Followers

Showing posts with label pelarian. Show all posts
Showing posts with label pelarian. Show all posts

Wednesday, February 1, 2017

US BAN: CEO Starbucks Mula Protes



CEO Starbucks rancang upah 10,000 pelarian selepas sekatan Trump

 NEW YORK: Ketua Pegawai Eksekutif Starbucks Corp, Howard Schultz berkata, syarikat itu merancang untuk menggaji 10,000 pelarian di 75 negara dalam tempoh lima tahun, dua hari selepas perintah eksekutif Presiden Amerika Syarikat (AS) Donald Trump yang mengharamkan kemasukan pelarian dari negara tertentu ke negara itu.

Trump pada Jumaat mengumumkan sekatan terhadap kumpulan pelarian ke AS selama empat bulan manakala pelancong dari Syria serta enam negara Islam lain dihalang masuk ke negara itu buat sementara waktu kerana menganggap langkah itu akan membantu melindungi rakyat AS daripada serangan pengganas.

Perintah itu mencetuskan kritikan antarabangsa, kemarahan aktivis hak-hak sivil dan cabaran undang-undang secara meluas.

Starbucks dalam satu surat daripada Schultz memberitahu pekerja-pekerjanya bahawa syarikat itu akan melakukan segala yang mungkin untuk menyokong pekerja yang terlibat.

Usaha pengambilan yang diumumkan pada Ahad akan bermula di AS dengan memberi tumpuan kepada individu yang telah berkhidmat dengan tentera AS sebagai penterjemah dan kakitangan sokongan di pelbagai negara di mana pasukan tentera memerlukan sokongan tersebut, kata Schultz.

Schultz telah bersikap lantang dalam pelbagai isu dan telah meletakkan Starbucks dalam perhatian negara, apabila ia meminta pelanggan untuk tidak membawa senjata api ke dalam premisnya dan menggesa perbualan mengenai hubungan kaum.

Trump dan badan perundangan Republikan yang dikawal juga sedang meneliti untuk melemahkan Akta Penjagaan Mampu, yang lebih dikenali sebagai Obamacare.
 
Schultz akan meletak jawatan sebagai Ketua Pegawai Eksekutif dalam masa beberapa bulan untuk memberi tumpuan kepada kedai-kedai kopi mewah baharu, menyerahkan jawatan tertinggi itu kepada Ketua Pegawai Operasi Kevin Johnson, yang sudah lama menjadi eksekutif teknologi.

Dia akan menjadi pengerusi eksekutif pada April ini.

Schultz juga mengesahkan komitmen syarikat itu untuk berdagang dengan Mexico.

Read more at http://www.mstar.com.my/berita/berita-dunia/2017/01/30/starbucks-upah-pelarian/#R43cgqeqLjJ1D2R8.99

Monday, August 20, 2012

Kisah pelarian Rohingya di KL : 'Myanmar tanah air kami'

RUZY ADILA IDRIS
20 Ogos 2012
Kisah pelarian Rohingya: 'Myanmar tanah air kami'
Inilah rumah yang menjadi tempat berlindung Abd Rashid bersama rakan-rakan senegaranya.
Kisah pelarian Rohingya: 'Myanmar tanah air kami'
(Dari kiri) Mohamad Talib dan Noor kini memilih Malaysia sebagai tempat mencari rezeki.
Kisah pelarian Rohingya: 'Myanmar tanah air kami'
(Dari kiri) Mohd Alam Shamsudin dan Abd Rashid Azizulhuk bersama rakan serumah turut mengikuti perkembangan keluarga melalui akhbar.
 
PELARIAN Rohingya Islam yang berada di Malaysia masih menaruh harapan agar episod penindasan terhadap komuniti itu yang sudah berlangsung sejak sekian lama segera berakhir. Harapan mereka dapat kembali bersatu dengan keluarga masing-masing di Myanmar.

Walaupun keganasan etnik yang berlaku sejak awal Jun lalu menyebabkan lebih 80 terbunuh manakala lebih 80,000 hilang tempat tinggal, beberapa anggota komuniti Rohingya yang ditemui di Kuala Lumpur masih berharap agar konflik itu segera berakhir.

Presiden Myanmar mengumumkan pembentukan sebuah suruhanjaya 27 anggota untuk menyiasat keganasan etnik di wilayah Barat negara itu.

Dalam pertemuan dengan Sinar Harian Online minggu lalu, Mohd Alam Shamsudin, 47, yang berasal dari daerah Mongdu di negeri Rakhien (Arakan) berkata, walaupun hak kewarganegaraan etniknya dinafikan, namun ia adalah tanah kelahiran mereka.

"Mana mungkin saya lupakan tanah air saya, tanah kelahiran saya dan kaum keluarga yang terpaksa saya tinggalkan demi keselamatan.

"Saya memutuskan untuk meninggalkan kampung halaman pada tahun 1989 dan menjadi pelarian ketika berusia 24 tahun kerana tidak tahan menanggung penderitaan akibat ditindas.

"Orang Rakhien ketika itu memang memandang orang Islam Rohingya dengan penuh kebencian dan setiap apa yang dilakukan oleh kami adalah salah di mata mereka, sebaliknya apa yang mereka buat adalah betul belaka," katanya.

Ujar Mohd Alam, orang Rohingya bukan sahaja sukar mendapatkan status warganegara, malah mereka juga terpaksa menghadapi diskriminasi selain pergerakan yang dihadkan termasuk dalam isu perkahwinan serta anak.

Menyingkap bibit awal ketika berada di negara ini, Mohd Alam mengakui pernah ditangkap pihak polis kerana tidak mempunyai dokumen perjalanan yang sah pada 1992.

"Saya gagal menunjukkan pasport seperti yang diminta pihak berkuasa kerana apa yang saya ada hanyalah surat daripada Pesuruhjaya Tinggi Pelarian Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (UNCHR).

"Saya kemudiannya dihantar ke Penjara Kajang selama dua bulan sebelum dihantar ke Penjara Pudu selama lebih kurang tiga hari dan dihantar ke Hadyai, Thailand.

"Dari sana, saya berusaha masuk kembali masuk ke negara ini kerana di sana pelarian-pelarian ini dilayan dengan teruk sekali," kata bekas pelajar sekolah tinggi ini.

Anak saudaranya, Mohd Alam yang turut berada di negara ini, Abd Rashid Azizulhuk, 37, berkata, walaupun pernah melalui beberapa episod sedih sepanjang menjadi pelarian, namun hatinya tetap bersemangat untuk meneruskan kehidupannya.

"Dari kampung, saya berjalan kaki ke Thailand yang memakan masa berhari-hari dan bekerja di kilang pengimpal selama sembilan bulan," katanya. Duit yang dikumpul itulah dia gunakan untuk datang ke Malaysia pada 1993 dengan menaiki bas. Tambang ketika itu RM25.

"Pada awal ketibaan saya di sini, saya berhadapan dengan pelbagai kesukaran hidup termasuklah terpaksa menahan perut kerana tidak ada duit untuk makan selama beberapa hari, tidak dibayar upah selepas selesai membuat pekerjaan dan kesukaran berkomunikasi kerana sukar memahami bahasa Melayu.

"Saya juga pernah ditahan selama tujuh bulan dan 27 hari di kem tahanan pelarian di Sepang.

"Kini hidup saya lebih teratur kerana mempunyai kerja yang tetap dan di sini saya bekerja di sebuah kilang besi," katanya ketika ditemui di rumah yang di sewa bersama kawan-kawan Rohingya di Kampung Cheras Baru, baru-baru ini.

Selain Mohd Alam dan Abd Rashid, turut tinggal serumah ialah Mohd Nesar Kamal Hussain, 40. Dia mengakui sering merindui kampung halamannya hanya mampu mengikuti setiap perkembangan yang berlaku di Arakan melalui televisyen ataupun akhbar.

Dia turut menyuarakan kebimbangan mengenai peningkatan ketegangan di negara itu terutamanya sepanjang bulan Ramadan lalu.

"Saya juga ada menelefon keluarga di kampung. Saya juga tidak boleh bayangkan kesukaran umat Islam di sana kerana walaupun mereka ada wang, belum tentu mereka boleh membeli apa-apa," katanya.

Selain Mohd Nesar, Noor Mohammed, 46, yang berasal dari Sittwe, berhijrah ke Malaysia pada 1966 pada usia 28 tahun. Dia tidak dapat kembali ke Arakan.

"Pada tahun 1995, saya baru habis belajar dalam jurusan Tafsir, Fekah dan Hadis dari Madrasah Al-Jamiah Islamiah di Cittagong, Bangladesh.

"Ketika cuba masuk kembali Myanmar, saya telah dihalang oleh tentera dan dituduh sebagai ektremis Islam hanya kerana penampilan pakaian saya yang berjubah, berkopiah serta menyimpan janggut," katanya.

Atas nasihat guru-gurunya, Noor kemudiannya datang ke Malaysia kerana mereka berpendapat adalah lebih selamat datang ke sini kerana sebuah negara Islam.

"Saya agak bernasib baik kerana mempunyai pasport kerana sudah lama tinggal di Bangladesh dan berjaya mendapat status Penduduk Tetap.

"Disebabkan saya mempunyai sijil agama dan kebetulan sebuah masjid di Sentul memerlukan imam, saya kemudiannya ditawarkan untuk bekerja di situ," katanya yang bertindak sebagai imam hingga sekarang.

Bapa kepada dua orang cahayamata lelaki ini berkata, setiap kali menjelang Aidilfitri, lebih 200 orang Rohingya yang datang dari sekitar Kuala Lumpur termasuk Ampang, Sentul dan Selayang untuk solat di masjid itu.

Katanya, peluang inilah yang digunakan oleh sesama mereka untuk bertanya khabar sambil mengeratkan hubungan.

Mohamad Talib Mohd Muslim, 39, yang juga sepupu Noor, merupakan rakan sekuliah di madrasah yang sama ketika ditemui di rumahnya di Pangsapuri Sentul Utara berkata, jika diberi pilihan untuk memilih negara ketiga, dia tetap mahu tinggal di Malaysia kerana negara ini sangati aman dan damai.

Mohamad Talib yang sudah berkahwin dengan seorang wanita Indonesia tiga tahun lalu itu tiba di Malaysia 10 tahun lalu selepas tidak tahan dengan tekanan yang dihadapi di Myanmar.

"Saya bersama 100 orang yang lain datang ke sini dengan menaiki bot dari Myanmar dan tiba di Thailand. Dari sana saya dihantar ke Klang.

"Pada peringkat awal, saya terpaksa bertukar-tukar kerja kerana berhadapan dengan masalah komunikasi sehinggalah sekarang saya sudah bekerja sebagai penghantar ayam di Pasar Chow Kit.

"Walaupun dengan gaji RM45 sehari dan waktu bekerja dari 3 pagi hingga 8 pagi, saya gembira dan bahagia di sini," kata pemegang kad pelarian UNHCR ini.

Penafian hak warganegara kumpulan ini bermula apabila Myanmar tidak mengiktiraf etnik Rohingya yang berketurunan Bengali sebagai rakyatnya kerana kumpulan itu hanya memasuki negara itu pada kurun ke-19 ketika pemerintahan British.

Rata-rata setiap anggota etnik Rohingya yang berada di Malaysia meletakkan harapan yang tinggi agar segala kerintangan yang dilalui akan berakhir dalam waktu terdekat.

Bila? Itu yang menjadi tanda tanya!