Benda-Benda Yang Aku Tahu Kita Boleh Buat Lagi Bagus.
Kadang-kadang aku selalu terfikir, kita terlalu memberi perhatian kepada benda yang remeh temeh, sampai benda-benda kecil yang sepatutnya diberi perhatian terbiar. Kita terlalu mengagung-agungkan pencapaian kita, hinggakan kita pejam sebelah mata ketika timbul isu kelemahan kita.
Kalau di Malaysia ini, selagi ia tidak melibatkan kehilangan nyawa (tanah runtuh, feri karam, dan macam-macam lagi, kamu mesti tahu), memang kita tak peduli.
Macam aku tak peduli. Tapi sebenarnya konteks penggunakan ayat 'aku tak peduli' di sini berbeza dengan konteks penggunaan yang di atas ni. Aku tak peduli dengan pendapat 'kau', tapi aku peduli pasal banyak benda lain. Tau!
Jadi, untuk hari ini, ialah perkara remeh temeh yang aku rasa Kita Boleh Buat Lagi Bagus. Aku tak kisah kamu dah ambil ikrar 'Akujanji' ataupun tidak, tapi aku rasa kita boleh buat yang lagi bagus. (Ok, ok aku berjanji ini nukilan terakhir pro-kebangsaan-nasionalis aku. Lepas ni aku cerita lebih banyak pasal maksiat, bikini, arak dan kemaluan.)
1. Sarikata.
Aku nak tanya sikit, orang yang bekerja buat sarikata ni faham tak bahasa asal yang mereka alihbahasakan tu? Contohnya, tadi aku baru sahaja menonton TNA Wrestling di Astro. Aku minat gusti, tapi siaran TNA Wrestling memang 'potong' (berbanding siaran WWE RAW di Star Sports) kerana satu sebab:
Sarikata.
Contoh yang aku perasan tadi :
"You lay down. Take a dive."
"Baring di sini. Terjun."
(walhal maksud sebenarnya ialah 'kamu bertenang, buat hal sendiri jangan kacau orang lain.')
"...his high-risk maneuvre offense.."
"..kesalahan berisiko tingginya.."
(maksud sebenar: 'pergerakan berisiko tinggi' lah, bahlul. Sila perhatikan perbezaan offense dan offence, terima kasih.)
Sedih betul. Sampai nak ketawa pun ada.
2. Pemprosesan Dokumen.
Baiklah, aku kagum dengan Imigresen Malaysia. 2-3 jam untuk passport baru. Syabas. Tapi yang lainnya bagaimana? Sampai bila kita nak isi borang berhelai-helai, dengan lampiran A + B + Z1 hanya untuk berurusan dengan kerajaan? Bukan itu semua fungsi MyKad ke?
Di Amerika tiada pun MyKad tapi urusan semua mudah sahaja. Mungkin.
3. Pembelanjaan Wang Rakyat.
Memang patut 5 orang tu diangkut BPR tempohari. Ada kah patut belanja beribu-ribu ringgit untuk kamera digital. 3 megapixel pulak tu. Dengan harga dibayar memang boleh dapat kamera DSLR 10 megapixel.
Memang patut lah ramai tak nak bayar cukai... Nasib baik program Angkasawan kita percuma. Beli jet dapat naik ke angkasa percuma. Memang tawaran terbaik abad ini. Aku rasa sebelum kita pandang ke angkasa kita perlu pandang ke belakang rumah, tepi jalan, kelas di sekolah, dan macam-macam lagi.
4. Program Memupuk Kesenian.
Terus terang aku cakap, dengan zaman globalisasi sekarang, istilah 'budaya kuning' atau 'budaya subversif' amat subjektif. Tak perlulah kita nilaikan dari rupa (rambut panjang ke, seluar labuh hingga ke punggung ke...) tapi pada aku segala hasil seni kreatif adalah kreatif. Baik dari segi muzik, sastera, puisi, filem/video, seni lukisan, tarian. Semuanya kreatif, dan semuanya membantu taraf kekreatifan kita. (Kekreatifan?)
Aku hairan kadang-kadang, kenapa ada golongan yang masih menganggap kita mentah dan tak pandai membezakan yang baik dan yang buruk. Yang kita masih terlalu sensitif dengan perkara yang berkaitan agama, seks, mahupun politik. Kita semua dah bijak pandai. Ok, mungkin bukan semua tapi aku pasti bilangan yang bijak pandai di kalangan kita mungkin lebih ramai dari dahulu, bukan?
Kalau budak 15 tahun sekarang tidak lebih matang dari budak 15 tahun 10 tahun lepas, memang sah ada kesilapan dalam sistem pendidikan kita. Budak 10 tahun lepas tiada internet, tiada Astro, tiada iPod. Kalau kita diukur berdasarkan mentaliti kita 10 tahun lepas, memang kita jauh ketinggalan di arena globalisasi.
5. Tingkap Pintu Proton.
Aku tak payah cakap pun semua dah tahu. Al-kisahnya aku dahulu pemilik sebuah kereta Proton. Tahan dua tahun sahaja. Memang pelaburan paling teruk dalam sejarah hidup aku. Aku tak kisah ada teknologi Lotus atau Mitsubishi atau Renault, tapi apa yang keluar dari kilang kamu adalah tanggungjawab kamu untuk memastikan pemantauan kualiti yang terbaik. Bukan tingkap sahaja, kualiti secara keseluruhan lah.
Tak malu ke tengok Jeremy Clarkson selamba aje kutuk Proton Savvy dalam rancangan Top Gear? Haiyah.
Aku malu beb. Contoh perbualan yang mungkin berlaku.
"Oi, mate! So which part of the world do you come from, aye? "Yes, please, I am froms Kuala Lumpur, in Malaysia..." (English terabur sket..) "Ahh.. That's where they make them not-so-savvy Proton Savvies aye?"
*tutup muka*
Sebenarnya kan, aku rasa nukilan-nukilan terbaru aku ni macam lebihkurang sahaja. Bosan. Terus-terang aku katakan di sini, aku memang tidak minat dengan politik, atau ahli politik. Tapi aku minat dengan sosiologi, malah memang cita-cita aku dahulunya ingin menjadi pakar sosiologi, sebelum minat aku berubah ke ilmu fizik nuklear dan perempuan berbikini. Aku dah tak suka model perempuan kurus berbuah dada besar dah... Che-wah.
Jadi, sebagai penyemarak semangat untuk hujung minggu ini, aku kemukakan satu soalan yang agak menarik, dan selalu membuat aku terfikir ketika berjam-jam aku menonton Discovery Channel dan Discovery Science. Siapa dapat jawapan terbagus boleh berpeluang belanja aku makan.
Kenapa orang Melayu tidak pernah di culik makhluk asing? Dan pada masa yang sama, kenapa Mat Salleh tak pernah dirasuk toyol/bomoh dari Siam/Jawa/dsb.?











