Cari Apa?

Jumaat, 30 Mac 2012

Guan Eng Gelabah - Kena Sound Dengan Ketua Pemuda UMNO Pulau Pinang

 
GEORGETOWN - Kerajaan Negeri sedang mempertimbangkan untuk mengambil tindakan undang-undang ke atas Ketua Pemuda Umno negeri, Shaik Hussein Mydin selepas beliau didakwa mengeluarkan kenyataan berunsur fitnah dan berniat jahat berkenaan isu Bayan Mutiara.

Ketua Menteri, Lim Guan Eng berkata, beliau sudah tidak boleh bersabar dengan sikap Shaik Hussein dalam isu berkenaan selain tindakannya yang cuba mengelirukan rakyat dengan pelbagai fakta tidak tepat.

Guan Eng berkata, Shaik Hussein sekali lagi menuduh beliau menjual tapak masjid dan sekolah yang diluluskan dalam pelan pembangunan asal Bayan Mutiara kepada pihak pemaju.

Menurutnya, tuduhan itu melampau kerana beliau bukan sahaja cuba mengapi-apikan sentimen perkauman, malah cuba mencetuskan isu berkaitan agama.

“Ini bukan kali pertama. Sebelum ini, dia pernah menuduh Kerajaan Negeri menjual tanah Bayan Mutiara tidak melalui tender terbuka walaupun Kerajaan Negeri telah membuktikan bahawa penjualan tanah itu dibuat secara tender terbuka.

“Dan sekarang dia berbohong lagi dengan mendakwa saya menjual tapak masjid di kawasan itu. Ini fitnah yang melampau dan saya telah arahkan peguam untuk mengkaji perkara ini supaya kita boleh ambil tindakan undang-undang ke atasnya,” katanya pada sidang media di sini, semalam.

Dalam pada itu, Guan Eng yang diminta menjelaskan mengenai status sebenar tapak masjid dan sekolah itu bagaimanapun enggan memberi sebarang komen dan berkata hanya akan memberi penerangan mengenai perkara itu dalam mahkamah nanti.

Sebelum ini, media melaporkan kenyataan Shaik Hussein mendakwa Guan Eng telah menjual tapak masjid dan sekolah di kawasan pembangunan asal Bayan Mutiara.

Shaik Hussein berkata, mengikut pelan asal Perbadanan Pembangunan Pulau Pinang (PDC) seperti yang diluluskan oleh MPPP pada 30 Oktober 2006, pelan kebenaran merancang fasa satu Bayan Mutiara mempunyai pelbagai jenis perumahan turut merangkumi pembinaan kompleks penjaja, balai polis, pusat komuniti, tapak sekolah dan tapak masjid.

Namun, beliau berkata, selepas Kerajaan Negeri menjual tanah seluas 41.6 hektar itu dengan harga RM1.1 bilion secara rundingan kepada syarikat Ivory Group, projek pembangunan itu tidak termasuk dengan pembinaan tapak masjid dan sekolah.-SH

Bicara Gades : Guan Eng nampaknya resah dan tak senang duduk dibuatnya apabila skandal Bayan Mutiara mendapat liputan meluas dalam media massa akibat pelbagai pendedahan yang dilakukan.

Khamis, 29 Mac 2012

Ridhuan Tee: Dong Zhong Masih Kuat Pemikiran Komunisnya



Profesor Madya Mohd Ridhuan Tee Abdullah hari ini berkata tuntutan oleh kumpulan aktivis pendidikan Cina, Dong Zong merupakan tindakan "biadab" kerana cuba menjadikan Malaysia seperti negara komunis China. "Tuntutan mereka amat tidak logik dan melampau. Walaupun komunis telah tiada, tetapi pemikirannya masih kuat. "Tuntut sebanyak-banyaknya, mereka tahu kerajaan tidak akan tunduk. Namun kerajaan akan beri sedikit, Pemberian sedikit itulah kemenangan terbesar buat mereka," katanya dalam satu tulisan di akhbar Utusan Malaysia hari ini. Ridhuan juga berkata, kumpulan "ultra kiasu" Dong Zong itu juga tidak ikhlas untuk membawa agenda kebangsaan dalam tuntutan mereka, tetapi hanya memfokuskan kepada agenda "Cina, Cina, Cina."

Katanya lagi, Dong Zong sepatutnya berterima kasih kepada kerajaan dan bukannya mengadakan "demonstrasi ultra kiasu." Tambahnya, tindakan itu sepatutnya menyebabkan kumpulan itu ditahan bawah ISA tetapi kerajaan tidak bertindak seperti itu. Keadaan itu berbeza dengan tindakan yang akan diambil kerajaan komunis China, yang menembak mati 800 orang dalam perhimpunan berdarah Tiananmen."


Lihat betapa bertuahnya negara ini, media ultra kiasu mempropagandakan isu ini tidak pernah habis dan terus memainkan sentimen perkauman. Kita terus berlembut."Jika ada pun tindakan, hanya surat tunjuk sebab dan amaran, pun tidak berani menjentiknya. Kenapa?"Nasihat saya, berilah sebanyak manapun, ultra kiasu tidak akan mengundi kita," katanya.
 
p/s: Sikap menghormati hak itu amatlah penting... Setiap orang di Malaysia perlu faham tentang maksudnya perpaduan dan saling menghormati antara kaum...  Jangan melampaui batas!

Guan Eng ditempelak dulu kritik, kini puji Hassan Marican

27 Mac 2012

KUALA LUMPUR - Cubaan Ketua Menteri Pulau Pinang Lim Guan Eng mempersoalkan kenapa kerajaan melepaskan bekas Ketua Pegawai Eksekutif Petronas, Tan Sri Hassan Marican, sehingga diberikan jawatan oleh syarikat Singapura, memakan diri hari ini.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri Tan Sri Nor Mohamed Yakcop berkata tindakan Lim (DAP-Bagan) yang cuba menunjukkan perhargaan bagi pihak pembangkang terhadap usaha Hassan memajukan Petronas, bertentangan dengan serangan yang dibuatnya terhadap Petronas dan Hassan semasa Lim menjadi Ketua Menteri pada 2008.

"Saya gembira kerana YB Bagan kini puji Tan Sri Hassan sebab saya masih ingat selepas menjadi Ketua Menteri pada tahun 2008, antara kritikan pertama yang beliau lakukan ialah terhadap pengurusan tertinggi Petronas.

"YB Bagan telah mengeluarkan komen bahawa pegawai atasan Petronas iaitu Tan Sri Hassan sering berbelanja dengan tinggi seperti menggunakan jet milik Petronas. Itu dulu la tapi sekarang dah puji," katanya kepada satu pertanyaan Lim semasa sesi soal jawab.

Lim meminta Perdana Menteri menyatakan sebab kenapa kerajaan melepaskan Hassan dan menyifatkan kehilangan itu sebagai satu tamparan terhadap usaha menarik balik hampir dua juta orang berbakat yang meninggalkan Malaysia sejak merdeka serta berapa ramai yang berjaya ditarik balik sejak Talent Corp ditubuhkan.

Nor Mohamed berkata Hassan memang diakui seorang tokoh korporat yang banyak menyumbang kepada negara.

"Kita yakin beliau akan terus menyumbang dari luar negara menerusi jaringan perniagaan dan jawatan yang disandangnya di Singapura dan ini akan membantu mengeratkan lagi hubungan antara dua negara," katanya.

Nor Mohamed berkata pemindahan pengetahuan antara negara asal dan negara destinasi akan menyumbang dalam peningkatan di bidang sains, teknologi dan rangkaian perniagaan mantap, seterusnya meningkatkan aliran perdagangan dan pelaburan asing kepada negara.

Beliau berkata fenomena migrasi modal insan tidak semestinya negatif tetapi mempunyai potensi positif terhadap sesebuah negara, khususnya dalam menarik pulang rakyat Malaysia yang berkepakaran tinggi serta membina jaringan pasaran sebagai saluran untuk mempromosi produk dan perkhidmatan ditawarkan Malaysia di luar negara.

Katanya pelantikan Hassan sebagai Pengarah Conoco Philips di Amerika Syarikat dan sebagai ahli lembaga syarikat di Singapura merupakan contoh yang baik bagi pengiktirafan modal insan Malaysia di luar negara selepas kejayaan dalam negara semasa beliau menerajui Petronas.

"Memahami keadaan dunia kini tanpa sempadan, kerajaan tidak kira mana negara sekalipun tidak dapat menghalang keinginan dan keupayaan seseorang untuk bermigrasi ke negara luar untuk sesuatu jawatan yang lebih baik," katanya.

Hassan, 57, telah berkhidmat selama 21 tahun di Petronas, menjadi Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Petronas selama 15 tahun dari Februari 1995 hingga Mac 2010.

Nor Mohamed berkata bagi mengimbangi keadaan itu, kerajaan melalui Talent Corp telah mengadakan sesi membangunkan jaringan dengan masyarakat Malaysia di luar negara termasuk di Australia, Amerika Syarikat dan United Kingdom, yang antara lain membolehkan masyarakat Malaysia di luar negara memahami dengan lebih mendalam lagi usaha Talent Corp untuk memudah cara kepulangan kumpulan profesional ke Malaysia serta menjelaskan peluang pekerjaan yang ditawarkan negara menerusi projek-projek di bawah Program Transformasi Ekonomi.

Beliau berkata pengenalan "Returning Expert Programme" (REP), satu program yang dirangka untuk memudah cara kepulangan golongan profesional Malaysia, menerima respon yang amat menggalakkan, berdasarkan peningkatan bilangan profesional yang telah diberi kelulusan REP yang meningkat kepada 680 orang tahun lalu, berbanding 313 tahun sebelumnya.

Nor Mohamed berkata penubuhan Talent Corp merupakan satu daripada usaha untuk menghalang tindakan proaktif Singapura yang giat menawarkan biasiswa, derma dan bantuan kepada pelajar-pelajar cemerlang bertujuan menarik pelajar pintar Malaysia ke negara itu.

"Kita semua setuju bahawa kita harus mengambil tindakan yang sedaya upaya untuk memastikan bahawa talent yang wujud dalam negara kekal dalam negara kita dan talent yang sudah berhijrah kita akan cari kaedah untuk membawa mereka kembali ke Malaysia, dan jika tidak, kita harus menggunakan jaringan yang ada untuk kepentingan negara," katanya menjawab soalan Datuk Ahmad Hamzah (BN-Jasin).- Bernama