Karipap panas yang baru sahaja diangkat dari kuali itu dicapai dan disuap ke dalam mulut. Yum…yum…Karipap panas memang best. Bertambah best kalau kita tolong makan je, orang lain yang goreng.
“Penyegan betul. Gorengnya malas. Makan aje yang kamu reti.”
Ajlaa tersengih mendengar bebelan ibu kesayangan itu. Apapun, dia hanya melihat ibunya itu menggoreng karipap home-made untuk dimakan semasa minum petang.
“Ala, bu. Kita goreng tak best. Kalau ibu goreng, top punya. Ayah lagi suka.”
Ibunya hanya menggeleng. Ada sahajalah jawapan anak daranya itu.
“Sudah. Angkat semua ni ke pangkin. Ayah dah tunggu tu.”
Ajlaa segera melaksanakan apa yang disuruh oleh ibunya. Anak solehahlah katakan... Dibawa dulang berisi dua cawan the panas dan pinggan berisi karipap panas itu ke pangkin rumah kayu mereka itu.
Senyum dia melihat ayahnya yang sudah menunggu. Ajlaa sudah sedia maklum, itulah aktiviti keluarganya setiap petang.
“Bila kamu nak pergi?”
“Aish…ayah. Kita baru balik sini seminggu. Dah nak menghalau, nampak?” usik Ajlaa. Ya, dia sekarang sedang cuti final untuk tahun ketiga. Ke mana lagi hendak dituju kalau bukan rumahh yang dirindui.
Namun, ayahnya tidak sempat menjawab apabila kedengaran bunyi motor yang memasuki halaman rumah mereka. Ajlaa mengangkat muka. Kelihatan sepupunya, Aidid yang baru sahaja melepasi pintu pagar kawasan rumah itu. Nasib baik dia sudah siap memakai tudung. Terangkat kening Ajlaa melihat lelaki itu di situ.
“Hah, apa lagi. Pergi ambilkan Aidid teh panas sana.” Tiba-tiba ibunya muncul dan memeri arahan kepadanya. Ajlaa hanya menurut. Tetamu, mesti dilayan sebaiknya walaupun dia dan lelaki itu memang kamceng.
Lambat-lambat dia melangkah ke dapur, mengambil cawan dan menuang air the panas yang sedia ada di atas meja. Sengaja dia melambatkan pergerakannya. Bukanlah dia tidak mahu bertemu dengan pemuda itu, cuma dia tahu apa yang pemuda itu mahukan darinya, dan dan sengaja ingin membuat pemuda itu tertunggu-tunggu. Hahaha…memang dia nakal sedikit.
“Ajlaa! Tak payah. Aidid dah nak balik dah!” Terdengar jeritan ibunya dari luar.
Ajlaa mencebik. Sengaja je Aidid ni, aku dah siap nak bawa keluar teh ni. Dia akhirnya, melangkah ke pintu yang menghubungkan dapur dengan halaman itu. Di sarung selipar jepunnya, langkah kaki dibuka menuju ke arah Aidid di atas motornya. Dia tahu bahawa Aidid sedang menunggu dia, untuk mendengar info.
“Lama baru datang? Selalu cepat je datang rumah aku kalau kita cuti.”
“Aku baru sampailah ni. Ada kerja sikit nak selesaikan di kolej tu.”
Ajlaa mengangguk-angguk. Lupa seketika bahawa lelaki itu sudah tamat pengajiannya. Tentulah banyak kerja yang perlu diselesaikan untuk meninggalkan segala jenis jawatan yang dipegangnya selama ini.
“Kau tak ajak dia balik sini?”
Ajlaa menggeleng apabila melihat wajah risau sepupunya itu.
“Dia tak mahu. Kau ingat aku tak risau nak tinggal dia dua-tiga bulan sorang-sorang. Aku pun tak tahu dia nak tinggal kat mana.” Ajlaa duduk kerusi batu bersebelahan motor Aidid itu.
“Dah tu, sekarang dia duduk macam mana?”
“I told you, aku tak tahu. Aku telefon dia pun, she’s saying that she is safe.”
Lelaki itu diam. Ajlaa turut diam. Sungguhlah, dia juga risaukan keselamatan sahabatnya yang sudah sebatang kara di dunia ini. Dia sudah beberapa kali mengajak supaya gadis itu mengikut dia pulang ke kampung ini, tapi gadis itu tetap keras kepala tidak mahu.
“So, sekarang macam mana?” Ajlaa bertanya lelaki itu. Lelaki itu pula hanya memandang ke hadapan, berfikir barangkali.
“InsyaAllah. Kalau kami ada jodoh, adalah caranya nanti.”
Seiring dengan langkah kakinya, kepalanya menjengah lorong-lorong di antara rak-rak buku di tingkat paling atas perpustakaan itu, mencari teman baiknya yang menghilangkan diri sejak awal pagi tadi. Hari minggu, perpustakaan adalah tempat wajib bagi sahabatnya dan harus baginya. Nampak sangat kontra dia dan sahabatnya itu.
Dari tingkat satu, ke tingkat tiga, Ajlaa tetap melangkah, mencari sahabatnya itu. Kenyataannya, Syuqaira hari ini, bukan seperti yang dia kenal hampir tiga tahun yang lalu. Sudah lebih dua minggu berlalu sejak kejadian pahit yang menimpa gadis itu. Bukan sahaja pahit, malah menyakitkan dan menyayat hati. Gadis itu sudah menjadi sebatang kara di dunia ini dalam sekelip mata. Tiada saudara-mara. Tiada ibu dan bapa. Tiada adik-beradik. Hanya dia seorang diri di dunia ini.
Ajlaa sebenarnya masih belum mengetahui sepenuhnya apa yang berlaku ke atas keluarga sahabatnya itu. Apa penyebabnya kejadian itu, dia masih tidak tahu kerana Syuqaira sedikit pun tidak membuka mulut sejak gadis itu kembali ke kolej setelah beberapa hati cuti. Dia juga tidak mahu memaksa sahabatnya bercerita jika gadis itu tidak mahu.
Sejak pulang dari kampungnya, Syuqaira sudah jadi pendiam. Jika tidak mengulangkaji pelajaran, gadis itu akan termenung, merenung gambar arwah ahli-ahli keluarganya. Dua adiknya yang masih bersekolah menengah dan rendah juga turut menjadi mangsa kemaraan api yang membakar rumah mereka di kampung.
Ajlaa baru hendak berpusing kembali apabila dia ternampak beberapa tingkat buku yang tersusun di atas meja sehingga menenggelamkan wajah orang di sebalik buku-buku itu. Ajlaa membawa kakinya ke arah situ. Apa yang dia pasti, Syuqairalah yang berada di belakang buku-buku itu. Nasiblah gadis itu memilih meja paling hujung. Jika Syuqaira memilih meja lain, tentu setiap orang yang lalu lalang di meja tersebut akan melihat gadis itu dengan hairan. Hairan dengan ketinggian buku-buku yang dijadikan rujukan itu.
“Assalamualaikum.” Dia menarik kerusi dan duduk di hadapan gadis itu. Dilihatnya gadis itu mengangkat wajah dan tersenyum hambar ke arahnya. Mulut gadis itu terkumat-kamit sedikit, menjawab salamnya barangkali.
“Tak ajak aku pun datang sini.”
Kenyataan itu hanya dibalas dengan jungkitan bahu oleh rakan sebiliknya itu sebelum gadis itu kembali menenggelamkan diri di sebalik buku-buku itu. Ajlaa menggeleng. Itulah Syuqaira hari ini. Sepatah ditanya, tiada perkataan akan dibalas kecuali dengan bahasa isyarat atau bahasa badan. Senyuman gadis itu, sudah lama dia tidak nampak.
Ajlaa mungkin tidak rasa apa yang dirasai oleh gadis yang kehilangan keluarganya itu, namun sebagai kawan baik, dia cuba untuk memahami. Dia cuba untuk berada di sisi gadis itu walau apapun terjadi. Dia cuba untuk menaikkan semangat gadis itu untuk terus hidup. Dia akan terus cuba.
Adha? Tidak usah disebut nama itu, Syuqaira tidak akan mempamerkan reaksi-reaksi yang kebiasaannya. Tiada lagi rasa yang datang di hati gadis itu apabila dia cuba bercakap dengan Syuqaira tentang pemuda itu. Tak usah ditunjuk di mana pemuda itu berada, Syuqaira tidak akan berpaling melihat seperti kebiasaannya.
Jika orang tahu, mereka mungkin akan mengatakan bahawa Syuqaira hanya minat pemuda itu seperti gadis-gadis lain. Tapi bukan dia. Dia tahu perasaan sebenar gadis itu terhadap Adha. Sejak mereka di tahun pertama, memang gadis itu hanya minat biasa-biasa kepada senior yang setahun lebih tua itu. Namun, apabila masuk tahun kedua dan ketiga, Syuqaira tidak juga membuka hatinya kepada jejaka-jejaka lain. Betapa Syuqaira mengagumi lelaki itu. Lelaki yang seimbang dunia dan akhiratnya. Lelaki yang pertama dapat menawan hati gadis itu dari jauh. Kerana Syuqaira menyayangi lelaki itu kerana agamanya, kerana Allah.
Namun, itulah cerita beberapa minggu yang lalu. Cerita sebelum berita pertunangan Adha sampai kepada mereka. Cerita sebelum kebakaran yang menyebabkan gadis itu sebatang kara di dunia ini sampai kepada mereka. Nasib Syuqaira seperti sudah jatuh ditimpa tangga. Allah telah mengambil orang yang disayangi dan juga keluarganya yang tercinta selama-lamanya...
Suara Ajlaa yang seakan tergesa-gesa ketika rakannya itu masuk ke dalam bilik mereka itu menyebabkan dia mengangkat wajahnya daripada kertas-kertas subjek Toxicology di atas mejanya itu.
Sebenarnya, dari selepas subuh dia berasa tidak sedap hati. Namun ditenangkan hatinya dan dia cuba untuk tidak berfikir bukan-bukan dengan mengulangkaji pelajarannya.
Wajah gadis Johor itu muncul. Yang menghairankan dia ialah reaksi wajah gadis itu. Sebenarnya bukan hairan sangat. Dari suara gadis itu yang menjerit-jerit tadi, dia sudah dapat bayangkan bagaimana wajah gadis itu nanti. Nah, sudah muncul wajah teruja dan bersungguh-sungguh Ajlaa di hadapannya itu.
Dia hanya membuat muka biasanya, memandang rakannya yang mula mendaki katil di sebelah meja belajarnya itu. Diam dia apabila gadis itu merenung dia terus menerus tanpa berkata apa-apa.
“Apa?” Dia bertanya hairan. Pandangan di alih ke kertasnya kembali.
“Syuq! Dengarlah ni…” Merengek suara Ajlaa sambil mengheret lengannya.
“Lah. Kau yang tak bercakap. Aku nak dengar apa?” Dia menempelak gadis itu. Tersengih Ajlaa. Gadis itu bukan reti nak merajuk dengannya.
“Tadi kan…” Meleret suara gadis itu, membuatkan dia geram. Hailah…buat-buat saspens pulak. Namun, dia hanya menunggu. Malas untuk menyampuk.
“Aku jumpa mamat cute sangatttt!”
Syuqaira mengangkat keningnya ke arah Ajlaa yang tersengih macam kerang busuk itu. Bersungguh benar gadis itu menekankan ke’cute’tan mamat yang dijumpainya.
“Haisy…Kau ni. Mamak pun kau boleh cakap cute. Padan ke dengan kau yang berkulit coklat tu?” Syuqaira menggeleng dengan telatah kawannya itu. Ajlaa memang begitu, dia sudah arif. Setiap kali berjumpa dengan lelaki yang baik rupa parasnya, terus diceritakan kepadanya. Sekali, lengannya ditampar lembut.
“Kau ni! Bukan mamak la. Mamat.” Bersungguh juga Ajlaa membetulkan kesilapannya.
“Mamat mana pulak ni? Tak kenallah orang yang nama Mamat.”
“Hisy…” Kedengaran keluhan dari gadis di sebelahnya itu. Syuqaira hanya buat tidak tahu.
“Susah betullah kau ni.” Merungut pula gadis itu. Dia masih diam, mendengar.
“Anyway…dia sangat cute. Nama dia pun macam glamor, dowh…” Syuqaira mengangguk-angguk mendengar cerita yang sebenarnya masuk telinga kanan dan keluar telinga kiri itu.
“Nama dia Daniel dan dia kenal Adha.”
Syuqaira masih lagi mengangguk. Membiarkan gadis itu bercakap. Namun, seppi sahaja. Lama selepas itu, dia menjadi hairan kerana rakannya itu diam. Lantas dipalingkan wajahnya.
Melihat wajah yang cemberut itu, dia tergelak kecil. Makin masam wajah itu.
“Kau kenapa pulak ni? Tadi excited sangat. Ni dah macam cuka aku tengok.” Dipegang dan dicubit kedua-dua pipi sahabatnya itu. Tangannya ditepis lembut.
“Kaulah punya pasal. Dengar taka pa yang aku cakap?”
Dia diam seketika sebelum mengangguk. Dia rasa, adalah sedikit sebanyak yang diucapkan oleh rakannya itu melekat di kepalanya.
“Dengar, sayang.”
Makin panjang pula muncung Ajlaa. Syuqaira menggeleng-geleng sebelum menumpukan kembali perhatiannya kepada perkara yang dia lakukan sebelum Ajlaa masuk tadi. Dia perlu mengingati beberapa perkara dari subjek itu. Pensel di tangannya bergerak-gerak di atas kertas yang tadinya kosong tapi sekarang sudah penuh dengan contengan.
“So, apa aku cakap last sekali tadi?”
Terhenti seketika pergerakan tangannya.
“Nama mamat tu Daniel. Tak glamor pun.” Syuqaira mencebik ke arah sahabatnya itu. Namun, dilihatnya Ajlaa tidak berminat dengan apa yang dikatakannya.
“Then?”
Berkerut dahinya. Rasanya itulah perkara last yang dia dengar. Dia sedang sibuk menghafal dan hanya itu yang sesekali terlekat di dalam memorinya. Lantas dia menjungkitkan bahunya.
“Syuq! Kau ni memanglah…”
Hisy…naik fed-up juga dia dengan perangai Ajlaa itu. Lantas pensel ditangan diletakkan. Badannya dipalingkan terus dari meja ke katil, menghadap Ajlaa yang turut sedang menghadapnya.
“Hah! Apa? Cakaplah. Aku dengar ni.”
Dan wajah Ajlaa mula tersengih lagi.
“He knows Adha.”
Pap! Mendengar nama itu, dia menjadi tidak senang. Kenapa ya? Sepatutnya perasaannya berbunga-bunga apabila mendengar nama orang yang dia suka. Dah tu, sekarang tak suka?
Ajlaa sebenarnya sudah tahu apa yang menyebabkan hatinya mula berputus asa. Ianya berlaku ketika dia menyertai program ke Kampung Orang Asli. Pemuda itu sebenarnya juga salah satu orang yang bertanggungjawab mengendalikan program tersebut. Itu dia memang sungguh tidak tahu.
Peristiwanya : Ada seorang AJK muslimat yang tidak sihat dan akhirnya pengsan. Apa yang dia dapat lihat dari jauh sebagai peserta, lelaki itu begitu berusaha untuk membantu dari jauh. Lelaki itu yang menghubungi keluarga muslimat tersebut dan menghubungi orang yang sepatutnya untuk menghantar gadis itu ke hospital terdekat.
Dia bukan cemburu buta. Namun dari penglihatannya, lelaki itu begitu risau dengan keadaan gadis itu seperti mereka sebenarnya ADA hubungan yang dia TIDAK TAHU. Siapa dia untuk tahu apa yang berlaku dalam hidup mereka berdua? Mungkin sahaja orang lain tahu, walaupun dia tidak tahu.
“What about him?” soalnya perlahan. Matanya cuba dialihkan dari melihat wajah sahabatnya yang bercerita.
“Aku sempatlah berbual-bual dengan mamat tu. Dia cakap Adha dah nak bertunang tak lama lagi.”
Saat itu dia terasa sesuatu di dalam dirinya. Perlahan-lahan tangan kanan diangkat dan diletakkan di dada sebelah kirinya. Sakitnya! Tiba-tiba terasa seperti hatinya dihiris-hiris dan disiat-siat oleh belati tajam. Beginikah rasanya bila kasih yang disemai tidak langsung mekar?
“Syuq…” Perlahan pula suara Ajlaa. Sudah hilang suara terujanya tadi. Risau dengan keadaan sahabatnya barangkali.
“Kau jangan macam ni. Dia tak bertunang lagi. Kau masih ada peluang.” Ajlaa cuba memberikan kata-kata semangat.
Syuqaira menggeleng banyak kali. Tangannya digempal dan ditumbuk-tumbuk di dadanya agar rasa sakit yang dirasainya berkurangan. Akan berkurangkah atau akan bertambah parah?
“It’s okay, Jla. Aku bukan jodoh dia. Kak Wirdah tu memang sesuai dengan dia.”
Kak Wirdah. Itulah dia gadis tiba-tiba muncul dalam cerita hidupnya pada minggu lepas. Kak Wirdah memang baik malah bertudung labuh. Gadis itu memang sesuai dengan Adha berwibawa dan sentiasa memakai kopiah putih itu.
Senyuman hambar cuba dihulur kepada sahabatnya.
-----------------------------------
Malam itu dia tidur lebih awal dari kebiasaannya. Ini kerana perasaan tidak enak yang dirasainya dari pagi tadi tidak lagi menghilang. Namun, tidak lama selepas dia baring, Syuqaira terus terlena.
“Tuk! Tuk! Tuk!”
Syuqaira terjaga. Terpinga-pinga dan mamai.
“Tuk! Tuk! Tuk! Assalamualaikum.”
Syuqaira memandang sahabatnya yang sedang tidur. Lena sehingga tidak sedar walaupun pintu diketuk berkali-kali. Gadis itu tidur lewat barangkali.
“Tuk! Tuk! Tuk! Syuqaira Humairah! Nurul Ajlaa!”
Pantas Syuqaira bangun dan turun dari katilnya. Dikerling seketika jam di atas meja belajarnya. Pukul 4.00 pagi. Siapakah yang mengganggu mereka? Ada hal yang sangat penting barangkali.
Pintu bilik mereka dibuka. Terpinga-pinga dia melihat dua orang wanita di hadapan biliknya itu. Kalau tidak silapnya, orang itu adalah Pengetua Asrama dan pembantunya.
“Syuqaira Humairah?”
Syuqaira mengangguk dengan pertanyaan itu.
“Saya, puan.”
Tiba-tiba lengannya dipegang oleh wanita tersebut.
“Saya harap Syuqaira tabah untuk dengar berita ni.”
Huh? Matanya tiba-tiba celik. Sudah hilang mengantuknya. Pelik benar kelakuan kedua-dua wanita itu.
“Kenapa puan?” Rasa tidak sedap hati yang dirasainya sejak pagi semalam mula menjengah kembali. Namun kali ini,rasanya lebih kuat lagi. Ya, Allah. Selamatkan semua orang yang aku kenal, ya Allah.
“Rumah keluarga awak terbakar.”
“Hah?!!!” Hampir dia jatuh jika dia tidak berpegang pada lengan wanita yang memegangnya itu. Lututnya tiba-tiba terasa lembik.
“Famili saya, puan?”
Dengan gelengan daripada Puan Pengetua, empangan air matanya pecah. Dia terus terduduk di hadapan pintu bilik. Ya Allah, inikah dugaanMu? Terlalu berat aku rasakan…
------------------
Setakat ni, macam mana? Nak kena sambung lagi @ x?
Saat itu, wajahnya terasa amat panas.Bukan kerana terkena pancaran cahaya matahari yang mula untuk memancar terik itu, tetapi kerana terasa segala darah yang mengalir di tubuhnya menderu ke seluruh wajahnya. Kerana apa?
Syuqaira memandang sekilas ke sekelilingnya. Memang di kawasan itu sudah tiada orang. Bas pun sudah tiada. Maknanya apa? Maknanya dia sebenarnya sudah ditinggalkan oleh rombongan program ke kampung orang asli yang disertainya. Kerana apa? Kerana dia terlewat bangun !!!
Syuqaira meraup wajahnya. Ya Allah, malunya aku! Syuqaira memandang jam tangannya yang berbentuk epal yang berwarna hijau itu. Jarum pendek jam itu sudah hampir mengenai nombor dua belas manakala jarum panjang pula berada di antara sepuluh dan sebelas.
Semalam dia memang tidur lewat. Banyak kerja yang dia perlu selesaikan. Assignment-assignment yang akan ditinggalkan tiga hari dua malam itu sedikit-sedikit disiapkannya walaupun tidak siap sepenuhnya. Sekurang-kurangnya, dia tidak akan terburu-buru untuk menyiapkan assignment tersebut nanti. Selepas itu, dia mengulangkaji sedikit-sedikit lima subjek yang diambilnya.
Dia melelapkan matanya hampir pukul tiga pagi dan bangun pula untuk solat subuh. Selepas itu, dia terus sambung tidur. Sehinggalah dia terkejut dengan sendirinya ketika jam hampir menunjukkan pukul sebelas pagi. Hampir dia terjerit akibat terperanjat. Dia sepatutnya turun dari bilik asramanya untuk berkumpul pada pukul sepuluh pagi!
Dan saat itu, dia memandang hadapan. Sekali lagi terasa darah menderu ke seluruh wajahnya. Malunya! Dia malu kepada pemuda yang sedang berjalan ke arahnya itu. Syuqaira mengalihkan pandangannya kea rah lain selain kepada pemuda itu walaupun dia tahu pemuda itu sebenarnya sedang menuju ke arahnya.
Sekarang ni, apa yang dia sepatutnya rasa? Berdebar-debar ataupun terasa seperti jantungnya berhenti berdegup. Kenapa ni? Kenapa ni? Kenapa ni? Banyak kali dia bertanya kepada dirinya sendiri. Jauh di sudut hatinya, dia tahu akan jawapan kepada soalan itu. Hailah, Syuq! Buat-buat tak tahu pula…
“Syuqaira?”
Syuqaira memandang pemuda yang berada lima langkah jauh daripadanya di bawah kaki lima yang berbumbung itu. Dia sebenarnya hairan mendengar intonasi pemuda itu. Seperti bertanya kepadanya. Pemuda itu seperti tidak mengenalinya. Segera dia tersedar. Kenapa lelaki perlu mengenalinya? Dia bukanlah sesiapa di dalam hidup lelaki itu. Dia hanya watak sampingan yang keluar di skrin mata lelaki itu sekali dalam setahun mungkin? Walaupun lelaki itu adalah watak utama dalam skrin matanya.
“Ya, saya.”
“Awak terlepas bas.”
Ayat yang keluar dari mulut lelaki itu adalah ayat penyata. Dan ayat penyata itu sekali lagi membuatkan wajahnya hangat. Tapi macam mana pemuda itu boleh tahu?
Syuq!
Syuq!
Syuq!
Terbuka mata Syuqaira. Sesaat. Dua saat. Tiga saat. Barulah matanya focus kepada keadaan sekelilingnya. Rakan sebiliknya yang sedang berdiri bercekak pinggang di sebelah katilnya itu dipandang. Matanya masih terasa berat. Dia bangun dari pembaringannya.
“Apa?”
“Apa kau tanya?!” Hampir tinggi sahaja suara sahabatnya itu.
“Tu, tengok jam dah pukul berapa.” Matanya menurut muncung Ajlaa yang menunjuk ke arah jam dinding di bilik mereka itu. Jam sudah pukul sembilan empat puluh lima. Pagi, okey! Bukan malam.
Membulat matanya. “Ahhh!!!”
Syuqaira terlompat turun dari katilnya. Badan Ajlaa ditolak sedikit. Berlari-lari dia mengambil tuala dan barang-barangnya sebelum berlalu keluar dari bilik ke tandas. Mujurlah baju-baju yang diperlukan untuk program telah dia sediakan sebelum tidur lagi.
Terkecoh-kecoh dia turun tangga bersama beg-begnya. Jam di tangannya sudah menunjukkan pukul sepuluh sepuluh. Dia sudah terlepas dari waktu yang dijanjikan selama sepuluh minit. Walau bagaimanapun, dia berharap dia tidak terlepas bas.
Ketika dia sampai di tempat berkumpul, dilihatnya tempat itu kosong. Tiada bas. Tiada peserta. Saat itu, dia berasa sesuatu. Sekelilingnya dipandang sepi. Dejavu…
Mimpinya!
Tidak jauh dari tempat dia berdiri, kelihatan seorang lelaki sedang bercakap dengan seseorang di tempat sebelah pemandu sebuah kereta dengan pintu yang terbuka. Dia tidak cam lelaki itu tapi dia nampak lelaki itu memandangnya sebelum bercakap kembali dengan orang yang sedang duduk di dalam kereta itu.
Syuqaira hanya memerhati dari jauh. Seketika, kelihatan seorang perempuan tudung labuh bangun keluar dari kereta itu. Eh… Syuqaira terus memandang. Wanita itu terus berjalan menuju ke arahnya. Eh… (untuk kali kedua). Keadaan ini memang berbeza dari mimpinya.
Semakin dekat wanita itu dengannya, barulah dia mengenali wanita itu. Kak Fatimah rupanya. Dan pasti lelaki tadia adalah suami Kak Fatimah. Kak Fatimah merupakan seniornya yang berada di tahun keempat jurusan perubatan. Kak Fatimah memang sudah berkahwin hampir setahun lebih yang lalu.
“Syuq.”
Syuqaira tersengih malu memandang Kak Fatimah yang sudah berada di hadapannya. Kalau tidak silapnya, Kak Fatimah dan suami adalah orang-orang di belakang tabir program yang ingin disertainya itu. Tapi nampaknya dia sudah terlepas peluang itu.
“Tertinggal bas, ek?” Soalan itu mengundang ketawanya. Ketawa malu. Tahu malu! Anak dara bangun lewat!
“Akak kenapa tak bertolak lagi?” Dipandang sekilas suami Kak Fatimah, Abang Amir yang sedang memandang mereka berdua dari jauh.
“Tunggu Syuqlah.”
Hah?! Bulat sedikit matanya.
“Eh. Akak biar betul. Kenapa tunggu Syuq pula?” Dia sebenarnya bukanlah kenal rapat dengan wanita itu tapi sejak bertemu untuk briefing tentang program tersebut, wanita itu begitu mesra dan peramah.
“Lah, dah Syuq peserta program tu. Lagipun ada orang minta tolong.”
Terdiam Syuqaira. Tidak sangka wanita itu begitu baik dengannya. Dia tertinggal bas, tapi ada orang pula yang menunggunya. Dengan pertolongan… seseorang?
“Minta tolong?”
Kak Fatimah mengangguk. Beg miliknya yang diletakkan ditepi itu dicapai oleh Kak Fatimah.
“Eh…akak.” Cepat-cepat, dia ingin menghalang.
“Adha cakap dengan abang Amir, dia perasan ada sorang lagi yang tak datang lagi tadi.” Dan kata-kata itu memberhentikan tindakannya yang ingin mengahalang Kak Fatimah membawa begnya. Terkaku dia seketika sebelum perlahan-lahan mengikut langkah wanita itu ke kereta milik Abang Amir.
“Syuq sorang je ke yang tak ada tadi?” Dia ingin bertanya soalan lain, tapi soalan lain yang keluar. Kak Fatimah mengangguk.
“Adha cakap kesian budak tu. Ingat nak suruh bas tunggu kejap. Tapi dah janji dengan peserta lain. So, akak dengan abang Amir pun tawarkan diri.”
Syuqaira diam. Dia tidak tahu macam mana tiba-tiba nama pemuda lain itu disebut dalam perbualan mereka ini. Dia sendiri tidak tahu sebenarnya yang pemuda itu turut terlibat dalam program ini. Pemuda itu perasan dia tak ada? Pemuda itu kesian padanya? Pemuda itu nak suruh bas tunggu?
Syuqaira mengeluh perlahan, tidak didengari oleh Kak Fatimah dan suaminya. Dia menggunakan perkataan ‘pemuda itu’ kerana dia tidak berani untuk menyuruh hati dan mindanya menyebut nama ‘pemuda itu’ banyak kali. Takut parah!
Sorry, kawan2. Boleh terima cerita baru tak? ^^ InsyaAllah, cerita ni akan habis sampai penamatnya di blog ini.
----------
Jari telunjuknya bergerak dari satu buku ke satu buku yang tersusun rapat di rak bahagian Motivasi perpustakaan kolej itu. Tiada tajuk spesifik untuk buku yang dicarinya. Tajuk buku yang menarik minatnya, pasti akan diambil. Sesekali, matanya nampak ruang di sebelah sana apabila terdapat ruang-ruang kosong di antara buku-buku tersebut.
Sesaat dua, kakinya terhenti apabila matanya menangkap imej seorang pelajar lelaki yang kelihatan khusuk membaca buku di sebelah sana. Dengan rambut yang rapi (macho), dia melihat mata itu berlari-lari di atas garis-garis perkataan di atas buku yang dipegang. Hanya sekejap, dia tersedar. Lantas, matanya pantas mengalih pandangan serentak dengan kakinya melangkah meninggalkan tempat itu. Meja yang diduduki sahabatnya dihampiri. Kerusi bertentangan dengan gadis yang sedang khusuk menulis itu ditarik dan diduduki.
“Jla, pukul berapa kita nak keluar ni?” Soalnya seraya membuka buku-buku kepunyaannya untuk turut serta mengulangkaji pelajarannya.
Ajlaa mengangkat wajah memandangnya sebelum memandang jam besar yang tergantung di dinding pustaka itu. Jelas jarum panjang jam itu mencecah angka nombor tiga manakala jarum pendek menunjuk arah angka sepuluh.
“Dua belas setengah, okey tak?” Ajlaa memandang kembali ke arahnya. Dia hanya mengangguk. Mereka berdua perlu menyiapkan assignment yang ditugaskan oleh pensyarah mereka tiga hari yang lalu. Jam dua belas setengah adalah masa yang sesuai untuk mereka keluar mencari makanan tengahari.
“Syuq.”
Syuqaira memandang Ajlaa yang seperti sedang memberi isyarat kepadanya supaya memandang ke belakang. Syuqaira mencebik. Dia sudah tahu apa yang ingin disampaikan oleh sahabatnya itu.
“Syuq, tengoklah,” rengek gadis itu perlahan. Sebetulnya, mereka berada di tempat yang tidak membenarkan mereka berbual dengan sewenang-wenangnya. Syuqaira membulatkan matanya. Mereka saling bertatapan, seakan-akan berkomunikasi secara telepati. Ajlaa adalah rakan sekuliahnya sejak mereka di tahun pertama lagi. Ajlaa tahu rahsianya, dan dia tahu rahsia gadis itu.
“Oh…dah jumpa tadi, eh? Patutlah.” Meleret perkataan akhir itu, membuatkan Syuqaira membiarkan gadis itu. Dia tahu, gadis itu saja ingin mengusiknya. Akhirnya, mereka diam sehinggalah mereka keluar dari bangunan pustaka itu.
“Syuq, kau jadi pergi program ke kampung orang asli weekend ni?”
Mereka dalam perjalanan menuju ke kafe yang terdekat.
“Ha’ah. InsyaAllah. Teruja pula rasanya. Kau tahukan, aku dah lama nak join program ni. Masuk tahun ketiga ni, baru aku ada peluang.”
“Bagusnya, kau. Komited betul kau dengan orang asli tu.”
Syuqaira memukul lengan sahabatnya dengan buku tebal di tangannya. Mengaduh gadis itu.
“Bukan komited dengan orang asli lah! Tanggungjawab!”
Ajlaa ketawa. Sakitpun, boleh nak ketawa lagi.
“Yalah. Sama je tu.”
-----------------
i'm using one of my bestfriend name (gomen nasai, honey) and one of my favourite name. ^^