Carian Anda

Selamat Datang...

Dengan lafaz Bismillah saya mulakan bicara...
Doakan semoga dikurniakan ilham dan kemudahan...

Musim untuk mengumpul duit. Mari mula menabung.

Showing posts with label Kenangan. Show all posts
Showing posts with label Kenangan. Show all posts

Saturday, May 21, 2011

Kita Hanya Pemberi Ingat...


'Kem Sayangi Daku' telah seminggu berlalu. Dan pengalaman sepanjang kem ini menjadi sebahagian lagi kenangan kehidupan.

"Hidup hanya sekali. Jadi, buat baik biar sepuasnya", kata seorang sahabat kepada saya. Dan saya perpanjangkan pesannya ini di sini.

Kenangan ini akan sedikit demi sedikit sirna. Sebelum saya benar-benar lupa, maka penulisan ini bagaikan pahat yang akan saya ukirkan di batu maya untuk terus mengingatkan saya akan kehidupan kecil saya ini.

Alhamdulillah, kem ini dapat berjalan mengikut apa yang dirancang. Dan dapat diakhiri dalam keadaan yang baik seperti yang dimaklumkan oleh seorang sahabat. Bak kata orang, husnul khatimah.

Maaf kerana saya tidak dapat bersama sehingga ke akhir kem.

Terima kasih buat seorang sahabat yang menghantar mesej yang saya terimanya sewaktu sedang bersiap-siap untuk ke kem ini. Mesejnya bertulis :

"Salam.dgr2 tgh program di SMP.untungnya antum.moga Allah xkn sesekali menguji dgn kufur pd nikmat diberi ruang utk memberi.salam pd semua di sana ;("
Ia banyak membantu saya...

Kem yang mengambil masa 3 hari 2 malam ini disertai oleh adik-adik SMK Perempuan Likas dan dijalankan di sekolah mereka. Semoga perkongsian sepanjang program ini berbekas kepada bukan sahaja semua peserta, malah kepada penganjur juga.

Para peserta program ini merupakan adik-adik pelajar yang dikatakan memerlukan sedikit perubahan dalam kehidupan mereka agar mereka lebih menghargai diri mereka sendiri dan kehidupannya serta dapat merasai kehidupan yang memerlukan kepada Tuhan. Agar mereka ini dapat menjadi mutiara berharga

Merancangkan pengisian yang sesuai untuk adik-adik di program ini juga sudah mencabar, apatah lagi melaksanakannya. Namun, tahniah kepada para AJK dan fasilitator yang terdiri daripada adik-adik dari BALKIS, fasilitator jemputan serta ahli PSS yang terlibat.

Tahniah juga buat adik-adik peserta yang mengikuti program ini kerana berjaya bertahan sehingga ke akhirnya.



Teruskanlah Memberi Ingat

Tidak dinafikan, kesabaran banyak kali teruji sepanjang program ini dengan kenakalan dan gelagat para peserta.

Tidak mengikut arahan, tidak memberikan kerjasama, bising, muka yang muram, kata-kata yang mengguris hati dan lain-lain.

Itulah antara rungutan para fasilitator, tidak terlepas juga dengan diri saya.

"Keras betul hati diorang nih. Kita perlu bertegas", antara kata yang saya dengar.

"Susah betul nak buka hati diorang, rasanya kita dah tak boleh nak terus berlembut", kata seorang yang lain.

Dan saya sendiri membenarkannya dalam diam.

Pendekatan yang dipilih sepanjang program ini adalah pendekatan yang lembut, banyak memuji dan melayan dengan kemesraan yang ikhlas. Namun, semua ini bagaikan tidak berkesan pada mulanya. Bagaikan tidak berjaya mengubah hati mereka.

Bertegas dan berkeras mula bermain-main untuk digunakan. Untuk menundukkan kekerasan hati yang dikatakan itu.

Namun saya dihantukkan di dahi dengan sebuah peringatan dari Allah dari KalamNya yang membuatkan saya bermenung sebentar. Setelah terhantuk, peringatan ini menundukkan saya ke bangku muhasabah dan memperingatkan kembali peranan saya dan keterbatasannya.

Maka berilah peringatan, karena sesungguhnya kamu hanyalah orang yang memberi peringatan. Kamu bukanlah orang yang berkuasa atas mereka.
Surah Al Ghaasyiyah (88) : 21-22

Ya. Tugas saya adalah pada memberi peringatan. Allah jugalah yang berkuasa mengubah hati manusia dengan mencampakkan hidayahNya yang amat berharga. Bukan fasilitator, bukan PSS yang akan mengubah hati adik-adik ini, tetapi Allah.

Cukuplah kisah Nabi Muhammad s.a.w. dengan pak ciknya menjadi pengajaran akan hakikat ini.

Dan dengan kesedaran inilah yang akan menggerakkan kita untuk terus berusaha memberi peringatan. Walaupun setelah habis berprogram, agar hidayah Allah akan turun juga ke dalam hati adik-adik peserta suatu hari nanti. Mungkin bukan sekarang, mungkin suatu hari yang tidak kita ketahui, kerana itu kita perlu terus berusaha memperingatkan mereka. Dan seterusnya berserah segalanya kepada Allah yang Maha Kuasa...

Dan inilah peringatan besar buat diri saya pada program kali ini.

Dan Alhamdulillah, program ini diteruskan lagi selepas selesai muhasabah fasilitator dan perlaksana. Bagaimana ia diteruskan dan bagaimana pengakhirannya, tidak saya ketahui kerana saya hanya sempat bersama hanya separuh perjalanan program. Namun, melalui gambar dan cerita, saya yakin ada kesan yang baik dari program ini.


Hargai Kehidupanmu

Buat adik-adik SMK Perempuan Likas (yang mungkin terbaca ini), abang mohon maaf andai ada kesalahan sepanjang abang berada di program tersebut. Semoga pertemuan singkat kita mendapat keredhaan dari Allah s.w.t.

Jangan tinggal solat, dekatilah ustazah-ustazah dan juga orang-orang yang dalam ilmu agamanya, carilah kawan-kawan yang baik serta ikutilah persatuan-persatuan yang baik. Inilah sedikit pesanan buat kamu.

Selepas kem ini kamu akan kembali kepada suasana kamu yang asal. Andai suasana itu menghalang kamu dari perubahan yang lebih baik, ingatkanlah kembali perasaan sepanjang program ini.

Jangan bimbang seandainya kamu tidak dihargai, tetapi bimbanglah sekiranya kamu telah tidak berharga. Kamu menjadi tidak berharga apabila kamu berhenti menghargai diri dan kehidupan kamu sendiri... Abang mendoakan segala kebaikan buat kamu.





Saya bersyukur kepada Allah kerana berkesempatan mengikuti kem ini sebagai pelaksana dan dipertemukan dengan adik-adik yang berharga ini. Walaupun kem ini dilaksanakan untuk adik-adik di SMK Perempuan Likas, namun saya merasakan bahawa sayalah yang banyak beroleh pengajaran dan kebaikan dari pertemuan ini.

Terima kasih adik-adik peserta.

Terima kasih adik-adik AJK dan fasilitator.

Terima kasih sahabat-sahabat PSS.

Terima kasih Allah...

p/s : lebih gambar di sini

p/s : lebih cerita di sini

Perkongsian darimu, bermakna buatku.
Terima kasih.

Tuesday, April 19, 2011

Sukan Si Cilik

Kasut terbang...

Beberapanya bergolek-golek...

Beberapa pula berlari-lari...

Beberapanya lagi menyepak sesama sendiri...

Namun yang menontonnya bersorak gembira...

"Sepak kuat-kuat", kata mereka...


Begitulah sebahagian suasana di Sukan Si Cilik : Pertandingan Bola Sepak& Bola Jaring. Sukan yang disertai oleh para pelajar PASTI kawasan Rembau.

Pusing Kepala & Pelapis Negara

"Pusing!! Pusing!!", jerit para penyokong yang rata-ratanya terdiri daripada ibu bapa anak-anak PASTI tersebut.

Seorang pelajar dengan wajah bersungguh-sungguh seperti sungguh-sungguhnya wajah seorang ibu tua yang sedang memasukkan benang ke dalam lubang jarum, menggelcek bola menghampiri gol. Tanpa disedarinya bahawa gol tersebut adalah gol kumpulannya sendiri...

Lucu. Lucu melihat telatah mereka, namun bangga dengan bahang semangat mereka yang membara.

Pada hari tersebut, saya diminta untuk menjadi pembantu pengadil pertandingan. Pengalaman yang sangat seronok. Namun,saya rasakan sepertinya saya lebih banyak membantu mengendali berbanding membantu mengadili.

Bagi kumpulan yang dari PASTI-PASTI yang baru dibuka, disitulah cabarannya. Kekurangan pengalaman dan kekurangan pemain yang benar-benar berminat untuk bermain, menyumbangkan kepada satu pengalaman menyaksikan pertandingan bola sepak yang di luar bayangan.

Ada yang hanya berjalan berdua-duan dengan sahabatnya sambil berpegangan tangan.

Ada juga kumpulan yang duduk dalam satu kumpulan. Dan apabila dikatakan duduk, saya benar-benar memaksudkan perbuatan duduk.

Ada juga yang asyik bermain-main dengan jaring gol. Mungkin sedang berimaginasi menjadi ikan yang tertangkap oleh nelayan.

Bola? Mereka hanya melihatnya seperti melihat petai di atas meja makan. Tidak diendahkan...

Namun itu hanya sebahagian. Sebahagian besar yang lain pula begitu bersemangat menyertai sukan pada hari tersebut.

Ada yang berlari menendang bola tanpa henti, walaupun bolanya telah merentas keluar kawasan perlawanan. Ada yang marah pihak lawan kerana menghalang dan merampas bola di kakinya. Ada juga penjaga gol yang menangis kerana tidak dapat menyentuh bola sepanjang perlawanan kerana pasukannya langsung tidak tercabar oleh pihak lawan.

Macam-macam.

Namun, tidak dinafikan, ada juga anak-anak PASTI benar-benar berbakat bermain bola sepak.

Saya rasa, tidak jauh bezanya juga keadaan di bahagian bola jaring.



Alhamdulillah, sukan pada hari tersebut dapat berjalan dengan lancar sehingga ke akhirnya. Dibantu lagi dengan keadaan cuaca yang baik menambahkan kelancaran hari sukan tersebut.

Sukan yang baik dan tetap menjaga syariat Islam, itulah yang dianjurkan oleh PASTI. Ia diaplikasi semenjak dari peringkat pra-persekolahan lagi. Dan inilah buktinya.

Tidak dapat dinafikan, PASTI mampu menawarkan kurikulum dan ko-kurikulum yang terbaik untuk anak-anak pra-sekolah.


Selepas peringkat kawasan ini, beberapa anak-anak PASTI yang terpilih akan beraksi pula di peringkat negeri nanti.

Semoga berjaya.


Perkongsian darimu, bermakna buatku.
Terima kasih.

Thursday, March 10, 2011

Bertahanlah...


"Kawan-kawan kat sekolah ana semua macam tak percaya bile ana cakap yang ana tak pernah jumpa-jumpa dengan zaujah ana sebelum kahwin", cerita seorang teman.

Saya tersenyum mendengar cerita teman saya itu. Dia merupakan seorang ustaz di sebuah sekolah menengah.

Dia yang masih hangat dengan status pengantin baru itu tidak lekang dengan senyuman yang senantiasa menyimpul di bibir. Bagaikan orang yang menggenggam pelangi berwarna-warni...

Perbicaraannya pun menjadi semakin kerap tentang hal-hal berkenaan perasaan dan kekeluargaan. Dan ia sungguh... lain... dari kebiasaannya sebelum ini...

"Ade sorang cikgu tu tanye kat ana, tak teringin ke nak jumpe dengan dia?", katanya lagi.

Dan dengan nafas yang baru dia menyambung ceritanya, "Ana jawab senang je. Memang teringin, tapi tahanlah", dia menghabiskan ceritanya.

Saya dan beberapa sahabat yang turut sama mendengar, menyambut ceritanya dengan ketawa kecil.

Dan peristiwa ini masih saya lagi ingati hari ini. Kerana pada peristiwa ini, ada perkara penting yang dikatakan oleh teman saya ini.


Ya... Tidak ada cara lain untuk menundukkan nafsumu. Bersabarlah dan berTAHANlah...


Perkongsian darimu, bermakna buatku.
Terima kasih.

Thursday, December 23, 2010

Islamic Summer Camp 2010 : Youth Now, Leaders Tomorrow


"Peserta-peserta PLD (Pusat Latihan Dakwah) cakap awal-awal tu terasa macam budak-budak. Tapi bila hari terakhir, rasa macam tak mau balik pulak", cerita seorang rakan sambil mengunyah perlahan pisang goreng yang pernah panas itu.

Saya dan beberapa rakan yang lain mendengar dan tersenyum dengan ceritanya itu.

Alhamdulillah... Islamic Summer Camp Kali ke-4 2010 berjaya disempurnakan.

Program cuti sekolah selama 3 hari 2 malam ala-ala perkhemahan ini, kali ini ditutup dengan warna-warnanya yang tersendiri. Yang pasti, keistimewaan kali ini mampu menambahkan lagi sebab untuk diri tersenyum sendiri apabila dingati.


Youth Now, Leaders Tomorrow

Penerapan kepimpinan dalam diri bukanlah tugas yang mudah. Terutamanya membebaskan diri dari kongkongan faktor luaran yang menyekat diri dari menjadi pemimpin yang hebat. Meminjam kata-kata Stephen Covey di dalam The 7 Habits: Manusia tidak boleh berperanan (efektif) selagi mana dia itu seorang yang DEPENDENT(terikat atau tertakluk dengan banyak faktor luaran yang mengongkong diri).

Maka, pembebasan diri inilah yang perlu dilakukan. Namun, pembebasan diri tanpa pegangan dan prinsip akan membinasakan. Bagaikan layang-layang terputus talinya. Oleh itu, kebebasan ini mesti dipimpin oleh prinsip dan prinsip Islamlah yang mesti menjadi tempat berpegang untuk memegang dan dipegang. Inilah yang dinamakan sebagai kebebasan terpimpin iaitu memaksikan kebebasan itu pada sebuah pendirian yang berIlahkan Allah.

Sesungguhnya hanya Allah dan peraturanNya sahaja yang menjadi keutamaan tertinggi hidup kita, seterusnya menunjangi kebebasan dan pilihan dalam hidup ini.

Justeru, modul-modul dan kuliah-kuliah yang mengisi ISC ini adalah pada memenuhi keperluan ini. Semoga peserta-peserta memahami kepentingan untuk menjadi seorang pemimpin kerana setiap dari kita adalah pemimpin, paling tidak kita adalah pemimpin bagi diri kita sendiri. Dan tugas tertinggi bagi seorang pemimpin adalah amar ma'ruf nahi munkar (seru kebenaran, cegah kemungkaran).



Kelainan

Program ini, sebelum ini hanya terbuka untuk pelajar menengah atas, kali ini turut menerima penyertaan dari seorang pelajar yang bakal menaiki tingkatan satu, beberapa pelajar Pusat Latihan Dakwah dan seorang mahasiswa non-muslim.

Penyertaan Saudara Voon pada ISC kali ini menambahkan seri


Semoga seluruh perkongsian ilmu, pengalaman dan persaudaraan yang terbentuk di dalam program, berterusan menjadi manfaat buat semua.

Tahniah buat barisan ahli jawatankuasa dan fasilitator yang terlibat yang telah bertungkus-lumus menjayakan ISC kali ini.

Tahniah juga buat para peserta yang berjaya mengharungi program ini hingga ke akhirnya.



Dan setinggi-tinggi kesyukuran kepada Allah yang telah memilih kita untuk bertemu dan berkasih keranaNya di ISC 2010 ini...

Semoga pertemuan dan perpisahan ini dilimpahi dengan rahmat kasih sayang Allah...

Ameen...



Perkongsian darimu, bermakna buatku.
Terima kasih.

Saturday, April 17, 2010

Aku dan Nasyid...


"Arep! Ustazah nak jumpe...", seorang rakan menyampaikan pesanan. Waktu rehat saya terganggu dengan panggilan itu. Permainan polis dan pencuri terpaksa saya tinggalkan sebentar untuk menyahut seruan rakan saya tersebut.

Dalam keadaan berpeluh-peluh saya berlari ke bilik guru untuk berjumpa dengan ustazah yang juga merupakan guru kelas saya itu...

"Ha, arep! Sini kejap", panggil ustazah tersebut sebaik sahaja terlihat saya di hadapan muka pintu bilik guru.

Saya bergerak sopan menghampirinya. Sesekali saya mengesat peluh yang menitik di dahi.

"Ye ustazah. Nape panggil saya?" tanya saya.

"Arep, kamu masuk nasyid tau. Kita ade pertandingan tak lama lagi. Esok kite mule buat latihan kat bilik sebelah. Ustazah dah bagitahu rakan kamu yang lain. Jangan lupe tau", ustazah tersebut berbicara tanpa terputus kata.

Saya hanya mengangguk.

Terpilih mewakili sekolah bukanlah perkara yang biasa. Lagi-lagi bagi orang biasa-biasa seperti saya.

Keseronokan meninggalkan kelas serta keluar berjalan-jalan ke sekolah lain menjadi bayangan kegembiraan yang terlintas di hadapan mata...

Heh... Pemikiran kanak-kanak...

Namun inilah kenangan saya. Kenangan nasyid dan saya sewaktu di darjah 6...




"Kumpulan nasyid batch kite tak cukup orang sebab ramai yang dah keluar pergi sekolah lain", cerita seorang rakan yang satu dormitri dengan saya.

"Oh", saya hanya mendengar dan mengiyakan.

Kekurangan ini adalah disebabkan oleh perpindahan ke sekolah berasrama penuh sewaktu di tingkatan empat. Sebahagian rakan-rakan yang mendapat keputusan yang cemerlang bagi peperiksaan PMR, menerima tawaran untuk memasuki sekolah berasrama penuh. Dan sebahagian besar dari mereka mengambil keputusan menerima tawaran tersebut.

"Sape ha yang reti main percussion batch kite? Arai sorang... Ko? Ko boleh main tak?", soalnya. Dia yang merupakan ahli kumpulan nasyid batch kami merangkap ketua bahagian percussionist, mencari-cari ahli agar ruang yang kosong terisi.

Saya yang selama ini sering kagum dan menyimpan hasrat untuk bermain alatan percussion bagaikan berbunga hati. "Boleh kot...", balas saya.

"Nah, amik nih... Cube pukul cam aku pukul nih", katanya sambil menghulurkan sebuah baldi kecil untuk saya dan mengambil tin biskut yang kosong untuk dirinya...

Perlahan dia memukul... Dan saya cuba mengikuti...

Makin lama paluannya semakin laju... Dan saya cuba mengejari...

"Boleh la tuh. Esok kite pergi dewan test guna alat pulak... Ko try main bass sebab zaim dah main yenkee..", ujarnya setelah kami berhenti bergendang.

"Ok".

Saya mencuba bukan kerana ingin popular. Tetapi kerana gambaran keseronokan ketika bermain percussion, menyebabkan saya teringin menjadi sebahagian darinya.

Setelah sesi uji bakat ringkas, saya diterima menjadi ahli dalam kumpulan nasyid batch saya. Dari situ saya mula belajar.

Sejak itu, nasyid menjadi sebahagian dari hidup saya. Sentiasa mencari idea untuk persembahan yang ada. Walaupun tidaklah sehingga mampu berkarya, namun terus mencuba untuk mencari kelainan dari yang biasa.

Saya terdedah kepada kumpulan nasyid yang tidak pernah saya ketahui sebelum itu. Saya terdedah kepada lagu-lagu nasyid yang tidak pernah saya dengar sebelum itu. Menjadikan minat saya terhadap nasyid semakin mendalam...

Bermula dari sini juga, saya belajar tentang pentingnya pengakuan hati. Berhati-hati agar tidak membangga diri. Kerana itu, dalam setiap persembahan, keredhaan Tuhan merupakan suatu pencarian. Semoga tetap ada sebuah keredhaan yang Allah berikan.

Heh... Jiwa remaja....

Namun inilah kenangan saya. Kenangan nasyid dan saya sewaktu di tingkatan 4...




"Aku dengar kau join nasyid mase kat sekolah dulu. Main percussion. Betul kan?", soal seorang pelajar A-Level dihadapan saya. Dia juga merupakan ketua kumpulan nasyid Kolej Mara Seremban ketika itu.

Kolej yang menjadi perigi untuk pelajar-pelajar matrikulasi dan A-Level mengisi diri. Menimba ilmu untuk memenuhi 'akli juga membersih qolbi...

"A'ah", balas saya. Dari mana dia dengar pun saya tidak ketahui.

"Ha, baguslah tuh. Ko boleh main conga kan? Ko nak join nasyid KMS tak?", dia bertanya.

"...", saya diam berfikir.

"Takde orang ni...".

"...".

"Camne? Nak tak?".

"Memang dah takde orang ke?".

"A'ah. Takde orang nak join".

"Oh...".

"Camne?".

"Ok lah kalo gtu...".

Berat pada mulanya untuk menyertai. Kerana pada masa itu saya bertarung dengan rasa tidak ikhlas di dalam hati. Namun, saya menerima juga. Sekadar untuk memenuhkan kerusi yang ada.

Yang menjadikan pengalaman saya berharga sewaktu menjadi ahli nasyid KMS adalah perkenalan saya dengan ahli-ahli yang lain. Dengan latar belakang ahli yang berbeza dan pelbagai, menjadikan pengalaman itu berbagai warna.

Ada peminat nasyid yang tegar. Ada yang menjadi pemain drum bagi band di tamannya. Ada peminat rock kapak. Ada penyanyi utama bagi kugiran tidak ternama. Macam-macam...

Namun, kami bersatu atas sebab yang sama. Ingin memperbaiki diri serta minat terhadap muzik di dalam diri.

Dan dalam setiap persembahan, keredhaan Tuhan tetap merupakan suatu pencarian. Semoga tetap ada sebuah keredhaan yang Allah berikan.

Heh... Hati belia....

Namun inilah kenangan saya. Kenangan nasyid dan saya sewaktu di matrikulasi...




"Enta nak masuk pertandingan nasyid sabtu nih tak?", tanya seorang sahabat.

"Hmm... Boleh gak", sahut saya.

"Ok malam ni kite latih kat bilik ana", balasnya kembali.

Dan saya mengangguk setuju. "Ok".

Tiada kumpulan tetap yang saya ikuti sewaktu saya di Universiti Malaysia Sabah. Namun, atas minat dan perjuangan yang serupa, saya dan dua orang lagi sahabat saya di sini berkongsi ruang dan peluang yang ada bagi melaksanakan alternatif hiburan ini...

Di sini, minat saya terhadap nasyid terus subur bersama mereka. Pandangan saya mengenai nasyid juga turut berubah merentas masa...

Walau pun saya kini sukar menerima nasyid sebagai jalan dakwah, namun saya meneruskannya sebagai satu jalan pengganti. Pengganti bagi hiburan yang mati.

Dan dalam setiap persembahan, keredhaan Tuhan tetap merupakan suatu pencarian. Semoga tetap ada sebuah keredhaan yang Allah berikan.

Heh... Semangat pemuda....

Namun inilah kenangan saya. Kenangan nasyid dan saya sewaktu di universiti...


Pengalaman-pengalaman saya ini menjadikan nasyid begitu sebati di dalam diri. Sukar sekali dibawa pergi.

Dengan hanya bercerita mengenainya sahaja sudah boleh membuatkan saya teruja.

Kerana itu usaha mereka yang terlibat dengan nasyid untuk tampil sebagai alternatif hiburan masa kini amatlah saya sokong. Namun, saringan terhadapnya masih tetap saya lakukan, kerana saya bukan peminat fanatik yang mengikut begitu sahaja. Saya tidak menerima dengan penerimaan yang buta.

Saya insan yang menghargai seni nasyid, dan masih menggunakan pertimbangan dalam penghargaan saya itu...

Kerana itu saya tidak menerima nasyid cinta manusia yang entah apa-apa. Sebuah irama yang menghairankan. Sama ada pada halwa, akal mahupun jiwa.

Hanya seperti sampah yang harus diketepikan. Kerana ia bagaikan penghinaan bagi mereka yang benar-benar ikhlas dalam menyampaikan. Dan juga mereka yang di dalam perjalanan mencari keredhaan Tuhan...

Ya, perjalanan mencari keredhaan Tuhan.

Kerana bukankah itu yang kita semua impikan?



Perkongsian darimu berharga buatku.
Terima kasih.

Friday, August 21, 2009

Agar Ramadhan Ini...




Hati saya seakan-akan tidak percaya. Dahi saya mencerut berkerut-kerut. Mulut saya menggamit terkumat-kamit. Dan mata yang kecil terkebil-kebil...

'Camne boleh jadi camni pulak?', saya tertanya-tanya sendiri. Motor Modenas model GT 128 kelabu itu saya perlahankan. Namun, masih mendekati arah datangnya bunyi itu.

Saya amati semula bunyi yang sebentarnya tadi sayup-sayup kedengaran, dan semakin lama semakin jelas itu. Tidak syak lagi...

'Tapi bukan ini tujuan aku ke sini!', hati saya mula membentak.

Akhirnya saya sampai ke destinasi yang dituju. Lagu rock yang amat saya ketahui menyambut kedatangan saya. Dan ini adalah kejutan buat saya. Motorsikal saya itu saya letakkan di kawasan letak kenderaan di sekitar Dataran Senawang.

"Camne lak Forum Di Ambang Ramadhan bertukar menjadi majlis karaoke nih?". Saya termangu-mangu keliru.

Namun kejutan itu tidak terhenti di situ sahaja... Pemandangannya juga adalah suatu kejutan!

Penyanyi rock itu berjanggut kemas, segak berkopiah snow cap dan diserikan pula dengan selendang yang melilit leher. Jarang penyanyi rock berpenampilan begitu. Para penontonnya pula rata-ratanya terdiri daripada lelaki berkopiah putih dan wanita bertudung labuh...

"Oh Nabiku. Lambang cinta....". Muzik mengiringi. Petikan gitarnya dahsyat sekali.

Saya menangkap bait lagu yang dinyanyikan itu. Saya sangat mengenali lagu ini. Ia adalah lagu bertajuk 'Lagu Untuk Nabila', sebuah lagu rock yang pernah popular suatu ketika dulu.

Dan kini ia manjadi 'Lagu Untuk Nabiku'. Saya hanya tersenyum sendiri.

Bena yang menjadi latar pentas utama itu menunjukkan bahawa saya berada di majlis yang betul. 'Fuh... Nasib baik'.


Pada malam tersebut, saya sebenarnya hendak mengikuti sebuah forum yang diadakan di tapak Dataran Senawang bersempena dengan Expo Di Ambang Ramadhan. Expo ini adalah anjuran ADUN Paroi. Dengan kerjasama Yayasan Amal dan PASTI jika tidak silap saya. Ia bertujuan untuk menyambut ketibaan Ramadhan yang berbaki hanya seminggu lagi itu.

Alhamdulillah... Allah telah memberikan kemudahan kepada saya untuk turut sama hadir ke forum tersebut. Forum yang membicarakan perkara-perkara berkaitan puasa, keistimewaan Ramadhan dan persediaan untuk menyambut kedatangannya itu, sedikit sebanyak dapat menghidupkan perasaan saya serta meniupkan rasa rindu saya pada kedatangan Ramadhan kali ini.

Sebelum forum itu berlangsung, majlis diserikan oleh Abang Radzi yang merupakan bekas vokalis kumpulan rock MELISSA. Dialah yang 'menyambut' kedatangan saya itu. Dan saya rasakan, ini adalah satu anjakan dalam program berbentuk Islamik.

Itu cerita pada hari Sabtu malamnya.

Pada malam yang berikutnya pula, expo tersebut menghidangkan pula sebuah persembahan teater yang dilakonkan oleh Sabri Yunus dan dibantu oleh salah seorang anggota kumpulan Kopratasa yang saya lupa namanya. Ia adalah sebuah persembahan teater Islam yang berkisar tentang peristiwa yang dilalui oleh salah sahabat nabi iaitu Ka'ab bin Malik rdh. Ringkas, padat dan memberi pengajaran.

Turut sama membuat persembahan pada malam tersebut adalah kumpulan nasyid dari sebuah sekolah di Rembau, Negeri Sebilan, kumpulan nasyid dari Kolej Universiti Islam Selangor (KUIS) serta persembahan dari saudara Lan Navy (Roslan) yang merupakan bekas kumpulan rock Ray Beam.

Menghiburkan...
Persembahan kumpulan nasyid dari Rembau

Persembahan nasyid dari KUIS

Persembahan dari Abang Lan Navy

Persembahan teater



Sedar

Alhamdulillah... Keghairahan Ramadhan pada kali ini telah mula saya rasai sebelum kedatangannya Ramadhan itu lagi. Agak berbeza dengan keadaan saya berbanding sebelum ini. Sungguh mengujakan. Mungkin inilah yang dapat saya peroleh apabila menyambut awal Ramadhan di luar asrama.

Program-program seperti expo ini, ditambah lagi dengan rancangan-rancangan seperti forum, ceramah dan kuliah Islam di televisyen, penulisan di majalah-majalah dan blog-blog serta khutbah Jumaat, saya lihat dapat menghidupkan jiwa dan memberikan persediaan bagi menghadapi kedatangan Ramadhan.

Dan harapan saya agar institusi-institusi pengajian di Malaysia, terutamanya yang berasrama turut dapat mengambil inisiatif agar sambutan bagi menghadapi Ramadhan setanding malah lebih meriah berbanding sambutan menghadapi Syawal, Hari Kemerdekaan mahupun 1 Malaysia. Agar roh Ramadhan itu dapat hadir sebelum datangnya Ramadhan itu sendiri.

Tidak seperti cerita-certa yang pernah saya dengar sebelum ini dari kebanyakan sahabat saya. Yang mana mereka hanya menyedari bahawa hari tersebut adalah Ramadhan yang pertama setelah melihat kafe mahupun restoran masih ditutup setelah pukul 10 pagi. Malah, yang pernah mengajak saya makan tengah hari pun ada.

Kelakar bukan. Namun jauh di sudut hati, saya sebenarnya sedih dengan keadaan ini...

Kesalahan tidak seharus diletakkan semuanya kepada mereka. Keadaan juga sebenarnya banyak memberikan pengaruhnya.

Alhamdulillah... Bersahabat dengan mereka yang digelar 'budak masjid' serta usaha daripada badan kerohanian seperti menampal poster dan mengedarkan takwim imsak dan berbuka puasa banyak mengingatkan saya. Namun, cakupannya adalah terbatas dan kemeriahannya kurang dirasakan.

Mungkin antara usaha lain yang boleh dilaksanakan adalah seperti :
  1. Mengadakan program-program sebelum Ramadhan seperti Konsert Di Ambang Ramadhan
  2. Mengedarkan risalah-risalah
  3. Kemeriahan poster yang bagaikan pilihan raya kampus
  4. Memasang lagu-lagu Ramadhan secara terbuka seperti di masjid seminggu sebelum ketibaannya
  5. Acara perarakan kenderaan sambil membunyikan hon bagi mengejutkan pelajar untuk bersahur pada Ramadhan pertama
  6. Memasang pelita beberapa hari sebelum Ramadhan bermula
  7. Pengumuman permulaan puasa secara terbuka seperti di perpustakaan
  8. Penghebahan melalui mesej pesanan ringkas
  9. lain-lain

Saya tahu bahawa kebanyakannya adalah terlalu teoritikal malah hanya bernada gurauan. Namun, apa yang ingin saya sampaikan di sini sebenarnya adalah kegembiraan dengan kedatangan Ramadhan ini perlu dizahirkan agar orang di sekeliling kita turut sama merasai percikan tempiasnya.

"Demi Dzat yang jiwa Muhammad dalam tangan-Nya, bau mulut orang yang berpuasa, sungguh, lebih baik daripada wangian misik (kasturi), bagi orang yang berpuasa ada dua kegembiraan yang dapat dia rasakan; iaitu apabila dia berbuka dan apabila ia bertemu Tuhannya, (maka) ia bergembira dengan puasanya”
(Riwayat al-Bukhari dan Muslim)



Muhasabah

Kedatangan Ramadhan kali ini juga memberikan sedikit kelainan kepada saya. Yang mana, saya lebih banyak berfikir memikirkannya sebelum datangnya Ramadhan.

Sering kita mendengar bahawa Ramadhan adalah madrasah tarbiah. Maka, lanjutan dari ini, saya berfikir bahawa keadaan saya sekarang ini adalah keluaran dari madrasah Ramadhan yang lalu.

Dan melihat keadaan saya sekarang ini, membuatkan saya tertanya-tanya sendiri. Apakah tarbiah yang telah saya lalui?

Sepanjang 11 bulan itu, telah banyak dosa yang saya lakukan.

Saya tidak dapat istiqomah dalam membaca al-Quran setiap hari walaupun dapat mengkhatamkannya pada sebulan Ramadhan yang lalu. Saya selalu tinggalkan solat berjemaah walaupun sering ke masjid walaupun dalam keadaan lapar, dahaga dan terik panas tengah hari sepanjang Ramadhan yang lalu. Saya sering tertinggal solat Subuh di awal waktu walaupun tidak pernah meninggalkan sahur sepanjang Ramadhan yang lalu. Dan banyak lagi...

Adakah sebulan Ramadhan yang lalu, saya sebenarnya melatih diri saya dengan KEPURA-PURAAN, maka, keluaran saya dari Ramadhan itu adalah sebuah kepura-puraan? Dan kerana itu "agar kamu bertaqwa" amat jauh dari diri saya?

Apakah amal yang saya lakukan sepanjang Ramadhan itu adalah benar kerana Allah s.w.t? Atau adakah kerana ia adalah sekadar satu lagi Ramadhan buat saya? Dan saya menyambutnya dengan amalan yang menjadi adat setiap kali tibanya Ramadhan?

Adakah saya mengambil pengajaran tentang kedatangan Ramadhan itu? Adakah saya mengambil peluang dari Ramadhan itu?Dan apakah puasa Ramadhan yang telah saya lalui dulu hanyalah sekadar menahan lapar dan dahaga sahaja?

Adakah Ramadhan kali ini akan menjadi Ramadhan yang sama? Atau akan menjanjikan sebuah perubahan yang sangat bermakna? Dan apakah syarat agar perubahan itu boleh berlaku? Apakah persediaan bagi memenuhi syarat itu? Dan apakah harapan saya bagi Ramadhan kali ini?

Huuuh... Banyak persoalan yang timbul dalam diri saya. Dan memikirkan persoalan-persoalan ini serta mencari jawapannya benar-benar menyesakkan dada.

Hanya taubat dan doa yang dapat saya panjatkan. Agar dapat membersihkan diri dari segala penistaan dan kemunafikan yang telah dilakukan.

"Ya Allah. Kau terimalah Ramadhanku yang lalu. Dan jadikanlah Ramadhan kali ini lebih baik dari Ramadhan yang telah aku lalui..."

Dan ini adalah sebuah harapan. Harapan Ramadhan saya pada kali ini. Andai ini Ramadhan terakhirku...



"Dia meninggalkan makanan, minuman dan syahwatnya hanya kerana Ku (Allah), sesungguhnya puasanya adalah untuk Ku dan Akulah yang akan membalasnya"
( Riwayat Al-Bukhari)

"Selamat Menyambut Ramadhan Al-Mubarak"



Perkongsian darimu, bermakna buatku.
Terima kasih.
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Picture

Picture