yang dipertandingkan, ia kemudian berubah menjadi 23 sahaja apabila BN menang pada pilihan raya kecil Pengkalan Pasir pada November 2005.

Dengan kedudukan 22-23, UMNO Kelantan cuba membina imejnya melalui Tan Sri Annuar Musa sebagai Pengerusi Perhubungan tetapi gagal diakibatkan banyak faktor – yang nyata terhakisnya keyakinan rakyat kepada Barisan Nasional secara menyeluruh di seluruh negara.
Kini UMNO ada enam kerusi sahaja dan imej serta persepsi buruk terhadap UMNO dan BN perlu dipulihkan segera.

Mereka ialah Datuk Alwi Che Ahmad (Kok Lanas), Datuk Noor Zahidi Omar (Tumpat), Abdul Aziz Derashid (Kuala Balah), Datuk Nozula Mat Diah (Paloh), Mohd Adham Kechik (Bukit Bunga) dan Mat Yusof Abdul Ghani (Nenggiri).

Mampukah Mustapa, BN dan UMNO diterima semula?

Hakikatnya, pada pilihan raya umum ke 12 lalu, pemimpin UMNO Kelantan, khususnya calon Menteri Besar BN, Datuk Dr Awang Adek Hussein yang kali terus mendapat kepercayaan menjadi Timbalan Pengerusi Perhubungan, mengharapkan kemenangan BN berharap membentuk kerajaan negeri selepas pilihan raya umum 8 Mac 2008 dengan hasrat bukan sahaja memudahkan pentadbiran melaksanakan pembangunan.

Kemenangan juga akan membolehkan kerajaan Pusat memperkenalkan geran tahunan sebanyak RM400 juta yang diperuntukkan kepada kerajaan Kelantan sekarang akan ditambah kepada RM1 bilion sekiranya.

Dr Awang yang ketika itu juga Timbalan Menteri Kewangan, berkata tujuan kerajaan pusat itu bagi membolehkan lebih banyak projek pembangunan dilaksanakan di negeri ini berikutan kegagalan PAS berbuat begitu dalam tempoh 18 tahun memerintah Kelantan.

Dengan kegagalan UMNO mempertahankan pencapaiannya pada 2004, Mustapa perlu melakukan ‘segala-galanya sekali lagi’.
Dengan sokongan orang kepercayaannya kali ini – termasuk Idris sebagai pegawai khasnya di Pejabat UMNO Kelantan, Mustapa berharap UMNO bangkit kembali.
Jelas mereka yang dipilih bukan pemimpin sembarangan.

Hanafi ialah Ketua Umno Bahagian Pasir Mas dilantik sebagai Bendahari Umno manakala Dali, Ketua Umno Bahagian Pengkalan Chepa dilantik sebagai Ketua Penerangan Umno negeri.
Dali juga bekas Ketua Pemuda UMNO Negeri. Kedua-dua mereka adalah calon BN yang kalah pada pilihan raya umum 2008 lalu.

Hanafi gagal mempertahankan kerusi DUN Pengkalan Pasir sementara Dali kalah di DUN Panchor.

Hanafi menggantikan Datuk Noor Zahidi Omar yang kini dilantik sebagai Setiausaha Umno Kelantan manakala Dali menggantikan Datuk Md Alwi Che Ahmad yang kini Setiausaha Barisan Nasional negeri.

Noor Zahidi pula adalah Adun Pengkalan Kubor yang juga Ketua Umno Bahagian Tumpat manakala Md Alwi ialah Adun Kok Lanas dan ketua pembangkang di DUN Kelantan.
Sebelum ini jawatan Setiausaha Umno Kelantan dipegang Ketua Umno Bahagian Kuala Krai Datuk Ramzi Abdul Rahman.

Saturday, May 23, 2009

PENANTI – MEDAN MENDEDAHKAN PERILAKU PKR/ANWAR?

Pilihan raya kecil di pilihan raya kecil Dewan Undangan Negeri Penanti akan menjadi medan untuk menyerang dan mendedahkan perilaku PKR dan Datuk Seri Anwar Ibrahim?
Belum apa-apa sudah ada cubaan merasuah calon bebas oleh PKR. Itu satu dakwaan, jika tidak benar nafikanlah.

Jangan pula main saman-saman. Ni cerita sedap ni.

Calon bebas Aminah Abdullah berkata beliau akan mendedahkan bukti bahawa Parti Keadilan Rakyat (PKR) cuba menawarkan ganjaran kepadanya supaya menarik diri daripada bertanding pada pilihan raya kecil Dewan Undangan Negeri (DUN) Penanti, 31 Mei ini.

DUN PENANTI














Jumlah pusat mengundi: 9 buah dengan 32 saluran

Jumlah petugas: 242 orang
Jumlah pemilih berdaftar: 15,384 orang (15,360 pemilih biasa dan 24 pemilih pos)
Pecahan pengundi mengikut kaum: Melayu (72.68%), Cina (24.22%), India (2.39%) dan lain-lain (0.71%)

Aminah, 57, tidak menolak kemungkinan akan membuat laporan kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) berhubung perkara itu.

Beliau yang merupakan bekas Ketua Wanita Parti Keadilan Nasional (KeAdilan) Pulau Pinang turut menafikan beliau ditaja oleh Umno untuk bertanding.

“Saya akan bongkar dengan memberi bukti yang PKR ada menawarkan rasuah terhadap saya selepas saya mengumumkan untuk bertanding pada pilihan raya ini,” katanya selepas proses penamaan calon di Pusat Penamaan Calon di Institut Kemahiran Belia Negara (IKBN) hari ini.
Aminah yang akan menggunakan simbol kunci pada pilihan raya kecil ini berkata baginya simbol itu adalah sesuatu yang simbolik kerana ia melambangkan kunci kepada pendedahan kepincangan pakatan pembangkang.

Selain Aminah tiga calon lain ialah calon PKR, Timbalan Pengerusi Perhubungan Parti Keadilan Rakyat (PKR) Pulau Pinang, Mansor Othman, 56; Nai Khan Ari,41 (simbol Wau) dan Kamarul Ramizu Idris(bekas calon bebas yang bertanding di Bukit Gantang), 42 (Payung).

Semua calon kini boleh berkempen sehingga jam 12 tengah malam, 30 Mei nanti.
Di pihak Barisan Nasional (BN), Pengerusi BN, Datuk Seri Najib Razak sudah menegaskan BN tiada kaitan dengan pilihan raya kecil Dewan Undangan Negeri (DUN) Penanti di Pulau Pinang pada 31 Mei ini.

Selain itu, BN tidak akan menghantar sesiapa berkempen pada pilihan raya berkenaan.

Jelas Penanti adalah ujian sebenar untuk PKR. Sebarang kekurangan – kalah atau menurun undi untuk parti itu – akan memberikan kedudukan sebenar pengaruh PKR di Pulau Pinang.
Lebih penting Dewan Undangan Negeri (DUN) berkenaan adalah dalam Parlimen Permatang Pauh yang diwakili Ketua Pembangkang yang juga Penasihat PKR sendiri.

Pilihan raya kecil itu diadakan berikutan penyandangnya, Mohammad Fairus Khairuddin dari PKR meletakkan jawatan sebagai Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Penanti 16 April lalu.
Pada pilihan raya umum Mac 2008, Mohamad Fairus memenangi kerusi tersebut dengan 7,346 undi menewaskan calon BN, Datuk Abdul Jalil Abdul Majid dengan majoriti 2,219 undi.

Daftar Pemilih yang akan digunakan SPR pada pilihan raya ini ialah Daftar Pemilih Induk (DPI) tahun lepas yang dikemas kini sehingga 16 April lalu, yang mengandungi 15,384 pemilih berdaftar yang terdiri daripada 15,360 pemilih biasa dan 24 pemilih pos.

Daripada jumlah itu, 72.68 peratus adalah pengundi Melayu, 24.22 peratus Cina, 2.39 peratus India dan 0.71 peratus lain-lain kaum.

Kehangatan dan kemeriahan pilihan raya kecil kali ini kurang dirasakan memandangkan Barisan Nasional (BN) pada Isnin lepas mengumumkan tidak bertanding bagi merebut kerusi berkenaan.

Proses penamaan calon pilihan raya kecil kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Penanti di Pulau Pinang bermula pukul 9 pagi tadi dalam suasana "tidak semeriah" berbanding lima pilihan raya kecil sebelum ini.

Sesi penamaan calon dibuka tepat pukul 9 pagi dan berlangsung selama sejam dan diikuti sesi bantahan, juga selama sejam.

Hasil pilihan raya kecil ini kelak akan menjelaskan dengan tepat kenapa PKR masih popular atau berkurangan, selain isu-isu yang akan ditimbulkan ialah sekitar perkhidmatan PKR di Penanti dan Permatang Pauh amnya.

Rakyat akan dapat menilai apabila tiada Barisan Nasional (BN) tidak bertanding, isu-isu akan lebih melingkungi PKR dan performancenya sejauh ini.

Tekanan sebenar adalah kepada Anwar yang selama ini begitu ‘bergaya’ memburukkan BN dan UMNO tetapi kali ini beliau ‘dengan penuh gaya perlu mempertahankan PKR’ yang terbukti semakin tertekan.

Dengan kesungguhan Aminah untuk ‘mendedahkan’ apa juga keburukan dan ‘warna sebenar’ PKR. Anwar akan berdepan dengan seribu satu cabaran untuk digalasnya.

Apakah PAS berusaha melindungi dan mempertahankan rakannya kalaupun didedahkan pelbagai kegiatan rasuah dan salah laku dilakukan oleh pemimpin PKR?

Apakah Naib Presiden PAS, Datuk Husam Musa akan sekali lagi ke Permatang Pauh untuk berkempen di Penanti?

Apakah beliau ke sana untuk ‘bertahan’ atau ‘menyerang’?

PERAK – NIZAR TETAP CABAR KEPUTUSAN SULTAN AZLAN

Sah sudah Sultan Perak Sultan Azlan Shah membuat keputusan yang betul berhubung pelantikan Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir sebagai Menteri Besar yang baru berdasarkan Perkara 16(2) Undang-undang Tubuh Negeri Perak.

I a dibuat selepas baginda berpuas hati bahawa Dr Zambry mempunyai sokongan majoriti Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN).
Selain itu tiada syarat mandatori dalam Undang-undang Tubuh Negeri Perak bahawa undi tidak percaya terhadap Nizar mesti dilakukan dalam Dewan Undangan Negeri dan ia boleh diperoleh atau ditentukan dengan cara lain.
Kini dua kali sudah keputusan Sultan Perak itu diakui betul. Kali pertama ialah pada 12 Mei 2009 lalu apabila Mahkamah Tinggi memutuskan supaya keputusan mengesahkan Datuk Seri Mohammad Nizar Jamaluddin diubah dan keputusan terhadap Dr Zamri ditangguhkan.
Bagaimanapun, Nizar tetap akanmempertikaikan keputusan itu dengan mengemukakan rayuan terhadap keputusan Mahkamah Rayuan semalam yang mengisytiharkan Dr Zambry sebagai Menteri Besar yang sah.

Sekali melawan, Nizar akan tetap melawan, biarpun ia terpaksa mencabar keputusan Sultannya sendiri.

Kini pasti sudah bukan sahaja keputusan Sultan Azlan akan dicabar tetapi episod siapa Menteri Perak yang sah nampak gayanya belum berakhir!

Kerajaan Perak akan terus berada dalam limbo dan kedudukan ini tidak baik untuk kerajaan negeri dalam konteks mendapatkan pelaburan dan keputusan-keputusan tertentu mengenai pembangunan.

Kesan pertelingkahan ini akan memberikan kerugian kepada rakyat namun kerana Nizar mahu mencabar terus, soal rakyat ini sudah tidak penting baginya.

Peguam yang mewakili Nizar, Sulaiman Abdullah berkata, pihaknya akan mengemukakan notis usul memohon kebenaran untuk memfailkan rayuan di Mahkamah Persekutuan pada Isnin ini terhadap keputusan Mahkamah Rayuan.

Sulaiman memohon kepada mahkamah untuk mendapatkan penghakiman bertulis bagi tujuan rayuan di Mahkamah Persekutuan.

Kami menghargai jika mahkamah dapat memberikan penghakiman bertulis secepat mungkin," katanya.

Bila beliau akan mengemukakan rayuan belum dipastikan.
Keputusan yang diumumkan panel tiga hakim - pukul 3.50 petang semalam – membabitkan Hakim Datuk Md Raus Shariff, Hakim Datuk Zainun Ali dan Hakim Datuk Ahmad Maarop sekali gus mengetepikan keputusan Mahkamah Tinggi 11 Mei lalu yang memihak kepada Nizar.

Hakim mahkamah tinggi Datuk Abdul Aziz Abd Rahim pada 11 Mei itu memutuskan bahawa wakil rakyat PAS itu tidak pernah mengosongkan jawatannya itu kerana beliau tidak kehilangan kepercayaan majoriti anggota DUN Perak.

Dalam kes ini, Abdul Aziz berkata tiada undi tidak percaya telah diusulkan terhadap Mohamad Nizar.

Tetapi kegembiraan menteri besar Pakatan Rakyat itu tidak kekal apabila Mahkamah Rayuan keesokannya (12 Mei 2009) membenarkan permohonan Dr Zambry untuk menangguhkan keputusan mahkamah tersebut.

Penangguhan keputusan mahkamah itu diberikan sementara menunggu selesai rayuan berhubung perkara tersebut semalam.

Hakim Md Raus berkata, beliau akan mengusahakan penghakiman bertulis itu dalam masa seminggu.

Panel tiga hakim itu mengisytiharkan Dr Zambry sebagai Menteri Besar Perak yang sah setelah mendapati Hakim Mahkamah Tinggi telah terkhilaf dalam membuat interpretasi yang relevan dalam Undang-undang Tubuh Negeri Perak.