
BAHAGIAN 1
KULTUM
NAFAS PAGI ITU mendesah keluar. Sejuk masih menyelimuti sekujur tubuh, menggigit-gigit hujung jemari kaki yang terjulur keluar dari selimut belang violet kerdil hadiah 'saguh hati' daripada Malaysia Airlines. Pemberian Pak Long semasa baru pulang dari mengerjakan haji kali ketiganya. Getaran dan nyalakkan dering telefon bimbit menandakan Subuh akan masuk tak lama lagi.
Sekali menggeliat aku menggapai berus gigi dan Colgate serta berusaha bangkit berjalan menuju ke tandas. Air pagi yang mengalir keluar luarbiasa sejuknya menikam setiap saraf yang masih lagi sengal. Aku tak jadi mandi, lagipun pagi Ahad tidak ada kelas. Aku cuma berwudhuk. Lantas mula menuju ke surau sambil mengetuk pintu cube-cube jiran yang masih lena ketiduran.
Sesampainya di kaki pintu surau, aku disambut dengan lantunan bacaan kitab paling suci yang merakamkan seribu keindahan dan ketenangan. Rupanya aku sudah terlewat. Entah berapa lama agaknya telefon bimbitku mengerangkan bunyi alarm sedang aku masih terlena. Tanpa berlengah, kuterus bergabung bersama jemaah di bahagian paling kanan sekali. Merdu. Abu agaknya takpun Aman yang menjadi imam. Surah Al-Mulk menjadi surah pembukaan rakaat pertama serta disudahi dengan surah Al-Kafirun sebagai penutup di rakaat kedua.
Nasib baik aku masih muwafiq, sempat bersama imam dari mula sampai habis solat. Seusai solat, aku bersalaman bersama makmum yang lain, ada Nabil, Muhaimin yang kami panggil Amin saja dan juga Aman serta beberapa rakan yang lain. Selalunya memang muka inipun yang jadi makmum tetap. Tak lebih sepuluh orang pun namun masih cukup satu saf.
Tepat selaanku, Abu yang mengimami solat sebentar tadi. Kulihat susuk bersih mukanya ketika ia membacakan doa. Sudah menjadi kebiasannya memulakan solat Subuh rakaat pertama dengan bacaaan surah Al-Mulk.Selesai berdoa, Abu menyungging satu senyuman panjang sambil menjeling ke arahku.
"Ben, kau pula bagi tazkirah kali ni ya. Tadi pun patutnya giliran kau yang jadi imam." tingkahnya sambil mengekalkan senyuman.
"Maaf Abu, tadi tertidur lalu. Langsung tak terkejutkan dengan bunyi alarm. Si Arif pula balik bermalam. Cuma aku seorang saja di bilik." aku menghulurkan ucap maaf. Memang hari ini sepatutnya giliranku menjadi imam.
"Kalau macam tu kira setujulah." senyum Abu makin melebar.
"Baiklah." Jawabku lembut.
Dalam kekalutan hati walaupun disembunyikan dengan riak wajah yang tenang aku mengucapkan salam. Ucapan yang dimuliakan oleh para nabi, bermula dari Adam, sehingga ke Ibrahim, turun ke Isa Ibn Maryam sampailah ke junjungan Nabi kita Muhammad salallahu a'laihi wasalam. Ucapan merdu kedamaian.
"Assalammualaikum".
"Waa'laikum salam." Serentak disambut oleh rakan.
Bersambung…
