Thursday, October 30, 2008

JEMPUT HADIR KE PELANCARAN KELAB PENYOKONG PAS KUALA KEDAH



Assalamualaikum

Seluruh lapisan masyarakat dijemput hadir ke Majlis Pelancaran Kelab Penyokong PAS Kawasan Kuala Kedah.


Perasmian oleh YB Hj Phahrolrazi Zawawi, Exco Kerajaan Negeri Kedah.


Ceramah Umum bersama YB. Dr, Mujahid Yusof Rawa dan Mr. Hu Phang Chaw

Aturcara:- 8.00 mlm : Jamuan Untuk Petugas dan Ahli Kelab
8.15 mlm : Solat Isyak berjemaah (Penganut Islam)

8.30 mlm : Acara Perbarisan Ahli Kelab
8.45 mlm : Ketibaan Pimpinan PAS dan Perarakan masuk Dewan bersama tarian Singa
9.00 mlm : Majlis Perasmian dan Ceramah dimulakan.
12.00 mlm: Bersurai

"Mereka sudah datang kepada kita, menjadi tugas dan tanggungjawab kitalah mempamer keadilan, kesempurnaan, kebaikan, kejujuran, keluhuran, kesopanan, keunggulan Islam - Jangan kita pula terikut dengan mereka atas alasan siasah syariah yang batil sehingga akhirnya mereka hairan melihat kita yang lebih camca dari bubur".

Sunday, October 26, 2008

Alhamdulilah - Banjir Sudah Mula Surut

PAS Kawasan Kuala Kedah mengucapkan ribuan terima kasih kepada semua yang terlibat secara langsung ataupun tidak membantu mangsa banjir di Dewan Undangan Negeri Anak Bukit baru-baru ini.

Sekarang air bah (banjir) semakin surut, operasi membersih sedang giat dilakukan oleh tuan rumah yang terlibat dan ada beberapa NGO yang turut sama membantu membersih tempat awam yang terlibat seperti surau, sekolah, penempatan, PASTI dan rumah persendirian yang melibatkan warga tua serta kurang upaya.

InsyaAllah, pihak PAS Kawasan Kuala di bawah Pusat Khidmat Wakil Rakyat DUN Anak Bukit akan mengadakan majlis penghargaan dalam waktu yang terdekat bagi meraikan mereka yang terlibat membantu mangsa banjir samada daripada kakitangan perkhidmatan awam iaitu polis, PGA3, Jabatan Pendidikan, Guru Besar dan warga sekolah Sek Keb Titi Gajah, Sek Keb Gunung, Sek Wawasan, MADA, JPS, Pejabat Daerah, Penghulu, Ketua Kampung dan pihak NGO seperti Yayasan Salam, Haluan, Yayasan Amal, Nisa', PASTI, PAS Cawangan dan individu-individu tertentu.

Segala sumbangan dan jasa baik terutama 2 orang penghulu iaitu En. Mohd Zubir Abd Rahman dari Mukim Gunung dan En. Ahmad Fadzil Hashim dari Mukim Titi Gajah yang diamanahkan menjaga 4 pusat pemindahan serta Ketua Kampung yang baru dilantik iaitu Sdr Sharif Ali - Simpang 4 Tanjung Bedil, Ustaz Abdullah Hashim - Sungai Baru, Suib Mahmud - Taman Indah, Nordin Mohd Noor - Titi Gajah, Sdr Yusof Man - Taman Aman, Sdr Mansor Din - Alor Madi, Ustaz Abdullah Kasim - Anak Bukit, Abd Razak Din - Seberang Anak Bukit dan lain Ketua Kampung dalam DUN Anak Bukit yang membantu mengurus Penempatan Banjir.

Tahniah kepada YB Mohd Nasir Mustaffa selaku ADUN Kubang Rotan yang juga Setiausaha PAS Kawasan Kuala Kedah - telah mengambil alih sepenuhnya tanggung jawab mengurus operasi banjir di Anak Bukit daripada kekandanya YB Amiruddin Hamzah yang terpaksa berada di luar negeri atas urusan Kerajaan Negeri, seterusnya tahniah Hj Azim Hj Ahmad, Pengarah MTD Anak Bukit, Hj Harun Kamis Setiausaha MTD, Hj Yazid Hj Hashim Bendahari PAS Kawasan, Ustaz Kasim Md Isa Pengarah MTD Pengkalan Kundor, Sdr Helmi Khalid Ketua Pemuda, Sdr Abd Razak Osman, Ustaz Rizuan Abu Bakar, Sdr Latif, Sdr Fuad Lazim, Sdr Ahmad Leha, Sdr Azizi Abdullah, Saw Lean Keaw, Zulkifli Nayan, Puan Zakiah Baharom dan ramai lagi yang tak sempat disebut nama mereka sekali lagi PAS Kawasan Kuala Kedah mengucapkan ribuan terima kasih atas kerjasama yang diberikan.

Tidak dilupakan ucapan terima kasih kepada rombongan isteri Menteri Besar dan isteri EXCO Kanan kerajaan Negeri yang turut samada meredah banjir memberi bantuan dan sumbangan.

Semoga Tuhan membalas jasa baik yang dihulurkan dalam membantu mereka yang terkena musibah.

Terima kasih.

Ketua Penerangan
PAS Kawasan Kuala Kedah

Wednesday, October 22, 2008

TOLONG!!! BANJIR MAKIN TERUK DI DUN ANAK BUKIT


Bantuan segera diperlukan untuk membantu mangsa banjir di dalam DUN Anak Bukit, Parlimen Kuala Kedah.

Setakat sekarang sudah 300 orang telah di pindahkan kepusat penempatan di Sek Keb Gunung, Sek Keb Titi Gajah, Sek Keb Wawasan dan Market Pekan Anak Bukit.

Sebanyak 20 kampung yang telah telibat dengan banji setakat ini. Ramai yang masih tidak mahu berpindah dari rumah mereka. Air semakin naik, sementara hujan sedang turun dengan lebat. Dijangka air akan naik lagi.

Tolonglah mereka yang ditimpa musibah ini, semoga Allah mengganjari balasanNya terhadap Tuan/Puan

Antara keperluan segera yang diperlukan ialah:-

1. Beras
2. Sardin
3. Roti
4. Pampers kanak-kanak
5. Susu bayi dan kanak-kanak
6. Air minuman
7. Makanan ringan
8. Sayuran dan ikan segar
9. Ikan kering
10. Kenderaan pacuan 4 roda untuk mengagih bantuan kepada mangsa
termasuk driver. (pinjam)
11. Lain-lain yang difikirkan perlu

Sebarang pertanyaan boleh berhubung terus pejabat
Bilik Gerakan Operasi Banjir DUN Anak Bukit- 04-7347349 - Fuad

Tuesday, October 21, 2008

DATANG BERAMAI-RAMAI KE MAJLIS CERAMAH PELANCARAN KELAB PENYOKONG PAS


Kalau rajin sila print dan tolong sebarkan poster di atas
Permintaan rasmi daripada:-

Aris Awang
Ketua Penerangan PAS Kawasan
Kuala Kedah

Saturday, October 18, 2008

Menitis Air Mata Ku Kerana Bangga Membaca Ucapan TG Hj Abd Hadi Awang di Parlimen


Maha Suci Allah...
Inilah Jalan kita.... Tuan Guru Hj Abd Hadi Awang telah menunjukkan Jalan Lurus (Sira thalmustaqim) kepada kita semua pemuda dan pemudi ku.


Ucapan selama satu jam yang disampaikan oleh beliau di Parlimen baru-baru ini.

Lihat ulasan ucapan beliau oleh YB Hj Khalid Abd Samad
disini

Transkrip penuh Ucapan Tuan Guru Hj Abd Hadi Awang pula disini

Thursday, October 16, 2008

DRAF SOALAN DEWAN BAGI BULAN NOVEMBER 2008

Bertaqwalah Kepada Allah dengan Sebenar-benar Taqwa

Pemuda dan Pemudi Ku, berikut adalah draf soalan untuk Persidangan Dewan Undangan Negeri Kedah pada bulan November 2008 yang akan di kemukakan oleh ADUN Kubang Rotan.

Bolehlah menyemak draf soalan tersebut, kemungkinan ada penambahan atau apa-apa cadangan sila nytakan, pihak PKWR Kubang Rotan amat mengalu-alukan:-

1. Lembaga Biasiswa Negeri Kedah – Urusan Pinjaman Pelajar
Pohon nyatakan berapakah kadar caj perkhidmatan yang dikenakan oleh Lembaga Biasiswa Negeri Kedah dan adakah ianya menepati kehendak syarak dalam pengendalian urusan pinjaman tersebut?

2.Pentadbiran - Kualiti pengurusan Penghulu

Sejauh manakah tindakan yang telah diambil oleh Kerajaan Negeri terhadap Rancangan Pemerkasaan Penghulu berhubung perkara-perkara berikut:-
a. Masa bertugas di pejabat yang ditetap.

b. Penyediaan premis yang sesuai dan mesra pelanggan
c. Pengawasan pihak atasan terhadap etika kerja

d. Manual Prosedur Kerja dan Piagam Pelanggan.
e. Kumpulan sokongan di pejabat Penghulu.

3. Pentadbiran - Dewan orang ramai milik kerajaan Negeri dan Persekutuan

a. Ada berapa buahkah Dewan Orang Ramai yang dimilik Kerajaan Negeridan diamanahkan kepada jabatan mana?

b. Adakah Kerajaan sedar terdapat bangunan milik kerajaan negeri yang terbiar dan apakah langkah-langkah untuk menghidupkan kembali sebagai pusat kegiatan masyarakat.
c. Ada berapa buahkah Dewan Orang Ramai milik Kerajaan Persekutuan dan diamanahkan kepada jabatan mana dan adakah kerajan Negeri mengenakan sebarang bayaran terhadap tapak premis tersebut..

4. Kuota Perumahan

Pohon nyatakan butiran-butiran terperinci kemunasahaban Kerajaan Negeri meningkatkan kuota perumahan dari 30% kepada 50% untuk Bumiputra dan nyatakan berapakah jumlah taman perumahan yang telah dijual bawah daripada 30% oleh pemaju kepada Bumiputra serta alasan mereka melakukannya.

5. Pihak Berkuasa Tempatan - Pusat Permainan Komputer dan Judi.
Adakah Kerajaan Negeri sedar banyak premis-premis digunakan tanpa lessen, menjalankan perniagaan ciber café termasuk judi. Apakah tindakan yang telah, sedang dan akan dilakukan untuk membenteras perkara tersebut?

6. Pihak Berkuasa Tempatan - Lesen premis penjualan arak dan judi

Pohon nyatakan berapa premis arak dan judi yang telah dan akan tamat tempoh sejak Mac 2008 sehingga Disember 2008 dan adakah Kerajaan Negeri telah dan bercadang untuk memperbaharui lessen premis tersebut?

7. Yayasan Islam Kedah

Pohon nyatakan apakah peranan utama Yayasan Islam Kedah dan adakah ia meneruskan kerja menjadi orang tengah untuk menghakis Tanah Rizab Melayu?


8. Jabatan Agama - Institusi Masjid

Apakah langkah Kerajaan Negeri memulihkan kelesuan institusi masjid diseluruh Negeri Kedah.


9. Pentadbiran - Cuti Kepada Wanita Bersalin
Bilakah Kerajaan Negeri bercadang akan melaksanakan cuti kepada Kakitangan Kerajaaan Negeri seperti mana yang terdapat dalam janji Manifesto Pilihanraya ke 12.

10. Pentadbiran - Pinjaman tanpa riba kakitangan kerajaan

Adakah Kerajaan Negeri telah melaksanakan pinjaman tanpa riba kepada kakitangan Kerajaaan Negeri seperti mana yang terdapat dalam janji Manifesto Pilihanraya ke 12. Jika ‘Ya’ bila bermula serta siapakah yang memprolehi manfaatnya dan jika ‘Tidak’ mengapa?

11. Majlis Bandaraya Alor Setar – Tarikan Pelancongan
a. Tidak Kerajaan Negeri bercadang untuk menaik taraf pasar-pasar sedia sehingga mampu menarik pelancong luar datang ke negeri Kedah seperti Pasar Siti Khadijah di Kelantan, Pasar Payang di Terengganu, Pasar Philipina di Sabah, Pasar Satok di Serawak.
b. Apakah kerajaan Negeri tidak bercadang untuk memperkenal MBAS dengan satu identiti yang tersendiri dalam usaha menarik pelancong.
c. Apakah inisiatif Kerajaan Negeri untuk menghidupkan projek-projek terbengkalai sebagai salah satu daya tarikan pelancongan seperti Medan Ikan Bakar, Keloncor, Marina Habour, Kuala Kedah.


12. Maktab Mahmud - Memantap system Pengurusan

Apakah langkah-langkah Kerajaan Negeri mengatasi kelemahan di dalam pengurusan dan pentadbiran di Maktab Mahmud seperti berikut:-
a. JPA telah melulus sejumlah jawatan, tetapi sehingga kini masih belum diisi.
b. JPA telah melulus kenaikan pangkat secara “time-base” bagi jawatan-jawatan yang dikenal pasti, tetapi masih belum diisi hingga kini.
c. Lembaga Maktab Mahmud masih tidak mempunyai satu Garis Panduan Kenaikan Pangkat.

13. Pertanian - Pelantar Ikan

Sejauh manakah Kerajaan Negeri telah mengambil langlah-langkah untuk menaik taraf Pusat Pendaratan Ikan di Kubang Rotan.

Aris Awang
Pengarah PKWR Kubang Rotan
(DUN Kubang Rotan diwakili oleh YB Mohd Nasir Mustaffa -
mohdnasir.blogdrive.com/)

Tuesday, October 14, 2008

Islam dan kebangkitan ekonomi


Allah Yang Maha Pemurah dan Mengasihi

Pemuda dan pemudi ku...

Saya membaca dan tertarik dengan pandangan Sdr Wan Saiful Wan Jan, seorang Ahli PAS daftar terus sejak 1993, yang sekarang menetap di England mengenai Islam dan Kebangkitan Ekonomi.

Semoga tulisan beliau, boleh menjadi renungan kita bersama untuk menjadi panduan terhadap sistem ekonomi yang sedang digunapakai oleh negeri-negeri yang diperintah di bawah Pakatan Rakyat.

Saya bimbang kita hanya meneruskan sistem salah yang diwarisi dari pemerintahan rejim lama (Barisan Nasional)... kita mesti berusaha berubah. Kita mesti menjadi pemimpin ummah bukan menjadi pengikut sistem sedia ada.

Berikut adalah tulisan beliau:-


Dr Imad-ad-Dean Ahmad, Presiden Minaret of Freedom Institute, Amerika, pernah menulis satu artikel mengenai Islam dan sistem pasaran. Dalam artikel ini, penulis akan menterjemahkan beberapa hujah yang dikemukakan oleh Dr Imad ke dalam Bahasa Malaysia dan seterusnya memberikan hujah kenapa umat Islam di Malaysia khasnya dan rantau Asia umumnya wajar berusaha memastikan sistem ekonomi kita adalah berteraskan sistem pasaran terbuka yang bebas daripada campur tangan atau kawalan politik.

Menurut Dr Imad-ad-Dean Ahmad, perniagaan bukan perkara asing bagi umat Islam. Rasulullah (saw) dan Saidatina Khadijah (r.a) merupakan ahli perniagaan yang berjaya dalam pasaran bebas pada masa itu. Kitab suci Al-Quran juga penuh dengan pelbagai ayat yang menyentuh hal ehwal perniagaan. Malahan, jika kita teliti sejarah perkembangan Islam, kita pasti mengakui peranan penting yang dimainkan oleh ahli perniagaan dalam menyebarkan Islam ke seluruh pelusuk bumi. Islam sampai ke Tanah Melayu melalui ahli perniagaan yang bergerak dalam pasaran bebas dunia, bukan melalui bala tentera.

Malangnya, hubungan intim antara Islam dan pasaran bebas tidak begitu dihargai oleh dunia, termasuklah oleh umat Islam di Malaysia.

Usaha mengawal pasaran

Di awal kurun ke-20, hubungan rapat beberapa negara Arab dengan Soviet Union menyebabkan sistem sosialisme mula meresapi Timur Tengah. Sehingga hari ini, masih banyak lagi negara Arab yang mewarisi sisa-sisa sistem ekonomi sosialisme dalam mana kerajaan menguasai dan mengawal pergerakan ekonomi negara tersebut. Perkembangan pemikiran sosialis di negara-negara Arab akhirnya merosakkan sistem pasaran terbuka yang diwarisi masyarakat Arab sejak zaman Rasulullah (saw) lagi.

Bagaimanapun, sejak kebelakangan ini, kita melihat betapa negara-negara umat Islam mula menunjukkan rasa tidak selesa terhadap sistem ekonomi sosialisme. Beberapa buah negara umat Islam, termasuklah Malaysia, telah dan sedang berusaha memperkenalkan sistem pasaran yang lebih terbuka dan berdaya-saing.

Malangnya, beberapa kelompok di kalangan umat Islam masih lagi menentang sistem pasaran yang lebih terbuka. Menurut Dr Imad, terdapat tiga kelompok yang biasanya menentang sistem pasaran.

Kelompok pertama ialah mereka yang masih pekat dengan fahaman sosialisme. Mereka ini mengatakan bahawa kita tidak boleh memiliki harta peribadi kerana apa-apa harta yang kita miliki mestilah di kongsi dengan rakyat secara keseluruhan. Dalam bahasa Inggeris, mereka ini digelar sebagai “economic egalitarians”. Fahaman pro-sosialis menyebabkan mereka lebih selesa jika rakyat dan syarikat dikenakan cukai yang tinggi agar harta boleh dibahagi-bahagikan kepada semua rakyat, termasuklah kepada mereka yang tidak mahu bekerja.

Kelompok kedua pula meyakini bahawa untuk membangun, semua hal ehwal dalam sesebuah negara mestilah dikawal oleh kerajaan (autoritarian). Mereka ini berpegang dengan pandangan bahawa menteri-menteri adalah orang bijak pandai yang pakar dalam menyusun-atur ekonomi negara. Oleh itu, aktiviti ekonomi mestilah dikawal sepenuhnya oleh kerajaan melalui proksi-proksi tertentu.

Kelompok ketiga pula menentang sistem pasaran kerana mereka tidak suka kepada kesenangan dan kemewahan. Bagi mereka, harta hanya menjauhkan kita daripada agama. Sebaliknya, mereka mahu hidup dalam dunia tersendiri dan tidak mencampuri urusan mencari pendapatan untuk hidup lebih selesa (asetikisme).

Ketiga-tiga kelompok di atas mempunyai persamaan yang ketara. Mereka semuanya mengatakan bahawa harta atau kekayaan adalah perkara yang tidak baik untuk dimiliki oleh individu. Sebaliknya, pendapatan rakyat mesti dijadikan milik negara, contohnya melalui cukai yang tinggi, dan harta tersebut akan dikawal atau diuruskan oleh negara demi menjaga kebajikan semua rakyat.

Semua fahaman ini sebenarnya tidak selari dengan sistem Islam yang mahukan setiap individu Muslim berusaha dan bekerja, mengumpul harta daripada pekerjaan yang halal, dan kemudian melakukan sebanyak mungkin amal jariah secara sukarela. Seruan Islam ialah agar setiap individu Muslim membantu menjaga kebajikan jiran tetangga dan rakyat keseluruhan, bukan mencari helah dengan mengatakan bahawa itu adalah tanggungjawab kerajaan.

Islam dan harta peribadi

Dr Imad menegaskan bahawa Islam membawa satu sistem komprehensif untuk melindungi harta peribadi. Dalam Islam, semua perkara adalah ciptaan dan hak Allah. Harta peribadi adalah amanah yang diberikan oleh Allah kepada hamba-Nya. Sebagai khalifah Allah di muka bumi, setiap individu mesti menjaga amanah tersebut dan menggunakannya untuk kebaikan manusia secara keseluruhan. Setiap individu akan dipertanggung-jawabkan sepenuhnya terhadap amanah tersebut (Yaasin, 54).

Al-Quran tidak menafikan hak seseorang individu untuk mengumpul harta. Sebaliknya, Al-Quran memberi beberapa garispanduan dan nasihat mengenai cara terbaik untuk membelanjakan harta. Dalam Islam, harta tidak boleh dibazirkan dan tidak boleh digunakan untuk menafikan hak orang lain (Al-Baqarah, 188).

Jika seseorang menyimpan harta milik orang lain, contohnya memegang amanah harta anak yatim, harta tersebut tidak boleh digunakan untuk kepentingan peribadi pemegang amanah tersebut (An-Nisaa, 9-10).

Bertentangan dengan fahaman sosialis atau autoritarian yang mahukan harta peninggalan si mati dijadikan hak negara, Islam menghormati hak untuk mewariskan harta (An-Nisaa’, 33). Malahan hak mewarisi harta diperluas kepada kaum wanita (An-Nisaa’, 7), walaupun ini tidak berlaku sebelum kedatangan Islam.

Rasulullah (saw) turut mempertegaskan betapa Islam amat menghormati harta milik peribadi. Dalam khutbah wada’, Baginda (saw) bersabda bahawa:

“Wahai manusia, sepertimana kamu menganggap bulan ini dan kota ini sebagai suci, maka anggaplah jiwa dan harta setiap orang Muslim sebagai amanah suci. Kembalikanlah harta yang diamanahkan kepada kamu kepada pemiliknya yang berhak”

Peranan kerajaan

Dalam sebuah masyarakat Islam, setiap individu bertanggungjawab memastikan harta mereka digunakan dengan cara yang terbaik. Tanggungjawab menjaga kebajikan masyarakat bukan diserahkan kepada kerajaan semata-mata. Sebaliknya, setiap individu Muslim bertanggung-jawab memastikan kebajikan jiran tetangga mereka terjaga, terutamanya dengan melakukan amal jariah.

Sejak kejatuhan Soviet Union, sudah tidak ramai lagi ahli ekonomi yang meyakini sistem ekonomi terancang (command and control economy). Dr Imad mengatakan bahawa sebenarnya ahli-ahli ekonomi Islam sejak awal-awal lagi menolak sistem ekonomi terancang. Sebaliknya, Islam lebih menggalakkan sistem pasaran yang tidak dipengaruhi kuasa politik. Rasululah (saw) acapkali mahukan harga sesuatu barangan atau komoditi ditentukan oleh kuasa pasaran.

Contohnya, dalam satu hadis yang diriwayatkan oleh Bukhari daripada Abu Said al-Khudri, diceritakan bagaimana pada suatu hari Bilal ibn Rabah memberikan beberapa biji buah tamar berkualiti tinggi kepada Rasulullah (saw). Baginda (saw) bertanya “Bagaimana kamu boleh mampu membeli tamar ini?” Bilal menjawab, “Aku menyimpan beberapa biji tamar yang berkualiti rendah, dan aku menukarnya dengan tamar berkualiti tinggi untuk dihadiahkan kepada Rasulullah”. Baginda (saw) menjawab “Berhati - hatilah! Sesungguhnya inilah riba! Jika kamu mahu membeli tamar berkualiti tinggi, maka jual lah tamar yang berkualiti rendah dengan harga pasaran, dan gunakanlah wang yang kamu perolehi untuk membeli tamar yang berkualiti tinggi”.

Dalam kata lain, Rasulullah (saw) mahu urusniaga dijalankan berdasarkan harga pasaran kerana dengan itu, harga sesuatu barangan akan ditentukan oleh kuasa pasaran tanpa dipengaruhi unsur-unsur yang tidak sihat. Jelas bahawa Islam menganggap kuasa pasaran yang tidak dicampuri oleh pengaruh lain boleh menentukan dengan lebih baik dan lebih tepat harga yang paling wajar untuk sesuatu barangan.

Islam juga tidak cuba mengawal harga barangan dalam pasaran. Dr Imad mengatakan bahawa “Rasulullah (saw) hanya mencampuri urusan pasaran untuk mengelakkan berlakunya penipuan atau riba”. Baginda (saw) juga tidak cuba mengawal pasaran apabila Baginda (saw) mengambil alih kuasa politik.

Pada zaman pemerintahan khilafah Umayyah, pemerintah pada waktu itu mula mencampuri urusan pasaran dan cuba mengawal pasaran dengan kuasa politik. Khalifah Umar Abdul Aziz memperbetulkan kesilapan ini apabila beliau mengatakan kepada para gabernor yang beliau lantik bahawa :

“Allah telah menjadikan bumi dan air untuk manusia mencari rahmat-Nya. Maka biarlah para peniaga berjalan tanpa sebarang campurtangan atau gangguan. Jangan kamu mencampuri urusan mereka, dan jangan kamu ganggu usaha mereka mencari rezeki”.

Islam juga tidak menggalakkan kerajaan melibatkan diri dalam perniagaan. Ibn Khaldun mengatakan bahawa “aktiviti perniagaan yang dijalankan oleh kerajaan adalah merbahaya kepada rakyat dan boleh merosakkan pendapatan dan pentadbiran kewangan negara”. Ibn Khaldun menjelaskan bahawa jika kerajaan melibatkan diri dalam perniagaan, maka ada kemungkinan akan wujud sebuah monopoli yang akhirnya menyebabkan rakyat terpaksa membayar harga yang tinggi. Situasi sebegini pasti akan membebankan rakyat.

Islam menolak asetikisme

Islam menolak fahaman asetik yang seolah-olah mahu semua manusia hidup dalam kemiskinan dan kesusahan. Dr Imad berhujah bahawa, sebenarnya, kaya atau miskin tidak melambangkan apa-apa. Kekayaan dan kemiskinan hakikatnya adalah ujian kepada manusia. Ujian inilah yang akan menentukan jauh atau rapatnya kita kepada Allah. Semata-mata menjadi miskin, atau dengan sengaja mahu menjadi miskin, tidak langsung melambangkan hubungan seseorang individu dengan Allah dan jauh sekali daripada melambangkan taqwa.

Islam menganggap dunia dan kekayaan yang boleh diperolehi di muka bumi sebagai satu platform neutral yang membolehkan setiap individu menzahirkan rasa cinta mereka kepada Allah dengan sukarela, termasuklah dengan cara mengumpul kekayaan ang halal untuk dibelanjakan secara yang halal. Al-Quran dengan jelas mengarahkan manusia bekerja, dan Islam tidak menganggap usaha mengumpul rezeki per se sebagai sesuatu yang menjauhkan manusia daripada Allah.

Zakat dan pembahagian harta

Menurut Dr Imad lagi, dalam menilai sistem ekonomi Islam, sesetengah pengkaji terkeliru apabila mereka mendakwa Islam mahu menyamaratakan taraf sosio-ekonomi manusia. Mereka menyangka bahawa tujuan sistem zakat ialah untuk memastikan semua manusia mempunyai taraf sosio-ekonomi yang sama rata, tidak ada yang kaya dan tidak ada yang miskin. Ini merupakan dakwaan yang tidak tepat sama sekali.

Kadar zakat adalah amat kecil – hanya 2.5% sahaja. Kadar yang rendah ini jelas tidak akan membawa kepada taraf sosio-ekonomi yang sama rata. Dengan itu, zakat jelas bukan bertujuan untuk menyama-ratakan taraf sosio-ekonomi rakyat, dan bukan juga untuk “menghukum” mereka yang kaya. Sebaliknya, seperti yang dinyatakan dalam Al-Quran, zakat sebenarnya bertujuan untuk menyucikan harta seseorang Muslim.

Sebaik sahaja seseorang mengeluarkan zakat, maka Islam menganggap semua harta lain yang mereka miliki adalah suci dan sepenuhnya menjadi hak mereka. Sebarang perkongsian harta etelah zakat dikeluarkan adalah dalam bentuk sedekah yang sukarela, bukan dalam bentuk paksaaan undang-undang atau rampasan oleh mereka yang berkuasa.

Penutup

Keunggulan teori dan sistem ekonomi Islam sampai ke kemuncaknya pada zaman Ibn Khaldun pada abad ke-14. Ibn Khaldun merupakan tokoh agung yang telah berjaya menggariskan sistem sosio-ekonomi umat berdasarkan prinsip-prinsip Islam.

Bagi Ibn Khaldun, sistem ekonomi Islam menuntut setiap individu berusaha membiayai kehidupan diri sendiri dan keluarga masing-masing, membebaskan pasaran daripada campurtangan kuasa politik, dan mengajak setiap individu manusia menjadi warganegara yang bertanggungjawab terhadap kebajikan secara keseluruhan.

Kedatangan Islam ke muka bumi telah membawa satu sistem pasaran ekonomi yang bebas dan terbuka. Islam menyusun kegiatan ekonomi dengan satu rangkaian undang-undang perdagangan untuk memastikan pemilikan harta peribadi dihormati dan pasaran dibiarkan bebas untuk berfungsi dengan sendiri. Pandangan-pandangan yang menentang sistem pasaran terbuka kebanyakannya bukan berasal daripada penghayatan ajaran Islam yang tulin, tetapi biasanya lebih dipengaruhi fahaman sosialis atau autoritarianisme.

Seruan Islam agar setiap manusia melakukan amal jariah telah melahirkan satu generasi masyarakat bertamadun tinggi yang tiada tolok bandingnya. Generasi ini tidak mengharapkan kerajaan mengambil alih urusan menjaga kebajikan jiran tetangga, tetapi mereka giat menubuhkan pelbagai platform kebajikan yang bebas daripada cengkaman kerajaan. Contohnya, institusi waqaf berkembang pesat semasa zaman emas Islam.

Jika rakyat Malaysia benar-benar mahu mengamalkan sistem ekonomi berdasarkan Islam, maka langkah pertama yang mesti dilakukan ialah memastikan sistem pasaran terbuka kembali diletakkan ke tempatnya.

Oleh: Wan Saiful Wan Jan (www.waubebas.org/)