Selasa, Disember 30, 2008

Satu Tahun Berlalu Sudah.





































Antara yang menjadi kegemaran aku tahun ini. Oh ya, sempena jumlah pembaca aku yang baru mencecah 300,000 orang baru-baru ini juga aku ingin mengucapkan terima kasih terhadap semua sokongan (dan kata-kata kurang berbentuk sokongan) yang diberikan. Aku terima segala ulasan dengan hati yang terbuka dan aku gembira kerana sekurang-kurangnya masih ada pembaca yang sudi memberikan buah fikiran sebagai renungan (dan tenungan) kita bersama.

Teruskan membaca dan meninggalkan komen! :)

Lelaki Terakhir Di Planet Bumi.



Semalam aku tertonton satu filem bodoh di Astro bertajuk 'Last Man On Planet Earth', cerita tentang apa yang mungkin terjadi jika lelaki di satu dunia ini mati dan dunia ini hanya dipenuhi perempuan.

Ceritanya berlatarbelakangkan kehidupan di Amerika Syarikat, di mana satu negara itu diperintah oleh perempuan, yang membenci lelaki disebabkan sifatnya yang ganas dan mendominasi, dan semua undang-undang yang digubal selepas itu berasaskan masyarakat perempuan tanpa gangguan lelaki.

Dan sebagaimana banyak filem-filem Hollywood lain, hanya senario di Amerika Syarikat yang digambarkan. Dan aku selalu tertanya-tanya, apakah agaknya yang mungkin berlaku jika senario-senario yang dipaparkan dalam filem-filem ini diaplikasikan kepada negara kita yang tercinta. Macam kalau 'Independence Day' berlaku di Kuala Lumpur, atau 'Titanic' di Kuala Terengganu, dan 'Debbie Does Seremban'.

Jadi apa kata kita renungkan Perkara-Perkara Yang Mungkin Berlaku Di Malaysia Selepas Tiada Lelaki.

1. Undang-Undang Malaysia Akan Berasaskan Adat Perpatih.
Kita semua tahu Adat Perpatih yang diamalkan di Negeri Sembilan berasal dari masyarakat Minangkabau amat mementingkan hak-hak seorang wanita. Aku rasa selepas ketiadaan lelaki tiada sebab adat ini boleh dijadikan asas undang-undang negara. Dan aku rasa orang perempuan pun sebenarnya malas bertekak pasal hal harta peninggalan semua. Tetapi macam mana hendak 'sebat' kerbau 10 ekor kalau tiada lelaki yang boleh masuk meminang?

2. Perempuan Akan Berjogging di Taman KLCC Tanpa Baju.
Sebab tiada mata meliar lelaki yang akan mengusha. Jadi aku rasa perempuan semua akan selamba berlengging ke sana ke mari. Ketika bersukan, ketika di pantai, ketika bekerja keras angkat piano atau barang berat yang lain. Kiranya aktiviti-aktivi yang biasanya akan dilakukan lelaki yang berlengging. Dan aku rasa fenomena perempuan berbulu ketiak dan kaki juga akan meningkat, sebab tidak perlu 'berhias' untuk lelaki.

3. Jumlah Tandas Awam Yang Boleh Digunakan Akan Meningkat Sekali Ganda.
Ini kerana semua tandas lelaki akan digunakan sebagai tandas am. Tiada lagi papantanda 'Lelaki' dan 'Wanita'. Akibatnya barisan menunggu giliran ke tandas juga akan berkurangan, masa tidak akan terbazir begitu sahaja, produktiviti akan meningkat dan Malaysia akan maju.

4. Istilah Bumiputera Akan Digugurkan.
Akhirnya. Aku rasa konsep Bumiputera akan digugurkan sama sekali, sampai tidak sempat gunakan istilah 'Bumiputeri', sebab sudah tiada lagi Lelaki Melayu, Lelaki Cina, Lelaki India dan Lelaki Lain-Lain. Yang ada hanya Perempuan Malaysia, bukan?

5. Permainan Dam Di Kedai Kopi Akan Pupus Buat Selama-Lamanya.
Pernahkah kamu lihat perempuan main dam sambil minum kopi dan merokok di kedai kopi? Aku tidak pernah.

6. Tiada Lagi Perkahwinan Selebriti Yang Akan Disiarkan Secara Langsung Di Televisyen.
Aku pasti ketika itu perkahwinan sejenis mungkin akan dibenarkan (seperti mana yang ditunjukkan dalam filem yang aku sebut di awal nukilan ini) menurut undang-undang (tetapi siapa yang luluskan dan keluar fatwa? bukan ulama' semua lelaki ke?), tetapi aku rasa mungkin agak janggal untuk mereka menyiarkan perkahwinan dua artis perempuan popular tanahair secara langsung. Lagi pun siapa yang boleh nikahkan? Bukan imam juga semua lelaki ke? Dan kalau satu dunia ini perempuan masa kursus kahwin masih kena pakai tudung ke?

7. Majalah FHM Akan Lingkup.
Sekurang-kurang edisi yang dikeluarkan di Malaysia. Majalah Maskulin aku rasa akan mula meletakkan kakak-kakak polis, askar, dan pemain skuad bolasepak wanita kebangsaan sebagai pelaris muka depan.

8. Hang Tuah Akan Dilupakan.
Ini kerana Hang Tuah itu sebenarnya simbol kepada kemaskulinan lelaki Melayu. Aku rasa hikayat Hang Tuah lima beradik ini akan sedikit demi sedikit dilupakan, dan sebaliknya Tun Fatimah pula akan dieksploitasikan ketika ada perwakilan yang ingin menghunus keris di Mesyuarat Agung (Puteri) UMNO. Tetapi kalau difikirkan tidak mungkin ada yang ingin menghunus keris, sebab keris juga lambang maskulin. Jadi apa senjata yang melambangkan sifat kewanitaan dan feminin? (Memang betul lelaki semua ganas pun.)

OK mengantuk. Saya mahu tidur.

Ahad, Disember 28, 2008

Petang Semalam Di Ibukota 17.









Makan-makan di Pondok.

Sabtu, Disember 27, 2008

Trend Terhangat 2008.

Sudah hampir setahun aku menulis nukilan tentang Trend Terhangat 2007, dan sekarang tiba masanya untuk aku tuliskan apa yang hangat pada tahun yang lalu ini. Mungkin tekaan-tekaan aku banyak meleset, tetapi apa-apa pun memang dijangka, sebab aku bukan Nostradamus pun. Apa-apa pun kali ini mungkin pendapat yang lebih serius sedikit, kalau serius sangat dan kamu tak boleh terima sila tonton saluran Astro Ceria.

1. Evolusi Budaya Indie Kepada Budaya Neo-Rempit.
Hip-hop pernah mencuba dahulu, dengan berleluasanya pemakaian kasut jenama Timberland di kalangan peminat-peminat sukan bermotor kuasa rendah, tetapi nampaknya budaya indie (yang definisinya telah pun disongsangkan untuk kesesuaian tempatan) yang lebih berjaya menepati citarasa golongan ini. Lihat sahaja kedai Topman di hujung minggu, penuh dengan budak-budak berpeluh dan comot akibat menaiki motosikal keliling Lembah Kelang (mungkin juga Seremban) yang berpusu-pusu untuk membeli kemeja-T separa mahal. Lihatlah juga mana-mana gig besar-besaran di Lembah Kelang (seperti konsert Rock The World tempohari) dan aku jamin ramai dari mereka ini merupakan mereka yang berkembang dari kelompok-kelompok Mat Rempit.

Secara tidak langsung aku mengaku ini mungkin merupakan perubahan yang amat menggalakkan, tetapi pada masa yang sama mungkin menjadi duri dalam daging bagi golongan yang mula-mula memupuk budaya ini di dalam minda mereka, iaitu golongan Innovators atau Pelopor. (Lihat bawah)

2. Kelajuan Pemindahan Maklumat Menjadi Semakin Ketara.
Segala apa yang berkait dengan budaya popular (atau pop culture) nampaknya semakin mudah, walaupun mungkin sejak kebelakangan ini terdapat kekurangan golongan yang boleh dianggap Pelopor.



Dengan keberkesanan Internet sebagai medium carigali maklumat dan semakin mudahnya bagi sesiapa untuk mendapatkan perkhidmatan Internet bermakna pergerakan trend tempatan akan menjadi semakin laju. Akibatnya akan menjadi lebih sukar untuk seseorang itu untuk kekal sebagai seorang individu yang unik dan beridentiti sendiri. Jika kita lihat di rajah atas, kategori tahap inovasi boleh dibahagikan kepada 5 bahagian utama, Pelopor (2.5% dari masyarakat), Pengikut Terawal (13.5%), Majoriti Awal (34%), Majoriti Lambat (34%) dan Ketinggalan Zaman (16%). Budaya indie misalnya, sekarang mungkin berada di tahap Majoriti Lambat (jika kita lihat pengaruhnya di dalam budaya Neo-Rempit sekarang) dan fasa Ketinggalan Zaman akan bermula di ketika kita dapat melihat Mawi tiba-tiba memakai seluar jeans skinny dan kemeja-t berslogan 'Saya Jiwa Kosong' dan menyanyikan lagu 'Rantai Rasa' di saluran Astro Awani.

Aku harap dengan kelajuan pemindahan maklumat ini Kuala Lumpur akhirnya akan berjaya mengatasi Bangkok dan Singapura sebagai trend mecca (dari segi muzik, fesyen, idealogi) di rantau ini dan mungkin menjadi setanding Hong Kong atau mungkin Jepun! Tidak mustahil. Apa yang kita perlu lakukan ialah untuk melahirkan lebih ramai lagi golongan Pelopor.

3. Penerimaan Lebih Meluas Muzik Tempatan (Yang Bukan Mawi/Siti).
Atas sebab-sebab yang sama di atas kita akhirnya dapat melihat karyawan-karyawan muzik yang berjaya mengenengahkan muzik-muzik karya mereka sendiri yang bukan dijanakan di dalam kilang-kilang konglomerat Mahaguru Muzik kita. Aku betul-betul bangga dengan perkembangan ini, dan jika dilihat dari publisiti (yang biasanya buruk) tentang pemuzik-pemuzik generasi baru kita dari media kita, masyarakat secara amnya sudah menerima hakikat yang ada banyak pemuzik bagus di kalangan kita. Cuma aku kasihan melihatkan sesetengah pihak media yang masih tersangkut di takuk lama, yang masih berasaskan berita sensasi selebriti tanpa kredibilit yang cuba diaplikasikannya kepada generasi baru pemuzik-pemuzik ini.

Nasib baik ada Internet.

4. Kejatuhan Pengaruh Media Massa Conventional.
Sekarang ini zaman penulis blog boleh menang pilihanraya. Dan zaman maklumat boleh diperolehi dengan mudah dengan menekan satu butang.

Aku rasa kematangan pemikiran pembaca akan datang secara beransur-ansur. Kematangan untuk menilai mana yang baik dan buruk, mana yang benar atau tipu. Dan aku rasa dengan lebih kebebasan media (yang tidak tertakluk kepada mana undang-undang berunsur sekatan) rakyat hanya akan boleh untung. Sebagai contoh lihat sahaja blog ini, dan ulasan-ulasan yang diberikan oleh kamu semua. Aku rasa pembaca sendiri boleh menilai tahap kematangan pembaca berdasarkan komen yang diberikan, bukan sahaja dari segi kematangan pemikiran, juga kematangan untuk menilai penulisan aku berdasarkan apa yang aku tulis selama ini.

Juga lihat hasil-hasil penulisan penulis-penulis kita. Walaupun masih ramai yang berasaskan penulisan sensasi, tetapi tahun ini telah muncul banyak penerbitan yang menyoal kedudukan kita sebagai masyarakat, dan persoalan-persoalan genting yang hanya akan muncul di dalam masyarakat pasca-penjajahan yang matang. Walaupun masih wujud pengharaman itu dan ini, tetapi dengan menularnya penerimaan penulisan-penulisan yang subjektif dan kesedaran tentang tahap kematangan diri, aku rasa masyarakat kita secara amnya hanya akan berkembang kesedarannya.

Walaupun ini tidak bermakna yang pihak berkuasa akan menghentikan polisi-polisi yang diamalnya dari dulu sampai sekarang, tetapi sekurang-kurangnya sekarang jumlah mereka yang mempersoalkannya dan memahaminya akan bertambah, yang sedikit sebanyak mendorong kita untuk menjadi lebih kreatif di dalam pemikiran.

Sekali lagi, nasib baik ada Internet.

5. Perlaksanaan Doktrin Kejutan.
Sebagaimana penulisan Naomi Klein di dalam bukunya 'Shock Doctrine' (sila baca sendiri ya?) kegawatan ekonomi dunia sekarang menyebabkan banyak polisi-polisi drastik tidak masuk akal dilaksanakan. Dari sudut tempatan, peningkatan (dan seterusnya penurunan) harga petrol mengejutkan ramai pihak, walaupun sekarang lebih ramai yang asyik dengan hal tanah runtuh (dan tindakan susulan yang muncul selepasnya), dan senaman yoga sebelumnya. Kalau dilihat dari segi sosiologi memang tidak mengejutkan pun. Cuma di masyarakat kita lebih banyak perlaksanaan 'penumpuan perhatian' ke pada perkara-perkara lain (seperti siaran langsung perkahwinan selebriti) agar kita tidak panik dan lalai serta kurang tumpuan kepada perkara-perkara yang sepatutnya lebih penting dan patut didahulukan. Selama ini mungkin proses ini berkesan, tetapi seharusnya kematangan itu disertakan bersama dengan kemahuan untuk mencari maklumat tentang perkara yang sebenar.

Apa-apa pun aku perlu ingatkan di sini yang aku bukannya seorang aktivis, jadi pandai-pandailah ya? Seperti kata si Nabil (yang tidak kelakar), 'Lu Fikirlah Sendiri!'. Mungkin ada makna tersirat yang lebih mendalam.

Hmm.

Aku macam tiba-tiba rasa pemerhatian aku terlalu mendalam. Maaf jika kamu semua tidak faham. Apa-apa pun sila layan video Hujan di bawah.

Khamis, Disember 25, 2008

Tafsiran 'Budak Pulau'.

Aku memang suka berendam di dalam laut. Tidak kisah-lah laut yang mana, janji bersih, aman damai dan tidak berdekatan dengan kawasan perindustrian atau hospital. Jadi untuk berendam di dalam laut aku akan ke tepi pantai, atau ke kawasan kepulauan, walaupun sebenarnya sudah lebih setahun aku tidak menjejakkan kaki ke dalam laut.

Dan kalau kamu perasan jika kamu ini kaki laut macam aku, di setiap kawasan persisiran pantai di Malaysia ini pasti akan ada perniagaan-perniagaan berdasarkan pelancongan yang diusahakan (atau sekurang-kurangnya diselenggarakan) oleh sekumpulan budak Melayu lelaki yang berkulit hitam legam akibat dibakar sinaran matahari tiap-tiap hari. Siapakah mereka ini? Teruskan membaca.

1. Hitam Dan Legam.
Satu benda aku perasan pasal golongan ini (yang selalunya digelar 'Beach Boys' di sini) ialah kebanyakan berkulit hitam legam akibat tidak suka memakai baju ketika berjemur di pantai. Yang pelik juga apabila berkulit hitam mereka selalunya berambut perang dan panjang, agar nampak macam Mat Salleh yang tanned sedikit. (Atau watak yang dipegang Patrick Swayze di dalam filem 'Point Break') OK, bukan sedikitlah, mungkin tanned banyak. Sudah tentu akan mengenakan seluar pendek pantai dan yang tidak boleh lupa ialah rantai-rantai yang dibuat dari manik dan kulit yang dibeli dari Melayu Red Indian. (Cerita Lain.)

2. Usahawan Semi-Berjaya.
Kalau anda ingin menaiki jetski, banana boat, paraglider atau papan luncur air golongan inilah yang biasanya akan menyediakan perkhidmatan-perkhidmatan tersebut di tepi pantai, walaupun pantai itu termasuk di dalam lingkungan kawasan Taman Negara yang sebenarnya melarang aktiviti-aktiviti sedemikian. Jangan lupa juga perkhidmatan teksi laut yang disediakan, yang diusahakan oleh mereka ini dengan bot-bot kayu dengan enjin motobot yang banyak mengeluarkan asap. Kiranya kalau di kawasan pulau mereka inilah yang jadi Mat Rempit, cuma mereka pakai bot, bukan motorsikal dan tidak memakai helmet sambil memakai kaca mata hitam jenama Oakley (tiruan).

Tidak lupa juga mereka yang menyediakan perkhidmatan sebagai pemandu pelancong yang selalunya memilih pelancong-pelancong asing yang berbikini agar mudah membawa mereka-mereka yang 'diingini' ini ke pelosok-pelosok tersembunyi agar mudah meluahkan kata-kata romantis dibuai angin sepoi-sepoi bahasa.

3. Minat Reggae.
Golongan ini tidak suka melayan lagu-lagu genre lain selain dari reggae, disebabkan kehidupan pulau mereka yang mengingatkan mereka kepada kehidupan di kepulauan Jamaica. Tidak lupa juga kerana jenis-jenis daun yang mereka hisap dengan terbuka di kawasan pulau-pulau ini, yang semestinya bukan daun tembakau. Kalau tak percaya mengakulah yang kamu ini pandai bermain gitar, pasti akan disogokkan gitar ke arah muka kamu dan kemudiannya kamu akan disuruh main 'Redemption Song'. Tetapi mungkin semenjak dua menjak ini akibat kesedaran terhadap pentingnya industri muzik Malaysia mereka akan lebih suka mendengar lagu Pure Vibracion iaitu 'Mi Gal'.

4. Tidak Suka Awek Melayu.
Sebab Awek Melayu tidak suka pakai berbikini, dan jika pakai bikini pun akan 'dikepung' oleh balak-balak lelaki mereka yang badan berketul sedikit. Akibatnya perempuan-perempuan dari Scandinavia dan terutamanya dari Jepun yang akan menjadi habuan. Pada mereka yang bukan datang dari Malaysia mungkin nilai novelty ber'balak'kan lelaki Melayu hitam legam berpenyakit kelamin (mungkin) merupakan satu godaan yang besar.

5. Suka Berpesta Pantai.
Salah satu aktiviti yang ditunggu-tunggu oleh golongan ini ialah pesta-pesta di pantai (atau Full Moon Party) yang biasanya diadakan sebulan sekali. Di waktu inilah kita boleh melihat kumpulan-kumpulan besar golongan ini yang melayan 'jus' jenama Orangutan yang hanya boleh didapati di kawasan pulau-pulau tersebut. Akan jadi lebih meriah lagi sebab satu kampung akan turun, dari yang bawah umur, sampai umur dan lebih umur (kiranya orang lama lah) yang biasanya akan diberikan keutamaan memilih Awek Bukan Melayu yang diingini akibat kedudukan yang tinggi di dalam hierarki Budak Pulau. Dan hierarki di atas pulau ini sebenarnya agak kompleks, jika kamu betul-betul perhatikan.

6. Paling Gerunkan Musim Monsun.
Ketika musim monsun iaitu selepas bulan September, pada mula-mulanya golongan ini akan teruja sebab akan muncul peluang mereka menunjukkan bakat sebagai peluncur air (surfer) semi-professional. Tetapi apabila ombak menjadi lebih tinggi dari 2 meter kebanyakan dari mereka ini akan tinggalkan pulau-pulau yang didiami mereka lebih dari 6 bulan setahun dan akan ke Kuala Lumpur untuk bekerja sebagai Red Indian penghembus api di Sunway Lagoon atau A Famosa Resort. Yang lebih berbakat akan menjadi bartender di sekitar Asian Heritage Row (senang untuk kenali mereka dengan rambut yang panjang dan rantai yang dibuat dari cengkerang siput laut) dan yang lain-lain akan menjual barangan kulit bersama kelompok Red Indian Melayu yang lain. (Cerita Lain.)

7. Jalan Bengkang Bengkok
Sebab mabuk darat, terlalu lama di atas sampan.

Aku rasa itu sahaja untuk kali ini. Sekian, terima kasih.

Tafsiran 'Rockstar Terhad'.

Tempohari ketika di pesta pemujaan makanan ringan yang aku sebut di nukilan sebelum ini, ada banyak band-band yang membuat persembahan di atas pentas papan lapis basah yang mempunyai khemah kecil khas untuk si pemain dram. Band-band ini semuanya sedang bertanding untuk memenangi kontrak rakaman di dalam pertandingan yang dianjurkan stesen radio yang hot, tetapi tidak cool. Jadi ketika aku sedang bergelak ketawa melihat aksi-aksi pemuzik ini aku terfikir pula untuk nukilan kali ini.

Aku rasa kamu pasti pernah melihat golongan ini. Malah aku rasa kamu juga kenal seorang dua. Kita mulakan terus.

1. Pemuzik Handal Yang Tidak Handal.
Dalam ramai-ramai golongan pemuzik di Malaysia ini, selain dari pemuzik di pub-pub penuh lelaki berperut buncit, golongan inilah yang paling teknikal dan mahir. Setiap lagu orang lain yand dengan bangga dimainkan setiap kali pada setiap persembahan, akan dimainkan dengan nota dan cara yang tepat, mungkin lebih tepat dari band asal yang memainkannya. Tidak pandai main lagu sendiri, dan kadangkala memang tiada lagu hasil karya sendiri pun. Kalau ada, 95% daripadanya dicilok dari lagu band kegemaran. Akibatnya lebih suka memainkan lagu-lagu popular dari band-band popular lain, biasanya dari luar negara. Lagi pun orang mudah layan bila main lagu orang, bukan? Kiranya macam mesin fotokopi berkesan tetapi versi pemuziklah.

Hobi ketika di depan komputer ialah untuk melakukan time-stretch (sila Google) ke atas fail muzik mp3 agar solo-solo gitar diperlahankan kelajuannya agar mudah untuk ditiru bulat-bulat.

2. Wira-Wira Muzik Kurang Relevan.
Biasanya idola bagi pemuzik-pemuzik yang ingin berjaya sebagai rockstar ini adalah idola-idola yang mungkin telah pun capai tahap populariti tertingginya 10 tahun lalu, dan sekarang aktif di dalam siri-siri konsert nostalgia (yang biasanya dihadiri oleh golongan-golongan Rockstar Terhad ini). Nama-nama seperti Yngwie Malmsteen, Joe Satriani, Steve Vai, Edry Hashim menjadi golongan untuk sesetengah dari mereka ini, dan yang lainnya mengidolakan band-band yang popular suatu masa dahulu di bawah arus muzik 'grunge' seperti Pearl Jam, Nirvana dan Stone Temple Pilots dan tidak lupa juga Guns 'n' Roses ketika era Axl Rose masih berwajah normal. Tidak lupa juga mereka yang obses dengan genre 'nu-metal' dengan lagu-lagu ala Korn dan Limp Bizkit-nya. Akibatnya tiap-tiap kali kamu menonton band-band sebegini kamu selalu teringatkan zaman sekolah (kalau kamu sudah pun bekerja), atau zaman kanak-kanak Ribena (jika kamu masih bersekolah) sebab seakan-akan kamu terperangkap di dalam dimensi masa yang membawa kamu ke era 90an.

Dan manusia sebagai makhluk yang amat nostalgis sudah tentu sukakan sesuatu yang membawa balik memori-memori indah tatkala menerima surat layang berbedak dari peminat rahsia yang tidak dikenali. Mungkin sebab itu popular. Tanya semua Rottwailers.

3. Berfesyen Templat Rockstar Terhad.
Berbaju serba hitam (sebab hitam itu cool, anti-establishment dan tidak mudah kotor), dengan rambut terpacak bergel dan mata bercelak ala si penyanyi nasyid Terengganu yang masuk pertandingan 'One In A Million' dahulu (maaf aku lupa namanya). Seluar jeans juga hitam, dan untuk yang mampu akan melabur untuk membeli seluar jeans kulit sebab kulit itu lebih 'rock'. Tidak lupa juga rantai leher tebal (tetapi tidak setebal rantai leher hiphop) sebagai pelengkap aksesori. Kalau mengenakan pakaian yang mempunyai motif, biasanya akan mempunyai motif tengkorak, hati yang dipanah, grafitti dan sebagainya iaitu sama dengan Mamat 2.0 yang aku tulis sebelum ini. Disebabkan obses dengan barangan kulit (oh ya aku lupa, kasut but hitam itu juga wajib), semua barangan dan aksesori kulit menjadi idaman, lagi-lagi yang berwarna hitam. Tidak silap aku semua barangan-barangan kulit yang dijual oleh kaum Red Indian Melayu (Cerita Lain) di pusat-pusat membeli belah terkemuka negara banyak dibeli oleh golongan ini. Disebabkan tidak cukup wang untuk membeli jaket motosikal kulit hitam, aksesori-aksesori kulit yang lain akan dikenakan, seperti gelang kulit tebal dan tali kasut kulit serta talileher kulit untuk dipakai di konsert-konsert yang lebih formal untuk televisyen seperti konsert Konsert Kemuncak Citrawarna, Jom Heboh dan Konsert Perkampungan Hadhari.

4. Main Gitar Jenama Ibanez.
Ala... Yang tajam-tajam tu.

5. Suka Masuk Pertandingan.
Akibat tidak boleh dibayar untuk melakukan persembahan, ramai di antara mereka ini membuat band yang sanggup membayar wang untuk membuat persembahan, seperti pertandingan 'Battle Of The Bands' anjuran kolej-kolej swasta. Walaupun tidak pernah menang, tetapi mereka ini tidak pernah mengaku kalah walaupun banyak wang dihabiskan untuk berjamming dan membeli seluar kulit dan rantai leher emas tiruan. Ini semua dilakukan semata-mata untuk mengejar sebahagian cita-cita Rockstar Terhad mereka, iaitu muncul di siaran Astro seperti 'Blast Off' (yang juga pertandingan muzik) atau rancangan-rancangan muzik secara live di RTM2, memandu kereta Honda berwarna merah/kuning, bermain di atas pentas konsert Rottwailers dan Jom Heboh, tinggal di kawasan Ukay Heights/Bukit Antarabangsa, gambar masuk majalah ROTTW, memiliki 3 batang gitar karan, membeli sistem gitar tanpa wayar (agar mudah bergerak di atas pentas berukuran lebih 10 meter panjang) dan berkenalan dengan Ella/Amy Search.

Atas sebab suka masuk pertandingan-lah selepas menjadi pemuzik professional pun, suka masuk rancangan-rancangan berunsur pertandingan seperti Muzik-Muzik, Bintang RTM untuk dekat selangkah lagi ke cita-cita menjadi Rockstar Terhad mereka.

6. Ramai Peminat (?)...
...yang merupakan kawan-kawan. 8 keping dari setiap 10 keping demo CD yang dijual adalah akibat paksaan kepada kawan-kawan. Itu pun selepas disogokkan dengan kata-kata seperti, "Support the local scene, beb!" Kawan-kawan yang sama juga akan dijanjikan makanan percuma di restoran mamak jika membawa sepanduk kad manila bertuliskan kata-kata pujian 'peminat' ketika pertandingan-pertandingan yang disebut di atas dilangsungkan.

Dan semestinya mereka ini semua ramai peminat sebab setiap kali sebelum mula bermain di atas pentas pasti akan ada sesi bersuai kenal, yang biasanya berbunyi begini...

Vokalis — "Apa khabar Malaysia!! Are you enjoys??"
"Kami Band (letak nama), dan kami adalah Lan, on guitars!!! (Lan goreng sikit kat gitar)
Man on bass!!! (Man goreng sikit kat gitar bass)
Tan on drums!!! (Tan goreng sikit kat drumkit)
Man — Dan semestinya Adam on vocals!!!
Adam — Yeaheh! (Gaya ala-Jinbara)

7. Pemuzik Tidak Handal Yang Handal.
Akibat kekurangan kreativiti untuk menulis lagu-lagu sendiri (dan mungkin juga arena ciptaan lagu di Malaysia dimonopoli oleh Mahaguru-Mahaguru tertentu), mereka akhirnya pasrah dan menumpukan masa bekerja dengan lagu-lagu orang lain. Paling seronok kalau diberi peluang untuk mengetuai band-band di rancangan-rancangan TV terkenal yang memerlukan muzik live seperti Akademi Fantasia dan One In A Million. Kemuncak rancangan secara peribadi semestinya ketika kamera zoom-in bila sedang memainkan solo ketika memainkan lagu Zaiton Sameon/Francessca Peters yang diolah semula. Ramai juga yang berjaya mencari nafkah halal dengan cara ini (bukan sahaja 3 gitar karan, malah 3 buah kereta Honda merah, kuning dan hitam). Ini untuk pemuzik yang main alat muzik sahaja, yang bergelar penyanyi pula akan cuba mendapatkan tender menyanyi lagu-lagu patriotik bersama orkestra untuk RTM. Memang tidak salah pun. Afdal.

8. Ramai Groupie (?)
Istilah 'groupie' jika kamu tidak tahu bermaksud peminat fanatik (biasanya perempuan) yang minatkan pemuzik-pemuzik popular dan sanggup melakukan seks dengan mereka. Kamu baca sahaja buku-buku biografi band-band popular dahulu seperti Led Zeppelin dan The Rolling Stones (atau tonton sahaja filem 'Almost Famous'). Di barat memang perkara biasa, tetapi untuk Rockstar Terhad di sini mereka ini selalunya ialah peminat perempuan yang bakal menjadi Isteri Pertama. (Terpikat disebabkab seluar jeans kulit, semestinya.) Isteri Kedua sudah tentunya kawan akrab si Isteri Pertama. Lumrah dunia.

9. Peluang Yang Terhad.
Percayalah, memang terhad pilihannya jika kamu ingin menjadi seorang Rockstar di Malaysia. Mungkin ada yang telah mencapai tahap kehidupan ala-ala Rockstar di Barat, tetapi realitinya amat sukar untuk bergelumang di dalam wang berjuta-juta ringgit berdasarkan pendapatan sebagai seorang pemuzik di sini. Di sini pasaran memang terhad, dan jika kamu ke luar negara pun aku rasa diskriminasi yang kamu akan hadapi sebagai seorang rocker Melayu akan melemahkan semangat kamu serta-merta.

Tetapi jika kamu sedar angan-angan ini sebenarnya sesuatu yang kelakar dan kamu menjadi Rockstar yang sedar akan hakikat itu, teruskanlah. Aku dengar semenjak dua menjak ini banyak band-band ala The Darkness yang berani untuk tidak mengambil diri sendiri terlalu serius, dan sebaliknya berjaya untuk tampil ke hadapan dan sedikit sebanyak mencapai impian rock'n'roll mereka, walaupun tidak sehebat Rockstar idola mereka. Aku tabik!

(Mamat Khalid, aku suka Rock!)



(Video Hiasan)

Malam Semalam Di Ibukota 41.















Selamat Hari Natal, Maaf Zahir dan Batin.

Selasa, Disember 23, 2008

Kan Aku Dah Cakap.



Mogwai di Kuala Lumpur.

Isnin, Disember 22, 2008

Tafsiran 'Mamat 2.0 @ Mat Shuffler'.

Tempohari aku telah menghadirkan diri ke satu upacara pemujaan makanan ringan yang benar-benar menakutkan di tengah-tengah hutan buatan manusia (yang banyak nyamuk) di Subang. Selepas dihiburkan dengan band-band bingit yang memainkan lagu dangdut metal dan kurang fasih untuk berkomunikasi di dalam Bahasa Inggeris (kalau kurang fasih, gunakan sahaja Bahasa Malaysia. Tidak salah pun!), kami ditakutkan dengan aksi-aksi sarkas. Bayangkanlah lebih setengah jam dibazirkan untuk menonton tarian artistik dan abstrak yang ditarikan penari perempuan berskirt tukang sorak (dengan seluar pendek di bawah) dan lelaki berbandana yang memakai kemeja-t tanpa lengan dan berconteng di muka.

Tetapi aku terperasan satu lagi perkara, yang boleh dikatakan menyumbang kepada 75% pengunjung hari itu, iaitu golongan yang akan aku gelar 'Mamat 2.0'. (Mungkin juga termasuk di dalam golongan Mat Shuffler) Mereka ini lebih canggih dari golongan 'Mamat' yang aku ceritakan tempohari, dan di sini aku akan terangkan mengapa.

1. Terlambat Sedikit.
OK, konsep pertama yang aku perlu terangkan di sini ialah konsep Terlambat Sedikit®. Aku akan terangkan konsep ini yang aku baca dari laman Hipster Runoff secara mudah sekarang, dan aku akan terangkan lebih lanjut kemudian. (Mungkin) Dipendekkan cerita, mereka yang agak lambat untuk mengadaptasi sesuatu trend atau gaya terbaru, baik dari segi fesyen, pemikiran, hobi dan sebagainya. Sekurang-kurangnya 2 tahun lambat. Baca seterusnya dan kamu mungkin akan faham.

2. Fesyen Terlambat Sedikit.
Fesyen Terlambat Sedikit ialah jenis fesyen yang aku dapati paling popular sekarang. Untuk lelaki, yang perlu ada ialah topi jenis mesh cap, t-shirt ukuran ketat sedikit, skinny jeans murah (ya, memang ada skinny jeans yang mahal) dan selipar jepun yang jenis bukan selipar jamban. Selalunya semua akan berwarna hitam (sebab emo) tapi apa yang benar-benar menonjol ialah motif yang terdapat di pakaian-pakaian tersebut. Aku hanya boleh terangkan sebagai motif 'extreme', iaitu elemen rekabentuk berserabut dengan tipografi bersepah, yang mungkin popular satu masa dahulu di akhir tahun-tahun 90an. Susah hendak jelaskan jadi nikmati sahaja gambar rujukan di bawah.



Penuh dengan gambar tengkorak, hati yang dipanah, tatu, grafitti dan unsur-unsur sukan 'extreme'. Selalunya bersepah dan berwarna gelap. Biasanya jenama-jenama yang bersalah yang masih mengekalkan imej rekabentuk sedemikian ialah jenama Quiksilver dan Billabong. Sudah tentu barangan yang dipakai ialah barangan tiruan yang dibeli di Danau Kota atau Jalan Petaling. Yang ada duit sedikit akan membeli produk tersebut dari cawangan-cawangan Factory Outlet Store yang penuh bersepah dengan jenis pakaian sedemikian.

Aksesori wajib pula ialah rantai leher berwarna perak atau emas, yang sedikit tebal ala-ala 'Abang' yang biasanya dipakai oleh pemain dram band-band muda yang aktif di dalam pertandingan 'Battle Of The Bands'.

3. Jenis Tarian Terlambat Sedikit.
Apa-apa pun yang paling banyak menular ialah gejala 'shuffling'. Kalau kamu tidak tahu, tarian ini sebenarnya berasal dari kotaraya Melbourne, yang banyak menampilkan unsur-unsur hip-hop dan tarian jalanan tetapi berlatarbelakang music jenis hard dance, trance atau techno. Jadi, dengan berpakaian seperti yang diterangkan di atas, golongan ini akan melayan 'shuffling' di mana-mana sahaja, akibat masih belum cukup umur untuk masuk ke kelab malam, ataupun memang hidup susah dan tidak mampu untuk membayar bayaran masuk ke tempat-tempat sebegitu. (Mungkin juga susah untuk masuk ke kelab malam sebab golongan ini selalu suka memakai selipar jepun jenama Quiksilver atau Billabong (tiruan).) Yang masih bersekolah pula akan selalu kelihatan melakukan 'shuffle' lengkap berpakaian sekolah ketika waktu rehat di sekolah. Malah, aku pernah melihat seorang budak yang bekerja sebagai pengawal keselamatan menari sebegini di tepi jalan ketika waktu rehat.

Oleh kerana tidak ke kelab malam, destinasi-destinasi terunggul untuk melakukan 'shuffle' ialah di kawasan Bukit Bintang (depan Maybank) ketika hujung minggu dan Hari Penyampaian Hadiah di sekolah. Rujuk video di bawah.



4. Aktiviti Harian Terlambat Sedikit.
Teori aku ialah golongan ini sebenarnya golongan Mat Rempit yang selalu kalah berlumba, ataupun golongan yang hampir jadi Mat Rempit tetapi tidak menjadi kerana hanya memiliki basikal. Akibat dari ketidakupayaan ini, golongan ini perlukan aktiviti-aktiviti lain untuk meluangkan masa lapang apabila mereka ponteng dari sekolah/kerja. Selain dari 'shuffling' yang aku tuliskan di atas, golongan ini juga suka menjadikan aktiviti-aktiviti lain yang murah dan tidak perlu membelanjakan wang yang banyak. Dengan 'shuffling' misalnya apa yang kamu perlu hanya topi jenis cap, lantai yang rata dan telefon bimbit yang ada pembesar suara. Cukup. Lain-lain aktiviti yang mungkin menjadi kegemaran golongan ini ialah melihat orang lain menari 'shuffle', dan menghadiri gig-gig percuma di tengah bandaraya. Kiranya kalau percuma sahaja akan berduyun-duyun mereka datang bagaikan ikan mengejar taik.

Lagi-lagi acara-acara percuma yang berlaku di Sunway Lagoon. Pantang ada acara percuma di sana, yang menjanjikan free show gadis-gadis sekolah swasta berbikini (yang juga pemilik blog) acap kali ia dilakukan. Kalau kamu percaya cuba Google blog-blog gadis berbikini ini dan tiap-tiap kali apabila menulis tentang acara-acara sedemikian pasti akan tertulis komplen tentang segerombolan golongan ini yang menganggu mereka ketika mereka cuba untuk mengambil gambar-gambar berbikini yang bakal diletakkan di dalam blog.

5. Mentaliti Kelompok Yang Terlambat Sedikit.

Sebagaimana golongan remaja lain yang mungkin belum berkeyakinan penuh dengan diri mereka, golongan ini banyak terdedah kepada tekanan dari rakan sebaya. Akibatnya seperti kelompok-kelompok lain yang berkelompok, sesuatu yang 'baru' itu akan dijadikan ikutan, dan akan diikut buta-buta. Malangnya trendsetter dalam kumpulan ini biasanya rakan sebaya yang mungkin dapat duit belanja lebih sedikit dari ibubapa mereka, dan akibatnya pendedahan mereka terhadap trend-trend yang kononnya 'terbaru' amat terhad. Proses pengaliran informasi juga terhad (selain dari fail-fail 3gp lakonan Pelakon-Pelakon Kesatuan Porno Amatur Malaysia/Indonesia) tetapi sekurang-kurang mereka celik IT dan pandai menggunakan laman-laman di Internet untuk mendapatkan maklumat-maklumat yang tidak berfaedah seperti cara-cara muatturun fail 3gp ke telefon bimbit dan menyunting fail 3gp lucah agar boleh diletakkan di dalam Youtube.

OK aku sudah tiada buah fikiran untuk menulis lagi. Apa kata kamu semua sambung?

Ahad, Disember 21, 2008

Malam Semalam Di Ibukota 40.

















Memang twisted betul.

Malam Semalam Di Ibukota 39.



















Jet bermisteri turun ke Kuala Lumpur tetapi macam tak kecoh pun.