Showing posts with label Internet. Show all posts
Showing posts with label Internet. Show all posts

Friday, November 18, 2011

REMAJA PEREMPUAN MUDAH DIPERDAYA MELALUI INTERNET

Masa sudah tiba dan sesuai sangat jika diadakan satu cara atau membentuk langkah berkesan kempen keselamatan siber demi untuk melindungi remaja perempuan daripada menjadi mangsa penyalahgunaan internet dan juga telefon bimbit.

Malah ibu bapa juga perlu diberikan pendidikan untuk mengetahui akan bahaya yang sedang menanti anak-anak remaja mereka jika terdedah kepada penyalahgunaan siber ini.

Satu tinjauan yang dijalankan oleh Women’s Centre for Change (WCC)di Pulau Pinang mendapati, remaja perempuan mudah terpedaya dengan orang yang tidak mereka kenali melalui telefon bimbit dan juga internet.

Tinjuan tersebut mendapati, 80% daripada 100 remaja perempuan berusia antara 15 hingga 17 tahun dengan mudah menerima panggilan atau khidmat pesanan ringkas (SMS) daripada orang yang tidak mereka kenali menerusi telefon bimbit sementara 54% lagi telah bersembang melalui internet dengan orang yang tidak mereka kenali sebelum ini.

Pengarah WCC, Dr Prema Devaraj berkata dalam satu sidang akhbar hari ini, tinjauan lapan bulan itu juga mendapati, wanita muda juga kini dengan mudah terdedah kepada orang yang tidak mereka kenali termasuklah mereka yang mempunyai niat jahat.

“Mereka ini tidak sedar akan bahaya yang mereka hadapi dengan berkongsi maklumat peribadi dengan orang yang tidak mereka kenali. “Malah kebanyakkan mereka tidak faham akan bahaya menjalinkan persahabatan dengan orang yang tidak pernah mereka kenali sebelum ini melalui cara bersembang dalam talian atau menerusi telefon," katanya.

Menurut Dr Prema, remaja perempuan dan wanita muda ini mungkin berpendapat adalah masih selamat untuk berkomunikasi dengan orang yang tidak pernah mereka kenali sebelum ini menerusi talian atau sms kerana tidak bertemu muka.

Bagaimanapun tegas Dr Prema, mereka yang berniat jahat akan dengan mudah memperdayakan remaja dan wanita muda ini secara tidak sedar tanpa mangsa mereka merasa suspek apa-apa.

Ini mereka lakukan dengan memperolehi kepercayaan mangsa mereka terlebih dahulu sebelum mula bertindak ke atas mangsa.

"Kita dapati, sesetengah mangsa rogol telah melalui pengalaman seperti ini," katanya.

Mangsa kemudiannya dengan mudah diugut setelah foto mereka melakukan adegan-adegan yang terlarang jatuh ke tangan penjenayah ini.

Dr Prema juga berkata, tinjauan mereka turut mendapati, satu pertiga daripada perempuan remaja telah diminta mengirimkan bahan-bahan yang menghairahkan atau memiliki unsur seks oleh orang yang tidak mereka kenali ini sama ada menerusi internet atau telefon bimbit.

Tinjauan itu yang dijalankan antara Januari hingga Ogos tahun ini di 10 buah sekolah di sini juga mendapati 17.3% daripada remaja perempuan telah menjalin persahabatan dengan orang yang tidak mereka kenali sebelum itu menerusi telefon bimbit.

Katanya lagi, 29.6% responden yang memiliki telefon bimbit telah terdedah kepada sms atau mms berunsur ghairah atau seksual daripada orang yang tidak mereka kenali.

Pada masa yang sama katanya, 36% responden yang berinteraksi menerusi rangkaian sosial seperti Facebook, Friendster dan MySpace, pula telah terdedah kepada pertanyaan berunsur seksual.

“Kita dapati 23% daripada responden telah berkongsi maklumat peribadi seperti nama sebenar, alamat dan umur dengan orang yang tidak dikenali,” kata beliau.

Friday, July 3, 2009

POLIS ISYTIHAR PERANG KEGIATAN JUDI INTERNET

Live bukan sahaja di tv. Live juga ada di internet. Namun ‘live’ itu berbeza kerana ia turut membabitkan ‘judi secara langsung’ di layar internet.

Persoalannya siapa ramai datang ke pusat Internet? Siapa pemilik dan siapa pula pengunjungnya?

Belia Melayu atau bukan Melayu? Apakah mereka daripada keluarga kaya, miskin atau sederhana?

Untuk apa? Belajar, chat atau berjudi? Mungkinkah ramai yang terlibat dalam kegiatan judi internet? Siapa yang memantau mereka ketika berada di pusat sedemikian?

Sehingga ini belum ada statistik rasmi mengenai siapa paling ramai terbabit dengan kegiatan haram ini.

The Star pada 30 Jun lalu di muka hadapannya turut mendedahkan judi di internet.

Sewajarnya pihak berkuasa mendedahkan perkara ini untuk membolehkan pihak berwajib, ibu bapa atau juga sesiapa sahaja melakukan sesuatu mengelakkan anak atau ahli keluarga mereka melakukan kerja keji ini di pusat internet.

Sewajarnya kita sambut baik keputusan Polis Diraja Malaysia (PDRM) yang mengumumkan semalam ia mengisytiharkan perang terhadap kegiatan perjudian haram yang dijalankan melalui Internet di negara ini.

Tindakan tegas itu berikutan kewujudan pusat-pusat perjudian Internet haram di negara ini yang semakin banyak dan membimbangkan.

Namun, apakah cara-caranya yang boleh dilakukan oleh orang ramai mengelakkan anak dan keluarganya menmghindari pusat-pusat seperti ini?

Ketegasan pasukan polis terbukti apabila sejak Januari sehingga 30 Jun lalu, sebanyak 2,029 serbuan telah dilakukan di pusat-pusat Internet yang dikenal pasti menawarkan kegiatan perjudian.

Menurut Pengarah Siasatan Jenayah Bukit Aman, Datuk Seri Mohd. Bakri Mohd. Zinin, sepanjang tempoh itu juga, sebanyak 22,493 mesin judi Internet telah dirampas selain 3,204 suspek ditahan.

"Sehingga kini, polis mengesan terdapat empat sindiket yang mengendalikan kegiatan haram ini yang menggunakan khidmat pengendali (server) perjudian dari luar negara. Kesemua sindiket berkenaan didapati bergerak dari satu tempat ke tempat lain.

"Sebagai langkah segera, Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman telah mengetuai operasi membanteras perjudian haram terbabit," katanya kepada pemberita di sini hari ini.
Beliau mengulas laporan media pada Selasa lalu, berhubung dakwaan wujudnya pusat perjudian dan minikasino haram yang semakin banyak di Lembah Klang berikutan terdapatnya beberapa perkakasan (software) baru yang menghubungkan sindiket perjudian dari Hong Kong dan Filipina.

Kelmarin, operasi kasino dan pusat perjudian mesin slot di seluruh Rusia mula ditutup apabila pihak berkuasa negara terbabit menguatkuasakan undang-undang baru yang lebih tegas sebagai usaha melumpuhkan industri perjudian di negara tersebut.

Jelas Mohd. Bakri, penularan minikasino dan pusat perjudian Internet haram itu turut menjadi 'wabak' yang sedang melanda negara-negara Asia lain termasuk Indonesia, Singapura dan Thailand.

"Polis tidak akan berkompromi dan akan mengambil tindakan undang-undang terhadap mereka yang didapati terlibat dalam kegiatan haram terbabit," katanya.

Thursday, June 25, 2009

12 JUTA PENGGUNA INTERNET - APA UMNO-BN BUAT?

Tak ada apa-apa? Tak kisah?

Cukup kuat dengan jentera di bahagian atau cawangan? Media baru tiada pengaruh?

Barisan Nasional (BN) ada Radio Televisyen Malaysia (RTM) ,rangkaian Media Prima (Berita Harian, Harian Metro, New Straits Times, TV3,tv7 dan tv9), Bernama dan bernama tv juga Utusan Malaysia selain media berbahasa Cina dan Tamil?

Ini belum masa Kementerian Penerangan dan Jabatan Penerangan.

Bolehkah rangkaian dipancarkan oleh Astro sebagai alat untuk memberikan maklumat sebenar kepada rakyat?

Persoalannya ada dua. Pertama, apakah semua penggendali stesen dan media cetak dan elektronik menyokong kerajaan? Kedua, apakah yang setia kepada BN itu mampu menjalankan tugas seperti diharapkan?

Ramai lagi saki-baki penyokong Datuk Seri Anwar Ibrahim menjadi orang penting yang dilantik oleh kerajaan sendiri di media utama kerajaan. Mereka ini kumpulan yang mampu ‘bermain wayang’ dan mengancam kerajaan secara senyap

Sementara di kalangan yang menyokong kerajaan, ada yang hanya berminat memegang jawatan dan makan gaji tetapi banyak masa untuk golf, santai atau curut.

Tidak dinafikan mereka setia dengan kerajaan tetapi sekadar menyatakan setia tidak akan mampu mempertahankan kerajaan yang ada.

Persoalan lain ialah apakah penerimaan generasi muda sekarang terhadap rangkaian media berkenaan?

Kalaupun mereka pengikut setia umpamanya Harian Metro atau majalah hiburan apakah ada agenda politik di media berkenaan? Bukankah ia hanya untuk kepentingan jualan dan iklan bukan untuk mengubah pemikiran atau spin terhadap isu-isu tertentu?
Apa BN kaji dalam konteks kepercayaan umum terhadap media tempatan yang dikawal kerajaan?

Hakikatnya BN mungkin masih selesa dengan alat penyamaian media baru.

Sedangkan cara media baru spin isu yang boleh menghentam, memburuk-burukkan, mempersenda dan memperlekehkan kerajaan begitu banyak.

Kebanyakan media baru kini lebih pro kepada pembangkang. Kenapa? Kerana kerajaan melihat peranan media baru kurang penting, sikap yang dipertahankan sejak 10 tahun lalu.

Selain itu media baru dilihat tidak glamour, tidak ramai penonton atau pembaca dan mainan ‘budak-budak muda’.

Sedangkan pembangkang menjadikan media baru sebagai alternatif kepada ‘media rasmi kerajaan’ yang dilihat propaganda dan publisiti murahan.

Pembangkang, terutamanya PAS melihat mereka perlu merebut peluang yang terdedah dengan sejumlah 12 juta rakyat negara ini mengakses internet .

Sekali gus mendekatikan parti itu dengan hubungan yang lebih luas, pantas dan berpengaruh.
Dengan kedudukan pendekatan dan pencambahan teknologi maklumat dalam era globalisasi begitu rapat dengan rakyat, ia memberi peluang kepada PAS untuk berada di sisi segenap lapisan masyarakat dalam negara ini.

Fenomena -fenomena seperi Facebook dan blog seharusnya dimanfaatkan oleh PAS bukan sahaja dalam konteks kekeluargaan dan pengajian tetapi dalam konteks lebih luas termasuklah panyaluran maklumat dalam bidang politik.

PAS berusaha membentuk kumpulan penonton dan pemanggil khususnya dalam siri program realiti yang bersifat wacana intelektual.

PAS memanfaatkan pendekatan ini supaya ada kumpulan penonton dan pemanggilan terus membuat panggilan terhadap rancangan yang disiarkan siaran langsung yang banyak membincangkan isu-isu semasa.

PAS benar-benar mengambil kesempatan ini dalam pelbagai bentuk strategi untuk menyampaikan pendapat dan pandangan dalam pelbagai isu.

Bukan PAS sahaja percaya tetapi saya juga percaya dengan pendekatan ini PAS mampu menguasai pemikiran masyarakat walaupun tidak boleh memonopoli media.

PAS tahu masyarakat luar bandar lebih mempercayai medium penyiaran yang dianggap paling berkesan mempengaruhi mereka, namun PAS tidak berdiam diri dan akan memastikan maklumat akan sampai ke akar umbi.

Dengan wujudnya akhbar alternatif dan blog-blog di dalam internet - sekali gus, maklumat itu disampaikan kepada ahli keluarga yang berada di luar bandar.

PAS membekalkan pelbagai bekalkan maklumat mereka kepada jentera penerangan di peringkat kawasan dengan isu peringkat nasional serta pendirian parti serta dasar yang mampu mengubah pemikiran rakyat bawahan.

Selain itu Lujnah Penerangan PAS sedang mewujudkan kumpulan pembaca dan penulis media utama sebagai usaha membentuk pemikiran dan fikrah rakyat terhadap persoalan dan isu yang berbangkit dalam negara.

Bagaimana dengan Penerangan BN dan UMNO?