Showing posts with label Sultan. Show all posts
Showing posts with label Sultan. Show all posts

Tuesday, January 8, 2013

SELANGOR LARANG AGAMA BUKAN ISLAM GUNA KALIMAH ALLAH

"Sultan Selangor telah membuat ketetapan dan menitahkan dengan tegas bahawa kalimah ALLAH yang merupakan kalimah suci khusus bagi umat Islam tidak boleh sama sekali digunakan di Negeri Selangor oleh mana-mana agama bukan Islam yang Iain sebagaimana yang telah difatwa dan diwartakan pada 18 Februari 2010." 
- Setiausaha Majlis Agama Islam Selangor, Datuk Mohd Misri Idris

Kini seorang Sultan, iaitu Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah sudah menyatakan terkejut dan kesal dengan pendirian Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng yang lebih dua minggu lalu meminta agar kerajaan membenarkan kalimah ALLAH digunakan dalam Bible berbahasa Melayu.

Lebih terkejut, tiga ulamak pakatan pembangkang, Hadi, Kit Siang dan Anwar Ibrahim mengatakan Kalimah ALLAH itu boleh digunakan!

Kita tidak tahu selepas ini giliran Sultan yang mana pula akan menyatakan pendirian mengenai perkara ini. Sebagai 'pelindung agama Islam' rasanya Sultan wajar membuat pendirian.

Di pihak pakatan pembangkang, mereka begitu gembiran kerana - Majlis Pimpinan Pakatan Rakyat (PR) - mencapai pendirian bahawa penggunaan kalimah ALLAH boleh digunakan oleh penganut Kristian dengan syarat ia tidak disalahgunakan.

Siapa buat keputusan?  Keputusan pakatan pembangkang itu diumumkan selepas mesyuarat pemimpin tertinggi pakatan pembangkang yang dihadiri Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang; Penasihat DAP, Lim Kit Siang dan Ketua Umum PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim semalam. 

Hadi berkata, Pas berpendirian konsisten seperti yang pernah dikeluarkan pada 4 Januari 2010 lalu di mana kalimah ALLAH adalah tidak boleh diterjemahkan ke dalam mana-mana bahasa secara tepat.

"Walau bagaimanapun, Islam tidak menghalang penganut agama lain menggunakan kalimah ALLAH dalam amalan mereka walaupun tidak mencapai maksud asal bahasa al-Quran," katanya.

Semalam, di sebalik percanggahan pendapat mengenai isu kalimah ALLAH, Mursyidul Am Pas, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat berpendapat sepatutnya orang bukan Islam diberi ruang menggunakannya.

Menurutnya, ruang tersebut boleh diberikan namun beliau menegaskan penggunaan kalimah ALLAH oleh bukan Islam adalah berdasarkan ketetapan tertentu.

Dalam satu kenyataan dikeluarkan hari ini, Setiausaha Majlis Agama Islam Selangor, Datuk Mohd Misri Idris berkata: "Sultan Selangor telah membuat ketetapan dan menitahkan dengan tegas bahawa kalimah ALLAH yang merupakan kalimah suci khusus bagi umat Islam tidak boleh sama sekali digunakan di Negeri Selangor oleh mana-mana agama bukan Islam yang Iain sebagaimana yang telah difatwa dan diwartakan pada 18 Februari 2010."

Berikutan kenyataan dan gesaan tersebut, Sultan Selangor telah memanggil satu mesyuarat khas dengan beberapa orang ahli Mais, Mufti Selangor serta pegawai tertìnggi Mais dan Jabatan Agama Islam Selangor kelmarin

Sultan Selangor juga menitahkan Mais dan Jais untuk mengambil tindakan tegas terhadap mana-mana pihak sama ada orang bukan Islam atau di kalangan orang Islam sekali pun yang masih mempersoal atau memperlekehkan fatwa yang telah dikeluarkan mengikut peruntukan undang-undang yang sedia ada di negeri itu.

Polemik penggunaan kalimah ALLAH timbul kembali apabila Guan Eng dalam perutusan Krismasnya pada 24 Disember lalu meminta kerajaan membenarkan penggunaan kalimah ALLAH dalam Bible Bahasa Melayu memandangkan ia telah dibenarkan di Sabah dan Sarawak sejak 50 tahun lalu dan diguna pakai di Timur Tengah hampir 1,000 tahun lalu.

Menurut Mohd Misri, di Selangor terdapat undang-undang yang telah digubal oleh Dewan Undangan Negeri pada April 1988 dan dikuatkuasakan pada Julai 1988 berkaitan pengawalan penggunaan kalimah ALLAH iaitu Enakmen Ugama Bukan Islam (Kawalan Perkembangan Di Kalangan Orang Islam) 1988.

Enakmen ini telah diwujudkan selaras dengan Perkara 11(4) Perlembagaan Persekutuan. Katanya, Seksyen 9 enakmen berkenaan telah dengan jelas melarang kalimah ALLAH dari digunakan oleh orang bukan Islam di dalam apa-apa perkara yang berkaitan dengan agama mereka.

Mohd Misri juga berkata Sultan Selangor juga menitahkan agar orang bukan Islam supaya tidak mencampuri urusan agama Islam bagi mengelakkan permusuhan dan salah faham di kalangan kaum negara ini.

"Selanjutnya DYMM Tuanku menitahkan bahawa mana-mana pihak adalah ditegah dan dilarang sama sekali dari menggunakan atau memperalatkan agam Islam sebagai modal politik mereka kerana ia akan mengakibatkan kemusnahan kepada keamanan yang dikecapi oleh rakyat pelbagai agama di negara ini," kata beliau.

Thursday, January 6, 2011

ABDUL HADI ANGGAP SULTAN SELANGOR TIDAK BERTAMADUN?

"SPA mencalonkan tiga nama dan dipersembah kepada Ketua Eksekutif Selangor, iaitu Sultan Selangor yang termaktub di bawah undang-undang Perkara 50 yang menyatakan 'the executive authority of the state shall be the Royal Highness'...Jadi, sebagai ketua eksekutif negeri, SPA yang mahu melantik SUK yang baru secara konvensyen menyerahkan nama calon untuk Sultan Selangor memperkenannya.

Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah Tidak Bertamadun?

Ini benar jika berasaskan analogi Datuk Seri Hadi Awang.

Menurut Hadi, pelantikan Setiausaha Kerajaan Negeri Selangor yang dipersetujui Sultan Selangor itu dibuat secara tidak bertamadun dan merupakan cubaan Umno BN merampas kerajaan Selangor.

Hadi menyalahkan UMNO dan kerajaan Barisan Nasional (BN) di atas pelantikan itu sambil menganggap caranya ‘tidak bertamadun’.

Tetapi sedarkah Hadi mengenai proses pelantikan di Selangor itu?

Amat jelas bahawa Sultan Selangor hari ini bertitah bahawa pelantikan Mohammed Khusrin adalah sah mengikut peraturan serta prosedur yang ditetapkan oleh Undang-undang Tubuh Kerajaan Selangor dan Perlembagaan Persekutuan.

Sultan Sharafuddin menitahkan agar pelantikan Setiausaha Kerajaan Negeri ini tidak terus diperbesarkan, dipolitikkan dan disensasikan sehingga menimbulkan kekeliruan di kalangan rakyat.
Baginda kesal dengan tindakan beberapa pihak yang memanipulasikan titah baginda berhubung isu pelantikan Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Mohammed Khusrin Munawi.
Terang lagi bersuluh bahawa Sultan Selangor murka apabila titah Baginda diputar belit dan menganggap pelantikan SUK itu sah.

Dalam nada tegas baginda bertitah:”Pada hari ini beta merasa amat terharu dan kesal kerana banya titah beta yang telah dimanipulasikan oleh pihak-pihak yang tidak bertanggungjawab dan telah mengelirukan ramai rakyat beta di negeri Selangor ini."

Titah baginda itu dibuat pada Majlis Pengurniaan Darjah Kebesaran Selangor dan pelantikan pegawai kerajaan negeri di Istana Kayangan di Shah Alam , hari ini.

Sultan Sharafuddin juga bertitah bahawa baginda pernah menyatakan kepada Exco Selangor pada Majlis Santapan Sembah kasih sempena ulang tahun keputeraan baginda ke-65 pada 5 Disember lalu bahawa baginda tidak berpihak kepada mana-mana parti politik.

"Hasrat beta adalah untuk melihat negeri Selangor yang beta kasihi ini sentiasa dalam aman dan rakyatnya tidak kira apa bangsa dan agama hidup dalam harmoni dan sentiasa tolong menolong, bantu-membantu dan bekerjasama antara satu sama lain," titah baginda.

"Justeru beta menyeru dan menasihatkan supaya janganlah tiap-tiap perkara itu dipolitikkan kerana ianya akan membebankan rakyat dan melambatkan proses kemajuan," titah baginda.

Dalam pada itu baginda turut menitahkan supaya seluruh pegawai kerajaan Selangor memberikan kerjasama yang baik kepada Mohammed Khusrin agar urusan pentadbiran kerajaan negeri berjalan dengan lancar. Beta juga menitahkan supaya Setiausaha Kerajaan Negeri Selangor melaksanakan dasar kerajaan yang memerintah mengikut undang-undang dan peraturan semasa," titah baginda.

Dalam kenyataan kepada Harakahdaily pada 6 Januari 2010 (semalam) , beliau berkata:

"Kita semua menyedari bahawa Umno BN tidak pernah menghormati undang-undang yang mereka sendiri gubal, sehingga mereka sanggup melanggarnya demi kepentingan politik sempit mereka.

"Kerajaan Umno BN ini berusaha untuk merampas kerajaan Selangor dengan menggunakan peruntukan pentadbiran bagi mewujudkan suasana keresahan dalam pentadbiran kerajaan, semuanya dengan cara yang tidak bertamadun dan di luar batas demokrasi," katanya.

Beliau mengulas isu pelantikan Datuk Khusrin Munawi sebagai SUK Selangor yang baru yang ditentang kerajaan Pakatan Rakyat Selangor kerana didakwa membelakangkan Undang-undang Tubuh Kerajaan Negeri.

Isunya ialah kenapakah Hadi mengaitkan isu pelantikan Khusrin ini dengan UMNO? Tidak bolehkah jika setiap keputusan kerajaan Pusat itu tidak dikaitkan dengan politik?

Isunya, apakah UMNO yang melantik Khusrin?

Hadi dengan lantang mengatakan: "Mereka sepatutnya mengambilkira budi bicara dalam membuat pelantikan, dengan memahami hasrat serta kehendak kerajaan negeri Selangor ini khususnya dalam pelantikan SUK. Sikap melawan kehendak pentadbiran kerajaan Selangor ini dilihat suatu tekanan dan berlaku akibat dari fahaman salah konsep federalisma yang dianut oleh kerajaan pusat pimpinan Umno BN," tambahnya lagi.

Beliau turut mengingatkan bahawa usaha pencabulan konsep federalisma oleh Umno BN ini, hanya akan mengakibatkan berlakunya kebangkitan luar biasa rakyat di peringkat nasional. Umno katanya, menggunakan teknik yang sama yang mereka telah lakukan di negeri Perak dengan menjadikan rakyat sebagai pertaruhannya.

Pusat tegasnya, perlu menghormati kerajaan negeri yang telah dipilih rakyat, termasuk dalam membuat pelantikan perkhidmatan awam.

Apakah Hadi tidak faham bahawa pelantikan Khusrin Munawi oleh Suruhanjaya Perkhidmatan Awam itu memang haknya mengikut Undang-undang Tubuh Negeri Selangor?

Pengamal undang-undang Datuk Salehuddin Saidin, berkata undang-undang itu, selain tidak menyatakan pelantikan tersebut perlu dirujuk kepada Menteri Besar, Fasal 1 dan 2 Perkara 52 mensyaratkan ia mesti dilakukan oleh suruhanjaya perkhidmatan yang relevan, beragama Islam dan berbangsa Melayu.

Bekas Ketua Unit Pendakwaan Selangor itu berkata, dalam situasi negeri Selangor, Suruhanjaya Perkhidmatan Awam (SPA) berhak membuat pelantikan kerana jawatan Setiausaha Kerajaan Negeri datang daripada waran kerajaan Persekutuan iaitu jawatan Pegawai Tadbir dan Diplomatik, Jawatan Utama Sektor Awam (JUSA) A.

"Jadi, yang relevan ialah SPA. Walaupun tidak dinafikan wujudnya SuruhanjayaPerkhidmatan Awam Negeri, namun ia bukan suruhanjaya yang relevan dalam pelantikan ini. Jadi, suruhanjaya negeri tak boleh meletak pegawai dari perkhidmatan mereka untuk jawatan SUK itu.

"Jadi, apa yang berlaku ialah SPA mencalonkan tiga nama dan dipersembah kepada Ketua Eksekutif Selangor, iaitu Sultan Selangor yang termaktub di bawah undang-undang Perkara 50 yang menyatakan 'the executive authority of the state shall be the Royal Highness'." katanya pada satu sidang akhbar di Shah Alam hari ini.

Salehuddin berkata Sultan Selangor juga dinasihati Penasihat Undang-undang Negeri bagi mematuhi prosedur lantikan berkenaan.

Amat jelas memang pelaksanaannya (eksekutif) terletak kepada Menteri Besar dan exco sebagai eksekutif pentadbiran, tetapi kuasa eksekutif asalnya datang dari Sultan.

Jadi, sebagai ketua eksekutif negeri, SPA yang mahu melantik SUK yang baru secara konvensyen menyerahkan nama calon untuk Sultan Selangor memperkenannya.

Jadi dengan Abdul Hadi mempersoalkan cara, bukankah ia melibatkan Sultan Selangor?

Dengan mengatakan cara itu tidak bertamadun, apakah langkah yang diambil oleh Sultan Selangor itu tidak bertamadun?

Juga dengan mengaitkannya dengan politik, apakah Hadi berlaku adil dengan Sultan Selangor apabila Baginda menjelaskan bahawa Baginda tidak menyebelahi mana-mana pihak?

Kenapakah dua pemimpin PAS – Hadi dan sebelum ini Musyridul Am PAS, Datuk Nik Aziz Nik Mat – sanggup mempersoalkan keputusan Sultan Selangor.

Jika Nik Aziz mempersoalkan mengenai titah Sultan Selangor terhadap larangan ‘menggunakan masjid untuk tujuan politik”, kali ini Hadi pula terpalit dengan isu pelantikan SUK.

Siapakah kedua-dua pemimpin ini? Apakah mereka bukan Melayu dan Islam yang tertakluk di bawah ‘perlindungan’ Raja-Raja Melayu yang sewenang-wenangnya mengkritik bidang kuasa Raja Melayu?

Monday, May 10, 2010

KE MANA BERAKHIRNYA KEMELUT ISTANA KELANTAN?


Sultan Kelantan, Tuanku Ismail Petra petang semalam sudah berangkat balik ke Istana Mahkotam selepas dimasukkan ke Hospital Universiti Sains Malaysia (HUSM) Kubang Kerian Selasa lalu untuk menjalani pemeriksaan kesihatan.

Tuanku Ismail Petra dibawa pulang ke Istana Mahkota selepas menjalani pemeriksaan kesihatan di Hospital Universiti Sains Malaysia, Kubang Kerian, Kota Bharu semalam. –Gambar Utusan
Namun, kes istana Kelantan semakin rumit dan tidak akan terhenti di sini.

Kepulangan Sultan Kelantan itu sehari sebelum Mahkamah Khas dijadual bersidang hari ini untuk mendengar permohonan habeas corpus yang difailkan oleh Tengku Temenggong Kelantan, Tengku Muhammad Fakhry Petra yang juga putera ketiga baginda bagi pihak Sultan Kelantan supaya baginda dibawa keluar dari hospital itu.

Permohonan ini akan mula didengar di Mahkamah Khas di Putrajaya Isnin ini, dengan diketuai oleh Ketua Hakim Negara, Tun Zaki Azmi.

Peguam Gobind Singh Deo mengesahkan kepulangan Sultan Kelantan itu semalam dan berkata beliau akan berbincang dengan pasangan diraja itu sebelum memutuskan tindakan udang-undang selanjutnya.

Gobind adalah salah seorang daripada enam peguam yang memfailkan writ habeas corpus di Mahkamah Khas Putrajaya Jumaat lalu untuk "membebaskan" sultan dan membolehkan baginda mendapatkan rawatan perubatan pilihannya.

Gobind menafikan laporan media bahawa Sultan Kelantan dalam keadaan kurang upaya.Setahu kami baginda masih sedar, waras dan mengetahui apa yang berlaku,” kata Gobind.

Kemelut istana Kelantan kini semakin bercelaru apabila ada tuduhan kononnya Perempuan Kelantan, Tengku Anis Tengku Abdul Hamid didakwa menggunakan bomoh untuk 'merawat' Sultan Kelantan - Tuanku Ismail Petra Tuanku Yahya Petra.

Keraguan ini timbul apabila "barang-barang yang diragui dari segi hukumnya" ditemui dekat baginda ketika dirawat di Singapura.

Tengku Rozan Almarhum Sultan Yahya Petra (kanan dalam foto) mendakwa semalam ada sebab-sebab untuk mempercayai bahawa Raja Perempuan telah menggunakan bomoh untuk 'merawat' sultan dengan "barang-barang yang diragui dari segi hukumnya" ditemui dekat baginda di Singapura.

Beliau menyatakan demikian bercakap dalam satu sidang akhbar di Rumah Kelantan di ibunegara semalam bersama adiknya Tengku Salwani Almarhum Sultan Yahya Petra (kanan dalam foto).

Laporan Malaysiakini menyebut, kedua-dua mereka mendakwa bahawa Raja Perempuan, Tengku Anis yang mengawal ketat sultan.

Mereka mendakwa, Tengku Anis yang mengawal siapa yang boleh menziarahi sultan, dan polis, doktor serta kakitangan hospital menjadi sasaran gangguan pembantunya.

Rabu lalu, Tengku Anis mendakwa beliau terpaksa 'mendapatkan perlindungan' di Hospital Universiti Sains Malaysia (HUSM) Kubang Kerian, malam Selasa lalu kerana kuathir ditangkap polis dan supaya berada di samping suaminya.

Menurut laporan The Malay Mail, Tengku Anis juga mendakwa Sultan Kelantan ditahan tanpa kerelaan baginda dan polis mengabaikan perintah baginda supaya dibawa ke istana.

Akhbar The Malay Mail memetik Tengku Anis sebagai berkata “polis mengheretnya seperti lembu” dalam usaha memaksanya ke balai polis.

Bagaimanapun, petang semalam Tengku Anis menemani Sultan Kelantan yang memakai baju batik berwarna coklat muda berangkat kira-kira pukul 5 petang dengan kawalan ketat polis dan tiba di Istana Mahkota 10 minit kemudian.

Tuanku Ismail Petra kelihatan berada dalam keadaan sihat ketika disorong dengan kerusi roda menaiki kenderaan pelbagai guna (MPV) Toyota Alphard.

Pengelola Istana Diraja Kelantan, Datuk Abdul Hamid Hamad berkata, Pemangku Raja, Tengku Muhammad Faris Petra telah memperkenankan supaya ayahanda baginda dibawa pulang ke Istana Mahkota.

Juga menarik ialah apabila doktor peribadi Sultan Kelantan, Dr Amir Ramli menegaskan, penilaian tahap kesihatan Sultan Kelantan, Tuanku Ismail Petra yang dilakukan oleh panel perubatan dikuatiri tidak tepat kerana ia dijalankan dalam keadaan tertekan.

Beliau mempertikaikan kewibawaan 10 pakar perubatan yang menggotai panel itu berkata, ini kerana pemeriksaan berkenaan dilakukan secara mengejut selepas beberapa insiden yang berlaku sejak Selasa lalu.

Panel terdiri 10 pakar perubatan dilantik Kerajaan Negeri Kelantan dengan perkenan Pemangku Raja, Tengku Muhammad Faris Petra buat pertama kali berpeluang melakukan pemeriksaan kelmarin terhadap kesihatan Sultan Kelantan sejak dibawa pulang ke negeri ini pada 4 Mac lalu.
"Pemeriksaan yang dibuat secara mengejut itu tidak kena pada masanya ketika baginda masih berada dalam trauma.

"Dari segi etika memang tidak boleh buat laporan perubatan tanpa kerelaan dan keadaan pesakit yang tertekan, saya dapat tahu baginda tidak dapat rehat yang cukup sejak dua tiga hari lalu," kata Dr Ramli.

Selain itu Dr. Amir yang juga pakar perubatan dalaman berkata, beliau tidak menolak kemungkinan pada masa ini tahap kesihatan Sultan Kelantan semakin menurun jika dibandingkan sebelum ini iaitu sejak pulang pulang menjalani rawatan di Singapura.

"Sebelum ini Tuanku okay, rasional, sentiasa senyum dan gelak.

"Sekarang pasukan pakar perubatan di Istana Mahkota mengajar tuanku untuk bangun dan berjalan, boleh saya katakan perubahan dalam peringkat 80 peratus," kata doktor peribadi Sultan Kelantan sejak baginda pulang dari Hospital Mount Elizabeth.

Menurut Dr. Amir, sebelum Sultan Kelantan dirawat di HUSM, seramai tujuh pakar perubatan menjalankan pemantauan kesihatan baginda.

Jelas beliau, empat daripada mereka ialah pakar dari Hospital Raja Perempuan Zainab II (HPRZ II) manakala selebihnya daripada Kuala Lumpur.

"Pemeriksaan pakar-pakar itu dilakukan seminggu sekali tetapi dalam keadaan kes-kes tertentu mereka akan dihubungi pada bila-bila masa.

"Bukan itu sahaja, pakar terbabit juga dibantu oleh lapan orang doktor perubatan lain yang bertugas secara bergilir selama 24 jam di Istana Mahkota, malah sebuah ambulan disediakan oleh HRPZ II" katanya.

Katanya lagi, rawatan yang dilakukan di Istana Mahkota adalah lebih baik dan tersusun jika dibandingkan dengan HUSM.

"Ia dilakukan dalam persekitaran yang relaks dan tenteram, ia lebih baik untuk proses penyembuhan Tuanku," katanya.

Jumaat lalu, Sultan Kelantan memfailkan satu writ habeas corpus berhubung penahanan yang didakwa dialami oleh baginda. Ia difailkan pada kira-kira jam 11.45 pagi ini melalui enam peguam mewakili baginda.

Permohonan itu merupakan kes pertama seumpamanya yang akan didengar di Mahkamah Khas sejak ditubuhkan pada 1993.

Raja Aziz Addruse yang mengetuai barisan peguam berkenaan berkata, permohonan hanya dapat difailkan setelah mereka berjaya mendapatkan arahan daripada ahli keluarga diraja itu.
Lima pihak yang dinamakan sebagai responden dalam permohonan itu termasuk Ketua Polis Kelantan, Ketua Polis Negara, Ketua Pengarah HUSM Kubang Kerian.

Juga dinamakan ialah Ketua Pengarah Kesihatan (Kementerian Kesihatan Malaysia) dan juga Kerajaan Malaysia.

Sehubungan itu, kerajaan juga dituntut supaya membuat penjelasan berhubung layanan yang diberikan ke atas Sultan Kelantan yang didakwa telah dinafikan hak dan kebebasannya.
Ditanya sama ada Pemangku Raja,Tengku Muhammad Faris Petra akan dinamakan sebagai reponden, peguam kanan Raja Aziz Addruze menolaknya dan menuding tanggungjawab itu ke atas kerajaan persekutuan dan polis, beliau berkata: "Bagi kami, Pemangku Raja tidak relevan dalam perkara ini.

Pihak yang aktif adalah polis dan kerajaan persekutuan - mereka adalah pihak yang menghalang sultan,” katanya.

Peguam Param Cumaraswamy, yang juga hadir pada sidang media itu berkata kerajaan persekutuan perlu menjawab banyak soalan.

Pada sidang media sama, seorang lagi peguam, Datuk Param Cumaraswamy berkata pihak polis perlu membuat penjelasan segera dalam isu melibatkan penahanan baginda tuanku.

"Kedua-dua ketua polis negeri Kelantan dan ketua polis negara ada banyak penjelasan yang perlu dibuat, mengapa sultan diperlakukan sebegitu rupa. Mereka bertanggungjawab (untuk jelaskan) kepada rakyat dan perlu bertanggungjawab atas segala tindakan yang telah diambil," katanya lagi.

Amat jelas kini kemelut istana Kelantan tidak berkisar dalam istana semata-mata kerana ia kini menjadi kes yang dibicarakan di mahkamah.

Apakah kesan kemelut ini terhadap Kerajaan Persekutuan dan tuduhan bahawa Tengku Anis turut menjadi punca utama dalam kemelut ini selain perebutan takhta yang belum ada penamatnya?

Saturday, May 8, 2010

APA TINDAKAN LANJUT TERHADAP ‘KEBIADAPAN’ ZAID?

Kalau mengikut pendapat bekas Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Dr Mohamad Khir Toyo, tindakan Datuk Zaid Ibrahim mempertikaikan titah Sultan Selangor, adalah adalah penghinaan kepada Sultan Sharafuddin dan Institusi Kesultanan Selangor.

Katanya, walau apa pun hujahan undang-undang, tindakan mempertikaikan titah sultan adalah tindakan biadab. Mungkin perkataan yang lebih tepat ialah ‘kurang ajar’ kerana Zaid bukan anak negeri Selangor, kata Khir.

Apakah Zaid mempertikaikan daripada sudut sudut undang-undang sebagai ‘langkah pertama’ untuk mempertikaikan titah lain selepas ini?

Apakah ini juga sebagai langkah pertama untuk membolehkan rakyat mempertikaikan perkara-perkara tertentu terhadap institusi raja?

Menurut Zaid, perlembagaan menetapkan Sultan tidak boleh mengeluarkan perintah secara terus, sebaliknya disalurkan melalui Majlis Agama Islam negeri terlebih dahulu dan bermesyuarat sebelum mewartakan keputusan itu sebagai peraturan sah.

Berikutan itu, Zaid berkata, titah Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah yang melarang menjadikan masjid sebagai tempat berkempen politik sebagai pendapat peribadi kerana ia tidak dirujuk kepada Majlis Agama Islam Selangor (Mais).

"Baginda memberikan titah yang berniat ikhlas tetapi mungkin diambil kesempatan pihak tertentu untuk mempolitikkannya.

"Arahan dan pandangan peribadi merupakan dua perkara berbeza dan titah baginda sebelum dan semasa pilihan raya kecil Hulu Selangor baru-baru ini itu adalah pendapat peribadi baginda," katanya dalam posting terbaru blognya, myzaidibrahim.wordpress.com.

Zaid menyifatkan ia bukan sebagai arahan, perintah atau 'decree' kerana dalam sistem Raja Berperlembagaan, sultan tidak boleh mengeluarkan arahan atau perintah seperti zaman Raja-Raja Melaka dahulu.

“Sekurang-kurangnya ia boleh dianggap sebagai nasihat yang baik untuk semua pihak, bukan bagi mana-mana individu atau kumpulan sahaja,” katanya.

Dalam konteks sultan ini, walau sultan mana pun dan walau rakyat negeri mana pun asalkan di Malaysia ini, titah sultan selalunya dilihat dalam konteks menyeluruh – satu Malaysia.

Negara kita adalah sebuah persekutuan dan setiap sultan adalah raja kita – itupun kalau rakyat mencintai dan menjunjung hormat kepada sultan.

Apalagi dalam konteks mempertikaikan titah sultan oleh Zaid adalah sesuatu yang mengejutkan.

Ini kerana menurut Majlis Agama Islam Selangor (Mais) boleh menguatkuasakan undang-undang terhadap mana-mana pihak yang mengingkari dan mempertikai perintah Sultan Sharafuddin Idris Shah.

Tindakan akan diambil mengikut Seksyen 12 Enakmen Jenayah Syariah (Negeri Selangor) 1995 yang membawa hukuman denda RM3,000 atau penjara tidak lebih dua tahun atau kedua-duanya.

Pengerusi Mais, Datuk Mohamad Adzib Mohd Isa berkata, seksyen itu juga memperuntukkan bahawa perintah yang dikeluarkan baginda atau Mais, yang bertujuan menjaga kesucian agama Islam dan institusinya akan berkuat kuasadengan serta-merta tanpa perlu diwartakan.

Kenyataan ini jelas bertentangan dengan apa yang disebut Zaid yang juga Penyelaras Pakatan Rakyat.

Menurutnya, beliau bagi pihak Mais, Mufti Selangor dan Pengarah Jabatan Agama Islam Selangor (Jais), Datuk Mohammed Khusrin Munawi menandatangani titah perintah sultan yang diedarkan kepada pegawai dan Jawatankuasa Kariah Masjid berhubung larangan penggunaan kawasan itu sebagai gelanggang politik yang boleh memecahbelahkan perpaduan.

“Mais amat dukacita atas kenyataan Zaid. Sebagai bekas calon pilihan raya kecil Parlimen Hulu Selangor lalu, beliau sepatutnya lebih peka terhadap undang-undang negeri ini.

“Subfasal 55( 2) (d) Undang-undang Tubuh Kerajaan Negeri Selangor juga ada menyatakan bahawa sultan mempunyai kuasa dan budi bicara sendiri dalam menjalankan fungsinya sebagai Ketua Agama Islam di Negeri Selangor,” katanya

Setiausaha Sulit Sultan Selangor, Datuk Mohamad Munir Bani berkata, perintah Sultan Sharafuddin adalah satu peraturan yang wajib dipatuhi kerana titah tersebut adalah undang-undang yang mengikut prosedur.

:Katanya baginda bukan mengeluarkan pandangan peribadi sebaliknya peraturan larangan tersebut dipersetujui dan ditandatangani Mais.

Menurutnya, di dalam perlembagaan juga menyatakan Raja-Raja Melayu memiliki kuasa mutlak dalam urusan agama Islam dan Adat Melayu di semua negeri dan sempadan pembahagian kuasa yang perlu dipatuhi semua pihak.

“Tuanku bukan memberikan pandangan peribadi sebaliknya titah baginda adalah di bawah penguatkuasaan Seksyen 119 Enakmen Pentadbiran Agama Islam Selangor 2003 iaitu mengajar tanpa tauliah.

“Undang-undang itu bertujuan membendung penyebaran fahaman yang boleh membawa perpecahan di kalangan umat Islam dalam Negeri Selangor,” katanya.
Bagi Zaid pula, persoalan mengenai Mursyidul Am Pas, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat yang dikatakan melanggar arahan Sultan Selangor seperti didakwa Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak tidak timbul sama sekali memandangkan di dalam perlembagaan menyebut, tidak sependapat hanya bererti berbeza pandangan, bukannya ingkar seperti didakwa.

Menurutnya, selain Nik Abdul Aziz ramai lagi yang tidak sependapat dengan pendirian peribadi Sultan termasuklah beberapa perkara sebelum ini seperti di dalam kes bekas model sambilan, Kartika Sari Dewi yang dihukum sebat kerana kesalahan minum arak.

“Sultan Pahang menitahkan supaya Kartika tidak perlu dirotan adalah keputusan yang sah kerana baginda ada kuasa di bawah Enakmen Pentadbiran Agama Islam Negeri untuk berbuat demikian.

“Itu pun ramai yang membantah dan melenting malah, ada yang mengkritik keputusan Sultan Pahang, termasuk dari Persatuan Peguam Syarie Malaysia (PGSM), justeru perbezaan pendapat oleh Nik Abdul Aziz bukanlah satu kesalahan atau perbuatan menghina,” katanya.
Bagi UMNO Selangor, tindakan Zaid itu adalah perbuatan biadap dan mendesak Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim mengkaji semula pelantikan Datuk Zaid Ibrahim sebagai Pengerusi Task Force yang menjaga pembangunan Felda di negeri ini kerana tindakannya yang dianggap tidak berhemah.

Ketua Penerangannya, Abdul Shukur Idrus berkata, beliau kesal dengan kebiadaban Penyelaras Pakatan Rakyat itu dan juga Mursyidul Am Pas, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat yang ingkar arahan Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah.

“Setiap kata-kata tuanku adalah titah yang wajib dituruti. Sebagai negara yang berdaulat dan berperlembagaan, kita seharusnya mentaati perintah Tuanku,” katanya pada sidang media, semalam.

Beliau berkata, Zaid sengaja mengelirukan rakyat kerana mendakwa titah yang dikeluarkan tidak merujuk Majlis Agama Islam Selangor (Mais).

Padahal katanya, perintah itu dikeluarkan secara bersama tiga agensi yang relevan, iaitu Jabatan Agama Islam Selangor (Jais), Mais dan Jabatan Mufti Selangor.

Saturday, May 1, 2010

POLITIK SUKU, AGAMA SUKU AKAN TERUS BERGEMA

Saya penuh yakin ungkapan Datuk Nik Aziz Nik Mat, “politik suku, agama suku” akan terus bergema di masjid-masjid di seluruh Malaysia, bukan sahaja di Selangor - biarpun Nik Aziz sendiri tidak akan berceramah atau berucap dalam masjid di Selangor.

“Politik suku, agama suku” bermakna ajaran yang menekankan kepada pengaruh sekular bahawa politik dan Islam tidak boleh dicampuradukkan adalah slogan yang dijadikan PAS sebagai antara senjata penting menentang UMNO dan Barisan Nasional (BN).

Apabila Nik Aziz mengatakan bahawa hakikat Islam itu adalah merangkumi semua aspek hidup manusia, tidak boleh dipisah-pisahkan sebagaimana amal ibadah ditetapkan peraturannya di dalam Islam, begitulah juga Islam mempunyai aturan hidup di dalam ekonomi, kekeluargaan dan juga tidak ketinggalan aturan politik, seolah-olah UMNO atau pemimpin Islam lain tidak menjiwainya.

Kenyataan Nik Aziz bahawa apabila bercakap Islam di dalam masjid atau surau, tidak boleh tidak, kena menyentuh sama soal politik kerana urusan politik dan pemerintahan di sisi Islam adalah urusan agama seperti juga urusan muamalat, munakahat, keadilan, ekonomi dan sosial serta perundangan bagaikan meletakkan UMNO dan ahli UMNO sebagai tidak faham mengenai Islam.

Ungkapan Nik Aziz ini pastinya akan terus disebut secara lembut melalui ceramah-ceramah agama di masjid-masjid biarpun Sultan Selangor, Sultan Sharifuddin Idris Shah sudah memerintahkan supaya masjid Selangor bebas daripada ceramah politik.

Biarpun ungkapan – politik suku, agama suku - disebut sekali lalu, namun amat jelas pembangkang menggunakan platform masjid untuk menyebarkan pemikiran pemimpin politiknya – Nik Aziz - pada ketika perbuatan itu amat ditegah oleh Sultan Selangor.

Melalui ungkapan sedemikian, PAS cuba memberitahu rakyat Malaysia, termasuk di Selangor bahawa UMNO sebagai parti politik hanya memperjuangkan perkara-perkara berkaitan sekitar politik per se, siasah dan perjuangan dunia semata-mata.

Walaupun UMNO sudah membuktikan ia memperjuang dan meletakkan Islam sebagai agama rasmi dan pelaksanaan Islam melalui pentadbiran di negara ini, bagi PAS ia hanya ‘hampas’.

Biarpun orang Melayu yang menganggotai UMNO itu adalah Islam dan sebagai peneraju dalam Barisan Nasional (BN) yang dulunya Perikatan, PAS tidak mengiktiraf sedemikian.

Bagi PAS, mereka rela bersekongkol dengan parti yang jelas menentang Islam, termasuk menentang perlaksanaan Hudud dan negara Islam daripada UMNO yang jelas berpaksikan perjuangannya kepada Melayu dan Islam.

Pada ketika ceramah agama di masjid dilarang oleh Sultan Selangor dan bertitah dengan mengingatkan sesiapa yang tidak bersetuju dengan peraturan dan undang-undang di negeri Selangor - termasuk larangan berpolitik di masjid serta surau, hendaklah mengelak daripada datang ke Selangor, “politik suku, agama suku’ semalam (Jumaat, 30 April 2010) disebut oleh seorang ustaz yang berceramah sebelum Khutbah Jumaat di Masjid al-Fridaus Bandar Baru Selayang.

Walaupun ceramahnya memperkatakan mengenai ilmu dan harta, penceramah berkenaan mengatakan mereka yang tiada ilmulah yang mengatakan ‘politik suku, agama suku’.

Selain itu, beliau sempat mengaitkan soal-soal rasuah dan sebagainya kerana ketiadaan ilmu di kalangan umat Islam.

Malah menurutnya, ‘politik suku, agama suku’ diakibatkan oleh kecetekan umat Islam terhadap ilmu. Malah menurutnya, akhir-akhir ini sejak ceramah dan ‘mengajar’ diperbanyakkan di Selangor, masjid al-Firaus Bandar Baru Selayang semakin menyemarak, berbanding sebelum ini.

Sekali mendengar perkataan itu, sudah cukup difahami. Bahawa apa yang mahu diperkatakan oleh ustaz berkenaan ialah, apabila masjid kini di bawah pentadbiran baru (kerajaan pakatan pembangkang), masjid berkenaan diimarahkan.

Walaupun hakikatnya sebelum ini pun banyak aktiviti dijalankan di masjid berkenaan dan sambutan turut menggalakkan, namun bagi penceramah berkenaan, melalui jawatankuasa baru masjid, kegiatan di masjid berkenaan kini ‘rancak’.

Lupakan soal aktiviti di masjid tetapi yang mahu diperkatakan ialah arahan sudah jelas daripada Sultan Selangor bahawa walaupun tiada halangan bagi rakyat dari negeri lain untuk bermastautin atau mencari rezeki di Selangor, mereka hendaklah mematuhi segala peraturan serta undang-undang di Selangor.

Titah Sultan Sharifuddin sudah jelas dan nyata tetapi kenapa penceramah berkenaan terus mahu melanggar titah berkenaan?

Apakah titah Sultan Sharafuddin yang melarang masjid dan surau digunakan sebagai pentas politik semata-mata untuk menjaga kesucian dan keharmonian tempat ibadat itu sebagai tidak wajar?

SULTAN SELANGOR vs NIK AZIZ

Apakah Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat berada dalam keadaan ‘riak’ apabila menjawab soalan wartawan mengenai kempen politik dalam masjid tempoh hari?

Apakah kenyataannya bahawa ‘kempen politik di dalam masjid atau surau adalah tidak salah dan berpendapat tegahan berbuat demikian adalah ajaran karut yang ditinggalkan penjajah Inggeris’ itu dibuat pada masa kempen pilihan raya kecil Hulu Selangor semata-mata?

Atau memang Nik Aziz tidak mengetahui langsung (tidak diberitahu atau dimaklumkan oleh pegawainya) bahawa Sultan Selangor ada bertitah melarang kempen di masjid?

Atau apakah beliau memang tidak faham atau sengaja tidak mahu faham apabila membuat kenyataan mengenai perkara itu di Selangor?

Juga apakah Nik Aziz sebagai Menteri Besar tidak tahu atau sengaja tidak peduli hubungan antara Sultan dan agama Islam di negeri-negeri, seperti juga di Kelantan?

Menteri Besar Kelantan, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat kemudian menafikan beliau mengingkari titah Sultan Sharafuddin Idris Shah yang melarang pemimpin parti politik daripada menggunakan masjid dan surau di Hulu Selangor sebagai gelanggang untuk berkempen.

Pejabat Menteri Besar Kelantan dalam kenyataannya pada 24 April 2010 lalu mengatakan media memberikan gambaran yang mengelirukan kerana komen beliau yang dilaporkan di muka depan beberapa akhbar utama hari itu tidak mempunyai sebarang kaitan dengan larangan yang baginda keluarkan.

Jika Nik Abdul Aziz sentiasa sedar serta sering berpegang dengan prinsip Islam sebenar bahawa politik kepartian tidak boleh disebut di dalam masjid bagi mengelakkan sebarang perpecahan dan suasana yang tidak harmoni, beliau tidak akan mempertikaikan titah Sultan Selangor itu.

Selain itu perenggan akhir kenyataan akhbar Menteri Besar yang berbunyi - "Namun apabila memisahkan institusi masjid daripada sebarang program ilmu untuk mengajar politik Islam adalah satu tindakan berasaskan fahaman sekular warisan penjajah," dengan jelas sebagai usaha menegakkan benang basah.

Berikutan kenyataan Nik Aziz itu (sejauh ini tidak ada kenyataan daripada pemimpin PAS lain, termasuk Presidennya, Datuk Seri Abdul hadi Awang), Sultan Sharafuddin kelmarin mengingatkan sesiapa yang tidak bersetuju dengan peraturan dan undang-undang di negeri itu, termasuk larangan berpolitik di masjid serta surau, hendaklah mengelak daripada datang ke Selangor.

“Sesetengah ahli politik mempertikaikan titah beta dan menganggapnya sebagai karut dan peninggalan penjajah,” titah baginda di Klang ketika merasmikan pertukaran nama Sekolah Agama Menengah Tinggi Jalan Kota Raja kepada Sekolah Agama Menengah Tinggi Sultan Hisamuddin.

Ironinya semalam, Ahli Parlimen Shah Alam, Khalid Abdul Samad semalam mempertahankan tindakan Mursyidul Am Pas itu dengan mengaitkan kenyataan Menteri Besar Kelantan pada 23 April lalu bahawa berpolitik di masjid dan surau dibolehkan hanya merujuk kepada politik menyatupadukan umat Islam dan bukan melibatkan politik kepartian yang boleh memecahbelahkan umat, fitnah serta caci-mencaci.

Katanya, Nik Aziz selama mengadakan kuliah dalam masjid (beliau) bercakap politik tetapi bukannya dalam konteks politik partisan. Beliau bercakap dalam konteks menyeru umat Islam mengamalkan corak politik Islam seperti amanah, prihatin, kebajikan dan menegakkan keadilan.

Bercakap di pejabatnya di Seksyen 13 di Shah Alam, beliau percaya titah Sultan Selangor itu merujuk kepada politik partisan dan mengadu domba serta memecahbelahkan perpaduan di kalangan umat Islam. ''Sebaliknya, politik yang dimaksudkan oleh Nik Abdul Aziz ialah politik Islam berasaskan al-Quran dan sunah Rasulullah,'' jelasnya.

Khalid sebaliknya menyalahkan pihak media yang melaporkan seolah-olah kenyataan Nik Abdul Aziz itu bercanggah dengan titah Sultan Selangor yang menegaskan larangan penggunaan masjid dan surau untuk tujuan berpolitik.

Bagi Sultan Selangor, baginda menegaskan walaupun tiada halangan bagi rakyat dari negeri lain untuk bermastautin atau mencari rezeki di negeri ini, mereka hendaklah mematuhi segala peraturan serta undang-undang di Selangor.

Sultan Sharafuddin menjelaskan baginda melarang masjid dan surau digunakan sebagai pentas politik semata-mata untuk menjaga kesucian dan keharmonian tempat ibadat itu.

Pada ketika Sultan Selangor membuat kenyataan ini hadir sama ialah Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin dan Menteri Besar Selangor, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim.

Persoalannya, tidak malukah dan terasa canggungkah Khalid apabila sultannya sendiri membuat kenyataan itu dengan merujuk kepada rakan pembangkangnya dari PAS?

Dengan jelas Sultan Sharafuddin menegaskan jika masjid dan surau dibiarkan untuk digunakan sebagai pentas kempen politik, ia dikhuatiri akan disalahgunakan pihak tidak bertanggungjawab dengan perbuatan yang boleh mencemar kesucian masjid, seperti mencaci, memfitnah serta membuat tohmahan tidak berasas dan memburukkan keperibadian seseorang.

Rasional yang diberikan oleh Sultan Sharafuddin bahawa keadaan pada zaman Rasulullah adalah berbeza kerana baginda berceramah di masjid untuk mengajak umat Islam mengukuhkan perpaduan adalah tepat.

Malah, Sultan Selangor memberikan pendapatnya: “Nabi Muhammad tidak menyebar fitnah atau menghina orang lain dalam masjid seperti yang berlaku sekarang, sebaliknya menggunakan masjid untuk menyedarkan umat Islam pada masa itu kerana ia menjadi tempat umat Islam berkumpul untuk beribadah dan menguatkan silaturahim. Justeru, tidak munasabah bagi membandingkan peranan Rasulullah menggunakan masjid untuk berpolitik dengan keadaan sekarang, yang mana ahli politik mengambil kesempatan untuk menggunakan masjid sebagai platform untuk menyebarkan agenda politik mereka.”

Bukan Sultan Selangor sahaja menempelak Nik Aziz sebaliknya pada 24 April lalu, Pengarah Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS), Datuk Mohammed Khusrin Munawi menyifatkan kenyataan Menteri Besar Kelantan itu tidak wajar kerana Selangor mempunyai enakmen yang melarang penggunaan institusi Islam untuk tujuan politik bagi mengelak disalah guna sehingga menimbulkan perpecahan di kalangan umat Islam.

Jelasnya, sebagai seorang Menteri Besar, Nik Abdul Aziz sepatutnya lebih arif dalam soal berkenaan terutamanya dari segi bidang kuasa perundangan Islam yang diletakkan di bawah pentadbiran mengikut negeri masing-masing. Bidang kuasa itu katanya, turut melibatkan kedudukan Ketua Agama Islam Negeri yang diketuai oleh Sultan dan Raja mengikut negeri masing-masing termasuklah di Kelantan sendiri.

"Dia (Nik Abdul Aziz) perlu faham bahawa di Selangor ini, kita ada enakmen yang melarang pengunaan masjid dan surau untuk tujuan politik. Kalau di Kelantan, terpulanglah kepada dia untuk berbuat demikian (gunakan masjid dan surau untuk berpolitik). Akan tetapi kalau di Selangor, dia kena patuhi undang-undang di negeri ini serta menghormati titah Sultan Selangor selaku Ketua Agama Islam Negeri," katanya.

Tambah Mohammed Khusrin, mana-mana pihak menghina kuasa yang sah, mengingkari, melanggar atau mempertikaikan perintah dan arahan Sultan selaku Ketua Agama Islam, MAIS dan mufti adalah melakukan kesalahan mengikut Seksyen 12 (a) Enakmen Jenayah Syariah (Selangor) 1995.

Saturday, April 24, 2010

NIK AZIZ SIFATKAN TITAH SULTAN ‘AJARAN KARUT’


SULTAN Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah Ibni Almarhum Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah menandatangani plak sebagai tanda merasmikan Masjid Manbaeil Uloom di Taman Cheras Jaya, Batu 11 Cheras, Hulu Langat, 23 April. – Gambar Utusan


Bukan sekali. Sudah banyak kali Sultan Selangor bertitah supaya jangan salahguna masjid.

Namun titah itu bagaikan masuk telinga kiri dan keluar telinga kanan oleh sesetengah pihak.

Lebih mengejutkan, titah sengaja dipermain, bukan sahaja oleh rakyat Selangor sendiri tetapi juga ‘orang luar’ pada musim kempen pilihan raya kecil ini.

Alasan ialah politik dan Islam memang satu – tidak wajar dipisahkan. Namun apakah dengan alasan itu cukup untuk menjadikan masjid medan untuk menghentam kononnya orang lain bukan Islam dan dia sahaja yang Islam?

Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah semalam bertitah masjid dan surau adalah tempat untuk umat Islam dan orang Melayu bersatu padu, bermuafakat serta mengeratkan silaturrahim sesama umat.

Dengan kata lain ia bukannya tempat untuk berpolitik.

Semalam Baginda mengulangi titah supaya masjid dan surau di Selangor tidak dijadikan gelanggang untuk berpolitik dan tempat untuk mengadakan demonstrasi negatif.

Malah dengan jelas Baginda menegaskan yang Baginda tidak berkenan masjid dan surau dijadikan gelanggang untuk berpolitik dan mengadakan demonstrasi yang negatif baik di perkarangan mahupun di dalam masjid.

Baginda bertitah pada majlis perasmian Masjid Taman Cheras Jaya dan turut hadir Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim.

Sebaliknya, reaksi kepada titah itu, Menteri Besar Kelantan yang juga Musyridul Am PAS menempelak Sultan Selangor di Banglo Pejabat Daerah Kuala kubu Bharu dengan mengatakan berpolitik di masjid tidak salah kerana Nabi Muhamad s.a.w. juga melakukannya pada masa dahulu.

Kata Nik Aziz: “Siapa ajar tidak boleh cakap politik dalam masjid.Ini ajaran karut yang ditinggalkan Inggeris dan digunakan oleh Muslim.

“Sungguh dukacita, inilah politik, ini kerja saki baki ajaran penjajah Barat yang mengasingkan agama dan politik,”.

Jelas dalam kenyataannya itu, bukan sahaja Nik Aziz menyifatkan titah Baginda Sultan Selangor sebagai ‘ajaran karut’, malah menyifatkan sikap Sultan Sharifuddin sebagai terus mengamalkan ajaran penjajah Inggeris.

Lebih mengejutkan kenyataan itu dibuat di bumi Selangor apabila Sultan adalah ‘penjaga; kepada kesucian agama Islam.

Kedatangan Nik Aziz ke Hulu Selangor dilihat sebagai usaha melonjakkan kembali populariti calon pembangkang, Datuk Zaid Ibrahim pada pilihan raya kecil Hulu Selangor selepas diserang bertalu-talu oleh BN sepanjang tempoh kempen.

Kehadiran Nik Aziz menyokong Zaid bertujuan membawa kembali keyakinan terhadap Zaid yang menerima pukulan hebat kerana peribadinya. Malah Zaid kini dilihat sebagai ‘Zaid baru’.

Semalam, Sultan Sharafuddin bertitah, masjid adalah tempat paling sesuai untuk umat Islam menginsafi diri dan mensucikan hati supaya dapat menghilangkan perasaan hasad dengki dan juga mengetepikan perasaan membenci antara satu sama lain.

"Di dalam masjidlah tempat yang sepatutnya diberi penerangan tentang pentingnya hubungan baik dan muhibbah di antara masyarakat tanpa mengira kaum, fahaman politik dan latar belakang agama," titah baginda.

Sultan Sharafuddin dalam titah baginda pada Oktober tahun lalu mengingatkan pegawai masjid dan jawatankuasa kariah masjid di negeri Selangor supaya memastikan rumat ibadat itu tidak digunakan sebagai gelanggang politik yang boleh memecahbelahkan perpaduan ummah.

Hari ini Baginda mengulangi titah supaya masjid dan surau di Selangor tidak dijadikan gelanggang untuk berpolitik dan tempat untuk mengadakan demonstrasi negatif.

Semalam sekali lagi Sultan Sharafuddin mengingatkan setiap pegawai dan anggota jawatankuasa masjid supaya merujuk terlebih dahulu kepada pihak berkuasa agama negeri sebelum menjemput penceramah agama bagi memastikan mereka memiliki tauliah.

"Hanya mereka yang mempunyai tauliah daripada Jabatan Agama Islam Selangor (Jais) sahaja yang dibenarkan untuk berceramah, berkuliah, berkhutbah dan mengajar di masjid dan surau," titah baginda.

Selain Nik Aziz, bagi sesetengah pemimpin pembangkang di Selangor, amaran itu bagaikan menitis air di daun keladi.

Menteri Pertahanan, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi semalam mendedahkan Exco Kerajaan Negeri Selangor Datuk Dr Hasan Mohamed Ali menyampaikan khutbah berbaur politik di sebuah masjid di Bukit Sentosa.


Zahid menganggap perbuatan Hassan itu menderhaka kepada titah Sultan?

Atau hanya kerana beliau Exco kerajaan, Hassan boleh berbuat demikian kerana ‘lesen’ atau ‘kebenaran’ automatik ada padanya?

Betullah kata Ahmad Zahid, Dr Hasan sepatutnya bijak membuat pertimbangan dan tidak mengambil kesempatan semasa kempen pilihan raya yang sedang berlangsung untuk menyampaikan mesej perjuangan sehingga sanggup mengetepikan perintah Sultan.

Berikutan itu Zahid menyifatkan tindakan Dr Hassan Ali iaitu Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Agama membelakangkan titah tuanku Sultan. Malah, jelas Dr Hassan menyanggah apa yang dititahkan.

"Sultan adalah ketua agama dan titah baginda harus dipatuhi. Tuanku dah titahkan bahawa masjid jangan digunakan sebagai tempat untuk berpolitik. Ini maknanya dia derhaka pada tuanku Sultan Selangor (Sultan Sharafuddin Idris Shah)," kata Zahid.

Menurut Menteri berkenaan, Pengerusi Jawatankuasa Tetap Hal Ehwal Islam, Adat-adat Melayu, Infrastruktur dan Kemudahan Asas Negeri itu juga didakwa menyampaikan khutbah berunsur politik sehingga terlupa membaca selawat nabi ketika menjadi khatib di masjid itu.

Ahmad Zahid berkata, kejadian terlupa membaca selawat nabi yang juga rukun khutbah perlu dijadikan iktibar kerana ia mungkin berlaku akibat keangkuhan mereka untuk terus berkuasa.

"Hari ini dalam bacaan khutbah oleh Hassan Ali, rukun khutbah pun tak dibacanya. Selawat pun tak baca. Khutbah itu tidak sah. Apa ni...sebabnya kerana Tuhan menguji kerana dia riak dan angkuh. Jadi tuhan alpakan, itulah jadinya,"katanya.

Katanya, disebabkan kealpaan tersebut, ramai daripada jemaah terpaksa menggantikannya dengan bersolat Zohor.

Beliau berkata, sudahlah perbuatan itu dikira menderhaka, jemaah masjid itu juga terpaksa menanggung akibat kerana sembahyang mereka dikira tidak sah.

Tuesday, April 13, 2010

DOAKAN SULTAN KELANTAN CEPAT SEMBUH

Rakyat semakin memerhati. Sesetengahnya gelisah.

Namun yang penting doakan supaya Sultan Kelantan, Sultan Ismail Petra Ibni Almarhum Sultan Yahya Petra pulih.

Mengejutkan juga membaca “Step Down: Says Ku Li - Acting Kelantan Sultan ‘must relinquish post to his father”, demikian lapor The Star semalam, 12 April 2010.

Saya tidak pasti apakah tajuk yang memetik Tengku Razaleigh Hamzah itu sesuai atau kata-kata separuh jalan.

Bahaya jika membaca tajuk sedemikian kerana ia memberikan pelbagai gambaran dan persoalan.
“Turun, kata Ku Li - Pemangku Sultan Kelantan mesti melepaskan jawatan dan menyerahkannya balik kepada ayahndanya”, lebih kurang begitulah bunyi tajuk itu.

Mambaca tajuknya ia agak keras dan memberikan gambaran seolah-olah Tengku Razalegh mahukan Tengku Muhammad Faris Petra Sultan Ismail menyerahkan kembali ‘takhta’ itu kepada ayahndanya.

Besar dan penuh makna kata-kata atau tajuk berkenaan kerana ia memberikan implikasi kepada banyak pihak.

Ini termasuklah kerajaan negeri yang kini nampaknya menjunjung segala perintah Tengku Faris.
Berlainan sedikit dengan laporan Bernama dan akhbar Melayu lain apabila Tengku Razaleigh yang juga Ahli Parlimen Gua Musang berkata, isu Istana Kelantan boleh diselesaikan apabila Sultan Kelantan, pulih sepenuhnya daripada kegeringan dan mampu memerintah semula.

"Ia bukan suatu konflik dalam istana...Jika ada konflik bermakna ada perkara-perkara baru timbul, terserah kepada Tuankulah untuk perbetulkan. Tunggulah dia sihat dulu," katanya mengulas mengenai isu Istana Kelantan itu.

Malah beliau tidak menganggap isu yang berlaku dalam Istana Kelantan sekarang sebagai suatu konflik dan beryakinan ia akan berakhir juga.

Kelmarin, Tengku Razaleigh hadir pada majlis perasmian Mesyuarat Agung Kali Ke-13, Persatuan Pegawai dan Kakitangan Masjid Kelantan yang disempurnakan oleh Tengku Bendahara, Tengku Mohammad Faiz Petra Ibni Sultan Ismail Petra, yang merangkap Yang Dipertua Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Kelantan (MAIK).

Tengku Razaleigh yang juga Timbalan Yang Dipertua Majlis Perajaan Negeri (MPN) dan merupakan ayahanda saudara kepada Raja Perempuan Kelantan, Tengku Anis Tengku Abdul Hamid berkata, beliau tidak bercadang untuk campur tangan dalam isu itu.

Sehubungan itu, beliau meminta rakyat Kelantan bertenang dalam menghadapi isu berhubung istana sekarang. Beliau yakin Sultan Kelantan boleh kembali mentadbir dan memulakan tugas sebagai ketua agama negeri ini setelah sembuh sepenuhnya daripada kegeringan.

Menurut The Star, Tengku Razaleigh Hamzah berkata apabila Sultan Kelantan sudah sihat Tuanku bolehlah menentukan sama ada untuk terus memerintah dalam kedudukan sebagai Pemangku atau sebagainya.

Beliau menegaskan tidak akan campur tangan kerana Tuanku aku sembuh dan akan menentukan seterusnya.

Beliau tidak perlu campur tangan dalam masalah tersebut walaupun Tengku Muhammad Faris memecat abangnya, Tengku Aziz daripada jawatan Pengerusi MPN.

"Tidak ada sebab untuk saya campur tangan pada peringkat ini tidak ada yang kritikal.

"Itu (pemecatan) apa yang dilakukan oleh Pemangku Raja, kalau katalah benda itu betul tak timbul masalah ini. Kalau tak betul saya percaya akan diperbetulkan oleh sultan selepas sembuh nanti," katanya.

Menurut Tengku Razaleigh Sultan Kelantan sudah boleh makan dan bercakap dan akan menentukan kedudukan istana seterusnya.

“Kesihatan Sultan kini semakin memuaskan, dulu kena usung apabila hendak dirawat di Singapura, namun kini tidak lagi, sudah boleh berjumpa rakyat serta ingatan baginda begitu baik, jauh berbeza dari dulu,” katanya.

Persoalannya, dalam kedudukan sebegini kenapakah kerajaan Kelantan tidak mengumumkan dari masa ke masa tahap kesihatan Sultan Kelantan.

Malah amat mengejutkan apabila pada 28 Mac Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat berkata Sultan Kelantan masih gering. “Kalau tuan-tuan berasa hendak ziarah atau menghadap sendiri sila lakukan, tengok sejauh mana tahap kesihatan tuanku, boleh buat kerja atau tidak," katanya.

Kenapa Nik Aziz bercakap sedemikian? Apakah beliau merasakan bahawa bagaikan ada suatu tekanan terhadap kerajaan Kelantan yang dilihat memihak?

Yang pasti, pada 7 April lalu, Sultan Kelantan yang diiringi Raja Perempuan, Tengku Anis Tengku Abdul Hamid meluangkan masa bersama kira-kira 100 anak yatim di Istana Mahkota di Kota Bharu. Pada majlis jamuan teh yang diadakan secara santai di perkarangan istana itu, baginda kelihatan berborak dan bergurau senda dengan tetamu yang hadhir, sambil turut berhibur dengan berkaraoke bersama Tengku Anis.

Turut hadhir Tengku Temenggong Kelantan, Tengku Muhammad Fakhry Petra dan bekas Pengerusi Majlis Perajaan Negeri, Tengku Abdul Aziz Tengku Hamzah di samping bekas Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Wan Hashim Wan Daud yang juga `Setiausaha Sulit' baginda.

Amat menarik kenyataan Tengku Razaleigh yang tidak mahu campur tangan dalam masalah itu walaupun Tengku Faris memecat abangnya, Tengku Aziz daripada jawatan Pengerusi MPN.
"Tidak ada sebab untuk saya campur tangan pada peringkat ini tidak ada yang kritikal. Itu (pemecatan) apa yang dilakukan oleh Pemangku Raja, kalau katalah benda itu betul tak timbul masalah ini. Kalau tak betul saya percaya akan diperbetulkan oleh sultan selepas sembuh nanti," katanya.

Kata-kata itu dalam maknanya dan rakyat menunggu dan mendoakan supaya Sultan Kelantan segera pulih dan mengatasi apa juga kemelut istana Kelantan.

Pertanyaan ialah apakah langkah pembetulan itu akan menyebabkan berlaku perkembangan baru kepada kerajaan Kelantan yang selama ini seperti berpihak dalam kemelut ini?

Kita tunggu juga apakah benar ada kumpulan tertentu yang terbabit dengan kemelut ini dan apa pula tindakan terhadap mereka.

Malah individu seperti Menteri Besar sendiri, Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Mohd Aiseri Alias, Tengku Abdul Aziz dan Datuk Wan Hashim Wan Daud akan menjadi tumpuan selepas ini.

Saturday, March 27, 2010

KEMELUT ISTANA...RAKYAT MEMERHATI


Tolonglah mana-mana pihak sekali pun, jangan kelirukan rakyat jelata, khususnya rakyat Kelantan.

Jangan individu atau parti pula dikaitkan dengan kemelut ini.

Mereka mengasihi raja mereka tetapi kelemut istana khususnya isu dua pemangku Raja Kelantan - bukan sahaja mengusutkan fikiran hamba rakyat jelata tetapi menimbulkan banyak tanda tanya.

Sebagai rakyat mereka keliru namun, mereka memerhatikan apa yang akan berlaku seterusnya.
Seseorang yang menggelarkan dirinya sebagai Mutaligat menulis dalam Harakahdaily meletakkan kesalahan kepada seseorang menyebabkan kecelaruan istana Kelantan.

Menurutnya: “Saya masih ingat di awal pemerintahan kerajaan Angkatan Perpaduan Ummah (APU) pada tahun 1990 di Kelantan, antara orang yang membuat onar mengacau pentadbiran kerajaan negeri ialah Setiausaha Kerajaan Negeri Kelantan sendiri.

Selepas beliau melepaskan jawatannya sebagai Setiausaha Kerajaan Negeri maka amanlah pemerintahan kerajaan negeri. Beliau selepas itu lama menghilangkan diri dari arena pentadbiran kerajaan dan politik Kelantan. Mungkin beliau berehat gamaknya.

Sehari dua ini namanya timbul kembali. Kali ini beliau dikaitkan pula dengan kemelut istana Kelantan.

Apa sebenarnya yang beliau mahukan.? Apakah beliau masih berdendam dengan kerajaan negeri sehingga sanggup kembali timbul dalam kancah ini.

Tidak cukupkah beliau membuat onar mengacau dan tidak memberikan kerjasama sepenuhnya kepada Tok Guru pada era 90-an.?”

Terbukti orang dimaksudkan oleh Mutaligat ialah Datuk Wan Hashim Wan Daud yang sudah ditahan polis. Apapun, kita belum tahu apakah kemelut istana ini disebabkan olehnya secara bersaorangan atau berkumpulan.

Wan Hashim hanya ditahan polis dan belum pasti beliau terlibat atau sebaliknya.

Juga sedikit pelik ialah apabila dalam menyiarkan berita dan ulasan mengenai perkara ini Malaysiakini menyiarkan gambar Pemangku Raja Kelantan, Tengku Muhammad Faris Petra berlatar belakangkan bendera Kelantan dan logo UMNO.

Apakah mainan Malaysiakini dalam konteks kemelut istana ini? Apakah Malaysiakini babitkan UMNO dalam kemelut berkenaan?

Adalah baik juga kalau kita mendengar nasihat Menteri Besar Kelantan, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat supaya semua rakyat mematuhi undang-undang yang ditetapkan dalam perlembagaan bagi menyelesaikan kemelut Istana Kelantan sekarang.

Beliau tidak mahu rakyat terikut-ikut dengan mana-mana-mana kumpulan dalam isu itu, tetapi mengikut apa yang dikehendaki oleh perlembagaan kerana kerajaan negeri mempunyai perlembagaan tubuhnya sendiri.

"Saya nasihatkan kepada rakyat semua, masa kekecohan ini supaya patuh kepada perlembagaan, jangan dengar A dengar B, tetapi ikut perlembagaan," katanya.

Kita belum mendengar apa-apa keterangan polis mengenai penahanan 'Setiausaha Sulit' Sultan Kelantan itu yang sebelum ini mengumumkan mengenai pemecatan Tengku Muhammad Faris Petra sebagai Pemangku Raja Kelantan.

Keadaan mungkin reda seketika apabila Wan Hashim ditahan polis di rumahnya di Taman Seri Aman, Kubang Kerian malam kelmarin. Menurut laporan penahannya dipercayai mempunyai kaitan dengan penglibatannya sebagai `Setiausaha Sulit’ Sultan yang telah membuat pengumuman rasmi pagi ini dengan mendakwa Sultan Kelantan telah menitahkan pemecatan pemangku raja.

Wan Hashim selaku ‘Setiausaha Sulit Sultan Kelantan’, kelmarin membaca perisytiharan di Istana Mahkota, Kota Bharu bahawa Pengerusi Majlis Perajaan Kelantan (MPN), Tengku Abdul Aziz Tengku Hamzah dilantik sebagai Pemangku Raja yang baru.

Titah mengenai pelantikan Tengku Abdul Aziz, 76, abang kepada Tengku Razaleigh Hamzah, itu dibacakan oleh Wan Hashim di Istana Mahkota di Kota Bharu.

Mengenai keadaan Sultan Kelantan, Wan Hashim berkata: "Dia boleh bertitah, boleh bercakap dan ingatannya bagus."

Beliau berkata pihaknya akan memaklumkan kepada Tengku Muhammad Faris dan kerajaan negeri berhubung pengumuman itu.

Bagaimanapun, Pengelola Istana Kelantan, Datuk Abdul Halim Hamad berkata Tengku Muhammad Faris kekal sebagai Pemangku Raja Kelantan.

Ternyata kemelut istana Kelantan meruncing akibat perisytiharan itu kerana Sultan Kelantan didakwa telah melucutkan jawatan Tengku Mahkota, Tengku Muhammad Faris Petra sebagai Pemangku Raja berkuat kuasa serta-merta.

"Pelantikan Tengku Abdul Aziz tidak ikut Perlembagaan negeri kerana untuk sebarang pelantikan dan pemecatan ianya memerlukan dua pertiga persetujuan daripada ahli Majlis Perajaan Negeri dan bukannya daripada seseorang," katanya.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas tindakan Sultan Kelantan Sultan Ismail Petra Yahya Petra yang didakwa telah melucutkan jawatan anakandanya, Tengku Muhammad Faris sebagai Pemangku Raja berkuatkuasa serta-merta.

Pada ketika Wan Hashim mengatakan Sultan Kelantan boleh bertitah, Tengku Muhammad Faris bertitah ayahandanya, Sultan Kelantan masih gering dan beliau kekal sebagai Pemangku Raja Kelantan untuk menjalankan tugas hal ehwal negeri sejak beliau dilantik pada 29 Mei tahun lalu disebabkan Sultan Kelantan gering dan terpaksa dirawat di Hospital Mount Elizabeth di Singapura.

Baginda bertitah kesemua laporan mengenai kesihatan Ayahandanya selain daripada pakar doktor-doktor yang dilantik adalah tidak tepat.

Yang baiknya kita berdoa semuga kemelut ini cepat berakhir dan biarlah istana menyelesaikan kemelutnya.

Rakyat wajar bersabar dan mendoakan agar Sultan Kelantan cepat sembuh.
Ini kerana jika Baginda sembuh, titahnya akan menyelesaikan semua kemelut.

Pentadbiran kerajaan negeri juga ‘tidak akan terganggu’ dengan pelbagai kenyataan oleh pihak-pihak yang sesetengahnya tidak ada kaitan pun dengan pertelingkahan istana!

Saturday, March 13, 2010

FAIL CERAI TALAK TIGA OLEH PIHAK KETIGA TIDAK DIBENARKAN

Makin kusut!

Cik Puan Elia Suhana Ahmad boleh bantah permohonan kes lafaz cerai talak tiga terhadapnya.

Peguam yang mewakili Elia – isteri kedua Sultan Kelantan - boleh membuat bantahan di mahkamah terhadap lafaz cerai yang dikatakan difailkan oleh seorang wanita mewakili Sultan Kelantan.

Seperti yang telah dinyatakan dalam akhbar hari sejak beberapa hari lalu, permohonan tersebut memang sah dari segi prosedur, namun peguam yang mewakili Elia boleh membuat bantahan terhadap permohonan itu di mahkamah.

Pandangan ini diberikan oleh Presiden Persatuan Peguam Syarie Malaysia (PGSM), Mohd Isa Abdul Ralip.

Biarpun beliau enggan mengulas lanjut mengenai kes yang melibatkan Sultan Kelantan itu tetapi nyata Elia mempunyai ruang untuk membuat bantahan.

Akhbar semalam melaporkan permohonan pengesahan lafaz cerai talak tiga oleh Sultan Kelantan difailkan oleh Nik Rorhana Wan Abdul Rahman, 60.

Perkara itu disahkan oleh Ketua Pendaftar Mahkamah Tinggi Rayuan Syariah Kelantan, Abu Bakar Abdullah Kutty ketika mengulas mengenai permohonan lafaz cerai itu.

Kata Mohd Isa, dalam kes pihak ketiga menfailkan permohonan, adalah menjadi masalah apabila pihak tersebut perlu membuat pengakuan sumpah terhadap permohonan yang dibuat.

"Bagaimana pihak ketiga ini nak bersumpah jika individu tersebut tidak ada kena mengenai dengan pasangan tersebut.

"Apa bukti yang boleh dikemukan oleh pihak ketiga untuk mengesahkan telah mendengar lafaz cerai tersebut?," ujarnya.

Kelmarin peguam syarie, Zainul Rijal mengeluarkan kenyataan media kepada Bernama mengesahkan pihaknya telah menfailkan permohonan pengesahan cerai talak tiga terhadap isteri kedua Sultan Kelantan, Elia di Mahkamah Tinggi Syariah Kelantan.

Dalam laporan tersebut, Zainul Rijal berkata, beliau telah dititahkan oleh Tuanku Ismail Petra supaya menfailkan permohonan pengesahan cerai tersebut.

Berdasarkan apa yang dinyatakan Mohd Isa, biarpun prosedur, pendaftaran dan permohonan pengesahan cerai adalah sah jika difailkan oleh pihak namun mereka tidak dibenarkan untuk menfailkan permohonan pengesahan lafaz cerai mengikut berdasarkan hukum syarak dan undang-undang yang telah ditetapkan.

Mohd Isa menjelaskan, hukum syarak telah menetapkan hanya suami atau isteri sahaja yang boleh menfaikan tuntutan tersebut bagi memudahkan proses seterusnya.

"Walaupun dari segi prosedur ia sah, tetapi akan menimbulkan masalah semasa prosiding mahkamah.

"Ini kerana pihak yang menfailkan tuntutan tersebut perlu bersumpah kepada hakim mengenai tuntutan yang dibuat," katanya kepada mStar online semalam.

Kita tunggu perkembangan terbaru kes ini.

Friday, March 12, 2010

SULTAN KELANTAN TIDAK FAIL PERMOHONAN SAH CERAI ISTERI KEDUA?


Tuanku Sultan Kelantan TIDAK failkan kes perceraian talak tiga baginda terhadap isteri keduanya, Che Puan Elia Suhana Ahmad?

Jika kes berkenaan bukan difailkan oleh baginda, siapa pula yang melakukannya?

Semalam, Utusan Malaysia melaporkan bahawa Elia Suhana, 31, musykil dengan kesahihan lafaz cerai yang difailkan oleh peguam suaminya kelmarin kerana beliau mendakwa pada ketika itu Tuanku Ismail Petra sedang gering.

Utusan memetik peguam Elia Suhana - Fakhrul Azman Abu Hasan - sebagai berkata, perkara tersebut disampaikan oleh anak guamnya itu selepas permohonan pengesahan lafaz cerai Sultan dilaporkan secara meluas oleh media semalam.

Katanya, beliau telah memberitahu anak guamnya mengenai permohonan itu selepas membaca laporan akhbar.

Ketua Pendaftar Mahkamah Tinggi Rayuan Syariah Kelantan, Abu Bakar Abdullah Kutty berkata kes itu difailkan oleh seorang wanita, Nik Rorhana Wan Abdul Rahman, 60, yang bertindak sebagai plaintif.

Siapakah Nik Rorhana dan apa pertalian hubungan beliau dengan Sultan Kelantan bagi membolehkan beliau bertindak memfailkan permohonan cerai itu?

Abu Bakar enggan mengulas status kes tuntutan perceraian talak tiga yang didakwa difailkan oleh Sultan Kelantan di Mahkamah Tinggi Syariah, Selasa lalu.

Peguam Sultan Kelantan, Zainul Rijal Abu Bakar, ketika dihubungi Bernama, pada hari berkenaan berkata beliau dan rakannya Abdul Halim Bahari telah memfailkan permohonan itu pada jam 3.30 petang.

Zainul Rijal dalam kenyataan itu berkata baginda tuanku telah melafazkan sendiri cerai talak tiga tersebut terhadap Elia Suhana pada 12 Februari 2010 di hadapan beberapa saksi dan mahkamah menetapkan 21 Mac ini bagi mendengar permohonan berkenaan.

"Kami telah dititahkan oleh Ke Bawah Duli Yang Maha Mulia Tuanku Ismail Petra supaya memfailkan permohonan pengesahan cerai antara Tuanku dan Elia Suhana binti Ahmad yang dilafazkan sendiri oleh baginda Tuanku terhadap Elia Suhana pada 12 Feb 2010 di hadapan beberapa orang saksi," katanya.

Beberapa hari lalu, Raja Perempuan Kelantan, Tengku Anis Tengku Abdul Hamid mengemukakan bantahan di Mahkamah Tinggi Syariah Kota Bharu terhadap arahan tunjuk sebab kerana ingkar perintah mahkamah membenarkan hak melawat baginda yang dikeluarkan kepada Elia Suhana.

Bantahan itu dikemukakan oleh peguam yang mewakili Raja Perempuan Kelantan, Zainul Rijal Abu Bakar dan Abdul Halim Bahari.

Bagaimanapun Raja Perempuan Kelantan dan dua pengawal peribadinya Muhammad Shahrizan Zainal dan Zaiton Husin Merican, yang ketiga-tiga mereka telah diperintahkan untuk tunjuk sebab itu, tidak hadir di mahkamah.

Zainul Rijal kemukakan bantahan itu setelah membangkitkan dua isu berhubung penyerahan saman kes induk hak lawatan bertarikh 4 Februari lepas, yang dipohon oleh Che Puan Elia Suhana dan perintah tunjuk sebab ex-parte perintah hak lawatan pada 21 Februari lepas.

Peguam yang mewakili Che Puan Elia Suhana, Fakhrul Azman Abu Hassan pula mempersoalkan ketidakhadiran ketiga-tiga defendan di mahkamah hari ini kerana menurutnya mana-mana pihak perlu hadir jika diperintah oleh mahkamah.

Hakim Syarie Mohd Yusof Awan menetapkan 4 April sebagai tarikh sebutan semula kes berkenaan.

Pada 4 Februari lalu, Mahkamah Tinggi Syariah Kota Bharu membenarkan Elia Suhana, 31, melawat Sultan Kelantan yang ketika itu menerima rawatan di Hospital Mount Elizabeth, Singapura bagi setiap Sabtu sehingga pagi Isnin setiap minggu.

Bagaimanapun Elia Suhana mendakwa dihalang daripada bertemu suaminya dan pada 21 Februari lalu mahkamah telah mengarahkan Raja Perempuan Kelantan bersama dua pengawal peribadinya hadir untuk tunjuk sebab.

Mahkamah menetapkan 4 April sebagai tarikh sebutan semula kes berkenaan.

Pada 4 Mac lalu, Sultan Kelantan telah berangkat pulang ke Kelantan setelah hampir 10 bulan dirawat di Hospital Mount Elizabeth, Singapura.

Menggemparkan sebelum ini kerana pada 29 Disember 2009, Utusan Malaysia dengan tajuk “JHEAIK sahkan perkahwinan kedua Sultan Kelantan” turut memaparkan gambar hari persandingan mereka berdua.

Malah, Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Kelantan (JHEAIK) pada hari itu, mengesahkan Sultan Kelantan, Sultan Ismail Petra Almarhum Sultan Yahya Petra telah berkahwin dengan isteri keduanya, Elia Suhana Ahmad, 30, pada 31 Disember 2007.

Pernikahan itu disahkan oleh Ketua Pendaftar, Nikah, Cerai, Rujuk JHEAIK, Hasnan Ramli ketika dihubungi Utusan Malaysia .

“Saya hanya boleh mengesahkan perkahwinan Sultan Kelantan dengan isteri kedua baginda itu,’’ katanya.

Sebelum itu akhbar The Malay Mail dalam versi online melaporkan misteri identiti salah seorang daripada dua wanita yang dibawa melawat Sultan Ismail Petra yang gering di Hospital Mount Elizabeth, Singapura pada pukul 4.20 pagi 8 Oktober lalu.

Laman web tersebut semalam melaporkan pengakuan Elia Suhana sebagai isteri kedua Sultan Kelantan.

Elia Suhana dalam laman web tersebut mendakwa terpaksa mendedahkan kedudukan sebenar dirinya bagi memperbetulkan laporan akhbar Malay Mail pada 21 Disember lalu yang menyiarkan berita dua wanita dibawa secara senyap-senyap ke hospital itu bagi melawat Sultan Kelantan.

Penyiaran berita yang bertajuk Police Ruckus In Royal Ward dalam akhbar itu didakwa Elia Suhana telah menimbulkan pandangan negatif terhadap baginda, institusi kesultanan dan polis istana.

Utusan Malaysia hari ini turut menerima kenyataan akhbar setebal lima muka surat melalui faks yang ditandatangani Elia Suhana dan dikatakan turut dihantar kepada semua media untuk membuat penjelasan itu.

Turut dilampirkan salinan sijil perkahwinan serta kad perakuan nikahnya.

Mengenai Nik Rorhana ini, Abu Bakar berkata wanita itu dari Taman Petranis, Jalan Sultanah Zainab II, Kota Baharu, bertindak selaku plaintif manakala Elia Suhana dinamakan defendan.

Abu Bakar berkata, dari segi prosedur, pendaftaran itu sah dan pihak pendaftar mahkamah boleh menerima permohonan memfailkan kes perceraian itu tanpa mengira siapakah individu berkenaan.

"Soal keputusan sama ada perceraian itu sah atau tidak mengikut undang-undang Islam, bergantung kepada keputusan Mahkamah yang akan mendengar kes berkenaan.

"Saya hanya boleh mengesahkan menerima permohonan untuk mendaftar kes penceraian antara Sultan Kelantan dengan isteri keduanya, Che Puan Elia... berdasarkan dokumen dan fail yang ada pada saya... itu saja," katanya kepada pemberita, di Kota Bharu, semalam.

"Tuanku bukan sebagai pihak yang mendakwa, tidak sebagaimana yang laporkan dalam media sebelum ini.

"Dari prosedur, kita boleh terima pendaftaran ini, sekiranya ada dalam peruntukan dan tidak dihalang oleh Perlembagaan," katanya.

Saturday, January 30, 2010

HINA RAJA: ADUKA TARUNA AKAN JADI KES RUJUKAN?

Sebagai rakan blogger, saya bersimpati dengan Aduka Teruna kerana beliau dihadapkan ke mahkamah kerana tulisannya.

Saya bersimpati kepadanya kerana ditimpa kesusahan, namun ini tidak bermakna saya bersetuju dengan tulisannya.

Persoalannya, kenapa beliau menulis seperti itu dan membolehkan beliau dihadapkan ke mahkamah? Apakah entri bersifat sedemikian berbaloi?

Apakah beliau menulis kerana pendirian dirinya atau dipengaruhi oleh pihak-pihak lain? Apakah apabila PAS Johor mahukan beliau dikenakan tindakan bermakna parti politik, kawan-kawan politik serta rakan-rakan politiknya tidak mempengaruhinya.

Komen-komen dalam blog beliau menunjukkan reaksi berbagai dan unsur-unsur kepartian begitu terserlah yang membayangkan kepada kita, Aduka Teruna mungkin dipengaruhi pihak tertentu yang menyebabkan beliau boleh membuat entri berkenaan.

Aduka Teruna yang baru berkahwin sudah pasti menghadapi tekanan dan dengan kes mahkamah seperti ini akan menguji beliau sepenuhnya.

Apakah kes seorang penulis blog ini yang dihadapkan ke Mahkamah Sesyen Seremban semalam atas tuduhan menghina Almarhum Sultan Johor akan menjadi ikutan dan rujukan?

Apakah Aduka Teruna atau Khairul Nizam Abd Ghani, 29 satu-satunya yang wajar dituduh menghina Raja Melayu?

Bagaimana dengan kes blogger lain di Perak, Selangor dan Terengganu yang bukan sahaja menghina malah mempertikaikan setiap keputusan Sultan mereka?

Apakah kes seperti Aduka Teruna ini tidak berlaku?

Sewajarnya rakyat di negeri-negeri yang Sultan mereka menerima malu bertindak bagi membolehkan mereka yang menghina dan mempersoalkan keputusan Sultan atau Raja mereka bertindak bagi membawa mereka yang ‘menghina’ Sultan mereka ke muka pengadilan.

Beliau mengaku tidak bersalah terhadap tuduhan menghina dengan niat untuk menyakiti institusi kesultanan Johor dan rakyat antara jam 7.25 sehingga 9.05 pada 22 Jan.

Khairul Nizam dituduh mengikut Seksyen 233(1)(A)Akta Komunikasi dan Multimedia 1998, yang jika didapati bersalah boleh dikenakan hukuman denda tidak lebih RM50,000 atau penjara tidak lebih setahun atau kedua-duanya.

Mahkamah membenarkannya diikat jamin sebanyak RM5,000 dengan seorang penjamin.

Sebelum ini Aduka Teruna diperintahkan direman empat hari oleh magistret Kota Bharu.

Dalam kes di Terengganu umpamanya, ada blogger tertentu yang bukan sekadar mempersoalkan keputusan Tuanku Mizan Zainal Abidin tetapi dalam tulisan sesetengah blogger, ia turut mempunyai unsur menghina?

Tuanku Mizan bukan sekadar Sultan, baginda juga Yang DiPertuan Agong.

Apakah tiada rasa hormat hanya kerana menyokong pihak tertentu dalam kemelut politik Terengganu yang menyebabkan ada tulisan sedemikian?

Lalu teringat saya kepada satu entri Datuk Noh Omar dalam blognya bertajuk “ADAT MELAYU PANTANG DERHAKA KEPADA SULTAN !!!

Apabila beliau mengatakan adat Melayu, orang Melayu di Malaysia sewajarnya faham bahawa adat inilah yang menjadi ‘pengawal’ kepada tindak-tanduk orang Melayu selama ini.

Persoalan lain ialah apakah orang muda Melayu sekarang tidak tertakluk kepada perkara ini?

Dan jika ada Melayu yang tidak ‘beradab’ dan membelakangkan adat Melayu, bukankah mereka ini sedikit sebanyak sudah menderhaka kepada Sultan mereka?

Baca dan fahami apa yang ditulis oeh Noh:

Oleh Dato’ Noh Omar (www.nohomar.com)
7 Mac 2009

Orang Melayu hendaklah berpegang kepada ‘Adat Melayu pantang derhaka kepada Sultan’. Berlaku biadap sehingga boleh membawa kemurkaan kepada Baginda Sultan adalah perbuatan derhaka yang menjadi pantang larang kepada kalangan masyarakat melayu kerana ia merupakan sebesar-besar jenayah dalam Negeri Melayu. Oleh itu kebiadapan dan penderhakaan rakyat terhadap Raja-Raja Melayu perlu dihentikan dan semua rakyat di negara ini harus tunduk dan taat kepada Sultan dan Raja dengan ketaatan dan kesetiaan yang tidak berbelah bagi.

Sebagai rakyat di bawah naungan payung pemerintahan Baginda Sultan Sharafuddin Idris Shah, Sultan Selangor Darul Ehsan, saya amat terharu dengan keprihatinan Baginda terhadap perpecahan yang berlaku di kalangan rakyat khususnya kalangan masyarakat Melayu. Kemurkaan Baginda jelas kerana terkilan dengan golongan Melayu yang mengenepikan sejarah perjuangan bangsa dan terhakis nilai dan jati diri sehingga sanggup berada di bawah telunjuk orang lain demi mencapai cita-cita politik mereka.

Perjuangan bangsa Melayu untuk menjadi bangsa yang unggul setaraf dengan bangsa-bangsa lain masih belum kesampaian. Orang Melayu perlu bersatu bagi menjayakan perjuangan ini. Sebarang pertikaian dan masalah yang timbul boleh diselesaikan secara sopan melalui permuafakatan bak kata pepatah “Bulat air kerana pembetong, bulat manusia kerana muafakat". Jangan diulangi sejarah kegemilangan Kesultanan Melayu Melaka yang hanya mampu bertahan kira-kira 100 tahun. Bangsa Melayu hilang maruah dan terhina lebih 460 tahun lamanya sebelum kita bebas membina semula maruah bangsa dan negara yang merdeka yang pada tahun ini mencecah 52 tahun.

Maka dengan itu, saya ingin menasihatkan orang melayu supaya jangan jadi seperti "Nasib Pak Kaduk...menang sorak, kampung tergadai" dan jangan sekali-kali mendengar guruh di langit air di tempayan dicurahkan. Berpeganglah apa yang ada jangan kelak sampai yang dikejar tak dapat yang dikendong berciciran!

Thursday, January 21, 2010

APA HUKUMAN JIKA MENGHALANG TUGAS RAJA? T

Tindakan boleh dikenakan mengikut Seksyen 188 Kanun Keseksaan kerana menghalang penjawat awam dalam melaksanakan tugasnya.

Manakala adalah satu kesalahan dibawah Seksyen 14 Akta Kesalahan Kecil kerana mengeluarkan kata-kata kesat terhadap penjawat awam.

Persoalannya apakah tindakan juga sama boleh dikenakan mengikut Seksyen 188 Kanun Keseksaan kerana menghalang Duli Yang Maha Mulia Tuanku Al-Sultan dalam melaksanakan tugasnya ? Atau lebih berat ?

Manakala persoalan seterusnya adakah satu kesalahan yang sama dibawah Seksyen 14 Akta Kesalahan Kecil kerana mengeluarkan kata-kata kesat terhadap Duli Yang Maha Mulia Tuanku Al- Sultan ? Atau lebih berat ?

ISU 1, MENGHALANG TUGAS DYMM SULTAN TERENGGANU

DYMM Sultan telah menjalankan tugas baginda apabila pejabat Sultan Terengganu telah mengumumkan pelantikan Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Kijal, Datuk Ahmad Said, sebagai Menteri Besar baru walaupun 22 Adun Barisan Nasional (BN) di negeri ini sebulat suara mahukan Datuk Seri Idris Jusoh dilantik semula.
Berikutan itu, semua 22 Adun yang mengadakan mesyuarat khas di sini semalam, berikrar memulaukan majlis angkat sumpah Ahmad, sebagai Menteri Besar yang dijadualkan di Istana Tamu, pagi ini. Malah, mereka turut menegaskan akan meletak jawatan jika Idris tidak dilantik semula untuk jawatan itu.

Kenyataan pejabat Sultan Terengganu kepada Bernama telah menyebut;:

"Mengikut peruntukan Fasal 14 Perenggan (2)(a) Undang-undang Bagi Diri Kerajaan Terengganu (Bab 2), Majlis Penasihat Pemangku Raja dalam melaksanakan fungsi bagi pihak Pemangku Raja. Dengan ini telah memilih untuk melantik Datuk Ahmad Said sebagai Menteri Besar Terengganu, untuk mengetuai Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri Terengganu."

Isu pelantikan Menteri Besar Terengganu berlarutan selama 14 hari selepas pilihan raya umum 8 Mac lalu.

Mengikut Dato’ Seri Utama DR. Rais Yatim dalam Berita Minggu 8 Mac 2009 bahawa Kuasa diraja negeri Perak yang ada di bawah 16 (4) tadi didapati hanya ada di beberapa negeri. Dua daripadanya ialah Perlis di bawah Sesyen 39 dan Terengganu di bawah kuasa lama 1911 yang pada tahun 1948 dipinda dan menjadi kuasa mutlak bagi Sultan Terengganu. Dalam proses melantik seseorang Menteri Besar, Sultan di ketiga-tiga negeri ini berkuasa penuh untuk menentukan siapa yang baginda rasa wajar. Jadi kuasa ini dianggap kuasa tradisional. Kuasa turun-temurun dunia Melayu ini lagi dan selepas Inggeris mengaturkan pada 1948, di bawah Perjanjian Persekutuan Malaya 1948. Semua negeri Melayu mempunyai beberapa bidang pindaan kepada Perlembagaan yang ada. Jadi bagi negeri Perak, Perlis dan Terengganu khususnya mempunyai kuasa-kuasa itu.

Kuasa untuk memberi pengampunan semuanya ada. Kuasa untuk menentukan Raja itu boleh menjalankan tugas dalam bidang tradisi ada di beberapa kelompok kuasa di Negeri-Negeri Melayu Yang Bersekutu, tetapi tidak ada di dalam Negeri-negeri Melayu Tidak Bersekutu.
Sultan mempunyai kuasa melantik seseorang Menteri Besar dari kalangan yang baginda dapati sesuai dan untuk melantik seseorang Menteri Besar di bawah Klausa 4 itu, baginda boleh mengetepikan mana-mana peruntukan Perlembagaan Negeri jika pada pendapat baginda ini sesuai dan berpatutan.

Kenyataan diatas dapat dirujuK kepada Perlembagaan Negeri Terengganu (Undang-Undang Diri Negeri Terengganu 1911 & 1948) sebagaimana dibawah;

PERUNTUKAN DIBAWAH UNDANG-UNDANG DIRI NEGERI TERENGGANU 1911 FASAL 29(kuasa lama sebagaimana penerangan Dato' Seri Utama di atas)MEMILIH DAN MENJADIKAN MENTERI BESAR DAN NAIBNYA ADALAH SEMATA-MATA HAK BAGI SULTAN

PADA UNDANG2 DIRI NEGERI TERENGGANU TAMBAHAN 1948 DIBAWAH FASAL 14(4) (Pindaan 1948 segaimana penerangan Dato' Seri Utama di atas) TAKALA MELANTIK SEORANG MB MAKA BOLEHLAH DYMM MENGIKUT TIMBANGAN BAGINDA SENDIRI, MENINGGALKAN MANA-MANA SYARAT DALAM FASAL 10 YANG MENGHADKAN PILIHAN BAGINDA AKAN MB ITU JIKA SEKIRANYA PADA FIKIRAN BAGINDA MUSTAHAK MENINGGALKANYA KERANA HENDAK MENUNAIKAN KEHENDAK-KEHENDAK FASAL 10 INI.

ISU 2, MENGELUARKAN KATA-KATA KESAT TERHADAP DYMM SULTAN TERENGGANU


Apakah hukuman yang setimpal ?????

www.teganukini.blogspot.com (18 Jan 2010)