Showing posts with label Tazkirah. Show all posts
Showing posts with label Tazkirah. Show all posts

Mustajab Doa Hampir Serlah Tetapi Keliru

|

Assalamualaikum...wbt


الحمد لله الذي أنزل على عبده الكتاب ولم يجعل له عوجا

Syukur Allah masih hulurkan nikmatNya kepada kita hingga saat dan detik ini,peluang dan ruang. Hampir setahun tidak dicoretkan sesuatu atas laman ini. Liku-liku hidup yang dilalui,berkejar ke sana sini. Kalau dunia yang kita cari, amat rugilah hidup ini.

Tercari-cari bacaan doa dari Al-Quran,hadis,para sahabat dan ulama-ulama. Mencari sesuatu bacaan doa yang akan hilangkan semua resah,gelisah,masalah yang menimpa hidup sehari-hari. 

Saudara pembaca,

Semua orang diajar, apabila ditimpa masalah,ujian,dugaan dan sebagainya, kita mohon doa pada Allah. Berapa ratus juta manusia memohon doa pada Allah. Tetapi berapa ramai doa permintaan kita dimakbulkan,diterima. Bahkan kita dikurniakan tempat-tempat yang Nabi selalu berdoa iaitu Makkah dan Madinah, bulan yang dimakbulkan doa iaitu ramadhan al-mubarak, malam yang lebih baik dari 1000 bulan iaitu lailatul qadar. Ya,semua ini Allah beri kepada kita untuk kita minta padaNya. Tetapi sedarkah kita kenapa permintaan, doa kita tidak diterima oleh Azza Wajalla.

Jawapannya ialah tiada kekhusyukkan dalam hati, tadarru' dan rasa tawadhu' kita kepada Allah. Perasaan lemahnya kita apabila ditimpa masalah dengan meminta sungguh-sungguh kepada Allah apa yang dihajati. Perlu diingat,bacaan tidak memberi apa-apa kepada kita. Rintihan keikhlasan yang lebih Allah dengar dari hambaNya. Biarlah kita menangis dengan meminta pada Allah, bukan menangis kerana tidak mendapat sesuatu dari manusia.

Sedar ataupun tidak, manusia berduyun-duyun mahu ke Mekah Madinah apabila menghadapi masalah, dengan harapan apabila pulang dari sana masalah selesai kerana mereka percaya bahawa di sana tempat makbulnya doa. Nah, persoalannya kenapa masih ramai penduduk Mekah yang masih susah,meminta sedekah dan sebagainya. Ya,kerana Allah pandang pada hati-hati yang ikhlas meminta kepadanya, bukan hanya di bibir sahaja hebat meminta. 

Jangan kita memandang rendah pada yang susah, hidup melarat, sedangkan kita tidak tahu mungkin doa yang diminta pada Allah, lebih Allah pandang dari kita yang hidup serba sempurna. 

Ramadhan al-Mubarak kian menjengah untuk meninggalkan kita. Sudah pasti kita mengharapkan sesuatu dari madrasah ramadhan kali ini. Ayuh saudara, kuatkan tekad, tingkatkan semangat. Anggaplah mungkin ini ramadhan yang terakhir buat kita,berlumba-lumba buat yang terbaik. Wallahu 'alam.

Kullu sanah, wa antum bikhoir.

Share/Save/Bookmark

YA HAYYUN YA QAYYUM

|

Ya Hayyun Ya Qayyum
Terimalah subuhku dalam hidayah-Mu
Berkatilah Zuhurku dalam rahmat-Mu
Ampunkan lalaiku dalam Asarku
Peliharalah imanku dalam Maghribku
Redhai Isyakku dalam kasih-Mu
Jumaatku basah dalam as-sajadah
Fajarku syahdu doa akasyah
Pagiku hening restu Haiqal
Dhuhaku nyaman
Selawat An-nur Muhammad Rasullullah
Taajudku indah al-mulk kebesaran-Mu Ya Allah
Ar-Rahman Ar-Raheem-Mu
Kekal bahagiaku
Sunat isyrakku mohon rezeki-Mu
Sunat Tasbihku mohon ampunan-Mu
Sunat hajatku mohon makbul-Mu
Terimalah ya Allah
Sujud Syukurku
Tuhan
Limpahkan aku rahmat ikhlas
Hindarkanlah aku riak bias
Dalam Rahman-Mu Ya Allah
Nikmat syukur yang indah

Kerana sesungguhnya bukan mata itu yang buta, tetapi yang buta ialah hati yang di dalam dada. (al-hajj:46)"




Share/Save/Bookmark

Perasaan

|

Hati yang kesunyian sering mengharapkan
kasih sayang teman di sisi yang bisa menyelami hati dan perasaan
keadaan usia remaja sekeliling berpacaran
membuatkan hati terusik dengan bisikan
yang tidak pernah mengenal erti keputus asaan
bukannya diri tidak layak untuk dikasihi oleh insan
jauh sekali hati tidak pernah dihuni oleh makhluk Tuhan
Tapi setiap kali berada di kemuncak kegembiraan
segalanya musnah tinggal harapan
yang belum pernah kesampaian
yang semuanya tinggal kenangan
terdetik difikiran semuanya hanyalah mainan perasaan
dan sekadar menguji keimanan
Lupakah kita semuanya kehendak Tuhan sekalian alam
hikmah yang tidak dapat disingkapkan
kerana ia adalah suratan takdir Tuhan
bersyukurlah dengan adanya Dia pencipta alam
kerana Dia mengetahui yang terbaik untuk kita yang bergelar insan 

Share/Save/Bookmark

Sambungan 5 Perosak Hati

|

3. Bergantung kepada selain Allah

Ini adalah faktor terbesar perosak hati. Tidak ada sesuatu yang lebih berbahaya dari bertawakkal dan bergantung kepada selain Allah.


Jika seseorang bertawakkal kepada selain Allah maka Allah akan menyerahkan urusan orang tersebut kepada sesuatu yang ia bergantung kepadanya. Allah akan menghinakannya dan menjadikan perbuatannya sia-sia. Ia tidak akan mendapatkan sesuatu pun dari Allah, juga tidak dari makhluk yang ia bergantung kepadanya. Allah berfirman, ertinya:

"Dan mereka telah mengambil sembahan-sembahan selain Allah, agar sembahan-sembahan itu menjadi pelindung bagi mereka. Sekali-kali tidak, kelak mereka (sembahan-sembahan) itu akan mengingkari penyembahan (pengikut-pengikutnya) terhadapnya, dan mereka (sembahan-sembahan) itu akan menjadi musuh bagi mereka." (Maryam: 81-82)

"Mereka mengambil sembahan-sembahan selain Allah agar mereka mendapat pertolongan. Berhala-berhala itu tidak dapat menolong mereka, padahal berhala-berhala itu menjadi tentera yang disiapkan untuk menjaga mereka." (Yasin: 74-75)

Maka orang yang paling hina adalah yang bergantung kepada selain Allah. Ia seperti orang yang berteduh dari panas dan hujan di bawah rumah labah-labah. Dan rumah labah-labah adalah rumah yang paling lemah dan rapuh.

Lebih dari itu, secara umum, asal dan pangkal syirik adalah dibangun di atas ketergantungan kepada selain Allah. Orang yang melakukannya adalah orang hina dan nista. Allah berfirman, ertinya: "Janganlah kamu adakan tuhan lain selain Allah, agar kamu tidak menjadi tercela dan tidak ditinggalkan (Allah)." (Al-Isra': 22)

Terkadang keadaan sebahagian manusia tertindas tapi terpuji, seperti mereka yang dipaksa dengan kebatilan. Sebahagian lagi terkadang tercela tapi menang, seperti mereka yang berkuasa secara batil. Sebahagian lagi terpuji dan menang, seperti mereka yang berkuasa dan berada dalam kebenaran. Adapun orang yang bergantung kepada selain Allah (musyrik) maka dia mendapatkan keadaan yang paling buruk dari empat keadaan manusia, yakni tidak terpuji dan tidak ada yang menolong.

4. Makanan

Makanan perosak ada dua jenis.


Pertama:merosakkan hati kerana bahannya, dan ia terbahagi kepada dua jenis. Yang diharamkan kerana hak Allah, seperti bangkai, darah, anjing, binatang buas yang bertaring dan burung yang berkuku tajam. Kedua, yang diharamkan kerana hak hamba, seperti barang curian, rampasan dan sesuatu yang diambil tanpa kerelaan pemiliknya, baik kerana paksaan, malu atau takut terhina.

Kedua:Merosakkan hati manusia kerana terlalu banyak makan sehingga melebihi had. Ini boleh menyebabkan badan manusia menjadi lemah dan malas mengerjakan ibadah kepada Allah. Oleh demikian kita disunatkan berpuasa sunat supaya aliran darah menjadi sempit. Automatik aliran untuk syaitan memasuki ke dalam badan dan menghasut kita akan terbatas. Barangsiapa banyak makan dan minum, nescaya akan banyak tidur dan banyak rugi. Dalam sebuah hadith masyhur disebutkan:

"Tidaklah seorang anak Adam memenuhi bejana yang lebih buruk dari memenuhi perutnya (dengan makanan dan minuman). Cukuplah bagi anak Adam beberapa suap (makanan) yang bisa menegakkan tulang rusuknya. Jika harus dilakukan, maka sepertiga untuk makanannya, sepertiga untuk minumannya dan sepertiga lagi untuk nafasnya." (HR. At-Tirmidzi, Ahmad dan Hakim, dishahihkan oleh Al-Albani).

5. Banyak tidur

Hal ini selalu menjadi tabiat manusia. Siapa tak suka tidur. Tidur juga adalah nikmat selain dari makan. Tetapi akibat darinya pun banyak. Banyak tidur mematikan hati, memenatkan badan, menghabiskan waktu dan membuat kita menjadi lupa serta malas. Di antara tidur itu ada yang sangat dibenci, ada yang berbahaya dan sama sekali tidak bermanfaat. Sedangkan tidur yang paling bermanfaat adalah tidur saat sangat diperlukan.


Segera tidur pada waktu malam lebih baik dari tidur ketika sudah larut malam. Tidur pada tengah hari (tidur siang) lebih baik daripada tidur waktu pagi dan petang. Bahkan tidur pada petang dan pagi hari lebih banyak mudharatnya daripada manfaatnya.

Di antara tidur yang dibenci adalah tidur antara solat Subuh dengan terbitnya matahari. Sebab ia adalah waktu yang sangat strategik, yang menguji manusia. Kerana itu, meskipun para ahli ibadah telah melewatkan sepanjang malamnya untuk ibadah, mereka tidak mahu tidur pada waktu tersebut hingga matahari terbit. Sebab waktu itu adalah awal dan pintu siang, saat diturunkan dan dibahagi-bahagikannya rezeki, saat diberikannya barakah. Maka masa itu adalah masa yang strategik dan akan menentukan masa-masa selepasnya. Boleh tidur pada waktu itu tetapi kerana keadaan memaksa seperti sakit dan sebagainya.

Secara umum, saat tidur yang paling tepat dan bermanfaat adalah pada pertengahan pertama dari malam, serta pada seperenam bahagian akhir malam atau seperlapan malam. Dan itulah tidur yang baik menurut para doktor. Jika lebih atau kurang daripadanya maka akan mempengaruhi pada kebiasaannya. Termasuk tidur yang tidak bermanfaat adalah tidur pada awal malam hari, setelah tenggelamnya matahari. Dan ia termasuk tidur yang dibenci Rasul Sallallahu 'alaihi wa sallam.

Harap dapat memberi sedikit sebanyak pengajaran kepada kita. Wallahu 'alam.

(Syarah dari Mufsidaatul Qalbi Al-Khamsah, min kalam Ibni Qayyim Al-Jauziyyah/Abu Okasha Ainul Haris)

Share/Save/Bookmark

5 Perosak Hati

|

Hati adalah pengendali. Jika ia baik, baik pula perbuatannya. Jika ia rosak, rosak pula perbuatannya. Maka menjaga hati dari kerosakan adalah wajib. Tentang perosak hati, Imam Ibnul Qayyim rahimahullah menyebutkan ada lima perkara, 'bergaul dengan banyak kalangan (baik dan buruk), angan-angan kosong, bergantung kepada selain Allah, kekenyangan dan banyak tidur.' Kali ini saya hanya ingin meletakkan 2 jenis perosak dahulu dan selebihnya akan dipostingkan entri akan datang.



1.
Bergaul dengan banyak kalangan


Pergaulan adalah perlu, tetapi asasnya adalah pandai memilih teman. Pergaulan yang salah akan menimbulkan masalah. Teman-teman yang buruk lambat laun akan menghitamkan hati, melemahkan dan menghilangkan rasa nurani, akan memmpengaruhi seseorang yang lemah imannya dalam memenuhi berbagai keinginan mereka yang negatif.



Dalam tatapan realiti masa kini, kita sering menyaksikan orang yang hancur hidup dan kehidupannya gara-gara pergaulan. Biasanya out put sebegini ini, kerana motivasi bergaulnya untuk dunia. Dan tidak dinafikan, kehancuran manusia lebih banyak disebabkan oleh perbuatan sesama manusia itu sendiri. Kerana itu, kelak di akhirat, banyak yang menyesal kerana salah pergaulan. Allah berfirman:



"Dan (ingatlah) hari (ketika itu) orang yang zalim menggigit dua tangannya seraya berkata, 'Aduhai (dulu) kiranya aku mengambil jalan bersama-sama Rasul. Kecelakaan besarlah bagiku, kiranya aku (dulu) tidak menjadikan si fulan itu teman akrab(ku). Sesungguhnya dia telah menyesatkan aku dari Al-Quran ketika Al-Quran itu telah datang kepadaku." (Al-Furqan: 27-29).



"Teman-teman akrab pada hari itu sebagiannya menjadi musuh bagi sebahagian yang lain, kecuali orang-orang yang bertaqwa." (Az-Zukhruf: 67).



"Sesungguhnya berhala-berhala yang kamu sembah selain Allah adalah untuk menciptakan perasaan kasih sayang di antara kamu dalam kehidupan dunia ini, kemudian di hari Kiamat sebahagian kamu mengingkari sebahagian (yang lain) dan sebahagian kamu melaknati sebahagian (yang lain), dan tempat kembalimu adalah Neraka, dan sekali-kali tidak ada bagimu para penolong." (Al-Ankabut: 25).



Inilah pergaulan yang didasari oleh kesamaan tujuan duniawi. Mereka saling mencintai dan saling membantu jika ada hasil duniawi yang diingini. Jika telah lenyap kepentingan tersebut, maka perhubungan itu akan melahirkan duka dan penyesalan, cinta berubah menjadi saling membenci dan melaknat.

Oleh sebab itu, dalam bergaul, berteman dan berkumpul hendaknya ukuran yang dipakai adalah kebaikan. Lebih tinggi lagi tingkatnya jika motivasi perhubungan itu untuk mendapatkan kecintaan dan redha Allah.


2.
Larut dalam angan-angan kosong


Orang yang banyak berangan tidak kemana jika tanpa usaha. Angan-angan kosong adalah lautan tak bertepi. Ombak angan-angan terus mengombang-ambingkannya, khayalan-khayalan dusta senantiasa mempermainkannya. Seperti anjing yang sedang dipermainkan bangkai tulang. Angan-angan kosong adalah kebiasaan orang yang berjiwa kerdil dan rendah.



Masing-masing sesuai dengan yang diangankannya. Ada yang mengangankan menjadi raja atau ratu, tidak kurang juga yang ingin menjadi perdana menteri, ketua-ketua, ada yang ingin keliling dunia, ada yang ingin mendapatkan harta kekayaan melimpah, atau isteri yang cantik jelita. Tapi itu hanya angan-angan belaka.



Adapun orang yang memiliki cita-cita tinggi dan mulia, maka cita-citanya adalah mencari ilmu, iman dan amal soleh yang taqorrubkan dirinya kepada Allah. Dan ini adalah cita-cita terpuji. Nabi S.A.W memuji orang yang bercita-cita terhadap kebaikan.




Share/Save/Bookmark

My Songs

Related Posts with Thumbnails

Followers